SMAHADZIR
DARI Muaz, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puji syukur ke
hadrat Allah s.w.t. yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya,
wahai Muaz!”
Jawabku, “Ya, Sayidil Mursalin,”
Sabda Rasulullah s.a.w., “Sekarang aku akan menceritakan
sesuatu kepadamu yang apabila engkau hafalkan (diambil perhatian) olehmu akan
berguna tetapi kalau engkau lupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak
akan mempunyai alasan di hadapan Allah s.w.t. kelak,”
“Hai Muaz, Allah s.w.t. itu menciptakan tujuh malaikat
sebelum Dia menciptakan langit dari bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang
menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga
pintu menurut ukuran pintu dan keagungannya,”
“Maka malaikat yang memelihara amalan si hamba (malaikat
hafazah) akan naik ke langit membawa amal itu ke langit pertama. Penjaga langit
pertama akan berkata kepada malaikat Hafazah, “Saya penjaga tukang mengumpat.
Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk
tidak menerima amalan tukang mengumpat,”
“Esoknya, naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si
hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata, “Lemparkan kembali amalan itu
ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah
s.w.t. memerintahkan supaya amalan itu ditahan jangan sampai lepas ke langit
yang lain,”
“Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga
membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit ketiga berkata, “Lemparkan
kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong,”
Rasulullah s.a.w. meneruskan sabdanya, “Berikutnya
malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga
langit itu berkata, “Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya. Dia
seorang yang ujubin Allah s.w.t. memerintahkan aku menahan amalan si ujub.”
Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima
dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain. Tetapi
di pintu langit penjaganya berkata, “Itu adalah amalan tukang hasad. Dia sangat
benci pada nikmat yang Allah s.w.t. berikan pada hamba-Nya. Dia tidak redha
dengan kehendak Allah s.w.t. Sebab itu Allah s.w.t. perintahkan amalannya
dilemparkan kembali ke mukanya. Allah s.w.t. tidak terima amalan pendengki dan
hasad,”
Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata, “Saya
penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan kembali amalan yang indah
itu ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau
orang dapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan itu jangan melintasi
langit ini,”
Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang
dapat lepas hingga ke langit ketujuh. Cahayanya bagaikan kilat, suaranya
bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembayang, puasa, sedekah, jihad, warak
dan lain-lain.
Tetapi penjaga pintu langit berkata, “Saya ini penjaga
sum’ah (ingin kemasyhuran). Sesungguhnya si hamba ini ingin termasyhur dalam
kelompoknya dan selalu ingin tinggi sewaktu berkumpul dengan kawan-kawan yang
sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah s.w.t.
memerintahkan padaku agar amalan itu jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang
tidak bersih kerana Allah s.w.t. maka itulah riyak. Allah s.w.t. tidak akan
menerima dan mengabulkan orang-orang yang riyak,”
Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa
amal hamba yakni sembayang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan
mulia serta zikir pada Allah s.w.t. Amalan itu diiringi malaikat ke langit
ketujuh hingga melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadirat Allah s.w.t.
Semua malaikat berdiri di hadapan Allah s.w.t. dan semua
menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah
s.w.t.
Tetapi firman Tuhan, “Hafazah sekalian, pencatat amal
hamba-Ku, Aku adalah pemilik hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang
dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan
amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak
boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui,”
“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung
bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi
adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi,”
“Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama
dengan Pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu
bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya ini?” “Laknat-Ku tetap
padanya,”
Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3,000 malaikat yang
mengiringinya pun berkata: “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan
laknat kami sekalian bagi mereka,” Dan semua yang di langit turut berkata, ”Tetaplah
laknat Allah s.w.t. kepadanya dan laknat orang yang melaknat,”
Saiyidina Muaz (yang meriwayatkan hadist ini) kemudian
menangis terisak-isak dan berkata, “Ya Rasulullah s.a.w., bagaimana aku dapat
selamat dari apa yang diceritakan ini?”
Sabda Rasulullah s.a.w., “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam
soal keyakinan,”
Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah s.a.w.
sedangkan saya ini hanyalah si Muaz bin Jabal, bagaimana saya dapat selamat dan
boleh lepas dari bahaya tersebut?”
Bersabda Rasulullah s.a.w., “Ya begitulah, kalau dalam
amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang
lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat
diri dan menekan orang lain,”
“Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui
orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat.
Kamu jangan berbisik berdua ketika disebelahmu ada orang lain yang tidak diajak
berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat
dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut
padamu, jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan mengoyak
perasaan orang lain dengan mulutmu, kerana kelak engkau akan dikoyak-koyak oleh
anjing-anjing neraka jahanam,”
Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Di
neraka itu ada anjing-anjing yang mengoyak badan manusia,”
Muaz berkata, “Ya Rasulullah s.a.w., siapa yang tahan
menanggung penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah s.a.w., “Muaz, yang kami ceritakan itu
akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah s.w.t. Cukuplah untuk
menghindari semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi
dirimu sendiri dan benci bila sesuatu yang dibenci olehmu terjadi pada orang
lain. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar dari api
neraka.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan