SMAHADZIR
SEKIRANYA benar apa yang dikatakan oleh Hisyam bin
Muhammad bin as-Saib al-Kalby, bahawa Nabi Adam dan Hawa mula diturunkan Allah
s.w.t ke permukaan bumi, di daerah pergunungan yang paling subur bernama Gunung
Nut, India. Sedang menurut Ahmad Zaky, Gunung Nut itu nama aslinya adalah
Gunung Rahun, di mana Nabi Adam pertama kali diturunkan. Di sanalah Nabi Adam
dan Hawa hidup dan berketurunan.
Hidup Berpindah-randah
Di antara keturunan Nabi Adam dan Hawa ada yang
hidup berpindah-randah, tentu saja dengan tujuan mencari tempat yang lebih
baik, udara yang lebih nyaman, atau penghasilan yang lebih mudah
mendapatkannya. Dengan jalan begitu, manusia makin lama makin ramai jumlahnya,
dan daerah yang mereka diami semakin luas pula, berkembang ke Timur dan ke
Barat, ke Utara atau ke Selatan. Beberapa abad kemudian, dunia ini menjadi
ramai dan semakin ramai.
Pada abad pertama hingga kelima menurut
Said yang diambil dari perkataan Qatadah (sahabat Rasulullah s.a.w.), mereka
boleh dikatakan hidup dalam keadaan aman dan tenteram, dengan kepercayaan yang
sesuai dengan ajaran Nabi Adam dan Hawa yang sangat giat menunjukkan kepada
anak keturunannya agar jangan sampai tersesat dan celaka, seperti apa yang
sudah terjadi antara adik dan kakak yang bernama Qabil dan Habil. Tetapi dalam
abad-abad yang berikutnya, iaitu kira-kira pada keturunan yang kelima atau
keenam dari Nabi Adam dan Hawa, mulailah timbul kerosakan dalam kepercayaan
mereka.
Ajaran Nabi Adam dan Hawa nenek moyang
mereka, sudah mereka lupakan. Lalu timbullah berbagai-bagai kerosakan,
kekacauan atau perselisihan antara mereka. Diriwayatkan oleh Atiyah dari Ibnu
Abbas r.a., bahawa manusia ketika wafatnya Nabi Adam semuanya baik dan beriman,
tetapi kemudian hampir seluruhnya menjadi seperti binatang-binatang yang tidak
mempunyai akal. Dan kerana itulah Allah s.w.t lalu mengutus Nabi-nabi dan
Rasul-rasul, untuk membimbing mereka, dengan memberi khabar gembira dan
ancaman.
Nabi pertama yang diutus Allah s.w.t,
iaitu Nabi Idris a.s kira-kira pada abad keenam sesudah Nabi Adam. Tetapi Nabi
Idris ini mereka dustakan, hingga Nabi Idris ini diangkatkan Allah s.w.t ke
Tempat Tinggi (wafat). Sepeninggalan Nabi Idris a.s, di antara manusia yang
hidup kafir dan jahat seperti binatang itu, ada pula beberapa orang yang hidup
secara baik, sehingga mereka dicintai oleh kaum kerabat dan orang-orang yang
ada di sekitar mereka. Di antara mereka itu ada lima orang yang amat masyhur,
iaitu yang bernama: Wad, Suwaa, Yaghuth, Yauuq dan Nasr.
Menurut Hisyam, kelima-lima orang yang baik
ini mati serentak berturut-turut dalam satu bulan, sehingga menyebabkan
kegemparan yang amat sangat bagi keluarga dan orang-orang yang mencintai
mereka. Kemudian salah seorang dari kerabat yang sangat cinta mengusulkan
kepada teman-teman dan kaum kerabat, agar bagi kelima-lima orang baik yang
telah meninggal dunia itu, dibuatkan gambar berupa patung yang menyerupai
mereka, sekadar untuk kenang-kenanganan supaya dapat melepaskan rindu hati
terhadap mereka. Usul ini diterima orang ramai dengan gembira.
Lalu dicarilah orang-orang yang pandai melukis
dan memahat atau mengukir. Mereka membuat lima patung (berhala) yang pertama di
dunia ini, yang masing-masingnya diberi nama dengan nama-nama dari orang yang
meninggal dunia itu, iaitu Wad, Suwaa, Yaghuth, Yauuq dan Nasr. Begitulah,
patung-patung itu sering mereka datangi untuk melihatnya, mereka hormati,
kadang-kadang dengan upacara-upacara tertentu. Demikianlah terjadi pada abad
pertama.
Mempengaruhi Jiwa Manusia
Menurut at-Tabary, nama-nama tersebut sesudah ditakrifkan,
iaitu dibahasa-Arabkan, iaitu sesudah di-lbranikan dari bahasa aslinya. Pada
abad kedua, cara membesarkan dan menghormati patung-patung itu makin
ditingkatkan. Dalam pada itu timbullah berbagai-bagai cerita dongeng tentang patung-patung
atau berhala-berhala tersebut, cerita-cerita yang sangat mempengaruhi jiwa
manusia yang mendengarnya. Dalam abad ketiga, mulalah timbul dogma-dogma, mitos
atau kepercayaan-kepercayaan yang bersifat mistik.
Mereka katakan bahawa nenek moyang kita
sampai menghormati patung-patung itu, kerana dengan penghormatan itu
patung-patung tersebut boleh mendatangkan manfaat dan syafaat bagi mereka. Lalu
patung-patung itu mereka sembah, mereka puja-puja. Timbullah kepercayaan
menyembah patung-patung, dan patung-patung itulah tuhan, kata mereka.
Berkata Ibnul Kalby dari Ibnu Salih,
bahawa menurut Ibnu Abbas r.a. antara Nabi Adam dan Noh adalah 12 abad lamanya.
Dan pada abad kedua belas sesudah Nabi Adam ini, seluruh manusia sudah
menyembah patung-patung tersebut. Lantaran itu Allah lalu mengutus Nabi Noh
a.s. untuk memperbaiki keadaan mereka yang sudah rosak itu.
Menurut Al-Quran, umur Nabi Noh ini 950
tahun. Nabi Noh diutus Allah s.w.t menjadi Nabi dan Rasul ketika berumur 480
tahun, hingga wafatnya, iaitu dalam masa 500 tahun atau 5 abad lamanya. Nabi
Noh a.s. dengan segiat-giatnya, tanpa mengenal erti letih, siang dan malam,
terus-menerus cuba membelokkan kaumnya dari kekafiran menyembah patung-patung
tersebut. Tetapi amatlah sukarnya, terlalu sedikit hasilnya. Dalam masa 5 abad
itu, hanya berjaya mendapat pengikut 70 atau 80 orang saja, yang semuanya
terdiri dari orang-orang yang lemah dan melarat.
Nabi Noh adalah seorang yang fasih berkata-kata,
tajam pemikiran atau akalnya, dapat menangkis kalau berdebat, bersifat sabar
dan tenang. Sungguhpun begitu, setiap kali Nabi Noh membawa mereka kepada
menyembah Allah s.w.t, maka mereka menentangnya; setiap kali diperingatkan akan
azab dan seksa Allah s.w.t, mereka menutup anak telinga masing-masing; setiap
kali diberi khabar suka dengan Syurga Allah s.w.t, bahkan mereka menyombong dan
mengejek serta cuba membantah seruan Nabi Noh.
Dengan sabar dan tidak putus asa, Nabi
Noh menghadapi mereka. Bukan sekali dua kali, bukan dalam waktu sebulan atau
dua bulan, atau setahun dua tahun, tetapi dalam waktu berpuluh, bahkan beratus
tahun. Hampir seluruh umur yang diberikan Allah s.w.t kepada Nabi Noh yang usianya
950 tahun itu, digunakan dengan segiat-giatnya untuk membelokkan kekafiran kaumnya
itu. Dengan kesabaran dan keterangan-keterangan yang terang dan jelas, dengan
kepandaian berkata-kata dan berbicara, dengan membawakan alasan-alasan yang
lengkap. Langit dan bumi, siang dan malam, laut dan darat, digunakan Nabi Noh
sebagai alasan dan bukti atas keagungan Allah s.w.t atas kekuasaan-Nya, dan
atas keesaan Allah s.w.t.
Sedikit sekali mereka yang percaya kepada
Nabi Noh dan mengiakan pengajarannya. Tidak sesuai dengan jumlah manusia, tidak
sesuai dengan kegiatan dan kebijaksanaan yang sudah diberikan Nabi Noh. Tidak
lebih jumlah mereka yang menurut ini daripada 80 orang saja. Yang lain tetap engkar,
tidak percaya, tetap membantah dan membesarkan diri, mengejek dan
sebagainya.
Reaksi dari mereka yang engkar itu bukan
semakin berkurang, malah bertambah hebat dan meningkat juga. Mereka berkata kepada
Nabi Noh: ‘Bukankah engkau manusia biasa seperti kami juga, buat apa kami
mengikuti engkau. Kalau diutus kepada kami seorang Malaikat, barangkali dapat
kami mengikutnya, mengiakan katanya. Bukankah orang-orang yang mengikuti engkau
itu, orang-orang yang rendah dan bodoh belaka. Sedangkan kami ini orang-orang
yang mulia, berkedudukan dan pekerjaan yang tinggi-tinggi, tidak mengharapkan
fikiran dan pertolongan orang lain, cukup kepandaian dan kepintaran engkau
sendiri, ya Noh, bukan lebih dari kami tentang harta, tentang akal dan fikiran,
tentang pemandangan, bahkan engkau kami pandang orang yang dusta.’
Semua itu dijawab oleh Nabi Noh dengan
jawapan yang tegas dan tepat, dengan keterangan-keterangan yang dapat
melemahkan dan mengalahkan hujah mereka: ‘Dapatkah gerangan kamu memutar jalan
matahari dengan kepandaianmu, atau mencapai bintang dengan tanganmu? Dapatkah
kamu beroleh terang kalau tidak kerana matahari yang diciptakan Allah s.w.t.
Dapatkah kamu hidup kalau tidak dengan udara yang dijadikan Allah s.w.t?’
Mereka menjawab lagi dengan sanggahan
yang baru dan dibuat-buat: ’Kalau engkau benar-benar orang yang mencintai
sesama manusia, cintailah orang-orang yang telah mengikutimu itu saja, sedang
kami biarkanlah saja, kerana kami tidak akan dapat mengikuti jejak mereka, kami
tidak dapat menganut agama yang mereka anut yang engkau ajarkan itu, di mana
disamakan sang raja-raja dengan rakyat murba, orang-orang yang mulia dengan
orang yang hina-dina, orang yang kaya dengan orang-orang yang miskin.’
Nabi Noh menjawab: ‘Bahawa agama ini buat
kamu sekalian, dengan tidak mengecualikan yang pintar dan yang bodoh, yang jadi
raja dan yang jadi hamba, yang berkuasa dan dikuasai, yang kaya dan yang
miskin.’
Debat ini bertambah sengit. Nabi Noh
menghadapinya dengan sabar dan tenang saja, tetapi mereka rupanya telah sempit
dada, lalu berkata kepada Nabi Noh: ‘Hai Noh, engkau sudah berdebat dengan kami,
dan telah lebih dari cukup banyaknya, datangkanlah kepada kami (seksa) yang
engkau katakan itu, kalau engkau orang yang benar.’
Nabi Noh menambah lagi dengan sabar: ‘Sungguh
kamu orang-orang yang bodoh sekali, kamu minta seksaan Allah s.w.t, bukan
rahmat Allah s.w.t yang kamu tuntut. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t berkuasa
atas tiap-tiap sesuatu. Kalau Allah s.w.t menghendaki akan diseksanya kamu, dan
kalau Allah s.w.t suka datanglah seksaan itu selekas-lekasnya kepada kamu, di
mana kamu pasti menyesal nanti.’
Sebaik habis perdebatan itu, Nabi Noh
bermunajat dan berdoa kepada Allah s.w.t, mengemukakan perasaan hati dan
bermohon ampun atas kelemahannya, minta petunjuk-petunjuk yang baru, sambil
mengeluh dan mengadu. Akhirnya Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Noh: ‘Tidak
akan beriman kaummu itu selain orang-orang yang telah beriman itu, dan
janganlah kamu berputus asa atas apa-apa yang mereka lakukan. Sebaik habis
berjuang dan berusaha, dengan kesabaran yang ada padanya, akhirnya Nabi Noh
berdoa kepada Allah s.w.t: ‘Ya Allah, janganlah dibiarkan tinggal di bumi
ini orang-orang yang engkar seorang pun, sebab kalau engkau biarkan mereka
tinggal, mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka akan menurunkan keturunan
yang jahat dan engkar saja.’
Doa Nabi Noh ini didengar oleh Allah
s.w.t, dan dikabulkan-Nya, lalu berfirman: ‘Engkau buatlah kapal dengan
pertolongan dan petunjuk-petunjuk Kami dan janganlah engkau pohonkan
pertolongan kepada-Ku tentang nasib orang-orang yang zalim itu, mereka semuanya
akan tenggelam.’
Ejekan Dan Penghinaan
Nabi Noh mulai membina kapal dengan menggunakan kayu
dan paku, di suatu tempat dekat kota. Dan setiap orang yang lalu di tempat itu,
selalu mengejek dan memperolok-olokkannya dengan berbagai-bagai kata dan
bicara, Ada yang berkata: ‘Engkau selama ini, hai Noh, mendakwakan yang engkau
Nabi dan Rasul; kenapa setakat ini kami lihat engkau menjadi tukang kayu? Apa
engkau sudah bosan menjadi Nabi dan ingin menjadi tukang kayu pula?’
Ada pula yang mengejek: ‘Apa gunanya
kapal yang engkau buat itu, sedang di sini tidak ada laut dan sungai? Apakah
engkau akan tarik dengan lembu kapal itu atau akan engkau terbangkan di udara?’
Di bawah serangan ejekan itu Nabi Noh
terus bekerja dan hanya berkata: ‘Bila kamu tetap mengejek kami, kami akan
mengejek kamu pula nanti seperti kamu mengejek kami ini, dan akan kamu ketahui
sendiri nasibnya orang-orang yang kena seksa itu, sedang seksaan itu pasti akan
terjadi.’
Nabi Noh dan pengikutnya terus bekerja,
sehingga sempurnalah pembikinan kapal tersebut. Hanya sekarang menunggu
bagaimana perintah Allah s.w.t selanjutnya. Dalam pada itu Allah s.w.t telah
mewajibkan kepada Nabi Noh, agar bila seksa itu telah datang, Nabi Noh dan
pengikut-pengikutnya segera naik ke atas kapal itu, dengan membawa semua orang
yang beriman dan binatang ternakan yang berpasang-pasangan.
Terbukalah pintu-pintu langit, sehingga
dari langit itu tercurah air sebesar-besarnya jatuh ke bumi, sedang dari bumi
terpancar sumber-sumber air yang besar-besar, sehingga dalam sebentar waktu saja
permukaan bumi digenangi air banjir yang luar biasa hebatnya, menggenangi tanah
yang tinggi dan yang rendah. Air banjir semakin naik sehingga telah mencapai
rumah-rumah dan bukit-bukit, sedang Nabi Noh dan pengikut-pengikutnya ketika
itu telah berada di atas kapal yang mereka bina selama ini.
Dengan kegemparan yang luar biasa, manusia-manusia
engkar itu pun berlompatan ke sana sini tidak keruan tujunya seperti
segerombolan keldai dikejutkan oleh singa, menjerit melolong-lolong,
menghindarkan diri masing-masing dari bahaya maut. Ada yang naik ke atas atap rumah-rumah
tetapi tercapai juga oleh air banjir, ada yang naik memanjat batang kayu yang
tinggi, tetapi akhirnya tenggelam juga, ada pula yang berenang menuju ke bukit
yang tinggi-tinggi yang menurut kiranya tidak akan tercapai oleh banjir yang
bagaimana pun hebatnya.
Ketika Nabi Noh berdiri di tempat yang
tertinggi di atas kapalnya, mata Nabi Noh terpandang kepada seorang anaknya
yang bernama Kanan, anak yang engkar yang tidak tunduk kepadanya sedang
berjuang dengan maut menggapai-gapai mencari tempat yang tinggi. Cinta kepada
anak memaksa Nabi Noh memanggil anaknya yang malang itu, panggilan yang
penghabisan: ‘Hai, anakku! Mari bersama kami, janganlah engkau bersama
orang-orang yang kafir itu! Seruan yang penghabisan ketika yang genting begitu
rupa itu pun tidak dapat diterima oleh otak dan perasaan anak yang derhaka tersebut,
kerana beliau masih percaya akan dapat menghindarkan dirinya dari seksaan yang
nyata itu dengan kekuatan dan fikiran yang ada padanya. Seruan bapanya itu
dijawab dengan sombong pula: ‘Aku akan mencapai puncak gunung yang tinggi itu,
sehingga aku akan terlepas dari banjir ini.’
Nabi Noh berkata lagi kepadanya, ya, kerana
cinta kepada anak sendiri: ‘Hari ini tidak ada yang dapat melindungi dari
seksa, selain Allah s.w.t Yang Maha Pengasih.’ Anak itu pun lenyap ditelan
ombak yang sedang bergulung-gulung, tinggallah Nabi Noh melihat dengan sedih
dan berkata: ‘Ya Allah, bukankah anakku itu termasuk keluarga aku sendiri?’
Allah s.w.t menurunkan ilham kepada Nabi
Noh, bahawa anak itu bukan ahlimu lagi dan tidaklah termasuk menjadi keluargamu
sesiapa saja yang kafir dan derhaka: ‘Kami hanya berhak menolong orang-orang
yang beriman saja.’ Allah s.w.t ilhamkan pula kepada Nabi Noh, agar Nabi Noh
jangan minta minta lagi kepada Allah s.w.t tentang apa yang tidak diketahuinya
dengan berfirman: ‘Aku ajari engkau (ya Nabi Noh) tentang apa yang engkau masih
jahil.’
Nabi Noh insaf akan ajaran yang diterimanya
dari Allah s.w.t lalu menengadahkan kedua telapak tangannya bersyukur kepada Allah
s.w.t yang telah memelihara kaumnya yang beriman terlepas dari seksa, lalu Nabi
Noh bermohon ampun atas segala dosa dan kesalahannya: ‘Aku berlindung diri
kepadamu, ya Tuhanku, atas apa-apa yang sudah aku mohon yang aku sendiri tidak
tahu betul, dan kalau Engkau tidak beri ampun atas aku, sungguh aku akan
tergolong orang-orang yang rugi.’
Banjir dahsyat dan gelombangnya yang
bergulung itu telah menelan semua manusia yang engkar. Langit mulai tertutup
dan berhenti mencurahkan air, sedang bumi telah menghisap semua air yang ada di
atas datarannya. Kapal Nabi Noh berhenti di atas puncak Gunung Judy yang hingga
sekarang orang-orang pintar sedang mencari kesan-kesannya. Nabi Noh dan para
pengikutnya kembali ke kampong halaman masing-masing menghirup udara baru yang
penuh dengan berkat dan pertolongan Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan