SMAHADZIR
RASULULLAH S.A.W. telah bersabda, ”Jika
sekiranya ada perintah dari Allah s.w.t. untuk menyuruh manusia sujud kepada
seseorang manusia, nescaya aku menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” (Riwayat
Imam Ahmad)
Hadis ini merupakan peringatan dari Rasulullah s.a.w.
kepada para isteri agar mereka menumpukan seluruh kecintaan dan kepatuhan
kepada suami mereka selama mana mereka tunduk kepada perintah Allah dan
Rasul. Salah satu daripada perkara yang dapat membantu untuk mewujudkan rumah
tangga yang bahagia ialah ketaatan isteri kepada suami dalam setiap perintahnya
selama perintah itu bukan merupakan suatu perkara maksiat kepada Allah s.w.t.
Islam menjelaskan bahawa tidak boleh taat kepada makhluk yang melaksanakan
maksiat kepada Allah s.w.t. dan ketaatan hanya diperbolehkan dalam hal yang
dibenarkan oleh syariat Islam.
Isteri yang solehah hendaklah sentiasa bersikap
jujur dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap suaminya di dalam
sebarang hal yang diizinkan oleh syarak. Kesetiaanya terhadap suami itu
bukanlah kerana disebabkan kerana ia lebih rendah darjatnya, tetapi adalah
kerana ia telah pun menerima dengan sepenuh jiwa raga suaminya itu sebagai
pelindungnya.
Isteri yang solehah juga berperanan menjadi
penghibur yang amat meyenangkan dan menyukakan hati suaminya. Seorang isteri
hendaklah berusaha melahirkan ciri-ciri keselarian jiwa dengan suaminya. Ia
tidak menentang pendapat suaminya walaupun ia merasakan dirinya benar dan di
dalam perkara yang termasuk larangan agama.
Namun demikian, ia boleh memberikan pendapatnya
dengan jalan lemah lembut dan tidak menjatuhkan martabat suaminya. Perlu
diingatkan, ketidak selarian jiwa di antara suami isteri seringkali mengakibat
berlakunya pertengkaran yang kadang-kadang berakhir dengan perceraian. Seorang
isteri hendaklah memperhatikan hal ini dengan baik agar kerukunan rumah tangganya
dapat dipelihara.
Isteri yang solehah hendaklah menjadikan dirinya
sumber kekuatan jiwa, menjadi pendorong dan menjadi pembantu perjuangan
suaminya. Adalah tidak wajar bagi mana-mana isteri yang menjadi penghalang yang
besar kepada suaminya dalam perjuangan menegakkan hukum Allah s.w.t. Jika
dilayan dengan baik dan sempurna, suami akan hidup jiwanya dan ia akan menjadi
pejuang Islam yang hebat.
Contoh terbaik adalah seperti apa yang dilakukan
oleh Saiyidatina Khadijah Binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w. Kepulangan
Rasulullah s.a.w. dengan keadaan menggerunkan menggigil selepas menerima wahyu
yang pertama dari Jibril a. s. disambut oleh Khadijah dengan tenang dan penuh
kasih sayang. Khadijah, isteri yang patuh dan sangat setia kepada suaminya itu
segera menyelimuti suaminya. Setelah keadaan agak reda, Rasulullah s.a.w.
menceritakan kepadanya segala peristiwa yang berlaku terhadap baginda di Gua
Hira. Khadijah, isteri yang bijaksana itu tidak memperlihatkan kekhuatiran dan
kecemasan hatinya, bahkan dengan tenang ia berkata kepada Rasulullah s.a.w.
“Bergembiralah wahai anak pamanku, tetapkanlah
hatimu. Demi Tuhan yang jiwa Khadijah di tanganNya, aku berharap engkaulah yang
akan menjadi Nabi bagi umat ini. Allah tidak akan mengecewakan engkau. Bukankah
engkau yang sentiasa berkata benar dan selalu memperhubungkan tali
silaturrahim, bukanlah engkau yang sentiasa menolong anak yatim, memuliakan
tetamu dan menolong setiap orang yang ditimpa kemalangan dan kesengsaraan?”
Demikianlah Khadijah mententeramkan hati suaminya,
dan contoh seumpama inilah yang seharusnya menjadi teladan buat sekalian wanita
Islam.
Sebagai seorang isteri yang solehah, ia hendaklah
bersopan-santun terhadap suaminya. Iaitu dengan berlemah-lembut tutur kata dan
gerak laku di hadapan suaminya. Sedapat mungkin ia hendaklah menjauhi kata-kata
atau perkataan yang boleh menunjukkan kedurhakaan atau perkataan yang
menyakitkan hati suaminya seumpama memaki, atau melafazkan perkataan yang
dilarang oleh syarak mahupun adat. Demikian juga seseorang isteri itu hendaklah
sentiasa merasa malu dan merendahkan pandangan matanya ketika berada di hadapan
suaminya. Hendaklah sentiasa memperlihatkan wajah yang manis di hadapan
suaminya, dan ini sudah tentu amat menyenangkan hati suaminya.
Di samping itu, di antara perkara yang tidak wajar dilakukan
oleh seorang isteri iaitu memberati atau memaksa suaminya member nafkah seperti
makanan, pakaian, wang ringgit dan tempat lebih dari kadar yang diperlukan
bahkan diluar kemampuan suami. Bahkan ia hendaklah sentiasa berpada (bersifat
qana’ah) dengan apa jua pemberian dari suaminya. Contoh yang paling ketara dan
patut dicontohi oleh setiap Muslimah ialah apa yang diperlihatkan oleh puteri
kesayangan Rasulullah s.a.w. iaitu Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah. Walaupun ia
terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dalam kehidupan bersama suaminya,
(Rasulullah s.a.w. menangis melihat keadaannya) namun ia tetap sabar serta
sentiasa mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. dan kesenangan hidup di akhirat.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. pernah menyebut,
“Untuk mencapai kesenangan akhirat, Fatimah
seharusnya menelan segala kepahitan hidup di dunia ini.”
Seseorang isteri tidak sewajarnya merunggut-runggut
terhadap suaminya tentang keperluannya. Apa pun pemberian suaminya samada
berupa nafkah mahupun hadiah hendaklah diterima dengan baik hati. Perlakuan
para isteri masa kini yang sering meminta itu dan ini daripada suaminya yang
ternyata tidak berkemampuan adalah tidak sewajarnya dilakukan. Para isteri
seumpama ini pernah mendapat teguran dari Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya, ”Sesungguhnya
aku tidak menyukai wanita yang keluar dari rumahnya menyeret bajunya seraya
mengeluh tentang suaminya.” (hadis riwayat At-Tabrani)
Isteri dianggap sebagai durhaka sekiranya isteri
tersebut keluar rumah tanpa izin atau tanpa ditemani oleh suaminya atau
mahramnya. Hal ini mendapat tegahan di sisi syarak walaupun isteri keluar
adalah semata-mata untuk menziarahi kaum keluarga, ibu bapa atau kerana
menuntut ilmu fardhu ‘ain yang
suaminya mampu mengajarkannya, apatah lagi kalau ia keluar rumah kerana
melibatkan diri dengan kelab-kelab wanita, persatuan-persatuan dan sebagainya
yang tiada kaitan dengan Islam.
Sesungguhnya telah berlaku satu peristiwa benar pada
zaman Rasulullah s.a.w. Seorang wanita tidak sanggup keluar rumah walaupun untuk
menziarahi ayahnya yang sedang tenat untuk menghembuskan nafas terakhir tanpa
izin suaminya. Wanita tersebut berada di tinggkat atas sementara ayahnya yang
sedang tenat itu berada di tinggkat bawah. Rasulullah s.a.w. telah menyebut
mengenai peristiwa tersebut dengan sabdanya, ”Sesungguhnya Allah
mengampuni ayahmu dengan apa yang kamu lakukan itu.”
Isteri yang solehah tidak langsung mempunyai
cita-cita untuk keluar rumah kononnya untuk berjuang, berkhidmat kepada
masyarakat, mengejar kemajuan agar standing dengan kaum lelaki dan sebagainya,
kerana yang demikian itu tidak menjamin rahmat dan keredhaan Allah s.w.t.
bahkan mendedahkan diri kepada bernagai-bagai fitnah. Rasulullah s.a.w. pernah
bersabda, ”Tiap wanita yang keluar rumah tanpa izin suaminya, sesungguhnya
dia dalam kemurkaan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya atau suaminya
redha akan dia.” (hadis riwayat Al-Khatib)
Syariat Islam tidaklah sebegitu kejam sehingga kaum
wanita tidak dibenarkan langsung untuk keluar rumah kerana sesuatu urusan yang
penting. Tujuan meminta izin dan keluar rumah dengan ditemani oleh suaminya
atau mahramnya adalah sebagai tanda bahawa ia hormat dan menghargai suaminya.
Dengan keluar rumah ditemani oleh suami atau mahramnya, perjalanannya menjadi
selamat dan kehormatannya sebagai wanita Islam dapat dipelihara.
Apabila seseorang isteri itu telah terlanjur
mendurhaka atau menyakiti hati suaminya, hendaklah ia segera meminta maaf
kepada suaminya agar ia terlepas dari kemurkaan Allah s.w.t. Sememangnya tidak
ada manusia yang sunyi dari melakukan kesilapan dan kesalahan.
Di dalam satu riwayat disebutkan bahawa Saiyidatina
Fatimah Az-Zahra telah menemui Rasulullah s.a.w. dengan keadaan menangis dan
wajahnya sedih tanda penyesalan. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, “Mengapa
wahai anakku Fatimah?” Saiyidatina Fatimah menjawab, “Kelmarin anakanda dengan
Ali bergurau-gurau sehingga terbit kata-kata dari anakanda yang menyakitkan
sehingga Ali marah kepada anakanda, lalu anakanda meminta maaf darinya dan
mengelilinginya sebanyak tujuh puluh kali sehinggalah ia memaafkan dan ia
tertawa serta redha.”
Mendengar keterangan Saiyidatina Fatimah, lalu
Rasulullah s.a.w. pun bersabda, ”Demi diriku yang diangkat oleh Allah s.w.t.
sebagai Nabi, sekiranya engkau mati sebelum Ali redha kepada kesalahan engkau
itu, tidak akan aku sembahyangkan jenazah engkau.”
Isteri hendaklah tahu serta faham bahawa rumah
tangga yang dibina itu merupakan tempat penghibur di mana setelah penat suami
menjalankan tugasnya di luar, kepulangannya akan disambut dengan penuh setia
dan sopan. Contoh isteri yang benar-benar member layanan terhadap suaminya
ialah apa yang dilakukan oleh Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah terhadap suaminya.
Kepulangan suaminya yang letih lesu dari medan peperangan disambut dengan wajah
manis yang berseri-seri.
Begitu juga dengan ibunya, Saiyidatina Khadijah yang
merupakan seorang isteri yang sempurna serta seorang wanita beriman dan isteri
yang begitu setia kepada suaminya. Segala harta kekayaannya digunakan serta
diserahkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk menyebarkan risalah Islam kepada umat
manusia. Lantaran itu dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menyebut, ”Islam
terbangun atas harta Khadijah...”
Sewaktu berlakunya kepungan terhadap Rasulullah s.a.w.
dan keluarga baginda serta umat Islam ketika itu, Khadijah meninggalkan
segala-galanya dan berdiri di belakang Rasulullah s.a.w. Kesusahan yang berlaku
semasa kepungan itu tidak pernah menyebabkan ia mengadu atau mengeluarkan
kata-kata yang melukakan hati Rasulullah s.a.w.
Betapa kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada Khadijah
dapat dilihat pada kenyataan Rasulullah s.a.w. kepada Aishah r.a. ”Dia
beriman kepadaku di saat orang lain masih kafir. Dia membenarkan aku di saat
orang lain mendustakan aku. Dia menolong aku dengan harta di saat orang lain
tidak mahu memberikan kepadaku. Dan Allah memberikan anugerah anak kepadaku
daripadanya, tidak daripada isteri-isteri yang lain.”
Inilah contoh seorang isteri yang benar-benar
memainkan peranan, yang taat serta sedia berjuang dan berkorban menghadapi
kesusahan bersama-sama suaminya.
Sifat-Sifat Penghuni Syurga
Syarat-syarat yang diberi oleh Allah s.w.t untuk
mencapai kegemilangan kepada para hamba-Nya adalah kemenangan seseorang
menundukkan dirinya. Untuk mencapai kegemilangan tersebut adalah dengan
mendidik mereka dalam muhasabah (mengkaji) diri. Al-Quran dan Sunah telah
menjelaskan hal ini, seperti terlihat kepada kehidupan para sahabat dan salafus-soleh.
Seorang hamba yang murni niatnya apabila melakukan
suatu perbuatan, ia tidak mengharapkan pujian apapun daripada sesamanya.
Rasulullah s.a.w pernsh ditanya tentang dua orang yang berperang dengan
keberanian, orang yang berperang kerana mempertahankan diri dan yang berperang
kerana riak. Manakah di antara mereka yang berjuang dijalan Allah Rasullullah
menjawab: Barangsiapa yang berjuang untuk menegakkan kalimat Allah, dia berada
di jalan Allah s.w.t.
Hanya berharap dan berasa takut kepada Allah.
Seorang Mukmin memurnikan akidah dan tauhidnya daripada syirik. Ia menyembelih
dengan nama Allah, bersumpah dengan nama Allah, dan bernazar hnaya untuk Allah,
tidak oernah ke bomoh mengundi nasib serta tabarruk
(bersemadi) di atas pohon dan batu, tidak mengunjungi kuburan untuk memohon dan
memenuhi keinginannya. Demikian pula seorang Mukmin menghindari ketergantungannya
kepada selain Allah. Ia hanya berharap dan merasa takut kepada Allah, betawakal
serta membenci dan mencintai, seperti apa yang dibenci dan dicintai Allah.
Mermurnikan Niat
Mermurnikan niat hanya kepada Allah. Seseorang Mukmin
sentiasa memurnikan tujuan (matlamat) dan perbuatannya. Ia hanya melakukan
perbuatan yang tidak dilarang syarak dan mengikuti petunjuk Rasulullah s.a.w.
Amal soleh adalah segala kebaikan dengan mengikuti Sunah Rasulullah s.a.w.
Baginda mengajarkan perbuatan yang mendekatkan kita kepada-Nya serta melarang
perbuatan yang menjauhkan kita daripada-Nya. Ringkasnya, seorang Mukmin
sentiasa harus berhati-hati dalam melakukan perbuatan. Menanyakan kepada
dirinya sendiri sebelum ia berbuat, untuk siapa ia berbuat, bila untuk Allah
maka ia lakukan, bila tidak maka ia tinggalkan. Juga ketika memulai sesuatu
perbuatan, ia bertanya tentang hukumannya dan merujuk kepada teladan Rasulullah
s.a.w. Inilah dua pokok amal soleh.
Mengagungkan Syiar Allah
Seorang Mukmin selalu mengagungkan syiar-syiar
Allah. Kerana itu, kita dapat melihat ia selalu bersemangat dalam melakukan
kewajipan dengan cara yang diperintahkan Allah, di samping selalu diikuti
dengan perbuatan sunnah sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Pekerjaan
sunah yang ia lakukan setelah melakukan yang wajib, menjadikannya dalam darjat
yang tinggi. Dalam sebuah hadis Qudsi disebutkan: “Barangsiapa yang menjadikan
penolong selain-Ku maka telah aku izinkan untuk diperangi, dan tidaklah seorang
hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai daripada
segala yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba
mendekatkan diri kepada-Ku dengan perbuatan sunah sehingga Aku mencintainya.
Maka apabila Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya ketika ia
mendengar. Dan penglihatannya ketika ia melihat dan tangannya yang menggenggam
dan kakinya ketika berjalan, jika ia meminta kepada-Ku nescaya akan Aku
berikan, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku, nescaya Aku lindungi.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Seorang Mukmin sentiasa mengutamakan solat berjemaah
dia masjid, mereka juga segera bergerak ke masjid untuk memurnikan hatinya
daripada kesibukan hal dunia, sehingga ketika tiba waktu solat, ia menghadapkan
hatinya dengan kusyuk. Solat sebeginilah yang dapat menjauhkan diri daripada
perbuatan-perbuatan buruk manusia yang selalunya lalai dengan keseronokkan
dunia. Setelah solat, ia mengikutinya dengan perkara-perkara sunat yang
dituntut seperti zikir dan sunah-sunahnya yang lain.
Bertawakal Hanya Kepada
Allah
Seorang Mukmin sentiasa bertawakal kepada Allah
dalam segala urusannya. Beriman kepada Allah bukannya satu halangan untuk
melakukan perkerjaan malah ia adalah satu penyempurnaan bagi seseorang islam
dalam melakukan ibadah. Kita diperintahkan untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan
yang bersesuaian dengan kemampuan kita dan bertawakal dengan segala benda yang
luar daripada kemampuan kita. Seorang Mukmin bertawakal, ia sekadar melakukan
perkara yang dia mampu dan selebihnya diserahkan kepada Allah.
Hadis daripada Ibnu Abbas dalam Sahih Bukhari
menyatakan bahawa Ibnu Abbas pernah berkata, Ketika Ibrahim a.s dilemparkan ke
dalam api baginda baginda berkata ‘hasbunallah
wa ni’mal wakil’ (cukuplah Allah sebaik baik perlindung) dan doa ini
pulalah yang diucapkan Nabi s.a.w ketika ada segolongan yang menakut-nakuti
baginda.
Seorang Mukmin yang bertawakal kepada Allah dan
melakukan perintah-Nya akan menerima apa yang Allah berikan kepadanya. Sebab
bagaimanapun, ia mengetahui bahawa kemampuannya sangat terhad dibandingkan
dengan kekuasaan Allah. Apa yang telah Allah berikan kepadanya adalah perkara
yang terbaik.
Menanti Kematian
Kematian seseoarang individu adalah tidak menentu.
Seoarang Mukmin menantikan kematian mereka setiap saat. Ibnu Umar berkata, berlakulah
di dunia ini bagaikan orang asing atau perantau. Ibnu Umar Lalu berkata, “Jika
engkau berada pada waktu petang, jangan kamu nantikan pagi, dan jika kamu
berada pada waktu pagi, jangan kamu menantikan petang. Manfaatkan masa sihatmu
sebelum datang sakit dan masa hidupmu sebelum datang kematian.”
Seseorang Mukmin memandang kehidupan dunia hanya
selintas saja. Lalu membayangkan cita-citanya yang akan diakhirinya dengan
kematian. Setiap orang yang berusaha demi masa depan mereka tiba-tiba datanglah
kematian maka lenyaplah segala impiannya. Umar bin Khattab r.a. pernah berkata,
Setiap kali diberitakan si polan meninngal maka ingatkanlah, Umar juga akan
meninggal juga suatu hari nanti.
Memiliki Kekayaan Hati
Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa bukanlah orang
kaya itu yang banyak hartanya, tetapi orang yang kaya itu adalah mereka yang
baik budi pekertinya. Kekayaan yang hakiki adalah kekayaan jiwa, iaitu
orang yang tidak mencemburui oleh apa yang orang lain ada termasuklah harta,
takhta, mahupun wanita. Hatinya orang Mukmin tidak memikirkan perkara-perkara
sebegitu mereka menganggap perkara-perkara seperti itu hanyalah terlalu remeh
jika nak dibandingkan dengan seruan dan ketentuan illahi.
Orang yang kaya dengan harta benda tetapi hatinya
miskin dengan budi pekerti dan mengharap apa yang dimiliki orang lain itulah
yang dieertikan kefakiran yang sebenarnya. Namun orang yang fakir tetapi
hatinya kaya dengan hati yang mulia mereka akan merasa tenang bersama Allah dan
merasa cukup dengan apa yang ada sesungguhnya inilah kekayaan yang sebenar.
Pengaruh qana’ah
(merasa cukup) bagi sesorang Mukmin di antranya: ia tidak akan memandang dan
tenggelam atas kurniaan Allah yang telah dikurniakan kepadanya, yang berupa
kenikmatan dunia. Ia meyakini bahawa rezeki Allah akan selalu datang
kepadanya. Lalu, terlihatlah ia yang terteram, tenang, dan tidak akan
berlebih-lebihan dalam mencari kesibukan duniawi. Setiap manusia akan diberikan
rezekinya masing-masing dan malah Allah s.w.t memberikan juga rezeki kepada
mereka yang tidak taat kepada-Nya termasuklah penyembah sapi, matahari, api,
pokok yang sebagainya apatah lagi kepada mereka yang taat kepada seruannya.
Maka Allah pernah ada rasa kedekut terhadap umat yang taat kepada-Nya.
Pengaruh lainnya ialah zuhud terhadap dunia.
Seseorang Mukmin melapangkan dadanya dari kecintaannya terhadap dunia. Ia tidak
merasa gembira yang melampau atau sedih yang terlampauan jika mendapat sesuatu
ganjaran mahupun dugaan.
Menahan Diri Daripada
Segala Yang Bersifat Duniawi
Seseorang Mukmin menahan dirinya daripada segala hal
yang bersifat duniawai. Dia tidak merasa dirinya besar dan dipandang tinggi
oleh orang lain malah ia akan berkumpul dengan kaun yang lemah dan miskin serta
berusaha tidak menolak sebarang kunjungan daripada mereka.
Rasulullah s.a.w seorang yang bertawaduk walaupun
beliau mempunyai darjat yang begitu tinggi. Baginda bersabda: “Seorang hamba
yang memberi maaf akan ditambahkan kemuliaannya, dan seorang hamba yang rendah
diri kerana Allah akan diangkat darjatnya.” Anas r.a meriwayadkan tentang
sifat rendah Nabi s.a.w bahawa seseorang hamba di antara hamba-hambanya di
Madinah memegang tangan Nabi s.a.w an pergi kepadanya kemana dia suka dan Nabi
memenuhi keinginannya.
Ibnul Qayyim menyifati rendah hatinya Rasulullah s.a.w
ia menyatakan, Jika makan Nabi menjilati jarinya tiga kali dan Nabi tinggal
dirumah membantu keluarganya. Tidak membalas dendam kerana dirinya, Nabi juga
menjahit seliparnya, menampal bajunya, memerah susu kambing untuk keluarganya,
memberi makan unta, makan bersama para pembantu, duduk bersama-sama orang
miskin, berjalan bersama para janda dan yatim serta menolongnya, memberi salam
mendahului dari orang yang ditemuinya, dan memenuhi undangan orang yang
mengundangnya walaupun kepada orang yang bertaraf yang paling rendah. (Tahdzib Madarij as-Salikin: 428)
Fudhail bin Iyadh ditanya tentang tawaduk. Ia
berkata, Engkau tunduk kepada kebenaran dan mengikutinya walaupun kamu dengar
daripada seorang anak kecil dan orang yang paling bodoh yang pernah kamu
jumpai.
Merendah Diri Sesama Mukmin
Seseorang Mukmin saling merendah diri sesamanya, dan
perkara sebegini merupakan sifat daripada calon-calon penghuni syurga.
Sebagaimana firman Allah: (Surah Al-Syu’ara ayat 215) Bermaksud: “Dan
rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang
yang beriman.”
Kerendahan seorang Mukmin terhadap dirinya
mencerminkan kemenangannya. Tabiat diri akan selalu menyenangi kekuasaan dan
kemenangan terutamanya terhadap orang-orang yang lemah. Tetapi, orang-orang yang
beriman sentiasa melawan hawa nafsunya dan selalu berusaha untuk mengawasi
dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Maka, mereka akan
merendahkan dirinya terhadap saudara-mara sebagai tanda kasih sayang,
kelembutan dalam berinteraksi dan keramahan ketika bertutur kata.
Seorang Mukmin juga mengasihi dan mencintai sesama Mukmin.
Ia akan merasa serba salah dan cemas apabila saudaranya ditimpa musibah atau
kesulitan. Nabi s.a.w bersabda: Saya telah memulai solat dan ingin
memanjangkannya, kemudian saya mendengar tangisan anak maka saya percepat solat
saya, kerana saya tahu betapa cemas ibu mendengar tangisan itu.
Tegas Terhadap Orang Kafir
Seorang Mukmin tegas dan keras terhadap orang kafir,
sebagaimana firman Allah: (Surah Al-Fath Ayat 21) Bermaksud: “Dan
orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir,
tetapi berkasih sayang sesama mereka.” Seseorang mengangkat kepalanya terhadap
orang kafir dengan tanpa rasa takut dan gentar kerana mereka tahu asal usul mereka
semuanya berasaskan daripada Al-Quran dan mereka percaya sumber kekuatannya
berasal daripada Allah dan keteguhannya juga daripada Al-Quran.
Memiliki Akhlak Yang Mulia
Akhlak yang mulia adalah kesempurnaan iman. Nabi s.a.w
menyebutkan bahawa seorang Mukmin yang paling sempuna imannya adalah yang
paling mulia akhlaknya. Orang Mukmin selalu menampakkan wajah yang cerah,
sentiasa berusaha tersenyum walau dalam bagaimanapun keadaanya. Nabi s.a.w
bersabda: ”Janganlah engkau menganggap rendah kebaikan, meskipun sekadar
tersenyum kepada saudaramu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ia selalu mempelihatkan sifatnya yang baik dari segi
pertuturan dan tingkah laku hinggakan manusia senang berkumpul dan bersahabat
dengannya. Tutur katanya menyenangkan hati orang yang mendengarnya, lemah
lembut, tidak keras dan tidak kasar. Mudah bergaul dengan orang lain dan tahu
bila waktu untuk serius dan bila masanya waktu untuk bergurau senda. Gurauannya
pula tidak menyakiti dan tidak bergurau selain daripada kebenaran, sebagaimana
kebiasaan Rasulullah s.a.w yang selalu berlapang dada.
Sabda Nabi s.a.w: “Allah mengasihani seorang yang
berlapang dada, ketika membeli, menjual, serta meminta.” (Hadis Riwayat Bukhari
dari Jabir r.a.)
Orang-orang Mukmin menjaga dirinya, tidak mudah
untuk menceburi perkataan dan perbuatan yang keji kerana mereka tahu semua itu
tiada sebarang faedahnya malah mengundang dosa. Mereka memilih kata-kata yang
baik seperti memilih buah-buahan yang baik untuk dimakannya agar tidak
mencemari diri. Mereka menggunakan pertuturan yang baik sehingga tidak
menyakiti hati orang lain dengan tidak menggunakan kata-kata yang kasar.
Sifatnya sebagaimana sabda Nabi: “Seseorang Mukmin tidak menuduh, melaknat,
tidak berkata kotor, dan tidak mencela.” (Hadis Riwayat Tarmizi)
Ia selalu berbuat baik dan memberi manfaat kepada
orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap hari di mana matahari terbit,
berbuat adil diantara dua orang adalah sedekah, menolong seorang mengangkatnya
adalah sedekah, kalimat yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk
melakukan solat adalah sedekah dan membuang duri daripada jalan adalah sedekah.:
(Muttafaq ‘alaih)
Bersaudara Kerana Islam. Seorang Mukmin bersaudara
kerana Allah, mereka tidak mencintai saudaranya melainkan perasaan cinta yang
diredhai Allah. Ia menghilangkan kepentingan duniawi dan perbadinya demi
persahabatan dan cinta terhadap saudaranya, sehingga ia layak dicintai Allah.
Nabi s.a.w menyebutkan bahawa seseorang yang
mengunjungi saudaranya di tempat lain, maka Allah mengutus malaikat di dalam
perjalanannya dan ketika bertemu malaikat bertanya, “Hendak ke mana engkau? Ia
menjawab, saya ingin mengunjungi saudara saya di desa ini. Kemudian malaikat
bertanya lagi, Apakah engkau mempunyai maksud ingin merasakan kesenangan
darinya? Dia menjawab, Tidak, saya hanya mencintainya hanya kerana Allah.” Lalu
malaikat berkata, “Ketahuilah, saya diutus oleh Allah untukmu agar memberitakan
bahawa Dia mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu kerana-Nya.”
Seorang Mukmin selalu setia kepada saudaranya, tidak
berubah walaupun zaman semakin hari semakin banyak perubahannya. Seorang Mukmin
juga tindak meninggalkan sedaranya walau terdapat manusia berpaling terhadap
mereka. Rasulullah s.a.w telah menghormati seorang perempuan tua yang
mengunjunginya dan berkata: “Dia pernah mengunjungi kami ketika Khadijah masih
hidup dan ketahuilah, hubungan yang baik sebahagian daripada iman.” (Hadis
Riwayat Hakim)
Seorang Mukmin mengutamakan kepentingan saudaranya
daripada kepentingan diri sendiri kerana cinta dan setianya terhadap
saudaranya. Ketika perang Yarmuk, Ikrimah dan para sahabatnya diberikan
air, tetapi setiap sahabat memerintahkan untuk membeikan kepada sahabatnya yang
lain, meskipun dia terluka dan memerlukan air, sampai semuanya meninggal dan
tidak seorang pun yang meminum air tersebut. (Mukhtasar Ibnu Katsir jil. III: 474).
Ciri-Ciri Ibu Solehah
Di samping tugasnya sebagai suri rumah tangga,
wanita Islam juga mempunyai peranan penting sebagai seorang ibu. Tugas keibuan
dalam Islam bukanlah sekadar menjadi seorang isteri, mengandung, melahirkan
serta mengasuh anak kerana sifat yang sedemikian tidak terdapat pada seorang
ibu Islam. Keibuan dalam Islam ialah mempunyai jiwa dan perasaan sebagai
seorang ibu yang bersifat penyayang, lemah lembut, tidak mementingkan diri
sendiri, kasih terhadap anak-anak bahkan sanggup bersusah payah melaksanakan
kerja-kerja dalam urusan rumah tangga.
Keibuan dalam Islam juga bererti mengukuhkan
kedudukan keluarga yang menjadi asas pembentukan generasi Islam dalam
lingkungan keluarga. Peranan keibuan adalah amat penting kerana ibu adalah di
antara orang yang mencorak dan membentuk anak-anaknya.
Seorang ibu yang solehah ialah ibu yang mengasuh dan
mendidik anak-anaknya dengan rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan
konsep kehidupan Islam. Begitu juga dengan harapan agar anak-anaknya kelak akan
menjadi orang yang bertindak untuk mendakwahkan agama Allah s.w.t. Malahan ia
akan berusaha sedaya upaya mengasuh dan memujuk akan anak-anaknya supaya
benar-benar berpegang dan mentaati ajaran-ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah
s.a.w.
Adalah menjadi tugas seorang ibu Islam apabila
anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan
lain yang baik-baik yang banyak diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam
hadis-hadisnya. Apabila anak itu sudah pandai berdiri diajarkan pula
mengikutinya menunaikan solat. Lama-kelamaan, hasil pendidikan yang semacam ini
akan melahirkan anak-anak yang taat mengerjakan ibadah apabila dewasa.
Di samping itu, para ibu hendaklah menekankan kepada
anak-anak mereka betapa pentingnya akhlak yang mulia dalam kehidupan mereka.
Tujuannya ialah agar apabila dewasa kelak, mereka (anak-anak) akan menjadi
manusia yang berakhlak mulia. Sehubungan dengan ini juga, Rasulullah s.a.w.
menyebut, ”Tiada suatu pemberian yang lebih baik dari seorang bapa
(termasuk ibu) kepada anaknya selain adab yang baik (akhlak mulia).” (Tarikhul Bukhari)
Sekiranya anak-anak sudah pandai membaca, ibu
hendaklah mengajarkan mereka membaca Al-Quran serta mengawasi mereka dari
membaca bahan-bahan bacaan atau media massa yang menganjurkan kefahaman tentang
kebendaan dan anti keagamaan.
Ibu yang solehah sudah tentu tidak akan sekali-kali
redha jika anak-anaknya dihantar ke sekolah-sekolah pendakyah Kristian atau
sekolah-sekolah yang menjalankan dasar pendidikan sekular. Sekolah-sekolah
seumpama ini hanya akan mengajar dan menanamkan pemikiran-pemikiran ke atas
anak-anak untuk memisahkan diri dengan cara hidup beragama seberapa mungkin.
Bahkan amat dititikberatkan ialah untuk melahirkan individu yang jiwa dan
pemikirannya berfaham dan bertuhankan kebendaan.
Sungguhpun tugas wanita Islam dalam lingkungan
urusan rumah tangga, namun peranan mereka tidak kurang pentingnya dengan suami
mereka di luar rumah. Apa yang perlu difahami ialah wanita Islam dibenarkan
berperanan di luar rumah hanya dalam urusan sesama wanita dan keadaan-keadaan
yang dibenarkan oleh syarak.
Peranan Dalam Pembentukan
Generasi Islam
Seorang wanita Islam di samping tugasnya sebagai
isteri kepada suaminya, juga memainkan peranan yang penting kepada pendidikan
anak-anaknya. Ia juga berperanan mengasuh, memelihara serta mendidik
anak-anaknya agar menjadi insan yang berguna pada masa akan datang. Pernah
diingatkan oleh beberapa sarjana ahli kaji masyarakat Muslim bahawa pembinaan
keluarga Islam yang teratur adalah berdasar kepada empat prinsip. Empat prinsip
tersebut ialah:
- Kehidupan
kekeluargaan merupakan buaian kepada masyarakat manusia yang akan
melahirkan suatu rupa bentuk rumah tangga yang sebenar, sihat sejahtera
kepada ibu bapa dan perkembangan anak-anak.
- Kehidupan
kekeluargaan juga merupakan pengawal kepada naluri perkelaminan manusia
serta memimpinnya kepada saluran yang sihat.
- Kehidupan
kekeluargaan merupakan tempat untuk menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan
seperti kasih sayang dan belas kasihan.
- Kehidupan
kekeluargaan juga sebagai tempat perlindungan dari segala macam kesusahan
yang menimpa manusia.
Dalam pembentukkan keluarga Islam dengan harapan
untuk melahirkan generasi Islam akan datang, para ibu bapa Islam hendaklah
menyedari bahawa kehidupan dunia hari esok adalah bergantung kepada corak dan
rupa bentuk yang mereka lakukan terhadap anak-anak mereka hari ini.
Para ibu Islam perlu faham bahawa Islam telah
memberikan penghormatan yang cukup tinggi terhadap para ibu yang sanggup
bersusah payah mendidik, mengasuh serta memelihara anak-anaknya sehingga
menjadi manusia yang berguna pada masa akan datang. Kerana dengan berkat asuhan
dan didikan yang diberikan oleh para ibu Islam terhadap anak-anaknya itu akan
menjadikan anak-anaknya itu sebagai para mukmin dan mukminat pada masa akan
datang.
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan
tentang ketinggian darjat para ibu Islam, iaitu para ibu Islam yang taat kepada
Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada suaminya yang soleh. Ibu-ibu
seperti inilah diharapkan akan dapat memberikan didikan yang sempurna kepada
anak-anak yang berada di bawah jagaannya.
Sesungguhnya sejarah kemanusiaan telah membuktikan
bahawa kemuliaan dan ketinggian seseorang itu adalah di bawah asuhan serta
didikan para ibu mereka. Oleh kerana itu amat wajar sekali bagi anak-anak untuk
menghormati, berbuat baik (ihsan) serta berkhidmat kepada ibu
mereka. Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah
hadisnya, ”Syurga itu terletak di bawah telapak kaki para ibu.” (Riwayat
Imam Ahmad)
Dari keterangan ini menunjukkan betapa tinggi dan
betapa pentingnya peranan para ibu Islam dalam pembentukkan masyrakat Islam.
Islam telah menjelaskan bahawa seorang ibu yang solehah, ialah ibu yang
membesarkan, memelihara, mengasuh serta mendidik anak-anaknya dengan suatu rasa
keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan ajaran Islam. Begitu
juga dengan penuh harapan agar anak-anaknya itu dewasa kelak akan menjadi para da’ei sebagai pelapis kepada perjuangan
yang ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan