SMAHADZIR
DIKISAHKAN bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan
dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah
seorang kaya dengan berkata, “Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti
dengan ikhlas kerana Allah s.w.t.”
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah
anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik
sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut
yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.
Semenjak dari peristiwa itu maka Allah s.w.t. pun
mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya
sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia
dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari
satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah
seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah
tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak
gadis itu masuk ke rumahnya.
Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia
berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah
perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan
bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam,
maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung
tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya
juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut.
Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan
dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun
berkata, “Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara
harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri.”
Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu
tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.
Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, “Keluarkanlah tangan
kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong
roti dengan ikhlas kerana-Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan
kembali akan tangan kananmu itu.”
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun
mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam
keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan
kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir
miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah
tetamu kita.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud,
“Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan
barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah s.w.t.
Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku.
Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka
Allah s.w.t.”
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya
tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk
bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan