SMAHADZIR
Banyak pihak melihat antara punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka. Bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Antara fenomena yang dapat dilihat ialah tidak ada lagi kesederhanaan (al-tawassut) sehingga mereka terdedah kepada ifrat atau tafrit, ghuluw atau tasahul. Ini semua jelas melalui cara mereka berfikir dan bertindak.
Al-wasat atau al-I’tidal adalah satu paksi yang telah membawa kecemerlangan kepada umat Islam dahulu. Apabila hilang ciri al-wasat itu, maka umat Islam terdedah kepada penambahan dan tokok tambah atau sebaliknya pengurangan. Penambahan atau pengurangan ini adalah menjadi salah satu punca perpecahan umat Islam. Soalnya bagaimana satu umat itu boleh maju ke hadapan apalagi boleh memimpin umat Islam jika mereka sendiri berpecah belah. Mereka bermusuhan dalam perkara titik bengik sesama sendiri dan hilang kesederhanaan kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.
Keadaan menjadi bertambah rumit apabila ada orang yang mengambil kesempatan dari kejahilan orang ramai, dengan membawa ajaran sesat dan salah dan mempamerkan diri mereka sebagai ketua kepada sesuatu ajaran atas nama Islam, tarekat atau sebagainya.
Pengertian
Fanatik bermaksud; sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan. Ia disamaertikan dengan taksub. Lawan bagi fanatik dan taksub ialah tasamuh dan toleransi; yang bermaksud lapang dada, luas fikiran dan sabar.
Melampau-lampau diistilahkan sebagai al-ghuluww, al-tanattu’ dan al-tashdid. Sikap melampau bertentangan dengan sikap adil dan sederhana. Maksud firman Allah s.w.t: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus). Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah 143)
Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahupun guru atau kumpulan adalah salah satu dari gejala melampau. Ia memberi gambaran kebekuan fahaman seseorang yang tidak mahu melihat maslahah ummah dan tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan pendapat orang lain, bagi mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.
Taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat dengannya sebagai jahil, kafir, bodoh, fasiq dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan. Ijmak semua ulama salaf dan khalaf, semua orang boleh diambil dan ditinggal pendapatnya melainkan Nabi Muhammad s.a.w.
Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat, apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan bid’ah, kufur, kafir dan keluar dari agama. Dalam tindakan secara kekerasan, fanatik dan taksub ini menjadi lebih bahaya, seperti mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah s.w.t., mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.
Fenomena ketaksuban juga boleh berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh, kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka sahaja. Ketaksuban ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta orang yang di luar jamaah, kerana telah dianggap murtad, kafir dan kufur.
Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap pra-sangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil. Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t atau menangguhkan pelaksanaan syariat dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan ini akan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam.
Golongan di atas sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan antara tugas pemerintah dengan tugas individu. Saidina Abu Bakar r.a. memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu mereka hanya perlu melakukan amr bil maaruf wa nahyu anil munkar. Mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya atas semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Bapa terhadap anak, majikan ke atas pekerjanya atau pemerintah terhadap rakyatnya.
Larangan
Beberapa maksud hadis cukup menjelaskan bahawa Islam tidak suka apa juga perkara yang melampau-lampau. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim pada Mustadraknya dari Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: ‘Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama’.
Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: ‘Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seseorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar ...’. (Riwayat Bukhari dan Nasaai)
Sikap fanatik dan taksub adalah dilarang oleh Allah s.w.t terhadap umat yang dahulu khasnya Ahli Kitab. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (Surah al-Ma’idah: 77 )
Antara perkara diingkari ialah bersikap keras bukan pada tempat dan masanya. Sikap melampau diistilahkan dengan al-ghuluww, al-tanattu’ dan al-tashdid. Sikap ini adalah bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti yang dituntut oleh firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah 143)
Sikap tasamuh dan berlapang dada hendaklah diutamakan terutamanya apabila berhadapan dengan mereka yang baru memeluk Islam atau berada di negara bukan Islam. Sifat kulli hendaklah diutamakan dari yang bersifat juz’i. Begitu juga perkara pokok adalah diutamakan sebelum furu’. Allah memerintahkan hamba-Nya berdakwah secara bijaksana dan pengajaran yang baik seperti maksud firman Allah s.w.t bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl 125)
Bersikap kasar dalam pergaulan dan kesat kata-kata adalah sangat dilarang. Perkataan yang kesat dan sikap yang keras hanyalah digunakan dalam medan perang ketika menghadapi musuh. Ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu, dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa (dengan memberikan pertolongan).”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan