Sabtu, 6 November 2010

KAJIAN BUDAYA V: Kesenian Dabus Di Kuala Selangor

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PENULISAN dan kajian mengenai negeri Selangor termasuk di daerah Kuala Selangor khususnya dalam aspek seni budaya sudah agak banyak dilakukan sama ada secara ilmiah mahupun bukan ilmiah. Ini termasuklah usaha-usaha penulis, sarjana dan juga pengkaji budaya yang telah membuat penyelidikan dalam pelbagai aspek yang tentunya turut menyentuh tentang seni budaya tempatan.

Sejak zaman sebelum merdeka lagi sehingga kini, maklumat tentang seni budaya Selangor khususnya di daerah Kuala Selangor ini banyak dibicarakan oleh para penulis sama ada dari kalangan pegawai tadbir kolonial, pengembara Eropah mahupun penulis tempatan.

Begitu juga dengan usaha pihak institusi pengajian tinggi tempatan yang mempunyai program ilmiah yang didapati terus giat melahirkan kajian-kajian dan penyelidikan ilmiah dari kalangan pelajarnya dalam pelbagai peringkat ijazah. Kendatipun begitu, maklumat tentang seni budaya tempatan di daerah Kuala Selangor yang disorot dari pelbagai aspek dan bersifat menyeluruh masih terhad.

Daerah Kuala Selangor mempunyai kawasan seluas 117,844 hektar atau 291,193 ekar yang terletak di zon utara negeri Selangor, Malaysia. Daerah ini terdiri daripada sembilan mukim iaitu mukim Api-api, Batang Berjuntai, Ijok, Jeram, Kuala Selangor, Pasangan, Tanjung Karang, Ujong Permatang, dan Ulu Tinggi.
Di daerah ini terdapat sebuah taman alam yang indah lagi mempersonakan dan menggamit ramai pelancong sama ada dari dalam ataupun luar negeri iaitu Taman Alam Kuala Selangor. Taman ialah merupakan sebuah hutan simpan dengan keluasan 2.4 kilometer persegi yang terletak di kuala Sungai Selangor. Kawasan ini terkenal dengan kepelbagaian burung, unggas dan paya bakau. Di samping itu, pelawat juga boleh menaiki bot di sungai sambil melihat kelip-kelip yang berterbangan pada waktu malam.

Penulis bersama salah seorang penggiat kesenian dabus di Kuala Selangor

Di daerah ini juga terdapat sebuah bukit yang kaya dengan sejarah silam iaitu Bukit Malawati. Berdasarkan kepada kedudukan bukit ini yang menghadap muara Sungai Selangor, ia pernah menjadi pusat pentadbiran kesultanan Selangor di akhir abad ke 18 dan awal abad ke 19. Di puncak bukit ini terdapat sebuah kota pertahanan silam yang memainkan peranan besar dalam sejarah awal negeri Selangor. Kota ini dibina semasa pemerintahan Sultan Ibrahim (1778-1826) untuk mempertahankan dari serangan Belanda kerana Negeri Selangor terlibat dalam pergolakan kuasa di antara Belanda dengan Johor dan Riau.

Akhirnya kota ini telah dapat ditawan oleh Belanda pada tahun 1784 kemudian diperbaiki dan dinamakan Kota Altingsburg sempena nama Gabenor Jeneral Belanda. Pada tahun 1785, Sultan Selangor dengan bantuan orang Pahang dan penggawa Permatang telah menawan semula kota ini daripada pihak Belanda.

Kompleks Bukit Melawati mengandungi banyak bukit sejarah yang masih dipelihara dengan baik di antaranya tembok kota yang masih berdiri kukuh, ‘Tangga Seratus’, bekas tapak istana, rumah api, makam diraja, perigi tujuh, batu hampar tempat memancung kepala, rumah kediaman Pegawai Daerah, rumah rehat dan dipercayai terdapat sebuah terowong tempat menyimpan harta. Sehingga kini masih terdapat beberapa buah meriam besar terletak menghala ke muara Sungai Selangor.

Terdapat juga sebuah ‘Telaga Beracun’ dilereng bukit ini bagi menghukum pesalah. Kesan struktur tangga sebahagiannya masih lagi kelihatan, dibina untuk tujuan mendaki Bukit Malawati. Terdapat juga sebanyak 100 anak tangga yang dibina bermula dari Pengkalan Batu Buruk ke puncak bukit dikenali sebagai ‘Tangga Seratus’.

Penduduk di daerah Kuala Selangor terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Namun begitu majoriti penduduknya adalah berketurunan Melayu yang terdiri dari suku Banjar, Jawa, Kampar dan Melayu Selangor.

Kajian sejarah menunjukkan bahawa orang Melayu ini mempunyai asas kebudayaan yang sama yang dipusakai daripada datuk nenek mereka secara turun temurun sejak zaman dahulu lagi. Selain itu terdapat bahasa yang sama dipertuturkan oleh suku-suku bangsa Melayu iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa lingua franca sejak abad ke 15 Masehi iaitu dengan lahirnya Empayar Melayu Melaka yang begitu besar pengaruhnya dalam aspek perdagangan dan perkembangan agama Islam di Nusantara (Moorhead 1959: 24)

Seperti suku bangsa Melayu di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Melaka dan di lain-lain tempat, di Kuala Selangor juga didapati berasal dari Sumatera seperti Minangkabau, Batak, Rawa, Kerinci, Mandailing, Aceh, Siak, Inderagiri, Palembang dan Kubu; yang berasal dari Pulau Jawa dan Bawen, yang berasal dari Kalimantan seperti Banjar dan juga yang datang dari Sulawesi seperti orang Bugis dan Makasar. Ini adalah disebabkan rentetan perpindahan orang Melayu Deutero yang datang dari Kepulauan Melayu ke Semenanjung Malaysia bermula pada akhir abad ke 14 Masehi dan semakin ramai pada abad ke 18 hingga awal abad ke 20.

Dalam memperkatakan tentang seni budaya di daerah Kuala Selangor, kita tetap tidak dapat lari dari membicarakan tentang seluruh cara hidup sesuatu masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkah laku manusia yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran.

Bidang seni budaya itu secara luasnya bolehlah dilihat di antaranya melalui fikiran atau idea - seperti ilmu pengetahuan, bahasa, falsafah, persuratan, metos, legenda, kesusasteraan, kepercayaan dan cerita-cerita lisan, kebendaaan - seperti seni bina, bangunan, alat-alat-alat mesin, object de art, pakaian, makanan ubat-ubatan dan perabot, kesenian - dilihat dari dua bidang kemahiran iaitu seni lakon (teater, tarian, muzik, nyanyian) dan seni tampak (ukiran, lukisan, seni pahat, tenunan, takat dan anyaman), serta nilai dan norma - seperti peraturan-peraturan undang-undang, adat resam, folk-ways & mores, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan bersopan santun.

Namun begitu, kajian yang penulis lakukan hanya terbatas kepada kesenian dabus sahaja. Dalam menyelusuri aspek ini, penulis cuba mendapatkan sebanyak boleh fakta yang berkaitan daripada pelbagai sumber yang terdapat di daerah Kuala Selangor terutama melalui individu yang penulis ketahui mempunyai maklumat dan pengetahuan mengenai kebudayaan tempatan.

PERMASALAHAN KAJIAN

Kajian ini adalah untuk mendalami kesenian dabus di daerah Kuala Selangor. Selain itu kajian ini juga bermatlamat untuk mencari apakah keistimewaan kesenian dabus yang agak unik berbanding dengan daerah-daerah lain di negeri Selangor. Selain itu kajian ini juga bertujuan untuk melihat apakah sebab kesenian ini tidak mendapat perhatian generasi remaja atau generasi muda dan langkah-langkah yang harus diambil agar ianya tidak pupus ditelan gelombang zaman.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini memperlihatkan asal usul kesenian dabus mula bertapak di daerah Kuala Selangor. Di samping itu kajian ini ingin mencari mengapa dan kenapa kesenian dabus ini mulai pupus dan jarang diberi perhatian oleh generasi remaja atau generasi muda. Apakah disebabkan oleh pengaruh dari luar atau disebabkan oleh ketidaksesuaian zaman yang semakin hari semakin berubah.

Kajian hanya ditumpukan kepada daerah Kuala Selangor sahaja dan penulis memilih beberapa buah kampung sebagai tapak tugasan. Kawasan kajian yang menjadi fokus penyelidikan merangkumi kampung yang dikira masih tradisional dan warganya masih mengumandangkan kesenian dabus di kalangan masyarakat.

Kampung yang penulis pilih tersebut merupakan kampung tradisi yang didapati masih kuat memelihara kesenian dabus. Kampung yang dimaksudkan ialah Kampung Kuantan, sebuah kampung yang terkenal dengan kerlipan kelip-kelipnya pada waktu malam.

BATAS KAJIAN

Kajian telah dijalankan dengan membuat wawancara dengan beberapa orang individu tempatan yang dipercayai mempunyai banyak maklumat tentang kesenian dabus di daerah Kuala Selangor. Selain itu kajian juga didapati dari bahan-bahan bacaan seperti majalah lama, buku, jurnal dan sebagainya di perpustakaan, internet dan juga orang-orang perseorangan. Individu tempatan yang penulis temui ialah Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari, Ketua Kumpulan Sedaya (Seni Budaya), Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari, Puan Encom Bte Shamsudin dan Tuan Haji Saidon Bin Haji Osman yang juga Penasihat Kumpulan Sedaya merangkap Ketua Kampung Kampung Kuantan.

Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari yang dilahirkan pada tanggal 19 hb Jun 1937 telah banyak berkorban masa dan tenaga terhadap masyarakat dan bangsa, baik dalam bidang akademik mahupun bidang kebudayaan serta sosial. Beliau bukan saja terlibat sebagai seorang pendidik, Ketua Kumpulan Sedaya yang mengembangkan kesenian dabus sejak tahun 1947 tetapi juga sebagai pengajar kesenian ini kepada warga kampung yang berminat. Beliau mengenali kesenian dabus sejak tahun 1940-an lagi yakni sebelum Jepun datang ke Tanah Melayu. Walaupun sibuk dengan tugasan sebagai ketua rumahtangga beliau tetap juga meluangkan masa dengan mengadakan kelas latihan kesenian dabus pada setiap malam Rabu dan Khamis setiap minggu di rumahnya di alamat No 247, Tanjong Siam Baru, Kampung Kuantan, 45600 Batang Berjuntai (Bestari Berjaya), Selangor Darul Ehsan. Seramai lebih kurang 30 orang anggota Kumpulan Sedaya akan berkumpul selepas waktu Isya pada malam-malam tersebut untuk mengadakan latihan di bawah asuhan dan bimbingan beliau.

Hakikatnya, Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari amat aktif dalam meningkatkan taraf kesenian dabus di kalangan masyarakat. Beliau sentiasa berusaha mencurahkan pengalaman, pengetahuan dan kemahirannya kepada generasi muda mengenai kesenian dabus di samping menanam sikap cintakan warisan budaya serta memastikan pusaka bangsa ini tetap dipelihara dan diamalkan sepanjang zaman.

Sementara itu, Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari pula telah dilahirkan pada tanggal 3hb Mei 1947, yang kini sudah berusia hampir 50 tahun tetapi masih aktif bersama Tuan Haji Zakaria, Puan Encom Bte Shamsudin (berumur 70 tahun – isteri kepada Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari) dan anggota-anggota Kumpulan Sedaya yang lain (semuanya hampir sebaya) mengadakan persembahan dabus di majlis-majlis seperti kenduri-kendara, majlis-majlis rasmi seperti majlis sambutan ulangtahun kemerdekaan, majlis keraian pemimpin, pembesar negeri dan sebagainya.

Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari berasal dari Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat, datang menetap di Kampung Kuantan pada tahun 1996. Bersama dengan Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari, beliau menubuhkan Kumpulan Sedaya dan sehingga kini pasukan tersebut terus mengumandangkan kehebatan dan keunikan persembahannya di hadapan khalayak. Bermula dengan mengumpul beberapa orang rakan yang berminat dengan dabus kini Kumpulan Sedaya telah mempunyai anggota seramai 30 orang berumur antara 7 – 75 tahun.


Wawancara dengan Puan Encom Bte Shamsudin turut bersama suaminya Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari menyemarakkan kesenian dabus di kalangan generasi muda

Kecintaan beliau terhadap seni warisan asli terutama seni dabus telah menyebabkan pasukan bimbingan beliau bersama Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari telah mendapat banyak undangan persembahan. Hakikatnya, Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari juga merupakan seorang yang aktif dalam meningkatkan taraf kebudayaan tradisional di kalangan masyarakat. Beliau sentiasa berusaha berusaha mempertingkatkan kemahirannya di samping menanam sikap cintakan warisan budaya serta memastikan pusaka bangsa ini tetap dipelihara dan diamalkan sepanjang zaman.

Di atas sebab-sebab itulah penulis memilih beliau sebagai individu yang juga wajar ditemui dan diwawancara untuk pengisian kajian ini. Penulis yakin, dengan penglibatan beliau yang lama dalam kesenian dabus sejak tahun 1996 lagi khususnya di Kampung Kuantan ini, dapat membantu menambahkan maklumat untuk kajian ini. Begitu juga dengan Puan Encom Bte Shamsudin yang turut aktif bersama-sama dengan Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari dan Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari dalam menyemarakkan kesenian dabus ini di kalangan masyarakat.

Penulis juga telah mewawancara seorang lagi individu iaitu Encik Yahya Bin Yusof, seorang tokoh budaya yang pernah menerima Anugerah Penggerak Budaya Seni Tradisi 2005 dari Kerajaan Negeri Selangor dan Tuan Haji Zainuri Bin Haji Tahir, tokoh penggiat Kompang Jawa (Teruntung). Encik Yahya Bin Yusof telah dilahirkan pada 18 Januari 1938 di Sabak Bernam, kini menetap di No. 125, Sungai Lias, 45300 Sungai Besar, Selangor, mendapat pendidikan di sekolah rendah. Setelah menghabiskan persekolahan, beliau terus berkhidmat sebagai guru.

Beliau amat aktif dalam bidang seni terutama sebagai penggiat Dabus, Rebana dan Kuda Kepang, dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Layang-Layang Negeri Selangor dan Kebangsaan. Di samping itu, beliau juga aktif dalam permainan gasing dan merupakan Penggiat Gasing Negeri dan Kebangsaan. Beliau terlibat secara langsung memartabatkan Wau Kapal sebagai wau rasmi di negeri Selangor. Menurutnya, Wau Kapal atau Layang-layang Kapal dikatakan mula dimainkan sejak tahun 1940-an lagi di negeri Selangor, terutama oleh penduduknya yang tinggal di pesisiran pantai dan bekerja sebagai nelayan.

Menurut cerita beliau, anak-anak nelayan yang menunggu bapa mereka pulang ke pangkalan akan menaikkan wau tersebut sebagai penunjuk kedudukan daratan dan kedudukan sebenar pangkalan kerana nelayan-nelayan tersebut tidak mempunyai sebarang kemudahan penunjuk arah seperti rumah api yang ada pada hari ini. Reka bentuk ekor wau tersebut menyerupai sebuah perahu manakala bahagian sayap dan kepalanya adalah sama seperti wau tradisional Melayu yang lain. Maka perkataan ‘kapal’ dianggap lebih sesuai berbanding dengan perahu untuk dijadikan tema bagi wau yang mereka cipta.

Encik Yahya bin Yusof telah banyak berkorban masa dan tenaga terhadap masyarakat dan bangsa, baik dalam bidang akademik mahupun bidang kebudayaan serta sosial. Beliau bukan saja terlibat sebagai seorang pendidik, pengadil, jurulatih, ahli jawatan kuasa gasing dan layang-layang tetapi juga sebagai pembuat dan penggiat. Walaupun sibuk dengan tugasan sebagai pendidik dan penggiat permainan tradisional, beliau sempat meluangkan masa dengan menyertai pasukan askar wataniah dan bergiat dalam pasukan pengakap serta pegawai sukan olahraga.

Hakikatnya, Encik Yahya bin Yusof amat aktif dalam meningkatkan taraf kebudayaan tradisional di kalangan masyarakat. Beliau sentiasa berusaha mencurahkan pengalaman, pengetahuan dan kemahirannya kepada generasi muda mengenai layang-layang tradisional di samping menanam sikap cintakan warisan budaya serta memastikan pusaka bangsa ini tetap dipelihara dan diamalkan sepanjang zaman.

Di atas sebab-sebab itulah penulis memilih beliau sebagai tokoh yang wajar ditemui dan diwawancara untuk pengisian kajian ini. Penulis yakin, dengan pengalaman, pengetahuan dan penglibatan beliau yang lama dalam bidang kebudayaan khususnya di daerah Sabak Bernam, dapat membantu menambahkan maklumat untuk kajian ini.

Sementara itu, Tuan Haji Zainuri Bin Haji Tahir pula telah dilahirkan pada tahun 1937. Beliau kini sudah berusia hampir 70 tahun tetapi masih aktif bersama sembilan orang rakannya (semuanya hampir sebaya) mengadakan persembahan Kompang Jawa (Teruntung) di majlis-majlis seperti kenduri-kendara, majlis-majlis rasmi seperti majlis sambutan ulangtahun kemerdekaan, majlis keraian pemimpin, pembesar negeri dan sebagainya.

Tuan Haji Zainuri berasal dari Indonesia, datang ke Tanah Melayu sebelum merdeka dan menetap di No 165, Jalan Sekendi, Kampung Batu 38, Sabak Bernam. Bersama beberapa orang rakan, beliau menubuhkan sebuah pasukan Kompang Jawa (Teruntung) dan sehingga kini pasukan tersebut masih bertahan walaupun pelbagai pasukan kompang moden tumbuh bagai cendawan di sekitar kampung tersebut. Kecintaan beliau terhadap seni warisan asli terutama seni Kompang Jawa (Teruntung) telah menyebabkan pasukan bimbingan beliau telah mendapat banyak undangan persembahan. Pun begitu, pasukan kompang pimpinan beliau juga merupakan satu-satunya kompang Jawa jenis teruntung yang masih wujud di daerah Sabak Bernam selain dari sebuah lagi pasukan di Kampung Sungai Apong.

Hakikatnya, Tuan Haji Zainuri Bin Haji Tahir amat aktif dalam meningkatkan taraf kebudayaan tradisional di kalangan masyarakat. Beliau sentiasa berusaha mencurahkan pengalaman, pengetahuan dan kemahirannya kepada generasi muda mengenai kompang Jawa di samping menanam sikap cintakan warisan budaya serta memastikan pusaka bangsa ini tetap dipelihara dan diamalkan sepanjang zaman. Di atas sebab-sebab itulah penulis memilih beliau sebagai individu yang wajar ditemui dan diwawancara untuk pengisian kajian ini. Penulis yakin, dengan pengalaman, pengetahuan dan penglibatan beliau yang lama dalam bidang kompang Jawa khususnya di daerah Sabak Bernam, dapat membantu menambahkan maklumat untuk kajian ini.

METODOLOGI KAJIAN

Dalam usaha untuk menjalankan kajian penyelidikan ini terdapat beberapa kaedah yang telah penulis gunakan bagi memudahkan proses pengumpulan maklumat. Kajian yang telah penulis dijalankan ini mempraktikkan dua kaedah utama iaitu kajian lapangan atau field research dan kajian perpustakaan atau library research. Sementara sumber-sumber sekunder pula diperolehi daripada maklumat-maklumat yang relevan.

Kaedah perpustakaan meliputi usaha-usaha pengumpulan sumber-sumber bertulis di institusi seperti perpustakaan daerah, perpustakaan peribadi, makalah, jurnal, majalah dan buku termasuk bahan-bahan yang didapati dari arkib. Kaedah lisan digunakan untuk mendapatkan maklumat lisan mengenai kesenian dabus daripada individu yang sudah diakui pengetahuannya. Rumusan akan dibuat untuk disesuaikan dengan kajian yang dijalankan di daerah Kuala Selangor.

SUMBER KAJIAN

Dalam kajian ini, penulis telah menggunakan dua jenis sumber iaitu sumber sekunder dan sumber lisan. Sumber sekunder meliputi bahan-bahan dan maklumat-maklumat bercetak seperti buku, makalah, majalah, jurnal, internet dan kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan kesenian dabus di daerah Kuala Selangor.

Sumber lisan pula diperolehi daripada wawancara atau temubual dengan individu dan penggiat yang berpengetahuan dalam kesenian dabus di daerah Kuala Selangor. Rujukan serta kajian telah dijalankan di Perpustakaan Negeri Shah Alam, Perpustakaan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Perpustakaan Daerah Banting.

Kajian ini akan menyentuh secara ringkas tentang latar belakang serta sejarah asal usul dan sebab musabab kesenian dabus yang terdapat di daerah Kuala Selangor ini tidak mendapat perhatian generasi muda dan bakal pupus ditelan zaman. Turut disentuh ialah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh masyarakat atau badan-badan tertentu supaya kebudayaan tempatan yang bakal pupus ini dapat dihidupkan atau disemarakkan semula.

USAHA-USAHA YANG PERLU DILAKUKAN

Banyak kebudayaan, kesenian, adat, tradisi dan sebagainya milik masyarakat Melayu di daerah Kuala Selangor zaman dahulu telah pupus dan ada sesetengahnya bakal pupus sekiranya tidak dilakukan sesuatu bagi menghidupkannya semula. Demikanlah juga dengan kesenian dabus yang terdapat di Kampung Kuantan ini. Dari kajian yang telah penulis laksanakan, penulis dapati antara sebab-sebabnya yang dikenal pasti ialah:

  1. Hakisan kepercayaan anamisme yang berkaitan dengan persembahan tradisi. Pada masa dahulu permainan tradisi memenuhi keperluan kepercayaan animisme, yakni dijadikan saluran untuk berdamping dengan kuasa ghaib yang dipercayai menentukan nasib pengamalnya. Dengan kemajuan pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi yang boleh menerangkan secara saintifik segala kejadian alam semula jadi seperti gerak gempa, letupan gunung berapi, ribut taufan dan sebagainya, maka ini telah menghakis kepercayaan terhadap persembahan tradisi sebagai penyelamat dan penentu nasib masyarakat. Perubahan corak hidup dan kemajuan pengetahuan sains dan teknologi didapati amat berpengaruh dalam soal ini.
  2. Pembangunan kawasan bandar dan infrastruktur perindustrian telah berkesan ke atas bentuk seni persembahan tradisi yang dahulunya berkaitan rapat dengan pertanian dan perikanan. Persembahan ini digunakan untuk memuja semangat untuk mendapatkan hasil yang lumayan. Tetapi apabila corak pekerjaan berubah kepada perkilangan dan kerja bersawah dan menangkap ikan menjadi lebih saintifik, maka gugurlah fungsi persembahan tradisi sebagai penentu hasil kerja yang lumayan. Produktiviti perkilangan memang tidak ditentukan oleh semangat, hantu atau jembalang, tetapi kepada penggunaan teknologi canggih.
  3. Status ahli pemain tradisi. Oleh kerana status persembahan tradisi telah merosot di dalam masyarakat kini, maka ahli-ahlinya tidak ingin anak masing-masing mengikuti jejak langkah mereka. Mereka mahukan anak-anak mereka berkelulusan universiti untuk menjadi doktor, jurutera, pensyarah, peguam, pengurus besar, pakar perubatan, saintis dan sebagainya, yang kesemuanya bertaraf jauh lebih tinggi daripada pemain rebab atau dalang wayang kulit dan sebagainya. Sikap ini menyebabkan tidak terdapat lapisan pengganti (pelapis) kepada pemain yang sudah tua.
  4. Kesedaran keagamaan, terutamanya dalam kalangan orang Melayu. Banyak kesenian Melayu yang dikatakan bercanggah dengan nilai-nilai keagamaan seperti dabus ini yang mengandungi unsur-unsur pujaan anamisme dan dimainkan semasa upacara buka panggung dan tutup panggung dalam mana hantu jembalang, roh dan semangat dijamu dengan makanan, minuman dan jampi serapah. Tujuannya ialah untuk meminta kuasa-kuasa ghaib ini melindung pemain dan penonton daripada kuasa jahat.
  5. Kebangkitan pergerakan Islam yang membawa kepada kesedaran ajarannya menyebabkan ramai pemain persembahan tradisi berhenti terus daripada bermain, umpamanya wayang kulit atau makyong kerana mereka mulai sedar bahawa apa yang dilakukan adalah syirik, iaitu memuja patung dan meminta perlindungan dan pertolongan daripada kuasa selain Allah s.w.t. Contohnya di dalam pengubatan tradisional seperti main puteri atau main bageh yang menggunakan unsur-unsur kurafat untuk mengubati pesakit. Di dalam kepercayaan main puteri, setiap bahagian tubuh badan manusia dipercayai mempunyai penunggunya sendiri dan penyakit yang dialami oleh seseorang pesakit adalah kerana penunggu atau hantu ini tidak disaji (tidak diberi makan). Jadi agama dan kemajuan pengetahuan ilmu telah mengubah sikap masyarakat terhadap seni persembahan tradisi sebagai menentukan nasib dan cara hidup masyarakat.
  6. Saingan hiburan moden telah juga mempengaruhi kemerosotan seni persembahan tradisi. Dengan adanya televisyen, video, wayang gambar, cakera laser, cakera padat dan sebagainya, persembahan tradisi tidak lagi menjadi tumpuan masyarakat. Malah kini lebih mudah memperoleh hiburan moden daripada persembahan tradisi yang diadakan sekali-sekala di luar bandar. Hiburan moden sebaliknya dapat dinikmati dengan selesa dan mudah di rumah sendiri ataupun di panggung yang moden dan indah.
  7. Selain itu, kesukaran untuk mempelajari kesenian lama seperti dabus dari segi iramanya yang klasik dan memerlukan suara yang tinggi untuk menyanyi juga merupakan satu sebab mengapa generasi muda menjauhkan diri dari kesenian warisan ini. Kebanyakan generasi muda lebih gemar mempelajari kesenian yang mudah, irama yang lebih moden, sebutan ayat yang lebih mudah, nada nyanyian yang rendah, lagu-lagu boleh digubah dari lagu-lagu moden dan sebagainya seperti yang terdapat pada nasyid.

Hasil dari kajian penulis, penulis telah mengenal pasti bahawa antara usaha yang wajar dilaksanakan bagi menyemarakkan kembali kesenian dabus di daerah Kuala Selangor ialah:

  1. Memperbanyakkan program dan kempen mengetengahkan kesenian dan tradisi bangsa ini di kalangan generasi baru. Dalam program kenduri rakyat atau program merakyatkan seni budaya, perlu disisipkan juga kesenian-kesenian silam yang kian pupus ini supaya ianya dapat dihidupkan kembali di kalangan masyarakat.

  2. Memperkenalkan kembali kesenian dan tradisi ini di kalangan para pelajar sekolah bermula di peringkat tadika, sekolah rendah, menengah dan akhirnya di pusat-pusat pengajian tinggi secara lebih intensif. Pertandingan-pertandingan bagi mencari bakat-bakat baru untuk di ketengahkan di peringkat yang lebih tinggi bagi kesenian-kesenian tertentu perlu diadakan bagi menaikkan kembali semangat dan seterusnya menimbulkan minat yang mendalam di kalangan generasi sasaran.

  3. Kerajaan melalui jabatan atau kementerian tertentu sentiasa membantu persatuan-persatuan atau organisasi penggerak budaya sama ada melalui kewangan atau lain-lain peruntukan agar kesenian dan tradisi bangsa dapat dijalankan selalu dengan lancar dan menyeluruh.

  4. Pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan perlu diadakan setiap tahun. Dengan cara ini, generasi baru akan lebih terdedah kepada kesenian warisan silam dan secara tidak langsung akan menimbulkan minat untuk melibatkan diri.


KESENIAN DABUS

Pengenalan

DABUS pada asalnya bukanlah sebuah tarian tetapi merupakan sejenis seni mempertahankan diri. Oleh itu, konsep dabus ialah kepahlawan. Justeru, kesenian dabus menuntut kecerdasan, ketangkasan, keperwiraan dan keceriaan ketika dipersembahkan. Dabus adalah salah satu tarian tradisional di Malaysia yang mampu bertahan sejak lebih 300 tahun lalu. Sekalipun negara menerima arus perubahan di samping kepesatan pengaruh budaya Barat, namun sehingga kini ia masih diminati dan dihayati oleh para pencinta seni. Namun begitu, di sesetengah tempat di negara kita ia telah mengalami kepupusan akibat tiada generasi pelapis yang dapat meneruskan kesenian ini selepas generasi tua atau generasi pelopor meninggal dunia.

Kendatipun dabus masih belum boleh dikategorikan sebagai seni popular di kalangan rakyat, namun kegiatannya yang secara terus digerakkan oleh pewaris kesenian itu sejak dulu lagi mampu mencatatkan sejarahnya tersendiri sebagai salah satu tarian tradisional yang terunggul di negara kita.

Tarian dabus sering kali dikaitkan dengan pertunjukan yang memperlihatkan kekebalan penari dengan mencuba melukai diri. Tarian ini merupakan tarian tradisional negeri Perak dan disifatkan sebagai tarian yang mempunyai unsur keagamaan. Tarian ini dipercayai berasal dari negara Arab. Mengikut cerita lisan, tarian dabus diperkenalkan oleh pengikut Sayidina Ali (kaum Syiah). Pada mulanya tarian dipersembahkan untuk memperlihatkan kehebatan dan kekebalan orang Syiah. Dengan usaha itu mereka berharap musuh-musuh mereka daripada kalangan puak yang lain akan takut dan tidak mengganggu mereka lagi.

Kesenian dabus ini mula-mula dibawa oleh pedagang Arab ketika singgah di kepulauan Acheh dan Jambi sebelum ke Perak kira-kira 200 tahun yang lalu. Dabus dipercayai daripada perkataan Bugis yang membawa maksud lembing tajam. Pada kebiasaannya, penari dabus menggunakan besi tajam yang berupa anak panah atau mata kail yang digunakan untuk mencucuk diri mereka. Besi tajam ini akan dihiasi dengan lingkaran yang berupa kerawang dan cincin besi. Cincin besi yang disematkan pada besi tajam tersebut digunakan sebagai alat bunyi-bunyian ketika penari mempersembahkan tarian. Aksi permainan dabus ini dikatakan mirip dengan perlakuan masyarakat Arab kaum Syiah ketika menyambut bulan Muharam suatu ketika dahulu.

Ketika membuat persembahan, penari dabus akan diiringi oleh alat muzik seperti gong, rebana dan gendang. Antara peralatan lain yang perlu disediakan adalah besi tajam atau anak dabus, tepung tawar, beberapa helai daun kayu yang terpilih serta kemenyan. Penari dabus biasanya menggunakan pakaian baju Melayu yang lengkap dengan samping sama ada penari lelaki atau wanita. Ketua penari yang dipanggil khalifah dengan pemukul gendang dan gong berpakaian biasa iaitu berbaju dan berseluar.

Tarian dabus dipersembahkan di mana-mana seperti di atas pentas atau di tanah lapang. Persembahan ini tidak memerlukan kawasan yang luas sesuai dengan pergerakannya yang bersahaja dan mudah. Tarian ini dimulai dengan acara menepung tawar alat-alatan, gelanggang dan penari yang dibuat oleh ketua kumpulan. Upacara ‘memagar kawasan’ dilakukan bagi menghindarkan ‘gangguan luar’ yang boleh mengganggu kelancaran persembahan, seperti penari tercedera atau terluka. Khalifah atau ketua kumpulan bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak buahnya ketika membuat persembahan. Oleh itu seseorang yang dilantik menjadi ketua mestilah daripada kalangan mereka yang mempunyai ilmu batin.

Dabus ditarikan oleh sekumpulan penari secara berpasangan sama ada antara sesama lelaki atau antara sesama wanita. Pasangan ini antara empat, enam dan lapan tetapi mestilah tidak melebihi 12 orang. Penari yang menyertai sesuatu persembahan dikehendaki menyediakan limau nipis, kain putih berukuran lima hasta dan kemenyan yang akan diserahkan pada ketua kumpulan sebagai pengeras. Pengeras ini bertujuan untuk mengekalkan kehebatan ilmu batin seseorang.

Ketika persembahan bermula yang diiringi oleh zikir dan nasyid, khalifah akan merenjis air ke arah belakangnya. Ini akan diikuti oleh upacara mengasap anak dabus dengan kemenyan. Tujuannya adalah untuk memastikan anak besi yang digunakan ketika tarian nanti tidak melukakan penari ketika dicucuk pada kulit. Upacara mengasap anak dabus ini dikenali sebagai ‘menguji kesetiaan’. Selepas itu, penari pun memulakan tarian mereka dengan menghentak-hentakkan kaki mereka mengikut iringan muzik.

Sambil menari, penari akan menikam diri mereka seperti pada bahagian tangan. Dikatakan penari perempuan lebih agresif daripada penari lelaki. Acara sedemikian akan berterusan sehingga ada antara penari yang tidak sedarkan diri. Mereka percaya bahawa penari tersebut telah diresapi oleh suatu kuasa atau makhluk ghaib. Penari-penari yang luka akan dijampi oleh ketua mereka untuk menghentikan darah yang keluar. Pada kebiasaannya, tarian dabus selesai dalam tempoh 30 minit.

Identiti Dabus

Setiap penari atau pemain dabus mesti menggunakan sejenis besi tajam yang dipanggil ‘anak dabus’. Penggunaan anak dabus ini ialah untuk memperlihatkan keistimewaan tarian tersebut. Tanpa penggunaan anak dabus, akan hilanglah identiti dabus.

Permainan dabus yang asli tidak sahaja para pemain atau penari menggunakan anak dabus sebaliknya mereka akan menggunakan beberapa senjata tajam yang lain untuk mempamerkan kehebatan permainan dabus. Selain anak dabus, antara senjata tajam yang lain yang digunakan dalam persembahan dabus ialah keris, pisau belati, kapak, batu giling dan tali.


Sejarah Asal Usul

VERSI PERTAMA

Ada dua versi sejarah asal usul dabus. Versi pertama, kesenian ini dipercayai berasal dari Timur Tengah. Dari cerita-cerita mulut, kisah bermula sejak zaman pembinaan Islam, semasa Khalifah Zainal Abidin anak kepada Saidina Hassan dan cucu kepada Saidina Ali. Dalam masa itu telah berlaku perselisihan antara dua puak hingga menyebabkan berlaku peperangan.

Maka dalam usaha menakutkan pihak lawannya kumpulan yang menyokong Saidina Ali mencipta tarian dabus. Kononnya pada zaman itu, penari-penari boleh meniti di atas pedang, dihimpit dengan batu, meranduk dalam api, digigit ular bisa dan melukakan anggota badan dengn alat dabus. Segala luka dan rasa sakit akan pulih seperti sediakala setelah dijampi oleh ketua kumpulan.

Mengikut penyelidikan yang pernah dibuat oleh pihak-pihak tertentu, pada masa ini masih terdapat peminat-peminat tarian dabus di Semenanjung Malaysia. Di negeri Selangor, ia dapat dikesan dalam masyarakat di daerah Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang. Sementara di negeri Perak pula ianya terdapat di daerah Lumut, Pasir Panjang Laut, Setiawan dan Teluk Intan. Di negeri Perak Darul Ridzuan, dabus dipercayai telah wujud lebih 200 tahun yang lampau.

Apa yang jelas, tarian ini merupakan gabungan tiga jenis kesenian tradisi iaitu nyanyian, tarian dan pertunjukan tentang kebolehan serta keberanian penari-penari menggunakan alat atau senjata tajam yang dicecahkan kepada anggota tubuhnya sendiri.

Ada dua versi tentang asal usul dabus yang terdapat di Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Versi pertama mengatakan bahawa ianya dibawa dari Perak. Sementara versi kedua pula dikatakan dibawa dan dikembangkan dari istana kesultanan Selangor. Menurut versi pertama, pada tahun sekitar 1600, dua orang pedagang dari Batu Bahara, Sumatera yang cuma dikenali sebagai Nakhoda Lembang dan Nakhoda Topah telah datang merantau ke Perak dan memulakan penghidupan di Telaga Nenas, Sitiawan. Ketika berada di situ, kedua-dua nakhoda tersebut berehat dan berlatih bermain dabus pada waktu malam sehingga menarik perhatian penduduk setempat dan terus berkembang di situ.

Pedagang Batu Bahara ini tidak tinggal setempat. Mereka kemudian bermudik lagi lalu ke Pasir Panjang Laut dan mengembangkan dabus di situ. Kemudian mereka menghilir lagi sampai ke Bagan Datoh. Di situ juga dabus diperkembangkan. Selepas Bagan Datoh, mereka merantau lagi sehingga ke Kuala Selangor. Di Kuala Selangor permainan dabus terus bertapak kukuh sehingga kini di Kampung Kuantan.

VERSI KEDUA

Menurut Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari, kesenian dabus di Kampung Kuantan, Kuala Selangor bertitik tolak pada zaman Kesultanan Selangor. Ini bermakna sejarah kewujudan kesenian dabus di daerah ini khususnya di Kampung Kuantan berkaitan rapat dengan Kesultanan Selangor. Mengikut catatan sejarah, Kesultanan Selangor telah diasaskan oleh Raja Lumu yang merupakan Putera Daeng Chelak atau Daeng Pali. Raja Lumu sebelum menggunakan gelaran Sultan dikenali dengan panggilan Raja Selangor.

Dipercayai baginda datang ke Selangor sekitar tahun 1730-an. Pada tahun 1743, Raja Lumu menjadi pemerintah Selangor semasa negeri ini masih lagi dalam naungan kerajaan Johor. Sehinggalah pada tahun 1766 Raja Lumu mendapat nobat atau pengiktirafan dari Sultan Perak iaitu Sultan Mahmud (Raja Kimas) dengan memakai gelaran Sultan Sallehuddin Shah.

Satu perkara yang menarik mengenai Kesultanan Selangor ialah tidak semestinya anak (lelaki) Sultan akan menjadi Sultan. Bahkan kedudukan sebagai Raja Muda juga tidak semestinya menjadi Sultan. Pada tahun 1782 Raja Lumu mangkat dan digantikan oleh Sultan Ibrahim yang memerintah hingga pada tahun 1826. Pada masa ini pusat pentadbiran kerajaan Selangor berpusat di Kuala Selangor. Sultan Ibrahim mangkat pada tahun 1826 dan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah. Pemerintahan Sultan Muhammad Shah pula digantikan oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1857.

Sultan Abdul Samad adalah seorang Sultan yang tidak pernah menjadi Raja Muda Selangor. Baginda telah menumpukan pentadbiran Negeri Selangor di Langat (Jugra). Kemunculan institusi kesultanan Negeri Selangor Darul Ehsan dengan perlantikan Raja Lumu menjadi Sultan Selangor pertama, pada pertengahan abad ke-18 telah memperkuatkan lagi pertapakan kuasa Bugis yang sedia ada di Semenanjung Tanah Melayu.

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah bahawa pertapakan ini bukanlah di atas dasar penaklukan. Walaupun sebenamya telah wujud kelompok-kelompok pembesar di beberapa daerah pada waktu itu seperti di Kuala Selangor, Jeram, Kelang dan Langat, tetapi dengan perlantikan Raja Lumu bergelar Sultan Salehuddin menjadi Raja Selangor atau Sultan di Kuala Selangor telah dapat menyatukan daerah-daerah sebagai mana di atas menjadi sebuah negeri yang dikenali dengan nama Negeri Selangor.

Pada zaman penjajahan, aktiviti perlanunan telah dijadikan alasan oleh penjajah British untuk campur tangan di Selangor. Di Selangor, untuk jangka masa 1870-an memperlihatkan keadaan tidak stabil. Ini disebabkan terjadi Perang Klang pada tahun 1867 disebabkan tuntutan Raja Mahadi ke atas daerah Klang daripada Raja Abdullah. Pada tahun 1867, Raja Mahadi telah menyerang Klang. Beliau telah dapat menguasai Klang dan memaksa Raja Abdullah berpindah ke Melaka. Raja Ismail putera Raja Abdullah yang telah mangkat terus menentang Raja Mahadi.

Raja Ismail telah mendapat bantuan Tengku Kudin, Wizurai Selangor yang juga menantu kepada Sultan Abdul Samad. Keadaan perang saudara telah menjadi bertambah buruk dengan adanya aktiviti kongsi gelap yang turut terlibat dalam Perang Klang. Menjelang tahun 1873, Tengku Kudin berjaya menghapuskan kuasa Raja Mahadi. Peristiwa sekumpulan lanun merampas sebuah kapal dekat Kuala Langat menyebabkan beberapa orang akyat British terbunuh. Pada tahun 1874 pula rumah api di Tanjung Rochado telah diserang oleh lanun.

Akhirnya Frank Swettenham telah berjaya memujuk Sultan Abdul Samad supaya meletakkan Negeri Selangor di bawah pemerintahan British. Pada bulan Disember 1874, J. G. Davidson telah dilantik sebagai Residen British yang pertama di Selangor. Frank Sweetenham pula dilantik sebagai penolong Residen di Kuala Langat. Tengku Kudin yang dipercayai berasal dari Kedah merupakan menantu kesayangan baginda Sultan Abdul Samad. Sewaktu berhijrah ke Selangor untuk menjadi menantu Sultan Abdul Samad, beliau membawa bersama ahli keluarga beliau dari Kedah lalu menetap di negeri ini. Kampung Kedah dan Kampung Tanjung Siam di Kuala Selangor ini dipercayai perkampung asal yang telah menempatkan sanak-saudara Tengku Kudin suatu ketika dulu.

Menurut Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari, para pedagang dari Tanah Arab yang datang berdagang ke Selangor bukan saja telah membawa barang dagangan tetapi juga warisan budaya bangsa mereka bersama iaitu dabus. Mereka akan bermain dabus sewaktu senggang dan berita ini sampai ke pendengaran baginda sultan. Lantas baginda sultan pun memanggil pedagang-pedagang Arab ini supaya bermain dabus di istana. Dari sinilah kesenian dabus ini berkembang di mana ianya disebarluaskan oleh kakitangan istana ke kampung-kampung. Kampung Kuantan merupakan kampung yang pertama menerima dabus yang dikembangkan oleh istana ini.

Dabus Di Kuala Selangor

Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari telah menceburkan diri dalam kesenian dabus sejak tahun 1947 dan kini hampir 60 tahun berkecimpung dalam bidang tersebut. Pelbagai pahit-maung dirasai beliau dan segalanya berbaloi dengan tertubuhnya sebuah kumpulan dabus yang diberi nama Kumpulan Sedaya (Seni Budaya) yang menggunakan rumah beliau sendiri di Kampung Kuantan sebagai tempat latihan.

Beliau selaku pengurus atau ketua kumpulan telah menubuhkan Kumpulan Sedaya bersama beberapa orang rakan pada awal tahun 1996 dan sehingga kini telah berjaya mengumpul lebih kurang 30 orang ahli yang aktif menyemarakkan kesenian ini di kalangan masyarakat terutama di majlis-majlis kenduri berkhatan, perkahwinan, majlis-majlis rasmi kerajaan tempatan dan sebagainya. Kumpulan dabus ini mempunyai sebuah gong, tujuh buah rebana dan beberapa buah anak dabus.

Berikut adalah jawatan kuasa Kumpulan Sedaya pimpinan Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari:

NAMA UMUR (TAHUN)

PENAUNG : PENGHULU MUKIM PASANGAN

PENASIHAT : KETUA KAMPUNG KAMPUNG KUANTAN
Tuan Haji Saidon Bin Haji Osman 60

PENGURUS : Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari 59

KETUA KUMPULAN: Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari 69

AHLI KUMPULAN: Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari 69
Tuan Haji Harun Bin Idris 70
Encik Abd Halim Bin Idris 45
Encik Abd Manap Bin Abd Ghani 75
Encik Razali Bin Shamsudin 55
Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari 59
Puan Hajah Azizah Bte Haji Abd Samad 68
Puan Fatimah Bte Tompang 55
Puan Encom Bte Shamsudin 70
Puan Hayati Bte Idris 48
Encik Shamsul Kamal Bin Md Nor 30
Encik Saiful Razman Bin Azmi 30
YM Raja Salwa Bte Raja Sulaiman 68
Tuan Haji Abu Bakar Bin Jalil 65
Hajah Maimunah Bte Kadir 60
Asmah Bte Jalil 58
Jamilah Bte Abd Hamid 48
Mohd Dom Bin Haji Abd Rani 70
Noorella Che Chim 56
Yasmin Bte Norisham 8
Norlailatul Shafiqah Bte Johan Rafizi 7
Hidayah Bte Faizal 9
Alisah Bte Norisham 7

Kumpulan Sedaya pada mulanya terdiri daripada orang-orang tua yang telah menjangkau antara 50 – 60 tahun dan ada di antaranya yang sudah mencecah usia 80 tahun. Mereka inilah yang telah mengajar dan membimbing ahli-ahli yang kurang mahir agar dapat sama-sama bermain alat-alat kesenian dabus dan bardah ini. Kumpulan ini pada mulanya membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan di sekitar Kuala Selangor. Tetapi kini sudah ada beberapa orang anggota dari angkatan muda iaitu sekitar 7 – 30 tahun yang telah berjaya ditarik oleh Tuan Haji Zakaria untuk mendekati kesenian dabus.

Matlamat dan tujuan asal penubuhan Kumpulan Sedaya ini ialah untuk mengembalikan tradisi budaya bangsa Melayu yang hampir pupus dan memastikan kesenian dabus dan bardah tidak lenyap ditelan arus gelombang zaman, menyedarkan generasi baru supaya tidak kehilangan warisan budaya sendiri, melatih generasi pelapis sebagai pewaris kesenian dabus pada masa akan datang dan sebagai alternatif kepada budaya sosial yang bercanggah dengan nilai-nilai dan adat resam masyarakat Melayu.

Asal kesenian dabus ini berupa saduran atau gabungan irama Melayu dan Arab (Islam) di mana liriknya berasaskan kepada kitab berzanji. Setelah lama mengembangkan irama dabus di kalangan masyarakat tempatan daerah Kuala Selangor, akhirnya Kumpulan Sedaya telah mendapat perhatian pelbagai kalangan sehingga kumpulan ini dijemput untuk membuat persembahan di pelbagai majlis seperti:

  1. Majlis sempena Pesta Tahun Melawat Selangor 1996 di Subang Parade
  2. Rakaman RTM pada tahun 1996
  3. Majlis Malam Senandung Seni (26 April 2003)
  4. Citrawarna Selangor 2003 (31 Mei 2003)
  5. Pergendangan Selangor – Bulan Citrawarna 2003 (7 Jun 2003)
  6. Persembahan Muzik Etnik Sempena Keputeraan Sultan Pahang (2004)

Klasifikasi Alat Muzik Dabus

Dabus terdiri dari rebana, gong dan buah dabus. Rebana dibuat dari kayu nangka, cengal, halban, tembusu dan juga jati. Kayu-kayu ini keras, tahan lama, tidak mudah dimakan asai dan juga tidak mudah serpih tatkala proses menyedak (menegangkan kulit pada badan rebana). Kulit yang sering digunakan adalah kulit kambing sementara rotan sega merupakan rotan yang sering digunakan sebagai pengikat di bahagian baloh. Bahagian-bahagian rebana adalah seperti baloh (badan rebana), sedak (penegang kulit pada badan rebana), dan kulit yang dianggit (melekatkan kulit dengan tegang ke baloh).

Untuk mempersembahkan kesenian dabus, memerlukan sekurang-kurangnya 3 orang sebagai asas iaitu seorang pemain rebana, seorang pemain gong dan seorang penari. Tiada had anggota yang ditetapkan. Namun begitu, untuk lebih meriah, sekurang-kurangnya tujuh atau lapan orang pemain diperlukan dalam sesuatu masa. Sekiranya tanpa penari, kesenian ini tidak dipanggil dabus tetapi bardah.

Untuk seseorang itu mahir dalam kesenian dabus memerlukan masa sekitar 6 bulan. Namun begitu, untuk mahir dalam tariannya hanya memerlukan masa lebih kurang sebulan sahaja. Sebaik-baiknya semua pemain dabus perlu pandai memainkan semua peralatan termasuk menari. Ini bertujuan supaya masalah mencari pemain pengganti tidak timbul yang mana boleh mengurangkan kelancaran persembahan.

Lagu Dan Irama

Dalam menyelusuri sejarah penglibatan Tuan Haji Zakaria dalam kesenian dabus, beliau menjelaskan bahawa minatnya terhadap kesenian ini amat mendalam. Sejak berumur 10 tahun lagi beliau sudah mahir bermain rebana, gong, menari tarian dabus bersama dengan buah dabus juga menyanyi lagu-lagu Arab dari Kitab Berzanji. Pada zaman dahulu, kesenian ini mendapat perhantian yang amat mendalam baginda sultan dan sering pula dijemput ke istana untuk mempersembahkannya.

Menurut Tuan Haji Zakaria, ada satu dua buah lagu Melayu yang sesuai dinyanyikan terutama di majlis-majlis perkahwinan sekiranya diminta oleh para penonton. Walaupun semua rentak boleh dimainkan namun rentak irama Padang Pasir lebih diutamakan terutama rentak perlahan dan beralun irama berzanji.

Dahulu kala, dabus dimulakan dengan jampi serapah bersama beberapa barang pengiring seperti bertih, lilin, air jampi dan sebagainya namun kini semua itu telah ditinggalkan kerana dibimbangi berunsur khurafat dan bid’ah. Dalam sesetengah keadaan, ancak atau sajian makanan untuk hantu syaitan seperti pulut kuning, ayam panggang dan bertih goreng disertakan. Ini bertujuan untuk memohon kepada hantu syaitan tersebut agar jangan mengganggu anak cucu atau masyarakat. Yang diamalkan sekarang ialah bacaan selawat Nabi, ucapan Bismillah dan juga doa agar kesenian tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Boleh dikatakan, semua unsur yang bertentangan dengan akidah tidak lagi dipraktikkan dalam kesenian dabus dewasa ini.

Menyentuh soal lagu yang didendangkan semasa kesenian dabus dipersembahkan, Tuan Haji Zakaria menjelaskan bahawa terdapat tiga rentak dalam setiap lagu. Rentak pertama agak perlahan, mendayu dan mengambil masa yang lama. Kadang-kadang boleh mencecah satu jam untuk sebuah lagu. Rentak yang kedua pula agak cepat sikit dari rentak pertama. Sebuah lagu akan mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja. sementara rentak ketiga lebih rancak dan cepat. Sesebuah lagu dapat ditamatkan hanya dalam masa 5 atau 6 minit saja. Lagu-lagu dari Kitab Berzanji juga dipersembahkan atau dialunkan secara bergilir-gilir.

Rentak paluan gong adalah tiga kali dan ia merupakan panduan untuk gerakan kaki para penari. Untuk lagu apa sekalipun, paluan tiga kali ini merupakan satu identiti gong dabus yang tidak dapat dipisahkan semasa persembahan. Terdapat lebih kurang 12 jenis lagu yang sering didendangkan semasa persembahan. Antara lagu-lagu tersebut ialah Ashraqal, Pihubbisal, Wulidalhabbi, Bishahrin, Tanaqal, Ta’alanbina dan Fazad. sementara jenis tarian yang sering dipersembahkan ialah Dayung Sampan (gerakan tangan penari seperti mendayung sampan), Lang Menyongsong (gerakan tangan penari seperti helang terbang) dan Rentak Kolek (gerakan penari seperti gerakan kolek di lautan). Kesemua tarian ini bercirikan kepahlawanan dan boleh ditarikan oleh semua golongan sama ada kanak-kanak, dewasa ataupun tua.

Sewaktu ditanya mengapa kesenian dabus kurang mendapat perhatian generasi remaja, Tuan Haji Zakaria bersama rakan-rakannya yang lain agak sepakat menyatakan bahawa ada beberapa sebab yang seharusnya dicari jalan agar ianya tidak mampu menghapuskan budaya bangsa ini dari pandangan mata. Antara sebab-sebab tersebut ialah:

Lagu-lagu dabus kebanyakannya dalam bahasa Arab. Bahasa Arab pula kurang mampu dikuasai oleh golongan ini. Tambahan pula lenggok irama lagu dabus agak sukar disenandungkan yakni nadanya terlalu tinggi, rentaknya terlalu perlahan dan sebutan liriknya terlalu payah hendak dicagunkan.

Peranan Dabus Dalam Sejarah

Kesenian dabus dikatakan berperanan besar dalam sejarah Perak. Semasa kompeni Inggeris menguasai perusahaan biji timah di Perak sekitar tahun 1680-1690, mereka telah membina sebuah loji di Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Pada masa yang sama, terdapat seorang pahlawan Melayu bergelar Panglima Kulop Mentok yang sangat membenci penjajahan Belanda. Beliau dikatakan berketurunan kerabat di Raja Bugis dari Sulawesi. Panglima Kulop yang tidak tahan dengan kekejaman Belanda telah membawa diri bersama-sama pengikutnya langsung membuat penempatan di Pulau Sembilan.

Oleh kerana kebenciannya terhadap Belanda, beliau telah memerangi kapal-kapal dagang milik penjajah itu di samping menyerang loji atau Kota Belanda di Teluk Gedung. Orang Belanda menggelarnya lanun. Panglima Kulop bersama pengikutnya diberitakan telah menggunakan ilmu kebatinan dabus ketika menyerang dan bertempur dengan askar Belanda. Ramai askar Belanda yang terkorban. Oleh kerana tidak tahan dengan ancaman Panglima Kulop, Belanda telah lari meninggalkan lojinya di Teluk Gedung.

Pada tahun 1826, kerajaan Perak telah meminjamkan kawasan Pulau Pangkor kepada Inggeris, manakala daerah Manjung (dulu Dinding) turut diserahkan kepada penjajah Barat itu pada tahun 1874. Ketika menggunakan perairan di situ untuk tujuan kepentingan perdagangan, pemerintah British di Pulau Pinang menghadapi ancaman daripada sekumpulan lanun yang megganas di perairan Selat Melaka yang diketuai oleh seorang Panglima yang digelar Daeng Mentanu. Kompeni Inggeris lalu meminta bantuan orang-orang dabus di Manjung untuk memerangi lanun berkenaan. Seramai 100 orang pahlawan dabus dikatakan telah berjaya menghapuskan lanun-lanun tersebut.

Peranan Dan Pengertian

Sesebuah kumpulan dabus yang asal terdiri daripada lebih kurang 22 orang termasuk pemain alat muzik dan penari. Dalam kumpulan tersebut terdapat seorang ketua yang dipanggil khalifah. Khalifah inilah orang yang bertanggungjawab memelihara keselamatan para pemain daripada sebarang gangguan yang boleh mencacatkan persembahan pada hari itu. Sebelum persembahan dimulakan, khalifah akan mengasapi dan merenjis air yang sudah dijampi ke seluruh pentas, para pemain, pemuzik dan anak dabus.

Tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada gangguan makhluk halus atau perbuatan orang nakal yang menguji kekebalan para pemain. Selain daripada itu, khalifah juga akan bertindak memulihkan penari yang tidak sedarkan diri dan luka akibat daripada menikam lengan dengan anak dabus atau keris. Dalam permainan dabus, terdapat beberapa pantang larang yang harus dipatuhi. Pertama ialah tempat bermain hendaklah bersih, tubuh badan pemain juga hendaklah suci. Para pemain sama ada pemuzik dan penari ditegah daripada mencarut, mengeluarkan kata-kata lucah mahupun bermusuhan. Anak dabus pula hendaklah dijaga sesempurnanya. Anak dabus tidak boleh dilangkah, malah perlu dijauhkan daripada mencucuk ke tanah. Selain itu, orang luar yang bukan pemain dabus dilarang menyentuh semua peralatan permainan dabus. Melanggar pantang larang ini akan mengundang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Antara benda yang perlu ada sebelum kesenian dabus dipersembahkan ialah bertih, beras kunyit, dan beras yang akan digunakan untuk upacara buka panggung. Di samping itu, ‘air pemulih’ juga akan digunakan oleh khalifah untuk membuka panggung dan memulihkan pemain jika dirasuk oleh makhluk halus.

Lenggok Nyanyian Dan Gerak Langkah Tarian

Permainan dabus akan bermula apabila alat-alat muzik dipalu dan lagu-lagu yang dipetik daripada kitab berzanji dan marhaban dinyanyian. Nyanyian dalam persembahan dabus ini mempunyai sekali hadi (korus) dan sekali jawab. Hadi biasanya dipetik daripada kitab berzanji dan jawabnya pula rekaan sendiri di dalam Bahasa Kebangsaan seperti memuji kecantikan negara Malaysia, kecantikan seorang perempuan, puji-pujian, nasihat dan sebagainya. Hadi pertama ialah Tanagal dan jawabnya Muradiseng, hadi kedua Fa-ohesan dan jawabnya Allahummasalli. Sebahagian daripada contoh lagu yang dinyanyikan dalam persembahan dabus ialah:

Mu ra di seng Allah mu ra di seng
Kama la izin Allah mura … di
Mura di yah Allah mura di yah
Kama la izin Allah mura .….di

Terdapat dua buah lagu dalam zikir Bahasa Arab. Tetapi kini, zikir itu telah diubahsuai ke dalam Bahasa Kebangsaan. Zikir dabus sama ada dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Kebangsaan semuanya memuja dan memuji kebesaran Allah s.w.t serta junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Salah satu senikata zikir dabus yang biasa disampaikan dalam persembahan dabus ialah:

Besi tua besi muda
Besi datang daripada Allah
Hendak makan sifat Muhammad
Takut ditimpa si kalammullah
Hullillah haillallah
Nabi Muhammad pesuruh Allah
Ingat semuanya kepada Allah
Bukannya salah permainan ini
Turun temurun semulajadi
Luar dan dalam semuanya diisi

Nyanyian disampaikan oleh pemain muzik. Para penari akan keluar dan menghormati penonton sebelum memulakan tarian. Biasanya penari akan keluar berpasangan untuk menari. Sepasang di sini, tidak semestinya terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan. Sepasang di sini bermaksud berdua, mungkin kedua-dua penari adalah lelaki atau kedua-duanya perempuan. Gerak langkah tarian ini ada tiga jenis yang dinamakan ‘susun sireh’, ‘ayam tajak’, dan ‘helang sewah’. Susunan langkah adalah mengikut pilihan ahli-ahli tari, tetapi biasanya dimulai dengan susun sireh. Langkah tari dimulakan dengan gerak tertentu dengan melangkah ke hadapan sebanyak tiga kali, kemudian duduk dan sembah, kemudian barulah tarian seluruhnya dipersembahkan.

Setiap seorang penari akan memegang sepasang buah dabus sambil menari. Gerak tari adalah mengikut irama lagu dan nyanyian. Seorang penari akan keluar menari dan setelah selesai peranannya dia akan diganti oleh penari yang lain pula, begitulah bergilir-gilir sehingga tarian tamat. Lazimnya, setiap lagu memakan masa kira-kira sepuluh minit.

Keistimewaan dan kelainan tarian dabus dengan tarian-tarian tradisi yang lain ialah penggunaan senjata tajam. Apabila tarian mula rancak, penari-penari mencucuk-cucukan anak dabus yang dipegang ke lengan mereka. Perbuatan ini kononnya dilakukan ketika si penari dalam keadaan tidak sedarkan diri dan simbolik kepada persembahan dabus itu sendiri yang lebih kepada persembahan kepahlawanan. Selain daripada itu, ada pula yang melakukan perbuatan melambungkan batu giling dan ditahan dengan paha. Tindakan para penari ini pastinya akan mencederakan mereka, tetapi apabila selesai persembahan, mereka yang cedara akan dipulihkan oleh khalifah dalam kumpulan tersebut.

Pakaian

Mengenai pakaian pula, ia bergantung kepada ketua pasukan untuk menentukan warna dan jenis pilihan pakaian ahli-ahlinya. Tetapi lazimnya bagi kanak-kanak, mereka memakai pakaian Melayu berwarna hijau pucuk pisang manakala penari dewasa pula mereka memakai pakaian Melayu yang lengkap dan berwarna hitam yang melambangkan kepahlawanan.

Kesenian dabus pada zahirnya bukanlah sebuah tarian bercorak hiburan semata-mata. Tetapi peranan dan sumbangannya di dalam mempertahankan kedaulatan dan mengangkat martabat bangsa adalah cukup besar dan bermakna sekali.

Perkembangan Kesenian Dabus Di Kuala Selangor

Secara amnya kesenian dabus telah diterima di Kuala Selangor sebagai salah satu daripada muzik tradisional yang kaya dan tinggi nilainya. Persembahan kesenian dabus telah diterima sebagai penyeri di setiap majlis rasmi kerajaan mahupun orang perseorangan. Kesenian dabus sering dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan, berkhatan, berendoi dan termasuk juga di majlis rasmi anjuran kerajaan seperti majlis sempena Pesta Tahun Melawat Selangor di Subang Parade, Rakaman RTM pada tahun 1996, Majlis Malam Senandung Seni, Citrawarna Selangor 2003, Pergendangan Selangor – Bulan Citrawarna 2003, Persembahan Muzik Etnik Sempena Keputeraan Sultan Pahang dan lain-lain lagi.

Dabus Dalam Adat Istiadat

Menurut Tuan Haji Zakaria, beliau bersama kumpulannya pernah mempersembahkan kesenian dabus di istana baginda Sultan Selangor sekitar tahun 70-an. Persembahan tersebut dilakukan di sebuah majlis istiadat kesultanan dan di atas titah baginda sendiri. Ini menunjukkan bahawa dabus ini merupakan satu kesenian yang diterima dalam sejarah Kesultanan Selangor sejak zaman berzaman.

Yang jelasnya, kesenian dabus dipersembahkan dalam adat istiadat Melayu seperti adapt perkahwinan, berkhatan, berendoi dan sebagainya. Dabus akan dimainkan sebagai tanda bahawa di rumah berkenaan sedang berlangsung sesuatu majlis dan sebagai tanda berkumpulnya sanak-saudara, ipar-lamai, kaum-kerabat, sahabat handai dari jauh dan dekat. Irama-irama yang bersesuaian dengan majlis yang dihadiri akan dimainkan. Selalunya kesenian dabus akan dimainkan sepanjang sehari suntuk iaitu dari pukul 8.00 pagi sehingga ke pukul 5.00 petang.

Kesimpulan

Dabus merupakan sebuah kesenian warisan bangsa yang terdapat di Kuala Selangor khususnya di Kampung Kuantan yang dibawa bersama-sama pedagang Arab ke Tanah Melayu suatu ketika dulu. Perkembangan dabus sejak kebelakangan ini telah mula mendapat perhatian yang sewajarnya terutama untuk persembahan di majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan juga perseorangan. Namun begitu, hanya generasi tua sahaja yang menggiatkan kesenian ini. Penerimaan generasi remaja, belia dan kanak-kanak masih lagi amat menyedihkan. Lantaran itu, usaha-usaha tertentu wajar dijalankan untuk memulihara kesenian ini dari terus pupus di mamah gelombang zaman.

Usaha-usaha yang wajar dijalankan untuk terus mengembangkan kesenian dabus ini kepada generasi baru berupa bengkel, seminar dan juga dijadikan aktiviti mingguan (ko-kurikulum di sekolah-sekolah). Di setiap sekolah perlu mempunyai sebuah kumpulan dabus (juga lain-lain kesenian seperti gordang sembilan, kompang Jawa, cempuling, gamelan, keroncong, dan sebagainya) di mana tenaga pengajarnya terdiri daripada penggiat yang sudah dikenal pasti oleh pihak kementerian.

Di samping itu kesenian ini juga wajar selalu diperkenalkan kepada khalayak ramai sama ada melalui media massa (radio, televisyen, akhbar, majalah, pamphlet dan sebagainya), sering dijemput untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis rasmi kerajaan (pusat, negeri, tempatan), perseorangan dan juga di festival-festival, pesta-pesta dan karnival-karnival anjuran pihak swasta.

1 ulasan:

  1. Salam saudara,

    Terima kasih untuk artikel/kajian yang menarik ini. Saya telah berjaya menambah pengetahuan dengan lebih mendalam tentang seni dabus melalui artikel ini.

    Hanya ingin berkongsi sedikit info, penerangan gambar yang pertama: "Wawancara dengan Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari tentang kesenian dabus di Kuala Selangor" perlu dibetulkan kerana Tuan Haji Zakaria @ Cikgu Zakaria tidak berada di dalam gambar.

    Terima kasih sekali lagi.

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA