Khamis, 12 September 2013

Kejadian Bagi Kaum Yang Kafir Dan Engkar


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah bahawa Syam (Palestin) sekarang ini, kala itu penduduknya sudah lama melupakan kepada ajaran para Nabi dan Rasul yang pernah diutus Allah s.w.t. Mereka tidak percaya kepada Allah s.w.t yang Maha Esa, malah digantinya Allah itu dengan hutan. Hutanlah yang mereka sembah, kepada hutan itulah mereka meminta pertolongan dan berlindung diri. 

Kejahatan Yang Sangat Merata

Begitu sesat mereka mendapat penyembahan ini, lebih-lebih sesat lagi dalam hidup dan penghidupan mereka. Kejahatan yang sangat merata di kalangan mereka, hidup mereka dengan jalan kicuh mengicuh, serta suka memperdayakan rakan sendiri untuk mendapatkan keuntungan.
Kalau mereka menyukat atau menimbang barang, selalu dicari akal agar sukatan atau timbangan itu merugikan pihak lain, menguntungkan pihaknya sendiri. Sebaliknya bila orang lain yang menimbang barang, dengan segala akalnya yang busuk, mereka jadikan agar dapat menguntungkan pihaknya dan merugikan pihak lain pula. 
Dengan jalan demikianlah mereka mendapatkan harta kekayaan, iaitu dengan jalan yang tidak halal, serta cara yang tidak sewajarnya, kehidupan selalu merugikan pihak lain, begitu juga perjuangan mereka memang ditujukan untuk itu semata-mata. Kepada mereka itulah Nabi Syuaib diutus Allah s.w.t, dengan membawa ajaran agama yang benar dari Allah s.w.t, dikuatkan pula dengan wahyu dan mujizat. 
Nabi Syuaib membawa mereka kepada menyembah Allah s.w.t, menjauhi segala tipu muslihat yang busuk itu, memberi dan menakutkan mereka dengan ancaman-ancaman Allah s.w.t dan neraka. Namun mereka tetap tidak mahu dengar dan percaya. Malah membantah dengan alasan-alasan yang mereka buat dan menganggap bahawa kehidupan mereka dengan cara yang mereka lakukan itu adalah satu cara penghidupan yang sebaik-baiknya, dengan cara mana mereka beroleh kekayaan dan kebahagiaan.
Tuhan yang mereka sembah itu tidak usah diubah-ubah lagi, kerana begitulah yang mereka perolehi dari nenek moyang mereka sendiri. Kata mereka kepada Nabi Syuaib: ‘Apakah engkau larang kami menuruti agama yang kami anuti? Di mana letaknya kemerdekaan beragama? Engkau mencegah kami dari mengambil rasuah? Sedang itulah kepandaian yang sudah kami pelajari dan pertahankan! Apakah engkau menganggap dirimu lebih pintar dan faham dari kami?’ 
Dengan tidak jemu-jemu Nabi Syuaib memujuk mereka dengan secara yang bijaksana dan halus, dengan harapan mudah-mudahan mereka akhirnya mengubah sikap, membenarkan kebenaran yang nyata itu. Tetapi mereka tetap tidak menurut, malah mereka anggap bahawa mereka sendirilah yang benar, sedang Nabi Syuaib dianggapnya menimbulkan kekeruhan dan mengacau saja. 
Akhirnya Nabi Syuaib diberinya kata dua, agar baginda jangan lagi mengulangi kata-kata dan anjuran kepada mereka, kerana mereka sudah merasa bosan mendengar segala kata-katanya. Dihinakannya Nabi Syuaib dengan kata-kata yang cela dan rendah. ‘Nabi Syuaib adalah seorang yang lemah lagi hina. Keluarganya semua melarat dan miskin, yang tidak mempunyai gaya dan kewibawaan sedikit  pun juga,’ kata mereka. 
Nabi Syuaib tidak berputus asa, malah baginda semakin giat dan terus mengajar dan mendidik mereka. ‘Sanggupkah engkau menurunkan azab kepada kami?’ kata mereka mengejek keras. ‘Cubalah engkau turunkan seksa itu sekarang juga kepada kami, sekiranya engkau benar dalam kata-katamu itu,’ kata mereka lagi.
Permintaan mereka dengan segera diberi Allah s.w.t. Hawa yang panas terik membakar, sedang mengancam jiwa mereka. Selain kepanasan yang tidak terhingga, mereka diserang oleh haus dan dahaga yang bukan kepalang. Seberapa pun air yang mereka minum, namun kehausan dan kedahagaan mereka tidak berkurangan, malah semakin hebat. Ke mana saja mereka pergi melindungkan diri dari hawa panas itu baik di bawah pohon kayu yang rendang mahupun di bawah bangunan-bangunan yang beratap, tetapi tidak mendatangkan faedah sedikit pun.

Meninggalkan Kampung Halaman

Akhirnya mereka melarikan diri meninggalkan kampung halaman, menuju ke hutan-hutan yang mereka sembah untuk melindungkan diri dari hawa yang panas terik, tetapi itu pun tidak membawa sebarang faedah. Panas terik itu dirasakannya di mana-mana kendatipun di dalam air atau hutan yang tebal, Mereka lari dari qada dan qadar Allah s.w.t menuju ke qada dan qadar Allah s.w.t yang lain pula.
Akhirnya mereka melihat awan tebal datang beriring. Mereka berlumba-lumba lari ke bawah awan hitam yang tebal itu, lelaki perempuan, tua dan muda, dengan meninggalkan rumah tangga dan harta benda, berasak-asakkan bernaung diri di bawah naungan awan hitam tersebut. Mereka menyangka, bahawa awan tebal itu dapat menghindarkan diri mereka dari hawa panas yang mengancam, tetapi apa yang terjadi sebenarnya ialah tubuh-tubuh mereka melecur kerana terlalu panas.
Baru saja mereka yang kafir dan engkar itu terkumpul di tempat yang dinaungi awan hitam tersebut, terdengarlah suara gempita dari langit, bergeraklah bumi yang mereka pijak, awan hitam yang tebal itu membakar mereka sampai menjadi abu yang berterbangan. Dengan kejadian itu, lenyaplah mereka yang engkar dan kafir itu semuanya. Kerana bila mereka sudah tidak dapat diperbaiki dengan ajaran dan nasihat, daripada tetap berbuat kerosakan di muka bumi, lebih baik dihabiskan sama sekali, agar datang keturunan lain yang menggantikan mereka di muka bumi yang mereka diami. 
Allah s.w.t tidak akan ragu-ragu mendatangkan seksa yang sehebat-hebatnya bagi hamba-hamba-Nya yang engkar, sebaliknya Allah selalu melindungi dan membahagiakan hamba-hamba-Nya yang taat dan patuh kepada-Nya. 


Setelah melihat apa yang telah terjadi terhadap penduduk yang engkar dan perosak itu, Nabi Syuaib lalu berkata kepada orang-orang yang terlepas dari bahaya maut, iaitu orang-orang yang beriman kepadanya: ‘Hai kaumku, sesungguhnya sudah aku sampaikan kepadamu risalah Tuhanku dan aku telah berikan nasihat-nasihatku kepadamu, maka begitulah kejadiannya bagi kaum yang kafir dan engkar.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA