Khamis, 12 September 2013

Allah Menghidupkan Yang Sudah Mati Dan Hancur


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH catatan sejarah Islam bahawa negeri Babylon subur tanahnya, dan makmur rakyatnya. Di dalam sejarah dunia disebutkan bahawa rakyatnya maju, bahkan dari sanalah asal usul kemajuan dunia ini. Tetapi lain keadaannya pada zaman hidupnya Nabi Ibrahim. Memang subur dan makmur rakyatnya, tetapi picik dalam pengetahuan, bergelumang dalam dunia kegelapan dan kebodohan. 
Di negeri yang subur dan rakyat yang makmur tetapi bodoh itu, memerintahlah seorang Raja yang hanya mengikut kehendak nafsu dan dirinya sendiri sahaja. Itulah dia Raja Namrud bin Kanan bin Kusy. Di tangannyalah letak segala kekuasaan. Dia yang memutuskan tiap-tiap perkara. Apa saja yang dikatakannya, itulah undang undang yang harus dijalankan oleh rakyatnya. 
Bila ada seorang saja yang membantah kata-kata Raja, dinyahkan orang itu dengan kekuatan mata pedang. Lantaran itu tidak seorang pun rakyat yang dapat menjalankan akal dan fikiran sendiri. Tetapi hanya tunduk kepada apa yang diperintahkan oleh Raja, meski bagaimana pun juga. Rakyat semakin jauh terperosok ke lembah kegelapan dan kebodohan. 
Raja itu jugalah yang memerintahkan membuat patung dari batu. Dan telah menjadi kegemaran Raja itu untuk memuja-muja patung batu yang terbaik. Kemudian rakyat banyak diperintahkan Raja menyembah patung dari batu tersebut. Itulah Tuhan, kata Raja, sedang rakyat hanya diberi kesempatan untuk tunduk saja. 

Mimpi Raja Namrud

Hal itu lama kelamaan menambah bodohnya rakyat, sehingga dengan rakyat yang bodoh itu, keadaan masyarakat bertambah buruk dan kacau bilau. Sesudah keadaan menjadi kacau dan rosak serosak-rosaknya, Raja Namrud yang berkuasa itu pada suatu malam bermimpi dalam tidurnya, bahawa baginda melihat seorang anak kecil melompat masuk ke dalam kamarnya, lalu merampas mahkota yang sedang dipakai di atas kepalanya, lalu menghancurkan mahkota tersebut. Setelah baginda terjaga, baginda termenung memikirkan mimpinya yang luar biasa itu. 
Hampir seluruh manusia yang rosak kepercayaan, dahulu dan juga sampai sekarang ini amat percaya kepada mimpi-mimpi, bahkan menggantungkan nasib mereka kepada mimpi-mimpi itu. Termasuk raja-raja yang sedang berkuasa, sebab ramai di antara raja-raja yang berkuasa besar itu pada zaman purbakala adalah terdiri dari orang-orang yang bodoh, tetapi berkuasa kerana pengaruh keturunan semata-mata. Raja Namrud termasuk salah seorang raja yang bodoh tersebut. Kerana kebodohannya baginda tidak dapat menggunakan akal yang diberikan Allah s.w.t kepadanya, lalu baginda mempercayai nasibnya kepada tukang-tukang tenung atau dukun-dukun tukang ramal. Kepada tukang-tukang tenung itulah baginda bertanya segala perkara, lebih-lebih lagi tentang mimpi-mimpi atau keadaan yang akan datang mengenai nasibnya. 
Raja Namrud segera memanggil tukang-tukang tenungnya menanyakan apa ertinya mimpi yang dilihatnya itu. Tukang-tukang tenung itu mengatakan kepadanya, bahawa akan lahir seorang anak, sedang anak itu setelah besar badannya besar pula pengaruhnya. Dan kerana besarnya pengaruh anak itu, maka akan hilanglah semua kekuasaan yang ada di tangannya. Akhirnya Namrud akan jatuh dan mahkotanya akan hilang. 
Kerana tabir mimpi menurut apa yang dikatakan tukang-tukang tenung itu, Raja Namrud memutuskan dan memerintahkan untuk membunuh semua anak yang dilahirkan, agar jangan sampai jatuh kekuasaan atau mahkota yang ada di atas kepalanya.
Ketika itu ibu Nabi Ibrahim sedang mengandung, menghamilkan Nabi Ibrahim dalam perutnya. Kerana takut bayi yang dikandungnya itu setelah lahir akan dibunuh oleh Raja Namrud, maka ibu Nabi Ibrahim lari menyembunyikan diri ke sebuah gua di luar kota, di mana baginda akhirnya melahirkan anaknya seorang laki-laki yang diberi nama Ibrahim. 
Begitulah menurut ceritanya, Nabi Ibrahim sejak dilahirkan dan selama masa kanak-kanak dibesarkan di dalam gua itu, disembunyikan oleh ibunya. Di sanalah baginda disusukan, diasuh, dibesarkan sampai baginda menjadi besar. Setelah besar dan mulai dapat berfikir, tatkala ditinggalkan oleh ibunya kerana pergi ke kota mencari makanan, Nabi Ibrahim cuba melihat ke luar gua dari celah-celah batu yang menutup pintu guanya. Nabi Ibrahim tercengang dan kagum melihat luasnya alam di luar guanya yang sempit itu. 
Luas dan luas sekali alam (bumi) ini dilihatnya, berpinggiran langit yang biru, terdiri dari dataran dan gunung-gunung serta jurang-jurang, penuh dengan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman. Pada waktu siang ada matahari bersinar terang, pada waktu malam gelap-gelita, hanya diterangi oleh bintang-bintang yang berkedip-kedipan bertebaran jutaan di angkasa luas. 
Akhirnya baginda bertambah besar dan akalnya bertambah cerdik. Baginda bukan hanya tertarik dan tercengang melihat keindahan dan kehebatan alam luas, bermatahari, bintang dan tumbuh-tumbuhan, tetapi akhirnya berfikir pula siapa yang mencipta semuanya itu, siapa yang mengaturkannya sedemikian rupa. Dia bertanya dalam hatinya: ‘Siapakah yang menggilirkan malam dan siang? Siapakah yang menjalankan matahari, bulan dan bintang-bintang? Siapakah yang menumbuhkan tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan? Siapakah yang menghidupkan segala yang hidup dan yang mematikan segala yang mati?’ 
Sampailah Nabi Ibrahim kepada taraf mencari jawapan dari semua pertanyaan tersebut. Dia tidak mempunyai teman untuk bertanya, selain ibunya yang datang hanya sebentar saja, sekadar menghantarkan makanan dan minuman untuknya. Kendatipun baginda menanyakan juga pertanyaan-pertanyaan tersebut kepada ibunya, tetapi ibunya tidak mempunyai perhatian terhadap pertanyaan-pertanyaan semacam itu, sebab perhatian ibunya hanya tertuju bagaimana caranya mahu menyembunyikan Nabi Ibrahim agar jangan diketahui oleh seorang manusia pun, agar jangan dibunuh oleh Raja.
Hal lain, yang menjadi perhatian ibunya ialah bagaimana mahu memperoleh makanan dan minuman bagi Nabi Ibrahim, dan bagaimana cara menghantarkan makanan dan minuman tersebut kepada Nabi Ibrahim agar jangan diketahui oleh orang lain. 
Ya, Nabi Ibrahim terpaksa mencari dan memikirkan sendiri jawapan dari segala pertanyaan yang muncul di otak atau fikirannya itu. Akhirnya setelah baginda besar, akalnya yang murni, fitrahnya yang suci, yang tidak dikotorkan dan dipengaruhi oleh sesiapa dan oleh apa pun, tidak pernah dipengaruhi oleh berbagai-bagai kepercayaan palsu yang dipercayai oleh orang ramai, dengan semata-mata atas kekuatan akal dan fikirannya sendiri yang diberikan Allah s.w.t kepadanya, baginda dapat meyakinkan adanya Allah yang menciptakan seluruh alam yang ada. Dan Allah s.w.t itu pasti Maha Besar, Maha Mengetahui segala, dan pasti Maha Esa. 

Kehebatan Nabi Ibrahim

Di sinilah letak kehebatan Nabi Ibrahim itu. Sejak masa muda remajanya, tanpa seorang pun guru atau pengasuh, hanya semata-mata dengan akal yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya saja, baginda sudah dapat menggunakan akal itu sehingga memperoleh ilmu pengetahuan dan keyakinan (kepercayaan) yang tidak dapat dicapai oleh orang lain, kendatipun orang lain itu hidup di alam bebas, beroleh harta kekayaan atau pangkat yang tinggi seperti Raja Namrud itu. 
Memang benar juga kalau ada sebahagian orang berpendapat, bahawa dengan akal atau fikiran semata-mata, manusia harus boleh mempercayai akan adanya Allah dan semua kebesaran-Nya, harus boleh mempercayai bahawa Allah s.w.t itu Maha Tunggal dan tidak ada Allah s.w.t selain Allah s.w.t itu. Benar juga pendapat manusia yang mengatakan, bahawa kadang-kadang ilmu pengetahuan yang diperoleh manusia tidak secara ikhlas dan murni, atau harta kekayaan dan pangkat-pangkat yang tinggi, tidak menjadikan manusia bertambah pintar, melainkan menjadikan manusia bertambah bodoh. Dan kerana kebodohan itu, mereka yang berilmu, yang berharta dan berkuasa itu sampai tidak percaya kepada Allah s.w.t Pencipta, malah menyembah berhala-berhala, patung-patung dan mempercayai tukang-tukang tenung atau dukun-dukun palsu.
Demikianlah kehebatan Nabi Ibrahim. Wajarlah kalau Allah s.w.t di dalam Kitab Suci Al-Quran, mengucapkan salam kepada Nabi Ibrahim: ‘Salamun ala Ibrahim (salam kepada Nabi Ibrahim).’ Dan sepatutnyalah kalau setiap orang yang beriman, iaitu kita orang Islam, lima kali kita mengerjakan sembahyang dalam sehari semalam, lima kali kita mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim yang beriman kepadanya, sesudah kita mengucapkan selawat dan salam kepada Muhammad s.a.w dan semua keluarganya yang beriman kepada Muhammad. 
Setelah Nabi Ibrahim menjadi remaja, bahaya pembunuhan terhadap anak-anak yang baru lahir sudah dilupakan dan tidak dijalankan lagi, Nabi Ibrahim keluar menceburkan dirinya ke dalam masyarakat manusia yang bergelumang dengan kebodohan dan kepercayaan-kepercayaan yang rosak itu. Dia dapati manusia seluruhnya sudah sesat. Mereka melakukan berbagai-bagai kejahatan, menyembah berhala-berhala dan patung-patung, ada pula yang menyembah bintang, bulan dan matahari. Bapanya sendiri bekerja membuat patung-patung dari kayu atau batu, lalu menjual patung-patung itu kepada orang ramai. Patung-patung itu mereka sembah. Termasuk yang menyembah patung-patung itu ialah bapanya sendiri yang membuat patung-patung tersebut. 
Nabi Ibrahim mengeluh dan mengeluh. Dia mengeluh kepada Allah s.w.t: ‘Oh Tuhan, aku menderita, iaitu penderitaan batin, melihat kemungkaran dan kesesatan. Untuk apakah gerangan akal yang dikurniakan Allah s.w.t, mereka gunakan? Apakah semata-mata untuk membuat kerosakan dan mencari kekayaan? Dia berdoa: Oh Tuhan, tunjukkanlah aku, kalau Allah s.w.t tidak menunjukkan akan aku, sungguh aku akan menjadi sesat seperti orang ramai yang sesat dan aniaya itu.’
Allah s.w.t lalu memberikan petunjuk kepada Nabi Ibrahim. Dia diangkat Allah s.w.t menjadi Nabi dan Rasul. Kepadanya dikirimkan wahyu-wahyu, sehingga keyakinannya kepada Allah Pencipta, sekarang ini bukan lagi sebagai kesimpulan pendapat dan pemikiran semata-mata, melainkan sebagai iman atau kepercayaan yang tidak goyah atau goncang lagi. Allah s.w.t mengajarkan kepadanya segala sesuatu dan segala rahsia yang ada di sebalik alam nyata yang dilihat Nabi Ibrahim. Diajarkan Allah s.w.t kepadanya bahawa di sebalik alam nyata ini ada alam ghaib yang lebih luas. Setiap manusia yang mati akan dihidupkan kembali dalam kehidupan di alam Akhirat nanti. 

Memikirkan Tentang Akhirat

Setelah bertahun-tahun lamanya Nabi Ibrahim memikirkan tentang alam nyata ini, fikiran Nabi Ibrahim sekarang ini tertumpah ke alam Akhirat itu. Timbul persoalan dalam hatinya bagaimana caranya Allah dapat menghidupkan semua manusia yang sudah mati di alam Akhirat nanti. Kendatipun baginda sudah yakin akan kehidupan di alam Akhirat itu, tetapi baginda ingin tahu bagaimana caranya Allah menghidupkan manusia di alam Akhirat. 
Baginda berfikir dan bermenung lagi, ingin tahu bagaimana caranya Allah menciptakan dan menghidupkan segala yang ada dan yang hidup ini. Walaupun baginda sentiasa berusaha mendapatkan penyelesaian terhadap apa yang direnungkannya ini, baginda tidak berjaya mendapatkannya, kerana yang difikirkannya ini adalah di luar kemampuan akal dan fikiran manusia, termasuk akal dan fikiran Nabi Ibrahim sendiri. Baginda menjadi gelisah dan tidak tenang kembali. 
Lalu Nabi Ibrahim mendoa memohonkan kepada Allah s.w.t, agar Allah s.w.t memperlihatkan kepadanya, bagaimana Allah s.w.t mengadakan kebangkitan tersebut, bagaimana caranya Allah menghidupkan apa yang sudah mati itu kembali. 
Kerana doa yang luar biasa ini, Allah s.w.t lalu bertanya kepada Nabi Ibrahim: ‘Apakah engkau belum beriman, ya Ibrahim?’ Nabi Ibrahim menjawab: ‘Sekali kali tidak, ya Tuhanku; bukankah Engkau telah memberi wahyu kepadaku, dan aku telah percaya dan membenarkannya, tetapi dalam hal ini adalah semata-mata supaya lebih terang kepadaku dan lebih tenang jiwaku ini.’ 
Permohonan Nabi Ibrahim ini dikabulkan Allah s.w.t. Lalu diperintahkan Allah s.w.t agar Nabi Ibrahim mengambil (menangkap) empat ekor burung. Supaya masing-masing burung empat ekor itu dipotong-potong, diceraikan setiap anggota tubuhnya, supaya Nabi Ibrahim melihat sendiri bagaimana cara burung itu dijadikan hidup semula oleh Allah s.w.t.
Potongan-potongan kecil dari keempat-empat ekor burung itu, dihancur-lumatkan menjadi serbuk yang halus, lalu dicampur-adukkan semuanya. Campuran itu lalu disuruh dibahagi menjadi empat longgok. Masing-masing longgok itu disuruh diletakkan di atas puncak empat buah bukit yang berjauh pula kedudukannya. 
Kepada Nabi Ibrahim lalu diperintahkan Allah s.w.t memanggil burung-burung yang sudah hancur lumat itu. Baru saja Nabi Ibrahim memanggilnya, longgokan burung yang hancur itu lalu terbang menjadi burung biasa semula. Berbulu, berparuh, tidak ada beza sedikit pun dengan burung-burung itu sebelum hancur menjadi satu. Masing-masing burung itu menuju kepada Nabi Ibrahim, agar Nabi Ibrahim dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri, bagaimana caranya Allah menghidupkan apa yang sudah mati dan hancur. 
Dengan cara dan dengan semudah itu jugalah Allah s.w.t akan menghidupkan dan membangkitkan semua manusia yang sudah mati di kampung Akhirat nanti, untuk dihisab dan diperhitungkan segala amal dan kejahatan tiap-tiap manusia. Untuk diadili dan dibalas setiap amal itu dengan pembalasan yang setimpal. Amal baik dengan balasan yang baik, dan amal jahat dengan balasan yang jahat pula. Bila Allah s.w.t telah menghendaki sesuatu, maka tidak ada seorang pun yang dapat menghalang adanya sesuatu tersebut. Sungguh Allah s.w.t Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA