SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
Suatu ketika dulu terdapat sebuah negeri yang besar serta aman makmur. Pemerintah pada waktu itu ialah Seri Nara Cempaka Jajar. Ramai puteri anak tawanan negeri tersebut tinggal di kota ini. Dalam puluhan puteri yang tinggal di kota tersebut, Raden Puspa Kencana anak Ratu di Tanjung Puri merupakan puteri yang sangat disayangi oleh Sang Nata dan Permaisuri. Parasnya seperti bidadari serta tingkah lakunya sopan, sempurna akal budi bicara tidak terbanding oleh sesiapa pun di dalam kota tersebut. Semasa umurnya 14 tahun, namanya ditukar kepada Ratu Ken Tambuhan. Rupa parasnya semakin jelita. Sesiapa yang melihatnya pasti akan tertawan.
Pada suatu malam Ken Tambuhan telah bermimpi bulan jatuh ke ribaannya. Cahayanya limpah ke seluruh badan serta pinggangnya dibelit naga. Puteri merasa bimbang akan mimpinya itu lalu berduka pada keesokkan harinya.
Ratu Pati merupakan Putera Kertapati yang sangat sempurna akal budi bicara. Putera berasal dari udara dan tidak bersaudara. Semasa umur 17 tahun baginda dibinakan istana yang lengkap dengan kemudahan dan perhiasan oleh ayah dan bondanya. Setelah melihat puteranya semakin membesar, permaisuri menyarankan hasrat hati kepada Raja Kertapati untuk mengahwinkan puteranya itu. Mendengarkan hal tersebut, Patih Khidmat memberitahu Permaisuri bahawa di Banjar Kulon terdapat seorang puteri yang cantik rupanya bak bidadari, lalu Raja Kertapati bersiap sedia untuk pergi meminang puteri tersebut.
Ketampanan Raden Inu membuatkan ramai anak gadis tergila-gilakannya. Sewaktu Raden Inu keluar berjalan-jalan, semua yang memandangnya akan hairan melihat ketampanannya itu.
Setelah lama berjalan sampailah Raden Inu pada satu taman iaitu taman Angsoka. Setibanya di situ hatinya berasa gembira lantas mengambil sumpitan untuk menangkap burung. Seekor burung serindit telah terkena sumpitan Raden Inu lalu jatuh hinggap pada tenunan Ken Tambuhan. Apabila ianya hendak ditangkap burung Serindit itu telah melompat lalu hinggap di sisi Ken Tambuhan. Wira Dani diarahkan untuk mencari burung tersebut dan semasa sedang mencari, dia ternampak burung itu berada pada seorang perempuan yang sangat cantik parasnya. Hal ini diberitahu pada Raden Inu. Raden Inu tertanya-tanya siapakah gerangannya lalu dipanggil pengawal pintu untuk bertanya sendiri. Setelah dibuka pintu , Raden Inu segera masuk ke dalam taman. Semua puteri yang ada di situ lari kecuali Ken Tambuhan. Apabila Ken Tambuhan cuba melarikan diri, tangannya segera dipegang oleh Raden Inu. Raden Inu terpegun melihat wajah Ken Tambuhan yang tiada tolok bandingnya itu. Ken Tambuhan merasa cemas apabila tangannya dipegang oleh Raden Inu kerana takut diketahui oleh Sang Nata akan kelakuannya itu.
Pertemuan di antara Raden Inu dan Ken Tambuhan membuatkan Raden Inu enggan pulang walaupun dirayu oleh Ken Tambuhan kerana hatinya sudah terpaut pada Ken Tambuhan. Pertemuan yang singkat itu membibitkan rasa cinta antara keduanya lalu Raden Inu mengambil keputusan untuk mengahwini Ken Tambuhan. Ken Tambuhan merasa takut dimurkai oleh permaisuri dan puteri asyik menangis lalu dipujuk dengan kata-kata manis serta pujuk rayu oleh Raden Inu. Betapa gembiranya Raden Inu akhirnya Ken Tambuhan sudah lembut hati dan kedua-duanya hidup sebagai suami isteri dengan bahagia.
Selang beberapa hari, permaisuri mula bertanya kenapa sudah lama Raden Inu tidak datang ke istana. Wira Dani dipanggil untuk bertanyakan hal ini. Dengan ketakutan Wira Dani memberitahu Raden Inu bersama Ken Tambuhan sedang beradu dalam istana. Permaisuri sangat murka kerana Raden Inu menolak calon isteri yang dicari olehnya. Permaisuri sangat marah dengan perkahwinan ini kerana Ken Tambuhan hanyalah seorang puteri tawanan.
Walaupun tidak diterima oleh permaisuri tetapi kehidupan Raden Inu dan Ken Tambuhan sentiasa dilimpahi cahaya kegembiraan. Sehari-hari mereka akan bersama tidak kira siang atau malam. Pada suatu malam, Raden Inu bermimpi Ken Tambuhan telah ditangkap oleh seekor harimau lalu dibawa ke dalam hutan dan terus ghaib. Raden Inu sangat terkejut lalu tersedar dan berasa lega apabila isterinya ada di sisi. Ken Tambuhan sangat sedih dan merasakan sesuatu yang buruk akan terjadi apabila mendengar suaminya menceritakan apa yang dimimpikannya itu.
Setelah beberapa hari tidak berjumpa ayahandanya, Raden Inu telah pergi berjumpa dengan ayahanda dan bondanya. Semasa Raden Inu berjumpa dengan bondanya, bondanya menyatakan hasratnya untuk makan daging hasil dari perburuan. Raden Inu tidak perasan akan niat buruk bondanya itu untuk memisahkan dirinya dengan Ken Tambuhan. Raden Inu bersetuju untuk pergi berburu pada keesokkan harinya.
Di istana Ken Tambuhan dikunjungi oleh para puteri. Pada masa inilah Ken Tambuhan meluahkan isi hatinya yang permaisuri tidak suka kepadanya dan tidak menerima dirinya sebagai menantu disebabkan dirinya seorang tawanan. Para puteri sangat sedih mendengar keluhan dari Ken Tambuhan yang sebenarnya menderita.
Setelah persiapan telah dibuat untuk berburu pada keesokan hari, Raden Inu pulang ke Istana untuk memberitahu Ken Tambuhan. Mendengar berita ini Ken Tambuhan sangat sedih kerana dirinya akan ditinggalkan. Setelah fajar terbit Raden Inu bersiap-siap untuk keluar berburu dengan iringan air mata daripada Ken Tambuhan. Di pertengahan jalan Raden Inu seakan mahu berpatah balik apabila sang Raden teringat kepada Ken Tambuhan yang setia menantinya di istana.
Sewaktu Ken Tambuhan ditinggalkan oleh Raden Inu untuk pergi berburu, bermulalah episod sedih dalam syair Ken Tambuhan. Tinggalah Ken Tambuhan dengan pencintaannya dengan ditemani oleh Ken Penglipur dan Ken Tadahan sebagai peneman setia. Ken Tambuhan sangat sedih mengenangkan nasib dirinya yang keseorangan di negeri orang tambahan pula dirinya tidak disukai oleh permaisuri.
Pada hari Raden Inu pergi berburu, tanpa pengetahuan Sang Nata permaisuri telah pergi ke istana tempat Ken Tambuhan tinggal. Semua puteri yang ada terkejut dengan kehadiran permaisuri tesebut kerana kedatangannya bagaikan orang yang dirasuk syaitan. Ken Tambuhan telah dipanggil untuk berjumpa dengan permaisuri. Dengan hati yang berdebar serta rasa sedih Ken Tambuhan berjumpa dengan permaisuri walaupun sang puteri sedar apa yang akan berlaku. Ken Tambuhan dimarahi permaisuri dengan kata-kata nista hinggakan Ken Tambuhan merasakan dirinya tersangat terhina dan malu. Sang puteri juga dikatakan sebagai perampas kerana Raden Inu pada masa itu sudah pun bertunang dengan puetri yang disukai oleh permaisuri.
Selepas menghina Ken Tambuhan, permaisuri masih lagi tidak berpuas hati lalu memanggil Pelebaya untuk membuang Ken Tambuhan ke dalam hutan serta membunuhnya. Keadaan ini menimbulkan rasa kasihan di kalangan para puteri terhadap Ken Tambuhan yang tidak bersalah. Tanpa mengetahui muslihat yang dirancangkan permaisuri dengan Pelebaya, Ken Tambuhan diajak untuk pergi mencari Raden Inu di hutan supaya pulang dengan segera kerana dikatakan bondanya sakit tenat. Ken Tambuhan bersama Ken Penglipur dan Ken Tadahan mengikut Pelebaya kerana disangkakannya pemergiannya itu betul-betul untuk mencari suaminya Raden Inu.
Dalam perjalanan, Ken Tambuhan tidak henti-henti berdoa agar dapat berjumpa dengan suaminya. Walaupun keletihan mereka meneruskan perjalanan hinggalah sampai pada suatu tempat di bawahnya terdapat sepohon angsana yang dipenuhi dengan kuntuman bunga yang pelbagai warna. Di situlah tempat mereka berhenti untuk berehat. Pada waktu inilah Pelebaya memberitahu bahawa kedatangan mereka bukanlah untuk mencari Raden Inu tetapi arahan permaisuri untuk membunuh Ken Tambuhan. Mendengar berita tersebut, Ken Tambuhan yang amat terkejut dan sedih kerana hasratnya tidak tercapai lalu sang puteri jatuh pengsan. Ken Tambuhan tidak menyangka permaisuri sanggup berbuat sedemikian terhadap dirinya. Pelebaya sangat sedih mendengar rintihan Ken Tambuhan mengenai nasib dirinya yang tidak disukai oleh permaisuri.
Mengingatkan hasrat permaisuri untuk menjadikan puteri dari Banjaran Kulon sebagai menantunya, Ken Tambuhan berasa teramat sedih. Sang puteri juga sering membandingkan dirinya dengan puteri dari Banjaran Kulon itu. Kedua pengikutnya amat bersedih dengan apa yang berlaku ke atas Ken Tambuhan sehinggakan sanggup mati bersama-sama.
Ken Tambuhan dapat merasakan ajalnya sudah sampai lalu menyuruh kedua pengikutnya pulang dan biarkan dia mati keseorangan. Sebelum meninggal, Ken Tambuhan sempat berpesan kepada pengikutnya supaya sampaikan sembahnya kepada Raden Inu dan selamat beroleh isteri. Kedua-dua pengikutnya itu tidak dapat menahan rasa sedihnya lalu menangis dengan sekuat-kuatnya. Ken Tambuhan juga berpesan kepada Pelebaya supaya menghanyutkan mayatnya di atas rakit dengan taburan bunga sena yang di campur atau diselang–seli dengan bunga cempaka dan bunga angsana. Palebaya dengan rasa berat hati telah menghunus keris panjang ke tengah-tengah dada terus menembusi belakang Ken Tambuhan dan Ken Tambuhan lalu jatuh perlahan-lahan. Kedua-dua pengikutnya tidak tahan melihat penyiksaan itu lalu menyuruh Pelebaya membunuh mereka berdua.. Sewaktu kematian Ken Tambuhan, wajahnya bertambah baik, paras rupanya seperti orang tidur dan bibirnya seperti orang sedang tersenyum. Pelebaya memenuhi pesanan Ken Tambuhan dengan membuat rakit bunga sena yang dihiasi dengan bunga cempaka dan angsana bagaikan sebuah singgahsana. Mayat Ken Tambuhan bersama Ken Penglipur dan Ken Tadahan diletakkan di atas rakit tersebut lalu dikayuh ke tengah halangan ( lautan).
Kematian Ken Tambuhan diratapi seisi alam. Selepas menjalankan tugasnya, Pelebaya segera pulang mengadap permaisuri untuk menceritakan apa yang telah berlaku. Mendengarkan berita daripada Pelebaya, permaisuri berasa amat gembira kerana hasratnya untuk membunuh Ken Tambuhan sudah tercapai. Pelebaya dikurniakan cincin, subang, gelang dan kain geringsing wayang. Pemberian ini menjadi tanda tanya kepada isteri Pelebaya setelah melihat barang-barang perhiasan yang cantik-cantik itu. Pelebaya menceritakan apa yang telah berlaku. Isterinya sangat terkejut dan merasa amat bimbang sekiranya peristiwa ini akan diketahui oleh Raden Inu.
Semasa dalam perburuan, Raden Inu amat hairan kerana tidak mendapat walau seekorpun binatang perburuan. Apabila masing-masing sudah penat, Raden Inu lalu mengambil keputusan untuk berehat di bawah pohon nagasari. Fikiran baginda pada masa ini hanyalah mengingati isterinya Ken Tambuhan. Semasa Raden Inu dan kedayannya sedang mandi, tiba-tiba mereka terlihat sebuah rakit bunga sena yang diselang bersama bunga angsana. Masing-masing memandangnya dengan perasaan yang amat pilu lalu disuruh oleh Raden Inu untuk mengambil rakit tersebut. Walau bagaimanapun rakit tersebut tidak dapat diambil oleh kedayan-kedayan Raden Inu. Semakin dihampiri semakin menjauh rakit tersebut. Raden Inu sendiri telah pergi untuk mengambil rakit tersebut. Pengikut-pengikutnya merasa hairan apabila rakit itu datang mendekati dengan sendirinya kepada Raden Inu.
Setelah mendapat rakit tersebut, berebut-rebutlah pengikut Raden Inu mengambil bunga sena dan bunga angsana. Mereka amat terkejut apabila melihat mayat Ken Tambuhan berada di rakit tersebut lalu diberitahu kepada Raden Inu. Raden Inu bagaikan hendak pengsan melihat mayat isteri yang dikasihi berada di atas rakit tersebut lalu mengambil dan meribanya. Dipeluk cium akan Ken Tambuhan. Raden Inu pengsan kerana tidak dapat menerima kematian isterinya dan amat kesal di atas perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Setelah sedar daripada pengsan Raden Inu terus meratapi kematian isterinya lantas mengambil keris menikam dadanya sendiri. Wira Dani amat terkejut tetapi tidak dapat diselamatkan lalu Raden rebah di sisi Ken Tambuhan.
Wira Dani menyuruh Wira Karta pulang untuk memberitahu berita sedih kepada Sang Nata. Apabila sampai di dalam kota semua orang terkejut melihat Wira Karta yang berlari-lari sambil menangis dan tidak memperdulikan pertanyaan orang. Setelah sampai di istana Wira Karta segera memberitahu kepada Sang Nata lalu baginda tidak sedarkan diri akibat terlalu terkejut dengan kematian anakandanya. Begitu juga dengan permaisuri yang jatuh pengsan apabila mendengar berita ini. Suasana di dalam kota menjadi pilu kerana rakyat mengetahui perbuatan ini adalah atas kehendak bondanya sendiri. Setelah sedar daripada pengsan, Sang Nata segera berlari untuk melihat anakandanya Raden Inu diikuti permaisuri serta seisi negeri. Permaisuri berpura-pura menyesal dengan apa yang terjadi tanpa memikirkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
Setelah sampai di tempat kejadian, Baginda segera mendapatkan Raden Inu lalu dipeluk cium anakandanya itu. Sekali lagi baginda jatuh pengsan kerana tidak dapat menahan kesedihan. Semua rakyat jelata turut sama menangis. Sang Nata amat marah apabila permaisuri yang datang untuk memeluk Raden Inu lalu ditamparnya permaisuri. Pelbagai kata nista yang dilemparkan kepada permaisuri di atas perbuatannya. Disuruhnya halau permaisuri kerana Sang Nata tidak dapat melihat wajah orang yang sekeji permaisuri. Sang Nata menjadi seperti orang gila kerana ayik memeluk Raden Inu. Pada keesokan harinya, para menteri mencadangkan supaya Sang Nata balik ke istana kerana sekiranya berada di hutan keadaan ini juga tidak berkesudahan. Baginda bersetuju lalu diusung mayat Raden Inu dan Ken Tambuhan diatas jempana yang betatahkan intan.
Permaisuri amat marah apabila Ken Tambuhan diletakkan sama dengan Raden Inu dan menyuruh supaya Ken Tambuhan ditinggalkan sahaja di dalam hutan. Permaisuri mengatakan Raden Inu mati disebabkan Ken Tambuhan. Baginda sangat murka dengan kata-kata permaisuri. Setelah sampai di istana, diletakkan mayat keduanya di atas singgahsana yang dibentangkan tirai kelambu ratna. Segala para puteri, anak-anak menteri dan bini menteri hulubalang disuruh duduk mengadap Raden Menteri. Permaisuri tidak dibenarkan masuk oleh Baginda. Dang Puspa Sari telah memberitahu bahawa Pelebaya telah membunuh Ken Tambuhan lalu disuruh mencari Pelebaya tersebut dan dibunuh beserta anak isterinya sekali. Rumah Pelebaya dibakar oleh Wira Karta, anak bininya dibawa mengadap Sang Nata. Sang Nata menitahkan dihukum sula Pelebaya serta anak bininya walaupun Pelebaya merayu dengan memohon ampun. Setelah selesai semuanya selesai, mayat Ken Tambuhan dan Raden Menteri telah dimasukkan ke dalam candi yang bertatahkan manikam dengan intan baiduri.
Keadaan negeri selepas kematian Raden Menteri dan Ken Tambuhan menjadi sunyi sepi. Rakyat jelata tidak segembira dahulu. Permaisuri juga asyik berendam air mata. Akibat dari perbuatannya itu permaisuri dihalau keluar dari istana dan dilucutkan pangkat permaisuri kepada pangkat yang hina, hartanya dirampas oleh sang raja.. Permaisuri amat menyesal di atas perbuatannya yang mengikut hawa nafsu syaitan. Akhirnya permaisuri menjadi kurus kering dan tinggal seperti orang yang dihinakan orang.
Raden Menteri dan Ken Tambuhan dihidupkan kembali oleh Dewa dari Keinderaan Genap empat puluh hari Sang Nata di dalam puri, hasratnya untuk menghidupkan Raden Menteri kembali belum terlaksana. Baginda tidak makan dan minum hanya meratapi anakandanya sahaja. Se mua dewa sangat kasihan melihatnya lalu Betara Guru menyuruh Betara Kala turun ke bumi untuk menghidupkan kembali kedua-duanya seperti dahulu. Untuk menghidupkan kembali Ken Tambuhan dan Raden Inu Betara Kala terpaksa mencari Kembang Gandapura Wangi di Taman Banjaran Sari. Betara Kala bertemu dengan Dewi Sugarba yang menyimpan kembang kononnya dikatakan sebagai air susunya. Mengingatkan kisah Raden Puspa Kencana dan Raden Inu, Dewi Sugarba berasa amat sedih, lalu diambil cembul Raden Baiduri dan diletakkan di atas dadanya. Dewi Sugarba tidak sedarkan diri dan pada masa itu dia merayu kepada Maharaja Dewana supaya menghidupkan Puspa Kencana. Setelah sedarkan diri, air susunya keluar sendiri dan menjadi kembang Gandapura Wangi lalu diserahkan kepada Betara Kala. Gandapura Wangi sangatlah sakti sehinggakan apa sahaja yang diingini pasti akan menjadi bahkan boleh menghidupkan semula orang yang telah mati. Betara keinderaan lalu turun ke dunia menuju negeri Kuripan.
Kehidupan Sang Nata tidak berubah iaitu meratapi kematian Raden Inu dan Ken Tambuhan. Keadaan di dalam negeri juga sama semuanya menjadi suram. Pada suatu malam ketika Sang Nata berangkat keluar dari puri, baginda terdengar satu suara yang ingin menghidupkan Raden Inu. Sang Nata segera menyembah pada suara tersebut dan merayu supaya menghidupkan segera puteranya itu. Betara Kala dengan segera memasuki candi diikuti dengan Sang Nata lalu dikeluarkan kembang Gandapuri yang harum baunya. Lalu diseru supaya Raden Inu hidup kembali. Tiba-tiba Raden Inu membukakan mata dan menggerakkan badannya. Begitu juga dengan Ken Tambuhan serta kedua pengikutnya iaitu Ken Tadahan dan Ken Penglipur. Setelah selamat menghidupkan kembali kedua-dua suami isteri itu Betara Kala ghaib seperti kilat.
Kehidupan di dalam negeri kembali ceria dengan kembalinya kedua suami isteri tersebut. Permaisuri telah kembali ke istana semula dan menceritakan apa yang telah terjadi pada dirinya sewaktu puteranya meninggal. Bagi menunjukkan rasa kesukaan, Baginda Sang Nata telah mengadakan keramaian di dalam negeri. Rakyat jelata sangat gembira mengadap Raden Menteri. Sang Nata menyuruh membuat pancapersada untuk puteranya dan Ken Tambuhan.
Kedua suami isteri ini amat gembira dapat hidup bersama kembali. Kemudian suami isteri ini menjalani upacara mandi bersiram. Selepas itu keduanya diarak mengelilingi negeri. Pada masa yang sama Ken Tambuhan rupa-rupanya berdendam dengan permaisuri di atas apa yang telah dibuat oleh permaisuri ke atas dirinya.
Setelah mengelilingi negeri, keduanya ini dihidangkan dengan santapan serta sirih pinang. Setelah semuanya dimakan, Sang Nata menyatakan untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Raden Menteri kerana itulah satu-satunya putera baginda. Berita ini diterima oleh Raden Menteri dengan hati yang terbuka. Walaupun begitu, dengan sedih Ken Tambuhan mengatakan dirinya tidak patut disembah kerana dia merupakan orang tawanan. Raden Menteri sangat kasihan melihat isterinya yang sangat merendah diri. Sang Nata memujuk Ken Tambuhan dengan kata-kata manis sehinggakan Ken Tambuhan kasihan mendengarnya. Manakala Raden Menteri telah pengsan setelah mendegar rintihan isterinya itu. Raden Inu teramat kasihkan Ken Tambuhan apabila dia tersedar dari pengsan kepalanya diriba oleh Ken Tambuhan.
Setelah berpisah selama 13 tahun dengan puteri Raden Puspa Kencana, kehidupan baginda suami isteri sentiasa diseliputi kedukaan. Fikiran baginda hanyalah untuk mencari anakandanya untuk melepaskan rindu. Siang dan malam perasaannya gundah gulana bila teringatkan anakandanya. Semasa baginda duduk termenung mengenangkan puteri baginda, tiba-tiba patih membawa berita bahawa puterinya masih hidup dan telah dikahwinkan dengan Raden Menteri di negeri Kuripan. Betapa gembiranya baginda mendengar berita tersebut dan menitahkan membuat persiapan dengan segera untuk berangkat ke negeri Kuripan. Setelah persiapan dibuat, baginda bersama permaisuri serta menteri berangkat ke negeri Kuripan dengan segala bunyi-bunyian. Apabila sampai di negeri Kuripan baginda bersama pengikut telah berhenti di luar hutan. Kedatangan Ratu Banjar Kulon diketahui oleh Raden Menteri lalu diperintahkan untuk melihat raja dari negeri mana yang datang. Setelah dilihat, tahulah Raden Menteri bahawa ayah dan bonda puteri Ken Tambuhan yang datang untuk mencari anaknya.
Raden Menteri telah memberitahu kepada Ken Tambuhan tentang kedatangan ayah dan bondanya. Ken Tambuhan berasa sangat sedih kerana sudah lama dia tidak berjumpa dengan ayah dan bondanya. Bagi Raden Menteri pula kedatangan Ratu Banjar Kulon adalah untuk memisahkan dirinya dengan Ken Tambuhan. Di sini berlakulah episod sedih menggambarkan kesedihan Raden Menteri.
Setelah menyatakan kesedihan hatinya kepada Ken Tambuhan, Raden Menteri segera berangkat untuk berjumpa dengan Ratu Banjar Kulon. Setibanya Raden Menteri, ayahandanya merasa hairan dengan ketampanan rupa paras Raden Menteri. Disangkanya dewa dari kayangan. Dipeluk cium Raden Menteri oleh ayahandanya sehinggakan menteri yang berada di situ berasa sedih melihat perlakuan kedua-dua beranak itu. Kemudiannya Raden Menteri dibawa untuk berjumpa dengan bondanya. Permaisuri juga merasa hairan apabila melihat wajah Raden Inu. Dilihatnya sekeliling tetapi bayang Ken Tambuhan tidak kelihatan. Permaisuri ingin sekali berjumpa dengan anakandanya lalu berangkat ke istana. Di istana permaisuri telah berjumpa dengan Ken Tambuhan lalu dipeluk ciumnya anakandanya yang sudah lama tidak berjumpa. Kedua-dua beranak ini saling berpelukan sambil menangis sehinggakan permaisuri jatuh pengsan. Ken Penglipur dan Ken Tadahan menyiram air mawar lalu tersedar kembali. Semua isi istana merasa kasihan melihat kelakuan dua beranak ini.
Sesudah masing-masing meratapi kesedihan, baginda Sang Nata telah mengajak semua yang ada untuk berbincang tentang negerinya. Baginda telah melantik Raden Menteri menggantikannya dan Ken Tambuhan menjadi permaisuri. Berita ini amat disukai oleh seisi istana. Setelah dipersetujui, keramaian telah diadakan. Pelbagai acara seperti tari menari, makan dan minum serta segala menteri antara kedua negeri iaitu negeri Daha dan Kuripan mengadu kepandaian masing-masing. Setelah mengadakan keramaian selama 40 hari, disuruh pula oleh baginda supaya menghiasi Raden Menteri dan Ken Tambuhan untuk diarak ke sekeliling negeri.
Kedua-duanya dihiasi penuh dengan hiasan dari atas hinggalah ke bawah. Kedua-duanya sama cantik dan sama padan. Setelah kedua-duanya selesai berhias, masing-masing diiirngi oleh anak perdana menteri keliling negeri. Setelah sampai di paseban, kedua laki isteri dijemput naik ke takhta bagi menjawat jawatan sebagai pemerintah. Rakyat jelata sangat gembira dengan pelantikan tersebut. Setelah semuanya selesai, Ratu Banjar Kulon menyatakan hasratnya untuk kembali ke negerinya. Mendengarkan berita itu, Ken Tambuhan berasa sangat sedih kerana hendak ditinggalkan sekali lagi oleh ayah dan bondanya. Sebelum meninggalkan negeri Kuripan, Ratu Banjar Kulon telah memberi sedekah kepada rakayat jelata. Keesokan harinya, berangkatlah Ratu Banjar Kulon pulang ke negerinya dengan bunyi-bunyian serta diadakan keramaian untuk meraikan kepulangannya.
Sewaktu hendak berpisah dengan Ken Tambuhan, permaisuri tidak dapat menahan kesedihan sehinggakan dirinya pengsan. Lalu disirami dengan air mawar. Kedua-dua beranak ini saling berpelukan seperti tidak mahu berpisah lagi. Begitu juga dengan Ken Tambuhan yang pengsan di ribaan suaminya. Setelah semuanya selesai, Ken Tambuhan dan Raden Menteri dipanggil untuk mengadap ayahanda dan bondanya. Pada waktu inilah semua rakyat jelata dan penggawa diserahkan kepada Raden Menteri. Setelah perjalanan mereka sampai di Kuripan, Raden Menteri telah memegang jawatan yang sah sebagai pemerintah dan tinggallah kedua suami isteri ini dengan penuh kasih sayang.
Puteri Ken Tambuhan sudah pun hamil. Permaisuri telah mengidam untuk makan buah pauh janggi. Segala menteri diperintahkan untuk mencari pauh tersebut tapi tidak berhasil. Segenap negeri telah dikunjungi semata-mata untuk mencari pauh tersebut. Baginda sangat bimbang akan kesihatan permaisuri yang tidak mahu makan . Setelah semua yang dicari oleh menteri serta penggawa tidak berhasil, Raden ingin mencari sendiri pauh janggi tersebut. Pada masa yang sama, patih telah membawa khabar bahawa pauh janggi terdapat di sebuah tasik tetapi terlalu sukat untuk diambil. Mendengarkan berita itu, Raden sangat susah hati lalu menceritakan kepada Ken Tambuhan.
Pada keesokan harinya, Raden Menteri telah berangkat untk pergi mencari buah pauh janggi buat isterinya. Dipujuk isterinya supaya jangan bersedih ketika ketiadaan baginda dan berjanji untuk pulang segera setelah memperoleh apa yang dicari. Semasa dalam perjalanan, Raden Menteri singgah di peseban ayah dan bondanya lalu berpesan kepada keduanya supaya menjaga Ken Tambuhan sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini. Ayah dan bondanya tidak mahu Raden Menteri pergi tetapi baginda berkeras untuk mendapatkan apa yang dihajati oleh Ken Tambuhan.
Raden Menteri telah meneruskan perjalanannya dan setelah sampai di pertengahan jalan, baginda telah berhenti untuk menghilangkan penat. Sedang berehat-rehat, terdengarlah Raden Menteri ayam di hutan berkokok bersahutan seperti orang menegur Seri Pangeran. Raden menteri berasa gundah di hati. Dengan tiba-tiba sahaja Raden Inu teringatkan Ken Tambuhan dan ingin segera mendapat buah pauh janggi supaya dapat kembali secapat mungkin.
Sebenarnya pohon pauh janggi susah untuk mendapatkannya kerana telah dijaga oleh raksasa geroda pahlawan. Raksasa ini adalah dewa dewana yang telah disumpah oleh Seri Keinderaan. Naga-naga yang terdapat di sini sangat kuat sehinggakan binatang-binatang lain tidak berani mendekatinya. Pada suatu malam Pengeran telah bermimpi disirami air geliga. Hari menjadi gelap-gelita dengan tiba-tiba, datang dewata bersama dengan raksasa dan geroda. Apabila rakyat jelata mendengar akan kisah Pangeran tersebut, semuanya amat terkejut kerana kemungkinan benda yang tidak elok akan berlaku. Suasana menjadi pilu disertai dengan tangisan penggawa menteri, manakala rakyat menteri penggawa semuanya telah binasa dimakan bota raksasa. Semua mereka ini dimasukkan di kandang besi dan diserahkan kunci kepada Puteri yang ketujuh iaitu Puteri Kesuma Seri. Puteri ketujuh amat berminat untuk mengetahui apa yang terdapat di dalam kandang besi itu sehinggakan ia menjadi terlalu rahsia. Mereka telah mencari akal untuk keluar dari penjara tersebut.
Di istana, permaisuri sentiasa ditemani puteri-puteri yang selalu menghiburkan hatinya. Pada waktu itu juga permaisuri sakit hendak melahirkan puteranya. Walaupun Raden Menteri tidak ada di sisi, permaisuri telah melahirkan seorang putera. Putera dinamai oleh nindanya sebagai Raden Cahaya Negeri. Rupanya sangat elok sehinggakan cahayanya menerangi seluruh puri. Dia sangat disayangi oleh Sang Nata dan sekalian isi istana.
Raden Cahaya Negeri semakin membesar. Segala kasih sayang tertumpah kepadanya. Dia tidak berasa sunyi kerana sentiasa ada orang yang bermain dengannya. Walaupun begitu, Raden Cahaya Negeri terdengar semua orang berkata bahawa dia tidak mempunyai bapa lalu dia segera bertanyakan bondanya. Bondanya amat sedih dengan pertanyaan puteranya itu lalu berkata bahawa nendanya itulah bapanya.
Raden tidak berpuas hati dengan jawapan bondanya lalu bertanyakan pula seluruh istana di manakah bapanya. Semua orang menitiskan air mata dengan pertanyaan itu. Raden telah pergi berjumpa nindanya Sang Nata suami isteri dan bertanya tentang bapanya. Sang Nata suami isteri amat sedih melihatkan cucundanya itu. Sang Nata suami isteri telah memberitahu cucunya itu bahawa Raden Menteri telah membawa diri supaya baginda suami isteri dapat menduduki takhta itu lagi. Raden Cahaya Negeri amat sedih dan kesal dengan sikap ayahandanya itu.
Raden berfikir sendirian untuk pergi mencari ayahandanya. Untuk mengaburi mata bondanya, Raden Cahaya Negeri sentiasa kelihatan gembira walaupun hatinya masih lagi sedih mengenangkan ayahandanya. Sesudah makan bersama-sama bonda serta puteri, dia dimandikan oleh dayang-dayang lalu dikenakan pakaian yang begitu cantik. Terserlahlah paras rupa yang sangat indah.
Umur Raden sudah pun 7 tahun. Pada masa inilah dia hendak pergi mencari ayahandanya. Pada suatu malam ketika semua orang termasuk nenda dan bondanya sedang tidur, dia bangun lalu berjalan keluar kota diikuti oleh tujuh orang kedayan. Dalam perjalanan pelbagai bunyi isi hutan seolah-oleh menegur perjalanan Raden. Sesampainya di tengah-tengah hutan, dia serta kedayannya berhenti untuk menghilangkan penat lalu tertidur. Dengan tiba-tiba datang dewata seperti intan permata. Berlakulah episod tikam-menikam seperti perang besar. Setelah semuanya dipancung tinggalah Raden seorang diri. Tiba-tiba dia terdengar satu suara yang menyuruhnya meneruskan perjalanan dengan segera untuk menyelamatkan ayahandanya yang sudah lama berada dalam penjara. Barulah Raden mengetahui bahawa ayahandanya dipenjarakan oleh raksasa geroda ketika pergi mencari buah pauh janggi untuk bondanya. Setelah diberitahu tempat ayahandannya dipenjara iaitu di sebelah wetan, dewata telah memberikan kesaktiannya kepada Raden lalu berangkat bersama-sama meneruskan perjalanan. Perjalanan diteruskan ke sebelah wetan.
Setelah hari siang, inang pengasuh Raden Cahaya Negeri amat terkejut apabila dia membuka kelambu tempat Raden tidur, Raden tidak ada di situ. Berita kehilangan Raden diberitahu kepada Permaisuri. Permaisuri sangat bimbangkan puteranya sehinggakan dirinya jatuh pengsan. Seluruh isi istana meratapi kehilangan Raden. Setelah diketahui oleh Sang Nata, segeralah banginda pergi ke istana lalu jatuh pengsan. Gemparlah seisi negeri tentang kehilangan Raden Cahaya Negeri lalu dikerahkan seluruh hulubalang untuk mencari Raden. Tentera di Daha juga dikerahkan untuk mencari. Berita ini sudah sampai kepada pengetahuan Ratu Daha. Permaisuri amat sedih bila mendengar berita Raden tidak juga ditemui walaupun dicari hingga di dalam hutan. Lalu Raden Cahaya Kemala menyatakan hasrat kepada ayahandanya untuk pergi mencari puteranya Raden Cahaya Negeri. Setelah kelengkapan sudah siap segeralah ia berjalan diiringi kedayan.
Sementara itu, Raden telah pun sampai ke sebelah wetan lalu berhenti di bawah pokok rambutan. Sedang berehat-rehat, Raden telah terpandang pohon laksana bota yang sangat indah dengan bunyi-bunyian. Kemudian dia terpandang pula puteri Rajaksa. Wajahnya berseri gilang-gemilang lebih dari Sugarba Kesuma. Raden melihat pula ke kiri dan dilihatnya terdapat banyak bangkai yang tidak diketahui sama ada bangkai ratu, dewa atau peri. Raden teringatkan kata-kata dewata supaya menjaga pemandangan mata lalu meneruskan perjalanan dan terlepaslah dia daripada puteri Rajaksa. Semasa dalam perjalanan Raden telah sampai ke padang saujana yang sangat indah tempatnya. Tiba-tiba ular yang amat besar datang menyerang. Disuruh kedayannya pulang untuk menyelamatkan diri tetapi kedayannya enggan pulang kerana ingin hidup dan mati bersama Raden.
Melihatkan ular yang sebesar gunung, Raden berasa hidup akan berakhir di situ sahaja. Mengenangkan itu, Raden meratapi nasibnya yang mencari ayahanda.
Raden serta kedayannya segera bermuafakat untuk menentang binatang-binatang tersebut. Ular datang sambil menggigit dengan gajah yang datang menghimpit. Setelah melihat Raden berada dalam bahaya, kedayan segera melompat dan menghunuskan keris menikam binatang tersebut. Kedayan dan ta wira perwari membantu Raden dengan amukannya yang menggila. Melihatkan keadaan itu, Raden menjadi murka lalu mengamuk sehinggakan habis ular dan kala dicincangnya. Kala pulang untuk memberitahu raksasa yang menjaga pintu bahawa ada musuh yang gagah berani di luar pintu. Geroda sangat marah mendengarkan berita itu lalu mengumpulkan tentera binatangnya untuk menentang Raden. Walaupun beribu jenis binatang yang datang menyerang, Raden tetap dapat menewaskannya dengan sehari-hari memarang binatang-binatang tersebut tanpa memandang kiri dan kanan.
Pencarian Raden Cahaya Negara diteruskan oleh Raden Cahaya Kemala. Setibanya di suatu tempat didengarnya bunyi yang amat riuh .Segera dihampirinya dan melihat terdapat satu pedang tetapi orang dan musuh tidak kelihatan. Setelah diamati Raden melihat ada orang berdiri di sana lalu menghampirinya. Setelah ditanyai asal usul dan tujuan Raden Cahaya Negeri berada di situ, diketahui oleh Raden Cahaya Kemala bahawa itulah putera Kuripan yang hilang lalu diperkenalkan dirinya Putera di benua Daha. Kedua-duanya saling bertangisan dan berpeluk-pelukan.
Belum habis kedua-duanya melepaskan rindu, kedayan datang memberitahu bahawa banyak raksasa datang untuk menyerang mereka. Kedua-dua Raden tersebut telah melawan raksasa tersebut bersama-sama kedayannya. Banyak raksasa yang mati dengan amukan kedayan-kedayannya. Sesudah berperang selama 7 bulan, Kedua-dua Raden merasa hairan apabila binatang-binatang di hutan semakin bertambah seperti kera, tikus, babi dan lipan.
Raden Cahaya Negeri telah bermimpi sebutir bintang telah jatuh dan cahayanya sangat cemerlang. Lalu dia bertanyakan kepada kedayannya. Dengan tersenyum kedayan mengatakan sekiranya Raden ingin mencari isteri, puterinya anak geroda Syah Peri. Raden Cahaya Negeri telah mengajak kedayannya untuk melihat kembang kuntum kerana dia juga sememangnya telah berkenan. Raden telah pergi bermain ke Taman Bajaran Sari dengan menyamar sebagai lalat dan kumbang untuk mengambil kembang pauh janggi.
Sesampainya di Banjaran Sari dilihatnya tujuh orang puteri geroda Syah Peri berada di situ. Raden mendengar Puteri Ken Mawi menceritakan tentang dirinya yang sedang mencari ayahandanya. Puteri Ken Mawi menceritakan kepada puteri yang lain tentang kebaikan rupa parasnya seperti Sang Rajuna. Raden Cahaya Negeri berasa sedih mendengar rintihan puteri-puteri itu yang meratapi nasibnya sebagai orang tawanan.
Puteri merasa hairan melihat seekor lalat yang hinggap di tangannya lalu ditepis lalu hinggap pula ia di pinggang. Kelakuannya seperti orang. Warnanya sangat berseri membuatkan puteri menjadi hairan. Setelah hari gelap, semua puteri masuk ke peraduan untuk tidur. Lalat itu menukarkan dirinya kembali menjadi Raden Cahaya Negeri lalu masuk ke bilik puteri Kencana Seri. Puteri terkejut lalu membuka matanya dan melihat Raden telah berada di sebelahnya. Dengan perasaan marah puteri bertanya siapakah gerangannya.
Raden dengan sedihnya memujuk puteri Kencana Seri dengan meratapi nasib dirinya berada di tempat orang. Puteri Kencana Seri amat sedih mendengar rintihan Raden lalu diberinya sepah. Sesudah menjadi isteri kepada Raden, puteri diceritakan tentang ayahandanya yang berada dalam penjara besi. Mendengarkan kisah itu, puteri Kencana Seri memujuk Raden supaya jangan bersedih kerana kunci itu ada padanya.
Pada keesokan harinya, Raden ingin pulang lalu bersedihlah puteri Kencana Seri. Dipujuknya oleh Raden sambul memberikan cincin kepada puteri dan berjanji sekiranya nyawanya masih ada, dia akan kembali kepada puteri Kencana Seri. Dalam kesedihan kerana hendak ditinggalkan, Puteri Kencana Seri sempat berpesan kepada Raden supaya berhati-hati kerana di sana terdapat banyak haiwan yang pelbagai rupa dan bijaksana. Dipeluk isterinya itu sebelum berangkat.
Setelah pulang lalu berjumpa dengan Seri Kembang dan segeralah mereka terbang ke istana. Di padang saujana Raden menjatuhkan sebentuk cincin dari jarinya lalu menjadi sebuah negeri lengkap dengan balairung seri serta rakyat jelata. Setelah lengkap dengan alatan negeri, Raden berhasrat untuk meneruskan pencarian ayahandanya. Raden mengerling tiga orang lalu menjadikan dirinya kumbang lalu masuk membuka pintu kota batu. Setelah dibuka Raden merasa hairan kerana yang ada hanyalah ayahandanya lalu hendak dibawa keluar. Suasana di dalam menjadi riuh rendah lalu didengar oleh penunggu pintu. Setelah mengetahui Raden yang berada di dalam, penunggu pintu memanggil raksasa serta hulubalang untuk menyerang Raden.
Raden Cahaya Negeri gagal untuk ditangkap lalu ratu dan menteri yang berada dalam penjara besi itu semuanya dikeluarkan. Ratu Anom Bestari mengamuk untuk menangkap Raden namun tidak berjaya. Walaupun Raden seorang diri namun dia berjaya memarang beribu-ribu raksasa sehinggakan darah mengalir dengan banyaknya. Setelah petang baharulah peperangan tamat. Segeralah Raden pulang untuk melihat ayahandanya. Dilihatnya ayahandanya masih lagi tidak sedarkan diri lalu menangis dan terus pengsan. Semua orang merasa kasihan melihatkan kelakuan Cahaya Negeri lalu disirami air mawar. Setelah sedar dari pengsan, didengarnya sorak yang tidak terhingga oleh geroda Syah Peri lalu diambilnya pedang dan segala kelengkapan untuk bertarung dengan geroda Syah Peri. Kedua-dua Raden telah menentang habis-habisan musuh yang datang menyerang. Raden teringat akan pesan tuan puteri di mana tempatnya kematian geroda Syah Peri. Lalu Raden seperti mendapat kudrat yang baru dan akhirnya dapat memancung kepala geroda Syah Peri. Semua orang kehairanan melihat kejadian itu.
Setelah selesai peperangan geroda Syah Peri telah pulang menjadi dewa. Dimintanya Seri Keinderaan menghidupkan Raden Menteri supaya hilang rawan di hati. Raden Menteri dihidupkan kembali dan selamat berada dalam kerajaan. Sementara Raden dengan gembiranya pergi menemui isterinya yang lama ditinggalkan. Melihatkan kedatangan Raden Cahaya Negeri, isterinya berasa sangat gembira. Setelah bertemu, diajaknya puteri berjumpa dengan ayahandanya di luar kota. Raden Menteri sangat sedih mengenangkan nasib anakandanya yang membesar dalam hutan semata-mata untuk mencari baginda.
Apabila semuanya sudah selesai Raden Menteri menitahkan supaya bersiap-siap termasuk ketujuh-tujuh puteri untuk pulang ke Kuripan menemui ayahanda dan bonda. Perjalanan diteruskan menuju ke Kuripan dan setelah sampai di Kuripan baginda telah menjadi pemerintah kerajaan dan hidup bahagia bersama isteri. Sang Nata Daha juga berada di situ dan selalu berada di samping anakandanya Ken Tambuhan serta Ken Penglipur dan Ken Tadahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan