Khamis, 12 September 2013

Aurat Dan Tugasan Wanita Solehah


SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA dari Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Wanita itu seluruhnya aurat.” (hadis riwayat Thabrani)

Aurat, menurut bahasa adalah sesuatu perkara yang ‘memalukan’ jika diperlihatkan. Boleh juga disebutkan bahawa aurat adalah sesuatu yang menjadi keaiban atau tercela apabila diperlihatkan. Maka seseorang yang menampakkan auratnya di hadapan orang lain adalah mereka yang tidak memiliki rasa ‘malu’ atau mereka yang memiliki aib.

Allah s.w.t berfirman, “Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri kaum mukminiin, hendaklah mereka memanjangkan jilbab mereka ke seluruh tubuh. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (surah al-Ahzab: 59)

Syeikh Rasyid Ridho dalam kitabnya Nida Lil Jins al-Lathif menerangkan latar belakang turunnya ayat ini bahawa sebelum ayat ini diturunkan, wanita mukminaat biasanya memakai pakaian seperti lazimnya wanita-wanita bukan Islam pada masa jahiliyyah, iaitu terbuka leher dan sebahagian dada-dada mereka. Hanya sesekali sahaja mereka memakai jilbab, itu pun tidak semua.

Jilbab adalah sejenis pakaian luar yang menutupi anggota badan. Jika mereka rasa perlu mereka memakainya tetapi jika tidak perlu maka mereka tidak akan memakainya. Orang-orang yang gemar mengusik lantas mengganggu mereka kerana wanita-wanita itu disangka hamba sahaya. Sebab kebiasannya hamba sahayalah yang sengaja memperlihatkan aurat mereka.

Kebiasaan itulah yang dijadikan alasan kaum munafiqin untuk mengganggu wanita mukiminah termasuk isteri-isteri Nabi s.a.w. Mereka beralasan bahawa mereka sangka wanita-wanita itu adalah hamba sahaya. Kerana itu Allah s.w.t memerintahkan kepada seluruh wanita mukminaat supaya mememanjangkan jilbab-jilbab mereka dengan menutup kepala dan leher hingga ke dada mereka. Dengan demikian mereka dapat mengenali bahawa wanita-wanita yang memakai jilbab adalah wanita-wanita mukminaat.

Menutup aurat bagi wanita adalah hikmah daripada Allah s.w.t untuk menyelamatkan kaum wanita dari bahaya fitnah. Sebagaimana ditegaskan oleh Umar ibnu al-Khattab r.a, beliau berkata, “Bertakwalah kepada Allah, Tuhan kalian semua dan jangan biarkan isteri dan anak perempuan kalian mengenakan pakaian Qibthi, kerana sekalipun tidak nipis namun ia dapat membangkitkan rangsangan dan mengundang fitnah.” (Tarikh at-Thabari, 4/215)

Dr Anwar Jundi menulis bahawa Islam menekankan supaya wanita melindungi diri dengan cara memakai pakaian yang menutup seluruh tubuhnya. Mengharamkan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya dan apa saja aktiviti yang akan mendatangkan maksiat. Usaha-usaha ini adalah untuk menyelamatkan wanita Islam dari fitnah dan juga menyelamatkan masyarakat daripada fitnah wanita.

Beliau menambah bahawa dengan berbagai cara pula musuh-musuh Islam mempropagandakan ‘bugilisme’. Mereka mencanangkan falsafah buruk yang keluar dari norma-norma masyarakat. Mereka menciptakan rancangan pakaian yang tidak dapat dibezakan yang mana pakaian lelaki dan yang mana pakaian wanita. Sehingga sudah tidak ada lagi batas-batas yang memisahkan antara pakaian lelaki dan wanita. Akibatnya perbuatan haram pun berkembang iaitu wanita kelihatan seperti lelaki atau lelaki kelihatan seperti wanita. Ini kerana dipengaruhi oleh fesyen pakaian.

Berjilbab

Allah s.w.t berfirman, “Hendaklah mereka menjulurkan jilbabnya.” (SURAH an-Nuur: 31)

Dengan beralasan demi kecantikan dan rasa malu sekiranya menutup aurat, ramai kaum wanita mengatakan, ‘belum waktunya untuk menutup aurat.’ Padahal waktu demi waktu, mangsa-mangsa akibat kelalaian menutup aurat sudah berleluasa di mana-mana. Tidak mengenal siapa, pemuda atau pemudi, orang dewasa atau orang tua, anak-anak pun telah menjadi mangsa panah-panah beracun iblis laknatullah tersebut.

Dalam kepentingan menutup aurat ini, marilah kita menyemak beberapa hadis lagi yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya.

  1. Rasulullah s.a.w ketika memerintahkan kaum wanita untuk keluar melakukan solat Hari Raya, mereka (para wanita) berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w, salah seorang daripada kami tidak mempunyai jilbab.” Maka jawab Rasulullah s.a.w, “Haruslah saudarinya meminjamkan jilbabnya.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)
  2. Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang mengeluarkan kakinya ke bawah kerana sombong, Allah tidak akan melihat kepalanya pada hari kiamat.” Ummu Salamah r.a bertanya, “Apa yang harus wanita buat dengan baju panjangnya?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Mereka hendaklah melebihkan lebih kurang sejengkal.” Ummu Salamah berkata lagi, “Kalau demikian akan terbuka tapak kaki mereka.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Mereka harus melebihkan dalam satu hasta dan jangan ditambah lagi.”
  3. A’isyah r.a berkata, “Ada serombongan penunggang unta melewati kami ketika kami sedang berihram bersama Rasulullah s.a.w, maka ketika rombongan itu datang kepada kami, maka kami menutup muka kami dengan menjulurkan jilbab kami dari kepala dan apabila rombongan itu telah berlalu maka kami pun buka kembali wajah kami.” (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah)
  4. Hafizd Ibnu Hajar r.a berkata bahawasanya Umar ibnu Khattab r.a pernah di ingatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya, “Berilah pakaian yang menutupi wajah isteri-isterimu.”
  5. Rasulullah s.a.w pernah menegur dua orang isterinya, Maiymunah dan Ummu Salamah ketika masuknya Abdullah ibnu Ummiy Maktum, ‘‘Pakailah hijab.” Kemudian mereka berkata, “Abdullah ibnu Ummiy Maktum itu buta.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Apakah kamu berdua juga buta, bukankah kamu berdua dapat melihat?’’
  6. Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada dua golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu:

  • Suaru kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang dipukul pada manusia.
  • Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka itu telanjang, jalannya lenggang-lenggok, sanggul mereka seperti punuk-punuk unta yang miring. Mereka tidak akan masuk ke Syurga dan tidak akan mencium baunya padahal sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian.” Dalam riwayat lain disebut, “Dan sesungguhnya tercium dari jarak perjalanan sejauh 500 tahun.’’ (hadis riwayat Muslim)

Aturan Busana Muslimah

Dalam hal ini ada beberapa aturan bagi kaum wanita solehah dalam berpakaian, agar tidak termasuk dalam golongan, ‘Yang berpakaian tetapi sesungguhnya mereka itu telanjang: iaitu berpakaian hendaklah:

  1. Tidak terlalu nipis sehingga terlihat bahagian badan dari luar.
  2. Tidak terlalu ketat sehingga membentuk tubuh badan.
  3. Tidak memakai wangi-wangian.
  4. Tidak menyerupai pakaian lelaki.
  5. Tidak menyerupai fesyen pakaian orang-orang kafir.
  6. Tidak untuk menyombongkan diri atau bermegah-megah.

Fungsi pakaian itu sendiri adalah untuk menutup aurat, maka apalah ertinya pakaian sekiranya tidak menutup aurat dalam cara pemakaiannya? Untuk itulah ia dinamakan sebagai ‘wanita yang berpakaian tetapi sesungguhnya mereka itu telanjang.’

Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang memakai pakaian untuk menyombongkan diri, nescaya pada hari Kiamat Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan kepadanya.’’ (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, an Nasaa’i)

Seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Umar r.a tentang pakaian apa yang dia pakai, maka Ibnu Umar r.a berkata, “Pakaian yang biasa aku pakai adalah yang tidak dihinakan orang-orang bodoh dan tidak dicela orang-orang cendikiawan’’. (Iaitu tidak terlalu jelek dan tidak terlalu menjolok mewahnya). Jadi pertengahan antara keduanya.

Menutup Wajah

Wanita solehah selayaknya memiliki rasa malu yang tinggi dan memahami batasan-batasan aurat tubuhnya yang seharusnya tidak diperlihatkan kepada sebarangan orang. Wajah wanita sudah pasti adalah salah satu darinya. Kerana dari wajahlah yang paling dahulu memberikan godaan. Wajah yang menarik akan mudah menggoda kaum lelaki.

Thabrani meriwayatkan bahawa Allah s.w.t telah memerintah kepada kaum mukminaat jika mereka hendak keluar dari rumah kerana sesuatu hajat, maka hendaklah mereka menutup jilbab atau furdah ke wajah mereka dari atas dan menampakkan sebelah matanya.

Ibnu Jarir meriwayatkan: Aku bertanya kepada Ubaiydah ibnu Haris tentang firman Allah: “Hendaklah mereka menjulurkan jilbabnya.” (surah an-Nuur: 31), beliau menjawab sambil memperagakan dengan pakaiannya. Ia menutup kepala dan wajahnya dan menampakkan sebelah matanya.

Allamah Abu Bakar al-Jasyhsyah mengatakan bahawa di dalam ayat ini terdapat sebuah dalil bahawa seorang wanita diperintahkan untuk menutup wajahnya agar tidak dilihat oleh lelaki asing, menampakkan jilbabnya dan menjaga kehormatannya ketika keluar rumah.

Al-Qadhi Baidhawi mengatakan dalam menafsirkan, “Hendaklah menjulurkan jilbabnya ‘iaitu hendaklah mereka menutup wajahnya dan tubuh badan mereka dengan jubah mereka jika mereka hendak keluar untuk sesuatu hajat.”

Said Ibnu Musaiyyid mengisahkan pertanyaan Saiyidina Ali ibnu Abi Thalib r.a kepada Fathimah r.a tentang manakah wanita-wanita yang baik? Fathimah r.a menjawab, “Iaitu wanita yang tidak mahu dilihat lelaki dan tidak mahu melihatnya.” Saiyidina Ali r.a pun menanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w, yang dijawab oleh Baginda s.a.w bahawa Fathimah r.a adalah darah daging Baginda.” (Maksudnya bahawa jawapan Fathimah r.a sama seperti jawapan Rasulullah s.a.w).

Jumhur ulama mujtahid yang dipimpin oleh Asy-Syafi’e Hanbali dan Maliki menyatakan bahawa ‘wajah adalah aurat’ kecuali para fuqaha daripada Hanafiyyah yang membolehkan membukanya dengan syarat jika tidak ada fitnah. Sedangkan perkataan-perkataan yang menjadikan hadis Fadhal Ibnu Abbas yang membonceng Rasulullah s.a.w ketika haji wadaa lalu dia melihat wajah wanita yang lalu di hadapannya, kemudian Nabi s.a.w memalingkan wajah Fadhal Ibnu Abbas.

Mereka mengambil dalil dari hadis ini, “Sekiranya wajah itu aurat tentu wanita itu menutup wajah mereka sehingga Fadhal tidak melihat mereka.” Jumhur ulama menjawab hal ini dengan mengatakan bahawa:

  1. Sangat jelas dinyatakan dalam hadis tersebut bahawa kejadian itu berlangsung ketika haji wadaa’ ketika mereka sedang berihram. Sedangkan dalam ihram para wanita dilarang menutup wajah dan tangannya.
  2. Kaum wanita pada zaman Nabi s.a.w telah terbiasa memakai tutup wajah dan tangan mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w melarang hal itu dilakukan ketika berihram.

Bahkan dalam al-Muwattha’ Imam Malik, diriwayatkan bahawa Fathimah Binti Munzir berkata, “Pernah kami menutup wajah dalam ihram ketika itu kami bersama Asma’ binti Abu Bakar. Dia tidak menyalahkan perbuatan kami.”

Dalam Fathul Bari diriwayatkan dari A’isyah r.a, ‘‘Hendaklah wanita mengeluarkan jilbabnya dari atas kepalanya hingga wajahnya.”

Dalam kitab Ash-Shihah diriwayatkan bahawa ada seorang Muslimah mengerjakan urusannya di pasar Bani Qainuqa’, wanita Muslimah ini memakai jilbab. Lalu seorang lelaki Yahudi menyekatnya, mengejek dirinya dan jilbab yang dipakainya. Yahudi itu memaksanya untuk membuka wajahnya tetapi wanita itu menolak dan menjerit meminta tolong. Maka salah seorang kaum Muslimin menyerang Yahudi itu dan membunuhnya.

Untuk itulah Rasulullah s.a.w bersabda, “Memandang itu bagaikan anak panah beracun daripada iblis.” (hadis riwayat Thabrani)

Nabi Isa a.s juga ada berkata, “Takutlah akan memandang kerana memandang akan menimbulkan syahwat dalam hati. Dan cukuplah memandang wanita itu sebagai fitnah.”

Imam Mujahid pernah berkata, “Jika ada seorang wanita yang datang, maka duduklah iblis di kepalanya. Lalu iblis meriaskan wanita itu dari pandangan orang yang melihatnya. Jika wanita itu membelakang, maka iblis laknatullah akan duduk di punggungnya dan menghias wanita itu dari pandangan orang yang melihatnya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya iblis yang terlaknat berkhutbah kepada para syaitannya, ‘Hendaklah kalian menggoda manusia dengan khamar dan segala sesuatu yang memabukkan dan dengan wanita. Sesungguhnya aku tidak mendapati suatu kumpulan kejahatan kecuali di dalamnya.” (hadis riwayat Hakim).

Rumah Wanita Solehah

Allah s.w.t berfirman, “Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka.” (surah at-Tolaqq: 1)

Allah s.w.t berfirman lagi, “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.” (surah al-Ahzab: 33)

Syaikhul Hindi berkata mengenai ayat Al-Quran di atas bahawa ayat tersebut dilafazkan kepada para isteri Rasulullah s.a.w tetapi ia juga ditujukan kepada wanita mukminaat seluruhnya. Sedangkan untuk isteri-isteri Rasulullah s.a.w mempunyai peraturan lebih khusus lagi yang berbeza dengan wanita umumnya.

Anjuran ini begitu keras, mengingatkan begitu pentingnya pengaruh wanita dalam kehidupan bermasyarakat kerana pergaulan dan tingkah laku wanita akan memberi kesan pada lingkungannya. Sehingga syaitan laknatullah mewarnai kesan itu dengan kesan yang buruk dan jahat.

Syeikh Muhammad Sulaiman mengatakan bahawa untuk melaksanakan aturan Allah ini. Islam membebaskan wanita daripada semua kewajipan yang berkaitan dengan urusan di luar rumah. Sehingga mereka tidak wajib menunaikan solat Jumaat, berjihad, menyertai jenazah dan sebagainya.

Seorang wanita dapat mengubah rumahnya menjadi syurga yang agung atau neraka yang menyala. Justeru itu, Islam menghendaki agar para wanita solehah merasakan dan menjadikan empat penjuru rumahnya adalah syurga baginya. Di situlah tempat yang hakiki bagi wanita solehah, di situlah dia meniti jalan dan membangun cita-cita menuju redha Ilahi.

Keutamaan Rumah Bagi Wanita

Rumah adalah tempat tinggal yang sesuai dengan tabiat fitrah wanita. Kewujudan wanita di dalam rumahnya adalah merupakan benteng pertahanan yang dapat menjauhkan dirinya daripada berbagai macam fitnah dan cubaan. Sesiapa yang tidak bersependapat dengan ini bererti dia bertentangan dengan fitrah dan tabiat kejadian manusia. (Huququl Mar’ah)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sedekat-dekat keadaan seorang isteri atau wanita kepada wajah Tuhannya adalah apabila dia berada pada bahagian terdalam dari rumahnya. Sesungguhnya solatnya di teras rumahnya adalah lebih utama daripada solatnya di dalam masjid. Solat di dalam rumah adalah lebih utama daripada solat di teras rumahnya.” (hadis riwayat Ibnu Hibban)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi , “Wanita itu seluruhnya aurat. Sesungguhnya apabila dia keluar dari rumahnya maka syaitan akan bersamanya, dan sesungguhnya tempat paling mendekatkan dirinya dengan Allah s.w.t adalah di sudut rumahnya.” (hadis riwayat Thabrani)

Tinggal di rumah adalah satu nikmat yang besar bagi seseorang wanita yang solehah. Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang di suatu pagi tinggal dalam keadaan aman di dalam rumahnya, sihat tubuh badannya dan dia mendapati persediaan makan pada hari itu, maka seolah-olahnya dia telah dikurniakan dunia dengan segala isinya.” (hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Syeikh Muhammad ibnu Abdullah mengatakan bahawa rumah bagi kaum wanita adalah hijab daripada berbagai macam fitnah. Akan tetapi yang dimaksudkan hijab di sini tidak seperti gambaran-gambaran orang bodoh, iaitu membelenggu wanita di dalam rumah, sehingga tidak boleh menghirup udara segar dan harus menjauhi segala aspek kehidupan.

Yang dimaksudkan menetap di rumah bukan bererti setelah berkahwin lalu tidak boleh keluar sama sekali kecuali apabila sudah meninggal. Wanita tetap boleh keluar dari rumahnya dan boleh saja dilihat oleh lelaki-lelaki bukan mahramnya dan juga wanita juga boleh melihat lelaki-lelaki itu. Kerana hal-hal seperti itu harus berlaku dalam kehidupan tetapi semua itu mesti dilakukan menurut batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Lowe Brozo seorang cendiakawan mengatakan bahawa, kelemahan wanita menyebabkan serangan penyakit kepada dirinya berlipat kali ganda. Oleh kerana wanita merupakan sasaran berbagai macam penyakit. hal ini membuktikan bahawa kehidupan yang ideal bagi kaum wanita adalah di dalam rumah bukan di luar rumah.

Seorang wanita solehah sebenarnya akan berbangga diri dengan peraturan yang diberikan ke atasnya dalam masaalah rumah ini kerana wanita mempunyai tugas khusus yang istimewa berbeza dengan kaum lelaki. Ustaz al-Aqqad berkata, “Kalau tidak kerana adanya pengiringan kekurangan pada diri wanita, tentu akan merasa bangga terhadap kerajaan di dalam rumahnya dan sebagai orang yang membentuk generasi mendatang, yang tidak kalah bangganya dari kaum lelaki.” (Al-Falsafah Al-Quraniyyah)

Bahaya Keluar Rumah Bagi Wanita

Sesiapa sahaja yang menentang fitrah jelas akan menghadapi bahaya dan kesukaran. Syeikh Rasyid Ridha berkata di dalam bukunya, Nida’un lil-Jinsil lathif, “Siapa yang pernah membaca berbagai berita tentang berpergian pada masa ini dan melihat yang seringkali terjadi kerana lelaki-lelaki berkumpul dengan wanita dalam kenderaan dan di tempat-tempat penginapan. Tentunya ia boleh memahami hikmah larangan ini bahawa berpergian itu berlaku dalam jarak jauh mahupun dekat. Juga berlaku bagi wanita yang berpergian tanpa disertai mahramnya.’’

Wanita yang keluar rumah tanpa mengikuti ajaran agama seperti:

  1. Memakai wangi-wangian
  2. Tanpa izin dari suami atau ibu bapa
  3. Tanpa diiringi dengan mahramnya
  4. Tidak menutup aurat
  5. Untuk tujuan yang tidak diredhai oleh agama
  6. Tidak menundukkan pandangan
  7. Tidak perbanyakkan zikir selama perjalanan.

Maka keluarnya wanita tersebut dari rumahnya akan membuatkan syaitan laknatullah bergembira dan mereka akan bersorak-sorai atas pemergiannya. Wanita seperti inilah syaitan akan mudah menggoda manusia. Memang ada arahan daripada Rasulullah s.a.w agar para suami jangan melarang kaum wanitanya untuk pergi ke masjid berdasarkan daripada hadis Rasulullah s.a.w, “Janganlah engkau melarang hamba-hamba Allah yang wanita mendatangi masjid-masjid Allah. Sedangkan rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” (hadis riwayat Muslim)

Dalam Ahkamun Nisaa’, Ibnul Jauzi mengatakan bahawa seseorang yang rasa khuatir akan isteri atau saudara perempuannya terkena fitnah maka lebih baik dia melarangnya dari keluar rumah. Wanita sekarang tidak sama lagi dengan wanita dahulu. A’isyah r.a pun menyebutkan bahawa seandainya Rasulullah s.a.w melihat keadaan wanita sekarang, pasti Baginda s.a.w melarang dan mengharamkan wanita keluar rumah.

Ibnu Abbas menjawab pertanyaan Sa’ad ibnu ‘Ash tentang keadaan wanita sekarang, “Sebaiknya wanita terutama yang masih remaja tidak dibolehkan keluar mengerjakan solat Hari Raya, yang boleh hanyalah wanita yang telah berumur dan lanjut usia. Wanita-wanita tentu akan berdandan secantik mungkin dan seharum mungkin. Padahal Abu Hurairah r.a berkata tentang sabda Rasulullah s.a.w yang melarang wanita yang memakai wangi-wangian mengikuti solat jemaah.”

Usaha Musuh Untuk Menjauhkan Wanita Dari Rumah

Bermula daripada syaitan laknatullah yang sentiasa berusaha menggelincirkan orang-orang yang beriman dari jalan yang lurus, ditambah dengan usaha kaum yahudi dan nasrani yang sentiasa menginginkan kaum Muslimin mengikuti cara hidup mereka, maka berbagai macam rayuan dan godaan diarahkan kepada kaum wanita Muslimah agar mereka keluar dari rumah-rumahnya.

Dr Anwar Jundi menjelaskan bahawa usaha yang berbahaya dalam rangka menghancurkan masyarakat Islam adalah dengan cara mengeluarkan wanita dari rumahnya dari fungsi dan misinya dan membawa mereka terjun ke dunia pekerjaan pada siang hari dan pada malam hari. Memasuki dunia huru-hara sehingga tiada waktu tersisa untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya. Akibatnya anak-anak kehilangan kasih sayang ibu.

Mereka hidup di bawah asuhan para pembantu dan mendapat air susu bukan daripada ibunya. Mereka mencari kasih sayang di sekelilingnya akan tetapi yang mereka dapat hanyalah kebengisan sehingga si anak berbalik memusuhi masyarakat dan lingkungannya. Mereka tidak memiliki keperibadian yang utuh. Perasaan untuk mencintai dan menyayangi juga menipis dan akibatnya parah apabila tidak adanya idola bagi anak-anak, tidak ada sikap keteladanan dari ayah dan ibunya. Maka anak-anak akan mengalami perasaan terasing, resah dan patah semangat.

Oleh kerana itu semangat kembalinya wanita Islam ke jalan Allah perlu disambut dan didukung dengan membentangkan jalan agar ia tahu fungsinya, tanggungjawab dan cabaran yang harus ia hadapi dengan harapan ia dapat menemui jalan yang benar, biasa mengenali kudratnya yang asli, beristiqamah menuju jalan Allah s.w.t.

Selanjutnya beliau menulis bahawa sebenarnya dorongan dasar kepada seorang wanita adalah sangat suka senantiasa menjaga dan membina keadaan rumahnya, dia ingin mencurahkan kasih sayangnya untuk anak-anak dan suami. Dorongan ini sifatnya fitrah, akan tetapi kita masih sering menemui wanita yang enggan terhadap kehidupan rumah tangganya. Mereka terperangkap kepada strategi yang diterapkan oleh protokol Yahudi dan Zionis yang merayu kaum wanita untuk memberontak terhadap statusnya sebagai suri rumah tangga.

Salah satu propaganda mereka adalah ‘mengembalikan wanita ke dalam rumah tangga tidaklah mudah sebab usaha seperti ini bererti menentang arus masyarakat umum. Usaha serupa hanyalah merupakan langkah mundur ke belankang dan tidak akan diterima di mana-mana pun juga.’

Sebaliknya Islam menganjurkan agar wanita pandai menjaga diri dari fitnah. Sehingga Islam mengajarkan kepada kaum wanita untuk melakukan solat di rumah apabila dikhuatirkan terjadi fitnah dan itulah sebaik-baik tempat bagi kaum wanita.

Keizinan Wanita Keluar Rumah

Rasulullah s.a.w bersabda, “Janganlah kamu melarang isteri-isterimu mendatangi masjid dan rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Allah s.w.t mengizinkan bagi kalian para wanita keluar dari rumah untuk keperluanmu.” (hadis riwayat an-Nasaa’i)

Ibnu Jauzi menulis bahawa wanita yang keluar rumah hendaklah selalu waspada. Memang dia mampu menyelamatkan diri namun orang lain sukar untuk menghindar daripada fitnahnya. Wanita yang terpaksa keluar haruslah:

  1. Dengan izin suaminya.
  2. Berpakaian tidak menarik atau menjolok mata.
  3. Melalui jalan yang sepi bukan jalan orang ramai
  4. Pasar-pasar.
  5. Jangan berjalan di tengah jalan.
  6. Berhati-hati dengan suara.

Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa setiap wanita membuka baju di luar rumahnya, maka terungkaplah hijab atau dinding antara dia dengan Tuhannya. Tetapi hendaklah diingatkan bagaimana para sahabat mentafsirkan bahawa suasana itu boleh berkehendakkan lain kerana melihat kebiasaan para wanita pada masa Bani Umaiyyah, yang suka menyalahgunakan kebolehan wanita pergi ke masjid. Maka A’isyah r.a berkata, “Andaikata Rasulullah s.a.w apa yang dilakukan para wanita ini tentu Baginda s.a.w akan melarang mereka mendatangi masjid, sebagaimana masjid itu juga dilarang dihadiri para wanita Bani Israil.”

Dibolehkan bagi kaum wanita untuk keluar rumah, tetapi dengan syarat mengikuti aturan syariat Islam demi menjaga daripada berbagai macam fitnah. Hal ini disiratkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya, “Sebaik-baik kaum lelaki adalah saf pertama dan seburuk-buruk saf kaum lelaki adalah yang paling akhir. Dan sebaik-sebaik saf kaum wanita yang akhir dan seburuknya saf kaum wanita adalah yang pertama.” (hadis riwayat Abu Daud, Bukhari, Ahmad)

Dalam Ahkamul Nisaa’, Ibnu Jauzi kembali mengingatkan bahawa apabila dikhuatirkan timbul hal-hal yang tidak diingini maka sebaiknya wanita dicegah keluar dari rumah. Wanita sekarang amat jauh berbeza dengan wanita dahulu. Wanita memang sumber godaan bahkan suaranya pun ada sebahagian yang berpendapat bahawa haram untuk didengar oleh kaum lelaki.

Az-Zubaidi menyatakan bahawa wanita itu dituntut untuk berkurung dalam rumah seperti ular yang terkurung dalam lubangnya bahkan Atha’ al-Khurasan memarfu’kan hadis bahawa wanita tidak diwajibkan mengucapkan salam ataupun menjawab salam.

Ahmad Ibnu Hanbal menguatkan hal itu bahawa dia pernah didampingi oleh seorang lelaki tiba-tiba isteri Ahmad bersin maka lelaki itu mengatakan kepadanya, “Yarhamakallah.” Ahmad pun menyahut, “Lelaki yang bodoh.” Juga diriwayat orang-orang dahulu bahawa jika ada lelaki mengetuk pintu sedangkan di rumah itu tidak ada seorang lelaki pun, si wanita diharapkan meletakkan tangan pada mulut dan mengeluarkan kata-kata mengejutkan supaya tidak menggoda.

Panduan Rumah Ideal

Disebabkan seorang wanita solehah lebih banyak menggunakan waktunya di dalam rumah maka selayaknya wanita solehah mengetahui beberapa kriteria dari rumah yang patut diwujudkan oleh wanita solehah, di antaranya iaitu:

a. Rumah Yang Penuh Dengan Amalan

Rasulullah s.a.w bersabda, “Jangan jadikan rumah-rumah kalian sebagai kubur. sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah.” (hadis riwayat Muslim)

Dan seperti yang telah diungkapkan oleh Syeikh Abdul Halim Hamid bahawa juga yang termasuk mendatangkan kebahagiaan bagi jiwa suami adalah ketika ia melihat isteri gemar membaca, menghafal dan merenungi Al-Quran. Demikian para Ummuhatul Mukminiin r.a sentiasa mendengar, membaca dan mengajarkannya.

Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w keluar dari kamarnya untuk solat Subuh, sementara Juwaiyriyyah r.a ada di tempat solatnya. Ketika Rasulullah s.a.w pulang setelah dhuha, Baginda mendapati isterinya masih duduk di situ. Lantas Rasulullah s.a.w berkata, “Engkau masih duduk seperti ketika aku meninggalkanmu tadi?”

Juwaiyriyyah berkata, “Ya!” Rasulullah s.a.w berkata, “Aku telah mengatakan kepadamu empat kalimah yang diucapkan tiga kali yang apabila kamu timbang dengan apa yang kamu baca semenjak tadi, akan menyamainya. Iaitu, “Subhaanallah, wa bihamdihi adada bikhalqihi, wa ridho nafsihi, wa zinata arsyihi, wamidada kalimatihi.” (Maha Suci Allah dan segala puji-Nya sebanyak makhluk-Nya, serela diri-Nya, setimbang Arsy-Nya dan sebanyak tinta kalimah-Nya)

Demikian juga sebagai wanita solehah hendaknya memperbanyakkan zikrullah, membiasakan wiris harian meskipun sedikit, terutama selepas Subuh dan petang hari. Lebih besar lagi rasa bahagia muncul saat-saat isteri membaca wirid selepas Subuh, kemudian mengajak suaminya yang baru pulang dari masjid ikut wirid bersamanya sebelum ia memikirkan tentang tidur pagi ataupun pekerjaannya.

b. Rumah Yang Rapi dan Terpelihara

Ummu Salamah r.a bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w, “Bagaimanakah pahala seorang wanita yang mengurus rumah?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Setiap wanita yang mengurus rumahnya agar nampak rapi akan memperoleh rahmat Allah dan barangsiapa memperoleh rahmat Allah, maka ia tidak akan mendapat murka-Nya.”

Syeikh Abdul Halim Hamid menganjurkan, “Aturlah suasana rumahmu dengan baik.” Dalam hadis Abu Dzarah menyebutkan sebuah sanjungan bagi seorang khadimah yang mengatur dan membersihkan rumah dengan baik: ia tidak memenuhi rumah kita dengan sarang burung.” (hadis riwayat Muttafaqun Alaihi)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t memasukkan tiga golongan ke dalam syurga lantaran satu suap roti dan satu jemput kurma yang bermanfaat untuk orang miskin iaitu suami yang memerintahkan, isteri yamg menyiapkan dan pelayan yang menghantarkan kepada orang miskin.” Dan Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Segala puji bagi Allah yang tidak melupakan kita.” (hadis riwayat Thabrani, hakim)

Yakinilah bahawa suami pasti menginginkan isteri yang bersih dan menawan di dalam rumah, juga keadaan rumah yang terpelihara, bersih dan rapi. Hal itu jelas akan membuatkan suami suka untuk tinggal di rumahnya.

c. Rumah Sederhana

Hal penting bagi wanita solehah adalah menjadikan rumahnya sesederhana mungkin jauh daripada kemewahan dan pemborosan. Sederhana bukan bererti miskin bahkan sederhana dapat menolak kemiskinan. Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak miskin orang yang hidup sederhana.” (hadis riwayat Ahmad, Thabrania)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika salah seorang daripada kamu melihat kepada orang yang dilebihkan oleh Allah dalam harta dan bentuk ciptaan-Nya maka hendaklah melihat kepada orang yang lebih rendah daripadamu, daripada orang yang dilebihkan atasmu.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)

Sa’ad ibnu Abi Waqqas mengirimkan sepucuk surat kepada Umar r.a, isi suratnya meminta izin bahawa dia akan membina rumahnya. Kata Umar dalam surat balasannya: “Binalah rumahmu secara yang sangat sederhana, yang penting boleh melindungimu daripada terik matahari dan dingin hujan.”

Rumah yang mewah dan penuh dengan perabot akan menimbulkan beberapa hal negatif bagi pemilik dan penghuninya, di antaranya ialah:

  1. Menambahkan beban Yaumil Hisab, walaupun halal.
  2. Menambahkan rasa cinta terhadap kebendaan, kerana sentiasa memanjakan nafsunya
  3. Waktu lebih tersita untuk mengurus dan memperhatikan kebendaan dalam rumah, sehingga banyak amalan soleh berkurang kerana kesibukan tersebut.
  4. Harta mulai digunakan untuk hal-hal yang sia-sia, sementara masih banyak kewajipan terhadap orang-orang yang atas hartanya, menderita kelaparan dan memerlukannya.
  5. Bertolak belakang dengan kehidupan Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.

Sebaliknya jika rumah seorang wanita solehah itu sederhana, maka lebih sedikit masa untuk mengurus rumahnya, sehingga lebih banyak masa untuk memperbanyak amal soleh dan lebih ringan hisabnya nanti di akhirat.

Umar r.a berkirim pesan kepada Abu Musa al-Asya’ari yang isinya antara lain: “Amma ba’d, Pelajarilah secara mendalam sunah Rasulullah s.a.w dan bahasa Arab. Al-Quran diturunkan di tengah-tengah orang Arab, kerana ia berbahasa Arab. Tirulah kehidupan orang-orang Bani Ma’ad Ibnu Adnan yang keras dan sederhana. (Kanzul Ummal, X/252)
                                 
d. Kosong Daripada Perabot Haram

Jelas bahawa rumah seorang wanita solehah sentiasa jauh dari benda-benda yang jelas keharamannya ataupun yamg menyebabkan terjauhnya rahmat Allah ke atas rumah seorang Muslim. Rasulullah s.a.w melarang minum dari bejana emas dan perak dan makan daripadanya dan melarang memakai sutera yang tipis dan tebal dan duduk di atasnya.

Rasulullah s.a.w juga bersabda, “Benda-benda tersebut adalah kepunyaan orang-orang kafir di dunia dan kepunyaan kita di akhirat.” (hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Sesungguhnya orang yang makan dan minum dari bejana emas atau perak, maka hakikatnya ia sedang memakan api jahannam ke dalam perutnya.”

Abdullah Nasihah Ulwan mengatakan, dari hadis ini jelas bahawa menjadikan emas dan perak sebagai tempat makan minum dan membuat tempat duduk daripada sutera asli adalah haram. Pengharaman ini mencakupi lelaki dan wanita. Hikmahnya adalah pensucian rumah Muslim dari material mewah yang tercela dan menghindarkan gejala kesombongan dan kebongkakan yang dimurkai Allah.

Abu Wail r.a meriwayatkan, aku menyertai peperangan Syria bersama-sama Umar r.a, kami pernah tinggal di suatu tempat. Seseorang bangsawan di tempat itu datang mencari Umar r.a apabila mendekati beliau bersujud di hadapannya. Umar r.a bertanya, “Mengapa berbuat seperti itu?” Beliau menjawab bahawa itu adalah adab kebiasaan mereka apabila menghadapi raja-raja. Umar r.a mengatakan kepadanya, “Sujud hanya dibolehkan kepada Allah yang Maha Perkasa sahaja, yang telah menciptakanmu.”

Kemudian orang bangsawan itu berkata, “Aku telah menyediakan makanan untukmu. Aku sangat berhajat supaya tuan datang ke rumahku dan makan bersama-samaku.” Umar r.a bertanya kepada pengawalnya, “Apakah ada terdapat gambar-gambar di rumahnya?” Ketika orang itu menjawab ada, maka Umar r.a enggan pergi ke sana dan beliau hanya berpesan agar dihantarkan satu jenis makanan sahaja kepadanya. Lalu orang bangsawan itu menghantarkannya dan Umar r.a pun menerimanya.” (hadis riwayat Hakim)

e. Ada Suasana Agama Dalam Rumah

Ini adalah kewajipan yang paling utama bagi wanita solehah kerana di rumahlah markaz pusat bagi setiap generasi dalam membentuk keluarga yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda, “Dan tidaklah berkumpul satu kumpulan di suatu rumah dari rumah-rumah Allah yang dibacakan di dalam kumpulan tadi kitab Allah dan saling ajar mengajarkan satu sama lainnya, kecuali akan diturunkan ke atas mereka ahli majlis tadi, sakinah (ketenangan batin) dan dicucurkan ke atas mereka rahmat dan para Malaikat akan mengerumuninya dan Allah akan menyebutkan nama-nama mereka di sisinya.” (hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, maka untuk mewujudkan rumah yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah adalah dengan menghidupkan halaqah majlis taklim dalam keluarga. Mempromosikan keutamaan-keutamaan iman dan amal di tengah-tengah keluarga, iaitu dengan membacakan firman-firman Allah s.w.t ataupun hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Untuk membiasakan atas hal ini adalah dengan petunjuk seperti berikut:

  1. Tidak terlalu lama, cukup hanya beberapa minit sahaja, sehingga tidak menimbulkan kebosanan bagi ahli rumah.
  2. Rutin dilakukan setiap hari sekali sahaja.
  3. Memilih masa yang tepat, yang dapat dihadiri oleh seluruh anggota keluarga.
  4. Program ini dilaksanakan penuh adab tumpuan.

Jika ketengangan batin masuk ke dalam jiwa-jiwa anggota keluarga dan rahmat Allah bercucuran dalam rumah, maka adakah Allah s.w.t akan menurunkan murka-Nya? Tentu tidak, bahkan Allah s.w.t akan melindunginya dari segala kesusahan, bala, musibah dan lain-lainnya. Kemudian para Malaikat akan mengerumuni ahli rumah tersebut. Automatik sikap dan sifat Malaikat akan merasuki diri-diri penghuninya. Ketaatan, kesabaran, istiqamah, saling memaafkan, ghairah kepada ibadah dan amalan soleh akan menjadi sifat-sifat penghuni rumah tersebut. Sehingga rumah itu akan selalu dalam keadaan tenteram dan damai, penuh dengan rahmat Ilahi. Juga akan jauh dari keributan dan pertengkaran.

Sebaliknya, jika tidak diadakan majlis taklim dalam sebuah rumah maka rahmat Allah akan jauh dari rumah tersebut, ketenangan jiwa akan sukar diperolehi dan syaitan laknatullah pun akan mengerumuni penghuninya sebagai gani para malaikat. Sehingga sifat dan sikap syaitan pun akan memasuki jiwa anak-anak mereka dan anggota keluarga lainnya. Akhirnya yang terjadi adalah anak berani melawan orang tua, terjadi pertengkaran antara suami isteri, saling berbohong, saling cemburu, daling dengki dan sifat-sifat buruk lain akan masuk dalam diri para penghuni rumah tersebut. Ini semua disebabkan tidak dihidupkannya majlis agama dalam rumah seorang Muslim.

Sebagai contoh bahawa dari pengaruh taklim wa taklum dapat merubah jiwa jiwa yang jahat kepada kebaikan, adalah kisah Islamnya Umar ibnu al-Khattab r.a, iaitu beliau mendatangi rumah adik perempuannya, Fathimah r.a dengan kemarahan yang memuncak kerana adiknya telah masuk Islam tetapi disebabkan dalam rumah adik perempuannya telah hidup suasana taklim. Bahkan ketika itu adik perempuan beserta iparnya sedang mengadakan taklim halaqah Al-Quran, maka rumah yang penuh nuur, penuh rahmat Allah dan selalu dikeliling Malaikat ini, dapat memberi kesan pada hati Umar r.a. Sehingga pada ketika itu juga Allah telah melimpahkan hidayah-Nya pada diri Umar r.a.

Tugasan Dan Wanita Solehah

Dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sebaik-baik permainan bagi wanita adalah tenunannya (menjahit).” (hadis riwayat Dailami)

A’isyah r.a berkata, “Suara pintalan tenunan wanita dapat mengimbangi takbir di jalan Allah. Wanita yang memberikan pakaian kepada suaminya dari hasil tenunannya maka dari setiap jahitan dia akan mendapat 100 darjat ketinggian.”

Saiyidina Umar Ibnu al-Khattab r.a berkata, “Dan sebaik-baik kebiasaan bagi wanita adalah tenunan.” (Natsar al-Dur, 2/29)

Ustazah Aminah as-Sa’id dalam ulasannya menulis bahawa untuk meneruskan kehidupan, manusia harus mencari rezeki dan keadaan pun menjadi darurat dan memaksa wanita turut ikut mencari rezeki. Ada yang bekerja untuk memenuhi kekurangan suami, ada pula yang belum bersuami tetapi ibu bapanya sudah tidak mampu untuk mencari rezeki. Namun ada wanita yang terperangkap dengan pekerjaannya, kadang-kadang terpaksa melanggar nilai-nilai seorang wanita Muslimah bahkan, tidak sedikit dari kaum wanita meniru-niru pekerjaan lelaki atau mungkin lebih dari itu yang boleh membawa jauh dari nilai-nilai agama.

Dr Anwar Jundi menambah bahawa Islam tidak menghendaki seseorang wanita keluar dari rumahnya hanya sekadar untuk aktiviti yang tidak sesuai dengan kudratnya sama ada dengan dalih kemaslahatan masyarakat ataupun hanya sekadar keperluan peribadinya. Wanita dibolehkan bekerja sekiranya tidak ada yang dapat menanggung keperluan perbelanjaan untuk diri dan keluarganya sehari-hari dengan syarat pekerjaan itu sesuai dengan kudrat wanitanya.

Sedangkan Dr Alex Carl mengatakan bahawa masyarakat sekarang ini telah melakukan kesalahan besar dengan menggantikan tradisi wanita secara mutlak dengan kesibukan di luar rumah hingga banyak kaum ibu menyerahkan anak-anak mereka kepada pusat-pusat asuhan ataupun pembantu rumah.

Sebagai alasan atas hal itu maka Syeikh Ibnu Sulaiman mengatakan bahawa kita sama-sama mengetahui bahawa wanita adalah makhluk lemah yang sangat emosional, mudah terpengaruh oleh angan-angan dan pujukan, mudah tunduk dengan cubaan budaya moden dan hiasan kehidupan dunia yang menipu. Wanita mudah sekali berpaling dari kebenaran, terpengaruh oleh persekitaran, terbawa oleh arus hawa nafsu. Tanpa pengendalian agama dan gemar bertindak tanpa pertimbangan akal atau melihat akibatnya. Tidak semua pekerjaan sesuai dengan wanita dan tidak semua pekerjaan pula sesuai dengan lelaki. Masing-masing ada pekerjaan yang sesuai dengan kudrat dan fitrah sendiri.

Anjuran menjahit pada hadis di atas hanya sekadar contoh dari beberapa pekerjaan yang sesuai dengan kudrat wanita. Menjahit banyak hikmah dan pelajaran yang terdapat di dalamnya. Sebahagian daripada hikmah menjahit dan bertenun adalah:

  1. Menjahit dapat dilakukan di dalam rumah. Sehingga terhindar dari hal-hal yang tidak disenangi.
  2. Dapat dilakukan sambil memperbanyakkan zikir ataupun sambil membaca hafalan Al-Quran.

Mengeluarkan kaum wanita dari rumah dan menyibukkannya memang suatu rencana-rencana yang disusun oleh para musuh Islam. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad ibnu Abdullah dalam bukunya, beliau menulis bahawa: Orang-orang Barat menggunakan keadaan wanita Islam sebagai senjata untuk melukai Islam, lalu mencelanya sebagai agama yang tidak efektif untuk kehidupan dan tidak memberi keadilan yang layak kepada wanita. Mereka sibuk menggugat para wanita Muslimaat agar memberontak Islam. Mereka menuduh bahawa Islam merendahkan martabat wanita, melecehkan sebagai propagandanya.

Mereka menggunakan sarana-sarana informasi dan media massa. Mereka melepaskan semboyan kebebasan dan pembebasan wanita. Padahal yang sebenarnya hendak menipu para wanita agar menuntut hak-haknya, memberontak agar diberikan kebebasan, meninggikan hal-hal jahiliyyah dan mengikut budaya moden. Walhasil lahirlah emansipasi (pembebasan) wanita.

Dalam ‘huququl mar’ah’ disebutkan bahawa yang sebenarnya lebih banyak mudharat yang akan terjadi apabila wanita bekerja di luar rumah dibandingkan dengan manfaatnya. Antara lainnya ialah:

  1. Sering terjadi kemungkaran seperti percampuran dengan lelaki bukan mahram, perkenalan, komunikasi, bertemu muka dengan yang diharamkan. Memakai wangi-wangian. Mendedahkan aurat kepada yang bukan mahram sehingga menyeret kepada penzinaan.
  2. Tidak boleh melaksanakan kewajipan terhadap suami dengan baik.
  3. Meremehkan urusan rumah tangga yang seharusnya menjadi bidang wanita.
  4. Mengurangi hak-hak anak dalam banyak hal seperti kasih sayang, perhatian penyusuan, pendidikan dan sebagainya.
  5. Menyebabkan badan cepat penat dan letih sehingga mempengaruhi jiwa dan mental yang tidak sesuai dengan tabiat wanita.
  6. Mengurangi makna hakiki tentang kepimpinan suami dalam rumah tangga di hati wanita.

Di samping itu jika keinginannya telah tertumpu kepada pekerjaan, tabiat dan keperibadiaannya akan lebih mementingkan diri sendiri. Maka fikiran dan perasaannya menjadi sibuk, lupa dan bertambah jauh dari tugas-tugasnya yang hakiki iaitu kewajipan membina kehidupan suami-isteri, mendidik anak-anak dan mengatur urusab rumahtangga. Rasulullah s.a.w bersabda, “Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab di atas kepimpinannya.” (hadis riwayat Bukhari)

Sememangnya ini adalah salah satu dari rencana mereka (musuh-musuh Islam) seperti yang dikatakan oleh Ustaz al-Hamid : Supaya bangsa yang dijajah tersebut tidak menyedari kewajipannya sehingga keluar dari cara hidup Islam sebenar sedikit demi sedikit.

Dr Nasih Ulwan menambah bahawa wanita bekerja diluar rumah tidak lain tidak bukan adalah termasuk dlam misi-misi musuh-musuh Islam yang hendak menghancurkan kaum Muslimin dan Muslimaat. Dengan memberi contoh-contoh kebebasan, persamaan dan sebagainya. Mengikut perilaku kehidupan orang-orang kafir adalah larangan keras bagi kaum Muslimin dan Muslimaat. Rasulullah s.a.w bersabda, “Bukan dari golongan kami orang-orang yang menyerupai selain kami. Janganlah kalian menyerupai Yahudi dan Nasrani.” (hadis riwayat Tirmizi)

Rasulullah s.a.w juga bersabda, “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk ke dalam golongan kaum tersebut.” (hadis riwayat Ahmad)

Oleh kerana itu kepada para wanita Islam yang belum puas dengan Islam dan terus menuntut kebebasan dan persamaan hak atas nama ‘pembebasan wanita’, katakan kepada mereka: “Tuntulah wahai wanita agar kamu berkumis atau berjanggut.”

Dibolehkan bagi wanita bekerja tetapi dengan syarat-syarat yang harus dipenuhi seperti:

  1. Ada izin dari wali, baik dari suami ataupun ibu bapa.
  2. Pekerjaan halal bukan pekerjaan yang haram atau syubhat.
  3. Tidak ada ‘ikhtilat’ atau percampuran bebas antara lelaki dan wanita.
  4. Tidak bertabarrujj, tidak menampakkan perhiasan.
  5. Tidak memakai pakaian yang ketat atau melanggar aturan berpakaian bagi wanita Islam.
  6. Ada hijab antara lelaki dan wanita.
  7. Jenis pekerjaannya pun tidak boleh melanggar kewajipan-kewajipannya yang lain seperti kewajipan terhadap suami, anak-anak dan urusan rumah tangganya.

Saiyidina Ali r.a pernah bertanya kepada Fathimah r.a, puteri Rasulullah s.a.w: “Wahai Fathimah apakah yang baik bagi seorang wanita?” Fathimah r.a menjawab, “Hendaknya dia tidak melihat lelaki yang ajnabi dan lelaki ajnabi tidak melihatnya.”


Ada yang mengatakan bahawa ‘wanita yang bekerja boleh menghilangkan rasa bosan yang berpanjangan kerana di rumah dia terus-menerus terkongkong di dalam rumah’. Dikatakan bahawa kepada mereka bahawa tugas wanita adalah di rumah suaminya, menjaga hartanya, mengatur urusan, menyedari tujuan kedudukannya sebagai isteri dan ibu rumahtangga dan tugasnya menjadikan rumahnya sebagai syurga. Itu sudah cukup untuk membunuh kekosongan hati. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA