SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
PARA ilmuwan dianggap memiliki Tuhan yang berbeza dari pakar-pakar teologi. Seperti apakah Tuhan mereka? Semakin para ilmuwan mendalami bidang ilmunya, semakin ia mencari nuansa spiritual di dalamnya Dan kerananya, semakin tinggi keyakinan mereka terhadap kewujudan Tuhan. Ungkapan SEPERTI ini sering dilontarkan para ilmuwan yang berubah menjadi pendakwah agama. Dr. Imaduddin Abdul Rahim (fizik) dan Dr Dadang Hawari (kedoktoran) adalah contohnya.
Dalam beberapa kesempatan ceramah di televisyen, Bang Imad, panggilan kepada Dr Imaduddin, memberikan contoh ramainya ilmuwan yang kembali kepada spiritual. Salah satu contoh adalah Albert Einstein, yang menurut beliau tetap mempertahankan agama kendati sibuk memecahkan persoalan-persoalan ilmiah. Begitu juga dengan Dadang Hawari yang sering menyebut nama Dr Mahurice Bucaile, ilmuwan asal Perancis yang tertarik terhadap Islam kerana mendalami kajian biologi dan hubungannya dengan beberapa doktrin agama.
Benarkah para ilmuwan berkecenderungan demikian? Jika anda buka literatur fizik, mungkin anda akan kecewa. Kerana, terlalu ramai tokoh ilmuwan yang ternyata ateis, atau paling kurang agnostik terhadap persoalan-persoalan metafizik. Sebutlah Steven Weinberg, Carl Sagan, Roger Penros, Richard Feynman dan Stephen Hawking - tokoh-tokoh ini adalah ahli fizik sejati yang banyak menghasilkan karya dan teori ilmiah. Semaklah apa kata mereka tentang Tuhan!
‘Betapa alam raya berjalan penuh dengan keteraturan berdasarkan hukum-hukumnya, sehingga ia tidak perlu lagi sang pengatur,’ tulis Carl Sagan dalam Cosmos, karya monumentalnya.
‘Semakin kosmologi’ menyingkap alam raya ini, semakin jelas bagi kita betapa tidak bertujuannya jagat raya ini,’ ungkap Steven Weinberg, peraih hadiah Nobel dalam bidang fizik pada tahun 1979.
Begitulah, bagi para ilmuwan itu, teori ledakan besar (big bang), teori yang paling dekat kaitannya dengan penciptaan, hampir tidak menyisakan ruang buat Tuhan untuk berkarya. ‘Semuanya berjalan menurut hukum fizik yang rumit dan sempurna,’ tulis seorang ahli fizik.
Jalan Fikiran Tuhan
Benarkah para ilmuwan seradikal itu dalam memandang Tuhan? Jawapannya, mungkin ya mungkin tidak. Jika anda percaya pada sebuah kajian di Amerika Syarikat tahun 2005, hanya 40% ilmuwan di Negara tersebut yang percaya adanya Tuhan. Bakinya adalah para ilmuwan yang ateis dan agnostic. (Newsweek, 27, 7).
Tetapi jika melihat sebuah persidangan tentang agama dan ilmu pengetahuan yang diselenggarakan di Amerika Syarikat suatu ketika dulu, para ilmuwan adalah manusia-manusia ‘beriman’ dan, dalam beberapa hal, percaya dengan kebenaran agama. ‘Jika anda menyedari bahawa hukum alam telah melahirkan jagat raya yang begitu teratur, maka hal itu pastilah tidak terjadi semata-mata kerana kebetulan. Tetapi mesti ada tujuan di sebalik itu semua,’ kata John Polkinghorne, ahli fizik yang kini menjadi pendakwah Gereja Anglikan.
Pendapat senada juga diungkapkan oleh Charles Townes, peraih Hadiah Nobel pada tahun 1964 yang juga hadir dalam persidangan tersebut, ‘Ramai orang merasakan bahawa pastilah ada sesuatu yang maha pintar di sebalik kehebatan hukum alam.’ Sekitar 300 orang ilmuwan yang hadir dalam persidangan tersebut memang tidak semuanya percaya kepada Tuhan. Namun, mereka memiliki konsep tersendiri tentang Tuhan. John Barrow, misalnya, menganggap adanya ruang buat spiritualiti dalam setiap kajian keilmiahan. Padahal, ahli fizik Britain yang dianggap terbesar selepas Stephen Hawking itu selama ini dikenali kurang peduli terhadap agama.
Para ilmuwan memang memiliki konsep tersendiri tentang Tuhan. Tuhan mereka, seperti dikatakan ramai pengkaji agama, tidaklah terpersonalisasi seperti yang diajarkan oleh para pakar teologi. Kerananya Dr Karlina Leksono, pakar astronomi Indonesia yang kini mengajar ilmu falsafah di UI, keberatan kalau orang seperti Stephen Hawking dikategorikan sebagai ilmuwan ateis. ‘Dia bukan ateis, tetapi sedikit agnostik,’ katanya dalam suatu kesempatan kepada majalah UMMAT.
Sifat agnostik Hawking diperlihatkan dalam tulisan-tulisannya yang agak keras mengkritik Tuhan para pakar teologi. Kendati demikian, beliau meyakini kewujudan Tuhan, dan mempercayai bahawa dengan kosmologi yang dibinanya, suatu ketika, beliau mampu melihat jalan fikiran Tuhan (the mind of God).
Persoalannya barangkali, mampukah ilmu pengetahuan itu menyingkap Tuhan? Para ilmuwan yang beriman meyakini bahawa ilmu pengetahuan, kendati tidak secara langsung membawa para ilmuwan ke hadapan Tuhan, mampu menggiring mereka ke arah itu. ‘Kendati sains tidak dapat membuktikan eksistensi Tuhan, ia dapat membisikkan kepada ilmuwan di mana jejak-jejak Tuhan itu boleh dicari,’ ujar seorang ilmuwan.
Para ilmuwan ‘ateis’ sendiri tidak terlalu mempedulikan apakah Tuhan itu ada atau tidak, dan apakah ilmu pengetahuan mampu atau tidak mengungkapnya. Namun, mereka sepakat dengan golongan beriman bahawa tujuan agama dan sains kedua-duanya sama, yakni mencari kebenaran sejati di dunia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan