Khamis, 12 September 2013

Gempa Dahsyat Mengancurkan Segala Kemungkaran


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH bahawa sejak dahulu sudah ditetapkan Allah s.w.t satu hari dalam seminggu, pada hari semua orang diwajibkan berkumpul menjalankan ibadat bersama-sama dan menerima tuntunan Allah s.w.t dengan perantaraan Nabi dan Rasul-Nya masing-masing. Tetapi entah kerana apa, pada zaman Nabi Musa kaum Bani Israel sama bermohon, agar hari itu dijadikan hari Sabtu saja. 
Keinginan mereka ini dikabulkan oleh Allah s.w.t dan sudah tetaplah menurut syariat Nabi Musa, bahawa hari Sabtu itu adalah hari istimewa, hari mana setiap orang tidak boleh bekerja, tetapi hari itu dikhaskan hanya semata-mata untuk menyembah Allah s.w.t, untuk bersyukur kepada Allah s.w.t dan hari menerima pengajaran Allah s.w.t atau agama. 

Hari Sabtu Untuk Beribadat Saja 

Begitulah telah menjadi adat, syariat dan tradisi bagi Bani Israel, sejak zaman Nabi Musa sampai ke zaman Nabi Daud a.s. Di sebuah kampung yang terletak di pinggir Lautan Merah, bernama Kampung Tuhan, di mana tinggal bangsa keturunan Bani Israel juga. Mereka juga menjalankan syariat yang menjadikan hari Sabtu itu semata-mata untuk beribadat saja. 
Kerana adat dan syariat yang sudah turun-temurun begitu lama, di mana tidak seorang pun di antara manusia yang pergi ke ladang membajak, tidak seorang pun pergi ke pasar berniaga, tidak seorang pun pergi ke laut menangkap ikan, maka syariat Bani Israel itu menyebabkan timbulnya sebuah tradisi pada ikan yang hidup di dalam laut di sekitar kampung tersebut. 
Tidak begitu jauh dari pantai di kampung itu, ada dua buah batu besar yang putih warnanya di dalam laut. Saban hari Sabtu, bukan main banyaknya ikan besar yang lalu dan bermain-main di antara dua buah batu besar itu. Rupanya ikan-ikan itu pun sudah tahu, bahawa kalau mereka bermain-main di situ pada hari Sabtu, tidak seorang pun manusia yang akan menangkap mereka, sedang pada hari-hari yang lain, tidak ada seekor pun di antara ikan-ikan itu yang muncul di situ, kerana bila ada seekor saja, sudah pasti akan ditangkap oleh manusia untuk menjadi makanan yang paling enak. Pada hari-hari selain dari hari Sabtu mereka hampir seluruhnya pergi ke laut untuk menangkap ikan. 
Dari hari ke sehari, tahun ke tahun, makin banyak juga ikan besar Lautan Merah yang melancong pada tiap hari Sabtu ke dua batu besar itu. Hal ini akhirnya menerbitkan selera bangsa Bani Israel yang tinggal di kampung tersebut. Nafsu tamak dan keinginan untuk memakan ikan yang besar-besar itu, menyebabkan mereka lupa kepada ajaran agama mereka sendiri. Mereka berkumpul sambil bermesyuarat, bertukar fikiran. Mereka berkata: ‘Kenapa kita biarkan saja ikan-ikan besar sebanyak itu berkeliaran di hadapan kita pada hari Sabtu ini. Sedang pada hari-hari lainnya, kita bermati-matian ke tengah laut yang luas mencari ikan dengan bersusah-payah, kadang-kadang dengan mengorbankan jiwa kita sendiri. Alangkah baiknya kalau pada hari Sabtu itu, kita tangkap semua ikan yang lalu antara dua buah batu itu, kita pasti akan mendapat ikan sebanyak-banyaknya dengan jalan yang amat mudah.’ 
Fikiran ini lekas diterima oleh orang-orang lain di kampung itu, kecuali beberapa orang saja yang tetap beriman dan tidak sudi melanggar aturan agama. Begitulah setiap hari Sabtu penduduk kampung itu bersama-sama menangkap ikan di antara dua buah batu besar itu dengan mudah sekali. Hasil mereka sehari tersebut jauh lebih banyak dari hasil mereka pada hari-hari lainnya yang enam hari itu. Alangkah senang hati mereka mendapat akal yang sedemikian hebat. 
Dengan akal ini, maka hari Sabtu itu sudah mereka ubah, bukan untuk menyembah Allah s.w.t lagi, tetapi mereka jadikan hari melupakan Allah s.w.t, hari beriang gembira, makan-makan besar dengan ikan-ikan besar yang mereka dapati pada hari Sabtu yang istimewa itu. Pada hari Sabtu itulah mereka makan seenak-enaknya dan sebanyak-banyaknya, dengan daging ikan-ikan besar yang berbagai-bagai pula jenis dan saiznya. 

Kampung Dibahagi Dua

Setelah pekerjaan mereka diketahui oleh orang-orang yang beriman, mereka memberikan nasihat kepada yang melanggar aturan agama itu. Tetapi nasihat ini tidak masuk lagi ke dalam hati mereka. Akhirnya oleh golongan yang beriman, diadakan tindakan kekerasan untuk menginsafkan orang-orang yang sudah sesat itu. Dengan kekuatan senjata, mereka jaga agar jangan sampai ada seorang pun di antara penduduk yang menangkap ikan pada hari Sabtu itu. 
Tetapi mereka yang ingkar dan sesat itu sama-sama memprotes keras: ‘Kampung ini bukan kepunyaanmu saja, kami juga turut berhak atas kampung ini. Tetapi kenapa kamu melarang kami berbuat apa yang kami inginkan di kampung kami sendiri? Kami merdeka berbuat itu semua, lebih-lebih lagi mencari rezeki yang berupa makanan. Atau kalau kamu tidak suka kami mengerjakan apa yang kami perlukan, lebih baik kampung ini kita bahagi dua saja. Setengahnya untuk kami, kami merdeka berbuat apa saja yang kami kehendaki di kampung bahagian kami dan setengah lagi untukmu dan kamu merdeka pula berbuat apa saja yang kamu kehendaki atasnya.’ 
Untuk menghindarkan perselisihan dan pertumpahan darah, orang-orang yang beriman akhirnya suka kalau kampung itu dibahagi antara kedua-dua golongan itu. Kampung itu lalu dibahagi dua. Kedua-dua golongan di setiap kampung itu, kini merdeka berbuat sekehendak hati masing-masing. Golongan yang sudah sesat itu berkecimpungan dengan keingkaran, mereka telah melupakan Allah s.w.t dan makan makan besar setiap hari Sabtu, yang oleh Allah s.w.t telah ditetapkan hanya untuk beribadat kepada-Nya saja. 
Adapun orang-orang yang beriman selalu menasihatkan kepada sesama mereka, agar jangan meniru perbuatan salah dari orang-orang yang sesat itu, kerana itu akan berakhir dengan dosa dan petaka yang diakhiri dengan seksaan Allah s.w.t yang sebesar-besarnya. Setelah semua anjuran itu oleh golongan yang sesat tersebut tidak diacuhkan sama sekali, akhirnya perbuatan mereka itu dibiarkan saja, diserahkan kepada Allah s.w.t saja untuk menghukumnya. 
Tetapi Nabi Daud tidak mahu membiarkan begitu saja orang melanggar perintah Allah s.w.t. Nabi Daud terus menerus menasihati mereka, agar mereka kembali kepada ajaran Nabi dan agama-Nya. Tetapi mereka hanya menggelengkan kepalanya, bahkan mengejek-ejeknya pula. 

Diserahkan Kepada Allah

Akhirnya Nabi Daud tidak dapat membiarkan dan tidak dapat pula memberi nasihat lagi. Masalah ini diserahkannya kepada Allah s.w.t semata-mata, dengan doa agar Allah s.w.t-lah yang mengajar orang-orang yang sudah sesat itu. 
Orang-orang yang ingkar itu rupanya menjadi semakin ingkar dan semakin tamak dalam hidup, akhirnya mereka mengerjakan segala macam dosa dan noda dalam kehidupan seharian. Tabiat mereka berubah menjadi seperti kera atau beruk, tidak tahu akan halal dan haram, tidak kenal akan permatang atau pagar. Akhirnya bukan hanya tabiat saja yang buruk begitu rupa, tetapi rupa dan bentuk mereka juga jadi buruk. Tabiat yang kasar dan dosa yang terlalu banyak, telah merubah bentuk rupa mereka juga, menyerupai kera atau beruk, menjadi binatang yang melompat dari dahan ke dahan, dari pokok ke pokok. 


Pada suatu hari terjadilah gempa besar di kampung itu. Dengan gempa besar itu, semua kaum Mukminin, keluar dari rumah-rumah mereka minta perlindungan dari Allah s.w.t. Adapun orang-orang yang sudah sesat itu, masih tetap makan-makan besar dengan hasil penangkapan ikan mereka pada hari Sabtu itu. Akhirnya datang lagi gempa yang kedua, ketiga, keempat berturut-turut tidak putus-putusnya, yang semakin hebat dan dahsyat. Dengan gempa yang dahsyat itu, lenyaplah semua orang yang ingkar tersebut, terpelanting ke dalam laut, ditimpa oleh batu-batu dan rumah-rumah yang runtuh, sedang orang-orang yang beriman tetap selamat, berkat perlindungan dari Allah s.w.t. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA