Ahad, 14 November 2010

Islam Dan Akulturasi Budaya Tempatan

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


UNTUK strategi pengembangan Islam di Malaysia, kita perlu bervisi ke hadapan. Kerana budaya menyentuh seluruh aspek dan dimensi cara pandang, sikap hidup serta aktualisasinya dalam kehidupan manusia. Selain itu, gerakan cultural lebih integratif. Kita patut mencontoh metodologi Sunan Kalijaga dalam menyebarkan Islam di Tanah Jawa. Sunan Kalijaga melihat proses keruntuhan feudalisme Majapahit, ia mendorong percepatan proses transformasi, justeru dengan menggunakan unsur-unsur tempatan bagi menopang efektif segi teknik dan operasionalnya. Salah satu yang beliau gunakan adalah wayang.


Muqaddimah


Ketika seorang pakar menyentak kesedaran kita dengan isu menggantikan ‘Assalamu’alaikum’ dengan ucapan ‘Selamat Pagi’ sebagai alasan sampel dari peribumisasi Islam, kita pun bertanya; ‘Apa tujuan di sebalik pernyataan itu?’ Sikap pro dan kontra pun bermunculan. Kemudian persoalan tadi mampu dilanjutkan; apakah ada ketegangan antara agama yang cenderung kekal dengan budaya yang dinamis? Bagaimana hubungan ajaran agama yang universal dengan setting budaya tempatan yang melingkupinya? Lalu, bagaimana sikap salaf dalam mengakomodasi tradisi dan nilai-nilai Islam. Kemudian apakah syarak menjustifikasi hal itu? Tulisan ini cuba menjawab persoalan-persoalan di atas.


Universalisme Islam


Universalisme (al-’Alamiyah) Islam adalah salah satu karakteristik Islam yang agung. Islam sebagai agama yang besar berkarakteristikkan rabbaniyyah, insaniyyah (humanistik), syumul (menyeluruh) yang mencakup unsur keabadian, universalisme dan menyentuh semua aspek manusia (roh, akal, hati dan badan), wasathiyah (sederhana dan seimbang), waqi’iyah (realiti), jelas dan mudah, dan integrasi antara al-tsabat wa al-murunah (kekal dan elastik).


Universalisme Islam yang dimaksudkan adalah bahawa risalah Islam ditujukan untuk semua umat, semua ras dan bangsa serta untuk semua lapisan masyarakat. Ia bukan risalah untuk bangsa tertentu yang beranggapan bahawa dialah bangsa yang terpilih, dan kerananya semua manusia harus tunduk kepadanya.


Risalah Islam adalah hidayah Allah untuk segenap manusia dan rahmat-Nya untuk semua hamba-Nya. Manifesto ini termaktub abadi dalam firman-Nya: ‘Dan tidak Kami utus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmah bagi seluruh alam.’ ‘Katakanlah (Muhammad) agar ia menjadi juru peringatan bagi seru sekalian alam.

Ayat-ayat di atas yang nota bene Makkiyah, secara implisit membantah tuduhan sebahagian orientalis yang menyatakan bahawa Muhammad s.a.w. tidak memproklamasikan pengutusan dirinya untuk seluruh umat manusia pada awal-kerisalahannya, akan tetapi setelah mendapat kemenangan atas bangsa Arab.


Universalisme Islam menampakkan diri dalam berbagai manifestasi penting, dan yang terbaik adalah dalam ajaran-ajarannya. Ajaran-ajaran Islam yang mencakup aspek akidah, syari’ah dan akhlak (yang sering kali disempitkan oleh sebahagian masyarakat menjadi hanya kesusilaan dan sikap hidup), menampakkan perhatiannya yang sangat besar terhadap persoalan utama kemanusiaan. Hal ini dapat dilihat dari enam tujuan umum syari’ah iaitu menjamin keselamatan agama, badan, akal, keturunan, harta dan kehormatan.


Selain itu risalah Islam juga menampilkan nilai-nilai kemasyarakatan (social-values) yang luhur, yang boleh dikatakan sebagai tujuan dasar syari’ah iaitu keadilan, ukhuwwah, takaful, kebebasan dan kehormatan. Semua ini akhirnya bermuara pada keadilan sosial dalam erti sebenarnya. Dan seperti kita tahu, pandangan hidup (world view, weltanschaung) yang paling jelas adalah pandangan keadilan sosial.


Kosmopolitanisme Kebudayaan Islam


Selain merupakan pancaran makna Islam itu sendiri serta pandangan tentang kesatuan kenabian (wahdat al-nabawiyah; the unity of prophet) berdasarkan makna Islam itu, serta konsisten dengan semangat prinsip-prinsip tersebut, kosmopolitanisme budaya Islam juga mendapat pengesahan langsung dari kitab suci seperti suatu pengesahan berdasarkan konsep-konsep kesatuan kemanusiaan (wihdat al-insaniyah; the unity of humanity) yang merupakan kesinambungan konsep kemahaesaan Tuhan (wahdaniyat atau tauhid; the unity of god). Kesatuan asasi umat manusia dan kemanusiaan itu ditegaskan dalam firman-firman:


1. ‘Umat manusia itu tidak lain adalah umat yang tunggal, tetapi kemudian mereka berselisih (sesama mereka) jika seandainya tidak ada keputusan (kalimah) yang telah terdahulu dari Tuhanmu, maka tentulah segala perkara yang mereka perselisihkan itu akan diselesaikan (sekarang juga).’

2. ‘Umat manusia itu dulunya adalah umat yang tunggal, kemudian Allah mengutus para nabi untuk membawa khabar gembira dan memberi peringatan dan bersama para nabi itu diturunkannya kitab suci dengan membawa kebenaran, agar kitab suci itu dapat memberi keputusan tentang hal-hal yang mereka perselisihkan...


Para pengikut Nabi Muhammad s.a.w. diingatkan supaya selalu menyedari sepenuhnya kesatuan kemanusiaan itu dan berdasarkan kesedaran tersebut mereka membentuk pandangan budaya kosmopolit iaitu sebuah pola budaya yang konsep-konsep dasarnya meliputi, dan diambil dari seluruh budaya umat manusia.


Refleksi dan manifestasi kosmopolitanisme Islam mampu dilacak dalam etalase sejarah kebudayaan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w., baik dalam format bukan material seperti konsep-konsep pemikiran, mahupun yang material seperti seni arkitektur bangunan dan sebagainya. Pada masa awal Islam, Rasulullah s.a.w. berkhutbah hanya dinaungi pelepah kurma. Kemudian, tatkala kuantiti kaum muslimin mulai bertambah ramai, dipanggillah seorang tukang kayu Romawi. Dia membuatkan untuk Nabi sebuah mimbar dengan tiga tingkatan yang dipakai untuk khutbah Jumaat dan munasabah-munasabah lainnya. Kemudian dalam perang Ahzab, Rasulullah s.a.w. menerima saranan Salman al-Farisy untuk membuat parit (khandaq) di sekitar Madinah. Kaedah ini adalah salah satu kaedah pertahanan ala Parsi. Rasulullah s.a.w. mengagumi dan melaksanakan saranan tersebut. Baginda tidak mengatakan: ‘Ini kaedah Majusi, kita tidak memakainya!’


Para sahabat juga meniru pentadbiran dan system kewangan dari Parsi, Romawi dan lainnya. Mereka tidak keberatan dengan hal itu selagi memberi kemashlahatan dan tidak bertentangan dengan nas. Sistem cukai zaman itu diadopsi dari Parsi sedang sistem pentadbiran (dewan) berasal dari Romawi.


Pengaruh falsafah Yunani dan budaya Yunani (hellenisme) pada umumnya dalam sejarah perkembangan pemikiran Islam bukan merupakan hal baru lagi. Seperti budaya Yunani, budaya Parsia juga amat besar sahamnya dalam pengembangan budaya Islam. Jika dinasti Umawiyah di Damascus menggunakan sistem administratif dan birokratif Byzantium dalam menjalankan pemerintahannya, dinasti Abbasiyah di Baghdad (dekat Tesiphon, ibu kota dinasti Parsi Sasan) meminjam sistem Persia. Dan dalam pemikiran, tidak sedikit pengaruh-pengaruh Persianisme atau Aryanisme (Iranisme) yang masuk ke dalam sistem Islam. Hal ini terpantul dengan jelas dalam buku al-Ghazali (beliau sendiri orang Parsi), Nashihat al-Mulk, Siyasat Namah (pedoman pemerintahan), yang juga banyak menggunakan bahan-bahan pemikiran Parsi.


Islam, Bias Arabisme Dan Akulturasi Timbal-Balik Dengan Budaya Tempatan


Walaupun Islam sebagai agama bersifat universal yang menembusi batas-batas bangsa, ras, puak dan peradaban, tidak dapat dinafikan bahawa unsur Arab mempunyai beberapa keistimewaan dalam Islam. Ada hubungan kuat yang mengisyaratkan ketiadaan kontradiksi antara Islam sebagai agama dengan unsur Arab. Menurut Dr. Imarah, hal ini boleh dilihat dari beberapa hal:


1. Pertama, Islam diturunkan kepada Muhammad bin Abdullah, seorang Arab. Juga, mukjizat terbesar agama ini, Al-Quran, didatangkan dengan bahasa Arab yang jelas (al-Mubin), yang dengan ketinggian sasteranya dapat mengungguli para sasterawan terkemuka Arab sepanjang sejarah. Sebagaimana memahami dan menguasai Al-Quran sangat sukar dengan bahasa apa pun selain Arab. Implikasinya, Islam menuntut pemeluknya jika ingin menyelami dan mendalami makna kandungan Al-Quran, maka hendaknya mengarabkan diri.

2. Kedua, dalam menyiarkan dakwah Islam yang universal, bangsa Arab berada di barisan hadapan, dengan pimpinan kearaban Nabi s.a.w. dan Al-Quran, kebangkitan realiti Arab dari segi ‘sebab turunnya wahyu’ dengan peranan sebagai buku catatan interpretatif terhadap Al-Quran dan lokasi dimulainya dakwah di jazirah Arab sebagai ‘peleton pertama terdepan’ di barisan tentera dakwahnya.

3. Ketiga, jika agama-agama terdahulu mempunyai karakteristik yang sesuai dengan konsep Islam tempatan, kondisional dan temporal, pada ketika Islam berkarakteristikkan universal dan mondial, maka kedudukan mereka sebagai ‘garda terdepan’ agama Islam adalah menembusi batas wilayah mereka.


Walaupun begitu, menurut kajian Ibnu Khaldun, seorang pakar sosiologi dan sejarawan muslim terkemuka, bahawa di antara hal aneh tetapi nyata bahawa majoriti ulama dan cendekiawan dalam agama Islam adalah ‘ajam (bukan Arab), baik dalam ilmu-ilmu syari’at mahupun ilmu-ilmu akal. Kalau di antara mereka orang Arab secara nasab, tetapi mereka ‘ajam dalam bahasa, lingkungan pendidikan dan gurunya.


Lebih lanjut, Ibnu Khaldun menjelaskan bahawa bersamaan dengan meluasnya daerah Islam, muncullah banyak masalah dan bida’ah, bahasa Arab sudah mulai tercemar, maka diperlukan kaedah-kaedah nahwu. Ilmu-ilmu syari’at menjadi keterampilan atau keahlian istinbath, deduktif, teoritisasi dan analogi. Ia memerlukan ilmu-ilmu penyokong yang menjadi cara-cara dan kaedah-kaedah berupa pengetahuan undang-undang bahasa Arab dan aturan-aturan istinbath, qiyas yang diserap dari akidah-akidah keimanan berikut dalil-dalilnya, kerana ketika itu muncul bida’ah-bida’ah dan ilhad (atheisme). Maka jadilah ilmu-ilmu ini ilmu-ilmu keterampilan yang memerlukan pengajaran.


Hal ini masuk dalam golongan komoditi industri, dan sebagaimana telah dijelaskan bahawa komoditi industri adalah peradaban orang kota sedangkan orang Arab adalah sangat jauh dari hal ini. Ibnu Khaldun menyebutkan, intelektual-intelektual yang mempunyai sumbangan besar dalam ilmu nahwu seperti Imam Sibawaih, al-Farisi, dan al-Zujjaj. Mereka semua adalah ‘ajam. Begitu juga intelektual-intelektual dalam bidang hadis, ushul fiqah, ilmu kalam dan tafsir. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.; ‘Jika saja ilmu digantungkan di atas langit, maka akan diraih oleh orang-orang dari Parsia.’


Kita lihat juga bahawa budaya Persia; budaya yang pernah gemilang dan ketika Islam masuk; ia sedang menyusut, adalah memiliki pengaruh yang dalam, luas, dinamik dan kreatif terhadap perkembangan peradaban Islam. Lihat saja al-Ghazali, meskipun beliau banyak menulis dalam bahasa Arab sesuai konvesi besar kesarjanaan ketika itu, beliau juga menulis beberapa buku dalam bahasa Parsi. Lebih dari itu, dalam menjabarkan berbagai idea dan pendapatnya, dalam menandaskan mutlaknya nilai keadilan ditegakkan oleh para penguasa, beliau menyebut sebagai contoh pemimpin yang adil itu tidak hanya Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifah bijaksana khususnya Umar bin Khattab, tetapi juga Annushirwan, seorang raja Persia dari dinasti Sasan.


Menarik untuk diketengahkan juga walaupun kini Persia atau Iran menjadikan Syiah sebagai madzhab, namun lima dari penulis kumpulan hadis Sunni dan Kutub as-Sittah berasal dari Persia. Mereka adalah Imam Bukhari, Imam Muslim al-Naisaburi, Imam Abu Dawud al-Sijistani, Imam al-Tarmidzi dan Imam al-Nasai.


Dari paparan di atas, menunjukkan kepada kita betapa kebudayaan dan peradaban Islam dibina di atas kombinasi nilai ketakwaan, persamaan dan kreativiti dari dalam diri Islam yang universal dengan akulturasi timbal-balik dari budaya-budaya tempatan luar Arab yang terislamkan. Pun tidak hendak mempertentangkan antara Arab dan bukan Arab. Semuanya tetap bersatu dalam label ‘muslim.’


‘Yang terbaik dan termulia adalah yang paling takwa. Yang paling suci, yang paling banyak dan ikhlas sumbangan amalnya untuk kemulian Islam.’


Akulturasi Islam Dengan Budaya


Seperti dipaparkan di atas, Islam adalah agama yang berkarakteristikkan universal, dengan pandangan hidup (weltanchaung) mengenai persamaan, keadilan, takaful, kebebasan dan kehormatan serta memiliki konsep teosentrisme yang humanistik sebagai nilai inti (core value) dari seluruh ajaran Islam, dan lantaran itu menjadi tema peradaban Islam.


Pada ketika yang sama, dalam menterjemahkan konsep-konsep langit ke bumi, Islam mempunyai karakter dinamis, elastik dan akomodatif dengan budaya tempatan, selagi tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam itu sendiri. Permasalahannya terletak pada tata cara dan teknik pelaksanaan. Inilah yang diistilahkan oleh Gus Dur sebagai ‘peribumisasi Islam.’


Usaha rekonsiliasi memang wajar antara agama dan budaya. Di negara jiran kita Indonesia contohnya, telah dilakukan sejak lama serta mampu dilacak bukti-buktinya. Masjid Demak adalah contoh konkrit dari usaha rekonsiliasi atau akomodasi itu. Ranggon atau atap yang berlapis pada masa tersebut diambil dari konsep ‘Meru’ dari zaman pra Islam (Hindu-Buddha) yang terdiri dari sembilan susun. Sunan Kalijaga memotongnya menjadi tiga susun saja, hal ini melambangkan tiga tahap keberagamaan seseorang muslim iaitu iman, Islam dan ihsan. Pada mulanya, orang baru beriman saja kemudian ia melaksanakan Islam ketika telah menyedari pentingnya syariat. Barulah ia memasuki tingkat yang lebih tinggi lagi (ihsan) dengan jalan mendalami tasawuf, hakikat dan makrifat.


Hal ini berbeza dengan Kristian yang membina gereja dengan arkitektur asing, arkitektur Barat. Kes ini memperlihatkan bahawa Islam lebih toleran terhadap budaya tempatan. Buddha masuk ke Malaysia dengan membawa stupa, demikian juga Hindu. Islam tidak memindahkan simbol-simbol budaya Islam Timur Tengah ke Malaysia. Hanya akhir-akhir ini saja bentuk kubah disesuaikan. Dengan fakta ini, terbukti bahawa Islam tidak anti budaya. Semua unsur budaya boleh disesuaikan dalam Islam.


Pengaruh arkitektur India misalnya, sangat jelas kelihatan dalam bangunan-bangunan masjidnya, demikian juga pengaruh arkitektur khas mediterania. Budaya Islam memiliki begitu banyak varian. Yang patut diamati juga, kebudayaan populer di Malaysia banyak sekali menyerap konsep-konsep dan simbol-simbol Islam, sehingga seringkali jelas bahawa Islam muncul sebagai sumber kebudayaan yang penting dalam kebudayaan populer di Malaysia.


Kosa kata bahasa Jawa mahupun Melayu banyak mengadopsi konsep-konsep Islam. Taruhlah, dengan mengabaikan istilah-istilah kata benda yang banyak sekali dipinjam dari bahasa Arab, bahasa Jawa dan Melayu juga menyerap kata-kata atau istilah-istilah berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Istilah-istilah seperti wahyu, ilham atau wali misalnya, adalah istilah-istilah pinjaman untuk mencakup konsep-konsep baru yang sebelumnya tidak pernah dikenali dalam khazanah budaya populer.


Dalam hal penggunaan istilah-istilah yang diadopsi dari Islam, tentunya perlu membezakan mana yang ‘Arabi-sasi’, mana yang ‘Islamisasi.’ Penggunaan dan sosialisasi terma-terma Islam sebagai manifestasi simbolik dari Islam tetap penting dan signifikan serta bukan seperti yang dikatakan oleh Gus Dur, menyibukkan dengan masalah-masalah semu atau hanya bersifat pinggiran. Begitu juga penggunaan terma sembahyang sebagai ganti dari sembahyang (berasal dari kata ‘nyembah sang Hyang’) adalah proses Islamisasi bukannya Arabisasi.


Makna substansial dari sembahyang mencakup dimensi individual komunal dan dimensi peribumisasi nilai-nilai substansial ini ke alam nyata. Adalah naif juga mengganti salam Islam ‘Assalamu’alaikum’ dengan ‘selamat pagi, tengah hari, petang ataupun malam.’ Sebab esensi doa dan penghormatan yang terkandung dalam salam tidak terdapat dalam ucapan ‘Selamat Pagi’ yang cenderung basa-basi, selain salam itu sendiri memang dianjurkan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


‘Urf sebagai justifikasi yang dinamis dalam syariat Islam yang dinamis dan elastik, terdapat landasan hukum yang dinamakan ‘urf. ‘Urf adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan dan dijalankan oleh manusia, baik berupa perbuatan yang terlakoni di antara mereka atau lafaz yang biasa mereka ucapkan untuk makna khusus yang tidak dipakai (yang sedang baku).


Dari segi sahih tidaknya, ‘urf terbahagi dua: ‘urf sahih dan fasid. Yang pertama adalah adat kebiasaan manusia yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, seperti kebiasaan seorang isteri tidak boleh berpindah ke rumah suaminya kecuali setelah menerima sebahagian dari mahar, kerana mahar terbahagi dua; ada yang didahulukan dan ada yang diakhirkan.


Sedangkan yang diberikan oleh si peminang pada ketika bertunangan di anggap sebagai hadiah dan bukan sebahagian dari mahar. ‘Urf sahih ini wajib diperhatikan dalam proses pembuatan hukum dan pemutusan hukum di mahkamah yang disebabkan adat kebiasaan manusia, keperluan dan kemashlahatan mereka. ‘Urf fasid adalah adat kebiasaan manusia menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal seperti kebiasaan makan riba, ikhthilath (campur baur) antara lelaki dan wanita dalam pesta. ‘Urf ini tidak boleh digunakan sumber hukum, kerana bertentangan dengan syariat.


Nilai ‘urf dalam syariah diambil dari ayat; ‘Berilah permaafan, perintahkan dengan yang makruf dan berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.’ Dan dari ucapan Ibnu Mas’ud; ‘Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin, maka menurut Allah adalah baik. Dan sebaliknya yang dipandang buruk oleh mereka, menurut Allah adalah buruk.’


Dari dua dalil ini para fuqaha madzahib arba’ah menjadikan ‘urf sebagai landasan hukum. Dalam banyak hal, syarak tidak memberikan batasan-batasan yang kaku, akan tetapi memberikan kelonggaran kepada ‘urf untuk menentukan hukumnya. Seperti dalam ayat; ‘Kewajipan suami memberikan rezeki dan pakaian kepada mereka (isteri-isterinya) dengan makruf. Dan bagi wanita-wanita yang ditalak, (berhak diberi) harta secara makruf.’


Maknanya, ‘ufrlah yang menghukumi dan membatasi nafkah kepada isteri dan harta mut’ah bagi isteri yang ditalak. Kerananya, ulama ushul merumuskan sebuah kaedah, ‘al-’adah muhakkamah.’ Dan ‘urf memiliki i’tibar (pertimbangan) dalam syarak. Imam Malik membina banyak hukum atas dasar amal penduduk Madinah. Abu Hanifah dan pengikutnya berselisih pendapat dalam beberapa masalah kerana menimbang perbezaan ‘urf. Al-Syafie tatkala tinggal di Mesir merubah sebahagian hukum yang beliau tetapkan di Bagdhad kerana perbezaan ‘urf. Bahkan, Imam al-Qarafi al-Maliki, menjelaskan dalam kitabnya Al-Ahkam bahawa melanggengkan hukum-hukum yang dasarnya ‘urf dan adat, sementara adat kebiasaan itu selalu berubah adalah menyalahi ijma’ dan tidak mengetahui agama.


Khatimah


Jika demikian, jelaslah perjalanan sejarah rekonsiliasi antara Islam sebagai agama dan budaya tempatan yang melingkupinya serta adanya landasan hukum legitimatif dari syarak berupa ‘urf dan mashlahah. Maka untuk strategi pengembangan budaya Islam di Malaysia, kita perlu bervisi ke hadapan. Kenapa harus budaya? Kerana budaya menyentuh seluruh aspek dan dimensi cara pandang, sikap hidup serta aktualisasinya dalam kehidupan manusia.


Selain itu, gerakan cultural lebih integratif dan missal sifatnya. Sehubungan dengan hal ini, kita patut mencontohi metodologi Sunan Kalijaga dalam menyebarkan Islam di Tanah Jawa. Sunan Kalijaga melihat proses keruntuhan feudalisme Majapahit dan digantikan oleh egalitarianisme Islam, ia mendorong percepatan proses transformasi tersebut. Justeru dengan menggunakan unsur-unsur tempatan bagi menopang efektif segi teknik dan operasionalnya, salah satu yang beliau gunakan adalah wayang, juga gamelan yang dalam gabungannya dengan unsur-unsur upacara Islam populer adalah menghasilkan tradisi sekatenan di pusat-pusat kekuasaan Islam seperti Cirebon, Demak, Yogyakarta dan Surakarta. Dalam seni muzik Islam misalnya, yang mengandungi elemen-elemen isi, tujuan, cara penyajian yang Islamik, kenapa hanya alat muziknya seperti rebana yang lebih diperhatikan. Alat muzik itu, menurut hemat penulis, termasuk dalam katagori ‘urf. Ia mampu berubah sesuai dengan perkembangan zaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA