SMAHADZIR
LAHIRNYA Siti Fatimah Az Zahra r.a merupakan rahmat yang
telah dilimpahkan Ilahi kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ia telah menjadi wadah
suatu keturunan yang suci. Ia laksana benih yang akan menumbuhkan pohon besar
penyambung keturunan Rasulullah s.a.w. Ia satu-satunya yang menjadi sumber
keturunan paling mulia yang dikenali umat Islam di seluruh dunia. Siti Fatimah
Az Zahra r.a dilahirkan di Makkah, pada hari Jumaat, 20 Jamadil Akhir, lebih
kurang lima tahun sebelum Rasulullah s.a.w. di angkat menjadi Rasul.
Siti Fatimah Az Zahra r.a membesar di bawah naungan wahyu
Ilahi, di tengah kancah pertarungan sengit antara Islam dan jahiliyah, di kala
sedang hebatnya perjuangan para perintis iman melawan penyembah berhala.
Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a sudah
mengalami penderitaan, merasakan kehausan dan kelaparan. Dia berkenalan dengan
pahit getirnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Lebih dari tiga
tahun, dia bersama ayah bondanya hidup menderita dibuang daerah akibat
pemboikotan orang-orang kafir Quraisy terhadap keluarga Bani Hasyim.
Setelah bebas penderitaan setelah 3 tahun diboikot,
datang pula ujian berat atas diri Siti Fatimah Az Zahra r.a, apabila wafatnya
bonda tercinta, Siti Khadijah r.a. Perasaan sedih selalu sahaja menyelubingi
hidup sehari-harinya dengan putusnya sumber kecintaan dan kasih sayang ibu.
Rasulullah s.a.w. sangat mencintai puterinya ini. Siti
Fatimah Az Zahra r.a adalah puteri bongsu yang paling disayang dan dikasihani
junjungan kita Rasulullah s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w. merasa tidak ada seorang
pun di dunia, yang paling berkenan di hati baginda dan yang paling dekat di
sisinya selain puteri bongsunya itu.
Demikian besar rasa cinta Rasulullah s.a.w. kepada puteri
bongsunya itu dibuktikan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.
Menurut Hadis tersebut, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Saiyidina Ali r.a
demikian: “Wahai Ali, sesungguhnya Fatimah adalah bahagian dari aku. Dia adalah
cahaya mataku dan buah hatiku. Barang siapa menyusahkan dia, ia menyusahkan
aku, dan siapa yang menyenangkan dia, ia menyenangkan aku.”
Penyataan baginda itu bukan sekadar cetusan emosi,
melainkan suatu penegasan bagi umatnya, bahawa puteri baginda itu merupakan
lambang keagungan peribadi yang ditinggalkan di tengah umatnya.
Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a
menyaksikan sendiri ujian-uijian getir yang dialami oleh ayah bondanya, baik
berupa gangguan-gangguan, mahupun penganiayaan-penganiayaan yang dilakukan
orang-orang kafir Quraisy. Siti Fatimah hidup di udara Makkah yang penuh dengan
debu perlawanan orang-orang kafir terhadap keluarga Nubuwah, keluarga yang
menjadi pusat iman, hidayah dan keutamaan.
Dia menyaksikan keteguhan dan ketegasan orang-orang
mukmin dalam perjuangan gagah berani menghadapi komplot-komplot Quraisy.
Suasana perjuangan itu membekas sedalam-dalamnya pada jiwa Siti Fatimah Az
Zahra r.a dan memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadinya, serta
mempersiapkan kekuatan rohaniah bagi menghadapi kesukaran-kesukaran di masa
depan.
Setelah ibunya wafat, Siti Fatimah Az Zahra r.a hidup
bersama ayahandanya. Satu-satunya orang yang paling dicintai. Dialah yang
meringankan penderitaan Rasulullah s.a.w. ketika ditinggal wafat isteri
baginda, Siti Khadijah. Pada suatu hari Siti Fatimah Az Zahra r.a menyaksikan
ayahnya pulang dengan kepala dan tubuh penuh pasir, yang baru saja dilemparkan
oleh orang-orang Quraisy, sewaktu ayahandanya sedang sujud. Dengan hati
remuk-redam laksana disayat sembilu, Siti Fatimah r.a segera membersihkan
kepala dan tubuh ayahandanya. Kemudian diambilnya air untuk mencucinya. Dia
menangis tersedu-sedu menyaksikan kekejaman orang-orang Quraisy terhadap
ayahnya.
Kesedihan hati puterinya itu dirasakan benar oleh Nabi
Muhammad s.a.w. Untuk menguatkan hati puterinya dan meringankan rasa sedihnya,
maka Nabi Muhammad s.a.w. sambil membelai-belai kepala puteri bongsunya itu,
berkata, “Jangan menangis, Allah s.w.t. melindungi ayahmu dan akan
memenangkannya dari musuh-musuh agama dan risalah-Nya.”
Dengan tutur kata penuh semangat itu, Rasulullah s.a.w.
menanamkan daya juang yang tinggi ke dalam jiwa Siti Fatimah r.a dan sekaligus
mengisinya dengan kesabaran, ketabahan serta kepercayaan bahawa Islam akan
menang. Meskipun orang-orang sesat dan derhaka seperti kafir Quraisy itu sentiasa
mengganggu dan melakukan penganiayaan-penganiayaan, namun Nabi Muhammad s.a.w.
tetap melaksanakan tugas risalahnya.
Pada ketika lain, Siti Fatimah r.a menyaksikan
ayahandanya pulang dengan tubuh penuh dengan kotoran kulit janin unta yang baru
dilahirkan. Yang melemparkan kotoran atau najis ke punggung Rasulullah s.a.w.
itu adalah Uqbah bin Mu’aith, Ubay bin Khalaf dan Umayyah bin Khalaf. Melihat
ayahandanya berlumuran najis, Siti Fatimah r.a segera membersihkannya dengan
air sambil menangis.
Nabi Muhammad rupa-rupanya menganggap perbuatan ketiga
kafir Quraisy itu sudah keterlaluan. Kerana itulah maka pada waktu itu baginda
memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t.: “Ya Allah, celakakanlah orang-orang
Quraisy itu. Ya Allah, binasakanlah Uqbah bin Mu’aith, Ya Allah binasakanlah
Ubay bin Khalaf dan Umayyah bin Khalaf.”
Masih banyak lagi pelajaran yang diperolehi Siti Fatimah
dari penderitaan ayahandanya dalam perjuangan menegakkan kebenaran Allah s.w.t.
Semuanya itu menjadi bekal hidup baginya untuk menghadapi masa mendatang yang
berat dan penuh ujian. Kehidupan yang serba berat dan keras di kemudian hari
memang memerlukan kekuatan jiwa dan mental.
Tepat pada saat orang-orang Quraisy selesai mempersiapkan
komplot untuk membunuh Rasulullah s.a.w., Madinah telah siap menerima
kedatangan baginda. Nabi Muhammad meninggalkan kota Makkah secara diam-diam di
tengah kegelapan malam. Baginda bersama Abu Bakar As Siddiq meninggalkan
kampung halaman, keluarga tercinta dan sanak saudara. Baginda berhijrah sepertimana
dahulu pernah juga dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Musa a.s.
Di antara orang-orang yang ditinggalkan Nabi Muhammad
s.a.w. termasuk puteri kesayangan baginda, Siti Fatimah r.a dan putera bapa
saudara baginda yang diasuh dengan kasih sayang sejak kecil, iaitu Saiyidina
Ali r.a yang selama ini menjadi pembantu yang paling dipercayai oleh baginda.
Saiyidina Ali r.a sengaja ditinggalkan oleh Nabi Muhammad
untuk melaksanakan tugas khas, iaitu berbaring di tempat tidur baginda untuk
mengaburi mata orang-orang Quraisy yang bersedia hendak membunuh
baginda.sebelum Saiyidina Ali r.a melaksanakan tugas tersebut, ia dipesan oleh
Nabi Muhammad s.a.w. agar barang-barang amanah yang ada pada baginda
dikembalikan kepada pemiliknya masing-masing. Setelah itu bersama semua anggota
keluarga, Rasulullah s.a.w. segera menyusul berhijrah.
Saiyidina Ali r.a membeli seekor unta untuk kenderaan
bagi wanita yang akan berangkat hijrah bersama-sama. Rombongan hijrah yang
menyusul perjalanan Rasulullah s.a.w. terdiri dari keluarga Bani Hasyim dan
dipimpin sendiri oleh Saiyidina Ali r.a. Di dalam rombongan Saiyidina Ali r.a
ini termasuk Siti Fatimah r.a, Fatimah binti Asad bin Hasyim (ibu Saiyidina Ali
r.a), Fatimah binti Zubair bin Abdul Mutalib dan Fatimah binti Hamzah bin Abdul
Mutalib. Aiman dan Abu Waqid Al-Laitsiy ikut bergabung dalam rombongan.
Rombongan Saiyidina Ali r.a berangkat dalam keadaan
terburu-buru. Perjalanan ini tidak dilakukan secara diam-diam. Abu Waqid
berjalan cepat-cepat menuntun unta yang ditunggang oleh kaum wanita, agar
jangan dikejar oleh orang-orang Quraisy. Mengetahui hal itu, Saiyidina Ali r.a
segera memperingatkan Abu Waqid, supaya berjalan perlahan-lahan, kerana semua
penumpangnya adalah wanita. Rombongan berjalan melalui padang pasir di bawah
sengatan terik matahari.
Di Dhajnan, rombongan Saiyidina Ali r.a beristirehat
semalam. Ketika itu tiba pula Ummu Aiman (ibu Aiman). Ia menyusul anaknya yang
telah berangkat lebih dahulu bersama Saiyidina Ali r.a. Bersama Ummu Aiman
turut pula sejumlah orang muslimin yang berangkat hijrah. Waktu itu
masing-masing sungguh sangat rindu ingin segera bertemu dengan Rasulullah
s.a.w.
Waktu itu Rasulullah s.a.w. bersama Abu Bakar As Siddiq
sudah tiba dekat kota Madinah. Untuk beberapa waktu, baginda tinggal di Quba.
Baginda menanti kedatangan rombongan Saiyidina Ali r.a. Rasulullah s.a.w.
memberitahu Abu Bakar As Siddiq bahawa baginda tidak akan memasuki kota
Madinah, sebelum putera bapa saudaranya dan puterinya sendiri datang.
Selama dalam perjalanan itu, Saiyidina Ali r.a tidak
berkenderaan sama sekali. Ia berjalan kaki menempuh jarak 450 km sehingga
kakinya pecah-pecah dan membengkak. Akhirnya tibalah semua anggota rombongan
dengan selamat di Quba. Betapa gembiranya Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan
orang-orang yang disayanginya itu.
Ketika Nabi Muhammad s.a.w. melihat Saiyidina Ali r.a
tidak dapat berjalan kaki kerana kakinya membengkak, baginda merangkul dan
memeluknya sambil menangis kerana sangat terharu. Baginda kemudian meludah di
atas tapak tangan lalu diusapkan pada kaki Saiyidina Ali r.a. Dikatakan sejak
itu sehinggalah wafatnya, Saiyidina Ali r.a tidak pernah mengeluh kerana sakit
kaki.
Peristiwa yang sangat mengharukan itu sangat memberi
kesan dalam hati Rasulullah s.a.w. dan tidak dilupakan selama-lamanya.
Berhubung dengan peristiwa itu, turunlah wahyu Ilahi yang memberi penilaian
tinggi kepada kaum Muhajirin, seperti terdapat dalam surah Ali Imran ayat 195.
Ijab Kabul Pernikahan
Siti Fatimah Az Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan
kecantikannya ketika Islam dibawa Nabi Muhammad s.a.w. sudah maju dengan pesat
di Madinah dan sekitarnya. Ketika itu Siti Fatimah Az Zahra r.a benar-benar
telah menjadi anak gadis remaja.
Keelokan parasnya banyak menarik perhatian. Tidak sedikit
pemuda terhormat yang menaruh harapan ingin mempersuntingkan puteri Rasulullah
s.a.w. itu. Beberapa orang terkemuka dari kaum Muhajirin dan Ansar telah
berusaha melamarnya. Menangani lamaran itu, Nabi Muhammad s.a.w. menyatakan
bahawa baginda sedang menanti datangnya petunjuk dari Allah s.w.t. mengenai
puterinya itu.
Pada suatu hari Abu Bakar As Siddiq r.a, Umar Ibnul
Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama-sama Rasulullah s.a.w. duduk dalam masjid
baginda. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri
Rasulullah s.a.w. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As Siddiq r.a,
“Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi
Thalib?”
Abu Bakar As Siddiq r.a menyatakan kesediaannya. Ia
berangkat untuk menghubungi Saiyidina Ali r.a.sewaktu Saiyidina Ali r.a melihat
datangnya Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tergopoh-gopoh, ia menyambutnya dengan
terperanjat kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?”
Setelah duduk rehat sejenak, Abu Bakar As Siddiq r.a segera
memperjelaskan persoalannya, “Wahai Ali, engkau adalah orang pertama yang
beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta mempunyai lebih keutamaan
dibandingkan dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian
juga engkau adalah kerabat Rasulullah s.a.w. s.a.w. Beberapa orang sahabat
terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat
mempersuntingkan puteri baginda.
Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda menyatakan,
bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah s.w.t. Akan tetapi, wahai
Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri
baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap
semoga Allah s.w.t. dan Rasul-Nya akan menahan puteri itu untukmu.”
Mendengar perkataan Abu Bakar r.a itu, mata Saiyidina Ali
r.a. berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu, Saiyidina Ali r.a. berkata,
“Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang yang sebelumnya tenang.
Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah, aku memang
menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah
kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a terharu mendengar jawapan Saiyidina Ali
yang menyentuh perasaan itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Saiyidina
Ali r.a, Abu Bakar berkata, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu.
Bagi Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu
bertaburan belaka!”
Setelah berlangsung dialog seterusnya, Abu Bakar r.a
berjaya mendorong keberanian Saiyidina Ali r.a. untuk melamar puteri Rasulullah
s.a.w.
Beberapa waktu kemudian, Saiyidina Ali r.a datang
menghadap Rasulullah s.a.w. yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman
Ummu Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada
Rasulullah s.a.w., “Siapakah yang mengetuk pintu?”
Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu
baginya. Dia orang yang dicintai Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, dan ia pun
mencintai Allah s.w.t. dan Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi Muhammad s.a.w. itu belum dapat memuaskan
hati Ummu Salamah r.a. ia bertanya lagi, “Ya, tetapi siapakah dia itu?”
“Dia saudaraku, orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad
s.a.w.
Tercantum dalam banyak riwayat, bahawa Ummu Salamah di
kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saiyidina
Ali r.a kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke
pintu, sampai kakiku terhantuk-hantuk. Setelah pintu kubuka, ternyata orang
yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempatku semula.
Dia masuk, kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Ia
dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala,
seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.”
Rasulullah s.a.w. mendahului berkata, “Wahai Ali,
nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam
fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan kau peroleh dariku!”
Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. itu, lahir
keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata, “Maafkanlah aku, ya Rasulullah
s.a.w. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari bapa saudara
engkau, Abu Thalib dan ibu saudara engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih
kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi
hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah s.a.w., adalah
tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan
akhirat. Setelah Allah s.w.t. membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku
ingin berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang
menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah s.a.w., apakah
engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?”
Ummu Salamah meneruskan kisahnya, “Ketika itu kulihat
wajah Rasulullah s.a.w. nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata
kepada Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas
kahwin?”
“Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus
terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang
diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah
baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah s.a.w. menanggapi
jawapan Ali bin Abi Talib, Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah
r.a.
Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan
hati gembira, dengan disaksikan oleh para sahabat, Rasulullah s.a.w.
mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “BahawasanYa Allah
memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin 400 dirham
(nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”
“Ya, Rasulullah s.a.w., itu kuterima dengan baik,” jawab
Ali bin Abi Tali r.a dalam pernikahan itu.
Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang yang
sangat dicintai oelh Rasulullah s.a.w. yakni puterinya, Siti Fatimah dan
sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Saiyidina Ali. Rasulullah
s.a.w. mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.
Sejarah menyaksikan bahawa Fatimah puteri Rasulullah
s.a.w. adalah seorang wanita mulia yang menempuh berbagai ujian yang memerlukan
pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya. Walaupun beliau adalah puteri
Rasulullah s.a.w., namun hidupnya bukannya disaluti kemewahan dan kesenangan,
tetapi kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Saidina Ali,
kehidupannya tetap susah.
Walaupun Rasulullah s.a.w. pemilik kepada seluruh
kekayaan di muka bumi tetapi baginda tidak pernah mendidik anaknya dengan kemewahan.
Sewaktu menjadi isteri Saiyidina Ali, Siti Fatimah
menguruskan sendiri keperluan rumahtangganya.Saiyidina Ali sering tiada kerana
keluar berjuang bersama Rasulullah s.a.w. Setiap hari, Siti Fatimah mengangkut
air dari sebuah perigi yang jauhnya dua batu dari rumahnya. Beliau mengisar
tepung untuk keperluan makanan keluarganya.
Dalam serba susah dan miskin, beliau tetap ingin
bersedekah walaupun hanya dengan sebelah biji kurma. Siti Fatimah tidak pernah
mengeluh atau menyalahkan suaminya terhadap kesusahan yang terpaksa
dihadapinya. Bahkan dikatakan bahawa seluruh kesusahan wanita di dunia ini
telah ditanggung oleh beliau sehingga beliau tidak perlu dipologamikan. Wanita
mulia ini sangat pemalu dan sangat menjaga maruah dirinya.
Sewaktu Rasulullah s.a.w. hampir wafat, dia menemani
ayahnda kesayangannya itu. Ketika itu Rasulullah s.a.w. telah berbisik ke
telinga kanannya. Rasulullah s.a.w. memberitahu Siti Fatimah bahawa sudah
sampai masanya untuk baginda mengadap Tuhan. Siti Fatimah sungguh sedih kerana
akan berpisah dengan ayah yang sangat dikasihinya.
Kemudian baginda berbisik ke telinga kirinya pula.siti
Fatimah tersenyum gembira. Rupa-rupanya, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa
Siti Fatimah adalah orang yang pertama yang akan menyusuli baginda. Siti
Fatimah meninggal pada usia 28 tahun, lebih kurang lima bulan selepas wafatnya
Rasulullah s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan