SMAHADZIR
TERSEBUTLAH kisah bahawa ketika itu Nabi Zakaria
sudah lanjut usianya, kepalanyanya sudah dipenuhi uban keseluruhannya dan
tulangnya sudah tidak berdaya lagi serta belakangnya pun sudah bongkok. Baginda
sudah tidak berdaya lagi hendak berjalan lebih jauh, selain ke tempat ibadatnya
untuk beribadat dan memberikan pelajaran. Di tempat beribadat itulah baginda
setiap hari menunaikan kewajibannya.
Setelah larut malam, baginda pulang ke
rumahnya mendapatkan isterinya, isteri yang tidak kurang juga tuanya dengan baginda,
seluruh rambutnya sudah putih, badannya pun sudah lemah. Dia sudah tidak kuat
berjalan jauh, selain berulangalik ke kedai kecil, tempat baginda berjualan
kecil-kecilan untuk sekadar penutup hajat dan keperluan hidupnya sehari-hari.
Kalau ada pendapatan yang berlebih, maka kelebihannya itu diberikan kepada
orang-orang yang datang meminta, kepada orang-orang kekurangan yang perlu
dibantu dan ditolongnya. Bila selesai berjualan, baginda pulang ke rumah dan
tidak lain yang dikerjakannya, kecuali beribadat, memuji dan mensyukuri nikmat Allah
s.w.t.
Sudah sembilan puluh tahun konon usia
Zakaria kala itu, namun belum beroleh seorang anak pun. Sejak masih muda belia,
kedua suami isteri itu ingin beroleh seorang anak. Makin bertambah tuanya,
hasrat untuk beroleh anak itu pun semakin hebat juga tumbuh di dalam jiwa kedua
suami isteri itu.
Sedih Dan Gundah
Inilah yang menyebabkan kedua-dua insan suci ini
sedih dan gundah selalu, apalagi menurut kebiasaan, orang yang sudah tua
seperti mereka itu, tidak mungkin lagi beroleh anak. Hasrat ini timbul dan
semakin kuat, bukan semata-mata kerana ingin beroleh anak yang dapat mengurus
hari tuanya, tetapi lebih-lebih lagi ingin untuk melanjutkan pelajarannya yang
sudah diberikannya selama hidupnya, apa lagi masih ramai di antara orang dan
keluarganya sendiri yang tidak mahu tunduk dan terus menerus melakukan
perbuatan-perbuatan yang jahat dan sesat, tidak menghiraukan ajaran yang
tertulis dalam al-Kitab.
Hasratnya ini semakin bergejolak juga
dalam jiwa di antara lapisan-lapisan jantung dan kalbunya. Untung kesabaran
yang ada padanya, dapat juga mempertahankan dirinya untuk berlaku tenang.
Tetapi bila hari sudah malam, seluruh alam sudah gelap gelita dan semua orang
sudah tidur, tatkala itulah hasrat itu tidak terkira hebatnya. Bunyi cengkerik
dan binatang-binatang kecil dalam kesepian malam yang gelap itu, sesungguh menyalakan
hasratnya yang sudah bernyala itu, sehingga tidak tertahan lagi rasanya.
Inilah nasib yang menimpa kedua-dua orang
tua itu, nasib yang tidak kurang pula hebatnya dengan nasib-nasib para Nabi dan
Rasul lainnya, nasib yang jauh lebih ngeri dan sengsara, dan menghadapi musuh
di medan perang, sebagai nasibnya beberapa orang Nabi dan Rasul.
Pada suatu hari, tatkala Zakaria masuk ke
mihrabnya, seperti biasanya sesudah beribadat kepada Tuhannya, baginda lalu
masuk ke mihrab Mariam gadis yang masih kecil yang berada di samping mihrabnya
sendiri. Didapatinya Mariam sedang tenggelam dalam pemikirannya, asyik dengan
solatnya, sedang di hadapannya terdapat makanan yang berupakan buah-buahan.
Dia merasa hairan, dari manakah datangnya
makanan itu, seorang manusia pun tidak diperbolehkan dan tidak dapat masuk ke
situ, selain Zakaria dan Mariam sendiri. Lebih hairan lagi, kerana buah-buahan
itu adalah buah musim panas, sedang tatkala itu waktunya musim dingin.
Zakaria lalu bertanya kepada Mariam: ‘Hai
Mariam, dari manakah datangnya buah buahan itu?’
Jawab Mariam: ‘Makanan ini dari Allah
s.w.t. Allah s.w.t telah mengirimnya kepada aku tiap pagi dan tiap petang tanpa
aku minta. Janganlah engkau terperanjat, bukankah Allah s.w.t memberi rezeki
kepada siapa yang Dia kehendaki?’
Dengan kejadian itu, Zakaria memperoleh
kejadian baru. Fikirannya memikir sedalam-dalamnya, tentang keluar biasaan dan
kemuliaan gadis kecil itu. Yakinlah baginda bahawa gadis itulah yang akan
memancar sinar yang lebih kemilau, cahaya yang lebih terang, untuk menerangi
alam yang masih kabur.
Hasrat Yang Menyala
Hasrat untuk beroleh seorang anak lelaki semakin
tambah bernyala-nyala dalam hasrat hatinya, untuk menyambut cahaya itu, kerana baginda
sudah mendekati ajalnya. Dia bimbang, kalau-kalau cahaya itu tidak diterima
manusia yang lain, kerana manusia rata-rata masih engkar dan menyanggah setiap
sinar yang memancar. Zakaria lalu menengadahkan kedua belah tangannya, berdoa
ke hadrat Allah s.w.t dengan segenap jiwa raganya: ‘Ya, Allah s.w.t! Janganlah
aku Engkau biarkan seorang diri, Engkau sebaik-baik Zat yang memberi turunan.
Ya Tuhanku, telah lemah tulang belulangku dan telah penuh uban di kepalaku dan
bukanlah aku seorang malang dalam berdoa kepada-Mu. Sesungguhnya aku bimbang
akan keadaan keluarga yang akan kutinggalkan, sedang isteriku adalah mandul.
Beri jualah kepadaku dan kurnia-Mu seorang yang akan menjadi penggantiku!’
Doa Zakaria itu dengan cepat dijawab oleh
Malaikat yang sedang berada pula dalam mihrabnya: Ya, Zakaria! Allah s.w.t akan
memberimu seorang anak yang bernama Yahya dan belum pernah ada manusia yang
bernama Yahya.
Jawapan Malaikat itu terdengar jelas oleh
Zakaria. Hatinya yang gembira segera diiringi oleh kehairanan yang lebih besar
lagi. Dengan jalan bagaimanakah baginda akan memperolehi seorang anak yang
dijanjikan Malaikat itu, kerana baginda sendiri sudah terlalu tua dan tidak
sanggup lagi mendekati isterinya, untuk menjadi sebab beroleh anak yang
dicita-citakan.
Kehairanan Zakaria ini segera pula
dijelaskan oleh Malaikat dengan menerangkan: ‘Bukankah Allah s.w.t yang
menjadikanmu, sedangkan sebelumnya kamu tidak ada? Dan Allah s.w.t itu jugalah
yang akan memberi engkau seorang anak.’
Jelas keterangan Malaikat itu, tetapi
Zakaria ingin lebih jelas dan lebih nyata lagi. Sebab itu baginda lalu meminta
kepada Allah s.w.t untuk memberikan tanda-tanda yang nyata atas janji itu. Allah
s.w.t lalu menjawab dengan berfirman kepada Zakaria: ‘Sebagai tanda engkau
tidak dapat berkata-kata kepada manusia tiga hari lamanya dan bila ingin
berkata, engkau hanya dapat dengan isyarat saja.’
Tanda ini benar-benar terjadi. Hati
Zakaria menjadi tenang. Kegelisahannya hilang. Dia hanya menunggu sahaja bila
dan bagaimana caranya baginda akan beroleh seorang anak. Tidak lama
kemudian, isterinya yang sudah tua itu, mengandung dan akhirnya melahirkan
seorang anak yang suci dan mulia, lalu diberi nama Yahya, iaitu yang sudah
ditentukan Allah s.w.t.
Anak yang luar biasa keadaannya, sihat
badannya dan amat cepat besarnya, kuat akalnya dan terang pemikirannya.
Walaupun masih muda belia, baginda sudah cekap dengan berbagai ilmu
pengetahuan, hafal akan segala isi Kitab Suci Taurat dengan segala
keterangannya, begitu juga dengan masalah-masalah yang sekecil-kecilnya, sampai
kepada masalah-masalah yang sebesar-besarnya.
Sebab itu dialah yang ditetapkan menjadi
penghukum antara manusia dengan manusia, dengan hukuman yang seadil-adilnya.
Dia menjadi pemegang kekuasaan yang tertinggi. Dia berani menjalankan yang hak
dan tidak gentar menghukum yang salah. Tidak seorang juga yang berani menentang
kata dan melanggar aturan yang telah ditetapkannya.
Raja Hirodus Jatuh Cinta
Akhirnya disampaikan orang kepadanya berita yang
mengatakan bahawa Raja Hirodus yang menjadi Raja Palestin, jatuh cinta kepada
anak saudara Yahya, Hirodia namanya. Memang gadis itu luar biasa cantiknya.
Parasnya yang bulat seperti purnama penuh, matanya yang cemerlang laksana
bintang kejora, pinggangnya yang ramping dengan rambutnya yang panjang itu,
telah lama menjadi buah bibir setiap pemuda Palestin.
Keinginan raja itu rupanya sudah menjadi
suatu keputusan. Raja telah meminang anak gadis itu kepada ibu bapa dan
keluarganya dan keputusan pun rupanya sudah ada, bahawa raja akan berkahwin
dengan gadis itu.
Mendengar hal ini Yahya menghukumkan
dengan terus terang, bahawa perkahwinan Raja Hirodus dengan gadis Hirodia itu
tidak sesuai dengan peraturan agama ketika itu, serta bertentangan dengan Kitab
Suci Taurat. Yahya dengan tegas berkata: ‘Perkahwinan itu tidak akan aku akui,
malah aku akan tetap menentangnya dengan sekeras-kerasnya.’
Mengapa Nabi Yahya tidak mengizinkan dan
tidak membenarkan perkahwinan tersebut? Menurut Abdullah bin Zubair, gadis yang
bernama Hirodia atau Harduba itu adalah anak Hirodus itu sendiri. Sedang
menurut as-Suddy, gadis itu adalah anak isterinya (anak tirinya) sendiri.
Sedang menurut Ibnu Abbas, gadis itu adalah anak dari saudara lelaki dan
Hirodus sendiri. Menurut hukum Taurat sama dengan hukum Al-Quran sekarang ini,
bahawa anak sendiri, anak tiri atau anak dan saudara sendiri tidaklah halal
menikahinya.
Nabi Yahya sebagai seorang Nabi dan Rasul
Allah yang diutus Allah s.w.t untuk melaksanakan hukum Taurat, tentu saja tidak
dapat menetapkan atau membenarkan sesuatu pernikahan yang bertentangan dengan
hukum Taurat itu, kendatipun yang akan berkahwin itu seorang maharaja, bagaimana
besar pun pengaruh dan kekuasaannya.
Nabi Yahya menghadapi dua percubaan atau
ujian yang amat kuat sekali gus. Pertama pertentangannya dengan seorang raja
yang amat berkuasa dan sangat ganas, menghadapi mata pedang yang sudah teracung
ke lehernya. Kedua baginda menghadapi rayuan dan cumbuan dari seorang gadis ayu
yang tidak ada taranya, iaitu menghadapi mata pedang asmara yang lebih
berbahaya dan lebih tajam lagi dan mata pedang yang berupa besi yang diasah
tajam itu.
Dia seolah-olah disuruh memilih antara
hidup atau mati. Hidup dengan melanggar hukum Taurat, atau mati dengan mentaati
hukum tersebut. Akhirnya Nabi Yahya mengumumkan keputusannya yang luar biasa,
iaitu tetap tidak membenarkan perkahwinan antara Raja Hirodus dengan gadis
Hirodia dan akan menentangnya.
Keputusan Yahya ini akhirnya tersebar
luas di kalangan penduduk, tersiar pula ke seluruh pelosok dunia, ke tiap kota
dan istana raja-raja lainnya, ke tempat-tempat ibadat dan tempat-tempat
keramaian.
Alangkah terkejutnya gadis Hirodia
mendengar keputusan Yahya ini, kerana dia sendiri sudah melamun akan menjadi
permaisuri besar, menjadi isteri seorang raja yang besar. Dia tidak senang
dengan adanya khabar itu, dengan perasaan marah dia segera merencanakan suatu
tindakan, kendatipun dia harus bertentangan dengan Yahya, iaitu bapa saudaranya
sendiri, kerana menurut sangkaannya, bapa saudaranya (Yahya) sendirilah yang
ingin berkahwin dengannya.
Tetapi dengan cara bagaimanakah dia akan
dapat bertindak? Dia adalah seorang wanita. Fikiran jahatnya lalu timbul, iaitu
dengan bersenjatakan kecantikannya, dia ingin mencemarkan dan menjatuhkan nama
baik Yahya.
Dia segera berhias diri secantik-cantiknya
dan dipakainya pakaian serta perhiasan yang bagus-bagus dan mahal-mahal
harganya. Dia lalu masuk ke tempat bapa saudaranya bekerja. Dengan senyuman
manis dan gerak geri yang dibuat-buatnya itu, dia berkata kepada bapa
saudaranya dengan kata-kata yang menarik hati.
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. sebagai yang
telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran, adalah seorang yang pertama
membenarkan dan mempercayai akan kenabian dan kerasulan Isa al-Masih a.s., yang
akan menjadi pemimpin yang terpelihara dari segala dosa dan kejahatan, lalu
diangkat Allah s.w.t menjadi Nabi dan Rasul dari kalangan manusia-manusia yang
baik.
Kuat Beribadat
Menurut Ibnu Masud dan Ibnu Abbas serta sahabat
lainnya, selain baik rupa dan perangainya, kuat beribadat, mengekang diri dari
segala syahwat (nafsu) sehingga menjauhkan dia dari wanita.
Ketika Hirodia datang menggodanya, Nabi
Yahya menjauhkan diri dan memerintahkan kepada Hirodia agar menutup seluruh
tubuhnya dan menerangkan kepadanya apa yang tertulis di dalam Kitab Suci Taurat
bahawa orang-orang yang melakukan zina akan diseksa pada hari kiamat dan berbau
lebih busuk daripada bangkai.
Mendengar jawaban Yahya demikian, Hirodia
menjadi malu dan jengkel. Semua manusia termasuk raja menginginkan dirinya,
sedangkan Yahya menolak kendatipun dia yang datang sendiri merayunya. Maksudnya
dengan rayuan ini, ialah bila Yahya dapat ditarik kepada dirinya, atau
menyentuh dirinya, beliau akan menuduh bahawa kerana tertarik akan dirinya
itulah Yahya tidak mahu membenarkan perkahwinannya dengan Raja Hirodus yang
berkuasa. Dan dengan alasan itulah dia akan meminta kepada Hirodus agar Yahya
dibunuh saja, agar perkahwinannya dengan Hirodus dapat dilangsungkan tanpa
gangguan dari Yahya lagi.
Kerana gagal dengan cara yang begitu, dia
tidak kehilangan akal. Dia mendatangi Raja Hirodus dan berkata kepadanya: ‘Sekiranya
engkau benar-benar cinta kepadaku, aku ingin bukti, ialah agar engkau membunuh
Yahya bin Zakaria.’
Hirodus ini memerintah dari tahun 4
sebelum Masehi hingga tahun 37 sesudah Masehi, adalah anak Raja Hirodus Agung
yang memerintah sebelumnya. Seorang raja yang telah membunuh beratus-ratus orang
Nabi dan orang-orang soleh, di antaranya terdiri dari keluarganya sendiri.
Tidaklah hairan kalau anaknya sendiri iaitu Hirodus yang ingin berkahwin dengan
Hirodia, jauh lebih ganas dan bapanya dulu. Dengan segera baginda menangkap
Nabi Yahya, dimasukkan ke dalam penjara dan akhirnya dibunuhnya pula, untuk
memenuhi kehendak kekasihnya itu.
Darah Membasahi Bumi
Tidak lama sesudah darah Nabi Yahya tertumpah
membasahi bumi, Allah s.w.t murka, dan kemurkaan Allah s.w.t ini berubah
menjadi bencana hebat yang menimpa Bani Israel termasuk Raja Hirodus dan
Hirodia kekasihnya.
Setelah Nabi Zakaria mengetahui akan
kematian anaknya Nabi Yahya, Nabi Zakaria melarikan diri untuk menghindarkan
penangkapan, kerana sudah tersiar pula khabar bahawa baginda juga akan dibunuh.
Baginda bersembunyi di dalam sebuah kebun dekat kota Jerusalem. Akhirnya kebun
itu pun dikepung oleh anggota pasukan keselamatan negara untuk
menangkapnya.
Konon khabarnya sebatang pokok kayu yang
besar membelah dirinya dan mempersilakan Zakaria bersembunyi di dalam
batangnya. Tetapi Iblis telah memberitahu kepada para pengepung bahawa Zakaria
bersembunyi di dalam pokok kayu itu. Mereka lalu memotong kayu tersebut,
sehingga Nabi Zakaria mati terbunuh juga.
Dengan kematian Nabi Yahya dan Nabi
Zakaria, Allah s.w.t menimpakan bencana demi bencana kepada Bani Israel, yang
berupa serangan-serangan dari tentera musuh yang amat ganas, sebagaimana juga
sudah sering terjadi sebelumnya.
Pernah dalam suatu serangan yang
dilakukan oleh musuh mereka, 120,000 orang, termasuk pembesar-pembesar mereka
mati terbunuh semuanya. Hanya sedikit saja yang dapat meloloskan diri dalam
pembunuhan itu. Terkenal dalam sejarah dunia serangan Nebukadnezar dari Babilon
dan serangan Titus dan Rome, sebelum dan sesudah lahirnya Isa al-Masih
a.s.
Firman Allah s.w.t dalam Al-Quran surah al-Isra,
ayat 48: ‘Dan Kami (Allah s.w.t) putuskan (takdirkan) bagi Bani Israel dalam
Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan mengadakan kerosakan di bumi dua kali (berulang-ulang),
dan sesungguhnya kamu akan sombong dengan sebesar-besar kesombongan. Maka
apabila datang perjanjian yang pertama dari yang dua itu, kami utus untuk
menunjuki kamu, hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang sangat, lalu
mereka bermaharajalela di seluruh negeri, dan adalah perjanjian itu sudah
dilakukan. Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan atas mereka dan Kami
beri kepada kamu harta dan anak, serta Kami jadikan kamu menjadi bilangan yang
banyak (kembali). Jika kamu berbuat kebajikan, bererti kamu berbuat kebajikan
bagi dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat kejahatan, bererti kamu berbuat
kejahatan bagi dirimu. Maka apabila datang perjanjian yang akhir (Kami utus
mereka) supaya mereka membusukkan akan muka-muka kamu (merosak dan mengalahkan
kamu), dan supaya mereka masuk ke dalam masjid (maksudnya Baitul Maqdis),
sebagaimana mereka sudah masuk ke dalamnya pertama kali, dan supaya mereka
binasakan kamu selagi mereka berkuasa. Mudah-mudahan Allah s.w.t kamu mengasihi
kamu, dan jika kamu kembali, Kami akan kembali (menyeksamu), dan Kami jadikan
Jahannam bagi orang-orang kafir sebagai kurungan.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan