Isnin, 8 November 2010

Perlunya Budaya Membaca

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Apa perlunya sebuah masyarakat membaca? Apa pentingnya pembacaan dalam sesebuah masyarakat? Dan apa pula risikonya jika konsep masyarakat membaca gagal direalisasikan dalam sebuah negara yang sedang pesat membangun seperti negara kita Malaysia ini?

Konsep masyarakat sebenarnya bukanlah baru dalam kamus pendidikan. Konsep ini memperihalkan perkembangan masyarakat yang menjadikan aktiviti pembacaan salah satu prasyarat untuk terus menapak maju. Membaca bukan suatu natijah tetapi sebagai wahana dan salah satu peringkat dalam kemajuan sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, matlamat sesebuah masyarakat membaca bukan sekadar peratus literasi dan tabiat membaca yang tinggi semata-mata, matlamat membaca ialah melahirkan budaya ilmu yang mantap.

Dalam sesebuah masyarakat membaca, ilmu menduduki tangga teratas dalam sistem nilainya. Sementara aktiviti keilmuan yang berteraskan ketuhanan, keadilan dan kebenaran menjadi keutamaan berbanding dengan kegilaan mengejar harta benda dan pangkat, apatahlagi hiburan dan sukan. Keutamaan terhadap ilmu seharusnya selari dengan pandangan hidup dan jiwa murni yang menjadi status insan kamil.

Masyarakat membaca juga menjadikan ilmu sebagai landasan hidup. Yang dicari dengan ghairahnya ialah ilmu bukan maklumat. Yang dicitakan ialah tahap kebijaksanaan, bukan sekadar sijil akademik yang pelbagai tahap dan bidang. Oleh yang demikian, masyarakat membaca sangat cintakan bahan-bahan ilmu, khususnya buku, jurnal dan majalah yang menyalurkan ilmu dan menyuburkan minda.

Bagi sesebuah masyarakat membaca yang matang, mereka bukan sahaja ghairah dan mengamalkan tabiat membaca, malah mereka mengutamakan mutu bahan bacaan. Mereka hanya membaca bahan-bahan ilmu yang terbukti keunggulannya. Maka lahirlah masyarakat yang lebih ghairah membahaskan idea dan gagasan besar berbanding membicarakan hal yang remeh temeh apalagi gossip. Dalam hal ini pepatah Inggeris ada mengatakan:

minda agung membicarakan idea,
minda awam membicarakan peristiwa,
minda kecil membicarakan hal orang lain,
minda kerdil membicarakan diri sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA