Isnin, 15 November 2010

Muslim Sedunia Menyambut Ramadhan

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


DALAM kesempatan bulan Ramadhan ini, saya menyampaikan harapan kepada semua kaum Muslimin di seluruh penjuru dunia, sebuah harapan yang tulus semoga bulan suci ini membawa kebaikan tidak terhingga terutama kedamaian bagi para penganutnya. Begitu ramai kaum muslimin, di Palestin, Chechnya, Kashmir, Iraq, Lubnan, Turkestan Timur, Indonesia, dan negara-negara lain memasuki bulan ini dalam suasana kekerasan, konflik, dan perang. Satu-satunya keinginan dari orang-orang tidak berdosa yang terjebak dalam kemiskinan, kelaparan dan wabak penyakit adalah dapat hidup di bawah naungan agama mereka, dalam suasana kedamaian dan stabil serta hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang gangguan.


Agar segala permasalahan yang muncul tersebut berakhir, semua kaum Muslimin harus bersatu padu, melakukan usaha serius untuk menjadikan nilai-nilai Al-Quran tersampaikan dan membumi, dan bekerjasama membantu sedapat mungkin kaum Muslimin yang memerlukan pertolongan. Bulan Ramadhan amatlah penting terutama ketika kerjasama dan saling bantu dikedepankan.


Yang paling penting di sini adalah jangan berfikir bantuan seperti apa yang sebaiknya saya berikan? Akan tetapi bekerjalah dengan setulus hati. Yang tidak boleh dilupakan adalah, bahawa Allah Tuhan Semesta Alam, yang akan menentukan kejayaan segala usaha ini dan menerima doa orang-orang beriman yang setia kepada-Nya.


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang berlimpah pahala, seperti digambarkan dalam Al-Quran yang diturunkan sebagai pedoman bagi seluruh umat manusia, di dalamnya juga terdapat malam yang memiliki nilai lebih baik dari pada seribu bulan, Lailatul Qadar (surah al-Qadar:3).


Selama bulan Ramadhan, seluruh umat Muslimin di dunia menjalankan perintah puasa, sebagai wujud rasa syukur kepada Allah s.w.t, atas segala rahmat yang telah diberikan-Nya pada mereka. Dalam surah al-Baqarah, Allah s.w.t menyatakan perihal bulan Ramadhan sebagai berikut: ‘Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).


Lantaran itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajib baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari yang lain. Allah s.w.t menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.’ (surah al-Baqarah (2): 185)


Menunaikan kewajipan berpuasa untuk mencapai redha Allah s.w.t adalah suatu bukti keimanan yang kuat, kesucian jiwa, keikhlashan hati, dan rasa takut kepada Allah. Puasa adalah suatu bentuk penyembahan khusus antara hamba dan Allah s.w.t sebagai Tuhannya, kerana hanya Allah s.w.t yang mengetahui azam, niat seseorang, keikhlasan, kemurnian dan perhatiannya atas amalan yang halal dan yang haram, termasuk ketika seseorang menunaikan kewajipan ini.


Tidak seorang pun mengetahui apakah seseorang berpuasa untuk memberi kesan kepada orang-orang sekitarnya ataukah untuk maksud lain di luar tujuan suci yang utama. Orang yang berpuasa diberi imbalan sebagai amalan sesuai dengan apa yang ada dalam pandangan Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w memberi berita yang menggembirakan kepada umatnya dalam sebuah hadis: ‘Sungguh, kebahagiaanlah bagi orang-orang yang melalui bulan (Ramadhan) ini dengan berpuasa, beribadah, dan melakukan amal kebaikan (amal soleh)’


Allah s.w.t menyampaikan kewajipan berpuasa ini dalam Al-Quran: ‘Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.’ (surah al-Baqarah (2): 183)


Sebagaimana dinyatakan dalam ayat di atas, salah satu alasan mengapa puasa diwajibkan adalah agar manusia bertakwa dan mampu menahan hawa nafsunya. Satu-satunya cara untuk melakukannya adalah percaya (beriman) kepada Allah s.w.t dengan hati tulus, mematuhi segala perintahnya dan menjauhi godaan hawa nafsunya.

Dengan demikian, moral seseorang akan tumbuh baik seiring dengan waktu, keimanannya semakin mendalam, dan ketakutannya pada Allah s.w.t makin kukuh.


Akan tetapi, satu perkara penting bahawa keimanan yang suci, doa yang tulus, zikir pada Allah s.w.t dan keinginan untuk mengekang hawa nafsu seharusnya tidak surut dengan berakhirnya bulan puasa. Seseorang dengan keimanan yang teguh memancarkan moral, semangat Ramadhan bahkan setiap ketika dalam hidupnya. Allah s.w.t telah membuat kewajipan berpuasa hanya pada ketika tertentu, dan memerintahkan manusia untuk menjauhi perkara yang terlarang, salah. Manusia harus menjauhi perkara-perkara terlarang sepanjang hidupnya, mendengar suara hati nurani, berusaha mendapatkan keredhaan Allah s.w.t dan kembali hanya kepada-Nya.


Inilah moral yang disenangi oleh Allah s.w.t. Melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan ibadah, doa dan zikir pada Allah s.w.t selama bulan Ramadhan, dan menjauhi kebenaran yang tercantum dalam Al-Quran, seketika setelah bulan suci ini berlalu, merupakan perbuatan yang dimurkai Allah s.w.t. Hal ini disebabkan pada Hari Pengadilan setiap orang akan diminta untuk menghitung semua amal perbuatannya, besar atau kecil, dan akan diganjar dengan ganjaran yang setimpal.


Barang siapa bertakwa dan mendengar hati nuraninya akan selamat, dan barang siapa menolak dan membantah Allah s.w.t akan mendapatkan azab yang tiada akan pernah berakhir di neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA