SMAHADZIR
“MATLAMAT orang-orang muqarrobin ialah Allah s.w.t.
Mereka memburu Allah s.w.t. Dapat Allah s.w.t. dapat semuanya. Hilang Allah
s.w.t. hilanglah semuanya. Allah s.w.t. sumber keselamatan bahkan Allah s.w.t.
itu segala-galanya. Mereka menagih cinta dan kasih sayang Tuhan. Mereka sangat
takut dan bimbang kalau tersisih dari cinta dan rahmat Tuhan.”
Sudah menjadi tabiat hamba sukakan nikmat dan bencikan
kesusahan. Manusia akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan nikmat dan akan
juga berusaha sedaya upaya untuk mengelak dari kesusahan. Manusia suka pada
yang baik dan benci pada yang buruk. Manusia sukakan berita gembira dan
takutkan ancaman seksa. Dalam mendidik manusia, Allah s.w.t. ambil kira perkara
ini.
Sebab itu dalam kita berdakwah, kita disyaratkan supaya
menyampaikan tabsyir (berita gembira) dan tanzir (berita buruk).
Ini perlu supaya manusia terdorong untuk membuat kebajikan dan akan takut untuk
membuat kemungkaran. Ini sudah cukup untuk mengawal orang-orang yang beriman
supaya mereka berbakti kepada Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya.
Di dalam Al-Quran sendiri penuh dengan tabsyir dan
tanzir.allah janjikan pahala bagi orang-orang yang beriman dan yang beramal
soleh. Allah s.w.t. ancam orang-orang yang ingkar dan derhaka dengan dosa.
Allah s.w.t. janjikan orang-orang yang taat dengan Syurga dan segala macam
keindahan dan nikmat-Nya. Dan Allah s.w.t. ancam orang-orang yang ingkar dengan
Neraka dan segala macam seksaan-Nya. Bagi orang-orang soleh, mereka sangat
cintakan Syurga dan sangat takutkan Neraka. Perasaan cintakan Syurga ini
mendorong mereka untuk berbuat sebanyak-banyak ibadah dan kebajikan. Perasaan
takutkan Nereka pula mengawal dan menghindarkan mereka daripada berbuat maksiat
dan kemungkaran.
Namun demikian, keadaan seperti ini tidak berlaku kepada
orang-orang muqarrobin (orang-orang
yang hampir dengan Tuhan). Orang-orang muqorrobin
tidak mengaitkan ibadah dan amal kebajikan mereka dengan pahala atau Syurga.
Mereka juga tidak mengelakkan diri dari membuat maksiat dan kemungkaran atau
dasar takutkan dosa dan Neraka. Dalam apa yang mereka lakukan dan usahakan, ia
bersabit terus dengan Allah s.w.t.
Pendorong bagi mereka beribadah dan membuat
sebanyak-banyak kebajikan dan penghalang yang menghindar mereka dari terlibat
dengan maksiat dan kemungkaran ialah semata-mata cinta dan takut mereka kepada
Allah s.w.t. itu sendiri. Soal pahala dan dosa dan soal Syurga dan Neraka tidak
terlintas di dalam fikiran dan hati mereka.
Matlamat orang-orang muqarrobin ialah Allah s.w.t. Mereka
memburu Allah s.w.t. Mereka mahu mempunyai dan memiliki Allah s.w.t. Dapat
Allah s.w.t. dapat semuanya. Hilang Allah s.w.t. hilanglah semuanya. Allah
s.w.t. sumber keselamatan bahkan Allah s.w.t. itu segala-galanya. Mereka menagih
cinta dan kasih sayang Tuhan. Mereka sangat takut dan bimbang kalau tersisih
atau terpinggir dari cinta dan rahmat Tuhan. Bagi mereka, Syurga dan Neraka itu
hanyalah makhluk ciptaan Tuhan seperti mereka juga dan tidak layak dijadikan
matlamat.
Orang-orang muqarrobin juga tahu bahawa Syurga itu
terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadat dan pahala. Tidak ada siapa yang
dimasukkan ke Syurga kerana pahala dan amalan mereka. Tidak juga Rasulullah
s.a.w. sendiri. Manusia dimasukkan ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah
s.w.t. Justeru itu sepatutnyalah manusia berusaha untuk mendapatkan cinta dan
rahmat Allah s.w.t. kerana inilah jalan keselamatan. Memburu Syurga belum tentu
akan menghasilkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Tanpa rahmat dan kasih sayang
Tuhan, apalah ertinya kehidupan dan kewujudan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan