Isnin, 15 November 2010

Rasulullah s.a.w Pandai Membaca Dan Menulis

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


SEJAK sekian lama kita diperdengarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu buta huruf, tak tahu membaca dan menulis. Sejak kecil guru-guru agama kita memberitahu kita bahawa Junjungan Besar kita itu buta huruf, tak tahu membaca dan menulis atau dalam lain perkataan ummi. Untuk pengetahuan pembaca, saya telah cuba merungkaikan persoalan ini lalu menarik sebuah kesimpulan bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak buta huruf, baginda tahu membaca dan menulis malah baginda juga bukan seorang yang ummi. Di bawah ini adalah penjelasan saya:


Abdul Mutalib yakni datuk Rasulullah s.a.w adalah Gabenor Mekah yang setiap tahun memberi makan kepada para kafilah yang datang ke Mekah. Beliau merupakan seorang yang kaya. Amatlah tidak logik cucu seorang Gabenor Mekah yang kaya dan terkenal itu buta huruf, tak tahu membaca dan menulis. Untuk pengetahuan pembaca, jawatan Gabenor Mekah hampir sama dengan jawatan Datuk Bandar sekarang. Tidak malukah cucu kepada seorang yang bergelar Datuk Bandar buta huruf, tak tahu membaca dan menulis. Dengan kekayaan yang Abdul Mutalib miliki beliau mampu mengupah seorang guru untuk mengajar Nabi Muhammad sebagaimana yang kita lakukan sekarang iaitu memanggil seorang guru untuk mengajar anak kita di rumah. Kita harus ingat bahawa Halimatun Saadiah adalah pengasuh yang dibayar upahnya oleh Abdul Mutalib. Ini menunjukkan bahawa beliau mampu mengupah seorang guru untuk mengajar cucunya.


Hakikat ini ditandai oleh fakta sejarah bahawa Nabi Muhammad s.a.w sering mengikut bapa saudaranya Abu Talib berniaga di Syam sewaktu masih lagi remaja. Apakah orang yang buta huruf, tak tahu membaca dan menulis akan diajak oleh Abu Talib membantunya berniaga di Syam? Tentulah tidak logik.


Begitu juga dengan satu lagi fakta sejarah bahawa Siti Khadijah pernah mengarahkan Nabi Muhammad s.a.w bersama Maisarah membawa misi dagang beliau ke Syam. Rasulullah s.a.w dilantik menjadi ketua dagang bersama kafilah dagang yang besar. Waktu itu Siti khadijah merupakan seorang ahli perniagaan yang kaya atau seorang tokoh korporat yang disegani. Apakah Siti Khadijah mahu melantik orang yang buta huruf, tak tahu membaca dan menulis untuk menjadi ketua bagi misi dagang beliau ke Syam? Sudah pastilah, beliau tidak mahu.


Ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang yang buta huruf, tak tahu membaca dan menulis. Kalau baginda buta huruf, tak tahu membaca dan menulis, sudah tentu baginda tidak akan mampu membawa misi dagang Siti Khadijah ke Syam dan pulang dengan keuntungan yang berlipat kali ganda pula.


Apa yang dapat dikatakan di sini ialah, dakwaan bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu buta huruf, tak tahu membaca dan menulis atau ummi adalah dakwaan dari orang yang cetek ilmu dan pengetahuannya tentang sejarah Rasulullah s.a.w. Apakah kita tidak berasa malu bila mengatakan bahawa Junjungan Besar kita itu buta huruf, tak tahu membaca dan menulis sedangkan Micheal Hart (penulis Perancis) telah meletakkan baginda di tempat pertama dalam 100 orang tokoh paling berpengaruh berpandukan kepada kepintaran dan kebijaksanaan minda Nabi Muhammad s.a.w.


Sesungguhnya, makna perkataan Al-Quran ummi telah dikelirukan oleh para ulama palsu Islam zaman dahulu. Mereka memahami kalimat tersebut kepada buta huruf, tak tahu membaca dan menulis. Lalu Nabi Muhammad, ‘Nabi yang ummi’ (7:157-158), dikatakannya tidak pandai membaca dan menulis. Ajaran mereka diterima tanpa ragu oleh hampir seluruh umat Islam sejak dari zaman dahulu hingga ke hari ini. Sebenarnya, ajaran itu palsu. Kepalsuannya boleh didedahkan dengan menggunakan sumber rujukan utama bagi bahasa Arab iaitu kitab Al-Quran.


Ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi kalimat ummi akan membuktikan bahawa ajaran mereka bukan sahaja palsu tetapi berbau fitnah yang amat besar dalam Islam. Antara ayat yang dimaksudkan berbunyi: ‘Dia yang membangkitkan kepada kaum yang ummi seorang rasul di kalangan mereka untuk membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,’ (62:2).


Ummi


Kaum yang ummi yang disebut di dalam ayat itu adalah kaum Arab. Orang-orang Arab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w difahamkan berada di tahap tinggi dalam kesusasteraan dengan karya-karya sastera yang bermutu dipamer dan digantungkan di Kaabah. Tentu itu tidak menggambarkan orang Arab jahiliah ketika itu berada dalam keadaan buta huruf. Mereka dikatakan jahililiah hanya dalam kepercayaan bukan dalam pelbagai bidang lain.


Kalimat ummi, menurut Al-Quran, bermaksud orang-orang yang tidak, atau belum, diberi sebarang kitab oleh Allah s.w.t. Ia juga bermaksud kaum Arab seperti yang telah disebutkan. Kaum Yahudi pula telah diberi tiga buah kitab melalui beberapa orang Nabi mereka. Mereka dipanggil ahli kitab. Tetapi jiran mereka, orang-orang Arab, belum diberi sebarang kitab pun sebelum Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Lantaran itu, orang-orang Arab dikatakan ummi sebab belum menerima Kitab Allah.


Untuk menjelaskan lagi, dipetik sebuah ayat yang menunjukkan dengan jelas perbezaan antara ahli Kitab (orang yang telah diberi Kitab) dengan kaum ummi (yang belum diberi Kitab) atau buta Kitab. Firman-Nya: ‘Dan daripada ahli Kitab ada yang, jika kamu mempercayakan dengan satu timbunan, dia akan mengembalikannya kepada kamu; dan antara mereka ada yang, jika kamu mempercayakan dengan satu dinar, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kamu selalu berdiri di atas (menagih) dia. Itu adalah kerana mereka berkata, ‘Tidak ada jalan atas kami terhadap orang-orang ummi (yang tidak diberi Kitab, iaitu orang Arab).’ Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya.’ (3:75)


Ayat di atas menunjukkan keengganan sesetengah orang Yahudi (ahli Kitab) untuk mengembalikan ‘hutang’ kepada orang Arab, yang ummi (yang tidak diberi Kitab, atau buta Kitab), atas sebab ‘tidak ada jalan’ bagi mereka terhadap orang ummi. Sikap jenis itu seakan-akan sama dengan apa yang disemat di iman sesetengah orang Islam terhadap orang yang mereka anggap kafir pada hari ini.


Satu lagi ayat Al-Quran dipetik untuk memantapkan lagi hujah dalam menunjukkan perbezaan tersebut, berbunyi: ‘Dan katakanlah kepada orang-orang yang diberi al-Kitab, dan orang-orang ummi (yang tidak diberi Kitab), ‘Sudahkah kamu tunduk patuh?’ (3:20)


Maka jelaslah iaitu kalimat ummi tidak bermakna buta huruf, lantas, Nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. (Sila rujuk kalimat ummi di dalam Al-Quran)


Membaca


Selanjutnya, terdapat banyak ayat di dalam Al-Quran yang mengisahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh oleh Allah s.w.t supaya membaca ayat-ayat-Nya kepada orang-orang yang berada di kelilingnya. Itu menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w pandai membaca. Antara ayat yang dimaksudkan adalah enam yang berikut:


1. ‘Dan kamu (Muhammad) bacakanlah kepada mereka cerita dua orang anak Adam dengan sebenarnya .. ‘ (5:27)

2. ‘Katakanlah, ‘Marilah, aku (Muhammad) akan membacakan apa yang Pemelihara kamu mengharamkan kamu... ‘ (6:151)

3. ‘Demikianlah Kami mengutus kamu (Muhammad) kepada satu umat yang sebelumnya beberapa umat telah berlalu untuk membacakan mereka apa yang Kami mewahyukan kamu... ‘ (13:30)

4. ‘Dan sebuah Al-Quran yang Kami membahagi-bahagikan, untuk kamu (Muhammad) membacakannya kepada manusia berjarak-jarak, dan Kami menurunkannya dengan satu penurunan.’ (17:106)

5. ‘Aku (Muhammad) hanya diperintah untuk menyembah Pemelihara tanah ini, yang Dia menjadikannya suci; kepunyaan-Nya segala sesuatu. Dan aku diperintah supaya menjadi antara orang-orang yang muslim, dan untuk membaca Al-Quran... ‘ (27:91-92)

6. ‘Wahai ahli Rumah, Allah hanya menghendaki untuk menghilangkan kotoran daripada kamu, dan untuk membersihkan kamu, sebersih-bersihnya. Dan ingatlah apa yang dibacakan di dalam rumah-rumah kamu daripada ayat-ayat Allah... ‘ (33:33-34).


Di sini, Nabi Muhammad s.a.w didapati membacakan ayat-ayat Allah s.w.t kepada isteri-isterinya di rumah-rumah mereka. Malahan, rasul-rasul Allah yang lain didapati pandai membaca kerana mereka ditugaskan untuk membaca ayat-ayat-Nya kepada manusia. Tugas itu adalah juga tugas Nabi Muhammad s.a.w. Dua ayat yang berikut menjelaskannya:


1. ‘Kemudian orang-orang yang tidak percaya dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Jahanam, sehingga apabila mereka datang kepadanya, pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, ‘Tidakkah rasul-rasul datang kepada kamu daripada kalangan kamu sendiri, dengan membacakan kamu ayat-ayat Pemelihara kamu, dan memberi amaran kepada kamu terhadap pertemuan hari kamu ini?’ Mereka berkata, ‘Ia, benar... ‘ (39:71)

2. ‘Dia yang membangkitkan pada kaum yang ummi (orang Arab) seorang rasul (Muhammad) di kalangan mereka untuk membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,’ (62:2)


Tambahan pula, adalah sukar untuk menerima hakikat bahawa seorang Nabi pilihan-Nya tidak tahu membaca walhal Dia menyuruhnya dan manusia lain supaya mengamalkan tabiat membaca, seperti firman-Nya - ‘Bacalah dengan nama Pemelihara kamu yang mencipta,’ (96:1)


Menulis


Bukan sahaja didapati dalam Al-Quran, yang Nabi Muhammad s.a.w pandai membaca, malah, baginda juga didapati pandai menulis. Kebenaran itu telah diakui sendiri oleh orang-orang yang tidak percaya yang tinggal bersamanya. Firman-Nya: ‘Mereka berkata, ‘Dongeng orang-orang dahulu kala, yang dia menulisnya, yang diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang.’ (25:5)


Terjemahan ayat tersebut telah menimbulkan keraguan sesetengah pihak. Betulkah ayat itu diterjemahkan? Untuk mengikis keraguan, pertama, dikemukakan sebuah tafsir kepada ayat yang sama, oleh Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus (Tafsir Quran Karim, cetakan ke-19, 1979, halaman 525) yang berbunyi: ‘Mereka berkata: (Quran ini) khabar-khabar dongeng orang-orang dahulu kala, yang dituliskan oleh Muhammad dan dibacakan (didiktekan) orang kepadanya pagi-pagi dan petang.’ (25:5)


Kedua, kalimat yang diterjemahkan kepada ‘menulisnya’ ialah iktataba. Kalimat itu penting kerana, difahamkan, mempunyai pengertian ‘menulis nota terutamanya apabila orang kedua sedang mengimlakkan.’ Dan akhir sekali, terdapat sebuah lagi ayat yang bukan sahaja menyokong ayat 25:5 tadi bahkan mampu untuk menghapuskan sama sekali keraguan terhadap Nabi s.a.w yang dikatakan kini pandai membaca dan menulis, termasuk membaca dan menulis Kitab. Firman-Nya: ‘Tidaklah sebelum ini kamu (Muhammad) membaca sebarang Kitab, atau menulisnya dengan tangan kanan kamu; jika demikian, tentulah orang-orang yang mengikuti yang palsu menjadi ragu-ragu.’ (29:48)


Ia menegaskan, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah membaca dan menulis sebarang Kitab sebelum menerima Al-Quran. Bermaksud, selepas menerima Al-Quran baginda telah membaca, dan menulis Kitab dengan tangan kanannya.


Seterusnya, ayat itu tidak menunjukkan pula bahawa baginda tidak pernah membaca dan menulis sesuatu yang selain daripada Kitab sebelum menerima Al-Quran (misalan, membaca dan menulis apa yang diperlukan dalam urusan perdagangannya). Dengan adanya bukti-bukti yang jelas daripada Allah s.w.t, maka terdedahlah fitnah yang kian lama dilakukan oleh para ulama palsu Islam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang mereka sebarkan sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau buta huruf. Sesungguhnya mereka menghina Nabi Muhammad s.a.w dengan berbuat demikian meskipun mereka mendakyahkan iaitu merekalah orang-orang yang paling mengasihinya.

1 ulasan:

  1. saya kira kita perlu meraikan perbezaan zaman dan budaya. secara lumrahnya ilmu pengetahuan disebarkan melalui dua jalan; 1- jalan lisan/verbal/oral tradition. 2- jalan penulisan/non-verbal/reading tradition.

    dalam masyarakat yang mana penyampaian dan perkembangan ilmu pengetahuannya dilakukan secara lisan, kurang atau tiada langsung pengetahuan seseorang tentang tradisi penulisan adalah satu perkara yang tidak penting dan tak termasuk dalam skop perbincangan. ini kerana tradisi yang dipeluk masyarakat tersebut adalah jauh berbeza dengan apa yang kita peluk pada zaman sekarang.

    kita menafsir sejarah dalam menurut konteksnya yang khusus. sejarah tak patut ditafsir di luar konteks masanya. perkara yang kita anggap penting sekarang mungkin tidak penting bagi orang dahulu.

    perkara yang pelik dahulu mungkin tidak pelik untuk orang sekarang.

    bukan menafikan kepentingan membaca dan menulis, tapi dahulu bukan cara membaca dan menulis yang diamal dan dipraktikkan. masyarakat dahulunya berteraskan lisan/ orally transmited tradition. sekian.

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA