Rabu, 10 November 2010

Adat Berkhatan Tradisional


SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


KHATAN bermakna memotong lebihan kulit di bahagian alat sulit sama ada bagi wanita mahupun lelaki. Khatan atau ‘bersunat’ merupakan salah satu cara membersihkan alat sulit kerana zakar dan faraj merupakan tempat di mana pembiakan kuman-kuman yang boleh memudaratkan. Menurut Imam Shafie, Imam Malik dan al-Auzai serta lain-lain berkhatan atau bersunat ini merupakan wajib bagi seseorang yang bergelar Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa khatan wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh. Mengkhatan anak lelaki adalah wajib manakala mengkhatankan anak gadis adalah terpuji dan bukannya wajib.


Sejarah


Rekod terawal mengenai berkhatan terdapat dalam batu bersurat Mesir Purba dari Saqqara (c 2200 S.M (BC). Dikatakan bahawa Nabi Ibrahim a.s dikhatan ketika berusia 80 tahun dan mengkhatan putera-putera beliau, Nabi Ismail dan Nabi Ishak pada usia masing-masing 13 dan 8 tahun.

Perbuatan ini kemudian berlarutan sehingga ke nabi seterusnya termasuk Nabi Isa a.s. Untuk kes Nabi Muhammad s.a.w. ada mengatakan baginda dilahirkan sudah berkhatan. Ada juga menyatakan bahawa baginda dikhatankan oleh Malaikat Jibrail atau datuk baginda, Abdul Mutalib.


Di Malaysia, kebanyakan ibu bapa dan penjaga memilih hari cuti penggal, iaitu sekitar pertengahan tahun mahupun hujung tahun untuk mengkhatankan anak-anak mereka. Kanak-kanak ini kebiasaannya dikhatankan ketika berusia dalam lingkungan 10-12 tahun. Khatan di kalangan masyarakat Arab berbeza dengan masyarakat di Malaysia. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat Arab memilih untuk mengkhatankan anak mereka ketika baru lahir atau pada peringkat 7 tahun.


Hadis


Fitrah itu lima iaitu khatan; memotong bulu kemaluan; menggunting misai; memotong kuku; dan mencabut bulu ketiak. (Bukhari-Muslim)


‘Bersihkanlah dirimu dari rambut kufur dan berkhatanlah.’ (Ahmad dan Abu Daud)


Hikmah


  1. asas kebersihan dalam Islam
  2. untuk perbezaan agama (namun pada hari ini, khatan juga dilakukan oleh bukan Muslim)
  3. mencantikkan bentuk kemaluan
  4. memelihara tenaga batin
  5. sunah Nabi Ibrahim a.s dan Rasulullah
  6. mengelakkan zakar terkurung di dalam kulup ketika sedang ereksi atau menegang
  7. menghindarkan dari penyakit
  8. mengurangkan keinginan onani ketika anak-anak baru baligh

Berkhatan juga dikatakan dapat menghindarkan diri dari terkena sebarang penyakit berbahaya seperti HIV. Hasil kajian pengkaji Eropah dan Afrika di empat buah bandar Afrika mendapati berkhatan menghindarkan tiga kali ganda dari dijangkiti HIV/AIDS. Circumcision ‘reduces HIV risk’


Pendapat Pakar


Di antara kumpulan yang banyak mengeluarkan kenyataan menentang khatan pada hari ini ialah kumpulan NOCIRC (National Organization of Circumcision Information Resource Centers), NOHARMM (National Organization to Halt the Abuse and Routine Mutilation of Males), NORM (National Organization of Restoring Males), RECAP (Re-cover A Penis) dan BUFF (Brothers United for Future Foreskins).


Ramai pakar kanak-kanak menyokong dan memandang baik amalan khatan di kalangan kanak-kanak lelaki, di antaranya Dr. Edgar J. Schoen. Beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Berhubung Khatan di Amerika (Task Force on Circumcision of the American Academy of Paediatrics) pada tahun 1993 dan sekarang merupakan seorang profesor Perubatan Kanak-Kanak di Universiti California di San Francisco. Beliau juga pernah menjadi Ketua Bahagian Perubatan Kanak-Kanak di Kaiser Permanente, Oakland selama 24 tahun. WebMD Medical News bertarikh 6 Mac 2000 melaporkan tentang satu kajian yang telah beliau lakukan bersama-sama dengan rakan-rakannya dan mereka mendapati dari ‘89 kes barah zakar, 87 daripadanya adalah dari kalangan lelaki yang tidak berkhatan’.


Justeru, mereka merumuskan, khatan mencegah lelaki dari menghidap barah zakar dan penemuan ini telah dimuatkan di dalam majalah Pediatrics. (Neil Osterweil, Experts Disagree on Whether Procedure Should Be Routine, WebMD Medical News, Lycos Health, March 6 2000)


Dalam satu keputusan dari kajian yang dilakukan di Afrika Selatan membuktikan berkhatan mengurangkan kadar jangkitan HIV di kalangan lelaki hektroseksual sebanyak 60%. Kajian itu yang dilapurkan dalam Public Library of Science Medicine, mendapati hasil tersebut dalam kajian yang membabitkan 3,280 pemuda. Di samping itu, terdapat banyak kajian yang telah dilakukan yang menunjukkan khatan mencegah dari pelbagai jenis penyakit.


Risiko seseorang wanita menghidap barah pangkal rahim (cervix) adalah tinggi jika pasangannya tidak berkhatan. Satu kajian yang dilakukan di Lembah Kashmir pada tahun 1993 menunjukkan, amalan berkhatan di tempat ini menyebabkan peratus barah pangkal rahim menjadi rendah jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di India.


Mengikut Dr. Edgar J. Shoen, seorang pakar kanak-kanak yang terkenal, luka yang sering berlaku di kulup ketika melakukan persetubuhan memudahkan seseorang lelaki yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutamanya siplis, kankroid dan herpes genitalis. (Dr. Edgar J. Shoen, Circumcision A Lifetime of Medical Benefits, Medicirc, 2000)


Dr. Gerald Weiss, seorang pakar bedah, menegaskan tanpa khatan, bahagian di bawah kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat limbah kumbahan jangkitan. Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan.


Pada tahun 1982 dilaporkan, 95% kes radang saluran kencing yang menjangkiti bayi berumur 5 hari 8 bulan berlaku ke atas mereka yang tidak berkhatan. Penyakit ini boleh menyebabkan demam, sakit ketika kencing serta muntah dan di antara komplikasi yang boleh menimpa ialah kerosakan buah pinggang. Kajian Dr. Tom Wiswell dari Amerika mengukuhkan lagi penemuan ini. Kesan yang sama juga boleh berlaku ke atas lelaki dewasa yang tidak berkhatan dan penemuan ini telah dilaporkan di dalam Journal of American Medical Association (JAMA) pada tahun 1992.


Khatan wanita telah menjadi satu isu antarabangsa yang hangat diperdebatkan pada hari ini. Ramai dari kalangan di Barat yang menentangnya dan menganggapnya sebagai pencacatan anggota kelamin selepas berlaku beberapa peristiwa kematian dan kecederaan ke atas kanak-kanak perempuan yang dikhatan.


Walau bagaimanapun, sebelum ini, terdapat ramai tokoh-tokoh perubatan di Amerika yang menyokong amalan khatan wanita, sebagai contoh, Dr. W.G. Rathmann (M.D.) dari Hospital Centinella di Inglewood, California. Beliau pernah menulis tentang kebaikan khatan wanita pada tahun 1959 dan tulisan beliau telah dimuatkan di dalam majalah GP, terbitan September, 1959.(W.G. Rathmann, M.D., Female Circumcision: Indications and a New Technique, GP, vol. XX, no. 3, pp 115-120, September, 1959)


Ulama Islam berbeza pendapat berhubung dengan amalan ini, ada yang menggalakkannya dan ada yang menentangnya. Yang paling ketara ialah, nas berhubung dengannya adalah tidak sahih, justeru, ia bukanlah satu amalan yang penting.


Perkara yang lebih penting dan perlu diutamakan ialah penjagaan hak-hak wanita, pendidikan dan pemeliharaan kehormatan mereka. Alhamdulillah, penegasan seperti ini telah disebutkan oleh Dr. Yusuf Qardawi di dalam Fatwa-Fatwa Mutakhirnya. (Dr. Yusuf Qardawi, Fatwa-Fatwa Mutakhir, Yayasan al-Hamidy, 1996, hal. 554-555)


Dr. Yusuf Qardawi dalam Fatwa-Fatwa Mutakhir juga berpendapat, semuanya bergantung kepada ibu bapa kepada kanak-kanak itu. Jika mereka hendak mengkhatankan anak mereka, ia diharuskan, dan sebaliknya jika mereka enggan melakukannya, ia tidaklah menjadi suatu kesalahan.


Walau bagaimanapun, bagi mereka yang cenderung untuk mengkhatan anak-anak perempuan mereka, beliau menasihatkan agar dikhatankan sedikit sahaja daripada kulit, berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w.: ‘Potonglah sedikit sahaja dan jangan sampai ke akarnya kerana ia mengelokkan wajah dan menyenangkan hati suami.’ (Hadis Daif)


Dengan itu pendekatan terbaik bagi menangani masalah kemudaratan ke atas wanita atau dilakukan oleh mereka yang tidak berkuasa, perkhidmatan perubatan perlu dipertingkatkan agar mereka yang berkhatan boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan terbaik.


Negara-negara berikut mempunyai lelaki yang ramai melakukan khatan iaitu Afghanistan, Albania, Algeria, Amerika Syarikat, Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, Benin, Bosnia, Brunei,Cameroon, Chad, Comoros, Djibouti, Mesir, Eritrea, Ethiopia, Gabon, Gambia, Ghana, Guinea, Indonesia, Iran, Iraq, Israel, Kazakhstan, Kenya, Kuwait, Lubnan, Libya, Madagascar, Malaysia, Maldives, Mali, Mauritania, Maghribi, Niger, Nigeria, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Sierra Leone, Somalia, ‘Somaliland‘, Sudan, Syria, Tajikistan, Tunisia, Turki, Turkmenistan, UAE, Uzbekistan, dan Yaman.

Berkhatan

Megikut ajaran Islam, berkhatan itu wajib dilakukan oleh umatnya kerana ia merupakan satu perbuatan ibadat yang dituntut oleh agama. Ianya adalah bertujuan agar umatnya sentiasa berada di dalam keadaan suci lagi menyucikan daripada segala bentuk najis pada seluruh anggota tubuh badan dalam menunaikan ibadat kepada Allah s.w.t.

Pada masa dahulu, upacara berkhatan diadakan setelah selesai mengetam padi. Sekarang kebanyakan upacara berkhatan diadakan pada musim cuti sekolah. Ini kerana, masa yang diambil untuk sembuh sepenuhnya daripada luka berkhatan agak panjang, iaitu satu hingga tiga minggu.

Majlis Berkhatan

Upacara berkhatan bagi kanak-kanak lelaki lebih meriah berbanding upacara berkhatan untuk kanak-kanak perempuan. Walau bagaimanapun, kemeriahan sesuatu majlis itu bergantung kepada kemampuan dan kehendak seseorang serta kebiasaan masyarakat setempat.

Majlis kenduri sempena berkhatan selalunya dibuat serentak dengan majlis perkahwinan. Ini untuk menjimatkan belanja dan kerja. Telah menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat Melayu menjalankan upacara berkhatan secara beramai-ramai, iaitu 2-10 orang yang terdiri daripada kaum keluarga ataupun saudara-mara.

Menurut kepercayaan dan adat orang Melayu, jika kanak-kanak tidak khatam al-Quran, kuranglah kemuliaan kanak-kanak itu. Oleh itu, seboleh mungkin, upacara mengkhatam al-Quran turut diadakan. Upacara berkhatam al-Quran dijalankan sehari sebelum berkhatan. Pada sebelah petang atau malam sebelumnya, kanak-kanak tersebut akan dimandikan, diandam dan dipakaikan dengan pakaian baru. Keesokannya upacara khatam al-Quran akan dijalankan.

Satu hidangan khas disediakan oleh keluarga kanak-kanak yang hendak dikhatankan itu. Kanak-kanak tersebut akan diberi layanan istimewa semasa makan adap-adapan itu. Kini berkhatan boleh dilakukan di klinik kerajaan atau klinik swasta. Tetapi berkhatan secara tradisional memerlukan seorang mudin.

Kebaikan Berkhatan

Islam menuntut supaya umatnya berkhatan kerana ia mempunyai beberapa kelebihan yang tidak akan diperolehi mereka yang tidak berkhatan. Kebaikan dan kelebihan berkhatan dapat dilihat dari dua aspek, iaitu dari aspek kesihatan dan dari aspek keagamaan. Dari aspek kesihatan terdapat tiga kelebihannya.

  1. Menjauhkan tabiat kencing malam.
  2. Mendatangkan kebersihan.
  3. Mengawasi kesihatan.

Dari aspek keagamaan pula ada empat kelebihannya iaitu:

  1. Untuk membezakan orang Islam dengan penganut agama lain.
  2. Sebagai ikrar patuh kepada arahan-Nya dan tunduk di bawah hukum dan kekuasaan-Nya.
  3. Berkhatan adalah induk kepada fitrah, syiar Islam dan sebagai lambang syariah.
  4. Menyumpurnakan tuntutan syarak.

Tuntutan berkhatan adalah bermula dari Nabi Allah Ibrahim lagi hinggalah sekarang. Allah telah memberikan mukjizat melalui malaikat untuk mengkhatankan Nabi Allah Ibrahim. Sebelum itu, Allah telah memberikan beberapa petanda melalui mimpi kepada Nabi Allah Ibrahim iaitu sebanyak 5 kali.

Mimpi Pertama:

Allah menyatakan kepada Nabi Allah Ibrahim bahawa badannya ‘tidak suci’. Apabila bangun dari tidurnya Nabi Allah Ibrahim pun terus mandi dan menyintok seluruh anggota tubuh badannya bertujuan untuk menyucikan dirinya.

Mimpi Kedua:

Allah berkata kepada Nabi Allah Ibrahim bahawa badannya masih lagi ‘tidak suci’. Apabila bangun daripada tidurnya Nabi Allah Ibrahim terus mengikis dan mencukur segala bulu yang tumbuh di badannya.

Mimpi Ketiga:

Allah berkata Nabi Allah Ibrahim masih lagi ‘tidak suci’. Apabila bangun daripada tidurnya Nabi Allah Ibrahim pun memotong segala tumbuhan yang ada di badan seperti kuku dan sebagainya.

Kemudian Nabi Allah Ibrahim pun berdoa kepada Allah supaya memberi petunjuk dimanakah tempat di tubuhnya yang masih ‘tidak suci’.

Mimpi Keempat:

Nabi Allah Ibrahim ‘berperasaan’ ada satu lembaga melalui atas kemaluannya dan mengkhatankan beliau.

Mimpi Kelima:

Barulah Allah berkata bahawa Nabi Allah Ibrahim berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.

Bermula dari peristiwa itulah berkhatan diwajibkan ke atas semua umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, berkhatan juga disebut sebagai ‘bersunat’ atau ‘masuk jawi’, dan upacara tersebut dijalankan dengan meriah mengikut syarak dan juga adat.

Kini upacara berkhatan tidak lagi menjadi satu perkara yang meriah dan kian hilang ditelan dek zaman kerana ibubapa sekarang sering mengkhatankan anak-anak mereka secara moden di hospital atau klinik swasta kerana ia lebih mudah, ringkas dan cepat sembuh.

Amalan Sebelum Proses Berkhatan

Mengikut kebiasannya, seorang kanak-kanak lelaki yang menjangkau usia 10 hingga 12 tahun dianggap sudah layak untuk berkhatan. Biasanya upacara berkhatan diadakan secara beramai-ramai. Hal ini lebih ketara lagi pada masa dahulu di musim cuti persekolahan.

Pada masa dahulu ibubapa kanak-kanak yang terlibat bekerjasama mengadakan kenduri-kendara secara besar-besaran. Mereka biasanya dibantu oleh sanak-saudara dan jiran-jiran terdekat yang dijemput hadir.

Sebelum upacara berkhatan dijalankan, beberapa acara sampingan diadakan terlebih dahulu mengikut adat resam masyarakat Melayu. Sehari sebelum masa ditetapkan untuk berkhatan, kanak-kanak tersebut terlebih dahulu dimandikan, kemudian mereka akan memakai pakaian baru dan diarak seperti pengantin serta disandingkan sesama mereka.

Selepas itu jika ada majlis berkhatam Al-Quran mereka akan duduk bersila dan membaca Al-Quran dengan tertib sambil diperhatikan oleh seorang guru Al-Quran dan para jemputan yang lain. Setelah selesai upacara tersebut, bunga-bunga telur akan diedarkan kepada para jemputan. Guru yang menganjar Al-Quran tersebut akan diberikan hadiah satu persalinan pakaian. Kanak-kanak tersebut akan bangun mencium tangun guru mereka. Selepas itu, para jemputan akan menikmati hidangan yang disediakan oleh ibubapa kanak-kanak tersebut.

Pada keesokkan harinya, sebelum Tok Mudim tiba, beberapa bahan yang diperlukan untuk upacara berkhatan disediakan. Antara bahan tersebut ialah:

  1. Batang pisang
  2. Kain putih berukuran 2 ½ ela
  3. Seekor bapa ayam
  4. Sebiji buyung air
  5. Sirih pinang
  6. Pengeras

Pada pagi itu, kanak-kanak tersebut akan dimandikan dan dibersihkan badan mereka. Setelah selesai, mereka akan dimandikan sekali lagi dengan air jampi (air dalam buyung yang telah dijampi oleh Tok Mudim). Kanak-kanak tersebut kemudiannya didudukan di atas batang pisang dan Tok Mudim pun mengkhatankannya dengan segera. Selepas itu, kepala bapa ayam akan diacukan ke arah kemaluan kanak-kanak tersebut bertujuan untuk mengeluarkan ‘bisa’.

Terdapat juga kepercayaan bahawa jika bulu tengkuk ayam itu kembang sewaktu diacukan, mereka percaya itu adalah petanda bahawa kanak-kanak tersebut seorang yang ‘garang’ sewaktu bersama isteri dan akan beristeri banyak.

Tok Mudim seterusnya akan mengkhatankan seorang demi seorang dan selepas itu dibalut dan disapukan ubat. Mereka akan dibaringkan di tempat yang disediakan. Beberapa orang Tok Mudim berpendapat sesetengah perkara-perkara yang dilakukan untuk mengiringi proses berkhatan adalah adat semata-mata dan dilakukan mengikut adat resam tempatan masing-masing dan tidak semua Tok Mudim melakukan adat-adat tersebut.

Peralatan

Di antara peralatan yang biasa digunakan oleh Tok Mudim ialah:

  1. 2 bilah pisau (1 digunakan dan 1 untuk simpanan)
  2. Sebilah gunting
  3. 1 batang penyepit
  4. Sebilah penjangka dan lain-lain alat-alat sampingan yang diperlukan
  5. Batang pisang

Kegunaannya:

  1. Pisau biasanya ditempah khas oleh Tok Mudim dan digunakan khusus untuk tujuan memotong.
  2. Penjangka digunakan untuk menjarak bahagian yang akan dipotong pada kemaluan kanak-kanak (biasanya diperbuat daripada tanduk kerbau atau tembaga).
  3. Pengapit digunakan untuk mengapit bahagian yang telah dijarakkan untuk dipotong (biasanya ia diperbuat daripada nibung atau tembaga).
  4. Batang pisang disediakan oleh ibubapa bertujuan untuk duduk di atas batang pisang dalam proses berkhatan.

(Tok Mudim biasanya menyimpan peralatan tersebut dalan sebuah beg hitam dan akan memakai sepasang pakaian yang berwarna hitam).

Ubat-Ubatan

Ubat yang digunakan pada masa dahulu dan sekarang ialah:

  1. Kulit pokok Pauh dan kapur makan (kulit pokok Pauh diperah dan dicampur dengan kapur dan air)
  2. Putih telur
  3. Serbuk arang batu
  4. Kapur
  5. Penisilim
  6. Iodine
  7. Minyak ubat (ramuan daripada akat kayu)

Antara ramuan tersebut antaranya:

Campuran daging mukmin (sejenis getah), cekur kering dan jerangau yang di proses dijadikan minyak.

Pengeras

Biasanya Tok Mudim akan mengenakan pengeras (upah) bagi kerja yang telah dijalankan. Pengeras yang biasa diterimanya ialah:

  1. Sirih pinang berserta dengan duit pengeras yang tidak ditentukan jumlahnya
  2. Segantang beras
  3. Dua biji kelapa
  4. Sebatang damar

Sesetengah pengeras yang tersebut di atas akan diberikan selepas kanak-kanak tersebut sembuh manakala, jumlah ketetapan dan bilangan bahan-bahan tersebut adalah mengikut Tok Mudim dan keikhlasan ibubapa kanak-kanak yang terlibat

Pantang Larang

Di antara pantang larang yang biasa diamalkan selepas berkhatan ialah:

  1. Makanan yang gatal dilarang sama sekali seperti udang, sotong, telur, ayam, pedal ayam, daging, ikan megkeroi dan ikan tudung tempayan.
  2. Buah setoi dan buah seter.
  3. Kuih buah melaka.
  4. (Makanan tersebut boleh memudaratkan dan mendatangkan kesan buruk pada luka bekas berkhatan).

Menegah kanak-kanak daripada:

  1. Minum air terlalu banyak
  2. Melangkah bendul pintu
  3. Melangkah tahi ayam
  4. Melangkah kulit kerang dan lain-lain lagi

Pantang larang ini diberitahu supaya kanak-kanak tidak bangun berjalan bertujuan untuk cepat sembuh.

Kajian Buktikan Amalan Bersunat Dapat Kurangkan Risiko HIV

Setiap tahun, tanggal 1 Disember diraikan sebagai tarikh penting yang memberi peluang penduduk dunia bersatu tenaga memerangi penyakit HIV dan Aids yang dilaporkan sudah menjangkiti berjuta-juta penduduk dunia. Pelbagai cara diperkenalkan kepada masyarakat dunia terutama mendidik masyarakat supaya sentiasa mengamalkan seks selamat manakala sesetengah negara menekankan kepentingan seks hanya membabitkan pasangan suami isteri.

Selain itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menekankan kepentingan pendidikan seks di kalangan generasi muda supaya mereka tidak terdedah kepada risiko penyakit berkenaan. Ketika pelbagai kaedah diutarakan bagi membendung penyakit itu, hasil kajian seperti dibentangkan penyelidik Amerika Syarikat, Dr Milton Amayun pada Sidang Belia HIV/Aids yang dianjurkan World Vision International di auditorium Universiti Pengurusan Singapura amat menarik perhatian.

Dalam kertas kerjanya, beliau menyatakan, mengkhatankan anak lelaki boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV sebanyak 70 peratus berbanding mereka yang tidak dikhatankan. Katanya, amalan ini juga salah satu sebab kurangnya bilangan jangkitan HIV di kalangan lelaki yang mengamalkan berkhatan dari agama tertentu, terutamanya Islam.

Menurut Dr Amayun, 54, ujian berkenaan dijalankan di beberapa negara termasuk Afrika Selatan dan Kenya sejak bertahun-tahun yang lalu. Penyelidik Perancis yang menjalankan kajian di Afrika Selatan dan penyelidik di Kenya yang dibiayai Yayasan Gates menunjukkan dua pertiga lelaki dikhatankan tidak dijangkiti HIV. Kajian itu dijalankan ke atas 3,000 lelaki yang disahkan tidak menghidap HIV.

Malah, keberkesanan ciri pencegahan jangkitan HIV bagi lelaki yang dikhatankan sekuat vaksin yang digunakan. Kulit luaran zakar lelaki yang tidak dibuang boleh menjadi tempat virus membiak dan merebak. Bagi mereka yang sudah dikhatankan, kulit mereka akan menebal lantaran dapat menahan jangkitan virus.

Dr Amayun turut berkata kertas-kertas kerja itu dikemukakan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan sokongan mereka. Mengulas lebih lanjut mengenai kajian Yayasan Gates itu, kajian yang dijalankan pakar Perancis dan Afrika itu dijalankan ke atas golongan aktif seks iaitu lelaki berusia di antara 18 hingga 24 tahun.

Separuh daripada 3,000 lelaki itu dipilih secara rawak untuk dikhatankan. Selepas mengikuti rapat perkembangan lelaki itu selama setahun, penyelidik mendapati setiap 10 lelaki kajian itu yang tidak dikhatankan sudah dijangkiti HIV, virus yang menyebabkan Aids. Kajian itu turut mendapati hanya tiga daripada lelaki yang disunatkan dijangkiti virus berkenaan, lapor akhbar The Wall Street Journal (5 Julai 2005).

Kajian ini dianggap penting kerana ahli sains belum lagi menemui pelalian berkesan untuk menentang virus HIV atau membangunkan kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan penyakit itu berbanding kaedah seks selamat. Selain itu banyak lagi kajian sudah dijalankan yang mendapati bahawa lelaki yang tidak dikhatankan menghadapi risiko jauh lebih tinggi menghidap HIV berbanding lelaki yang sudah disunatkan.

Penyelidik mendapati seorang lelaki yang sudah bersunat, lapan kali ganda kurang kemungkinan dijangkiti HIV ketika melakukan hubungan kelamin. Sebuah pasukan penyelidik di Australia turut menjalankan kajian dengan melihat kepada hasil lebih 40 kajian. Mereka juga mendapati virus HIV menyerang sel khusus dari permukaan dalam kulit di hujung zakar. Sel ini memiliki penyerap HIV, menjadikan kawasan itu amat terdedah kepada jangkitan.

Penyelidik ini menegaskan, amalan bersunat di kalangan lelaki memberi perlindungan penting daripada jangkitan HIV kerana kebanyakan daripada penyerap HIV ini sudah dibuang. Selain itu, penyelidik juga menyatakan, bersunat turut mengurangkan kemungkinan dijangkiti penyakit kelamin lain seperti syphilis dan gonorrhea, jangkitan yang menjadikan seseorang itu lebih terdedah kepada jangkitan HIV.

Kajian paling dramatik dijalankan baru-baru ini di Uganda yang membabitkan wanita yang didapati menghidap HIV dengan lelaki yang disahkan belum dijangkiti penyakit itu. Dalam tempoh 30 bulan kajian dijalankan, didapati tiada jangkitan baru dikesan di kalangan 50 lelaki yang bersunat manakala 40 daripada 137 lelaki yang tidak bersunat dijangkiti penyakit berkenaan meskipun semua pasangan itu diberi nasihat bagaimana mengelak jangkitan.

Selain itu, penyelidik yang mengumpul data daripada 50,000 kes barah dalam tempoh separuh kurun turut menyatakan, amalan bersunat secara amnya dapat mencegah barah zakar. Daripada 50,000 kes barah, hanya 10 kes membabitkan lelaki yang bersunat. Lelaki terbabit pula hanya bersunat ketika sudah meningkat dewasa. Kajian itu juga mendapati hampir semua yang dijangkiti barah tidak bersunat.

Alasan utama untuk bersunat bagi pakar kanak-kanak dan pakar bedah adalah disebabkan balanitis (radang glans) dan phimosis (keadaan sempit pada kulit hujung zakar akibat daripada jangkitan berulang-ulang). Keadaan yang menyakitkan ini kerap kali berlaku pada lelaki yang tidak berkhatan. pada bayi, balanitis berpunca daripada lampin kotor serta ketika bermain atau duduk di kawasan kotor.

Banyak pihak di Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa berkhatan berasal dari Islam sedangkan amalan ini sebenarnya sudah wujud sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Amalan berkhatan ini dikaitkan dengan amalan lazim bagi masyarakat yang bertamadun di benua Afrika zaman dulu kala. Dan lazimnya, amalan berkhatan dikaitkan dengan peralihan daripada zaman kanak-kanak ke zaman dewasa.

Amalan bersunat ini sebenarnya tidak dinyatakan dalam al-Quran tetapi dianggap sebagai tradisi atau Sunnah Nabi Muhammad yang amat dituntut. Nabi Muhammad pernah dipetik sebagai bersabda: ‘ia (berkhatan) adalah kewajipan bagi lelaki dan kemuliaan bagi wanita’ membayangkan amalan ini diterima oleh Islam malah dianggap amat digalakkan. Dalam satu lagi hadis, nabi menyatakan, bersunat adalah fitrah, bermaksud bahawa ia adalah suatu yang semula jadi.

Ramai ulama Islam menegaskan berdasarkan riwayat dan catatan dulu, Nabi Muhammad serta semua nabi dilahirkan dalam keadaan diri mereka sudah disunatkan. Dalam Islam, amalan bersunat ini dijalankan ke atas kanak-kanak dan golongan dewasa yang baru memeluk agama ini.

Berdasarkan riwayat, amalan bersunat dalam Islam ini berasal dari amalan Nabi Ibrahim, nabi yang turut diakui oleh Yahudi. Kini selepas sekian banyak kajian dijalankan, terserah kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sama ada ingin mengarahkan penduduk dunia berkhatan sama seperti mewajibkan pelalian polio di negara yang mempunyai wabak itu. Ini kerana, berkhatan atau tidak terserah kepada budi bicara individu, adat resam atau agama masing-masing.

FAKTA:

Berkhatan Elak Penyakit

  1. Bersunat dapat elak balanitis (radang glans) dan phimosis
  2. Amalan bersunat memberi perlindungan penting daripada jangkitan HIV
  3. Bersunat mengurangkan kemungkinan dijangkiti penyakit kelamin seperti syphilis dan gonorrhea
  4. Mengurangkan risiko barah zakar
  5. Bersunat memastikan kebersihan serta mengelak keadaan yang berpunca daripada sesuatu yang tidak bersih

3 ulasan:

  1. Salam tuan Syed,

    Tahniah diatas penulisan yang cukup lengkap dan terperinci. Saya memang berminat dengan budaya berkhatan masyarakat melayu yang sememangnya wajar dikekalkan untuk generasi akan datang.

    Sila lawati blog saya : www.berkhatantradisional.blogspot.com

    Terima kasih,
    jariemas.

    BalasPadam
  2. sangat berguna untuk saya, izinkan saya gunakannya untuk panduan kerja kursus saya. terima kasih

    BalasPadam
  3. Izinkan saya guna buat kajian saya

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA