SMAHADZIR
“DAN hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru
(berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala
perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).
Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali
Imran: 104)
Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami
(Muhammad s.a.w.) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika
terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak
(berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): Tidak datang kepada kami seorang
pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami).
Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang pembawa berita gembira dan
juga pembawa amaran dan (ingatlah) Allah s.w.t. Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu. (Surah Al-Maidah: 19)
Penjenayah di penjara memiliki gelaran paling buruk yang
diberi oleh masyarakat kerana membenci perbuatan mereka.si pencuri, perompak,
perogol dan pembunuh. Walaupun bertaubat atau tamat tempoh tahanan, jarang
masyarakat boleh menerima bekas banduan ini. Kalau pun boleh, pasti mereka akan
sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan
jenayah.
Dapatkah bayangkan keadaan manusia ketika berada di
mahkamah Allah s.w.t. nanti? Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu
seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan
dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?
Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi
segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli
dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?
Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti
Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada
dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod
perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.
Mengapakah Allah s.w.t. tidak menurunkan bala-Nya terus
menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah
s.w.t. bermaksud: “Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh,
sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka
kembali,” (Surah Al-Hajj, ayat 48)
Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di
atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang
sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas
terlebih dulu dan bertaubat kemudian.
Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta
matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.
Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum
tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.
Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada
hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu
nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang
tidak pernah berhujung dengan kematian.
Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan
merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari
ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika
kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar
jurang neraka itu nanti?
“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah s.a.w.,
tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah
kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah s.w.t. dan rasul-Nya lebih
mengetahui,” Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang
dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru
sampai ke dasarnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup
dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit
yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di
dunia ini.
Mengapakah mereka memilih kesenangan haram yang sebentar
saja di dunia ini? Pada hal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna
sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah
s.w.t. mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan
sebentar. Firman-Nya bermaksud; “Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti
seribu tahun daripada apa yang kamu hitung,” (Surah Al-Hajj, ayat 47)
Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda
mendengar tangisan orang yang dipisahkan daripada keluarganya? Tangisan orang
yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan
orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam
kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang
muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anaknya?
Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat
tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung.
Tiada harapan dan peluang.
Mereka merayu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan kami,
keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami
kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim,” (Surah
Al-Mukminun, ayat 107)
Allah s.w.t. menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya
bermaksud: “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian
bercakap dengan Aku,” (Surah Al-Mukminun, ayat 108)
Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan
tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah s.w.t. Barang
siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh
menitis di Padang Mahsyar nanti.
Balasan Allah s.w.t. sangat adil. Saksi yang dipanggil
adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dulunya terngadah
sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan bengkak serta menggigil sekujur
badan bagai hendak melepaskan kulit.
Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan
Allah s.w.t.? Jawapannya payung Allah s.w.t. itu hanya untuk tujuh golongan
saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan