SMAHADZIR
PANTUN merupakan sejenis sastera rakyat yang amat popular. Sastera rakyat adalah satu bidang sastera yang tergolong di dalam Sastera Melayu Klasik. Pengertian sastera rakyat ialah hasil kesusasteraan yang dilahirkan oleh rakyat secara lisan dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi secara lisan. Dalam proses penurunan secara lisan ini terdapat tokok tambah dan pengurangan tetapi tetap terus diwarisi dari satu generasi ke satu generasi sehingga terciptanya alat cetak dan kajian mengenainya barulah proses pembukuan dilakukan untuk dikekalkan sebagai warisan budaya bangsa.
Sastera rakyat terbahagi kepada dua jenis iaitu berbentuk puisi dan prosa. Sastera rakyat berbentuk puisi ialah pantun, gurindan, seloka, pepatah, bahasa berirama, jampi mentera dan peribahasa. Manakala yang tergolongan dalam bentuk prosa pula terdiri daripada cerita jenaka, cerita metos, cerita legenda, cerita asal usul dan cerita penglipur lara.
Dalam masyarakat Melayu yang telah membina ketamadunannya sekian lama, telah menjadikan sastera rakyat ini bahan yang amat berharga. Mereka telah mengasimilasikan bentuk-bentuk sastera tersebut dengan nilai-nilai setempat dan unsur-unsur Islam. Di dalamnya jelas tergambar pengaruh Hindu, Islam dan tradisi Melayu. Walaupun demikian fungsinya amat besar dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Satu daripada fungsi tersebut ialah sebagai bahan hiburan yang dianggap sihat dalam pembinaan budaya bangsa. Masa yang terluang diisi dengan mengadakan majlis-majlis tertentu, seperti mendengar cerita, seperti cerita penglipur lara. Pantun juga digunakan untuk bergurau senda. Dengan pantun gurau senda menjadi lebih bermakna. Kanak-kanak pada zaman itu menggunakan pantun untuk bahan permainan. Pelbagai jenis pantun yang ada sesetengah kanak-kanak Melayu amat berfungsi dalam mengujudkan permainan harian mereka.
Selain daripada itu sebahagian dari sastera rakyat digunakan sebagai sumber perubatan. Misalnya menerusi jampi mentera yang dibaca, amat besar peranannya untuk mengubati sesuatu penyakit, sama ada secara saintifik atau psikologi. Peranan pawang, bomoh dan dukun amat penting pada ketika itu, seolah-olah seumpama doktor pada zaman sekarang. Mereka menggunakan jampi mentera yang sebahagian daripada sastera rakyat untuk mengubati penyakit. Alat komunikasi pada masa itu banyak menggunakan unsur sastera. bahasa Masyarakat Melayu lebih halus dan teratur dan bersopan. Puisi seperti peribahasa banyak digunakan dalam percakapan mereka seharian.
Cerita-cerita rakyat seperti cerita-cerita binatang, banyak digunakan untuk mendidik kanak-kanak. Cerita-cerita tersebut sebagai saluran untuk menanamkan nilai-nilai baik, jujur, taat dan seumpamanya kepada generasi muda yang berpusat kepada keluarga sebagai institusi pendidikan. Orang tua-tua dahulu menggunakan kaedah yang amat halus ini dalam memberi pendidikan kepada anak cucunya.
Untuk menyindir secara halus puisi dan cerita-cerita digunakan. Sindiran dengan beralaskan sastera rakyat tidak menyinggung perasaan seseorang malah memberi kesan yang positif dan kesedaran yang mendalam kepada pendengarnya. Sastera rakyat juga digunakan untuk memujuk dan merayu seseorang. Misalnya pantun orang muda, sering menekankan soal pujukan dan rayuan menerusi puisi. Kadang-kadang puisi juga digunakan untuk menyalurkan pendidikan agama dan nasihat.
Sekarang kedudukan sastera rakyat sudah hilang di hati masyarakat Melayu. Orang Melayu sendiri sudah ramai tidak mengenali sastera dan warisan budayanya sendiri. Sastera rakyat sudah menjadi bahan lapuk dan tidak menjalankan fungsinya sebagaimana asalnya. Corak pendidikan moden yang bersandarkan kepada teori pendidikan barat telah mematikan nilai budaya bangsa dan melahirkan generasi yang sebagaimana pada hari ini.
Pantun merupakan satu puisi Melayu yang berangkap. Rangkap pantun pada kebiasaannya mempunyai empat rangkap tetapi pantun boleh mempunyai rangkap yang genap bermula daripada dua, empat, enam sehingga empat belas. Setiap pantun mempunyai pembayang, separuh rangkap pertama, dan maksud, separuh rangkap kedua.
Setiap baris pantun mempunyai sembilan atau sepuluh suku kata walaupun terdapat rangkap pantun yang mempunyai lapan sehingga dua belas suku kata. Pantun mementingkan keseimbangan bunyi antara rangkap pembayang dengan rangkap maksud.
ABSTRAK
Kajian ini merupakan kajian tentang pantun yang bertemakan cinta dan kasih sayang di kalangan masyarakat Orang Asli Mahmeri. Kumpulan Orang Asli ini adalah subgolongan Senoi yang mendiami bahagian pesisir pantai negeri Selangor terutama di Pulau Carey.
Pantun ini diperolehi hasil daripada penyelidikan di Kampung Sungai Judah, Kampung Sungai Rambai, dan Kampung Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor. Pantun bertemakan cinta dan kasih sayang ini dapat diklasifikasikan kepada berkenalan dan usik-mengusik; berkasih, bersetia dan kepuasan berkasih; kasih menumpang, cemburu dan bercerai; dan kegagalan dan penyesalan yang selari dengan Melayu. Umumnya, pantun Mahmeri menyerupai pantun Melayu kerana amalan berpantun adalah peminjaman daripada budaya Melayu hasil hubungan sosial masyarakat ini dengan orang Melayu tempatan khususnya di kawasan Kelanang dan Jugra, di Kuala Langat.
Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Orang Asli Mahmeri Pulau Carey ini mempunyai perasaan dan luahan rasa yang lebih kurang sama dengan orang Melayu. Berpantun merupakan salah satu saluran bagi mereka untuk menyatakan perasaan dan luahan rasa yang terbuku di hati. Pantun yang dicipta itu pula amat indah sekali dan secara langsung melambangkan ketinggian daya kreativiti mereka serta dapat meletakkan kelompok masyarakat Orang Asli ini sebaris dengan bangsa lain.
Pengenalan
Bercinta merupakan saat paling manis dalam pengalaman hidup seseorang. Ketika itu, janji setia dilafazkan sebagai pembuktian cinta abadi, usik mengusik dan senda gurau ditimbulkan hingga kadang kala ada yang merajuk dan minta dipujuk. Luahan perasaan sebegini disampaikan oleh pasangan kekasih itu melalui pelbagai cara. Antara penyampaian yang cukup menarik dan diwarisi daripada tradisi silam ialah menerusi pantun. Pemilihan kata-kata dan keterikatan ciri-ciri tradisi lisan ini, memperlihatkan keunikan dan keindahan pantun dalam menyampaikan mesejnya.
Sungguhpun begitu, selain masyarakat Melayu di Nusantara, pantun juga digunakan di kalangan masyarakat Orang Asli khususnya golongan Mahmeri untuk meluahkan rasa cinta dan kasih sayang mereka (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2002a, 2002b, dan 2002c.).
Mahmeri Dan Tradisi Berpantun
Mahmeri ialah kumpulan Orang Asli daripada subgolongan Senoi. Masyarakat ini mendiami Pulau Carey yang terletak di pesisir pantai barat negeri Selangor. Pulau ini adalah sebahagian daripada daerah Kuala Langat yang dipisahkan dari tanah besar oleh Sungai Langat.
Jarak Pulau Carey dengan bandaraya Kuala Lumpur ialah sekitar 50 kilometer. Di sini terdapat enam buah penempatan masyarakat Mahmeri iaitu di Kampung Sungai Judah, Kampung Bumbun, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kepau Laut, Kampung Sungai Jugra dan Kampung Sungai Kurau (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2002a).
Jumlah penduduk masyarakat ini ialah sekitar 2,185 orang iaitu kira-kira 2.4% daripada sejumlah keseluruhan 92,529 Orang Asli di Malaysia (Nicholas, 2000). Kumpulan masyarakat Orang Asli ini berbahasa Sisi ataupun Bersisi dan masih mengamalkan kepercayaan animisme iaitu kepercayaan dan penghormatan ke atas roh datuk nenek yang dikenali sebagai moyang (Werner, 1974; Carey, 1973 dan 1976).
Tradisi berpantun bagi masyarakat Mahmeri ini dikatakan adalah hasil hubungan mereka dengan orang Melayu khususnya di kawasan pesisir Sungai Langat yang menganjur ke muara termasuk di Jugra dan Kelanang. Pertembungan ini berlaku kerana masyarakat Mahmeri sejak dahulu lagi menggunakan pengangkutan air untuk menjalankan aktiviti harian seperti menangkap ikan, mengumpul kayu bakau, menetak daun nipah dan mengutip hasil hutan di pesisiran pantai pulau itu.
Pertembungan itu tidak dapat dielakkan kerana orang Melayu setempat juga menjalankan kegiatan serupa di lokasi yang sama. Selain itu, mereka mendakwa bahawa keturunan Mahmeri ini pernah menjadi hamba raja kepada Sultan Selangor yang ke-4 iaitu Sultan Abdul Samad (1857-1898) yang bersemayam di Jugra.
Pada masa itu Orang Asli Mahmeri dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kelengkapan perburuan dan juga membekalkan hasil-hasil hutan ke istana. Hubungan yang sedemikian rapat antara masyarakat Mahmeri dengan orang Melayu di lembangan Sungai Langat itu telah memungkinkan budaya Melayu seperti berpantun itu dipinjam dan diserap oleh mereka.
Dalam konteks yang sama, Skeat dan Blagden (1966: 360) mendakwa bahawa bonda Sultan Abdul Samad itu sendiri adalah kacukan Orang Asli. Jika andaian ini benar ia dapat menjawab persoalan kenapa masyarakat Mahmeri begitu rapat sekali dengan Sultan Abdul Samad ketika itu seperti yang didakwa oleh Pion anak Bumbun ketua pengukir patung dan juga pakar rujuk adat di Kampung Sungai Bumbun.
Pantun yang dipelajari dan dikuasai hasil dari pertembungan dengan budaya Melayu ini rata-rata bertemakan cinta dan kasih sayang. Sesuai dengan cita rasa, kemampuan berbahasa Melayu dan keindahan bentuk puisi itu sendiri tradisi ini mungkin dipinjam dan digunapakai serta diasimilasikan ke dalam budaya mereka bagi meluahkan perasaan cinta dan kasih sayang.
Menurut Mohd. Halim Marzuki (2001), pantun Mahmeri kadang kala disampaikan dalam bentuk nyanyian sama seperti orang Melayu menyampaikan dondang sayang. Nyanyian itu selalunya diiringi oleh persembahan muzik tradisi dan dinyanyikan ketika tarian tradisi masyarakat Mahmeri yang dikenali sebagai tarian Jooh ditarikan. Shaiful Bahri Md. Radzi (2003) menjelaskan bahawa tarian Jooh mempunyai dwifungsi.
Pertamanya, sebagai tarian ritual yang ditarikan ketika Hari Moyang untuk pemujaan moyang (semangat dan roh) bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kemurahan rezeki. Selain berfungsi ritual, tarian ini dipersembahkan juga sebagai satu bentuk hiburan biasa dalam acara keramaian seperti pada hari perkahwinan dan menyambut kedatangan tetamu luar.
Dalam fungsi kedua inilah kebiasaannya pantun bertemakan cinta dan kasih sayang ini disampaikan secara berlagu dalam suasana riang ria penuh dengan nada senda gurau dan ejek mengejek.
Antara pemantun-pemantun yang sering terlibat ialah Ayun Indu, Zainab Sagap, Daiman Peron dan Miyah Adu dari Kampung Sungai Judah dan Faridah Alang (Mak Datin) dan suaminya Batin Dollah dari Kampung Sungai Rambai. Mereka amat meminati seni berpantun ini dan telah melibatkan diri secara langsung dengan persembahan tarian Jooh sejak kecil lagi.
Pantun Cinta Dan Kasih Sayang
Selari dengan pantun Melayu, pantun Mahmeri juga merupakan puisi terikat dengan empat baris serangkap sahaja lengkap dengan pembayang dan bahagian maksudnya. Setiap rangkap pantun itu pula mampu menyampaikan keseluruhan idea.
Kadar suku kata setiap baris juga sekitar 8 hingga 12 serta berima akhir abab. Terdapat cuma dua jenis tema sahaja yang diungkap oleh masyarakat ini iaitu cinta dan kasih sayang serta tema sambutan (mengalu-alukan kedatangan tetamu ketika hari keramaian) (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2002a, 2002b dan 2003).
Daripada sejumlah 124 rangkap pantun yang dikumpulkan sama ada dalam bahasa Besisi mahupun Melayu, terdapat 105 rangkap adalah pantun bertemakan cinta dan kasih sayang. Jika diperhalusi, tema cinta dan kasih sayang yang sering diutarakan dalam pantun Mahmeri itu dapat diklasifikasikan kepada beberapa pembahagian yang lebih kecil lagi.
Harun Mat Piah (1989) dalam konteks pantun Melayu mengklasifikasikan tema ini kepada beberapa subtema lain seperti berikut:
- berkenalan dan usik-mengusik;
- berkasih, bersetia dan kepuasan berkasih;
- kasih menumpang, cemburu dan bercerai; dan
- kegagalan dan penyesalan.
Empat pembahagian yang dilakukan oleh Harun Mat Piah ini dapat dijadikan asas kepada pembahagian pantun Mahmeri. Dengan kata lain, pantun ini bukan sahaja selari dari segi bentuk tetapi juga ia bersamaan dari segi mesej yang ditampilkan.
Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa masyarakat Mahmeri dan Melayu itu mempunyai pengalaman bercinta yang sama berdasarkan pantun yang mereka miliki.
Berkenalan Dan Usik Mengusik
Titik permulaan alam percintaan ini lazimnya ialah perkenalan antara pasangan teruna dan dara. Melalui perkenalan seperti inilah timbulnya bibit-bibit kemesraan untuk memahami isi hati masing-masing. Di peringkat ini, pasangan itu sering usik mengusik untuk mencari kesesuaian dan kesefahaman antara mereka. Pengalaman ini terakam juga dalam pantun Mahmeri seperti di bawah:
Log nyireh tepi bebe
Haga gul edeih ngot
Guhub gerih mase kabe
Haga ubat hek ngot
Kayu nyireh tepi tebing
Hendak ambil tangan tak sampai
Sakit hati apa buat
Hendak mengubat saya tak tahu
2
Tekoh tepois bunga merah
Belog hak tepi meri
Wahai adik edek marah
Kalau marah eet ai diri
Pokok tepos bunga merah
Tumbuh mari tepi hutan
Wahai adik jangan marah
Kalau marah saya bawa diri
Kalau tuan haga bertemuk
Dedei eet seg tanjong
Kalau tuan tanam temu
Tanam juga tebu enjong
Kalau tuan hendak bertemu
Tunggu saya depan tanjung
Kedua-dua contoh ini memperlihatkan dengan jelas niat penuturnya untuk membuka bicara perkenalan atau menguji sama ada cintanya berbalas ataupun tidak. Apabila sudah berkenan antara satu sama lain maka keinginan untuk bertemu amat tinggi sekali seperti ajakan yang digambarkan dalam pantun ke-3, kalau tuan hendak bertemu, tunggu saya depan tanjung.
Faktor muka bumi Pulau Carey yang di kelilingi air sudah tentunya terdapat tanjung yang menyediakan tempat sesuai untuk bertemu jauh dari gangguan orang lain.
Berkasih, Bersetia Dan Kepuasan Berkasih
Apabila kasih mesra telah terjalin maka hubungan itu akan cuba dipupuk dengan sumpah setia, dan janji manis seolah-olah ia akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Pelbagai bentuk luahan perasaan yang berbuku di hati dinyatakan bagi meyakinkan cinta terhadap pasangannya. Gambaran seperti ini tidak ketinggalan dilakarkan dalam pantun Mahmeri dan antaranya:
Pucuk pegaga masak rebus
Campur dengan ikan gelama
Mulut naga dapat saya rebut
Inikan pula di tangan orang
Pantun ini bagaikan satu lafaz sumpah setia yang diucapkan untuk meyakinkan tentang kesetiannya terhadap gadis idaman. Ketika berkasih seperti ini, sesaorang itu sanggup melakukan apa sahaja yang di luar dugaan asal sahaja orang yang dipuja itu tetap menjadi miliknya. Tindakan ini dinyatakan secara metafora, mulut naga dapat saya rebut, inikan pula di tangan orang (pantun 4).
Selain itu, bermenung dan berangan-angan sambil mengingati kekasih sudah menjadi lumrah dalam bercinta. Pelbagai harapan dan impian yang indah-indah dibayangkan dan diangan-angankan untuk sehidup semati bersama kekasih. Gambaran ini turut diungkap dalam pantun Mahmeri Pulau Carey di bawah:
Haga kaca laut hap
Ka lundu kaca kele
Haga ngayuh pahuk hap
Gerih rindu tahat kele
Hendak makan laut habis
Ikan lundu makan juga
Hendak mengayuh dayung tiada
Hati rindu ku tahan jua
Duei nohok duei lamet
Haga ketek dengan selup
Haga getek leg met
Edep ingat mah elep
Duri ini duri lamet
Hendak dipotong dengan selup
Hendak tidur, tidurlah mata
Jangan ingat orang jauh
Gula nohok gula batu
Gul niung bei pengat
Walau elep beribu batu
Hik kelak eet ingat
Gula ini gula batu
Ambil kelapa buat pengat
Walau jauh beribu batu
Awak juga yang saya ingat
Yek cok biar ingat
Adik ha tohok dak ale
Ambil kelapa masak pengat
Campur dengan isi ubi
Abang pergi biar ingat
Adik di sini ada lagi
Usah yek kenang henum
Kenang montet ha kela
Buah pinang masak banyak
Jatuh bersepah di pokok ubi
Jangan abang kenang banyak
Kenang sikit lebih baik
Persoalan ingat mengingati dan kenang mengenang ini juga menjadi mesej dalam pantun 7, 8 dan 9. Persoalan ini menekan kepada setiap pasangan supaya sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain sebagai tanda kasih antara mereka.
Kasih Menumpang, Cemburu Dan Bercerai
Cemburu adalah teman setia orang bercinta dan amat dominan dalam keadaan berkasih. Kata orang tua-tua cemburu itu tandanya sayang. Walau bagaimanapun, berdasarkan data yang dikumpulkan, hanya persoalan cemburu sahaja yang ada berbanding dengan pengalaman kasih menumpang, dan bercerai. Antara rakaman pantun Mahmeri yang mengetengahkan persoalan cemburu ini adalah seperti di bawah:
Pantun 10 hingga 15 di atas, dapat dikaitkan dengan persoalan cemburu. Setiap rangkap pantun itu seolah-olah cuba menguji kesetiaan seseorang itu ke atas kekasihnya. Pantun 11 sebagai contohnya, mengambarkan dengan jelas luahan rasa cemburu dan keraguan seseorang apabila melihat tindak tanduk atau perlakuan kekasihnya yang berbeza daripada keadaan sebelumnya.
Maka timbullah kenyataan seperti kalau awak ada orang lain, biar saya sendiri saja iaitu satu pernyataan yang bersifat merajuk ekoran daripada rasa cemburu. Dalam pantun 14 pula, dengan nada cemburu dan marah wanita yang bercinta itu menyatakan, macam mana adik marah, abang asyik merayau.
Rangkai kata abang asyik merayau ini seolah-olah membawa maksud bahawa jejaka itu diragui kekasihnya kerana bermain kayu tiga. Ini kerana selain wanita itu, jejaka itu mungkin disyaki menjalin juga hubungan dengan wanita lain.
Melalui pemaparan beberapa contoh ini, masyarakat Orang Asli Mahmeri ini tidak jauh bezanya dengan orang Melayu dalam mengungkap keluhan cemburu mereka dengan cara yang puitis sekali menerusi pantun.
Kegagalan Dan Penyesalan
Sungguhpun pengalaman bercinta cukup manis dan indah tetapi adakalanya ia berakhir juga dengan kegagalan. Kegagalan dalam percintaan itu amat pedih dirasakan oleh mereka yang mengalaminya. Persoalan kegagalan dan penyesalan akibat daripada bermain cinta itu diungkap juga dalam pantun Orang Asli Mahmeri Pulau Carey dan antaranya adalah seperti berikut:
Pengalaman kegagalan dalam percintaan jelas terbayang dalam pantun 16 hingga 20. Dengan nada sayu kegagalan hubungan mesra antara teruna dara itu dikatakan berpunca daripada perubahan hati salah seorang daripada pasangan itu dalam pantun 16.
Perubahan hati itu diungkap dengan begitu indah sekali melalui kiasan terhadap fenomena alam apabila ia disampaikan melalui rangkai kata alur sungai lagi berubah, inikan pula hati orang.
Kegagalan itu kadang kala menyebabkan seseorang itu merajuk seperti terlihat dalam rangkap hati luka terus merajuk (pantun 17) dan ada yang hampir gila kerana tidak dapat menerima hakikat tersebut hingga diungkap sebagai puas kenang puas tanggung, lama-lama jadi gila (pantun 18).
Ada juga yang mengambil tindakan yang lebih drastik lagi dengan meninggalkan kampung halaman seperti dalam pantun 20. Walaupun begitu, tindakan yang paling lumrah ialah sekadar menangis meratapi kegagalan dalam percintaan dan menyesali terjalinnya hubungan tersebut seperti diungkap dalam pantun 19 puas saya fikir puas saya kenang, air mata jatuh berlinang.
Rujukan:
- Shaiful Bahri Md. Radzi, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Carey, Iskandar. 1973. A brief account of the Mahmeri. JMBRAS. Vol. 46 (2) pp: 185-194.
- Carey, Iskandar. 1976. Orang Asli. The abroginal tribes of peninsular Malaysia. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
- Mohd. Halim Marzuki. 2001. Jooh: Seni tarian tradisional kaum Asli Mahmeri. Kertas Projek Ijazah Sarjanamuda Sastera (Kepujian). Bangi: Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (Tidak diterbitkan).
- Nicholas, Colin. 2000. The Orang Asli and the contest for resources. Indigenous politics, development and identity in Peninsular Malaysia. Copenhagen: International Work Group for Indigenous Affairs.
- Shaiful Bahri Md. Radzi. 2002a. Pantun dalam masyarakat Orang Asli Mahmeri. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Antarabangsa Pantun. Hotel Istana Kuala Lumpur, 1 3 Julai 2002.
- Shaiful Bahri Md. Radzi. 2002b. Pantun Mahmeri. Kertas Kerja dibentangkan di Bicara Pengajian Melayu. Pusat Sumber, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, UKM, 15 Oktober 2002.
- Shaiful Bahri Md. Radzi. 2002c. Pantun: Manifestasi Budaya Orang Asli Mahmeri. Dewan Budaya. Jil. 24 (11) ms: 60 61.
- Shaiful Bahri Md. Radzi. 2003. Tarian Jooh Mahmeri. Dewan budaya. Jil. 25 (3) ms: 44 45.
- Skeat, W.W. and Blagden, C.O. 1966. Pagan races of the Malay peninsula. London: Frank Cass. [First published 1906].
- Werner, Roland. 1974. Mahmeri art and culture. Kuala Lumpur: University Malaya Press.
Sumber, rujukan dan bibliografi:
- Pantun Cinta Mahmeri Oleh Shaiful Bahri Md. Radzi, Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
- Persuratan Melayu 2
- Pantun Melayu Sastera Rakyat
- Pantun Serbaneka
- Pantun Adat Dan Resam Manusia
- Kumpulan Pantun Melayu, Dbp 1983
- Sumber Internet Dan Buku Teks Sekolah
Sumber pantun:
- Kumpulan Pantun Melayu oleh Zainal Abidin Bakar, DBP 1992.
- Alam Puisi Melayu, Oleh Darus Ahmad, Pulau Pinang: Sinaran Bros., 1957.
- Anggun Cik Tunggal Putera Malang, Diceritakan Semula Oleh Matlob, Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti, 1977.
- Bongsu Pinang Peribut, Disusun Oleh Hamsiah Abdul Hamid, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1964.
- A History Of Classical Malay Literature, Oleh R O Winstedt, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1969.
- Hikayat Anggun Cik Tunggal, Disusun Oleh R.O. Windstet, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1960.
- Hikayat Hang Tuah, Diselenggarakan Oleh Kassim Ahmad, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1975
- Hikayat Inderaputera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1968.
- Hikayat Malim Deman, Disusun Oleh R.O. Windstet Dan A.J. Sturrock, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1957.
- Hikayat Panji Semirang, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1968 (Cetakan Ke 4).
- Hikayat Raja Muda, Disusun Oleh R.O. Windstet, Singapura: Malaya Publishing House, 1960.
- An Introduction Of Malay Pantuns, Oleh Goh Thean Chye, Kuala Lumpur: Department Of Chinese Studies, Universiti Malaya, 1980.
- Kajian Pantun Melayu, Oleh Omardin Haji Ashaari, Singapura: Malaya, Publishing House, 1961.
- Kajian Puisi Melayu, Disusun Oleh Harun Aminurrashid, Singapura: Pustaka Melayu, 1960 (Cetakan Ke-4).
- Koleksi Pantun Zakaria Hitam
- Kumpulan Pantun Lisan (Bongai) Negeri Sembilan
- Langgam Sastera Lama, Oleh Ghazali Dunia, Kuala Lumpur: Oxford University Press 1969.
- Malay Pantuns, Oleh A.W.Hamilton, Singapore: Eastern Universities Press, 1959.
- Meninjau Pantun Melayu Lama (Di Pedalaman Dungun), Oleh Mohd Ali Bin Hitam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 1967.
- Misa Melayu, Oleh Raja Chulan, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1968.
- Pantun, Oleh Mohd Yusof Arshad, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1961.
- Pantun Berkait, Oleh A Kadir Ahmad, Singapura: Malaysia Publications Limited, 1964.
- Pantun Bunga Rampai, Disusun Oleh Abdul Samad Ahmad, Kelang
- Pantun Dondang Sayang Baba Kim Teck, Manuskrip, (Tersimpan Di Koleksi Melayu, Perpustakaan, Universiti Malaya).
- Pantun Dondang Sayang Baba-Baba Peranakan Vol 2 Dan 5, Singapura: Koh & Company, 1916.
- Pantun Melayu (Ab), Disusun Oleh Ahmad Babji, Kuala Lumpur: Geliga Limited, 1958.
- Pantun Melayu (Bp), Jakarta: Balai Pustaka, 1958 (Cetakan Ke 7)
- Pantun Melayu (W), Disuntng Oleh R.T. Wilkinson Dan R.O Winstedt, Singapura: Malaya Publishing House, 1961.
- Pantun Melayu Sastera Rakyat, Oleh Alias Yunos, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1966.
- Pantun Moden Dan Klasik, Disusun Oleh Goenawan Jasmin, Singapura: Penerbitan Solo Enterprise, 1975.
- Pantun Peribahasa Melayu, Oleh Loo Mun, M.A., Selangor: Mary Josephine Thoo, 1968.
- Pantun Serbaneka, Disusun Oleh Abdul Halim R., Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1968.
- Perincis Pantun, Oleh Tajuk Kelantan, Pulau Pinang: Sinaran Bros., 1958.
- Persuratan Melayu 2: Puisi, Disusun Oleh A.H. Edrus Singapura: Qalam, 1961.
- 35. Persuratan Melayu: Lama-Baru, Oleh Darus Ahmad, Pulau Pinang: Sinaran Bros., 1960.
- Petua Mengarang Pantun Melayu, Disusun Oleh Muhammad Haji Hussain, Pulau Pinang: Sinaran Bros., 1957.
- Raja Donan, Oleh Zaharah Khalid, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1963.
- Sastera Melayu Lama, Oleh Annas Haji Ahmad, Pulau Pinang: Sinaran Bros., 1964.
- Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, Oleh Liaw Yock Fang, Singapura: Pustaka Nasional, 1977.
- Sejarah Melayu, Singapura: Geliga Limited, 1956.
- Selampit, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1965.
- Selindung Bulan Kedah Tua, Disusun Oleh Awang Had Salleh, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1964.
- Siti Nurbaya, Oleh Marah Rusli, Jakarta: Balai Pustaka 1957.
- Warisan Puisi Melayu, Disusun Oleh Prof. Mohd. Taib Osman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1975.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan