Khamis, 12 September 2013

Wanita Solehah Menjaga Aurat Dan Batas Pergaulan


SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA aurat menurut bahasa ialah keaiban. Menurut pengertian syarak ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh badan manusia yang wajib ditutup dari pandangan. 

Batas-Batas Aurat Dalam Islam

1. Aurat Ketika Bersendirian

Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat; “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika bersendirian, kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka, seperti ketika qodho hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya.”

Imam Maliki dan Imam Syafie berpendapat ; “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya, cuma makruh, kecuali ketika dharurat. Ketika dharurat diharuskan membukanya. 

2. Batas-Batas Aurat Lelaki

Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Seseorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” 

  1. Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat dan lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya, kecuali kepada isterinya. Selain isterinya diharam melihat aurat di antara pusat dan lututnya.” Isteri boleh (harus) melihat aurat suaminya, kecuali kemaluannya dan demikian sebaliknya, kerana hukum suami isteri melihat kemaluan masing-masing adalah makruh. 
  2. Imam Maliki dan Imam Syafie berpendapat: “Aurat lelaki ada dua keadaan iaitu:
    • Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Ertinya sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya ialah di antara pusat dan lutut sahaja. 
    • Auratnya dengan perempuan yang bukan mahram-nya. Ertinya iaitu dengan perempuan bukan mahram-nya ialah seluruh badannya adalah aurat bagi mereka. 

3. Batas-Batas Aurat Wanita 

a) Batas Aurat Wanita Dengan Lelaki

Para ulama sepakat berpendapat bahawa aurat perempuan kepada lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berpandukan ayat Al-Quran surah An-Nur ayat 31, Al-Azhab ayat 53 dan 59 serta riwayat beberapa buah hadis. 
Firman Allah surah An-Nur ayat 31: Maksudnya; “Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada.” 

Firman Allah surah Al-Azhab ayat 59: Maksudnya; “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak perempuan kamu serta kepada isteri orang Mukmin sekalian, hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka keseluruhan tubuh badan mereka, kerana dengan itu mereka mudah untuk dikenali (sebagai wanita Mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

Firman Allah surah Al-Azhab ayat 53, maksudnya; “Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi s.a.w), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka...”

Sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dalam Tafsir Ibnu Kasir, juz 3 halaman 284 disebut riwayat dari Ibnu Syahab dari Urwah dan dari Aishah, kata Aishah: “Moga-moga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia, iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An Nur, mereka terus mengoyak kain selendang mereka lalu menutup diri mereka dengannya.”

b) Golongan Mahram Dengan Wanita 

Berdasarkan surah An Nur ayat 31, golongan yang dibolehkan melihat aurat wanita ialah;

  1. Suami
  2. Bapa Sendiri
  3. Bapa suami atau bapa mertua
  4. Anak lelaki
  5. Anak lelaki suaminya iaitu anak tiri
  6. Saudara lelaki iaitu adik atau abang kandung
  7. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
  8. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
  9. Wanita Islam iaitu yang berakhlak 
  10. Hamba lelaki yang mereka miliki
  11. Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita. 
  12. Kanak-kanak lelaki (yang bukan mahram) yang belum mengerti tentang aurat wanita (mumayyiz
  13. Sementara 5 golongan lain lagi disebut oleh hadis. Mereka ialah:
    • Anak lelaki susuan. 
    • Bapa susuan. 
    • Saudara susuan. 
    • Bapa saudara susuan, datuk susuan hingga ke atas. Dan anak saudara susuan hingga ke bawah. 
    • Menantu lelaki. 

c) Batas Aurat Wanita Sesama Wanita dan Mahramnya 

Imam Hanafi dan Imam Syafie berpendapat; “Dalam keadaan tersebut (sesama wanita dan mahramnya), mereka diwajibkan menutup apa yang di antara pusat dan lututnya.” 

Sementara Imam Maliki dan Imam Hambali pula berpendapat; “Bagi sesama perempuan hendaklah mereka menutup di antara pusat dan lutut dan dengan lelaki mahramnya hendaklah mereka menutup seluruh tubuh, kecuali anggota-anggota tepi seperti kepala dan tangan.” 
d) Aurat Wanita Dengan Wanita Bukan Islam

Ketika mentafsir ayat 31 surah An Nur, bermaksud; “Janganlah para wanita Muslimah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada wanita-wanita Islam...,” Ibnu Abbas berkata: “Wanita Muslimah hanya boleh menampakkan perhiasan kepada wanita Islam dan dilarang kepada wanita bukan Islam. Tidak halal wanita-wanita Yahudi dan Nasrani melihat aurat wanita Muslimah.” 

Tersebut dalam riwayat hadis sahih bahawa Saiyidina Umar r.a pernah mencegah wanita kafir memasuki bilik mandi bersama wanita-wanita Islam. 

e) Dibolehkan Lelaki Bukan Mahram Melihat Aurat Wanita Dalam Beberapa Keadaan

(1) Ketika Hendak Meminang

Menurut dalam kitab fiqh, bahawa harus bagi lelaki ajnabi yang halal bernikah dengan seseorang wanita itu melihatnya ketika ia berazam untuk meminangnya. Kadar sempadan aurat yang boleh dilihatnya ialah muka dan kedua tapak tangan (dari pergelangan tangan hingga ke jari). Bahkan ada sesetengah ulama berpendapat, hukum melihat untuk tujuan meminang adalah sunat pula, kerana bertujuan untuk menambat hati. 

Pendapat dan hukum itu berdasarkan hadis, bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya; “Apabila seseorang (lelaki) itu hendak meminang seseorang wanita, digalakkan ia melihatnya, sekiranya dengan melihatnya bertambah mendorongnya untuk berkahwin dengannya”- (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim) . 

(2) Ketika Berjual-beli

Ketika berjual-beli, diharuskan melihat wajah wanita yang datang membeli barang, kerana sekiranya berlaku kecacatan ke atas barang tersebut, mudah untuk membuktikan bahawa barang yang hendak dipulangkan semula itu dibeli oleh wanita itu. Demikian dengan pinjam-meminjam dan lain-lain. 

(3) Doktor Atau Tabib, Bertujuan Mengubat 

Bagi doktor atau tukang ubat, bila ia hendak mengubati atau merawat pesakit wanitanya, harus baginya melihat atau menyentuh mana-mana bahagian yang perlu dirawat, dengan syarat wanita itu ditemani oleh suaminya atau lelaki mahramnya atau wanita yang amanah. (Apabila ketiadaan doktor wanita). 

Wanita Solehah Menjaga Aurat

Surah An-Nuur, ayat 31: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Firman Allah s.w.t di dalam surah an-Nuur: 58, dengan pegertian masa. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Pengertian Hijab

Apabila menyebut perkataan ‘Hijab’ maksud sebenarnya ialah penutup dan boleh dijurus kepada jubah, tudung, dan purdah untuk dijadikan penutup aurat seseorang wanita. Ada juga ulama mengatakan, hijab itu merupakan pakaian yang dituntut oleh syariat yang bersifat kesempurnaan, dengan pakaian tersebut ia dapat menjadikan seorang itu benar-benar mengikut syariat Allah s.w.t. Di samping dapat menghalang berlakunya fitnah daripada kaum lelaki. 

Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Ahzab: 53, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.”

Allah s.w.t menyatakan sebab wajib bertabir adalah ia dapat menyucikan hati-hati lelaki dan perempuan daripada kemahuan yang tidak diingini yang mana ia jauh dari darjat seorang nabi. 

Pengertian Jilbab

Jilbab pada syariat ialah menutupi seluruh badan sebagaiman firman Allah s.w.t dari surah al-Ahzab: 59, ”Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) ; cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kalau kita kembali kepada maksud berhijab itu adalah untuk menutup tubuh dari lelaki ajnabi. Jadi, bukanlah dengan pakaian yang nipis, ketat, mahupun bercorak-corak yang boleh menimbulkan keseronokan lelaki untuk melihatnya. 

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa jilbab itu ialah pakaian yang digunakan oleh perempuan untuk menutup dada dan belakang seperti selendang dan pakaian bahagian luar. Pendapat lain mengatakan iaitu tudung perempuan. Walau apa sekalipun, ada sebahagian ulama mengeluarkan pendapat mereka berkenaan firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab yang menyatakan tidak semestinya menutup muka. 

Wanita Solehah Menjaga Persahabatan

Sahabat adalah perangsang, penghibur, pembentuk dan segala-galanya di dalam hidup ini. Manfaat persahabatan yang sedikit atau banyak itu adalah hanya perkara yang membezakan seseorang itu memperoleh manfaat tersebut. Manfaat persahabatan juga bergantung kepada ramainya sahabat di kalangan teman-temannya dan bagaimana beliau menghayati hubungan persahabatannya untuk dimanfaatkan.

Terdapat lima nilai di sebalik persahabatan yang ingin dibincang di sini. Pertamanya, asas persahabatan dan pergaulan dalam Islam, siapa sahabat kita, etika kita terhadap sahabat, apa ada dengan persahabatan serta ketidaksepakatan dan konflik di antara sahabat. Nilai-nilai ini ingin saya kaitkan dengan remaja Islam. Hal ini kerana kehidupan remaja itu hampir keseluruhannya terlalu banyak melibatkan hubungan persahabatan. Justeru, persahabatan mempunyai hubungan yang amat signifikan di dalam pembentukan peribadi seseorang di peringkat muda remaja. Begitu juga dengan banyak meramalkan keadaan masa depan kita.

Selain itu, semakin meningkat umur bagi para remaja, ia amat normal bagi mereka untuk mencari pengaruh yang sihat dan bermanfaat. Jadi, kita sebagai masyarakat dewasa wajar untuk menuding hal ehwal persahabatan bagi mereka untuk bertanggungjawab menentukan pengaruh yang sihat dan bermanfaat itu contohnya, pengaruh yang sihat dari sudut menjaga etika-etika persahabatan dan memanfaatkan hubungan dengan menyedari serta menghayati nilai-nilainya. Dari sudut membangkitkan motivasi pula, kekosongan jiwa kita akan selalu diisi oleh para sahabat di samping mengingati Allah dari sudut sebagai seorang hamba.

Maka semangat yang diperolehi di samping meminta pertolongan daripada Allah adalah dorongan serta rangsangan para sahabat. Kesimpulannya, untuk meningkatkan kedudukan hubungan persahabatan, itu bergantung kepada nilai-nilai keikhlasan di dalam menjalinkannya. Begitu juga dengan pengalaman yang dilalui bersama, suka duka dan juga tempoh seseorang menjalinkan perhubungan tersebut. Semakin tulus ikhlas hati kedua-duanya, maka semakin baiklah hubungan tersebut. Semakin banyak pengalaman dan suka duka yang dialui bersama, semakin rapatlah hubungan mereka.

Persahabatan

Persahabatan dari segi istilah bermaksud menandakan tingkah laku kerjasama dan sikap tolong-menolong antara dua atau lebih orang. Ia berlaku antara orang-orang yang mempunyai kesamaan intelektual dan emosi. Mengikut pandangan para sahabat Rasulullah, sahabat bermaksud pengikut atau murid. Maka setiap orang Islam yang mengikuti dan menerima didikan daripada Rasulullah s.a.w pada zaman itu dipanggil sebagai sahabat. Sebagai kesimpulan, setiap maksud yang difahami oleh seseorang membayangkan kita dengan sifat keintiman atau kebersamaan makhluk di antara satu sama lain.

Bagi para ulama pula, mereka mendefinisikan perkataan ‘sahabat’ sebagai seorang yang hidup pada zaman Rasulullah s.a.w dan mati dalam keadaan Islam. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa betapa agungnya dakwah Rasul itu di dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam zaman itu. Dek kerana agungnya nur Muhammad itu ia menjadikan sekelilingnya juga turut disinari dengan nur keagungannya.

Dalam konsep persahabatan, terdapat asas-asas persahabatan dalam Islam yang boleh diringkaskan kepada asas, iaitu keikhlasan. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat segumpal daging. Jika ianya baik, maka baiklah seluruh jasad itu. Dan jika ianya rosak, maka rosaklah seluruh jasad itu. Ianya adalah hati.” 

Sabda di atas boleh dikaitkan dengan keikhlasan dalam persahabatan. Dari segi persahabatan, ada beberapa tujuan yang dapat dipersoalkan. Salah satu daripadanya adalah bersahabat demi memenuhi kehendak jiwa dan memperoleh manfaat serta kepentingan tertentu. Keikhlasan kita untuk bersahabat tidak terjejas selagi asas-asas persahabatan tersebut tidak ditinggalkan dan kita bersahabat mengikut landasan yang sebenarnya. Kita boleh mengaut manfaat yang ada di dalam sesebuah persahabatan dan kautlah sebanyak mungkin daripadanya. Hal ini kerana ia untuk manfaat diri kita sendiri juga. Selagi ia berkaitan dengan galakan ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran, maka itulah persahabatan yang ikhlas kerana Allah.

Betapa agungnya persahabatan itu sehingga ianya diperlukan di dalam setiap jalinan hubungan. Hubungan di antara keluarga, suami isteri, teman dan sebagainya itu sesungguhnya amatlah kaya jika ia disertakan dengan nilai persahabatan. Iaitu hubungan yang paling banyak nilai keikhlasan dan kejujurannya berbanding yang lain.

Keikhlasan di dalam setiap perkara itu hanya akan lahir apabila setiap yang kita lakukan itu diasaskan sebagai tanggungjawab, iaitu kita melakukan sesuatu lantaran tanggungjawab. Bukan kerana terdesak atau secara terpaksa. Sebagai kesimpulan, semakin lama tempoh persahabatan itu, semakin sukar untuk ia dipisahkan. Semakin banyak kita lalui perkara-perkara bersama, maka semakin cepatlah hubungan yang dimulai dengan perkenalan itu meningkat membentuk sebuah persahabatan atau kerabat.

Huraian

1. Bertolong-Tolonglah Kamu Berbuat Kebaikan Dan Takwa

Allah s.w.t berfirman: “Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebaikan dan takwa. Dan janganlah kamu bertolong tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras seksaan-Nya.” (surah Al-Maidah: 2)

Islam sejak awal lagi telah menunjukkan cara pergaulan dan persahabatan yang benar dan sepatutnya. Sebagaimana hidup-tolong-menolong sesama Muslim itu amatlah digalakkan, maka di sebalik galakan tersebut masih terdapat batas-batasnya. Itulah yang menunjukkan kesempurnaan Islam sebagai agama wahyu mendidik jiwa manusia.

Memberi pertolongan kepada seseorang itu amatlah dituntut agar hubungan sesama masyarakat terutama sekali di antara para sahabat itu menemui keharmonian yang berpanjangan. Sesungguhnya bantu-membantu itu adalah tindakan yang baik. Dan kita perlu menjaganya agar perbuatan baik dan suci itu tidak dicemari dengan perbuatan jahat secara tidak disedari.

Kita mestilah pandai memilih sahabat kerana sesungguhnya perkara itu adalah yang terbaik buat dirikita sendiri. Sebagai contoh, setiap orang pasti akan menemui suatu keadaan yang mendesak ke arah pertolongan dan setiap orang juga pasti akan menemui keadaan yang mendesak untuk memberikan pertolongan. Seseorang sahabat terutama sahabat yang paling intim tidak akan sanggup melihat rakannya dalam kesusahan. Lantaran itu, ia telah mewujudkan sifat perikemanusiaan di dalam jiwa seseorang serta akan bertambah kuat lagi jiwa ia diiringi dengan sifat setia kawan.

Sebagai kesimpulan, segala pertolongan yang kita lakukan di dunia akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak. Tentang adakah pertolongan kita yang melibatkan harta, tenaga dan sebagainya itu disalurkan ke jalan yang sepatutnya ataupun tidak. Banyak perkara yang sering kita rasakan bahawa ianya kecil lalu dipandang remeh atau tidak diambil berat ke atasnya. Membantu kea rah kebaikan itu Nampak kecil tetapi kesannya amat besar di dalam mempengaruhi kehidupan bermasyarakat.

Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq pernah berkata bahawa “orang yang melakukan kebaikan itu adalah orang yang memerangi kejahatan. Dekatilah mati nescaya ia akan memberikan kehidupan kepadamu. Jika kebaikan itu terlepas daripada dirimu, maka kejarlah ia. Jika engkau menemui keburukan, tinggalkanlah ia. Perbaikilah dirimu nescaya semua orang akan berbuat baik pula kepadamu.”

2. Jauhi Hasad Dengki

Sifat hasad dengki terhadap sesama manusia amatlah dilarang sama sekali dalam Islam. Daripada hasad dengkilah akan berpuncanya kata-kata penyebar fitnah. Begitu juga dengan tindak-tanduk yang tidak menyenangkan setiap orang. Ia mampu merosak dan memusnah sesuatu tidak kira ianya berbentuk harta benda, kekayaan, kemampuan dan sebagainya.

Allah s.w.t berfirman: “Katakanlah, aku berlindung kepada tuhan yang menguasai waktu subuh daripada kejahatan makhlukNya dan daripada kejahatan malam apabil telah gelap-gelita daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada bahul-bahulnya dan daripada kejahatan orang dengki apabila ia dengki.” (surah Al-Falaq: 1-5)

Persahabatan yang harmoni perlukan bebas daripada sebarang hasad dengki kerana ia bukan sekadar akan menghilangkan fungi persahabatan, malah akan menghancurkan masyarakat dengan permusuhan yang tidak akan berkesudahan di antara mereka. Cara untuk mengatasi orang yang berhasad dengki ini sebenarnya mudah kalau kena dengan caranya. Ada dalil yang mengatakan: “Bersabarlah terhadap perbuatan dengki, kerana kesabaran itu mampu membunuhnya. Sesungguhnya api itu akan memakan sebahagian daripada dirinya jika tiada makanan lain baginya.”

Sabar adalah cara yang paling tepat untuk menangani seseorang yang berhasad dengki ini. Sebagai sahabat yang baik, kita haruslah menggunakan ‘kuasa’ kita sebagai sahabat untuk memerangi dan membersihkan jiwa rakan kita yang mempunyai sifat hasad dengki kerana sesungguhnya seseorang itu amat rugi kerana membenci nikmat Allah s.w.t yang diberikan kepada orang lain.

Kesimpulannya, kita mestilah memperbanyakkan amalan suka membantu, merasa belas kasihan, bertakwa kepada Allah serta mendoakan kejayaan orang lain. Sesungguhnya rezeki dan nikmat Allah s.w.t adalah untk sekalian makhluk dan ianya hanya pinjaman dan bukanlah sesuatu yang boleh dimiliki dengan kekal melainkan kebahagiaan di akhirat kelak.

3. Syarat-Syarat Persahabatan

Di dalam persahabatan juga terdapat beberapa syarat dan perkara ini perlu disemai sesame manusia. Antaranya ialah jangan ada maksud yang tidak jujur. Jalinlah persahabatan dengan jujur dan tidak memandang harta, kecantikan dan sebagainya yang berkaitan dengan hal ehwal luaran. Sebaliknya, jalin persahabatan dengan jujur, pandang mereka dari segi dalaman dan peroleh kepentingan dan manfaat daripadanya.

Sesungguhnya persahabatan yang mencari nilai pelajaran dan pengajaran akan diperoleh hasilnya dari segi improvement nilai-nilai murni kepada seseorang. Keduanya, sabar dan matang mengawal diri. Sahabat yang baik akan tahan melihat perangai dan kerenah kita yang kerap kali berubah-ubah dan tabiat buruk yang sama sekali tidak menyenangkan mereka.

Lantas, apabila melihat perkarayang buruk ini, si sahabat ini dengan sabar akan mendidik kita ke jalan yang benar. Ketiga, rahsia kita disimpan dengan baik. Sahabat menjadi tempat kita mengadu dan berkongsi rahsia lantaran tiada lagi orang di dalam dunia ini yang boleh dipercayai melainkan sahabat. Maka sahabat yang sejati itu kukuh pendiriannya menjaga rahsia diri kita.

4. Sikap Tegur-Menegur

Satu kewajipan yang wajib dalam persahabatan, iaitu tegur-menegur. Sikap ini terbit secara fitrah daripada dua perkara asas yang sedia wujud di dalam jiwa seseorang sahabat iaitu jujur dan mementingkan adab-adab kemanusiaan.

Hadis Nabi ada berbunyi: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah kamu mengubah atau memperbaikinya dengan tindakan. Jika kamu tidak mampu melakukannya maka perbaiklah ia dengan lida dan jika kamu tidak mampu juga, maka sekurang-kurangnya dengan hati. Demikian adalah selemah-lemah iman.”

Sebagai seorang sahabat, kita perlu tegas menegur kesilapan dan menambah kekurangan yang dimiliki oleh rakan. Ia adalah kewajipan untuk kita menitikberatkan adab hormat-menghormati di antara satu sama lain bahkan ianya lebih utama di hadapan seorang sahabat.

Menegur itu juga perlu kena caranya. Teguran yang ikhlas adalah teguran yang mengandungi pujian dan teguran kerana ianya lebih seimbang; ia mengandungi nilai menghargai dan keikhlasan bertanggungjawab memperbaiki. Menegur seseorang tanpa memikirkan perasaan dan sensitivitinya adalah tindakan yang menguntungkan sebelah pihak sahaja. Hal ini kerana ia hanya mementingkan misi dan visi seseorang itu atau tindakan semata-mata tanpa mementingkan apakah hasilnya.

Kesimpulannya, Islam menggalakkan kita berdakwah dengan penuh hikmah serta berkata-kata dengan baik.

5. Faedah Dalam Persahabatan

Pertama ialah memberi semangat dan dorongan kepada orang lain untuk meneruskan hidup. Dalam hidup yang serba ujian dan kesusahan ini, manusia memerlukan sahabat yang boleh membakar semangat dan memberi dorongan kepadanya untuk meneruskan hidup. Kita sebagai seorang sahabat perlu memberikan semangat serta komitmen yang sebaiknya sekiranya melihat rakan kita sedang berusaha untuk melangkah maju ke hadapan.

Beri mereka sokongan atau hanya setuju dengan tindakannya agar mereka akan lebih bersemangat untuk melakukan apa yang diinginkan. Kedua, mewujudkan kerjasama. Hal ini adalah berkenaan dengan kelompok manusia yang melakukan pekerjaan bersama-sama. Sesuatu pekerjaan tidak akan sama mutunya jika dilakukan perseorangan. Antara manfaat kerjasama ialah dapat meningkatkan produktiviti dan kemahiran berkomunikasi. Dari segi ibadat juga, Allah s.w.t menggandakan pahala bagi mereka yang suka beribadat secara berjemaah.

Dari sudut kuantiti kerja pula, kerja berkumpulan dapat menambahkan hasil dan pengeluaran bagi setiap pekerjaan yang dilakukan. Urusan seharian dalam pekerjaan juga menjadikan kita lebih mahir berkomunikasi kerana setiap seorang itu berusaha memahamkan dan memahami apa yang diperkatakan untuk menyelesaikan sesuatu tugas. Ketiga, peningkatan proses kerja. Sesuatu pekerjaan menjadi lebih pantas, cekap dan sempurna jika tenaga manusia digandingkan.

6. Cara-Cara Penyelesaian

Cara-cara penyelesaian sekiranya berlaku konflik dalam persahabatan adalah pertama, jadilah seorang pemaaf dan peminta maaf Ia melibatkan perasaan ego dan maruah diri setiap orang. Dalam konteks ini, kita haruslah merendahkan perasaan tersebut dan jadilah seorang yang prihatin untuk memperbaiki dan memulihkan persahabatan sesama insan. Kita semua sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Janganlah menjadi seorang yang bodoh sekiranya kita sengaja membiarkan persahabatan kita hancur dek kerana kesombongan untuk mencegah pertelingkahan yang berlaku.

Kedua, cari punca dan sebab berlaku masalah. Tatkala berlakunya masalah salah faham di antara sahabat, adalah penting untuk kita belajar dan berusaha mencari punca masalah tersebut. Pandanglah ke belakang dan cari apakah perkara yang masih belum selesai di antara di antara sahabat kita. Alangkah bijaknya jika kita tidak mengungkit-ungkit perkara yang lalu kerana ia boleh melaratkan persengketaan yang sedang berlaku. Kita juga haruslah bertindak untuk mencegah sebelum melakukan suatu kesilapan atau kesalahan dalam persahabatan kita. Ketiga, secara perbincangan.

Setiap kali kita berhadapan dengan konflik, maka ambillah masa dan tegaskanlah diri untuk segera memulakan perbincangan dengan berterus terang. Titik beratkanlah perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan seseorang, kehormatan, penghargaan dan kehendak dirinya. Sesungguhnya keredhaan dan keselesaan kehendak perasaan adalah puncak kepuasan yang dianggap sebagai kemenangan bagi setiap pihak.

Penutup

Persahabatan menghadiahkan sesuatu yang diharap-harapkan oleh setiap orang dan hadiah tersebut hanya benar-benar dimiliki oleh mereka yang tidak mengejarnya semata-mata. Kebaikan dalam persahabatan bukanlah bermakna bahawa di sepanjang persahabatan itu kita hanya melalui pengalaman-pengalaman manis atau hanya melalui senario yang menggembirakan sahaja.


Akan tetapi, ia juga merupakan sebuah perjalanan yang turut diselangi dengan suka duka kehidupannya. Maka daripada kesusahan itu akan timbul nilai-nilai yang lebih menjadikan persahabatan itu semakin berharga iaitu pengorbanan dan kesetiaan. Kesimpulannya, jangan hanya mencari sahabat yang diperhatikan tidak mempunyai sebarang kelemahan. Kita tidak akan mendapat sahabat sampai bila-bila jikalau kita hanya mencari sahabat yang tiada sebarang kesalahan sama sekali dan memegang prinsip untuk memutuskan persahabatan akibat terdapat kesalahan daripadanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA