Ahad, 28 November 2010

Gordang Sembilan

SMAHADZIR

Sejarah Gordang Sembilan telah bermula sejak 600 tahun lalu apabila suku kaum Mandaling menolak kepercayaan memuja kepada pemelukan Islam dan Gordang Sembilan hanya dimainkan hanya sebagai alat muzik Diraja sahaja. Pada ketika itu syarat bermain gendang ini terdiri daripada 3 sahaja. Ini bermakna Raja 3 dan Permaisuri 3 tetapi oleh kerana Raja mempunyai dua isteri maka gendang ditambah lagi 3 menjadikan ianya sembilan sehinggalah ke hari ini.

Sejarah Gordang Sembilan di Selangor bermula pada sekitar tahun 1980-an dan ianya merupakan satu lagi cabang kesenian muzik tradisional yang diketengahkan di Negeri Selangor. Secara kebetulan negeri Selangor mempunyai sembilan daerah maka ianya dinobatkan sebagai salah satu muzik tradisional selain Gendang Selangor.

Sejarah pertama persembahan Gordang Sembilan dari Selangor ialah semasa Pesta Gendang-gendang di Malaysia pada 11 - 21 September 1998. Perkembangan seni berasaskan Gordang Sembilan sejak kebelakangan ini telah mula mendapat perhatian di peringkat negeri dan khususnya peringkat kebangsaan. Oleh yang demikian usaha-usaha untuk memulihara kesenian tradisional secara aktif dijalankan supaya tidak pupus ditelan zaman oleh Jabatan Kebudayaan Kesenian Selangor, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Institut Bahasa dan Persatuan Penggiat Seni Budaya Daerah Kuala Langat (PESAT) dahulunya dikenali sebagai Majlis Kebudayaan Daerah Kuala Langat.

Persembahan

Secara amnya Gordang Sembilan telah diterima di Selangor sebagai salah satu daripada muzik tradisional yang kaya dan tinggi nilainya. Persembahan Gordang Sembilan turut dimainkan di majlis-majlis rasmi kerajaan negeri, di majlis adat istiadat istana, di majlis berkabung (kesedihan), di majlis kesyukuran dan di majlis perkahwinan bertujuan untuk memberitahu bahawa satu majlis sedang diadakan dan sekiranya mendapat restu dari tuan rumah Gordang Sembilan ini akan diikuti dengan majlis tarian sehinggalah persembahan selesai.

Irama

Seperti mana muzik tradisional yang lain, irama yang dilahirkan oleh gendang berasaskan suara alam mengikut keperluannya. Irama yang dihasilkan seperti ketika menyambut tetamu irama ‘Gondang Tor-tor Sarama’ bermaksud memberikan ulos atau sambutan (sarama bermaksud selendang) atau di sini dikenali sebagai irama ‘pukulan’. Selain dari itu irama seperti ‘Gondang Aek Magodang’ amat sesuai semasa mengiringi para pembesar kerana irama ini menyerupai suara-suara alam. Mereka juga akan lebih bersemangat apabila hendak mula berperang atau mengadakan pertandingan kerana irama ‘Gondang Moncak Silat’ sebagai pembakar semangat pahlawan. Pada amnya setiap irama yang dihasilkan merupakan irama yang terpilih oleh si pemain sehinggalah pemukul gendang memberikan isyarat untuk berhenti.

Di daerah Kuala Langat, Gordang Sembilan telah mendapat tempat di kalangan anak-anak muda yang bersedia menyumbang tenaga dan kesungguhan yang tinggi semasa latihan dan seterusnya sama-sama berperanan sebagai penggerak kepada Kumpulan Gordang Sembilan Kuala Langat yang sentiasa mengambil peluang untuk diperkenalkan melalui pelbagai cara promosi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA