SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
Tidak lama lagi kita semua akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dalam kesempatan ini saya ingin mengajak semua pembaca untuk meneroka satu budaya bangsa yang begitu unik dan mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Dari kajian yang telah saya lakukan, budaya ini tidak lagi dipraktikkan kini terutama oleh generasi muda.
Umum mengetahui bahawa salah satu rukun Islam adalah berpuasa pada bulan Ramadhan. Ternyata Islam menggalakkan manusia berpuasa kerana pelbagai manfaatnya dan terbukti benar belaka. Semenjak dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, orang Melayu sudah pun mengamalkan berpuasa. Berpuasa dianggap berupaya membersihkan diri dari segala macam penyakit. Penyucian diri ini dianggap berupaya menyebabkan seseorang bebas minda dan hati sehingga berupaya menyatukan rasa, jasad dan roh. Kaedah berpuasa yang sering dilakukan pula tidak dapat dipisahkan dengan ‘pertapaan sambil mutih dan ngebleng’.
Sebagai contoh, berikut merupakan pertapaan yang diamalkan dahulu. Jika seseorang hendak tubuhnya kuat dan suaranya ditakuti, dia harus bertapa dan berpuasa selama 40 hari, mutih 40 hari dan ngebleng 7 hari. Manteranya pula berbunyi;
‘Bismillahirrahmanirrahim,
Raga dijagad, limpet bumi, bungen tjuleng
Ja aku Hamzah, sadjatining manusia
Laillahaillah Muhammad Rasullullah’
Pertapaan adalah pengasingan diri daripada manusia dan duniawi. Orang Melayu dahulu terutama dari etnik Jawa suka bertapa di hutan-hutan, gunung-ganang, bukit-bukau, gua-gua, atau tempat-tempat yang terpencil, jauh daripada hiruk-pikuk manusia. Pertapaan yang jauh daripada manusia ini berupaya mengelakkan gangguan justeru orang yang bertapa dapat memberi fokus pada apa yang hendak dicapainya. Nabi Muhammad s.a.w turut berkhalwat di gua untuk mencari diri sebenar dan berupaya menemuinya. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah yang dikatakan menuntut dan bertapa di Gunung Ledang.
Dalam budaya Melayu, sekiranya seseorang melakukan pertapaan, akan disertai dengan berpuasa secara ‘mutih’. ‘Mutih’ bermaksud hanya makan nasi atau beras tiga kepal. Boleh juga menjadi lima kepal atau tujuh. Mutih hanya dilakukan sewaktu bersahur dan berbuka. Kenapa nasi atau beras dan bukan makanan-makanan lain?
Sebabnya, nasi atau beras tidak mengandungi sebarang rasa lidah seperti masin, masam, manis dan pahit. Rasa-rasa itu boleh menyebabkan seseorang tidak berupaya melawan nafsu. Ternyata juga, orang Melayu dahulu sudah mengetahui khasiat nasi yang merupakan makanan pemberi tenaga.
Biasanya orang Melayu dahulu bertapa selama 40 hari untuk mencapai apa yang dihajatinya dan kemudian diikuti dengan ‘ngebleng’ selama sehari semalam atau 3 hari 3 malam, dan ada yang sehingga 7 hari 7 malam. ‘Ngebleng’ bermaksud tidak boleh tidur atau memejamkan mata langsung. Jika orang yang bertapa itu tersengguk-sengguk, keseluruhan pertapaannya menjadi batal dan dia terpaksa mengulangi pertapaannya dari awal.
Dalam bidang saintifik, doktor juga telah membuktikan manfaat berpuasa. Puasa boleh mengubati pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, menyempitnya pembuluh darah, kencing manis, memperbaiki system penghadaman, lemah jantung dan radang pergelangan. Berpuasa membolehkan tubuh berehat dan menghilangkan segala toksin atau sisa makanan yang beracun dalam tubuh. Justeru, berpuasa berupaya memelihara dan melindungi tubuh daripada penyakit.
Bukan manusia sahaja berpuasa tetapi haiwan turut berpuasa. Serangga berpuasa bukan sahaja dari segi makan minum bahkan dalam gerak geri, pernafasan dan hubungan kelamin. Serangga perlu serasi pada perubahan cuaca dan mengawal aktivitinya. Perubahan cuaca dan suhu di sekeliling mendorong serangga berpuasa demi penakatan kehidupannya.
Begitu juga dengan binatang-binatang lain seperti beberapa spesies ular, buaya dan burung. Nampaknya haiwan lebih arif tentang fadhilat berpuasa bahkan lebih berdisiplin mengamalkannya. Haiwan berpuasa ketika sakit, aktiviti berhijrah atau berpindah dari satu tempat ke satu tempat seperti ikan salmon dan beberapa jenis burung.
Puasa dapat menghindarkan rasa lapar kerana sewaktu berpuasa, tubuh mengeluarkan semacam asid yang zahir dalam darah. Asid ini berperanan seperti protein yang dapat mengurangkan rasa lapar. Memandangkan berpuasa dapat memberi banyak manfaat, marilah berpuasa bulan Ramadhan ini dengan ikhlas dan penuh takwa. Nescaya kita akan mendapat rahmat yang melimpah dari-Nya. Insya-Allah.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan