SMAHADZIR
1. Permainan Kelereng
PERMAINAN kelereng tergolong dalam jenis permainan laman. Tujuan permainan ini ialah untuk mendorong kelereng ke ‘padan’ atau ke garisan penamat. Permainan kelereng boleh dimainkan oleh beberapa pasukan dan setiap pasukan terdiri daripada satu orang. Peralatan yang digunakan ialah rim basikal dan patok sangga sepanjang 50 cm. Gelanggang yang digunakan untuk permainan kelereng mestilah berpermukaan rata dengan dibuat lorong larian berlebar 1 meter dan jauh 40 meter.
Selepas diberi aba-aba, peserta hendaklah mendorong rim dengan menggunakan patok sangga mengikut lorong masing-masing dari paduk ke padan. Peserta boleh menangkap rim apabila rim menuju ke arah lorong lawan. Jika rim tersebut jatuh, peserta hendaklah mendorong semula rim tersebut dari tempat jatuh.
Kemenangan dikira berdasarkan kepada peserta yang tiba dahulu di padan atau apabila pihak lawan diisytiharkan batal atau mati atau dibuang dari gelanggang kerana melakukan sesuatu kesalahan yang boleh menyebabkan batal, mati atau dibuang gelanggang.
Peserta akan dikira mati sekiranya mendepani aba-aba atau paduk sebanyak tiga kali. Peserta juga akan dikira mati sekiranya memasuki lorong pihak lawan sewaktu perlumbaan. Bagi kesalahan batal, berlaku apabila peserta tidak menyangga rim ke padan. Buang gelanggang berlaku apabila terdapat mana-mana peserta atau pemain yang melakukan sesuatu perbuatan yang kurang sopan sebanyak tiga kali. Buang gelanggang juga akan berlaku sekiranya terdapat mana-mana pemain berbuat sesuatu yang bukan dalam permainan.
2. Permainan Jengkek Kapal Terbang
MATLAMAT utama bagi apa jua permainan tentunya tidak lari daripada memberi hiburan dan kegembiraan. Di samping itu, secara tidak langsung wawasan riadah ialah untuk mengeluarkan peluh agar tubuh sentiasa dalam tahap kesihatan yang memuaskan. Namun, untuk menghayati dan menghidupkan sesuatu permainan, kemahiran diperlukan untuk menyesuaikan permainan. Konsep ini cukup terserlah dalam satu permainan laman yang dimainkan di kampung-kampung terutamanya sejak dahulu hingga hari ini. Permainan ini popular dengan nama ‘Jengkek Kapal Terbang’.
Gelanggangnya terdiri daripada petak-petak empat persegi yang disusun sedemikian rupa yang menampakkan imej sebuah ‘kapal terbang’. Terdapat lima petak empat segi yang dilakarkan sebaris. Pada petak ke empat terdapat tambahan satu petak lagi di kiri dan satu lagi di kanan yang menimbulkan rupa sekali imbas seperti sayap kapal terbang. Di sebelah kanan pada petak pertama pula terdapat tambahan petak yang berukuran separuh petak yang dipanggil ‘tangga’ yang kelihatan seperti ekor kapal terbang.
Sebelum itu ‘buah’ untuk permainan mesti disediakan, ianya diperbuat daripada sesuatu objek yang agak sesuai contohnya kepingan papan, penutup botol dan apa sahaja asalkan berat agar hasil lemparan nanti lebih mantap. Bagi menentukan siapa yang layak mula dahulu, satu undian yang unik dijalankan. Masing-masing berdiri bahu-membahu membelakangi garisan tadi. Kemudian masing-masing melempar ‘buah’ secara membelakang, sejauh yang mungkin. Siapa yang jauh mendapat hak bermain yang pertama.
Permainan ini nampak mudah tetapi akan menyusul pelbagai halangan yang semakin lama semakin sukar. Dalam pusingan pertama pemain disyaratkan membawa ‘buah’ dengan cara menatangnya di atas belakang tapak tangan. Jika ‘buah’ terjatuh, pemain dikira ‘mati’. Ini bermakna pemain seterusnya mendapat peluang berjengkek. Jika pemain berjaya menamatkan 9 ‘ting’ dan 2 ‘brak’ tanpa menjatuhkan ‘buah’, dia perlu melambung ‘buah’ dan menyambutnya secara kaut dengan kedudukan tapak tangan menghala ke bawah.
Kemudian barulah dia berhak mendapatkan ‘rumah’. ‘Buah’ mestilah mendarat di mana-mana petak iaitu dengan melempar membelakangi gelanggang untuk mendapatkan rumah. Dengan itu, pemain lain tidak boleh bertingting lagi dalam petak ‘rumah’ orang. Pemain lain boleh bertingting di petak ‘rumah’ orang dengan kebenaran tuannya.
Nilai juara dalam permainan tingting kapal terbang terletak pada ‘kemewahan’ iaitu banyaknya ‘rumah’ yang berjaya dimiliki seseorang pemain. Malah permainan itu terpaksa ditamatkan apabila semua petak sudah bertukar menjadi ‘rumah’. Namun bukanlah secepat dan semudah itu menukarkan semua petak menjadi ‘rumah’. Seandainya ‘buah’ yang dilemparkan mendarat di ‘rumah’ sendiri, maka rumah itu dikira ‘hangus’ iaitu bertukar menjadi petak semula dan pemain dikira ‘mati’.
Sebenarnya, permainan ini juga ada pengajaran nilai-nilai moral iaitu semangat kerjasama, timbang rasa, tolak ansur, saling menghormati dan kesabaran.
3. Permainan Tuju Para
TUJU PARA yang biasanya untuk mengikat bungkusan, dijadikan satu alat istimewa dalam permainan kanak-kanak. Ternyata ilham kanak-kanak begitu kreatif dan memungkinkan apa sahaja objek dijadikan permainan. Mungkin setelah meneliti sifat-sifat gelang getah yang menganjal dan memberi (elastik), tercetuslah ilham untuk mewujudkan sejenis permainan dalam bentuk melastik atau membidas.
Permainan tuju para adalah bukti bahawa kanak-kanak memang kreatif dalam mempelbagaikan permainan. Dalam permainan ini, peralatan yang diperlukan ialah sejumlah getah dan dua batang kayu lurus kira-kira 30 cm. Jika tidak ranting atau batang anak kayu sudah memadai. Gelang mudah didapati. Biasanya kedai-kedai runcit memang ada gelang getah. Harganya pun murah. Ini memberi peluang kanak-kanak terbabit bermain dengan selesa tanpa kekangan masalah kewangan.
Dua orang pemain sudah memadai bagi memainkan permainan ‘tuju para’. Namun, apalah seronoknya bermain dalam bilangan sekecil itu. Jika bermain beramai-ramai barulah ada semangat hendak bersaing. Permainan ini hanya memerlukan satu kawasan kecil kerana tidak ada pergerakan aktif seperti berlari atau melompat. Bahkan keseluruhan aktiviti agak pasif. Sebelum permainan dimulai, kedua-dua kayu itu dipacak ke tanah dalam keadaan selari. Kayu-kayu itu disebut tiang. Jarak di antara tiang ke tiang bergantung kepada keadaan. Kalau ramai pemain dan banyak getah yang hendak dipasang, jaraknya agak jauh.
Gelang getah yang disidai pada alang hendaklah dipasang pada kedudukan hampir mencecah tanah. Seelok-eloknya 1 inci dari tanah. Bagi membidas gelang-gelang getah yang disangkut di alang, satu alat khas yang dipanggil ‘getah ibu’ diperlukan. ‘Getah ibu’ ini daripada gelang getah juga. ‘Getah ibu’ mempunyai struktur kelapa yang terdiri daripada satu atau beberapa urat gelang getah, bergantung kepada saiz getah ibu. Fungsi kepala ialah untuk menghasilkan anjalan dalam proses membidas.
Menentukan siapa memulakan permainan Tuju Para agak mudah. Para pemain akan berbaris di belakang satu garisan panjang dalam kedudukan selari, bahu-membahu dan menghadap getah-getah yang disidai di alang. Maka pemain yang berbaris di kanan sekali berhak memulakan permainan. Pemain akan menunjukkan ibunya ke arah ratusan getah yang disidai di alang di hadapannya. Misinya ialah membidas gelang-gelang getah itu sehingga bertaburan di atas tanah. Dia perlu memastikan gelang-gelang getah yang jatuh dari alang itu tidak bersentuhan atau berhubung dengan tiang, alang atau mana-mana getah yang masih tersidai di alang.
Biasanya bidasan yang kuat akan membuatkan gelang-gelang getah itu terpelanting atau terlantun dan jatuh berselerak di tanah dalam lingkungan yang luas. Jika bidasan menyipi atau getah ibu terbelit atau terlekat di getah alang, peluang bermain akan tertutup serta merta. Bertuahlah pula peluang pemain yang berjaya menceriakan gelang-gelang getah itu dari alang atau tiang ‘berkaran’. Dia akan mengutip gelang-gelang getah itu dan membilang jumlah gelang getah yang diperolehi adalah jumlah mata diperolehi. Setelah semua gelang getah disatukan pemain pun ditamatkan. Masing-masing pun membilang mata yang dipungut.
4. Permainan Rebut Tiang
ADA waktunya permainan di halaman rumah tidak dapat dijalankan kerana hujan lebat. Jadi sementara menunggu hujan reda, kanak-kanak desa suka berkumpul di bawah rumah (kolong rumah) daripada membuang masa tidak berbuat sesuatu, mereka akan menjalankan permainan yang sesuai bagi menghilangkan jemu atau memanaskan badan.
Sekiranya tidak terdapat tiang rumah atau rumah terlalu rendah sehingga sukar untuk berlari dan memeluk tiang, batang pokok juga boleh digunakan. Kanak-kanak masyarakat Orang Asli selalunya memacakkan bulu sebagai pengganti tiang. Malah, dalam permainan ‘rebut tiang’, tiang-tiang buluh yang dipacakkan itulah yang menjadi alat utama.
Dalam permainan rebut tiang, pemain, gelaran juara pastinya mencerminkan kehebatan pemain. Juara ialah pemain yang tidak pernah kehilangan ‘rumah’ iaitu tidak pernah menjadi perebut tiang. Pemain ini tentu tangkas pergerakkannya untuk berlari merebut tiang dan tajam penglihatannya untuk mengintai peluang yang sesuai.
Sesungguhnya permainan merebut tiang ini hanya berdasarkan ketangkasan dan tiada sebarang mata dipungut. Tiada juga denda kecuali kebosanan berlari ke sana ke mari untuk merebut tiang. Permainan hanya berakhir apabila masing-masing sudah keletihan.
5. Permainan Tating Lawi
SATU lagi permainan waktu saya kecil dulu ialah permainan tating lawi. Permainan ini tergolong dalam jenis permainan laman. Tujuannya ialah untuk menating lawi. Permainan tating lawi mestilah dimainkan oleh beberapa pasukan iaitu tiga orang seregu bagi satu pasukan. Peralatan yang digunakan ialah lawi. Gelanggang untuk permainan tating lawi mestilah berpermukaan rata. Selalunya lawi diperbuat dari bulu ayam (bahagian ekor ayam jantan) yang dicucukkan pada gabus dan diikat pula dengan tali getah.
Tatingan mula hendahlah menggunakan kaki sendiri. Pemain juga boleh menggunakan mana-mana anggota badan selain daripada tangan namun begitu tatingan lawi yang melepasi paras pinggang sahaja yang akan dikira mata. Kemenangan dikira berdasarkan kepada pasukan yang paling banyak sekali membuat tatingan. Jika jumlah tatingan yang dibuat oleh pasukan yang bertanding sama atau seri, setiap pasukan akan memilih seorang rakan dari pasukan mereka untuk menating sehingga berlaku jatuhan selama satu minit. Jika berlaku seri juga, seorang peserta lagi akan menating selama satu minit. Jika masih juga seri, undian akan dijalankan.
6. Permainan Perik Mata
SATU lagi permainan masa lapang sewaktu saya kecil dulu ialah permainan perik mata. Perik mata juga dikenali sebagai konda-kondi memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, 15cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.
Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambilalih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.
Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara.
7. Permainan Laga Biji Getah
ZAMAN saya kecil-kecil dulu banyak permainan yang tidak payah mengeluarkan wang untuk dimainkan pada masa terluang. Bagi saya dan rakan-rakan saya yang lain, waktu itu bermain tidak kira apa jenis dan caranya tetap mengisi masa dan menggembirakan. Ada permainan yang tidak memerlukan tempat dan waktu yang khusus. Ada satu objek di ladang getah yang mencetuskan idea untuk dijadikan permainan iaitu biji getah. Tidak sukar untuk mendapatkannya, lebih-lebih lagi jika bertepatan musim biji getah luruh.
Para pemain masing-masing menyediakan buah getah, yang terbaik di antara semua buah getahnya dipanggil ‘jaguh’. Biasanya biji getah yang kuat adalah padat isinya, bersaiz kecil dan bersudut atau berbucu sedikit. Bucu ini nanti akan menjadi ‘penukul’ untuk membinasakan biji-biji getah pencabar. Bagi menentukan siapa dahulu bermain, ‘jaguh’ masing-masing akan dicabar dalam ujian ke atas 10 biji getah yang diberi secara rawak oleh pengadil. Pemilik ‘jaguh’ yang berjaya menewaskan banyak biji getah adalah layak menduduki tempat terawal bermain.
Pemain yang berhajat untuk berlawan hendaklah menyediakan seberapa banyak biji getah yang mungkin. Mata diperolehi apabila ‘jaguh’ masing-masing berjaya memecahkan satu biji getah yang diberi oleh pengadil. Pengadil akan memberi mata cara menghadiahi 1 biji getah. Biji getah yang ini bukan untuk diuji tetapi hendaklah disimpan sebagai bukti pungutan mata. Jika ‘jaguh’ tewas kepada biji getah pencabar, peluang bermain terpaksa diserahkan kepada pemain lain.
Bagi mengelakkan penipuan, pengadil akan mengenalpasti yang mana biji getah pencabar. Biasanya pengadil menanda biji getah pencabar dengan cara mengikisnya sedikit. Ada juga pemain yang nakal dan cuba menipu untuk menang. Penipuan dibuat dengan cara melagakan biji getah pencabar dengan ketul batu yang disembunyikan dalam genggaman. Ini menjadi tanggungjawab pengadil untuk mengelakkannya. Begitulah seronoknya permainan ini. Ibubapa tentunya tidak keberatan mengizinkan anak-anak menghabiskan masa dengan permainan ini. Dan selalunya saya dan rakan-rakan akan bermain di mana-mana saja terutama di bawah rumah kerana teduh dan sejuk.
8. Main Tarik Upih
DALAM suasana akan pulang berhariraya di kampung, entah mengapa fikiran ini tiba-tiba saja teringatkan waktu kecil-kecil dahulu. Sementara menunggu masa berbuka puasa, saya dan beberapa orang rakan akan bermain tarik upih. Tatkala itu permainan tersebut merupakan satu permainan yang amat menyeronokkan kami. Halaman rumah yang rata kendati berdebu adalah tempat yang terbaik untuk kami bermain. Menarik upih selalunya diberi kepada rakan-rakan lelaki yang berbadan sasa dan kuat sementara penunggang upih merupakan rakan-rakan yang berbadan kurus, ringan ataupun perempuan.
Kemenangan dikira berdasarkan kepada peserta yang tiba dahulu di ’padan’ atau apabila pihak lawan diisytiharkan batal atau mati atau dibuang dari gelanggang kerana melakukan sesuatu kesalahan yang boleh menyebabkan batal, mati atau dibuang gelanggang. Peserta akan dikira mati sekiranya mendepani ’aba-aba’ atau ’paduk’ sebanyak tiga kali. Peserta juga akan dikira mati sekiranya memasuki lorong pihak lawan sewaktu perlumbaan. Bagi kesalahan batal, berlaku apabila perlumbaan yang tidak di dalam sanggaan atau berlaku pertukaran penarik upih sewaktu dalam perlumbaan.
Buang gelanggang berlaku apabila terdapat mana-mana peserta atau pemain yang melakukan sesuatu perbuatan yang kurang sopan sebanyak tiga kali. Buang gelanggang juga akan berlaku sekiranya terdapat mana-mana pemain berbuat sesuatu yang bukan dalam permainan.
9. Permainan Capelong
BILA duduk bersendirian sambil melihat kanak-kanak zaman sekarang bermain play station, saya terkenang permainan saya waktu kecil dulu iaitu permainan capelong. Walaupun permainan capelong ini tidak sehebat play station tetapi capelong mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Selain dari dapat membentuk kerjasama yang baik, persahabatan yang erat dan usaha yang bersungguh-sungguh kerana segala peralatan dibuat sendiri, ia juga dapat membina daya kreativiti seseorang kanak-kanak.
Permainan capelong juga dikenali dengan nama senapang buluh terutama oleh kanak-kanak di kampung saya. Senapang buluh merupakan alat permainan yang ringkas. Seperti namanya, ianya diperbuat dari seruas buluh yang panjangnya dipotong mengikut keperluan si pembuat. Namun panjang laras senapang yang biasa adalah lebih kurang sekaki. Terdapat tiga komponen peralatan capelong atau senapang buluh iaitu laras, gandar pengepam (dipanggil gucuh atau gocoh) dan hulu. Buluh temiang paling baik untuk tujuan ini. Boleh dikatakan ia merupakan sejenis ‘pump-gun’ tradisional yang berkuasa rendah. Gucuh atau gocoh biasanya juga diperbuat dari buluh (buluh biasa yang lebih tebal kulitnya) diraut kerana ia lurus dan boleh dibentuk bulat dengan senang. Sekali imbas ia kelihatan seperti pam tangan basikal.
Hulu senapang panjangnya lebih tiga inci atau kurang. Dan biasanya melibatkan bahagian yang mengandungi ruas untuk berfungsi menopang gucuh dengan baik selain dari senang untuk digenggam. Selain dari untuk digenggam, hulu ini penting untuk membolehkan peluru senapang dipupuh terlebih dahulu sebelum diasak jauh ke dalam laras.
Sewaktu melepaskan peluru buah cenerai harus berhati-hati kerana jika terkena mata kawan boleh menjadi buta. Selalunya, untuk menjaga mata dari terkena peluru capelong, kami akan menggunakan lekar sebagai perisai. Lekar yang kami ambil di dapur milik emak yang sering meletakkan periuk panas selepas memasak begitu berkesan dalam aspek penjagaan mata dan tidak ada sesiapa pun antara kami yang buta akibat tembakan peluru capelong. Lekar tersebut dibubuh tali getah di dua bahagian tepinya kemudian diikatkan di belakang kepala. Di sini wujud satu kreativiti minda yang wajar dipuji kerana penggunaan lekar tercipta secara spontan.
Begitulah. Sewaktu bertemu kembali rakan-rakan sepermainan waktu kecil dulu setelah lebih 30 tahun berpisah, segala kenangan silam gesit terbayang kembali. Datangnya begitu lunak, meresap ke dalam nubari, menerobos wilayah sukma dengan satu kesyahduan perasaan yang tersendiri dan tanpa sedar ada air mata yang mengalir lesu. Betapa kenangan silam sewaktu kecil itu amat menusuk perasaan kerana di dalamnya terselit seribu nilai persahabatan, erti kasih sayang, kesepaduan, kerjasama, tolak ansur, gembira bersama, menangis bersama dan yang lebih penting tidak pernah secuit pun tercetus bibit-bibit kebencian dan persengketaan antara kami. Segalanya mesra, dalam senyum dan gurau senda.
Kadang-kadang saya impikan dunia ini kembali berputar ke zaman silam, zaman waktu saya kecil dulu agar saya dapat menikmati lagi hidup dalam suasana penuh keriangan tanpa sebarang nestapa dan lara. Tapi, sudah tercatat sebagai sunan al-khaun, masa yang lepas tak mungkin akan kembali lagi. Hanya tersimpan dalam arkib memorabilia yang tak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan