Sabtu, 6 November 2010

KAJIAN-KAJIAN BUDAYA: Senibina Rumah Melayu Tradisional, Tarian Piring, Adat Bersompoh, Kesenian Tembikar Ponggal Dan Adat Membakar Mercun Dan Bunga Api Masyarakat Cina Di Daerah Kuala Selangor

KAJIAN I

1. SENI BINA RUMAH MELAYU TRADISIONAL

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SENI BINA RUMAH Melayu tradisional dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta hubungan mereka yang sangat erat dengan alam sekitar. Rumah orang Melayu berbumbung panjang dan bertebar layar serta tidak berpaku. Rotan atau akar digunakan untuk mengikat persendian. Bahagian dalaman rumah dihiasi dengan pelbagai bentuk ukiran yang bermotifkan alam semula jadi. Seni bina rumah Melayu tradisional juga dipengaruhi oleh unsur-unsur dari luar khususnya dari alam Melayu seperti Minangkabau, Pattani, Acheh, Jawa, Bugis, Riau, Jambi dan Bajau.

Aspek estetika rumah Melayu terpancar pada reka bentuknya yang indah, bermula dari halaman yang redup oleh pepohon bunga dan ulaman, lewat tangga yang tersusun, anjung yang nyaman, serambi yang luas serta bilik dan dapur yang selesa. Konsep rumah Melayu ini kemudian dikembangkan kepada istana, masjid dan surau.Aspek kekuatan pada seni bina orang Melayu pula terlihat pada binaan kota-kotanya yang besar dan tegap yang kekal hingga ke hari ini. Orang Melayu juga amat kuat berpegang kepada adat dan suruhan serta tegahan agama Islam. Dengan demikian kita dapat melihat seni bina masjid yang indah di seluruh Alam Melayu. Keindahan seni bina Melayu yang awal ini dapat dikesan melalui epigrafi Islam pada nisan-nisan yang awal.

Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-rukang yang mahir ini telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu dan haruslah dikekalkan dalam bentuk yang kekal dan selamat.

Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah Melayu ialah faktor iklim, agama Islam, sosial dan alam sekitar. Faktor agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan. Faktor iklim pula menyebabkan sebahagian besar rumah Melayu tradisional ini bertiang atau berpanggung dengan lantainya tinggi daripada permukaan tanah yang dapat mengatasi kelembapan tanah. Selain itu dapat mencegah ruang di dalam rumah ditenggelami air jika berlaku banjir.

Pada peringkat awal rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk rumah ini berubah mengikut arus perubahan di mana kemudiannya muncul pula rumah bertiang atau berpanggung dengan kedudukan lantainya yang tinggi dari aras tanah dan mengandungi ruang serta berdinding. Bentuk bumbung seperti huruf V terbalik diperkenalkan. Pada pertemuan di sebelah puncak tutup bumbungnya dipisahkan oleh banir yang dipanggil tulang perabung atau tulang bumbung. Bentuk bumbung ini dikenali juga dengan bumbung lipat kajang atau bumbung panjang. Selepas kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris, rumah berubah bentuk kepada bentuk limas atau bumbung Belanda.

Selaras dengan perubahan dan perkembangan teknologi, kaedah membina rumah juga berubah. Di peringkat awal, sistem mendirikan rumah hanya dengan cara diikat dan tarahan tanggam. Sistem tebuk kemudiannya diperkenalkan. Begitu juga penggunaan paku kayu yang dikenali juga dengan pemeting untuk menguatkan persediaan rangka rumah. Pada peringkat awal tiang rumah berbentuk bulat dan rotan atau akar digunakan untuk menguatkan persendian. Tarahan tanggam dibuat untuk mengejapkan persendian seterusnya tiang bersegi dan ditebuk untuk laluan kayu rasuk dan alang serta dibaji.

Penggunaan alat seperti ketam, gergaji dan alat tebuk menebuk membolehkan lantai dan dinding rumah yang lebih baik bagi menggantikan balak kayu yang digergaji. Penggunaan papan untuk dinding dan lantai diperkenalkan untuk menguat dan merapi rumah. Susunan sambung menyambung untuk dinding yang dikenali dengan sambungan tindih kasih dan sambung berlidah telah memperlihatkan susunan dinding secara melintang, menegak dan juga menyerong.

SEJARAH ASAL USUL

Pengaruh kebudayaan luar khususnya daripada Kepulauan Melayu seperti Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, dan Bajau telah mempengaruhi senibina dan reka bentuk rumah Melayu. Maka lahirlah rumah berbentuk Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, Bajau dan lain-lain. Kedatangan penjajah Barat khususnya Belanda dan Inggeris telah menyebabkan rumah Melayu berubah bentuk daripada rumah bumbung panjang kepada rumah limas iaitu berbeza pada kedudukan bumbungnya.

Imigrasi masyarakat Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau dan Jambi ke negeri Selangor antara tahun 1700 – 1800 telah membawa bersama kesenian nenek moyang mereka. Begitu juga dengan kesenian membina rumah kediaman. Seni ukiran kayu di rumah-rumah Melayu daerah Kuala Selangor terutama pada papan, tangga, tiang, alang dan sebagainya jelas memperlihatkan pengaruh bangsa-bangsa ini. Warisan ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah ke hari ini.

Dikatakan semua negeri di Malaysia, rumah Melayu tradisional terdiri dari rumah bumbung panjang tetapi selepas kedatangan penjajah ia berubah bentuk kepada bentuk limas atau bumbung Belanda. Di Kedah dan Perlis, rumah Melayu yang berbumbung panjang dikenali dengan Rumah Serambi Kedah atau kadangkala dipanggil, rumah panjang sahaja. Di Kelantan dan Terengganu, terdapat dua jenis rumah bumbung panjang iaitu rumah tiang dua belas dan rumah bujang. Di Pulau Pinang dan Seberang Prai, rumah berbumbung panjang ini dipengaruhi oleh senibina rumah panjang di Melaka. Di Perak, rumah bumbung panjang dikenali dengan Rumah Kutai dan Rumah Potong Pattani.

Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, rumah bumbung panjang dipengaruhi oleh senibina rumah bumbung panjang di Melaka dan Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan, rumah bumbung panjang dipengaruhi oleh senibina rumah adat atau rumah gadang dari Minangkabau dan terbahagi kepada rumah bujang, rumah tiang dua belas dan rumah tiang enam belas. Di Melaka rumah bumbung panjang juga dikenali dengan Rumah Serambi Melaka dan terbahagi kepada rumah tiang dua belas dan rumah tiang enam belas.

Di daerah Kuala Selangor, senibina rumah Melayu di sini dipengaruhi oleh senibina rumah bumbung panjang di Melaka dan Negeri Sembilan. Bentuk sesebuah rumah dikenal pasti berdasarkan bentuk bumbung. Bumbung merupakan elemen terpenting yang membezakan bentuk–bentuk rumah tradisional di Kuala Selangor. Bentuk rumah terawal dibina di Kuala Selangor ialah bentuk bumbung panjang dan bertebar layar dikenali dengan dangau atau teratak atau dikenali dengan rumah gajah menyusu kerana rumah ini disambung dengan satu unit lagi rumah yang lebih kecil ukirannya. Bumbung serta lantai lebih rendah daripada rumah ibu dan ruang tambahan dijadikan ruang dapur. Dibina dengan menggunakan bahan-bahan seperti buluh, kayu bulat, kulit kayu dan beratap daun. Sistem sendi yang mudah iaitu diikat dengan rotan atau akar kayu.

Bentuk rumah Melayu paling popular di Kuala Selangor sebelum kedatangan pengaruh asing ialah rumah berserambi. Rumah ini mempunyai bumbung yang panjang dan melintang. Biasanya rumah jenis ini mempunyai dua pemeleh yang besar dan tebal di setiap hujung perabung. Terdapat beberapa bentuk rumah ini dengan berbagai nama berdasarkan ruang dan tiang. Jika rumah dibina atas enam batang tiang dikenali dengan rumah bujang atau rumah berpeleh tiang enam. Jika terdapat dua unit rumah tiang enam yang bercantum dikenali dengan rumah bujang atau rumah tiang enam berkembar. Jika didirikan di atas dua belas batang tiang dikenali dengan rumah berserambi atau rumah tiang dua belas dan jika ditambah empat batang lagi maka ia dikenali dengan rumah berserambi tiang enam belas.

Di Kuala Selangor, rumah berserambi biasanya menggunakan empat keping pemeleh di setiap hujung perabung. Jika menggunakan tiga keping pemeleh, ia dikenali dengan rumah berserambi selasar dan lantai ruang selasar lebih rendah daripada lantai serambi. Terdapat sebuah tangga yang menghubungkan serambi dan selasar dan antara selasar dengan tanah.

Wawancara dengan Mohd Azrin Hussein pada 29 November 2006 di No. 165, Jalan Sekendi, Kampung Batu 38, Sabak Bernam, Selangor

Setiap ruang mempunyai makna dan fungsinya. Di peringkat awal, rumah ibu sahaja yang dibina tetapi bila anggota keluarga bertambah, ruang rumah juga bertambah. Maka lahirlah rumah tiang dua belas atau rumah serambi dua ruang, rumah tiang enam belas atau rumah serambi tiga ruang. Terdapat tiga ruang utama iaitu ruang formal, ruang aktif dan ruang pasif. Ruang formal merupakan ruang bagi tuan rumah menerima kunjungan tetamu iaitu seperti di serambi, selasar dan dapur. Ruang aktif pula merupakan ruang bahagian belakang di m na aktiviti harian keluarga berlaku. Manakala ruang pasif ialah bahagian ibu rumah dan bilik-bilik tidur yang terletak di antara ruang aktif dan ruang formal.

Terdapat juga ruang yang dikhaskan untuk kaum lelaki dan ruang untuk kaum perempuan. Mengikut adat resam orang Melayu, orang lelaki tidak dibenarkan memasuki ruang orang perempuan tanpa izin kecuali anggota keluarga sendiri. Walau bagaimana pun terdapat ruang yang digunakan oleh kedua jantina ini seperti perigi dan dapur. Ruang rumah Melayu Kuala Selangor juga tidak berbilik kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul secara beramai-ramai untuk majlis keramaian dan juga upacara keagamaan.

Secara terperinci, ruang-ruang yang terdapat pada rumah Melayu tradisional di Kuala Selangor ialah anjung atau sorong serambi, selasar, rumah ibu, bilik, serambi dalam, dapur, pelantar atau lambur atau jemuran dan ruang bawah rumah. Pengurusan ruang dalam rumah Melayu sedemikian rupa adalah untuk memenuhi kehendak penghuni dan masyarakat berdasarkan sosio budaya, ekonomi dan agama.

Ruang lambur merupakan ruang yang terbuka, tidak berdinding dan tidak beratap bagi sesetengah rumah. Kedudukan di antara tangga dan selasar, serambi, sorong atau beranda di bahagian hadapan rumah dan di antara tangga dengan dapur di bahagian belakang rumah. Lambur berfungsi sebagai tempat berinteraksi secara tidak formal. Di bahagian belakang lambur dipanggil ruang menjemur atau membasuh pakaian, pinggan mangkuk, atau berinteraksi dengan jiran-jiran.

Tangga sesebuah rumah biasanya tidak disambung terus ke ruang selasar atau dapur. Tujuannya untuk memberi peluang seseorang yang telah keluar rumah dan bila pulang ke rumah berhenti sekejap di lambur sebelum masuk ke serambi atau dapur. Masyarakat Melayu percaya bila seseorang itu keluar rumah, makhluk halus selalunya akan mengikutinya.

Ruang beranda ialah ruang yang menghubungkan tangga, dan ibu rumah. Kedudukan lantai beranda lebih rendah dan ia berfungsi sebagai tempat berehat kaum lelaki pada waktu petang. Di samping itu juga menjadi tempat tidur anak-anak muda pada waktu malam. Ruang anjung pula biasanya digunakan kaum lelaki untuk menjalankan kerja-kerja rumah seperti menganyam bakul, membaiki pukat, jaring dan lain-lain.

Biasanya lantai serambi sama tinggi dengan lantai rumah ibu pada rumah serambi. Ruang ini juga dikenali sebagai ruang lelaki kerana keseluruhannya digunakan oleh lelaki seperti untuk berehat dan tempat tidur anak-anak lelaki. Oleh kerana ruang ini terbuka , maka majlis adat dan agama seperti perkahwinan, tahlil dan lain-lain diadakan. Sementara ruang tengah pada sesetengah rumah di Kuala Selangor adalah terdiri daripada rumah ibu. Kedudukannya ialah di antara ruang hadapan dan ruang belakang. Ruang ini dikhaskan untuk keluarga sahaja. Biasanya dibatasi dengan dinding.

Ruang dapur pula dikenali sebagai ruang perempuan iaitu sebagai ruang untuk meraikan tetamu perempuan selain daripada tempat memasak. Kedudukan lantai dapur lebih rendah daripada rumah ibu dan serambi. Manakala ruang bawah rumah pula menjadi tempat bengkel atau stor. Berbagai aktiviti dijalankan seperti bertukang, menumbuk padi, menerap batik dan lain-lain. Juga sebagai tempat menyimpan barang seperti alat pertanian, kayu api atau memelihara binatang.


2. TARIAN PIRING

PENDAHULUAN

DAERAH KUALA SELANGOR memang popular dengan ‘Seni dan Budaya’ yang merangkumi semua aspek kehidupan masyarakatnya. Selain daripada adat, ‘Seni dan Budaya’ daerah ini juga mempunyai keunikan yang tersendiri, yang mungkin berlainan dengan seni dan budaya di tempat-tempat lain. Keunikan yang tersendiri inilah, yang memberi imej dan jatidiri yang tersendiri kepada negeri ini berbanding dengan negeri lain.

Sesungguhnya, suatu ketika dulu, terdapat suatu kesenian yang indah dan menarik di dalam sistem adat perkahwinan masyarakat Melayu di daerah ini. Jika di daerah-daerah lain, pasangan pengantin atau mempelai yang sedang menjadi ‘raja sehari’, di atas pelamin, di dalam atau di halaman rumah, hanya disajikan atau ‘diacarakan’ dengan adat seni persilatan, berinai dan tepung tawar oleh kaum kerabat dan sahabat handai, tetapi bagi ‘raja sehari’di daerah ini, mereka mempunyai satu acara tambahan lain iaitu Tarian Piring.

Tidak dapat dinafikan bahawa perkataan Tarian Piring sudah pastilah berasal daripada perkataan ‘tari’ dan ‘piring’. Hakikat ini tidak dapat disangkal, yang memang terbukti kebenarannya. Seseorang penari amat bergantung kepada piring-piring untuk mencantikkan persembahannya. Tanpa piring di tangan mereka, tarian akan menjadi hambar.

Piring-piring yang diletakkan di tangan kanan dan kiri boleh mempengaruhi rentak dan gaya tarian seseorang. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa perkataan Tarian Piring adalah membawa maksud ‘piring yang ditarikan’ atau ‘tarian yang menggunakan piring’.

SEJARAH DAN ASAL USUL

Tidak dapat dipastikan dengan tepat mengenai sejarah Tarian Piring. Namun, dipercayai bahawa ia telah wujud sekian lama di kepulauan Melayu sejak lebih 800 tahun yang lalu. Tarian ini dipercayai telah bertapak di Sumatera Barat atau lebih dikenali sebagai Minangkabau, dan berkembang hingga ke zaman Sri Viiaya.

Kemunculan kerajaan Majapahit pada kurun ke 16, yang menjatuhkan kerajaan Sri Vijaya telah mendorong perkembangan Tarian Piring ke negeri-negeri Melayu bersama-sama penghijrah atau orang-orang pelarian Sri Vijaya ketika itu. Di daerah Kuala Selangor, adalah dipercayai bahawa Tarian Piring di hadapan pengantin telah dibawa bersama oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat semasa mereka berhijrah ke Tanah Melayu kira-kira tiga atau empat abad yang lalu.

Mulai daripada masa tersebut hinggalah ke hari ini, Tarian Piring telah diterima sebagai sebahagian daripada upacara adat di majlis perkahwinan yang melibatkan persandingan di kalangan masyarakat di daerah ini suatu ketika dulu. Walaupun kesenian ini telah lama pupus di daerah ini namun kewujudannya suatu ketika dulu sempat juga mencuri hati para pengkaji untuk mengenalinya secara lebih dekat.

Tarian Piring dikatakan tercipta daripada ‘wanita-wanita cantik yang berpakaian indah, serta berjalan dengan lemah lembut penuh kesopanan dan ketertiban ketika membawa piring berisi makanan yang lazat untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa sebagai sajian.

Wanita-wanita ini akan menari sambil berjalan, dan dalam masa yang sama menunjukan kecekapan mereka membawa piring yang berisi makanan tersebut’. Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada kepercayaan dan konsep tarian ini. Tarian Piring tidak lagi dipersembahkan kepada dewa-dewa, tetapi untuk majlis-majlis keramaian yang dihadiri bersama oleh raja-raja atau pembesar negeri.

Keindahan dan keunikan Tarian Piring telah mendorong kepada perluasan persembahannya di kalangan rakyat jelata, iaitu di majlis-majlis perkahwinan yang melibatkan persandingan. Dalam hal ini, persamaan konsep masih wujud, iaitu pasangan pengantin masih dianggap sebagai raja iaitu ‘Raja Sehari’ dan layak dipersembahkan Tarian Piring di hadapannya ketika bersanding. Adat ini kian pupus dan jarang diamalkan di daerah Kuala Selangor hari ini.

Namun begitu, sekali sekala ada juga dipersembahkan, walaupun ia tidak lagi ditarikan atau dipersembahkan oleh wanita kerana pegangan, pengamalan dan pendekatan terhadap Islam yang semakin kuat dan menyeluruh di kalangan masyarakat.

Tarian Piring tidak banyak menggunakan peralatan tambahan semasa menari. Kebiasaannya, mereka hanya menggunakan piring atau ceper dan cincin khas yang disarungkan di hujung jari. Jumlah piring yang biasa digunakan ialah sekurang-kurangnya dua buah, iaitu satu di tangan kanan dan satu di tangan kiri. Namun, tiada jumlah maksima yang ditetapkan, kerana ia bergantung kepada kebolehan penari itu sendiri.

Saiz piring pula adalah bergantung kepada keselesaan penari untuk memegangnya. Piring atau ceper yang berukuran garispusat kurang daripada lima belas sentimeter sering menjadi pilihan penari, kerana pada saiz ini, mereka lebih mudah untuk menyeimbangkan antara gerakan atau hayunan tangan dengan kedudukan piring di tapak tangan.

Sesekali, para penari mungkin perlu mencengkam piring di tapak tangan menggunakan hujung jari agar tidak jatuh. Oleh itu, piring yang terlalu besar akan menyukarkan penari itu sendiri. Malah para penari akan menerima aib atau malu jika piring di tapak tangannya jatuh atau terlepas semasa menari.

Piring Batu yang berwarna putih pula sering digunakan semasa menari Tarian Piring. Penggunaan piring jenis ini disebabkan oleh warnanya yang mudah dilihat, khususnya ketika menari, disamping boleh menghasilkan bunyi yang lebih nyaring dan gemersik apabila diketuk. Selain piring, Tarian Piring juga memerlukan sejenis cincin yang disarung pada hujung jari penarinya. Tidak ada jenis cincin khusus yang ditetapkan dan mesti dipakai oleh penari Tarian Piring. Namun, setiap cincin yang dipakai oleh penari Tarian Piring mestilah mampu menghasilkan bunyi ‘ting ting ting...’ yang nyaring apabila diketuk di bahagian bawah piring semasa menari.

Oleh itu, demi menghasilkan bunyi yang menarik dan nyaring, kebanyakan penari lebih gemar menggunakan cincin jenis logam seperti timah yang diambil daripada jala ikan. Terdapat juga setengah-setengah penari menggunakan cincin yang dibuat khas daripada tempurung atau biji kelapa sawit yang telah dibuang isinya. Setiap penari mestilah memakai sekurang-kurangnya dua bentuk cincin, iaitu satu di tangan kiri, dan satu lagi di tangan kanan. Sementara jari yang biasa digunakan untuk cincin tersebut ialah sama ada Jari Telunjuk, Jari Manis atau Jari Hantu kerana ia lebih mudah untuk diketukkan ke piring ketika menari, berbanding dengan Jari Kelingking atau Ibu Jari.

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi Tarian Piring, memadai dengan pukulan Rebana dan Gong sahaja. Pukulan Gong amat penting sekali kerana ia akan menjadi panduan kepada penari untuk menentukan langkah dan gerak Tarian Piringnya. Pada kebiasaannya, kumpulan Rebana yang mengiringi dan mengarak pasangan pengantin diberi tanggungjawab untuk mengiringi persembahan Tarian Piring. Namun, dalam keadaan tertentu Tarian Piring boleh juga diiringi oleh alat muzik lain seperti Caklimpung dan Gendang.

Tarian Piring mempunyai peranan yang besar di dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu khususnya di daerah Kuala Selangor suatu ketika dulu. Pada dasarnya, persembahan sesebuah Tarian Piring di majlis-majlis perkahwinan adalah untuk tujuan hiburan semata-mata. Namun persembahan tersebut boleh berperanan lebih daripada itu. Persembahan Tarian Piring di dalam sesebuah majlis perkahwinnan boleh dirasai peranannya oleh empat pihak iaitu;

  1. kepada pasangan pengantin
  2. kepada tuan rumah
  3. kepada orang ramai
  4. kepada penari sendiri

Pasangan pengantin adalah orang yang diraikan di dalam majlis perkahwinan. Mereka digelar ‘Raja Sehari’. Oleh itu, persembahan Tarian Piring di hadapan mereka adalah pelengkap kepada hari bersejarah tersebut. Dalam masa yang sama pasangan pengantin akan merasa bahawa kehadiran mereka sebagai ‘raja sehari’ sedang dinanti-nantikan oleh orang ramai dengan simbolik ‘selamat datang’ melalui Tarian Piring tersebut.

Hal yang sama juga akan dirasai oleh kedua-dua ibu bapa serta keluarga pengantin. Mereka merasakan bahawa majlis persandingan tersebut belum tamat dan tidak lengkap jika tidak disertai dengan persembahan Tarian Piring.

Di kalangan orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan itu pula, selain sebagai suatu hiburan, mereka boleh memberi semangat kepada para penari Tarian Piring agar membuat persembahan yang lebih baik dan menyeronokkan. Malah, kadangkala orang ramai yang menonton akan turut serta menyertai persembahan tersebut, semata-mata untuk memeriahkan suasana atau untuk menunjukkan kebolehan mereka. Keadaan ini agak berbeza pula kepada para penari Tarian Piring itu sendiri. Setengah daripada penari Tarian Piring yang masih bujang, menunjukkan kehebatan mereka menari adalah untuk ‘memikat’ gadis-gadis pengiring daripada pihak yang bertandang atau gadis-gadis sekampung yang sedang menonton persembahan mereka.

Secara umumnya, Tarian Piring di dalam adat perkahwinan di daerah Kuala Selangor mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang amat jelas untuk dibezakan dengan lain-lain tarian. Ciri-ciri tersebut dapat digalurkan seperti berikut;

  1. Tarian Piring dipersembahkan di hadapan pasangan pengantin di sesuatu majlis perkahwinan.
  2. Tarian Piring dipersembahkan pada waktu siang.
  3. Tarian Piring kebiasaannya dipersembahkan di halaman atau di hadapan rumah
  4. Tarian Piring hanya ditarikan oleh orang lelaki sahaja.
  5. Tarian Piring boleh dipersembahkan oleh lebih dari seorang dalam sesuatu masa dengan jumlah penari yang ganjil, sama ada satu, tiga, lima, tujuh atau sembilan.
  6. Tarian Piring hendaklah dilakukan dengan menggunakan piring dan cincin sebagai peralatan atau hiasan.
  7. Tarian Piring mestilah diiringi muzik tradisional.
  8. Tarian Piring mesti dimulakan dengan sembah pengantin dan diakhiri juga dengan sembah pengantin.
  9. Tarian Piring disertai dengan bunyi ‘ting ting…’


3. ADAT BERSOMPOH

PENGENALAN

Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting. Salah satunya ialah adat bersompoh yang dilakukan sewaktu hari persandingan.

Bersompoh bermakna mendukung pengantin lelaki dan perempuan dari hujung jalan sehinggalah ke tengah halaman atau hadapan rumah. Pengantin lelaki akan duduk terkangkang di atas bahu pengusung manakala pengantin perempuan akan duduk secara sisi. Ini mencerminkan kesopanan dan kesusilaan seorang wanita di pandangan mata masyarakat.

Setelah kedua-dua pengantin ini duduk di atas bahu pengusung masing-masing maka mereka akan dibawa berjalan sambil diringi oleh paluan kompang atau dabus sehinggalah tiba di halaman hadapan rumah. Di sini sebuah pelamin sudah tersedia dan setelah kedua-dua pengantin ini duduk di atas pelain, muzik berentak silat pula akan dimainkan. Para pesilat akan mula mempersembahkan aksi mereka di hadapan pengantin atau raja sehari. Selalunya silat yang sering dipersembahkan ialah Silat Pulut, Silat Bunga dan Silat Pengantin.

SEJARAH ASAL USUL

Adat bersompoh yang dilakukan kepada kedua-dua pasangan Raja Sehari dalam masyarakat Melayu di daerah Kuala Selangor dikatakan berasal dari zaman silam. Adat ini dipercayai dicipta oleh segelintir anggota masyarakat yang terlalu gembira dengan majlis persandingan yang telah diadakan.

Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa adat ini tercipta kerana nazar. Contohnya Hassan bernazar sekiranya Si Milah atau Si Mamat berkahwin, dia akan mengusung kedua-kedua pengantin tersebut dari hujung jalan sehingga ke tengah halaman. Maka pada hari perkahwinan Milah dan Mamat, Hassan pun melampiaskan nazarnya.

Menurut Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari, adat bersompoh ini telah diamalkan oleh masyarakat Melayu di daerah Kuala Selangor sejak tahun 1940-an lagi. Boleh dikatakan adat ini akan dilakukan pada setiap pengantin dan akhirnya ia menjadi satu tradisi sehingga sekarang. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini adat ini tidak lagi dipraktikkan oleh masyarakat.

Kali terakhir adat bersompoh dilakukan oleh Tuan Haji Zakaria ialah pada tahun 1998, pada hari perkahwinan anak bongsunya. Tujuan beliau ialah untuk menghidupkan kembali adat warisan lama ini di tengah masyarakat.


4. KESENIAN TEMBIKAR PONGGAL

PENDAHULUAN

PERIBAHASA Melayu ada mengatakan: Ditetak belah, dipalu belah tembikar juga akan jadinya yang membawa erti walau bagaimanapun diseksa atau disakiti, kesudahannya jadi mayat juga. Melalui peribahasa Melayu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa tembikar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan orang Melayu pada masa dahulu. Namun begitu, tembikar juga terkenal di kalangan masyarakat India terutama di Batu 2, Jalan Klang, Kuala Selangor di mana kesenian membuat tembikar ponggal telah berjalan sejak lebih dari 60 tahun yang lalu.

Di negara kita, kegunaan tembikar telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan serpihan-serpihan tembikar di Bukit Tanjung Lembu, Perlis, di Gua Cha, Kelantan dan Ulu Tembeling, Pahang. Tembikar merupakan salah satu daripada hasil kraftangan tradisi. Ia diperbuat daripada tanah liat dan antara barang-barang yang diperbuat dari tembikar ialah cawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya.

Di negara kita, terdapat empat kawasan utama sebagai pusat kegiatan pengeluaran barangan ialah di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, di Sayong, Kuala Kangsar, Perak, di Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang dan beberapa tempat di Sarawak. Salah satu barangan tembikar yang begitu popular di Malaysia ialah labu sayong. Cara menghasilkan tembikar juga dipanggil seramik di empat kawasan tersebut tidak banyak berbeza cuma jenis barangan yang dihasilkan dan reka corak hiasan atau pengemasannya.

Perbezaan ini wujud kerana pengaruh adat dan cara hidup mesyarakat tempat, serta daya cipta pengusahanya. Hal ini juga memberi gambaran bahawa barangan tembikar tradisional mengutamakan ciri fungsional dari ciri perhiasan. Labu ialah sejenis buyong, takar atau kendi tembikar yang bentuk asasnya menyerupai buah labu. Sayong pula nama merupakan sebuah kampung yang terletak di Kuala Kangsar.

SEJARAH ASAL USUL

Kesenian tembikar ponggal di Kuala Selangor ini telah diusahakan oleh Encik Krishnan A/L Rashapan. Beliau yang telah berusia 60 tahun mewarisi kesenian ini dari mendiang bapanya sejak kecil dan kini telah lebih 50 tahun menceburkan diri di bidang ini. Bersama dengan beberapa orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Encik Krishnan mengusahakan kesenian membuat tembikar-tembikar ponggal di sebidang tanah di No 3555, Batu 2, Jalan Klang, Kuala Selangor.

Menurut beliau, pembuatan tembikar ponggal berasal dari India. Di India, Maisur Maharaja merupakan pembesar negara yang amat meminati kesenian pembuatan tembikar ponggal. Sementara kesenian ini dibawa ke Tanah Melayu sekitar tahun 1918 oleh imigran-imigran India. Pada mulanya mereka datang ke sini atas usaha penjajah British untuk bekerja di ladang-ladang getah atau sebagai buruh kasar. Mereka datang ke negara ini bersama kemahiran dan kesenian membuat tembikar ponggal.

Pembuatan tembikar ponggal ini bermula sewaktu masyarakat mereka mahu merayakan perayaan ponggal. Oleh kerana pada waktu itu, tembikar ponggal tidak lagi dicipta di Tanah Melayu, maka mereka terpaksa membuatnya sendiri. Pada mulanya pembuatan tembikar ini hanyalah untuk kegunaan sendiri atau untuk jumlah komuniti yang kecil tetapi lama kelamaan, ianya menjadi satu industri yang besar. Sehingga sekarang, permintaan tembikar ponggal ini amat besar terutama pada musim perayaan.

Menurut Encik Krishnan A/L Rashapan, tembikar ponggal buatan beliau telah mendapat perhatian ramai pembeli dari seluruh Semenanjung Malaysia. Beliau bukan saja membuat pasu ponggal tetapi juga lampu minyak atau lampu untuk sembahyang yang sering diletakkan di hadapan tokong di kuil, periuk dan belanga tanah, cawan, pasu bunga, buyong, takar atau kendi, pasu hiasan, labu sayong, bekas pelbagai saiz untuk kolam ikan, bekas minyak kelapa, tabung duit berbentuk ayam, gajah, ikan, itik, harimau dan lain-lain lagi. Encik Krishnan mendapat bekalan tanah liat dari Batang Berjuntai di mana beliau membelinya secara pukal dan dihantar oleh penjual setiap minggu dan beliau mampu menyiapkan antara 5,000 – 6,000 biji tembikar pelbagai jenis setiap bulan. Pendapatan beliau juga sekitar RM 4,500 – RM 5,500 sebulan dan beliau berhasrat untuk meneruskan kesenian ini kepada anak-anaknya agar tradisi ini tidak pupus ditelan zaman.


5. ADAT MEMBAKAR MERCUN DAN BUNGA API MASYARAKAT CINA

PENGENALAN

Setiap kali menjelang Tahun Baru Cina akan kedengaranlah bunyi bergerapak letupan mercun dibakar oleh masyarakat Cina. Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang paling penting bagi orang Cina khususnya di daerah Kuala Selangor, seperti Hari Raya Aifilfitri bagi orang Melayu. Tahun Baru Cina adalah hari pertama bulan satu bagi Imlek Cina, tetapi aktiviti perayaan Tahun Baru Cina bukanlah pada hari itu sahaja, biasanya aktiviti perayaan Tahun Baru Cina berlangsung selama beberapa hari berikutnya.

Menurut pandangan orang Cina, Tahun Baru Cina merupakan perayaan untuk menyambut musim bunga. Musim bunga datang, pemandangan berubah, dan penanaman padi dimulakan, orang Cina dengan pelbagai cara yang bahagia akan merayakan perayaan tradisional yang paling meriah dalam sepanjang tahun. Di negeri China, bukan sahaja etnik Han yang merayakan Tahun Baru Cina, etnik yang lain termasuk etnik Manzu, Mongol, Yaozu, Zhuangzu, Baizu, Gaoshan, Hezhe, Hani Daur, Dongzu, Lizu dan lain-lainnya juga mempunyai adat resam untuk merayakan Tahun Baru Cina.

Walaupun kita tidak mengetahui bila orang Cina mula mempunyai adat resam membakar mercun pada Tahun Baru Cina, tetapi menurut sarjana, tradisi ini sekurang-kurangnya mempunyai sejarah selama seribu tahun. Sekarang, sebahagian adat resam yang bercorak tahayul termasuk memuja dewa langit telah secara beransur-ansur tidak diamalkan lagi, sedangkan adat resam yang baik termasuk menampal kuplet, menampal lukisan tahun baru, menampal tulisan perkataan ‘bahagia’, mengukus kuih tahun baru, memasak ‘Jiaozi’, membakar mercun, tidak tidur pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan saling mengucapkan selamat Tahun Baru Cina masih sangat popular di kalangan masyarakat Cina di negara kita. Tradisi ini juga masih giat diamalkan di kebanyakan tempat di negara Cina, khususnya di desa dan sebahagian pekan dan bandar yang kecil.

Sebelum merayakan Tahun Baru Cina, masyarakatnya telah menampal kertas merah yang ditulis ‘selamat tahun baru’ dengan berus bulu di sebelah kedua-dua daun pintu, atau menampal bermacam-macam lukisan adat resam yang melambangkan bahagia di daun pintu, jendela atau dinding, mengharapkan kedatangan nasib baik pada tahun yang akan datang. Kuplet dan gambar Tahun Baru Cina mempunyai sejarah yang lama, dan juga untuk mengusir hantu dan mendapat nasib baik pada zaman kuno sama seperti membakar mercun, dan beransur-ansur menjadi adat resam Tahun Baru Cina.

Sempena Tahun Baru Cina, masyarakat Cina juga menggantung tanglong merah yang ditampal tulisan perkataan ‘nasib baik’ atau gambar dewa kekayaan di depan pintu, untuk menunjukan hasrat baik. Biasanya perkataan ‘nasib baik’ mesti ditampal secara terbalik, sebutan perkataan ‘terbalik’ sama dengan perkataan ‘datang’ dalam bahasa Mandarin, maksudnya ialah ‘nasib baik datang’.

Tahun Baru Cina sama seperti Hari Raya, untuk anggota keluarga berkumpul. Orang yang tinggal di tempat lain tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak dengan sedaya upaya berkumpul dengan keluarganya pada hari perayaan itu. Orang Cina sangat mementingkan makanan dan pakaian waktu merayakan Tahun Baru Cina, biasanya makanan dan pakaian yang bermacam-macam telah disediakan sebelum merayakan Tahun Baru Cina. Semasa Tahun Baru Cina datang, orang Cina memakai baju yang paling cantik, dan menyediakan kuih-muih, manisan dan makanan ringan, untuk menjamu tetamu di rumah pada bila-bila masa.

Pada malam sebelum Tahun Baru Cina, orang Cina biasanya makan bersama-sama sekeluarga, lauknya banyak jenis. Selepas itu, biasanya anggota keluarga akan bersama-sama makan Jiaozi. Di negara Cina terdapat satu peribahasa yang berbunyi ‘Jiaozi adalah paling lazat’. Kulitnya diperbuat dari tepung gandum, intinya biasanya daging campur sayur, kemudian direbus. Orang Cina makan Jiaozi pada malam sebelum Tahun Baru Cina, melambangkan anggota keluarga terkumpul.

Malam sebelum Tahun Baru Cina adalah waktu yang paling penting dalam perayaan Tahun Baru Cina. Malam itu secara umumnya juga dipanggil ‘Chuxi’. Pada malam itu, anggota keluarga berkumpul, makan bersama-sama, dan tidak tidur sepanjang malam. Apabila fajar menyingsing pada keesokan harinya, tahun baru sudah bermula, orang Cina memakai baju baru, mengucapkan selamat tahun baru dan panjang umur kepada orang tua dalam keluarga, kemudian menziarahi saudara-mara dan sahabat, untuk saling mengucapkan selamat tahun baru.

Sejak kebelakangan ini, seiring dengan perkembangan ekonomi yang pesat, orang Cina sudah biasa berkumpul satu keluarga untuk menonton Pesta Malam Tahun Baru Cina yang disiarkan di tv. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, menonton opera, wayang gambar dan menikmati konsert, makan di restoran atau keluar melancong sudah menjadi popular, aktiviti perayaan Tahun Baru Cina semakin hari semakin bertambah. Sekarang, perubahan yang paling besar pada Tahun Baru Cina ialah anggota keluarga bersama-sama makan di restoran.

SEJARAH ASAL USUL

Terdapat dua versi tentang sejarah asal usul tradisi membakar mercun dan menyalakan bunga api pada hari Tahun Baru Cina.

VERSI PERTAMA

Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar unutk menewaskan makhluk tersebut. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Tahun Baru Cina mempunyai sejarah yang lama, itu berasal daripada kegiatan memuja dewa dan nenek moyang sempena hujung tahun dan permulaan tahun baru di negara Cina pada zaman kuno. Tahun Cina dipanggil ‘Yuanri’, ‘Yuandan’ atau ‘Tahun Baru’ pada zaman kuno. Selepas revolusi 1911, kerajaan pada waktu itu secara rasmi menetapkan hari pertama bulan satu Imlek sebagai Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina juga secara umumnya dipanggil ‘Guonian’. Apa itu ‘Nian’? menurut riwayat asal usul Tahun Baru Cina, ‘Nian’ adalah sejenis binatang bayangan yang membawa nasib buruk. Semasa ‘Nian’ tiba, semua tumbuhan mati; semasa ‘Nian’ pergi, tumbuhan hidup lagi dan bunga berkembang. Jadi orang Cina akan membakar mercun dan bunga api untuk menakutkan juga untuk mengusir ‘Nian’. Itulah asal usul adat resam membakar mercun dan bunga api sempena Tahun Baru Cina. Tradisi ini dibawa dari Negara China ke Tanah Melayu oleh para imigran zaman penjajahan dan akhirnya berkembang di sini sehingga sekarang.

Perayaan Tahun baru Cina menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’, menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha.

Legenda meriwayatkan bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘Chap Goh Mei‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini. Hidangan makan malam Tahun Baru biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ yang dipercayai akan memanjangkan umur seseorang. Bagi yang tua, malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga. Tepat detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan Tahun Baru bermula.

Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, di samping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin. Ia bersamaan dengan memberi duit raya di kalangan umat Islam pada masa Hari Raya.

Terdapat juga tradisi larangan semasa Tahun Baru Cina ini. Adalah dipercayai sepanjang 15 hari sambutan perayaan tidak dibenarkan sesiapa pun membuka perniagaan, atau ia akan ditimpa kerugian. Tidak dibenarkan juga menyapu sampah di rumah kerana ia akan menghalau keluar tuah dari ahli rumah. Tarian singa juga dipersembahkan, sebagai tanda memuliakan haiwan ini yang membantu menumpaskan raksasa jahat.

Pada hari ketujuh sambutan Tahun Baru, yang juga dipercayai hari kelahiran manusia, masyarakat Kantonis akan menyediakan sejenis hidangan yang dinamakan ‘yee sang’. Ia kaya dengan herba dan menjadi simbol kehidupan, murah rezeki, dan panjang umur. Masyarakat Hokkien pula menyambut hari kelapan dengan bersembahyang kepada ‘Tian Gong’, iaitu Dewa Syurga.

VERSI KEDUA

Kononnya pada zaman dahulu yakni ribuan tahun yang lalu, di negara China terdapat sejenis binatang galak yang bernama ‘Nian’. Pada malam terakhir setiap tahun, ia pergi ke setiap kampung dan keluarga, untuk memakan manusia. Pada suatu malam, ‘Nian’ pergi ke sebuah kampung untuk memakan manusia lagi, tetapi kebetulan terdapat dua orang kanak-kanak yang sedang bermain cambuk, dan mengeluarkan bunyi yang menakjubkan. Setelah terdengar bunyi itu, ‘Nian’ sangat terkejut lalu melarikan diri. Ia pergi ke sebuah kampung lagi, dan melihat sehelai baju merah yang digantung di hadapan pintu sebuah rumah. Ia berasa pelik dan takut dengan baju merah tersebut, dan secara kelam-kabut melarikan diri.

Kemudian ia pergi ke sebuah kampung lagi dan melihat ke dalam sebuah rumah, dan dalam rumah itu sangat terang, lalu ‘Nian’ terus melarikan diri lagi. Sejak waktu itu, orang sudah tahu bahawa ‘Nian’ takut kepada bunyi, warna merah dan cahaya yang terang, dan telah mendapat banyak cara untuk menangkisnya, misalnya membakar mercun, menampal kuplet dan memasang lampu, dan ini secara beransur-ansur menjadi adat resam pada Tahun Baru Cina. Tradisi ini juga dipercayai dibawa dari Negara China ke Tanah Melayu oleh para imigran zaman penjajahan dan akhirnya berkembang di sini sehingga sekarang.

Sumber, rujukan dan bibliografi:

  1. Haji Mokhtar bin H. Md. Dom, 1977, Istiadat Perkahwinan Masyarakat Melayu, Federal Publication, Selangor.
  2. Amran Kasimin, 1989, Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.
  3. H.M. Sidin, 1964, Asal Usul Adat Resam Melayu, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
  4. Siti Haidah Asri, Berandam Mengintai Si Dara, Wanita, Oktober 1998, Utusan Melayu (M) Berhad, Hal. 175.
  5. Nik Mustapha Nik Mohd Salleh, Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu Di Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Pelancongan Malaysia
  6. Wawancara dengan Tuan Haji Zakaria Bin Haji Jamhari pada 3 Januari 2007 di No. 247, Batu 6, Jalan Rawang, Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor.
  7. Wawancara dengan Puan Hajah Robaiyah Bte Haji Bohari, pada 3 Januari 2007 di No. 247, Batu 6, Jalan Rawang, Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor.
  8. Wawancara dengan Puan Encom Bte Shamsudin pada 3 Januari 2007 di No. 247, Batu 6, Jalan Rawang, Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA