SMAHADZIR
ADAPUN terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah
kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, “Hai
langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah s.w.t. telah menghiaskan aku
dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman,
beberapa gunung dan lain-lain.”
Berkata langit, “Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu
kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, ‘arasy, kursi
dan syurga ada padaku.”
Berkata bumi, “Hai langit, ditempatku ada rumah yang
dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan
solihin (orang-orang yang baik).”
Bumi berkata lagi, “Hai langit, sesungguhnya pemimpin
para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah s.w.t.
seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya
penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan
syariatnya juga di tempatku.”
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata
demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah s.w.t. dengan berkata,
“Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya,
apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh
itu aku minta kepada-Mu Ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku
(langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga.”
Lalu Allah s.w.t. mengabulkan permintaan langit, kemudian
Allah s.w.t. memberi wahyu kepada Jibrail a.s pada malam tanggal 27 Rejab,
“Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau ‘Izrail jangan
engkau mencabut nyawa pada malam ini.”
Jibrail a.s bertanya, “Ya Allah, apakah kiamat telah
sampai?” Allah s.w.t. berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai Jibrail. Tetapi
pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad
dengan buraq itu.”
Kemudian Jibrail a.s pun pergi dan dia melihat 40,000
buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing
terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail a.s terpandang pada
seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail a.s menghampiri
buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?”
Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah
mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam
dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu
makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”
Berkata Jibrail a.s, “Aku akan menyampaikan engkau kepada
orang yang engkau rindukan itu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan