Isnin, 8 November 2010

Sekaleng Air Pada Hari Raya

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

DI WILAYAH NUSANTARA, Hari Raya Aidilfitri disambut lebih meriah daripada Hari Raya Aidiladha. Keadaan ini termasuklah di negara kita Malaysia. Di kampung saya khususnya, selain daripada budaya pelita, banyak lagi budaya Melayu yang unik dan memaparkan budaya hidup bermasyarakat orang Melayu yang penuh muafakat. Namun sambutan Hari Raya Aidilfitri berbeza di kebanyakan tempat, bergantung pada latar budaya masyarakat itu.

Di Pulau Penyengat, sambutan Hari Raya Aidilfitri memang meriah. Kanak-kanak adalah insan yang paling seronok kerana itulah masanya mereka dapat berkeliling berkunjung dari satu rumah ke satu rumah.Walaupun kebanyakan penduduk Pulau Penyengat tidak begitu berkemampuan, mereka sedaya upaya cuba menceriakan hati kanak-kanak yang berkunjung pada hari raya. Ada tuan rumah yang tidak mampu memberi zakat wang kepada kanak-kanak yang berkunjung.Namun zakat itu digantikan dengan ‘sekaleng air minuman’ yang bermaksud, air minuman dalam tin. Jika kita berkunjung di sana semasa musim raya, pemandangan kanak-kanak berjalan raya dengan memikul beg plastik berisi kaleng-kaleng air adalah pemandangan yang biasa. Walaupun bukan ‘kaya wang’ tetapi ‘kaya air minuman dalam tin’, kanak-kanak di sana tetap ceria dan bergembira.

Antara budaya unik lain yang diamalkan oleh masyarakat di Pulau Penyengat adalah ‘Acara Makan Ketupat Beramai-ramai’. Saya berkesempatan menyertai acara ini beberapa tahun lalu. Pengalaman menyertai Acara Makan Ketupat Beramai-ramai ini membuka mata saya tentang sikap masyarakat Pulau Penyengat yang saling bekerjasama dan muafakat dalam segala hal. Hubungan silaturrahim antara masyarakat menjadi lebih utuh kerana mereka dapat makan bersama beramai-ramai sambil mengambil kesempatan untuk bermaafan dan bertanya khabar. Acara Makan Ketupat Beramai-ramai ini turut diserikan dengan bacaan Al-Quran, nyanyian nasyid, tarian Melayu dan deklamasi puisi.

Makanan yang dihidangkan pula diatur panjang di atas meja dan kebanyakan lauk pauk tidak menggunakan pinggan mangkuk kertas tetapi daun-daun yang dibungkus rapi sehingga dapat berfungsi sebagai bekas makanan. Saya dapat merasa ketupat dan nasi himpit yang lembut berlaukkan rendang dan sambal goreng yang lazat. Saya juga sempat menjamah laksa bermangkukkan daun. Budaya makan berbekaskan daun menunjukkan bahawa masyarakat di situ sangat bijak dan ekonomis kerana tidak perlu mencuci pinggan mangkuk dan tidak perlu membeli pinggan plastik.

Pelbagai kuih muih tradisional yang tak pernah saya tahu kewujudannya, dihidangkan di situ. Penduduk di situ juga ramah menjelaskan pada saya nama lauk pauk yang terhidang. Mereka mengatakan bahawa sehari sebelum itu, setiap keluarga secara sukarela akan menganyam dan memasak ketupat mengikut jumlah yang telah dijanjikan. Ada keluarga yang memasak 200 biji ketupat dan ada yang hanya memasak 100 biji ketupat, semuanya bergantung pada kemampuan masing-masing.

Di Pontian Kecil Johor pula, masyarakat di situ saling berpakat untuk memasak lauk pauk pada bulan Ramadhan dan menghantarnya ke masjid serta rumah-rumah jiran tetangga. Masakannya pula rencam dan tidak sama bagi setiap rumah (keluarga). Sebagai contoh, jikalau rumah pertama memasak lauk ayam masak merah, rumah yang kedua akan memasak gulai lemak, rumah ketiga akan memasak nasi, rumah keempat akan memasak rendang daging dan rumah kelima akan memasak dalca. Begitulah mereka bergilir-gilir, lima rumah yang memasak setiap hari.

Suasana tambah meriah pada malam raya apabila semua rumah akan memasak lauk pauk yang lazat dan kemudian menghantar kepada jiran tetangga. Hantaran makanan akan dilakukan dengan menunggang basikal atau motosikal. Suasana begitu ceria kerana penduduk akan menanti kedatangan ‘penghantar makanan’ yang selalunya merupakan anak cucu jiran tetangga yang sudah lama berada di luar kampung tetapi pulang pada musim raya. Penduduk juga seronok dapat merasa masakan yang berbeza.

Walaupun Hari Raya Aidilfitri disambut dengan cara yang berbeza di kebanyakan tempat, namun ada satu persamaan yang nyata. Hari Raya adalah hari untuk merayakan kemenangan kerana telah berjaya mengawal hawa nafsu bulan Ramadhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA