Ahad, 28 November 2010

Mari Kita Berbincang

SMAHADZIR

Dalam tulisan ringkas ini saya ingin memetik perkataan Imam as-Syahid Hassan al-Banna dalam risalah Qadiyytuna, iaitu risalah terakhir yang ditulis olehnya sebelum beliau dibunuh:

“Oleh kerana ini (perkembangan yang berlaku ketika ini) adalah sebahagian daripada kewajiban (ke atas kami) bagi mempertengahkan penjelasan ini untuk persepsi umum rakyat Mesir, bangsa Arab, penganut Islam dan damir insani yang sejagat sehingga tidak berlaku kesalahan dan kezaliman dalam menentukan hukuman, serta tidak berhukum hanya dengan mendengar dari satu pihak. Telah dikatakan orang apabila engkau didatangi oleh seorang yang berkelahi dengan matanya yang tercungkil keluar, jangan engkau memutuskan hukuman sehingga engkau melihat lawannya, mungkin kedua-dua mata lawannya itu telah dicungkil keluar.”

Daripada petikan Hassan al-Banna itu, begitu jugalah perkembangan yang berlaku dalam masyarakat kita mutakhir ini. Pelbagai kenyataan dikeluarkan dan dibincangkan, terdapat beberapa tindakan yang telah diambil dan terdapat pula tindak-balasnya. Oleh itu sudah sampai masanya kita membincangkan tajuk sepenting ini dengan niat mencari keredaan Allah s.w.t, mencari kebenaran dan tidak mengambil sikap berkeras walaupun berdiri tanpa sokongan nas-nas dan kemunasabahan akal yang sempurna.

Semoga perbincangan ini disejahterakan Allah s.w.t daripada sekadar dijadikan agenda untuk memenuhi tujuan yang telah ditentukan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, atau dijadikan peluncur dan landasan bagi mengiyakan sesuatu yang tidak berumbi-tunjangkan Islam.

Oleh itu marilah kita berbincang untuk menjelaskan persepsi sebagai rakyat Malaysia, bangsa Melayu, beragama Islam, benar dalam fahaman dan pengucapan kita ini, kita bersyukur, Alhamdulillah. Dan sekiranya kita salah dan tergelincir, kita mohon diampunkan Allah s.w.t serta dibetulkan kesalahan dan kegelinciran kita oleh mereka yang mempunyai mata-hati. Kepada Allah s.w.t kita berserah.

Pendek kata, isu bangsa Melayu Islam ini akan terus dicari titik nokhtahnya. Dalam masa orang Melayu bercelaru, berpecah tujuh dan semakin hilang identiti dan kuasa - semua pihak termasuk kita semua harus mencari jawapannya. Harapan umat Melayu Islam, para pemimpin kita akan mengambil semula semangat dan roh ideolog Asri-Razak untuk menemukan semula titik yang hilang itu. Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA