Ahad, 7 November 2010

GAGASAN 1MALAYSIA

SIARAN AKHBAR I

Gagasan Najib 1Malaysia Kini Mula Dipasarkan

Berita Harian - Selasa, 26 Januari 2010

Oleh: Nor Azma Laila

BAGI mengupas konsep 1Malaysia, cetusan minda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penyatuan rakyat, kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara, dua penulis, Syed Mahadzir Syed Ibrahim dan Prof Madya Mohamad Shah A'shaari menghasilkan buku `Gagasan Najib: 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Buku yang mempunyai 16 bab ini memulakan pengisiannya dengan kupasan mengenai lapan nilai teras 1Malaysia meliputi definisi, perbezaan antara konsep 1Malaysia dengan konsep Malaysian Malaysia, kedudukan dan hubungan konsep 1Malaysia, budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan, integriti dan juga kesimpulan.

Turut dibincangkan ialah bagaimana gagasan 1Malaysia boleh menjadi nafas baru kepada perpaduan nasional, makna 1Malaysia yang sebenarnya, peranan perkhidmatan awam, media massa, sektor swasta, organisasi korporat serta peranan badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam merealisasikan konsep 1Malaysia. Selain itu, kupasan turut dilakukan mengenai bagaimana gagasan itu boleh menyatukan pemikiran dan perjuangan, kenapa penjelasan mengenai konsep itu penting kepada masyarakat, latar belakang, maksud, ciri-ciri dan nilai utama 1Malaysia.

Buku ini juga memberikan penjelasan bagaimana agama juga relevan dalam menjayakan gagasan 1Malaysia, kupasan mengenai gagasan itu dalam konteks Piagam Madinah di mana beberapa perkara diberi keutamaan seperti pendekatan yang adil, perubahan, pengisian di bidang pendidikan dan mengubah pandangan skeptikal.

Terdapat juga bab yang memaparkan latar belakang, kejayaan dan peribadi Najib termasuklah impian beliau sebagai perdana menteri ke enam, gagasan 1Malaysia dari kacamata beliau dan perbincangan mengenai konsep 1Malaysia yang tidak terhad dan bakal mengalami evolusi. Kupasan turut dipaparkan mengenai gagasan 1Malaysia dalam konteks kelangsungan kegemilangan, petunjuk prestasi utama dan gagasan 1Malaysia sebagai teras memperkukuhkan perpaduan dan harapan Najib kepada penjawat awam dalam konteks mendepani cabaran pentadbiran serta budaya kecemerlangan.

Mohamad Shah yang juga bekas Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, kebanyakan bahan yang diselenggara untuk penerbitan buku berkenaan diperoleh melalui banyak saluran antaranya pembentangan kertas kerja berkaitan konsep 1Malaysia.

"Kami berdua mengambil bahan yang ada dan memperincikan sebaik mungkin supaya pembaca lebih mudah faham mengenai konsep ini melalui penulisan esei dan huraian, bahasa yang indah serta di sokong oleh gambar menarik.Buku ini memang sesuai untuk semua lapisan masyarakat di negara ini dan wajar dibaca oleh mahasiswa, pegawai kerajaan, pekerja swasta, pelajar sekolah kerana mengandungi banyak maklumat berguna mengenai konsep 1 Malaysia yang mengajak kita menerima keunikan di negara ini sebagai satu kelebihan," katanya.

Sementara itu, Syed Mahadzir yang sudah menulis lebih 300 buku pula berkata, tempoh masa enam bulan diperlukan untuk menyiapkan buku berkenaan yang kini sudah menerima tempahan awal sebanyak 5,000 naskhah. Sasaran jualan kita ialah sebanyak 100,000 buku. Setakat ini kebanyakan tempahan dibuat oleh pengedar tunggal kita iaitu Panca Suria Global serta perpustakaan negeri, universiti dan kolej," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan buku berharga RM175 senaskah itu boleh mendapatkannya dengan membuat tempahan kepada Warisan Inked melalui talian 03-55423659 atau emel kepada www.warisaninked.com atau melayari laman web wink@warisaninked.com.


SIARAN AKHBAR II

Gagasan Najib: 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

1Malaysia adalah sebuah gagasan agung cetusan minda YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, untuk penyatuan rakyat, kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara. Terbina di atas landasan keikhlasan, 1Malaysia berperanan sebagai pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat.

Buku GAGASAN NAJIB: 1 Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ini wajar dibaca dan dihayati oleh mahasiswa/i IPTA/IPTS, pegawaipegawai kerajaan, pekerja swasta, penuntut sekolah rendah hingga menengah, semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan seterusnya merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Buku ini merupakan buku pertama seumpamanya di Malaysia ini yang membincangkan konsep GAGASAN NAJIB dan mengupas erti 1Malaysia dengan teks dan gambar berwarna serta membincangkan 1Malaysia dari aspek apa yang diharapkan rakyat dan apa yang boleh diberi oleh pemimpin. Maka seharusnya ianya dijadikan buku rujukan ilmiah dan penyelidikan malah wajib berada di setiap perpustakaan universiti, maktab, kolej dan sekolah-sekolah di Malaysia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA