Ahad, 14 November 2010

Islam Liberal - Prospek Dan Cabarannya

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


UNGKAPAN ‘Islam Liberal’ mungkin terdengar kontradiksi dalam peristilahan (contradiction in terms). Selama berabad-abad, Barat mengidentifikasikan Islam dengan unsur-unsurnya yang eksotik. Kepercayaan Islam disamakan dengan fanatisme, sebagaimana diungkapkan oleh Voltaire dalam tulisannya, Mahomet, or Fanatism. Islam juga disamakan dengan kezaliman, seperti diungkapkan oleh Mountesqieu sebagai ‘Kezaliman Timur’, atau definisi yang diberikan oleh Francis Bacon: ‘Sebuah kerajaan yang sama sekali tidak memiliki nilai-nilai sopan-santun (keadaban), sebuah tirani mutlak dan murni; sebagaimana terjadi di Turki.’


Tema-tema di atas berlanjutan hingga ke hari ini, sebagaimana persepsi Barat tentang Islam yang diidentifikasikan sebagai imaginasi-imaginasi terorisme, dan gambaran teokrasi yang menakutkan. Revolusi Iran pada tahun 1979 dan kebangkitan radikalisme Islam dari Afrika Barat hingga Asia Tenggara menambah kesan adanya perang dingin yang kelihatan. Juga dalam dunia akademik, umat Islam dianggap mencurahkan perhatian kepada pemahaman keagamaan yang radikal. Hal itu terlihat pada karya-karya akademik dengan judul yang meresahkan, seperti; Islam Radikal (Radical Islam), Islam Militan (Militant Islam), dan Jihad (Sacred Rage).


Memang sebahagian Muslim sepakat dengan para orientalis Barat bahawa Islam belum diberi kesempatan untuk berubah. Itulah yang menyebabkan umat Islam dihadapkan pada sebuah cabaran untuk memberikan tafsir kontekstual terhadap berbagai persoalan. Namun, wacana tafsir kontekstual itu masih menjadi perdebatan yang hangat di kalangan umat Islam. Seorang Muslim Pakistan misalnya, pernah menulis: ‘Orang yang berfikir tentang reformasi atau modenisasi Islam adalah salah jalan, dan usaha mereka yang berfikir tentang reformasi atau modenisasi Islam itu pasti akan gagal. Mengapa Islam harus dimodenkan? Bukankah kemodenan Islam telah selesai, murni sempurna, universal, serta berlaku setiap waktu?’


Dalam kajian sejarah, di kalangan umat Islam memang terdapat pemahaman-pemahaman yang beraneka ragam. Di antara variasi pemahaman itu adalah adanya sebuah tradisi yang disuarakan dengan konsisten sehingga paralel dengan liberalisme di dunia Barat. Para penterjemah tradisi ini mengekspresikan kejengkelannya, kerana kedudukan mereka pada umumnya ‘masih diacuhkan’ oleh para sarjana dan media massa Barat yang lebih tertarik pada sensasionalisme wacana kaum ekstrimis-fundamentalis.


Fokus dari tradisi yang terabai ini, memang terkenal sangat kontroversial. Kerana membahas mengenai gagasan-gagasan Islam yang paling liberal dalam pemikiran dunia Islam dewasa ini. Lebih-lebih lagi sering dikonotasikan dengan Barat, sekular dan dipengaruhi cara pandang orientalisme. Sebenarnya tradisi - yang disebut sebagai Islam Liberal ini sangat menggugah, kerana mentradisikan pemikiran Islam yang terbuka, inklusif dan menerima usaha-usaha ijtihad kontekstual.


Charles Kurzman, di dalam bukunya Liberal-Islam, A Sourcebook, menyebut enam gagasan yang boleh dipakai sebagai tolok ukur sebuah pemikiran Islam dapat disebut ‘Liberal’ iaitu:


1. Melawan teokrasi, iaitu idea-idea yang hendak mendirikan negara Islam

2. Menyokong gagasan demokrasi

3. Membela hak-hak wanita

4. Membela hak-hak bukan Islam

5. Membela kebebasan berfikir

6. Membela gagasan kemajuan


Siapa pun, menurut Kurzman, yang membela salah satu dari enam gagasan di atas, maka ia adalah seorang Islam Liberal. Sebenarnya, latar belakang pemikiran liberal Islam mempunyai akar yang jauh sampai pada masa keemasan Islam (the golden age of Islam). Teologi rasional Islam yang dikembangkan oleh Mu’tazilah dan para ahli falsafah seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rusyd dan sebagainya, selalu dianggap telah mampu menjadi perintis perkembangan kebudayaan moden dewasa ini.


Sebut saja individu seperti Ibn Sina dan Ibn Rusyd, yang dikenali bukan saja sebagai ahli falsafah besar, tetapi juga doktor yang meninggalkan warisan khazanah keilmuan yang luar biasa, yakni al-Qanun fi al-Thibb (The Canon) dan al-Kulliyat, yang masih dipelajari di Eropah sebagai ensiklopedia hingga abad ke-17.


Pemikiran liberal Islam yang memberi bobot besar terhadap penafsiran baru ajaran Islam dewasa ini, sebenarnya memang mempunyai genealogi pemikiran jauh ke belakang, hingga Ibn Taymiyah (1963-1328) yang menghadapi masalah adanya dua sistem pemerintahan, iaitu kekhalifahan yang ideal - yang pada masanya sudah tidak ada lagi - dan pemerintahan ‘sekular’ yang diperintah oleh Sultan Mamluk, di mana Ibn Taimiyah juga menjadi pegawainya. Dia juga berhadapan dengan adanya dua sistem hukum, iaitu syari’ah (hukum agama), dan hukum yang diterapkan oleh pemerintahan Mamluk (political-expediency, natural-equity).


Menghadapi masalah tersebut, Ibn Taymiyah melakukan refleksi mendalam terhadap keseluruhan tradisi Islam dan situasi baru yang dihadapinya. Dalam ketegangan-ketegangan pilihan ini, Ibn Taymiyah menyarankan suatu ‘jalan tengah’, iaitu suatu sikap moderat. Untuk itu, perlu dilakukan ijtihad (berani berfikir sendiri secara intelektual) pada situasi yang berubah. Suatu ijma’ (konsensus) hanya ada dan terjadi pada masa sahabat - oleh kerana kesetiaan mereka kepada apa yang dikatakan dan diperbuatnya - tetapi tidak berlaku lagi bagi ahli hukum selepas itu. Dari sudut isi, pemikiran ijtihad Ibn Taymiyah ini sudah merintis suatu metodologi penafsiran teks dan ijtihad terhadap masalah-masalah sosial politik, yang kelak menjadi inspirasi terutama kalangan liberalis, juga revivalis dan neo-fundamentalis.


Usaha Ibn Taymiyah dilanjutkan oleh Ibn Khaldun (1332-1406). Dialah yang merintis sosiologi Islam. Berdasarkan pengamal-pengamal politik kajian historiografi Ibn Khaldun - sebagai seorang pengembara dan pengabdi dari banyak kerajaan Islam waktu itu yang terpecah-pecah - percaya sepenuhnya kepada pemikiran politik Ibn Taymiyah, terutama tentang pentingnya kesejahteraan umum (common goods) dan hukum ilahiyah demi menjaga kestabilan dan kesejahteraan negara, yang kemudian diperluas dengan teori tentang ‘solidariti alamiah’ (ashabiyah) dan etika kekuasaan.


Sejak Ibn Khaldun ini, pemikiran Islam mengenai sosiologi politik mendapat tempat dalam keseluruhan refleksi Islam dan perubahan sosial. Oleh kerana itu, penafsiran kembali Islam (ijtihad) menjadi suatu keharusan mutlak dalam masa perubahan politik.


Sebenarnya, liberalisme Islam mendapat momentum secara politik lebih mendalam pada ketika kesultanan Ottoman di Turki, yang oleh segelintir cendekiawan di Konstantinopel dirasakan sebagai ketinggalan zaman, terlalu kaku, dan terlalu religius. Di antara tokoh-tokoh cendekiawan itu adalah Sinasi, Ziya Pasha dan Namik Kemal. Di Mesir juga ada tokoh-tokoh sekaliber di Turki yang liberal, seperti Rifa’ Badawi Rafi’ al-Tahtawi (1801-1873), Khayr al-Din Pasha (1810-18819), dan Butrus al-Bustam (1819-1883). Mereka dihadapkan pada persoalan-persoalan, yang ringkasnya adalah: Bagaimana masyarakat yang baik itu? Bagaimana mampu mengetahui bahawa (masyarakat) itu baik atau ideal? Norma-norma apa yang sebaiknya membimbing suatu pembaharuan sosial? Dari mana norma-norma itu harus dicari? Bolehkah dari Islam ataukah dari Barat? Lantas, antara Islam dan Barat, apakah tidak ada pertentangan?


Menurut mereka, ‘ulama harus dilibatkan dalam pemerintahan, tetapi untuk itu, ‘ulama harus terlebih dulu diberikan pendidikan moden yang memadai, agar mereka dapat melihat situasi dan keperluan masyarakat moden sekarang ini. Dari para ‘ulama itu, dituntut pengetahuan tentang apa itu dunia moden dan masalahnya, supaya tidak terkurung hanya dalam ajaran-ajaran tradisional. Sementara itu, syari’ah juga harus disesuaikan dengan situasi baru. Antara syari’ah (hukum Islam) dan hukum alam (ilmu pengetahuan) yang dikembangkan di Eropah dianggap tidak banyak perbezaannya secara prinsip. Lantaran itu, pendidikan moden adalah suatu keharusan untuk umat Islam juga untuk ‘memperbaharui’ syari’ah tersebut.


Demikianlah, sehingga sebelum Jamalal Din al-Afghani (1839-1897), Muhammad ‘Abduh dan Muhammad Rasyd Redha (1865-1935), kesedaran bahawa Islam itu - maksudnya tentu saja pemahaman kaum Muslim terhadap Islam - harus ‘dimodenkan’ atau ‘dirasionalkan’ sudah menjadi kesedaran umum para cendekiawan Muslim. Dan ini telah menimbulkan gerakan yang oleh Fazlur Rahman disebut sebagai ‘gerakan modenisme awal.’ Oleh kerana itu juga, Tahtawi dan semua kawan-kawannya yang sezaman, telah melihat bahawa Eropah adalah sumber idea dan penemuan yang tidak dapat dielakkan. Maka, Islah harus belajar dari Barat!


Memang, mereka juga menyedari bahaya yang mampu muncul dari proses ‘pembaratan’ ini. Tetapi, mereka juga yakin bahawa kekuatan gagasan yang progresif dari Barat itu, juga akan mampu mengatasi masalah yang akan muncul. Lebih-lebih lagi, bertepatan dengan munculnya gagasan-gagasan itu, secara politik Ottoman mengalami kemunduran.


Selanjutnya, masalah menjadi lain ketika Afghani, ‘Abduh dan Rasyd Redha hidup. Masalah yang dihadapi mereka adalah imperialisme Eropah. Kerajaan Ottoman dalam tahun 1875-1878, telah kemasukan kekuatan tentera Eropah. Tahun 1881, Tunisia diduduki Perancis dan tahun 1882, Mesir juga jatuh ke tangan Britain. Dan pada tahun-tahun ini pula, semua dunia Islam berada dalam genggaman kolonialisme Eropah, termasuk Malaysia. Sehingga, secara politik keadaan sudah berubah.


Maka melihat fenomena Barat-Moden tanpa kritisisme pun menjadi naif. Melalui mereka, muncullah gagasan pan-Islamisme yang mahu melawan kolonialisme Barat. Dalam diri mereka, sudah timbul suatu kesedaran bahawa Barat yang moden itu ternyata juga mempunyai sisi destruktif, yakni imperialisme yang menghancurkan kebudayaan Islam baik secara sosial budaya mahupun politik. Timbullah kesedaran bahawa yang moden bukan hanya Barat, tetapi juga Islam.


Lantaran itu pemikiran dan gerakan modenisme awal ini, nantinya mendorong munculnya gerakan-gerakan neo-revivalisme, terutama dipimpin oleh Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, dan Abu ‘al-al-Mawdudi, yang nanti akan ‘dicap’ sebagai akar fundamentalisme Islam kontemporari.


Pada masa-masa ini, gagasan romantisme kejayaan Islam muncul sebagai motivasi menentang penjajahan. Inilah dorongan paling besar yang merefleksikan kembali erti peradaban Islam di dunia moden, di tengah-tengah hegemoni Barat waktu itu. Dorongan ini terus menjadi momentum pemikiran Islam pasca kolonialisme. Dari sini, mulailah dilakukan refleksi atas munculnya peradaban Barat, dan hegemoninya terhadap dunia Islam.

Nantinya, sebagai ‘puncak’ pemikiran modenis ini, sangat relevan memberi perhatian terhadap kajian-kajian ekonomi-politik atas apa yang menjadi pendorong imperialisme Barat terhadap dunia Islam. Pemikir-pemikir Muslim kontemporari seperti Hasan Hanafi, Asghar Ali Engineer, Ali Syari’ati, Zia-ul Haq, dan kalangan-kalangan transformis lainnya yang menaruh perhatian pada gagasan pembebasan, layak juga diperhatikan.


Sampai di sini, menarik sekali untuk memperhatikan asas-asas gagasan kalangan modenis-liberalis ini, yang nantinya akan dikritik secara keras oleh kaum fundamentalis Islam, khususnya seperti ditulis oleh Nader Saiedi dalam pandangan-pandangan tentang: Pertama, keyakinan akan perlunya sebuah falsafah dialektis; kedua, keyakinan akan adanya aspek historisme dalam kehidupan sosial keagamaan; ketiga, pentingnya secara berterusan untuk membuka kembali pintu ijtihad yang dulu sempat tertutup atau justeru ditutup oleh fatwa ulama; keempat, penggunaan pandangan-pandangan rasional untuk iman; kelima, perlunya pembaharuan pendidikan; dan keenam, menaruh simpati dan hormat terhadap hak-hak wanita dan bukan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA