SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
1. Gasing
Menurut Encik Yahya bin Yusof, permainan gasing merupakan permainan laman yang biasa dimainkan di kawasan lapang seperti halaman rumah, kawasan lapang yang rata, gelanggang permainan yang dibina khas dan sebagainya. Pada zaman dahulu, gasing diputar menggunakan tali yang diperbuat daripada kulit kayu, tetapi kini tali nylon pula telah digunakan.
Main pangkah adalah satu daripada cara permainan ini di mana gasing pihak lawan dipangkah sehingga ada gasing yang pecah. Satu lagi jenis permainan ialah menguji sejauh mana ketahanan gasing berputar di atas tanah.
Gasing yang tahan lama berputar atau berputar paling lama akan memangkah gasing yang kalah dari segi ketahanan tadi. Gasing yang baik adalah yang telah dihasilkan menggunakan kayu keras dan tahan dipalu. Kadangkala permainan gasing dimainkan di tebing sungai di mana setiap pemain akan cuba memangkah gasing lawan sehingga tercampak ke sungai dan pemain yang berjaya berbuat demikian akan berasa megah.
Menurut Encik Yahya seterusnya, untuk menghitamkan gasing ia perlu direndam dalam air pelecahan (air sisa dapur). Cara ini juga akan memberi ketahanan pada gasing. Di daerah Sabak Bernam, kebanyakan orang dewasa sahaja yang menyemarakkan seni permainan ini, sementara bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dimainkan.
Jenis gasing yang masih terdapat di daerah Sabak Bernam termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.
Kayu yang paling sesuai ialah dari spesies merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah. Kayu-kayu ini mudah dilarik dan tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji sering juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa juga selalu digunakan untuk membuat gasing.
Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan, besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.
Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tidak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan di bahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.
Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing. Menurut Encik Yusof lagi, gasing pinang gemar dimainkan oleh kanak-kanak di daerah Sabak Bernam.
Gasing ini diperbuat dari buah pinang muda di mana dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.
Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 sm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambulnya direnggut. Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.
Dalam permainan gasing uri, dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan; seorang memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 sm panjang. Lopok juga diperbuat daripada kayu tetapi berbentuk torak ataupun seperti pancang, yang berukuran 45 sm panjang.
Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 sm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras.
Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam. Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.
Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka.
Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing.
Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.
2. Tetawak
Antara kesenian masyarakat yang kini sudah tiada lagi di daerah Sabak Bernam ialah tetawak. Menurut Encik Yahya, kesenian ini pupus sejak tahun 80-an lagi. Tetawak dibuat daripada perunggu berbentuk bulat. Dindingnya tebal, berbusut di tengah-tengah permukaannya. Picnya lebih tinggi dari gong agung. Biasanya tetawak ini digantung dan dipalu busutnya. Tetawak akan dipalu sekiranya berlaku apa-apa kejadian di dalam kampung seperti kematian, dicerobohi penjenayah, panggilan untuk bergotong-royong dan sebagainya.
Cara dan bilangan paluannya juga berbeza bergantung kepada jenis kejadian yang berlaku. Sekiranya ada kematian, tetawak akan dipukul sebanyak 3 kali, berhenti beberapa saat kemudian dipukul lagi sebanyak 3 kali. Sekiranya ada panggilan gotong-royong pula, ia akan dipukul sebanyak 3 kali, kemudian berhenti dan terus memukul tanpa henti selama lebih kurang sepuluh atau lima belas minit. Manakala jika ada sebarang pencerobohan atau musibah, tetawak akan dipukul terus bertalu-talu tanpa henti selama lebih kurang lima belas minit.
Sebelum memulakan paluan, seseorang itu mestilah membaca Bismillah dan selawat terlebih dahulu diikuti menghalakan paluan ke arah barat, timur, utara dan selamat di permukaan tetawak sebagai isyarat mengkhabarkan kepada semua manusia di serata ceruk rantau bahawa tetawak akan dipalukan. Cara ini merupakan kaedah tradisi yang digunakan oleh masyarakat Sabak Bernam suatu ketika dahulu.
3. Layang-layang
Sementara dalam permainan layang-layang atau wau, menurut Encik Yahya, biasanya dilakukan selepas musim menuai padi kerana sawah padi adalah kawasan yang paling sesuai sebagai tempat bermain layang-layang, permainan layang-layang juga sering diadakan di tepi pantai. Layang-layang direka dengan berbagai-bagai rupa bentuk dengan bambu dan kertas berwarna.
Permainan layang-layang bertujuan untuk mempamerkan kemerduan bunyi dan tinggi serta keindahan naiknya di angkasaraya. Kadangkala kaca yang telah ditumbuk hancur dan dicampurkan dengan gam kanji disapu kepada benang layang-layang untuk tujuan ‘merasa’, memutuskan benang layang-layang pihak lawan, kerana layang-layang dari satu kampung berbeza atau berlainan dengan layang-layang di lain kampung yang berhampiran.
Permainan layang-layang atau wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan semenjak lebih 500 tahun yang lalu. Rangkanya adalah buluh yang diraut halus dan ditampalkan dengan kertas berwarna mengikut bentuk rangka. Seseorang pemain yang berpengalaman akan cepat bertindak apabila waunya membuat ragam di udara. Kebolehan dan kecekapan bertindak dengan cara-cara yang tersendiri membuktikan keupayaan seseorang pemain wau itu menghadapi cabaran dan mengatasi dengan tenang.
4. Kuda Kepang
Menceritakan sejarah awal, Encik Yahya menyatakan bahawa kuda kepang berasal dari Tanah Jawa Indonesia dan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh rakyat Indonesia yang berhijrah ke negara ini. Pada mulanya ia hanya permainan biasa seperti ‘sepak raga’. Namun sambutan dari penduduk tempatan menyebabkan ia berkembang dari sebuah kampung ke sebuah kampung yang lain.
Pada zaman sekarang, permainan kuda kepang hanya dimainkan di majlis perkahwinan atau sesuatu majlis keramaian. Pemain kuda kepang memerlukan sekurang-kurangnya 31 orang di mana 9 orang menari, 5 orang pemain muzik, 15 orang penjaga kawasan dan 2 orang bertindak sebagai ‘Bomoh Pemulih’. Bagaimanapun dalam sesebuah persatuan jumlah ahlinya adalah seramai 40 orang. Seorang daripada penari-penari itu bertindak sebagai pemimpin yang dipanggil ‘Danyang’. Pakaian permainan pula biasanya seragam.
Peralatan yang diperlukan untuk permainan kuda kepang ialah alat muzik yang terdiri daripada 5 buah angklung. Angklung diperbuat daripada buluh dan rotan yang boleh didapati daripada kawasan persekitaran. Angklung bersaiz segiempat dan ianya dimainkan dengan cara menggoyang dan menggoncang buluh tersebut. Bagi buluh yang kecil, apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi nyaring, manakala buluh yang besar akan mengeluarkan bunyi bergema dan dari kombinasi kedua-dua bunyi ini akan menghasilkan bunyi yang indah dan menarik.
Perkakas lain yang digunakan ialah sebuah gendang. Gendang ini diperbuat daripada kayu leban dan kulitnya dari kulit lembu. Kulit lembu diperolehi dari saki baki kulit lembu yang dikorbankan semasa Hari Raya Haji. Kulit lembu ini dikeringkan. Sementara pengikatnya diperbuat daripada rotan. Gendang mempunyai panjang diameter lebih kurang 3 kaki. Gendang ini dipalu mengikut irama yang tertentu. Perkakas lain yang digunakan ialah pecut. Pecut diperbuat daripada buluh dan tali. Kedua-duanya dipintal menjadi satu.
Fungsi pecut adalah untuk mengarah dan mengawal permainan atau penari kuda kepang. Perkakas terpenting ialah kuda-kuda. Ianya diperbuat daripada kulit lembu. Dibentuk menyerupai kuda dan diwarnakan merah, putih atau kelabu. Selain itu perkakas lain ialah tali sepanjang 30 meter. Tali sepanjang ini digunakan untuk dibuat pagar bagi mengelak penari kuda kepang yang mabuk berkeliaran dan mudah untuk bomoh mengawalnya. Peralatan lain ialah gong. Gong apabila dipalu akan mengeluarkan bunyi ‘goooong’ dan dan ianya berfungsi sebagai menyedapkan lagi bunyi muzik pengiring.
Pantang larang dalam permainan kuda kepang ialah pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Namun pantang larang yang utama ialah tidak boleh melihat kain berwarna merah kerana ia adalah pantang larang semulajadi.
Selain itu tidak boleh terlihat atau melihat kaca atau serpihannya kerana ditakuti akan dimakan oleh pemain. Apabila muzik mula bergema, masuklah pemain-pemain yang dipimpin oleh ‘danyang’ memasuki gelanggang. Pemain-pemain akan menari menurut rentak dan irama lagu. Tiap-tiap penari akan menunggang atau memacu kuda anyaman (kuda kepang).
Tarian yang kerap dipersembahkan dalam sesuatu majlis tarian kuda kepang ialah Tarian Solo, Tarian Selendang, Tarian Pucuk Rebung dan Tarian Kuda Kepang yang dinamakan ‘Lenggang Kiprah’. Penari-penari menari sehingga mabuk atau tidak sedarkan diri selama lebih kurang 2 jam. Keadaan ini disebut sebagai ‘naik syeh’. Mereka boleh melakukan perbuatan atau gerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi 6 kaki dan sebagainya. Kadang-kadang pihak penganjur akan merentang kain licin untuk pemain menitinya.
Semasa penari dalam keadaan demikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya, jika alunan muzik tidak rancak maka penari akan naik berang dan akan menerkam atau menendang pemain muzik. Kelakuan ini tidak ubah seperti kuda yang sedang berang.
Jika keadaan bertambah liar, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, seterusnya dijampi. Penari-penari itu akan dipulihkan semula oleh Tok Bomoh dan kembali normal seperti biasa. Menurut Encik Yahya, dari keterangan pemain yang pernah mengalami kejadian seperti ini, ketika mabuk mereka bermimpi menunggang kuda sambil menari-nari dengan iringan muzik. Semakin lama bunyian itu semakin sayup-sayup kedengaran. Kerana itulah mereka cuba mengejar muzik tersebut.
Jelaslah tarian Kuda Kepang mempunyai semangat yang menjadi asas kepercayaan dan peminat mereka. Selain itu alat-alat kuda kepang mesti disimpan dengan baik kerana ditakuti akan dimarahi oleh ‘rohnya’. Ini menunjukkan bahawa permainan kuda kepang mempunyai kepercayaan tersendiri dalam masyarakat Melayu di daerah Sabak Bernam.
PAKAIAN
Dalam membicarakan aspek pakaian masyarakat Sabak Bernam, Encik Yahya menjelaskan bahawa tidak banyak kelainan yang terdapat di daerah ini berbanding dengan daerah lain di negeri Selangor. Sebagaimana di tempat lain, pakaian di daerah ini juga merupakan salah satu keperluan asas manusia iaitu berfungsi sebagai melindungi tubuh dari kepanasan, kesejukan serta ancaman-ancaman lain.
Hiasan diri pula diguna dan dipakai sebagai pelengkap kostum dan menyerikan lagi si pemakai. Bagi masyarakat di Sabak Bernam, pakaian dan hiasan diri pada asalnya lebih berfungsi sebagai simbol kedudukan dan kekuasaan seseorang dalam masyarakat. Namun fungsi pakaian dan hiasan semakin berkembang dan berubah mengikut peredaran zaman. Kini ia lebih penting sebagai bahan fesyen iaitu sesuatu yang lebih menitikberatkan daya kreatif penciptanya.
Bagi masyarakat Sabak Bernam, baju kebaya, baju kurung cekak musang, baju kurung teluk belanga, baju Melayu, celana, kain sarung, samping, selendang dan sebagainya masih lagi dipakai. Begitu juga dengan perhiasan tradisi seperti caping, cincin, dokoh, gelang, kerongsang, pending, perhiasan kepala, subang, tali pinggang dan lain-lain lagi.
Namun begitu, ianya hanya dipakai pada majlis-majlis tertentu sahaja. Pakaian dan hiasan tradisi golongan wanita di daerah ini tidak banyak perbezaan dengan lain-lain pakaian wanita di daerah lain. Begitu juga dengan golongan lelaki cuma nama pakaian yang digunakan di sini agak berbeza. Contohnya, baju cekak musang dipangil ‘baju cekik musang’ sementara baju teluk belanga dipanggil ‘baju tebuk belanga’.
1. Baju Kebaya
Baju kebaya masih dipakai oleh segelintir kecil wanita Melayu di daerah Sabak Bernam. Menurut Encik Yahya, ada dua teori tentang asal usul baju kebaya. Satu mengatakan bahawa perkataan ‘kebaya’ itu berasal daripada perkataan Arab yakni habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.
Baju kebaya pula asalnya direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang.
Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak. Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Sabak Bernam, kebayanya tidak berkolar. Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin.
Bagi pakaian harian, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.
2. Baju Kurung Cekik Musang
Baju kurung cekik musang hampir sama dengan baju kurung tebuk belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung cekik musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya.
Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil ‘garam sebuku’ dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai ‘kunang-kunang sekebun’. Baju kurung cekik musang boleh dipakai dengan seluar atau kain sarung. Seluar yang selalu digunakan ialah seluar panjang dan seluar bambu. Jika mahu, samping dan selendang juga boleh dipakai bersama. Lebih segak lagi apabila bertanjak atau bersongkok.
3. Baju Kurung Tebuk Belanga
Baju kurung tebuk belanga dikatakan mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu termasuk di daerah Sabak Bernam. Baju kurung tebuk belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana di rusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek.
Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju kurung tebuk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita pada dasarnya adalah sama kecuali baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri ataupun tanpa kocek.
Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang sama ada seluar Acheh atau seluar panjut. Kaum wanita pula memadankannya bersama kain sama ada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ‘ombak mengalun’, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri.
Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini. Pakaian ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan sembahyang Jumaat. Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi.
4. Kebaya Bandung
Baju kebaya bandung merupakan sejenis pakaian yang sudah pupus dan tidak lagi dipakai oleh wanita Melayu di daerah Sabak Bernam. Menurut Encik Yahya, sejak tahun 80-an lagi pakaian ini tidak kedapatan dikenakan di badan wanita Melayu. Kebaya bandung merupakan sejenis pakaian tradisi wanita berketurunan Jawa. Bahagian atasnya yakni di bahagian atas dada terdiri dari kain yang nipis yang menampakkan kulit sementara di bahagian bawah dada dilapisi oleh kain yang lebih tebal. Selalunya berwarna hitam. Manakala kain yang dipadankan adalah kain batik lepas.
5. Samping
Samping juga merupakan sejenis pakaian yang masih dipakai oleh masyarakat Melayu di daerah Sabak Bernam. Samping mirip seperti kain sarung, bezanya cuma ia lebih pendek daripada kain sarung. Samping dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju cekik musang atau tebuk belanga dan seluar panjang. Samping diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki samping dilepas hingga ke lutut atau betis.
Pada asalnya samping lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang lebih pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas dan lebih selesa dipakai. Kadang-kadang samping dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah baju kurung tebuk belanga mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping dagang dalam.
Samping dipakai dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong. Selain daripada cara yang disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih menarik.
Antaranya ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk atau bunga, mengikatnya dengan tali pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending dipasangkan menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.
Menurut Encik Yahya, ada satu cara khas memakai dan mengikat samping yang boleh dijadikan identiti negeri Selangor. Kata beliau, bahagian bunga kecil di bahagian atas samping boleh dijadikan kain bengkong dengan cara melipatnya sebanyak dua kali. Bahagian bunga besar yang selalu diletakkan di sebelah belakang perlu diletakkan di bahagian kanan. Ikatan samping pula dilakukan di sebelah kiri dengan cara menyimpulkannya dari atas ke bawah dan diikat secara silang dua.
6. Selendang
Selendang yang gemar dipakai oleh masyarakat Melayu di daerah Sabak Bernam
adalah selendang biasa yakni lebih kecil dan lebih nipis daripada selendang panjang. Corak selendang biasa ini lebih digemari kerana lebih ringkas dipakai.
Selendang biasa dipakai dengan menyangkutkannya di atas satu bahu ataupun kedua-dua bahu; menutupi kepala dan bahu; diselempang di bahu kemudian melintasi badan dan diikat di pinggang; disangkut di bahu dengan hujung yang di belakang diselempangkan di belakang badan dan disangkutkan pada tangan (hujung yang satu bagi dilepaskan di hadapan badan) dan pelbagai cara lagi.
Selendang biasa diperbuat daripada tenunan sutera yang sudah menjalani proses ikat dan celup atau dikenali dengan nama kain limar. Sisi selendang biasa dikemaskan dengan tenunan benang emas. Kadang-kadang selendang ini juga disongket atau disulam dengan bunga emas.
Selendang sering juga turut digunakan dalam upacara lenggang perut iaitu upacara yang dibuat ketika wanita mengandung tujuh bulan. Tujuan upacara ini ialah supaya bayi yang dikandung selamat dilahirkan. Namun begitu, selendang kini tidak lagi dipakai dalam upacara lenggang perut dan menurut Encik Yahya, tradisi ini sudah lama pupus sejak tahun 1970-an lagi.
7. Songkok
Menurut Encik Yahya, cara pemakaian songkok dewasa ini tidak lagi mengikut cara tradisi masyarakat silam. Kata menurut, suatu ketika dahulu, masyarakat Melayu Sabak Bernam amat mengambil berat soal pemakaian songkok yang mana boleh menterjemahkan jatidiri pemakainya.
Terdapat empat jenis kedudukan songkok yang memberi makna kepada pemakainya iaitu ke belakang, ke hadapan, senget dan di tengah. Pemakai songkok ke belakang mencerminkan bahawa ia adalah seorang yang bermertabat rendah, bodoh, tidak berpelajaran, miskin dan sebagainya. Pemakai songkok ke hadapan sehingga hampir menutup dahi bermakna ia bersikap ego, suka membanggakan diri, bongkak, sombong dan tidak boleh diajar.
Sementara pemakaian songkok yang berkedudukan senget mencerminkan pemakainya seorang yang samseng, suka bergaduh dan pantang dicabar. Manakala pemakaian songkok di tengah adalah yang terbaik dan dilakukan oleh orang-orang biasa yang baik harga dirinya.
Menurut Encik Yahya seterusnya, songkok yang baik berketinggian empat inci, dipakai di atas kening, di atas alur hidung dan tidak terlalu ke belakang atau ke hadapan.
MAKANAN
Masyarakat Melayu di daerah Sabak Bernam memang terkenal dengan pelbagai makanan tradisionalnya. Makanan tradisional masyarakat Melayu memang tidak pernah dilupakan sehingga ke hari ini. Makanan tradisi ini masih polular dan masih menjadi santapan harian mereka. Salah satu makanan yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu di daerah ini ialah masak pindang kulit tengau.
1. Masak Pindang Kulit Tengau
Pada zaman dahulu, tidak terdapat banyak ramuan dan juga resepi yang boleh digayakan untuk menghasilkan sesuatu masakan sama ada untuk diri sendiri atau keluarga. Salah satu sajian yang sering disediakan ialah masak pindang kulit tengau. Masakan ini berkonsepkan rebusan dan tidak langsung melibatkan minyak kelapa sama ada untuk tujuan tumisan mahupun sebagai ramuan resepinya.
Masak pindang kulit tengau merupakan sejenis masakan atau makanan berkuah yang diperbuat dari ikan segar, bahan-bahan ramuan seperti lengkuas, kunyit, halia, asam gelugur, hirisan nipis kulit tengau, cili padi, garam dan serai. Semua ramuan ini direbus serentak dan boleh bertahan berhari-hari lamanya. Namun begitu, masakan ini telah berkurangan disajikan terutama oleh generasi baru.
Kulit tengau, tebengau atau temengau adalah sejenis pokok renek yang nama saintifiknya ehretia timorensis. Di sesetengah tempat ia dipanggil gambak yem atau medang seminyak. Pokok ini boleh didapati tumbuh subur di tepian laut di celah-celah pokok bakau, mengkirai laut dan sebagainya. Kulitnya akan disiat dari batang pokok kemudian dijemur sehingga kering. Sedikit hirisan dimasukkan ke dalam masakan dan akan menyebabkan warna airnya kemerah-merahan. Rasanya sedikit kelat.
2. Kenas (Pekasam Kerang)
Kenas atau pekasam kerang merupakan sejenis makanan tradisi yang telah pun pupus dewasa ini. Suatu ketika dulu, masyarakat Melayu di daerah Sabak Bernam gemar menghasilkan makanan ini. Boleh dikatakan setiap rumah boleh didapati kenas terutama masyarakat yang tinggal di tepian laut yang kerjanya sebagai nelayan.
Kenas diperbuat daripada kerang segar. Caranya, kerang segar tersebut akan dibelah lalu diambil isinya. Proses ini dipanggil ‘cenik’. Setelah isi kerang dikeluarkan, ianya dibersih dan direndam atau diperam bersama-sama dengan serbuk beras goreng selama beberapa hari sehingga menimbulkan rasa yang masam. Kenas biasanya akan digoreng bersama dengan hirisan bawang besar, cili padi dan juga bawang merah dan dimakan bersama-sama dengan nasi, ulam dan sambal belacan.
3. Bekacau
Satu lagi makanan tradisi masyarakat Melayu daerah Sabak Bernam yang hampir pupus ialah bekacau. Bekacau adalah sejenis kuih yang manis yang boleh dihidangkan dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kreativiti seseorang. Dewasa ini bekacau hanya boleh didapati di majlis-majlis pernikahan, dijadikan kuih hantaran oleh pihak pengantin dengan pelbagai bentuk rekacipta.
4. Dodol
Dodol adalah sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis. Membuat dodol boleh dikatakan merumitkan tetapi masih dilakukan oleh masyarakat Melayu di daerah Sabak Bernam terutama menjelang musim raya. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi.
Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada orang-orang tua dahulu. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam.
Untuk membuatnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak di bawah api yang sederhana besar. Dodol yang dimasak tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau hangit di bahagian bawahnya. Oleh itu, dodol hendaklah sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk mendapatkan hasil yang baik.
Dodol yang dimasak memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 4 jam kerana sekiranya kurang dari 4 jam, dodol yang dimasak tidak sedap dimakan. Setelah 2 jam dodol tadi dimasak, dodol akan bertukar kepada warna coklat dan pekat sedikit. Dodol tersebut akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung yang banyak.
Dalam proses ini dodol hendaklah dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak terkeluar dari kawah sehinggalah masak dan diangkat. Akhir sekali, dodol tersebut hendaklah disejukkan di dalam periuk yang besar. Untuk mendapatkan hasil yang baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat. Selepas itu, dodol tersebut bolehlah dipotong dan dimakan. Kebiasaannya dodol akan dihidang kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.
5. Nasi Ambeng
Nasi ambeng, dibaca sebagai ‘beng’ dalam bengkak (tq waiem) merupakan hidangan yang disediakan semasa kenduri-kendara masyarakat Jawa. Ia sebenarnya mempunyai makna dan pengertian yang khusus kepada masyarakat. Yang pertamanya, ia tidak dimakan sehingga habis. Hanya dicuit sekadar untuk merasa dan terus dibahagi-bahagikan sesama rakan sedulang. Jadi, hidangan nasi ambeng ini boleh dibawa pulang untuk dinikmati oleh seisi keluarga
Yang keduanya pula, sebagai bukti bahawa si suami memang pergi ke kenduri, bukan pergi ke kedai Cik Minah Janda ataupun main dam di kedai kopi sehingga lewat malam. Nasi ambeng dihidangkan di atas talam yang dipenuhkan dengan nasi, dilapikkan dengan daun pisang untuk mengekalkan aroma beserta lauk pauk di atasnya. Lauknya terdiri daripada ayam goreng seekor (biasanya dibelah empat), mee goreng, tempe goreng serta kerabu betik. Kebiasaannya memang ia nampak banyak, kerana perlu dibahagikan kepada empat atau enam orang sedulang.
6. Gula Kabung
Gula kabung juga merupakan sejenis makanan yang kian pupus. Gula kabung diperbuat daripada air nira kelapa. Kemanisan dan kehalusan gula kabung ini berbeza dengan gula tiruan yang berada di pasaran kini. Proses membuat gula kabung bukanlah satu pekerjaan yang mudah kerana ia terpaksa melalui tiga peringkat pemprosesan. Seseorang yang pakar dalam membuat gula kabung dapat mengenal pasti kelapa yang mampu menghasilkan air nira yang baik. Ini penting bagi mendapatkan gula kabung yang bermutu tinggi.
Menurut Encik Yahya, peringkat pertama dalam menghasilkan gula kabung ialah dengan menggunakan buluh dan pengikatnya serta pisau yang dikenali sebagai ‘penyadap’ untuk mengambil nira kelapa. Selepas itu, mayang kelapa dilenturkan dengan membalutnya pada daun kelapa muda. Ianya dilenturkan sedikit demi sedikit dan proses ini berterusan sehingga seminggu bagi mengelakkan tangkai mayang itu patah.
Mayang yang dilentur dibuang seludangnya dan dihiris sedikit demi sedikit dan air nira ditakung ke dalam buluh yang sepanjang 1 kaki. Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit kapur untuk mencegah air nira daripda menjadi masam. Air nira ini dikenali sebagai air tuak.
Pada peringkat kedua, proses memasak gula kabung ini dilakukan selama empat jam. Pada peringkat ini pengawasan dan pengalaman amat penting bagi menghasilkan gula yang baik. Tempat memasak gula kabung dikenali sebagai ‘sabak’.
Api sabak mesti dijaga selalu agar tidak terlalu besar terutama ketika gula mulai pekat dan mengeluarkan buih yang berwap panas. Nyalaan api tidak boleh dibesarkan lagi di peringkat ‘bunga sena’ di mana keadaan gula telah menjadi agak pekat dan mengeluarkan banyak buih dan mula dikacau perlahan-lahan. Beberapa minit kemudian, kancah diturunkan dan terus dikacau bagi menghasilkan gula yang halus.
Peringkat terakhir ialah bagi memastikan setelah cukup ukuran kepekatannya dan gula masih panas dituangkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada buluh setinggi 3 inci, tidak tertutup di kedua-dua hujungnya dan tabung tersebut diletakkan di atas lantai khas. Setelah beku, gula yang terhasil itu pun dikeluarkan daripada bekas tersebut.
7. Asam Pedas
Masakan asam pedas memang terkenal di kalangan masyarakat Melayu khususnya di Sabak Bernam. Sebut sahaja asam pedas semua orang tahu bahawa masakan itu sangat sedap dan popular di sini. Resepi untuk membuatnya tidaklah terlalu rumit dan tidak pula terlalu mudah. Walau bagaimanapun, terdapat juga kawasan-kawasan lain di Malaysia ini mempunyai resepi asam pedas yang berlainan. Terpulang kepada citarasa masing-masing untuk menyedapkan lagi masakan mereka.
Kebiasaannya bahan-bahan yang mesti ada ialah terdiri daripada ikan (kebiasaannya ikan parang, tenggiri, merah atau terubuk), cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup (jika ingin menyedapkan lagi masakan), serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur, dan daun limau purut.
Bahan-bahan ini hendaklah mengikut sukatan masakan. Cara untuk membuatnya ialah cili kering, bawang merah dan putih, halia dan belacan dikisar atau ditumbuk lumat. Serai dan lengkuas diketuk dan bunga kantan dibelah empat. Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar dan lengkuas tadi ke dalam periuk sehingga naik baunya dan garing. Jangan pula hangus.
Selepas itu masukkan air asam jawa mengikut banyak atau sedikit sukatan masakan. Ikan yang telah dibersihkan dimasukkan sehingga mendidih. Akhir sekali masukkan serai, daun kesum, bunga kantan, asam gelugur atau daun limau purut.
8. Tapai
Di daerah Sabak Bernam terdapat dua jenis tapai iaitu tapai pulut dan tapai ubi. Tapai ialah sejenis kuih manis yang menggunakan ragi dalam proses pembuatannya. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai pulut rasanya lebih sedap kerana itulah tapai ubi tidak dapat menandingi tapai pulut.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga menjadi sebati. Sementara tapai ubi pula hanya menggantikan pulut dengan ubi yakni ubi kayu yang sudah direbus atau dikukus.
Kemudian ia dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman sekarang, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang atau bekas plastik seperti cawan bertutup.
Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang atau bekas plastik. Aroma tapai yang dibungkus dengan daun tapai memang harum.
Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu yang besar atau tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.
Orang tua-tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan ia dengan benda-benda yang berwarna merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan menjadi warna merah dan rasanya tidak sedap.
Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam. Selain itu, sewaktu tapai sedang dibuat juga tidak boleh diketahui oleh bomoh penawar bisa kerana dipercayai tapai tidak akan menjadi. Jika diketahui oleh bomoh penawar bisa, tapai itu akan menjadi tawar dan rosak.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan terlalu lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja. Kerana rasanya yang terlalu manis biasanya tapai sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagi pencuci mulut. Dan sekiranya kita ingin menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.
9. Belacan
Belacan ialah sejenis bahan yang digunakan di dalam masakan. Ia begitu popular di kalangan masyarakat Melayu di daerah Sabak Bernam. Masakan akan menjadi lebih sedap jika dicampurkan dengan sedikit belacan. Cara membuatnya tidaklah terlalu rumit dan tidak juga terlalu mudah. Belacan diperbuat daripda udang yang halus atau dikenali sebagai udang geragau.
Udang geragau ini dicuci bersih, dijemur dan dicampurkan dengan garam mengikut banyak atau sedikit udang geragau yang hendak dibuat belacan. Kemudian ia dijemur supaya menjadi kering. Setelah kering, udang geragau ditumbuk dengan mengunakan lesung batu (sejenis alat yang diperbuat daripada batu yang berbentuk bulat digunakan untuk menghancurkan atau menghaluskan). Ia ditumbuk supaya menjadi halus.
Selepas habis ditumbuk, udang geragau dikepal-kepal dan diambil segenggam demi segenggam untuk dibuat bulatan dan leper (terpulang sama ada besar atau kecil). Selepas habis dibuat, barulah ia dikenali sebagai belacan. Belacan yang siap dibuat itu akan dijemur dan perlulah disimpan di tempat yang mempunyai suhu yang sejuk agar ia boleh bertahan lama.
10. Getuk
Di kalangan masyarakat Jawa Sabak Bernam, makanan disebut ‘getuk’ yang diperbuat daripada ubi kayu rebus yang dicampur dengan gula dan kelapa parut memang popular. Namun, mungkin ramai kurang mengenali ‘geplek’ yang juga dihasilkan daripada bahan serupa. Bezanya cuma dari segi pembuatan kerana antara lain, ia perlu dihiris kecil, dijemur serta dicampur beberapa bahan lain sebelum dihidang. Makanan ini didapati kian pupus dan jarang-jarang dibuat oleh masyarakat dewasa ini terutama generasi baru.
11. Pulut Kuning Dadar Telor
Makanan ini juga merupakan sejenis makan tradisi masyarakat yang kian pupus ditelan masa. Pulut kuning dadar telor selalunya dihidangkan sebagai melampiaskan hasrat atau melepaskan niat besar. Masyarakat Melayu dari keturunan Bugis di daerah Sabak Bernam zaman dahulu sering menghidangkan makanan ini jika mempunyai sesuatu niat yang hendak dipaparkan seperti mahukan agar keluarganya beroleh kesihatan dan kesejahteraan, gembira kerana sesuatu kejayaan, murahkan rezeki, ringankah jodoh dan sebagainya.
Cara menyediakan makanan ini amat mudah di mana pulut akan dikukus dengan campuran santan kelapa, garam dan kunyit. Selepas masak, ia diletakkan di atas dulang kemudian telor yang sudah digoreng diletakkan di atasnya.
PANTANG LARANG
Antara pantang larang yang masih lagi diamalkan oleh segelintir kecil masyarakat daerah Sabak Bernam terutama di kalangan etnik Bugis ialah tidak dibenarkan membuka payung di dalam rumah. Menurut Encik Yahya, orang-orang tua zaman dahulu amat percaya bahawa membawa payung di dalam rumah boleh menyebabkan rumah tersebut disambar petir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan