SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
DI ANTARA fenomena yang disedari oleh sebahagian pengkaji teori-teori politik secara umum, adalah adanya hubungan yang erat antara timbulnya pemikiran-pemikiran politik dengan perkembangan kejadian-kejadian sejarah. Jika fenomena itu benar bagi suatu jenis atau madzhab pemikiran tertentu, dalam apa pun bidang pemikiran, perkara itu bagi pertumbuhan dan perkembangan teori-teori politik Islam amatlah jelas benarnya. Teori-teori ini - terutama pada fasa-fasa pertumbuhan pertamanya - berkaitan erat dengan kejadian-kejadian sejarah Islam.
Hingga perkara itu harus dilihat seakan-akan keduanya adalah seperti dua sisi dari satu mata wang. Atau dua bahagian yang saling melengkapi satu sama lain. Sifat hubungan di antara keduanya berubah-ubah: kadang-kadang pemikiran-pemikiran itu jelas menjadi penggerak terjadinya berbagai kejadian, dan kadang-kadang pula kejadian-kejadian itu menjadi pendorong atau rahim yang melahirkan pendapat-pendapat.
Kadang-kadang suatu teori hanyalah sebuah bias dari kejadian yang berlangsung pada masa lalu. Atau suatu kesimpulan yang dihasilkan melalui perenungan atas suatu pendapat yang telah diakui pada masa sebelumnya. Atau boleh juga hubungan itu berbentuk lain.
Kerana adanya hubungan antara dua segi ini, segi teoretis dan realistik, maka jelaslah masing-masing dari kedua perkara itu tidak dapat difahami tanpa kewujudan yang lain. Kaedah terbaik untuk mempelajari teori-teori ini adalah dengan mengkajinya sambil diiringi dengan realiti-realiti sejarah yang berkaitan dengannya. Secara berurutan sesuai dengan fasa-fasa perkembangan sejarahnya - yang sekaligus merupakan runtutan alami dan logiknya. Sehingga boleh difahami hakikat hubungan yang mengkaitkan antara dua segi, dapat memperjelaskan pendapat-pendapat, dan dapat menunjukkan bumi yang menjadi tempat tumbuhnya masing-masing pemikiran hingga berbuah, dan mencapai kematangannya. Inilah kaedah yang akan penulis gunakan.
Era Kenabian
Era ini merupakan era pertama dalam sejarah Islam iaitu dimulai semenjak Rasulullah s.a.w. mula berdakwah mengajak manusia menyembah Allah s.w.t. hingga kewafatan baginda. Era ini paling baik jika kita namakan sebagai era ‘kenabian’ atau ‘wahyu.’ Kerana era itu memiliki sifat tertentu yang membezakannya dari era-era yang lain. Ia merupakan era ideal yang padanya ideal-ideal Islam wujud dengan sempurna.
Era ini terbahagi kepada dua masa, yang keduanya dipisahkan oleh hijrah. Kedua fasa itu tidak memiliki perbezaan dan kelainan satu sama lain, seperti yang didakwa oleh beberapa orang orientalis. Bahkan fasa yang pertama merupakan fasa yang menjadi titik tolak bagi fasa kedua. Pada fasa pertama, embrio ‘masyarakat Islam’ mulai tumbuh, dan telah ditetapkan kaedah-kaedah asas Islam secara general. Kemudian pada fasa kedua bangunan ‘masyarakat Islam’ itu berjaya dibentuk, dan kaedah-kaedah yang sebelumnya bersifat general selesai dijabarkan secara lengkap. Syari’at Islam disempurnakan dengan mendeklarasikan prinsip-prinsip baru, dan dimulailah pengaplikasian dan pelaksanaan prinsip-prinsip tersebut seluruhnya.
Sehingga tampillah Islam dalam bentuk sosial secara integral dan aktif, yang semuanya menuju kepada tujuan-tujuan yang satu. Sejarah, dalam pandangan politik, lebih terpusat pada fasa kedua dibandingkan dengan fasa pertama. Kerana ketika itu jemaah Islam telah mencari kediriannya, dan telah hidup dalam era kebebasan dan independen. Ia juga telah meraih ‘kedaulatan’nya, secara penuh. Sehingga prinsip-prinsip Islam sudah dapat diletakkan dalam langkah-langkah praktis.
Namun, dalam pandangan sejarah, ciri terbesar yang menandai kedua fasa itu adalah sifatnya sebagai fasa ‘pembentukan’, dan fasa pembangunan dan permulaan. Fasa ini memiliki urgensiti yang besar dalam menentukan arah kejadian-kejadian sejarah selanjutnya, dan sebagai peletak rambu-rambu yang diikuti oleh generasi-generasi berikutinya sepanjang sejarah. Sedangkan dari segi pemikiran teoritis, pengaruhnya terbatas pada kenyataannya sebagai roh umum yang terus memberikan ilham terhadap pemikiran ini, memberikan contoh atau teladan ideal yang menjadi rujukan pemikiran-pemikiran itu, meskipun pemikiran-pemikiran tersebut berbeza antara satu sama lain, dan memberikan titik pertemuan bagi pendapat-pendapat dan madzhab-madzhab yang berbeza.
Sedangkan selain itu, ia tidak memiliki hubungan dengan tumbuhnya pendapat-pendapat parsial yang memiliki kekhususan masing-masing. Terutama jika objek kajiannya adalah analisis terhadap sistem umum yang menjadi platform kenegaraan umat, atau tentang hubungan-hubungan yang terdapat di dalamnya, atau analisis terhadap salah satu sifatnya. Atau dengan kata lain, analisis terhadap masalah-masalah yang dinamakan sebagai ‘politik.’
Kerana pendapat-pendapat personal itu tidak tumbuh dalam satu atmosfera.
Namun pendapat-pendapat itu tampil seiring dengan terjadinya perbezaan pendapat dan kecenderungan. Yang mendorong timbulnya pendapat-pendapat itu juga adalah adanya perasaan kurang sempurna yang ada di tengah masyarakat, dan keinginan untuk membetulkan sistem atau perilaku-perilaku yang sedang berlangsung. Sedangkan jika suatu sistem telah sempurna, yang mencerminkan prinsip-prinsip agung yang diamini oleh seluruh anggota jemaah (umat), dan adanya persatuan yang wujud di antara individu-individu, kemudian mereka menyibukkan diri untuk berbicara dan berdebat tentang agenda-agenda kerja yang besar, nescaya tidak diperlukan sama sekali tumbuhnya pendapat-pendapat individu atau tampil ‘teori-teori.’
Demikianlah, era Rasulullah s.a.w. mencerminkan era persatuan, usaha dan pendirian bangunan umat. Serta menampilkan roh yang mewarnai kehidupan politik, dan mewujudkan replika bangunan masyarakat yang ideal untuk diteladani dan ditiru oleh generasi-generasi yang datang kemudian. Namun, ‘pemikiran teoritis’ ketika itu belum dimulai. Perkara ini tentu amat logik dengan situasi yang ada. Yang jelas, belum ada keperluan terhadap perkara tersebut.
Namun demikian, belum lagi era tersebut berakhir, sudah timbul faktor-faktor fundamental yang nescaya mendorong timbulnya pemikiran ini, dan membentuk ‘teori-teori politik’ secara lengkap. Di antara faktor-faktor yang terpenting ada tiga perkara iaitu:
1. Sifat sistem sosial yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w.
2. Pengakuan akan prinsip kebebasan berfikir untuk segenap individu.
3. Penyerahan kuasa kepada umat untuk merinci lengkap sistem ini, seperti tentang kaedah pengurusan, dan penentuan beberapa segi formatnya.
Penulis perlu menjelaskan lebih lanjut tentang faktor-faktor ini.
Islam Dan Politik
Sistem yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. dan golongan mukminin yang hidup bersama baginda di Madinah - jika dilihat dari segi praktis dan diukur dengan variabel-variabel politik di era moden - tidak disangsikan lagi boleh dikatakan bahawa sistem itu adalah sistem politik par excellence. Dalam waktu yang sama, boleh dikatakan bahawa sistem itu adalah sistem religius, jika dilihat dari tujuan-tujuannya, motivasinya, dan fundamental maknawi tempat sistem itu berpijak. Dengan demikian, suatu sistem dapat menyandang dua karakter itu sekaligus.
Kerana hakikat Islam yang sempurna merangkum urusan-urusan material dan rohani, dan mengurus perbuatan-perbuatan manusia dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Bahkan falsafah umumnya merangkum kedua perkara itu, dan tidak mengenal pemisahan antara keduanya, kecuali dari segi perbezaan pandangan. Sedangkan kedua perkara itu sendiri menyatu dalam kesatuan yang tunggal secara solid; saling beriringan dan tidak mungkin terpisah satu sama lain.
Fakta tentang sifat Islam ini amat jelas, sehingga tidak memerlukan banyak kerja keras untuk mengajukan bukti-bukti. Perkara itu telah disokong oleh fakta-fakta sejarah, dan menjadi keyakinan kaum Muslimin sepanjang sejarah yang telah dilalui.
Namun demikian, ada sebahagian umat Islam sendiri, yang mendakwa diri mereka sebagai ‘kalangan pembaharu’, dengan terang-terangan mengingkari fakta ini!
Mereka mendakwa bahawa Islam hanyalah sekadar ‘dakwah agama’: maksud mereka adalah, Islam hanyalah sekadar keyakinan atau hubungan rohani antara individu dengan Rabb-nya. Dan dengan demikian tidak memiliki hubungan sama sekali dengan urusan-urusan yang kita namakan sebagai urusan material dalam kehidupan dunia ini. Di antara urusan-urusan ini adalah masalah-masalah peperangan dan harta, dan yang paling utama adalah masalah politik. Di antara perkataan mereka adalah, ‘agama adalah satu perkara, dan politik adalah perkara lain.’
Untuk memaparkan pendapat mereka, tidak ada manfaatnya jika penulis mendedahkan pendapat-pendapat ulama Islam; kerana mereka tidak mahu mendengarnya. Juga penulis tidak memulainya dengan mengajukan fakta-fakta sejarah, kerana mereka dengan sengaja telah mencampakkannya! Oleh itu, cukuplah penulis kutip beberapa pendapat orientalis dalam masalah ini, dan mereka telah mengutarakan perkara itu dengan redaksi yang jelas dan tegas.
Perkara itu penulis lakukan kerana para ‘pembaharu-pembaharu’ itu tidak boleh mendakwa bahawa mereka lebih moden dari para orientalis tersebut, juga tidak boleh mendakwa bahawa mereka lebih mampu dalam menggunakan kaedah-kaedah kajian moden, dan penggunaan kaedah-kaedah ilmiah. Di antara pendapat-pendapat para orientalis itu adalah seperti berikut:
1. Dr. V. Fitzgerald berkata: ‘Islam bukanlah semata-mata agama (a religion), namun ia juga merupakan sebuah sistem politik (a political system). Meskipun pada dekad-dekad terakhir ada beberapa kalangan dari umat Islam, yang mendakwa diri mereka sebagai kalangan ‘modenis’, yang berusaha memisahkan kedua sisi itu, namun seluruh gugusan pemikiran Islam dibina di atas fundamental bahawa kedua sisi itu saling bergandingan dengan selaras, yang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.’
2. Prof. C. A. Nallino berkata: ‘Muhammad telah membina dalam waktu bersamaan: agama (a religion) dan negara (a state). Dan batas-batas territorial negara yang baginda bina itu terus terjaga sepanjang hayatnya.’
3. Dr. Schacht berkata: ‘Islam lebih dari sekadar agama: ia juga mencerminkan teori-teori perundang-undangan dan politik. Dalam ungkapan yang lebih sederhana, ia merupakan sistem peradaban yang lengkap, yang mencakup agama dan negara secara bersamaan.’
4. Prof. R. Strothmann berkata: ‘Islam adalah suatu fenomena agama dan politik. Kerana pembangunnya adalah seorang Nabi, yang juga seorang politikus yang bijaksana, atau ‘negarawan.’
5. Prof D. B. Macdonald berkata: ‘Di sini (di Madinah) dibina negara Islam yang pertama, dan diletakkan prinsip-prinsip utama undang-undang Islam.’
6. Sir. T. Arnold berkata: ‘Muhammad adalah Nabi, pada waktu yang sama, seorang kepala agama dan ketua negara.’
7. Prof. Gibb berkata: ‘Dengan demikian, jelaslah bahawa Islam bukanlah sekadar kepercayaan agama individual, namun ia menescayakan berdirinya suatu bangun masyarakat yang independent. Ia mempunyai kaedah tersendiri dalam sistem pemerintahan, perundang-undangan dan institusi.’
Bukti Sejarah
Semua pendapat tadi diperkuatkan oleh fakta-fakta sejarah. Di antara fakta sejarah yang tidak dapat diingkari oleh siapa pun adalah, setelah timbulnya dakwah Islam, kemudian terbentuk bangunan masyarakat baru yang mempunyai identiti independent yang membezakannya dari masyarakat lain. Mengakui satu undang-undang, menjalankan kehidupan sesuai dengan sistem yang satu, menuju kepada tujuan-tujuan yang sama, dan di antara individu-individu masyarakat yang baru itu terdapat ikatan ras, bahasa, dan agama yang kuat, serta adanya perasaan solidariti secara umum.
Bangunan masyarakat yang memiliki semua unsur-unsur tadi itulah yang dinamakan sebagai bangunan masyarakat ‘politik.’ Atau yang dinamakan sebagai ‘negara.’ Tentang negara, tidak ada suatu definisi tertentu, selain adanya fakta terkumpulnya karakteristik-karakteristik yang telah disebutkan tadi dalam suatu bangunan masyarakat.
Di antara fakta-fakta sejarah yang tidak diperselisihkan juga adalah, bangunan masyarakat politik ini atau ‘negara’, telah memulai kehidupan aktifnya, dan mulai menjalankan tugas-tugasnya, dan merubah prinsip-prinsip teoritis menuju dataran praksis. Setelah sempurna kebebasan dan kedaulatannya, dan kepadanya dimasukkan unsur-unsur baru dan adanya penduduk. Iaitu setelah pembacaan bai’at Aqabah satu dan dua, yang dilakukan antara Rasulullah s.a.w. dengan utusan dari Madinah, yang dilanjutkan dengan peristiwa hijrah. Para faktanya, kedua bai’at ini - yang tidak diragukan oleh sesiapa pun tentang berlangsungnya kedua bai’at ini - merupakan suatu titik transformasi dalam Islam.
Dan peristiwa hijrah hanyalah salah satu hasil yang dicuarkan oleh kedua peristiwa bai’at itu. Pandangan yang tepat terhadap kedua bai’at tadi adalah dengan melihatnya sebagai batu pertama dalam bangunan ‘negara Islam.’ Dari situ akan jelas urgensiti kedua perkara tersebut. Alangkah miripnya kedua peristiwa bai’at itu dengan kontrak-kontrak sosial yang dideskripsikan secara teoritis oleh sebahagian filosof politik pada era-era moden dan menganggapnya sebagai landasan bagi berdirinya negara-negara dan pemerintahan.
Namun bezanya, ‘kontrak sosial’ yang dibicarakan oleh Roussou dan sejenisnya hanyalah semata-mata ilusi dan imaginasi, sementara kontrak sosial yang terjadi dalam sejarah Islam ini berlangsung dua kali secara realistik di Aqabah. Dan di atas kontrak sosial itu negara Islam berdiri. Ia merupakan sebuah kontrak sejarah. Ini merupakan suatu fakta yang diketahui oleh semua orang. Padanya bertemu antara keinginan-keinginan manusiawi yang merdeka dengan pemikiran-pemikiran yang matang, dengan tujuan untuk mewujudkan risalah yang mulia.
Dengan demikian, negara Islam lahir dalam keadaan yang amat jelas. Dan pembentukannya terjadi dalam tatapan sejarah yang jernih. Kerana tidak ada satu tindakan yang dikatakan sebagai tindakan politik atau kenegaraan, kecuali dilakukan oleh negara Islam yang baru tumbuh ini. Seperti penyiapan perangkat untuk mewujudkan keadilan, menyusun kekuatan pertahanan, mengadakan pendidikan, menarik pungutan harta, mengikat perjanjian atau mengirim utusan-utusan ke luar negeri.
Ini merupakan fakta sejarah yang ketiga. Adalah mustahil seseorang mengingkarinya. Kecuali jika kepadanya dibolehkan untuk mengingkari suatu fakta sejarah yang terjadi pada masa lalu, dan yang telah diterima kebenarannya oleh semua manusia. Dari fakta-fakta yang tiga ini - yang telah penulis sebutkan - terbentuk bukti sejarah yang menurut penulis boleh digunakan sebagai bukti - di samping pendapat kalangan orientalis yang telah dipaparkan sebelumnya - atas sifat politik sistem Islam.
Jika telah dibuktikan, dengan cara-cara yang telah penulis gunakan tadi, bahawa sistem Islam adalah sistem politik, dengan demikan maka wujud syarat pertama yang mutlak diperlukan bagi kewujudan pemikiran politik. Kerana semua pemikiran tentang perkara ini: baik tentang pertumbuhan, hakikat, sifat-sifat atau tujuan-tujuannya, nescaya ia menyandang sifat ini, iaitu sifatnya sebagai suatu pemikiran politik.
Syarat ini merupakan faktor yang terpenting dalam pertumbuhan pemikiran ini. Bahkan ia merupakan landasan berpijak bagi kerangka-kerangka teoritis dan aliran-aliran pemikiran yang beragam. Oleh itu, amatlah logik jika penulis curahkan seluruh perhatian ini untuk meneliti dan menjelaskannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan