PUISI 1
Permata Berbudi
Fajar 1963 telah bangun tersenyum,
Menyapa harimu SMSAH yang anggun,
Menjadi wadah bertuah, melahirkan anak watan berjiwa gagah,
Tegak memacu arah, menguak gundah.
Sejak 1963 menongkah gelombang memacu padu,
Gemilang namamu SMSAH ke mercu,
Adunan minda anak jatimu; berbekal harap selengkap ilmu,
Tiada buntu menyaring restu; para guru yang melangkah padu,
Ketika warga sekitar masih tersedu,
Kalianlah yang melonjak jauh,
Ketika prasaranamu dioleng tengkujuh,
Kalianlah yang menobat darjat,
Ketika anak bangsa memburu hajat.
Hari ini; tiada lagi orang berperi,
Tentang anak-anak warga buta huruf hilang peribadi,
Tentang generasi remaja hilang kemudi,
Tentang insan muda tua terhadang rezeki.
Setengah abad memerah kudrat,
Membina empayar SMSAH yang hebat,
Berdinding tembok agama yang kuat,
Berbumbung rabung siasah yang rapat,
Berteras tiang iktisad yang padat,
Dikau meraih berkat melimpah rahmat.
Dirgahayu untukmu, permata berbudi!
Dikaulah pejuang sejati, molek pekerti berhemah tinggi,
Menabur bakti menyemai budi dan ladangmu telah hijau kini,
Berbunga peribadi berbuah bestari,
Anak-anak watan semakin tegak berdiri,
Menjulang jati diri, berakidah murni!
Berdirilah untuk suku abad lagi, dengan restu inayah Ilahi.
Kerana kami masih mahu melangkah,
Di denai wawasanmu, lantaran perjuangan tidak akan berakhir,
Selagi laut perjuanganmu masih berdesir.
SMSAH masih dahaga,
Meneguk manis madu perjuangan, kemajuan dan keterampilan,
Justeru telah utuh keyakinan, setelah dikau melontar cahaya,
Menjana upaya pemangkin daya, warga tetap menaruh percaya.
Salam hormat buatmu,
Wadah semangat penjana ilmu, SMSAH!
SMAHADZIR
Jitra, Kedah – 2007
PUISI 2
Menatap Wajahmu, Sahabatku
(Mengenang Pertemuan Di Dewan Haji Kelana Jaya – Khas Buat Nor Asri, Idris, Megat, Zaini, Fareha, Yon, Sulha, Rokiah, Kanmany, Kak Jah, Kak Kiah, Kak Maliah, Kak Pah, Abg Dasilah, Abg Roslan, Abg Samsuri, Abg Hamid, Abg Kaswandi, Abg Bakar, Abg Hasbullah, Abg Razali, Abang Kahar, Abg Azman dan semua... yang tidak mampu dicatatkan...)
Menatap wajahmu, sahabatku!
setelah lebih 30 tahun diam di album sepi,
di ruang lebar Kelana Jaya Tabung Haji,
litar kenangan silam terpintas ke denyut sanubari,
bergentayangan layar-layar lama terpapar di hati,
dalam cerlung matamu,
kulihat saujana lestari benih persahabatan syahdu,
yang telah kita semaikan dulu,
pada helaian zaman persekolahan,
pada lembaran masa-masa yang berlalu,
terindah kata, termanis bahasa,
sewaktu menggarap ilmu berharga.
Dan aku menjadi bersemangat untuk mengenang kembali,
dalam sahara jerih sebuah persahabatan yang murni,
pernah kujengah dalam sepi,
lautan persekolahan silam kita yang lebar tidak bertepi,
dari padang yang hambar terbiar,
kita gubah kuntum-kuntum mekar,
mewangi setiap lembar,
menggerbak melingkungi pagar.
Dalam bicara paling sederhana,
di ruang lebar Dewan Haji Kelana Jaya,
setelah lebih 30 tahun diam tanpa suara,
kita semua melontar bicara pesona,
lalu masing-masing tunduk mengutip makna,
setiap butiran aksara,
yang terpahat pada lakaran kata-kata,
kini menjadi peta berharga,
meneroka wilayah sukma,
memercup selimpah rasa,
rindu, sedih, terharu dan gembira.
Menatap wajahmu, sahabatku!
setelah lebih 30 tahun diam di album sepi,
di ruang lebar Kelana Jaya Tabung Haji,
aku ingin bangun mentafsir erti,
menghurai makna-makna mimpi,
setiap baris keringat persahabatan silam,
setiap aksara soneta persekolahan dulu,
yang indah dan mulus kita garapkan bersama.
SMAHADZIR
Tabung Haji Kelana Jaya - 2010
PUISI 3
Bukit Hijau
Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
menghijau kukuh terpasak dalam bumi,
tersergam gabai di belakang rumahku,
siulan unggas berterbangan bagai senandung mersik,
menyambut datang pagi menghantar senja hari,
anak-anak desa berkunjung untuk meragut rezeki,
rotan malau, daun bertam, umbut bayas, genuak dan tongkat ali,
di situlah punca kehidupan,
dari belenggu kemiskinan.
Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini sudah gondol digulat kerakusan,
deruman lori balak bergema tanpa mengenal hari,
terang benderang di belakang rumahku,
tiada lagi subur kehijauan seperti dahulu,
sepi kini siulan unggas berterbangan bagai senandung mersik,
lenyap kini irama menyambut datang pagi menghantar senja hari,
sirna kini anak-anak desa meredah perutnya untuk meragut rezeki,
tiada kini rotan malau, daun bertam, umbut bayas, genuak dan tongkat ali,
pepohonan tumbang menyembah bumi,
air minuman menjadi kontang di serata kali,
berkeladak disalut segala kekotoran berdaki,
di mana lagi punca kehidupan anak-anak desa mengaut rezeki,
demi sebuah kehidupan di negeri sendiri.
Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini sudah menjadi mangsa kemajuan,
manusia yang berjubah ketamakan,
sebenarnya rakus mengaut keuntungan,
slogan yang kononnya kekayaan untuk semua,
dari mulut pemimpin yang berlabelkan agama,
sebenarnya omongan kosong belaka,
hakikatnya menyarat poket segelintir kroni cuma,
kini Bukit Hijau dicangkul ditarah digali jadi rata,
jentolak dan jentera pembalak membingitkan anak telinga,
saban hari saban detik setiap masa,
memokah meruntuhkan segala warisan negara,
milik kita bersama.
Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini di henyak lara,
kerana segala keindahannya sudah tiada,
segala kekayaannya sudah dijarah serigala,
yang bersekongkol dengan manusia haloba.
SMAHADZIR
Bukit Hijau, Baling, Kedah
2010
PUISI 4
Baling Kampung Kelahiranku
Baling, kampung kelahiranku,
tercatat dalam sejarah negara yang berliku,
tempat Chin Peng dan Rasyid Maidin bertemu Tunku,
minta menyerah tetapi bertembung jalan buntu,
sejak itu Baling destinasi disegani,
dulu daerahmu terlalu sunyi sepi tidak ramai penghuni,
unggas margasetua semua mematikan diri,
selorong denai mengharung dadamu yang cemburu,
sarat belukar semak samun penuh berdebu,
kedai-kedai kecil bagaikan termangu,
hening tiada dijengah warga tersisih,
kemiskinan melata menyemarak ke serata mandala,
Baling dihimpit derita bagaikan tiada pembela,
sebaris kedai papan menghadap sungai ke Kampung Lalang,
bagaikan mati tiada pembeli yang datang,
hingga berkurap barang-barang jualan,
yang tidak pernah mengerti erti belian,
jarang benar bertukar tangan.
Sungguh Baling dahulu pekan kecil yang berdebu,
tempat persinggahan komunis berhati batu,
sekitarnya kebun getah dan bendang yang lesu,
pinggiran pekan sungai mengalir layu,
alirannya berat muatannya sarat membeku,
bertahun-tahun kesengsaraan warga berlalu,
dalam kepayahan yang menghenyak kalbu,
kini bagai sebuah mimpi yang tidak disangka,
wajah Baling sudah berpoles nyata,
laksana gadis yang ceria berbedak muka,
harum wangi sepanjang masa,
tidak pernah warganya impikan,
rumah teres rumah banglo megah tepian jalan,
gedung membeli-belah mencanak ke awan,
sudah ramai warganya jadi jutawan,
kemiskinan sudah lama terhumban,
ke sungai zaman.
Kini Baling pekan yang sibuk,
menjadi tumpuan semua penduduk,
tempat membeli-belah mengatur strategi hidup,
tempat warga menukar pelbagai produk,
dari sebuah pekan sepi menjadi bandar yang mewah,
Baling meniti di setiap bibir pengunjung,
bandar satelit yang bakal menjana jalur lebar,
tiada lagi derita warga seperti dahulu kala,
kerana kerancakan ekonomi,
kerana gudang dan gedung,
kemewahan mengapung di puncak gunung.
Baling, kampung kelahiranku,
setiap tahun aku pulang menziarahimu,
kau tersenyum menyambut ketibaanku,
tetapi aku jadi terkedu,
melihat generasi remaja yang bercanda di dadamu,
amat menyesakkan hati kecilku,
kerana akhlak dan moral mereka terpoles debu.
SMAHADZIR
Baling, Kedah
Disember 2009
PUISI 5
Telah Dijemput Pergi
(Belasungkawa untuk Allahyarham Liya bte Haji Nordin Mehat yang telah kembali ke rahmatullah di Asrama Kolej Pelajaran MARA, Seremban – airmata kami juga mengiringi kehilanganmu....)
Telah dijemput pergi,
meninggalkan kami semua dalam sendu dan sepi,
dalam sederhana langkah,
bersama usia yang terlalu mentah,
kau menggalas semua sengsara dan derita,
kami termangu dalam genangan airmata,
percaya, tidak percaya,
terima, tidak terima,
namun kehendak Allah lebih dari segala.
Alfatihah untukmu Liya tersayang,
telah meruap segala jelu ke segenap ruang,
ke udara, intelegensia yang mesra tapi periang,
selama-lamanya telah diam,
dan kami kehilangan sekuntum kejora,
setiap kali melintasi hari bahagia,
kembali meniti sebuah nama,
di bibir ibu dan bapa,
Liya....
Alfatihah, untukmu Liya,
kami semua tidak pernah percaya,
bahawa telah pergi dia,
bahawa telah tiada dia,
meninggalkan kami dalam sendu dan airmata,
dalam longlai lambai,
dan lemah langkah gemalai,
teriring dalam syahdu yang membelai,
percaya akhirnya, dia telah pergi jua!
Liya telah pergi.
Percayalah, ini semua kehendak-Nya,
sudah tercatat pada lohmahfuz itu benar,
runtun sendu jatuh bersama,
di deraian mandian terakhir,
diserap takdir tanpa dapat dimungkir.
Alfatihah, untukmu Liya yang kami sayangi,
tiada lagi, tiada lagi,
indah peribadi,
yang terlindung dalam sederhana sarjana,
melempar senyum suka,
pada setiap tutur kata,
tolong ikhlas sepenuh rela,
tiada rungut, manis dan mesra.
Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
anak sebaikmu,
dan sukar dicari ganti.
Sejahteralah kamu, Liya tersayang!
dalam firdausi Ilahi berpanjangan,
dengan doa kami bersama sujud yang pasrah,
kami serahkan seluruh ketakwaan,
seperti yang kami telah janjikan,
bersemadi satu ingatan,
kita semua akan ke sana juga,
nantilah kami, kita akan bersama,
mungkin di jannah mungkin di makwa.
SMAHADZIR
Banting, Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan