SMAHADZIR
SEMASA berperang dengan orang kafir musyrik, Saiyidina
Ali r.a. terkena panah di belakangnya. Ada sesetengah riwayat menyatakan di
betisnya. Sahabat-sahabat telah mencabut anak panah tersebut sewaktu Saiyidina
Ali sedang sembahyang kerana sahabat-sahabat sedar ketika itu saja tidak
menyakiti Saiyidina Ali disebabkan dia tenggelam dalam lazatnya sembahyang.
Kelazatan itu telah dapat mengalahkan kesakitan apabila panah itu dicabut.
Ertinya, kalaulah bukan kerana hatinya terasa kehebatan
dan kebesaran Allah s.w.t., terasa terlalu hina dan rasa lazat yang amat sangat
sewaktu bermunajat dengan Tuhannya, tentu mustahil dia tidak sedar panah itu
dicabut. Bukankah pelik. Ertinya segala kesakitan-kesakitan di dunia akan
hilang atau tidak terasa kalau kita tenggelam dalam cinta Allah s.w.t.
Ibarat orang yang sedang bercinta. Apabila bertemu dengan
cintanya, masa yang lama dirasakan sekejap sahaja. Dua jam dirasakan dua puluh
minit sahaja kerana terlalu asyik.
Banyak lagi cerita sahabat-sahabat lain yang turut sama
dipanah, ditikam dan ditetak tetapi tetap teruskan berperang sehingga terbunuh
(syahid). Sahabat yang bernama Anas bin An-Nadhri ketika selesai perang
didapati lebih 80 kesan tikaman pedang, tombak, panah dan dicincang-cincang
oleh kaum musyrikin. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain. Dorongan cinta
Allah s.w.t. inilah yang membolehkan mereka berbuat begitu.
Ada dalam kalangan mereka sewaktu sedang berperang itu,
mereka ternampak bayangan syurga dan bidadari-bidadarinya. Sampai terlupa
kesakitan yang mereka hadapi dan sangat rindu dengan Tuhannya. Sebab itu mereka
sanggup syahid waktu itu juga untuk menemui cintanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan