Khamis, 12 September 2013

Wanita Solehah Calon Penghuni Syurga


SMAHADZIR

RASULULLAH S.A.W. telah bersabda, ”Jika sekiranya ada perintah dari Allah s.w.t. untuk menyuruh manusia sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini merupakan peringatan dari Rasulullah s.a.w. kepada para isteri agar mereka menumpukan seluruh kecintaan dan kepatuhan kepada suami mereka selama mana mereka tunduk kepada perintah Allah dan Rasul. Salah satu daripada perkara yang dapat membantu untuk mewujudkan rumah tangga yang bahagia ialah ketaatan isteri kepada suami dalam setiap perintahnya selama perintah itu bukan merupakan suatu perkara maksiat kepada Allah s.w.t. Islam menjelaskan bahawa tidak boleh taat kepada makhluk yang melaksanakan maksiat kepada Allah s.w.t. dan ketaatan hanya diperbolehkan dalam hal yang dibenarkan oleh syariat Islam. 

Isteri yang solehah hendaklah sentiasa bersikap jujur dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap suaminya di dalam sebarang hal yang diizinkan oleh syarak. Kesetiaanya terhadap suami itu bukanlah kerana disebabkan kerana ia lebih rendah darjatnya, tetapi adalah kerana ia telah pun menerima dengan sepenuh jiwa raga suaminya itu sebagai pelindungnya. 

Isteri yang solehah juga berperanan menjadi penghibur yang amat meyenangkan dan menyukakan hati suaminya. Seorang isteri hendaklah berusaha melahirkan ciri-ciri keselarian jiwa dengan suaminya. Ia tidak menentang pendapat suaminya walaupun ia merasakan dirinya benar dan di dalam perkara yang termasuk larangan agama. 

Namun demikian, ia boleh memberikan pendapatnya dengan jalan lemah lembut dan tidak menjatuhkan martabat suaminya. Perlu diingatkan, ketidak selarian jiwa di antara suami isteri seringkali mengakibat berlakunya pertengkaran yang kadang-kadang berakhir dengan perceraian. Seorang isteri hendaklah memperhatikan hal ini dengan baik agar kerukunan rumah tangganya dapat dipelihara. 

Isteri yang solehah hendaklah menjadikan dirinya sumber kekuatan jiwa, menjadi pendorong dan menjadi pembantu perjuangan suaminya. Adalah tidak wajar bagi mana-mana isteri yang menjadi penghalang yang besar kepada suaminya dalam perjuangan menegakkan hukum Allah s.w.t. Jika dilayan dengan baik dan sempurna, suami akan hidup jiwanya dan ia akan menjadi pejuang Islam yang hebat. 

Contoh terbaik adalah seperti apa yang dilakukan oleh Saiyidatina Khadijah Binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w. Kepulangan Rasulullah s.a.w. dengan keadaan menggerunkan menggigil selepas menerima wahyu yang pertama dari Jibril a. s. disambut oleh Khadijah dengan tenang dan penuh kasih sayang. Khadijah, isteri yang patuh dan sangat setia kepada suaminya itu segera menyelimuti suaminya. Setelah keadaan agak reda, Rasulullah s.a.w. menceritakan kepadanya segala peristiwa yang berlaku terhadap baginda di Gua Hira. Khadijah, isteri yang bijaksana itu tidak memperlihatkan kekhuatiran dan kecemasan hatinya, bahkan dengan tenang ia berkata kepada Rasulullah s.a.w. 

“Bergembiralah wahai anak pamanku, tetapkanlah hatimu. Demi Tuhan yang jiwa Khadijah di tanganNya, aku berharap engkaulah yang akan menjadi Nabi bagi umat ini. Allah tidak akan mengecewakan engkau. Bukankah engkau yang sentiasa berkata benar dan selalu memperhubungkan tali silaturrahim, bukanlah engkau yang sentiasa menolong anak yatim, memuliakan tetamu dan menolong setiap orang yang ditimpa kemalangan dan kesengsaraan?”

Demikianlah Khadijah mententeramkan hati suaminya, dan contoh seumpama inilah yang seharusnya menjadi teladan buat sekalian wanita Islam. 

Sebagai seorang isteri yang solehah, ia hendaklah bersopan-santun terhadap suaminya. Iaitu dengan berlemah-lembut tutur kata dan gerak laku di hadapan suaminya. Sedapat mungkin ia hendaklah menjauhi kata-kata atau perkataan yang boleh menunjukkan kedurhakaan atau perkataan yang menyakitkan hati suaminya seumpama memaki, atau melafazkan perkataan yang dilarang oleh syarak mahupun adat. Demikian juga seseorang isteri itu hendaklah sentiasa merasa malu dan merendahkan pandangan matanya ketika berada di hadapan suaminya. Hendaklah sentiasa memperlihatkan wajah yang manis di hadapan suaminya, dan ini sudah tentu amat menyenangkan hati suaminya. 

Di samping itu, di antara perkara yang tidak wajar dilakukan oleh seorang isteri iaitu memberati atau memaksa suaminya member nafkah seperti makanan, pakaian, wang ringgit dan tempat lebih dari kadar yang diperlukan bahkan diluar kemampuan suami. Bahkan ia hendaklah sentiasa berpada (bersifat qana’ah) dengan apa jua pemberian dari suaminya. Contoh yang paling ketara dan patut dicontohi oleh setiap Muslimah ialah apa yang diperlihatkan oleh puteri kesayangan Rasulullah s.a.w. iaitu Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah. Walaupun ia terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dalam kehidupan bersama suaminya, (Rasulullah s.a.w. menangis melihat keadaannya) namun ia tetap sabar serta sentiasa mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. dan kesenangan hidup di akhirat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. pernah menyebut, 

“Untuk mencapai kesenangan akhirat, Fatimah seharusnya menelan segala kepahitan hidup di dunia ini.”

Seseorang isteri tidak sewajarnya merunggut-runggut terhadap suaminya tentang keperluannya. Apa pun pemberian suaminya samada berupa nafkah mahupun hadiah hendaklah diterima dengan baik hati. Perlakuan para isteri masa kini yang sering meminta itu dan ini daripada suaminya yang ternyata tidak berkemampuan adalah tidak sewajarnya dilakukan. Para isteri seumpama ini pernah mendapat teguran dari Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya, ”Sesungguhnya aku tidak menyukai wanita yang keluar dari rumahnya menyeret bajunya seraya mengeluh tentang suaminya.” (hadis riwayat At-Tabrani)

Isteri dianggap sebagai durhaka sekiranya isteri tersebut keluar rumah tanpa izin atau tanpa ditemani oleh suaminya atau mahramnya. Hal ini mendapat tegahan di sisi syarak walaupun isteri keluar adalah semata-mata untuk menziarahi kaum keluarga, ibu bapa atau kerana menuntut ilmu fardhu ‘ain yang suaminya mampu mengajarkannya, apatah lagi kalau ia keluar rumah kerana melibatkan diri dengan kelab-kelab wanita, persatuan-persatuan dan sebagainya yang tiada kaitan dengan Islam. 

Sesungguhnya telah berlaku satu peristiwa benar pada zaman Rasulullah s.a.w. Seorang wanita tidak sanggup keluar rumah walaupun untuk menziarahi ayahnya yang sedang tenat untuk menghembuskan nafas terakhir tanpa izin suaminya. Wanita tersebut berada di tinggkat atas sementara ayahnya yang sedang tenat itu berada di tinggkat bawah. Rasulullah s.a.w. telah menyebut mengenai peristiwa tersebut dengan sabdanya, ”Sesungguhnya Allah mengampuni ayahmu dengan apa yang kamu lakukan itu.”

Isteri yang solehah tidak langsung mempunyai cita-cita untuk keluar rumah kononnya untuk berjuang, berkhidmat kepada masyarakat, mengejar kemajuan agar standing dengan kaum lelaki dan sebagainya, kerana yang demikian itu tidak menjamin rahmat dan keredhaan Allah s.w.t. bahkan mendedahkan diri kepada bernagai-bagai fitnah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ”Tiap wanita yang keluar rumah tanpa izin suaminya, sesungguhnya dia dalam kemurkaan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya atau suaminya redha akan dia.” (hadis riwayat Al-Khatib)

Syariat Islam tidaklah sebegitu kejam sehingga kaum wanita tidak dibenarkan langsung untuk keluar rumah kerana sesuatu urusan yang penting. Tujuan meminta izin dan keluar rumah dengan ditemani oleh suaminya atau mahramnya adalah sebagai tanda bahawa ia hormat dan menghargai suaminya. Dengan keluar rumah ditemani oleh suami atau mahramnya, perjalanannya menjadi selamat dan kehormatannya sebagai wanita Islam dapat dipelihara. 

Apabila seseorang isteri itu telah terlanjur mendurhaka atau menyakiti hati suaminya, hendaklah ia segera meminta maaf kepada suaminya agar ia terlepas dari kemurkaan Allah s.w.t. Sememangnya tidak ada manusia yang sunyi dari melakukan kesilapan dan kesalahan. 

Di dalam satu riwayat disebutkan bahawa Saiyidatina Fatimah Az-Zahra telah menemui Rasulullah s.a.w. dengan keadaan menangis dan wajahnya sedih tanda penyesalan. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, “Mengapa wahai anakku Fatimah?” Saiyidatina Fatimah menjawab, “Kelmarin anakanda dengan Ali bergurau-gurau sehingga terbit kata-kata dari anakanda yang menyakitkan sehingga Ali marah kepada anakanda, lalu anakanda meminta maaf darinya dan mengelilinginya sebanyak tujuh puluh kali sehinggalah ia memaafkan dan ia tertawa serta redha.”

Mendengar keterangan Saiyidatina Fatimah, lalu Rasulullah s.a.w. pun bersabda, ”Demi diriku yang diangkat oleh Allah s.w.t. sebagai Nabi, sekiranya engkau mati sebelum Ali redha kepada kesalahan engkau itu, tidak akan aku sembahyangkan jenazah engkau.”

Isteri hendaklah tahu serta faham bahawa rumah tangga yang dibina itu merupakan tempat penghibur di mana setelah penat suami menjalankan tugasnya di luar, kepulangannya akan disambut dengan penuh setia dan sopan. Contoh isteri yang benar-benar member layanan terhadap suaminya ialah apa yang dilakukan oleh Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah terhadap suaminya. Kepulangan suaminya yang letih lesu dari medan peperangan disambut dengan wajah manis yang berseri-seri. 

Begitu juga dengan ibunya, Saiyidatina Khadijah yang merupakan seorang isteri yang sempurna serta seorang wanita beriman dan isteri yang begitu setia kepada suaminya. Segala harta kekayaannya digunakan serta diserahkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk menyebarkan risalah Islam kepada umat manusia. Lantaran itu dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menyebut, ”Islam terbangun atas harta Khadijah...”

Sewaktu berlakunya kepungan terhadap Rasulullah s.a.w. dan keluarga baginda serta umat Islam ketika itu, Khadijah meninggalkan segala-galanya dan berdiri di belakang Rasulullah s.a.w. Kesusahan yang berlaku semasa kepungan itu tidak pernah menyebabkan ia mengadu atau mengeluarkan kata-kata yang melukakan hati Rasulullah s.a.w. 

Betapa kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada Khadijah dapat dilihat pada kenyataan Rasulullah s.a.w. kepada Aishah r.a. ”Dia beriman kepadaku di saat orang lain masih kafir. Dia membenarkan aku di saat orang lain mendustakan aku. Dia menolong aku dengan harta di saat orang lain tidak mahu memberikan kepadaku. Dan Allah memberikan anugerah anak kepadaku daripadanya, tidak daripada isteri-isteri yang lain.”

Inilah contoh seorang isteri yang benar-benar memainkan peranan, yang taat serta sedia berjuang dan berkorban menghadapi kesusahan bersama-sama suaminya. 

Sifat-Sifat Penghuni Syurga

Syarat-syarat yang diberi oleh Allah s.w.t untuk mencapai kegemilangan kepada para hamba-Nya adalah kemenangan seseorang menundukkan dirinya. Untuk mencapai kegemilangan tersebut adalah dengan mendidik mereka dalam muhasabah (mengkaji) diri. Al-Quran dan Sunah telah menjelaskan hal ini, seperti terlihat kepada kehidupan para sahabat dan salafus-soleh.

Seorang hamba yang murni niatnya apabila melakukan suatu perbuatan, ia tidak mengharapkan pujian apapun daripada sesamanya. Rasulullah s.a.w pernsh ditanya tentang dua orang yang berperang dengan keberanian, orang yang berperang kerana mempertahankan diri dan yang berperang kerana riak. Manakah di antara mereka yang berjuang dijalan Allah Rasullullah menjawab: Barangsiapa yang berjuang untuk menegakkan kalimat Allah, dia berada di jalan Allah s.w.t.

Hanya berharap dan berasa takut kepada Allah. Seorang Mukmin memurnikan akidah dan tauhidnya daripada syirik. Ia menyembelih dengan nama Allah, bersumpah dengan nama Allah, dan bernazar hnaya untuk Allah, tidak oernah ke bomoh mengundi nasib serta tabarruk (bersemadi) di atas pohon dan batu, tidak mengunjungi kuburan untuk memohon dan memenuhi keinginannya. Demikian pula seorang Mukmin menghindari ketergantungannya kepada selain Allah. Ia hanya berharap dan merasa takut kepada Allah, betawakal serta membenci dan mencintai, seperti apa yang dibenci dan dicintai Allah.

Mermurnikan Niat

Mermurnikan niat hanya kepada Allah. Seseorang Mukmin sentiasa memurnikan tujuan (matlamat) dan perbuatannya. Ia hanya melakukan perbuatan yang tidak dilarang syarak dan mengikuti petunjuk Rasulullah s.a.w. Amal soleh adalah segala kebaikan dengan mengikuti Sunah Rasulullah s.a.w. Baginda mengajarkan perbuatan yang mendekatkan kita kepada-Nya serta melarang perbuatan yang menjauhkan kita daripada-Nya. Ringkasnya, seorang Mukmin sentiasa harus berhati-hati dalam melakukan perbuatan. Menanyakan kepada dirinya sendiri sebelum ia berbuat, untuk siapa ia berbuat, bila untuk Allah maka ia lakukan, bila tidak maka ia tinggalkan. Juga ketika memulai sesuatu perbuatan, ia bertanya tentang hukumannya dan merujuk kepada teladan Rasulullah s.a.w. Inilah dua pokok amal soleh.

Mengagungkan Syiar Allah

Seorang Mukmin selalu mengagungkan syiar-syiar Allah. Kerana itu, kita dapat melihat ia selalu bersemangat dalam melakukan kewajipan dengan cara yang diperintahkan Allah, di samping selalu diikuti dengan perbuatan sunnah sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Pekerjaan sunah yang ia lakukan setelah melakukan yang wajib, menjadikannya dalam darjat yang tinggi. Dalam sebuah hadis Qudsi disebutkan: “Barangsiapa yang menjadikan penolong selain-Ku maka telah aku izinkan untuk diperangi, dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai daripada segala yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan perbuatan sunah sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya ketika ia mendengar. Dan penglihatannya ketika ia melihat dan tangannya yang menggenggam dan kakinya ketika berjalan, jika ia meminta kepada-Ku nescaya akan Aku berikan, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku, nescaya Aku lindungi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Seorang Mukmin sentiasa mengutamakan solat berjemaah dia masjid, mereka juga segera bergerak ke masjid untuk memurnikan hatinya daripada kesibukan hal dunia, sehingga ketika tiba waktu solat, ia menghadapkan hatinya dengan kusyuk. Solat sebeginilah yang dapat menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan buruk manusia yang selalunya lalai dengan keseronokkan dunia. Setelah solat, ia mengikutinya dengan perkara-perkara sunat yang dituntut seperti zikir dan sunah-sunahnya yang lain.

Bertawakal Hanya Kepada Allah

Seorang Mukmin sentiasa bertawakal kepada Allah dalam segala urusannya. Beriman kepada Allah bukannya satu halangan untuk melakukan perkerjaan malah ia adalah satu penyempurnaan bagi seseorang islam dalam melakukan ibadah. Kita diperintahkan untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang bersesuaian dengan kemampuan kita dan bertawakal dengan segala benda yang luar daripada kemampuan kita. Seorang Mukmin bertawakal, ia sekadar melakukan perkara yang dia mampu dan selebihnya diserahkan kepada Allah.

Hadis daripada Ibnu Abbas dalam Sahih Bukhari menyatakan bahawa Ibnu Abbas pernah berkata, Ketika Ibrahim a.s dilemparkan ke dalam api baginda baginda berkata ‘hasbunallah wa ni’mal wakil’ (cukuplah Allah sebaik baik perlindung) dan doa ini pulalah yang diucapkan Nabi s.a.w ketika ada segolongan yang menakut-nakuti baginda.

Seorang Mukmin yang bertawakal kepada Allah dan melakukan perintah-Nya akan menerima apa yang Allah berikan kepadanya. Sebab bagaimanapun, ia mengetahui bahawa kemampuannya sangat terhad dibandingkan dengan kekuasaan Allah. Apa yang telah Allah berikan kepadanya adalah perkara yang terbaik.

Menanti Kematian

Kematian seseoarang individu adalah tidak menentu. Seoarang Mukmin menantikan kematian mereka setiap saat. Ibnu Umar berkata, berlakulah di dunia ini bagaikan orang asing atau perantau. Ibnu Umar Lalu berkata, “Jika engkau berada pada waktu petang, jangan kamu nantikan pagi, dan jika kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu menantikan petang. Manfaatkan masa sihatmu sebelum datang sakit dan masa hidupmu sebelum datang kematian.”

Seseorang Mukmin memandang kehidupan dunia hanya selintas saja. Lalu membayangkan cita-citanya yang akan diakhirinya dengan kematian. Setiap orang yang berusaha demi masa depan mereka tiba-tiba datanglah kematian maka lenyaplah segala impiannya. Umar bin Khattab r.a. pernah berkata, Setiap kali diberitakan si polan meninngal maka ingatkanlah, Umar juga akan meninggal juga suatu hari nanti.

Memiliki Kekayaan Hati

Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa bukanlah orang kaya itu yang banyak hartanya, tetapi orang yang kaya itu adalah mereka yang baik budi pekertinya. Kekayaan yang hakiki adalah kekayaan jiwa, iaitu orang yang tidak mencemburui oleh apa yang orang lain ada termasuklah harta, takhta, mahupun wanita. Hatinya orang Mukmin tidak memikirkan perkara-perkara sebegitu mereka menganggap perkara-perkara seperti itu hanyalah terlalu remeh jika nak dibandingkan dengan seruan dan ketentuan illahi.

Orang yang kaya dengan harta benda tetapi hatinya miskin dengan budi pekerti dan mengharap apa yang dimiliki orang lain itulah yang dieertikan kefakiran yang sebenarnya. Namun orang yang fakir tetapi hatinya kaya dengan hati yang mulia mereka akan merasa tenang bersama Allah dan merasa cukup dengan apa yang ada sesungguhnya inilah kekayaan yang sebenar.

Pengaruh qana’ah (merasa cukup) bagi sesorang Mukmin di antranya: ia tidak akan memandang dan tenggelam atas kurniaan Allah yang telah dikurniakan kepadanya, yang berupa kenikmatan dunia. Ia meyakini bahawa rezeki Allah akan selalu datang kepadanya. Lalu, terlihatlah ia yang terteram, tenang, dan tidak akan berlebih-lebihan dalam mencari kesibukan duniawi. Setiap manusia akan diberikan rezekinya masing-masing dan malah Allah s.w.t memberikan juga rezeki kepada mereka yang tidak taat kepada-Nya termasuklah penyembah sapi, matahari, api, pokok yang sebagainya apatah lagi kepada mereka yang taat kepada seruannya. Maka Allah pernah ada rasa kedekut terhadap umat yang taat kepada-Nya.

Pengaruh lainnya ialah zuhud terhadap dunia. Seseorang Mukmin melapangkan dadanya dari kecintaannya terhadap dunia. Ia tidak merasa gembira yang melampau atau sedih yang terlampauan jika mendapat sesuatu ganjaran mahupun dugaan.

Menahan Diri Daripada Segala Yang Bersifat Duniawi

Seseorang Mukmin menahan dirinya daripada segala hal yang bersifat duniawai. Dia tidak merasa dirinya besar dan dipandang tinggi oleh orang lain malah ia akan berkumpul dengan kaun yang lemah dan miskin serta berusaha tidak menolak sebarang kunjungan daripada mereka.

Rasulullah s.a.w seorang yang bertawaduk walaupun beliau mempunyai darjat yang begitu tinggi. Baginda bersabda: “Seorang hamba yang memberi maaf akan ditambahkan kemuliaannya, dan seorang hamba yang rendah diri kerana Allah akan diangkat darjatnya.” Anas r.a meriwayadkan tentang sifat rendah Nabi s.a.w bahawa seseorang hamba di antara hamba-hambanya di Madinah memegang tangan Nabi s.a.w an pergi kepadanya kemana dia suka dan Nabi memenuhi keinginannya.

Ibnul Qayyim menyifati rendah hatinya Rasulullah s.a.w ia menyatakan, Jika makan Nabi menjilati jarinya tiga kali dan Nabi tinggal dirumah membantu keluarganya. Tidak membalas dendam kerana dirinya, Nabi juga menjahit seliparnya, menampal bajunya, memerah susu kambing untuk keluarganya, memberi makan unta, makan bersama para pembantu, duduk bersama-sama orang miskin, berjalan bersama para janda dan yatim serta menolongnya, memberi salam mendahului dari orang yang ditemuinya, dan memenuhi undangan orang yang mengundangnya walaupun kepada orang yang bertaraf yang paling rendah. (Tahdzib Madarij as-Salikin: 428)

Fudhail bin Iyadh ditanya tentang tawaduk. Ia berkata, Engkau tunduk kepada kebenaran dan mengikutinya walaupun kamu dengar daripada seorang anak kecil dan orang yang paling bodoh yang pernah kamu jumpai.

Merendah Diri Sesama Mukmin

Seseorang Mukmin saling merendah diri sesamanya, dan perkara sebegini merupakan sifat daripada calon-calon penghuni syurga. Sebagaimana firman Allah: (Surah Al-Syu’ara ayat 215) Bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.”

Kerendahan seorang Mukmin terhadap dirinya mencerminkan kemenangannya. Tabiat diri akan selalu menyenangi kekuasaan dan kemenangan terutamanya terhadap orang-orang yang lemah. Tetapi, orang-orang yang beriman sentiasa melawan hawa nafsunya dan selalu berusaha untuk mengawasi dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Maka, mereka akan merendahkan dirinya terhadap saudara-mara sebagai tanda kasih sayang, kelembutan dalam berinteraksi dan keramahan ketika bertutur kata.

Seorang Mukmin juga mengasihi dan mencintai sesama Mukmin. Ia akan merasa serba salah dan cemas apabila saudaranya ditimpa musibah atau kesulitan. Nabi s.a.w bersabda: Saya telah memulai solat dan ingin memanjangkannya, kemudian saya mendengar tangisan anak maka saya percepat solat saya, kerana saya tahu betapa cemas ibu mendengar tangisan itu.

Tegas Terhadap Orang Kafir

Seorang Mukmin tegas dan keras terhadap orang kafir, sebagaimana firman Allah: (Surah Al-Fath Ayat 21) Bermaksud: “Dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.” Seseorang mengangkat kepalanya terhadap orang kafir dengan tanpa rasa takut dan gentar kerana mereka tahu asal usul mereka semuanya berasaskan daripada Al-Quran dan mereka percaya sumber kekuatannya berasal daripada Allah dan keteguhannya juga daripada Al-Quran.

Memiliki Akhlak Yang Mulia

Akhlak yang mulia adalah kesempurnaan iman. Nabi s.a.w menyebutkan bahawa seorang Mukmin yang paling sempuna imannya adalah yang paling mulia akhlaknya. Orang Mukmin selalu menampakkan wajah yang cerah, sentiasa berusaha tersenyum walau dalam bagaimanapun keadaanya. Nabi s.a.w bersabda: ”Janganlah engkau menganggap rendah kebaikan, meskipun sekadar tersenyum kepada saudaramu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ia selalu mempelihatkan sifatnya yang baik dari segi pertuturan dan tingkah laku hinggakan manusia senang berkumpul dan bersahabat dengannya. Tutur katanya menyenangkan hati orang yang mendengarnya, lemah lembut, tidak keras dan tidak kasar. Mudah bergaul dengan orang lain dan tahu bila waktu untuk serius dan bila masanya waktu untuk bergurau senda. Gurauannya pula tidak menyakiti dan tidak bergurau selain daripada kebenaran, sebagaimana kebiasaan Rasulullah s.a.w yang selalu berlapang dada.

Sabda Nabi s.a.w: “Allah mengasihani seorang yang berlapang dada, ketika membeli, menjual, serta meminta.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

Orang-orang Mukmin menjaga dirinya, tidak mudah untuk menceburi perkataan dan perbuatan yang keji kerana mereka tahu semua itu tiada sebarang faedahnya malah mengundang dosa. Mereka memilih kata-kata yang baik seperti memilih buah-buahan yang baik untuk dimakannya agar tidak mencemari diri. Mereka menggunakan pertuturan yang baik sehingga tidak menyakiti hati orang lain dengan tidak menggunakan kata-kata yang kasar. Sifatnya sebagaimana sabda Nabi: “Seseorang Mukmin tidak menuduh, melaknat, tidak berkata kotor, dan tidak mencela.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Ia selalu berbuat baik dan memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap hari di mana matahari terbit, berbuat adil diantara dua orang adalah sedekah, menolong seorang mengangkatnya adalah sedekah, kalimat yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk melakukan solat adalah sedekah dan membuang duri daripada jalan adalah sedekah.: (Muttafaq ‘alaih)

Bersaudara Kerana Islam. Seorang Mukmin bersaudara kerana Allah, mereka tidak mencintai saudaranya melainkan perasaan cinta yang diredhai Allah. Ia menghilangkan kepentingan duniawi dan perbadinya demi persahabatan dan cinta terhadap saudaranya, sehingga ia layak dicintai Allah.

Nabi s.a.w menyebutkan bahawa seseorang yang mengunjungi saudaranya di tempat lain, maka Allah mengutus malaikat di dalam perjalanannya dan ketika bertemu malaikat bertanya, “Hendak ke mana engkau? Ia menjawab, saya ingin mengunjungi saudara saya di desa ini. Kemudian malaikat bertanya lagi, Apakah engkau mempunyai maksud ingin merasakan kesenangan darinya? Dia menjawab, Tidak, saya hanya mencintainya hanya kerana Allah.” Lalu malaikat berkata, “Ketahuilah, saya diutus oleh Allah untukmu agar memberitakan bahawa Dia mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu kerana-Nya.”

Seorang Mukmin selalu setia kepada saudaranya, tidak berubah walaupun zaman semakin hari semakin banyak perubahannya. Seorang Mukmin juga tindak meninggalkan sedaranya walau terdapat manusia berpaling terhadap mereka. Rasulullah s.a.w telah menghormati seorang perempuan tua yang mengunjunginya dan berkata: “Dia pernah mengunjungi kami ketika Khadijah masih hidup dan ketahuilah, hubungan yang baik sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Hakim)

Seorang Mukmin mengutamakan kepentingan saudaranya daripada kepentingan diri sendiri kerana cinta dan setianya terhadap saudaranya. Ketika perang Yarmuk, Ikrimah dan para sahabatnya diberikan air, tetapi setiap sahabat memerintahkan untuk membeikan kepada sahabatnya yang lain, meskipun dia terluka dan memerlukan air, sampai semuanya meninggal dan tidak seorang pun yang meminum air tersebut. (Mukhtasar Ibnu Katsir jil. III: 474).

Ciri-Ciri Ibu Solehah

Di samping tugasnya sebagai suri rumah tangga, wanita Islam juga mempunyai peranan penting sebagai seorang ibu. Tugas keibuan dalam Islam bukanlah sekadar menjadi seorang isteri, mengandung, melahirkan serta mengasuh anak kerana sifat yang sedemikian tidak terdapat pada seorang ibu Islam. Keibuan dalam Islam ialah mempunyai jiwa dan perasaan sebagai seorang ibu yang bersifat penyayang, lemah lembut, tidak mementingkan diri sendiri, kasih terhadap anak-anak bahkan sanggup bersusah payah melaksanakan kerja-kerja dalam urusan rumah tangga. 

Keibuan dalam Islam juga bererti mengukuhkan kedudukan keluarga yang menjadi asas pembentukan generasi Islam dalam lingkungan keluarga. Peranan keibuan adalah amat penting kerana ibu adalah di antara orang yang mencorak dan membentuk anak-anaknya. 

Seorang ibu yang solehah ialah ibu yang mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan konsep kehidupan Islam. Begitu juga dengan harapan agar anak-anaknya kelak akan menjadi orang yang bertindak untuk mendakwahkan agama Allah s.w.t. Malahan ia akan berusaha sedaya upaya mengasuh dan memujuk akan anak-anaknya supaya benar-benar berpegang dan mentaati ajaran-ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. 

Adalah menjadi tugas seorang ibu Islam apabila anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis-hadisnya. Apabila anak itu sudah pandai berdiri diajarkan pula mengikutinya menunaikan solat. Lama-kelamaan, hasil pendidikan yang semacam ini akan melahirkan anak-anak yang taat mengerjakan ibadah apabila dewasa. 

Di samping itu, para ibu hendaklah menekankan kepada anak-anak mereka betapa pentingnya akhlak yang mulia dalam kehidupan mereka. Tujuannya ialah agar apabila dewasa kelak, mereka (anak-anak) akan menjadi manusia yang berakhlak mulia. Sehubungan dengan ini juga, Rasulullah s.a.w. menyebut, ”Tiada suatu pemberian yang lebih baik dari seorang bapa (termasuk ibu) kepada anaknya selain adab yang baik (akhlak mulia).” (Tarikhul Bukhari)

Sekiranya anak-anak sudah pandai membaca, ibu hendaklah mengajarkan mereka membaca Al-Quran serta mengawasi mereka dari membaca bahan-bahan bacaan atau media massa yang menganjurkan kefahaman tentang kebendaan dan anti keagamaan. 

Ibu yang solehah sudah tentu tidak akan sekali-kali redha jika anak-anaknya dihantar ke sekolah-sekolah pendakyah Kristian atau sekolah-sekolah yang menjalankan dasar pendidikan sekular. Sekolah-sekolah seumpama ini hanya akan mengajar dan menanamkan pemikiran-pemikiran ke atas anak-anak untuk memisahkan diri dengan cara hidup beragama seberapa mungkin. Bahkan amat dititikberatkan ialah untuk melahirkan individu yang jiwa dan pemikirannya berfaham dan bertuhankan kebendaan. 

Sungguhpun tugas wanita Islam dalam lingkungan urusan rumah tangga, namun peranan mereka tidak kurang pentingnya dengan suami mereka di luar rumah. Apa yang perlu difahami ialah wanita Islam dibenarkan berperanan di luar rumah hanya dalam urusan sesama wanita dan keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh syarak. 

Peranan Dalam Pembentukan Generasi Islam

Seorang wanita Islam di samping tugasnya sebagai isteri kepada suaminya, juga memainkan peranan yang penting kepada pendidikan anak-anaknya. Ia juga berperanan mengasuh, memelihara serta mendidik anak-anaknya agar menjadi insan yang berguna pada masa akan datang. Pernah diingatkan oleh beberapa sarjana ahli kaji masyarakat Muslim bahawa pembinaan keluarga Islam yang teratur adalah berdasar kepada empat prinsip. Empat prinsip tersebut ialah:

  1. Kehidupan kekeluargaan merupakan buaian kepada masyarakat manusia yang akan melahirkan suatu rupa bentuk rumah tangga yang sebenar, sihat sejahtera kepada ibu bapa dan perkembangan anak-anak. 
  2. Kehidupan kekeluargaan juga merupakan pengawal kepada naluri perkelaminan manusia serta memimpinnya kepada saluran yang sihat. 
  3. Kehidupan kekeluargaan merupakan tempat untuk menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan seperti kasih sayang dan belas kasihan. 
  4. Kehidupan kekeluargaan juga sebagai tempat perlindungan dari segala macam kesusahan yang menimpa manusia. 

Dalam pembentukkan keluarga Islam dengan harapan untuk melahirkan generasi Islam akan datang, para ibu bapa Islam hendaklah menyedari bahawa kehidupan dunia hari esok adalah bergantung kepada corak dan rupa bentuk yang mereka lakukan terhadap anak-anak mereka hari ini. 

Para ibu Islam perlu faham bahawa Islam telah memberikan penghormatan yang cukup tinggi terhadap para ibu yang sanggup bersusah payah mendidik, mengasuh serta memelihara anak-anaknya sehingga menjadi manusia yang berguna pada masa akan datang. Kerana dengan berkat asuhan dan didikan yang diberikan oleh para ibu Islam terhadap anak-anaknya itu akan menjadikan anak-anaknya itu sebagai para mukmin dan mukminat pada masa akan datang. 

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan tentang ketinggian darjat para ibu Islam, iaitu para ibu Islam yang taat kepada Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada suaminya yang soleh. Ibu-ibu seperti inilah diharapkan akan dapat memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak yang berada di bawah jagaannya. 

Sesungguhnya sejarah kemanusiaan telah membuktikan bahawa kemuliaan dan ketinggian seseorang itu adalah di bawah asuhan serta didikan para ibu mereka. Oleh kerana itu amat wajar sekali bagi anak-anak untuk menghormati, berbuat baik (ihsan) serta berkhidmat kepada ibu mereka. Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadisnya, ”Syurga itu terletak di bawah telapak kaki para ibu.” (Riwayat Imam Ahmad)


Dari keterangan ini menunjukkan betapa tinggi dan betapa pentingnya peranan para ibu Islam dalam pembentukkan masyrakat Islam. Islam telah menjelaskan bahawa seorang ibu yang solehah, ialah ibu yang membesarkan, memelihara, mengasuh serta mendidik anak-anaknya dengan suatu rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan ajaran Islam. Begitu juga dengan penuh harapan agar anak-anaknya itu dewasa kelak akan menjadi para da’ei sebagai pelapis kepada perjuangan yang ada. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA