SMAHADZIR
TERSEBUTLAH bahawa pada ketika itu, hari sudah pagi,
matahari telah mengembangkan sayapnya menyelubungi seluruh alam. Nabi Yusuf
terbangun dari tidurnya sejak subuh tadi dengan muka yang berseri-seri, kerana
kini selain udara pagi yang enak dan nyaman, cahaya matahari kini berkemilauan
dan juga kerana dalam tidurnya semalam baginda bermimpi menarik sekali. Sambil
tersenyum manis baginda pergi mendapatkan bapanya Nabi Yaakub bertanyakan kalau-kalau
ada khabar baik dari mimpinya itu: ‘Ya bapau, aku sudah bermimpi malam tadi,
sebuah mimpi yang sangat baik, lantaran itu aku sangat berbesar hati, senang
perasaan. Dalam mimpi itu aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan
kesemuanya sujud kepada aku. Cubalah bapa terangkan kepada aku akan takwil
mimpi itu, kerana aku tidak tahu akan takwilnya.’
Mendengar mimpi anaknya yang sebaik itu,
Nabi Yaakub tersenyum gembira lalu berkata: ‘Hai, anakku! Mimpimu itu adalah
mimpi yang benar, menjadi kenyataan sekarang apa yang aku sangka-sangkakan
selama ini terhadap dirimu, dan segala sesuatu yang aku harap-harapkan atasmu.
Itulah dia khabar gembira dari Allah s.w.t yang akan mengistimewakan engkau
dalam pengetahuan, akan memberi engkau nikmat-Nya yang banyak. Sebagaimana juga
nenek-nenekmu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak sendiri dahulu sebelum kamu ini. Aku
menasihatkan kepadamu, agar engkau jangan sekali-kali menceritakan mimpimu itu
kepada saudara-saudaramu, sebab aku tahu bahawa saudara-saudaramu itu telah
menaruh hati yang buruk terhadap dirimu dan saudaramu, Bunyamin, lantaran aku
mengistimewakan engkau berdua dalam asuhanku.’
‘Aku sudah mendengar sendiri pada hari
ini bahawasanya saudara-saudaramu itu telah membicarakan hal kamu berdua dengan
pembicaraan yang sungguh tidak enak didengar. Kalau engkau ceritakan pula
mimpimu kepada mereka, pastilah akan bertambah kedengkian mereka, mungkin kebencian
mereka akan bertambah-tambah kepadamu berdua, mungkin pula mereka akan
memperdayakan engkau dengan berbagai-bagai jalan dan akal, maklumlah mereka itu
sudah dipengaruhi oleh syaitan, sedang syaitan itu adalah musuh yang sebesar-besarnya
bagi manusia.’
Nabi Yusuf adalah anak yang luar biasa di
antara anak-anak Nabi Yaakub yang ramai itu, kerana bagus dan elok rupanya,
baik perangainya, dalam pemikirannya dan luas pengetahuannya. Ibunya (Rahil)
meninggal dunia ketika baginda dan Bunyamin Bunyamin masih kecil, masih berumur
dua belas tahun saja. Kerana kematian ibunya inilah, maka bapanya Nabi Yaakub
sangat cinta terhadap kedua-dua anaknya ini, iaitu Nabi Yusuf dan Bunyamin.
Itulah yang menyebabkan saudara-saudaranya yang lain dengki dan iri hati
terhadap kedua-dua saudara yang tidak beribu ini. Lebih-lebih lagi setelah
Yaakub mendengar dan mengetahui akan mimpi Nabi Yusuf itu, semakin bertambahlah
sayangnya kepada Nabi Yusuf dan semakin bertambah pula pengawasannya untuk
keselamatan Nabi Yusuf bersama Bunyamin. Hal ini menyebabkan bertambah
kebencian saudara-saudaranya terhadap Nabi Yusuf sendiri berserta Bunyamin
itu.
Kedengkian Tidak Dapat
Ditutup
Walau bagaimanapun, kebencian dan kedengkian itu
tidak dapat ditutup dan disembunyikan sama sekali. Begitu juga rasa cinta
terhadap seseorang, sebagaimana rasa sayang Yaakub kepada Nabi Yusuf dan Bunyamin
pun tidak dapat ditutup dan disembunyikan; pasti ketahuan dan kelihatan juga.
Begitulah, saudara-saudara Nabi Yusuf itu semuanya sudah mengetahui betul akan
sikap bapa mereka terhadap Nabi Yusuf dan Bunyamin. Nabi Yusuf dan Nabi Yaakub
sendiri mengetahui benar akan perasaan saudara-saudara Nabi Yusuf
terhadapnya.
Pada suatu hari, mereka yang dengki dan
benci kepada Nabi Yusuf itu berkumpul dan bermesyuarat. Sama-sama mengemukakan
perasaan masing-masing atas peri laku bapa mereka yang dianggapkan tidak adil
itu. Salah seorang di antara mereka berkata: ‘Sudah sama-sama kita lihat
sendiri, bahawa Nabi Yusuf dan Bunyamin lebih disayangi oleh bapa kita
berbanding dengan kita semua.’
‘Aku tidak mengerti, apakah yang telah
menyebabkan bapa kita berperangai demikian, bukankah kita sekalian ini yang
besar dan tua dari Yusuf dan Bunyamin, kitalah yang lebih kuat, bukankah kita
sudah banyak berjasa menjaga dan memelihara Yusuf sendiri, tetapi kenapa dia
yang lebih disayangi? Apakah kerana Yusuf lebih mulia daripada kita? Dan tidak
ada keterangan yang dapat aku percayai yang menyatakan bahawa Yusuf lebih
mulia. Apakah kerana Rahil, ibunya lebih dekat di hati bapa daripada ibu-ibu
kita sendiri? Kalau begitu apa kesalahan si anak meskipun berlainan kecintaan
terhadap ibu-ibu kita? Kalau begitu bapa kita sungguh-sungguh keliru sekali.’
Berkata pula seorang yang lain: ‘Kelebihan
bapa terhadap Yusuf sudah terang, seperti terangnya matahari tengah hari.
Kesayangan itu timbul dalam hati dan sangat berkuasa. Kesayangan itu tidak
dapat dihilangkan hanya dengan kata-kata dan pujukan, tidak dapat dengan
kepintaran akal sebab cinta itu berdiri atas akal itu sendiri. Selama Yusuf
masih berada dalam lingkungan keluarga kita, selama itulah cinta bapa kepadanya
akan terus berlangsung, sebaliknya kita akan di ketepikan. Tidak ada jalan lain
yang dapat melaksanakan niat kita, kecuali menghapuskan Yusuf dari pergaulan
kita, dengan membunuhnya dan menghilangkan semua bukti atas pembunuhan itu,
atau kita bawa dia ke tempat yang jauh, kita berikan kepada binatang buas atau
kita kuburkan hidup-hidup di gurun pasir yang panas itu. Lama kelamaan sayang bapa
kepada kita akan timbul dengan sendirinya, kerana Yusuf yang dicintainya sudah
tidak ada lagi. Kemudian kita mohon ampun kepada Allah s.w.t atas semua dosa
yang kita lakukan itu. Sesudah itu kita tidak akan berbuat jahat lagi.’
Lalu tampil pula ke depan untuk berbicara
iaitu Yahuza, seorang yang paling baik hatinya di antara kesemua adik beradik
itu, paling dalam pemikirannya dan tajam pula otaknya: ‘Kita sekalian adalah
anak Nabi Yaakub, keturunan dari Nabi Ibrahim yang mulia. Kita mempunyai akal
dan agama. Pembunuhan tidak dibenarkan oleh akal dan dilarang keras oleh agama.
Sedang Yusuf tidak bersalah sedikit pun, tidak pernah berdosa, juga tidak
pernah berbuat tidak baik terhadap kita. Bila kamu sekalian ingin menjauhkan Yusuf
dari kita, bawa sajalah dia ke telaga Jub, yang letaknya jauh dari sini, tempat
orang singgah mengambil air. Tinggalkan Yusuf
di telaga itu, agar dia diambil orang-orang yang lalu lintas di sana sebagai
anak angkatnya. Biar dibawa orang itu ke mana mereka pergi, sehingga Yusuf
tidak dapat kembali ke tengah-tengah kita buat selama-lamanya. Dengan jalan
begini, kita terhindar dari dosa pembunuhan’ Pandangan Yahuza ini masuk akal
mereka, mereka lalu sepakat akan menjalankannya selekas mungkin.
Pagi-pagi lagi keesokan harinya, mereka
pergi bersama-sama mengunjungi Nabi Yaakub, lalu berkata: ‘Ya, bapa kami!
Percayalah bapa kepada kami tentang Yusuf. Dia adalah saudara kami sendiri,
anak bapa semuanya. Kami cinta kepadanya sebagaimana sayang bapa sendiri
terhadapnya. Biarkanlah besok pagi dia pergi bersama-sama kami ke bukit itu, di
mana udara agak sejuk dan pemandangannya indah, dengan langit yang bersih tidak
berawan, matahari yang bersinar. Kami ingin bermain-main dengan dia, bersama-sama
memanjat memetik buah, menggembala kambing. Kalau bapa izinkan, kami sekalian
akan bertanggungjawab atas keselamatannya, kekuatan dan keberanian kami akan
menjaganya, jiwa kami sekalian menjadi pertaruhannya.’
Mendengar perkataan itu, Nabi Yaakub
menjawab: ‘Aku bimbang akan terjadi sesuatu akibat yang kurang baik, yang tidak
diinginkan. Aku tidak berkeberatan Yusuf jauh dari aku, yang aku bimbangkan
takut kalau-kalau kamu pergi dengan dia kamu terlalai, lalu dia ditangkap
serigala dan dimakannya; kamu kembali tanpa Yusuf, tentu aku berhati sedih.’
Mereka menjawab pula: ‘Apakah dia akan
ditangkap serigala, sedang kami semua menjaganya? Tidak seorang pun di antara
kami ini penakut dan berbadan lemah. Bila terjadi apa yang bapa bimbangkan itu,
kami sekalian turut kehilangan saudara kami sendiri.’
Kendatipun tetap bimbang, tetapi Yaakub
tidak dapat menjawab pembelaan mereka, selain hanya berkata: ‘Kalau begitu
jagalah Yusuf baik-baik jangan dilalaikan sedikit pun dari penglihatan dan apa
yang kamu kerjakan Allah s.w.t-lah yang mengetahuinya.’
Keesokan harinya, mereka membawa Nabi
Yusuf bersama-sama ke tempat yang jauh sejauh-jauhnya, menuju ke telaga yang
sudah ditentukan mereka. Sebelum sampai ke telaga, niat mereka yang buruk itu
tidak dapat mereka bendung lagi, kerana desakan hati yang jahat, kedengkian
yang memuncak. Setelah sampai di telaga, Nabi Yusuf ditelanjangi dan mereka
masukkan ke dalamnya. Mereka lalu pulang sambil membawa bajunya, Yusuf
ditinggalkan sendirian di dalam telaga yang dalam, menunggu nasib takdir Ilahi
atas dirinya.
Dengan jalan begitu menurut sangka
mereka, mereka telah dapat mengubati sakit hati selama ini; mereka menyangka
bahawa lama kelamaan bapa mereka akan melupakan Nabi Yusuf dan tidak akan
mengingatinya lagi, mereka lupa akan kekuasaan Allah s.w.t. Mereka lupa bahawa Allah
s.w.t selalu dapat melepaskan hamba-Nya yang tidak bersalah, melindungi orang
yang Dia kehendaki.
Tatkala senja hari, mereka sudah kembali
di rumah; lalu datang menemui bapa mereka dengan kata-kata dan kalimat yang
sudah mereka susun, untuk membohongi orang tua tersebut. Dengan bertangisan
tersedu-sedu, sambil memegang baju Yusuf yang sudah dilumuri dengan darah yang
mereka cari sendiri untuk berbohong, lalu berkata: ‘Ya, bapa kami! Rupanya
terjadi juga apa yang bapa bimbangkan itu. Yusuf terlalai sebentar dari
pandangan mata kami kerana kami berjalan dahulu. Tidak kami ketahui, bahawa tatkala
itu seekor serigala telah menerkam Yusuf, lalu memakannya. Hanya tinggal
bajunya yang sudah berlumuran darah saja. Inilah bajunya itu, sebagai bukti
dari apa yang kami terangkan. Kami amat sedih. Barangkali juga bapa tidak
percaya kepada kami, kendatipun kami berkata benar.’
Yaakub menjawab dengan sedihnya: ‘Nafsu
kedengkian kamu telah menyebabkan kejadian yang mengerikan ini. Kejadian itu
sudah terjadi. Tidak ada yang lebih baik bagiku selain bersabar, sampai datang
saatnya nanti, di mana akan ternyata apa sebenarnya yang terjadi. Hanya kepada Allah
s.w.t aku mohon pertolongan atas segala-galanya.’
Satu Ujian Yang Berat
Di dalam telaga yang dalam, yang terletak jauh di tengah-tengah
padang pasir, gelap dan sunyi pula, sungguh merupakan satu ujian yang berat
bagi insan yang bernama Yusuf. Memang sudah menjadi kudrat dan iradat Allah
s.w.t Yang Maha Kuasa, untuk menguji hamba-Nya yang taat dan berbakti kepada-Nya
dengan berbagai-bagai cubaan yang berat. Bukan dengan maksud menyeksa dan
menyakitinya. Dengan pengertian beginilah kita harus memahami akan segala nasib
dan musibah yang menimpa diri berbagai-bagai Nabi, Rasul dan orang-orang suci
lainnya.
Dibandingkan dengan lain-lain ujian yang
pernah diderita oleh para Nabi dan Rasul, mungkin cubaan yang dialami Nabi
Yusuf ini agak ringan juga. Hanya yang paling berat dirasakan oleh Nabi Yusuf,
adalah kerana yang melakukan pekerjaan ini terhadap dirinya bukanlah orang
lain, tetapi adalah adik beradiknya sendiri dan sedarah dengan baginda yang
menjadi musuhnya. Nabi Yusuf tetap tenang dalam telaga yang gelap dan dalam
itu, sebagai seorang yang mulia, tahan uji serta tabah.
Matanya mulai melihat keliling dinding
telaga yang curam dan dalam. Tidak ada yang dapat dilihatnya kerana gelap,
selain air yang tenang dan jernih dari telaga itu. Bagaimana perasaan Yusuf dan
apakah gerangan yang menjadi pemikirannya ketika itu, susah kita menekanya.
Yang terang, ingatannya selalu pergi kepada bapanya yang begitu sayang dirinya.
Terbayang dalam fikiran Nabi Yusuf bagaimana sedih bapa yang ditinggalkannya,
sedih yang tidak dapat dibayangkan dengan pena atau lisan.
Lapar pun mulai menyerang perutnya.
Tetapi di mana dia akan beroleh makanan? Dan berapa lamakah dia akan dapat
menahan lapar? Semuanya itu diserahkannya bulat-bulat kepada Allah s.w.t Yang
Maha Kuasa lagi Amat Bijaksana. Dalam menanggung rasa sedih dan lapar yang
sedang memuncak itu, tiba-tiba terdengar jelas wahyu Ilahi menembusi jiwanya: ‘Sabar
dan tabahlah engkau, hai Yusuf! Aku Tuhanmu akan memberi jalan lepas kepadamu,
Aku pertemukan engkau dengan saudara-saudaramu itu, tetapi sesudah bertahun-tahun
kemudian.’
Setelah menerima wahyu yang demikian
bunyinya, hilanglah kesedihan dan kesengsaraan batin yang diderita Yusuf. Baginda
menunggu bagaimana caranya bantuan Allah s.w.t itu datang kepadanya. Sejurus
kemudian, telinganya mulai mendengar detak-detik, gerak dan geri di atas padang
pasir sekitar telaga itu. Telinganya dipasangnya sebaik-baiknya
Terbukti bahawa suara itu semakin dekat
dan semakin terang. Akhirnya ternyata bahawa suara itu adalah suara tapak kaki
manusia yang sedang berjalan. Ternyata akhirnya, bahawa dekat tempat itu sedang
lalu satu kafilah, iaitu rombongan musafir unta di padang pasir. Bibir Nabi Yusuf
mulai memperlihatkan senyuman, kembang harapan mulai merekah dan terbuka dalam
kalbunya. Saat terlepas rupanya sudah dekat waktunya.
Terdengar jelas, para musafir itu
melepaskan tongkat mereka di tepi telaga itu, tanda bahawa mereka mengambil
tempat itu sebagai tempat istirahat. Terdengar pula suara pemimpin kafilah
memerintahkan seseorang untuk mengambil air dari telaga itu untuk melepaskan dahaga
mereka serta dahaga unta-untanya.
Sebuah gayung air yang besar meluncur
dari atas ke dalam telaga itu, tepat jatuhnya di hadapan Nabi Yusuf; dengan
segera Nabi Yusuf merangkul gayung itu serta berpegang dengan kedua tangannya
pada tali gayung. Tali ditarik orang ke atas, akhirnya tiba di permukaan bumi.
Baru saja orang yang menarik gayung itu melihat wajah Nabi Yusuf yang sedang
berpegang pada tali gayung itu, dia menjerit sekuat hatinya kerana gembira: ‘Nah,
alangkah untungnya, ini adalah seorang anak, anak yang cantik molek.’ Segera Nabi
Yusuf dikerumuni oleh semua manusia yang turut dalam rombongan kafilah itu.
Dengan riang gembira dan penuh kehairanan, dari mana datangnya anak ini.
Akhirnya mereka sepakat akan menjual Nabi
Yusuf, bila sudah tiba di kota yang mereka tuju; kerana begitu kehendak
sebahagian mereka yang ingin mendapatkan keuntungan untuk diri sendiri, kendatipun
ada pula di antaranya yang berperikemanusiaan, ingin mengembalikan Nabi Yusuf
kepada orang tuanya, atau ingin menjadikan Nabi Yusuf sebagai anak angkat.
Kafilah itu lalu meneruskan perjalanan
menuju ke negeri Mesir. Nabi Yusuf dibawa ke pasar hamba untuk dijual. Akhirnya
Nabi Yusuf dijual dengan tidak banyak tawar menawar, hanya dengan beberapa
dirham saja. Mereka jual dengan murah, ada yang kerana kasihan dan keikhlasan
hati, ada pula yang kerana takut kalau-kalau menjadi perkara yang berpanjangan.
Yang sebenarnya seluruh kekayaan yang ada di permukaan bumi ini, belum tentu
cukup untuk harga diri Nabi Yusuf yang mulia dan suci itu. Nabi Yusuf dibeli
oleh seorang pembesar negara Mesir, yang memegang tampuk kekuasaan dalam negara
itu, Futifar namanya. Dan juga menjadi salah seorang menteri yang
terbesar.
Dengan gembira dan rasa beruntung,
pembesar itu pun segera membawa Nabi Yusuf pulang ke rumahnya, lalu ditunjukkan
kepada isterinya sambil berkata: ‘Anak ini menurut tanda-tanda yang aku lihat
pada dirinya dari keterangan tabiat dan wajahnya, adalah seorang anak yang
berasal dari orang yang mulia dan terhormat. Terimalah dia dalam kekeluargaan
kita, beri tempat yang terhormat kepadanya, jangan diperlakukan sebagai khadam,
jangan dianggap sebagai hamba belian, kendatipun dia memang kita beli sebagai hamba.
Aku yakin, bila anak ini sudah dewasa, menjadi orang yang berumur, akan memberi
manfaat kepada kita, atau mari kita ambil dia sebagai anak angkat kita sendiri.’
Isteri pembesar itu pun turut senang dan
gembira dengan adanya Nabi Yusuf di kalangannya, seperti anaknya sendiri yang
berkebetulan dia sendiri tidak punya anak.
Begitulah Nabi Yusuf tinggal di rumah itu
seperti rumahnya sendiri. Baginda turut mengerjakan segala sesuatu yang wajar
dikerjakannya, dengan rajin dan penuh dipercayai sebagai keluarga, bukan
sebagai hamba atau khadam. Baik lakunya terhadap anggota rumah tangganya, begitu
juga terhadap tetangga dan orang-orang yang berdekatan dengan baginda.
Nabi Yusuf Dalam Penjara
Nabi Yusuf masuk penjara bukanlah kerana mencuri
atau membunuh, tetapi kerana desakan dari isteri pembesar yang memeliharanya
dan kerana doanya sendiri kepada Allah s.w.t, kerana tidak tahan baginda di tengah-tengah
masyarakat yang selalu menggodanya. Sungguhpun begitu dalam penjara baginda sebilik
dengan perompak dan pembunuh, penjahat-penjahat besar yang kasar dan tidak
berbudi. Disebabkan pergaulan dengan mereka, makin kuatlah imannya, makin tabah
hati dan jiwanya, makin banyak rahsia masyarakat dapat diketahuinya, makin
besar keagungan Ilahi dapat dirasakannya.
Selama tinggal di dalam penjara itu,
waktunya selalu digunakan untuk merawat orang-orang yang sakit, memberi nasihat
kepada yang bersalah dan berdosa, mengajar berbagai ilmu dan hikmat yang suci
kepada penjahat-penjahat itu, lalu pada suatu hari datanglah kepadanya wahyu
yang pertama, menyatakan baginda diangkat Allah s.w.t menjadi Nabi dan Rasul-Nya.
Seterima wahyu yang pertama itu segera Nabi
Yusuf menjalankan tugas kerasulannya di dalam masyarakat penjara itu dengan
menyeru mereka kepada menyembah Allah s.w.t, menjauhkan kesyirikan dan
kejahatan. Dinyatakannya kepada mereka, bahawa baginda adalah Nabi dan Rasul Allah
s.w.t yang diberi perintah untuk membawa mereka ke jalan yang benar. Tiba-tiba
masuklah pula ke dalam penjara itu dua orang pemuda. Yang pertama bekas tukang
kebun raja, sedang yang kedua-dua bendahara raja. Setelah lama hidup dalam masyarakat
penjara dan merasa sengsara dan kesusahan, tiba-tiba pada suatu malam kedua-dua-dua
pemuda itu bermimpi, mimpi yang aneh dan ajaib, sehingga mereka jadi gelisah
sebelum dapat mengetahui akan takwil mimpi masing-masing.
Tidak lain yang mereka harapkan untuk
mentakwilkannya, selain dari Nabi Yusuf, kerana hanya Nabi Yusuf yang paling
mereka percayai, juga sudah mereka ketahui, bahawa Nabi Yusuf adalah Nabi dan
Rasul Allah s.w.t. Dengan kenabian dan kerasulannya itu, tentu baginda
mengetahui banyak rahsia yang ajaib, begitu juga berkenaan dengan takwil mimpi.
Pagi-pagi lagi pemuda itu telah datang menghadap Nabi Yusuf.
Mula-mula berkata tukang kebun raja
menceritakan mimpinya: ‘Aku bermimpi bahawa aku sedang berada dalam sebuah
kebun kurma yang sangat lebat buahnya, menghijau warnanya dan seakan-akan di
tangan aku ini ada sebiji gelas kepunyaan raja; dengan gelas itulah aku memeras
buah-buah kurma untuk dijadikan air anggur.’
Berkata pula orang yang kedua-dua, iaitu
bendahara raja: ‘Aku bermimpi bahawa aku membawa sebuah keranjang di atas
kepala aku yang penuh dengan bermacam-macam roti dan makanan. Tiba-tiba terbang
melayang di atas kepala aku burung-burung helang, lalu menyambar akan semua
roti dan makanan itu, dibawanya terbang ke tempat yang sangat jauh.’
Sebelum menerangkan akan takwil mimpi kedua-dua-dua
pemuda itu, Nabi Yusuf mengambil kesempatan dahulu untuk menjalankan dakwahnya
terhadap orang ramai dengan berkata: ‘Aku ini adalah Nabi dan Rasul Allah s.w.t.
Aku akan kemukakan takwil mimpi kedua-dua pemuda ini dengan apa yang diwahyukan
Allah s.w.t kepada aku, wahyu yang sudah barang tentu akan kebenarannya. Bukan
seperti tukang-tukang tenung dan nujum yang hanya menggunakan pertolongan syaitan
yang menjadi musuh Allah s.w.t, dan belum tentu kebenaran terkaan terhadap
tenungannya itu. Sekarang akan aku terangkan takwil mimpi kedua-dua pemuda
ini menurut apa yang diwahyukan Allah s.w.t kepada aku, yang boleh kamu jadikan
bukti atas kebenaran apa yang aku kata dan ajarkan kepadamu...’
‘Takwil mimpi pemuda pertama, ialah
bahawa dia segera akan keluar dari penjara ini dan kembali bekerja seperti sebelum
masuk penjara iaitu menjadi tukang kebun raja. Adapun takwil pemuda yang kedua,
ialah bahawa dia akan dihukum salib, bangkainya akan dimakan oleh burung-burung.’
Kemudian kepada pemuda yang akan keluar
dari penjara itu, Nabi Yusuf berpesan, agar disampaikan kepada raja, bahawa di
dalam penjara ini ramai orang yang tidak bersalah yang dihukum, hanya dengan
tuduhan-tuduhan yang tidak benar belaka, agar hal ini mendapat perhatian raja
sepenuhnya. Kebenaran takwil mimpi yang diterangkan Nabi Yusuf ini ternyata
kemudian dan Nabi Yusuf bertahun-tahun lamanya masih tetap merengkuk dalam
penjara.
Cubaan Yang Jauh Lebih
Hebat
Penghidupan tenang di rumah pembesar itu, Nabi Yusuf
telah dapat melupakan akibat susah hati selama dalam telaga, ataupun kesedihan bercerai
dengan bapanya yang disayangi. Baginda semakin besar dan usia remaja dengan
tampan mukanya yang manis, sifat perangainya yang baik, hidup yang teratur.
Ditambah pula dengan hiasan yang dipakaikan kepadanya semakin menarik dan
kacak. Kerana kekacakan wajah inilah menyebabkan baginda kembali merasakan
cubaan yang jauh lebih hebat dari yang sudah sudah.
Setelah Nabi Yusuf melewati zaman kanak-kanak
dan memasuki usia remaja, dengan kekacakan rupanya itu telah menyebabkan timbul
rasa yang tidak dapat dihalang dalam kalbu isteri pembesar yang memelihara Nabi
Yusuf. Menjadi impian baginya segala gerak-geri Nabi Yusuf, cara datang dan
pergi, cara berdiri dan duduk, lebih-lebih lagi cara berkata-kata, ditambah
dengan halus budi dan akhlaknya. Bahkan menarik hati cara tidur dan jaga,
gerak-geri pada waktu makan dan pada waktu minum, pendek kata segala gerak dan
diamnya.
Kasihnya selama ini terhadap Nabi Yusuf
menjadi semacam tumbuhnya cinta asmara. Dan cinta itu bila telah tumbuh, walau
macam mana penghalang pun namun ia tidak dapat dihalang. Berbeza dengan tumbuh-tumbuhan
bumi, makin dihalang makin subur tumbuhnya, makin kuat tunasnya dan makin dalam
jalan urat dan akarnya. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya menaruh cinta
terhadap Nabi Yusuf, anak angkatnya. Lebih-lebih lagi dia seorang isteri
pembesar yang paling tinggi di negara Mesir.
Bagaimanakah cara dia akan menyalurkan
cintanya ini? Inilah masalah yang besar yang dihadapinya, dan inilah masalah
yang sukar yang perlu dia pecahkan segera. Cintanya semakin mendalam hari demi
hari. Kerana hebatnya, kadang-kadang pada suatu waktu cintanya itu telah
mendesak mahu memecah benteng hawa dan nafsu. Dengan seluruh kekuatan jiwa dan
raga yang ada padanya, dicubanya menahan cinta, mengekang hawa. Inilah
perjuangan yang dihadapi dalam rumah tangga dan dalam dirinya sendiri saban
hari dan malam dengan tidak henti-henti. Kerana kerasnya mengerahkan seluruh
kekuatan dalam perjuangan ini, kelihatanlah badannya semakin kurus dan warnanya
semakin pucat. Tetapi terus memeras kekuatan jiwanya menahan serangan cinta dan
hawa nafsu tersebut.
Malang baginya, dia rupanya tidak menang
dalam perjuangan ini, tetapi kalah dan terpaksa menyerah kepada hawa nafsunya.
Ingat dia akan kedudukannya, tetapi diketepikan saja kedudukannya itu. Tahu
pula yang kerjanya itu nanti akan menggegarkan mahligai dan istana yang dia
diami itu, bahkan akan menggoyangkan seluruh tanah air Mesir yang dipimpin
suaminya. Tetapi, dia terpaksa menyerah kalah.
Mulai dia mengajak Nabi Yusuf berbicara
memujuk rayu. Tetapi Nabi Yusuf seorang yang terhormat. Akhirnya si isteri itu
penat dan bosan hanya dengan pujuk rayu, dia ingin berterus-terang kepada Nabi
Yusuf. Setelah dia memakai sebaik-baik pakaian yang ada padanya, berwangi-wangian
dengan minyak wangi yang paling tersohor harumnya, tatkala di rumahnya itu
hanya dia bersama Nabi Yusuf saja, lalu ditutuplah semua pintu dan jendela,
terus datang mendekati Nabi Yusuf dan berkata: ‘Marilah Yusuf dekati aku!’
Kendatipun Nabi Yusuf dalam usia remaja,
tetapi kerana dadanya sudah dipenuhi Allah s.w.t dengan hikmat, jiwanya sudah
dikuasai oleh wahyu Ilahi sebagai seorang bakal diangkat Allah s.w.t menjadi
Nabi, dapatlah baginda mengatasi suasana genting dan berbahaya itu.
Nabi Yusuf menjawab ajakan itu: ‘Aku
berlindung diri kepada Allah s.w.t dari apa yang engkau kehendaki itu. Jauhkan
aku akan berbuat khianat terhadap tuanku yang telah memelihara diriku ini,
tidak akan kucemarkan dia yang kuhormati ini.’ Sungguh hebat cubaan yang
dihadapi dan perlu diatasi Nabi Yusuf
Mendengar jawapan Nabi Yusuf itu dan
setelah ternyata segala daya upayanya untuk menyampaikan niatnya dengan Nabi
Yusuf tidak tercapai, timbullah marah dalam dadanya, marah yang membakar seperti
cintanya yang berkobar-kobar juga.
Timbul niat jahat dalam hatinya terhadap Nabi
Yusuf, ingin membalas dendam, kendatipun dengan cara yang jahat. Dalam berfikir-fikir
tindakan apa yang harus dilakukan Nabi Yusuf menghadapi kejadian itu, tiba-tiba
datanglah wahyu Ilahi kepadanya, di mana dinyatakan, bahawa Nabi Yusuf lebih
baik lari saja dari tempat kejadian itu. Nabi Yusuf segera menjalankan apa yang
tercatat dalam wahyu itu. Baginda lari menuju ke pintu. Tetapi bajunya dapat
dipegang oleh perempuan itu dari belakang sampai koyak!
Tepat ketika itu tuan rumah (pembesar)
datang dan membuka pintu dari luar, kelihatan dengan dua mata kepalanya sendiri
apa yang sedang terjadi dalam rumahnya, antara Nabi Yusuf dan isterinya.
Keadaan sungguh meragukan terhadap si suami, siapakah yang menjadi pokok
pangkal segala kejadian ini? Di situlah keluar sifat-sifat kejahatan seorang
perempuan, ada saja akal untuk menutup kejahatan dirinya, untuk menyalahkan
orang yang sebenarnya tidak bersalah.
Perempuan itu lalu berkata kepada
suaminya: ‘Yusuf sudah merosakkan kehormatan dirimu, tidak menjaga akan
kedudukanmu. Dia akan mengotori aku, memaksa mendatangi aku. Maka apakah
gerangan balasan yang setimpal bagi orang yang ingin mencemarkan kehormatanmu
dan isterimu sendiri, selain penjara dan seksaan yang sepedih-pedihnya.’
Nabi Yusuf terpaksa berterus-terang
menerangkan apa yang sebenarnya sudah terjadi dan berkata: ‘Bahawa dialah yang
mendatangi diriku!’ Sejurus kemudian masuklah ke situ anak bapa saudara
perempuan itu sendiri; seorang yang bijaksana lagi lurus, dapat menghukum
dengan adil. Setelah dia mendengar berbagai-bagai keterangan yang bertentangan
itu, dia lalu berkata: ‘Bila baju Yusuf itu koyak bahagian depan, maka benarlah
perempuan itu dan Yusuflah yang berbohong; tetapi bila baju Yusuf itu koyak
bahagian belakangnya, maka Yusuflah yang benar, perempuan itulah yang bohong.’
Setelah dilihat bahawa yang koyak itu
adalah baju Nabi Yusuf bahagian belakang, maka teranglah sudah bahawa Nabi
Yusuf tidak bersalah, hanya perempuan itulah yang mendatanginya. Pembesar
itu lalu berpaling kepada isterinya dan berkata: ‘Memang ini adalah tipu
daya perempuan dan kecemarannya, minta ampunlah engkau atas dosamu itu, kerana
sudah terang engkaulah yang bersalah.’ Kepada Nabi Yusuf pembesar itu pun
berkata: ‘Engkau sendiri, hai Yusuf, hendaklah menahan lidahmu dari bercakap
tentang kejadian ini, jangan kejadian ini sampai diketahui orang ramai.’
Tetapi walau bagaimana juga, kejadian itu
ditutup tutup, namun lambat-laun diketahui orang ramai juga. Memang sepandai-pandai
orang membungkus yang busuk, akhirnya berbau juga. Khabar ini telah tersiar
luas di dalam kota, setiap hari menjadi buah bibir setiap perempuan, bahkan
telah menjadi pembicaraan setiap raja dan keluarga istana di mana-mana: ‘Isteri
Aziz (Pembesar) itu terpedaya oleh anak peliharaannya yang berbangsa Ibrani,
jatuh cinta kepadanya kerana kacaknya anak itu, cinta yang telah membawa dia
mencemarkan kehormatan istana dan kedudukannya, menurutkan nafsu. Sedang anak
itu bukan main baik dan zuhudnya, tidak tertarik kepada kecantikan perempuan
pembesar itu kerana jiwanya yang suci, dapat menahan nafsu remajanya dengan
keyakinannya yang tebal.’
Lama kelamaan khabar itu makin tersebar
luas, malah banyak ditambah di sana sini dengan berbagai-bagai cerita, sehingga
banyak pula yang sampai ke telinga isteri pembesar itu sendiri. Sedih dan marah
dia mendengar tambahan-tambahan yang tidak benar itu. Tetapi apa yang dapat dia
lakukan? Semua senjata akan tumpul kalau berhadapan dengan suara orang ramai,
suara perempuan-perempuan pula.
Lama dia berfikir untuk mencari jalan
yang sebaik-baiknya untuk membalas kata-kata yang tidak benar itu, tetapi jalan
itu tidak kelihatan sedikit pun. Dia terus mencari dan berfikir. Akhirnya dia
mendapat akal dan jalannya. Dia mengundang semua perempuan kota datang ke rumahnya
menghadiri satu pesta besar yang diadakannya berhubung dengan hari besar.
Tempat diatur sebagus-bagusnya, makanan disediakan seenakenaknya, minum-minuman
berbagai rupa, buah-buahan yang ranum manis.
Undangan ini mendapat sambutan yang
hangat sekali dari perempuan-perempuan yang tinggal dalam kota, lebih-lebih lagi
perempuan-perempuan yang menaruh perhatian terhadap kejadian yang sudah menjadi
percakapan orang ramai selama ini. Selain ingin menjadi tetamu pembesar, juga
ingin mengetahui keadaan isteri yang tergoda dan juga untuk mengetahui anak
muda yang bernama Yusuf itu sendiri.
Bukan main meriahnya pertemuan itu,
perbualan dan ketawa silih berganti. Bermacam-macam makanan dan minuman tidak putus-putus
dihidangkan untuk di santap bersama-sama. Di akhir sekali dihidangkan pula buah-buahan
yang manis manis rasanya. Kepada masing-masing yang hadir itu diserahkan sebilah
pisau untuk memotong dan mengupas sendiri akan buah-buahan yang disajikan
itu.
Ketika masing-masing yang hadir itu asyik
mengupas buah dengan pisau, isteri pembesar yang menjadi tuan rumah,
memerintahkan kepada Nabi Yusuf untuk keluar ke tengah-tengah pertemuan
perempuan itu untuk memperkenalkan dirinya. Nabi Yusuf keluar, berjalan di
antara barisan perempuan yang ramai itu.
Baru saja perempuan-perempuan itu melihat
wajah Nabi Yusuf yang seperti bulan penuh, rambutnya yang ikal licin, alisnya
seperti semut seiring, matanya seperti kejora pagi, pipinya yang seperti pauh
dilayang, bibirnya seperti limau se ulas, kekacakan terletak pada semua
bahagian badannya, terletak pada tiap gerak-gerinya, maka kagumlah mereka
memandangnya, bahkan lupa akan diri masing-masing, bercampur-aduk akal dan
fikiran. Dengan tidak sedar pisau yang ada di tangan masing-masing itu bukan
mereka potongkan buah-buahan yang ada di tangan, tetapi mereka potongkan tangan
dan jari mereka sendiri dan tidak pula mereka merasa sakit perihnya.
Bukanlah ini manusia, kata mereka dengan
kagum. Tetapi adalah Malaikat yang mulia. Melihat kejadian itu, isteri pembesar
itu pun bertepuk tangan kegembiraan, kerana usahanya telah berjaya. Lalu
berkata dengan megahnya: ‘Inilah dianya Yusuf yang selalu kamu cakapkan itu,
dan selalu kamu sekalian mencaci maki aku dengan kata-kata berhubung kejadian
antara aku dengan dia baru-baru ini. Sekarang kamu sekalian pun setengah gila
memandangnya, hanya pandangan yang sekejap saja. Sedang aku setiap hari dan
malam melihatnya, memandang duduk dan berdirinya, datang dan perginya. Dengan
pandangan yang selintas lalu ini saja kamu telah lupa akan diri masing-masing.
Lihatlah kamu sudah memotong jari jarimu sendiri dengan pisau. Tidakkah kamu
sekalian merasa pedih dan perih dilukai oleh pisau itu?’
‘Aku akui di hadapanmu sekalian, memang akulah
yang telah jatuh cinta kepadanya dan mendatanginya, tetapi dia tetap enggan dan
berlindung diri kepada Tuhannya, dia berpaling dan menjauhkan diri. Dengan
terus terang aku akui di hadapanmu sekalian, bahawa aku memang tidak begitu
kuat untuk menahan hatiku sendiri terhadap dirinya.’
Berbagai-bagailah ucapan hadirin
perempuan itu terhadap Nabi Yusuf sekarang. Ada yang berkata bahawa Nabi Yusuf
itu Malaikat, sudah sewajarnya kalau isteri pembesar itu terpedaya olehnya. Ada
pula yang kagum melihat ketabahan jiwa Nabi Yusuf menghadapi isteri pembesar
yang kaya dan cantik itu, sehingga baginda tidak tersesat dan tetap enggan, kendatipun
baginda tahu yang isteri pembesar itu selain cantik dan kaya, besar pula
kekuasaannya. Bila Nabi Yusuf dapat menurutkan kehendaknya, tentu seluruh
kekayaan dan kehebatan isi istana itu dapat pula dikuasai Nabi Yusuf. Kenapa baginda
tidak mahu dan tetap enggan? Dan sekiranya Nabi Yusuf menolak kehendak
perempuan itu, baginda dapat melakukan apa yang dikehendakinya terhadap Nabi
Yusuf, mungkin akan dibunuh atau dibuang jauh. Apakah Nabi Yusuf tidak takut
kepada semua itu?
Mendengar semua itu, Nabi Yusuf hanya
berlindung diri kepada Allah s.w.t, bertunduk kepala berdoa agar baginda
dijauhkan Allah s.w.t dari tipu daya perempuan: ‘Ya, Tuhanku! Penjara yang
gelap lagi sempit itu lebih baik bagiku daripada dalam istana tetapi menghadapi
perempuan-perempuan cantik yang selalu menggoda itu. Mudah-mudahan dalam
penjara itu nanti dapatlah aku bertambah sabar, dapat menghitung nikmat dan
pemberian Engkau, dapat menyelami rahsia kebesaran Engkau, ya Allah. Kalau aku
di sini, ya Allah, selalu berhadapan dengan perempuan-perempuan yang menggoda aku,
aku takut dan bimbang kalau-kalau semangatku lemah, imanku luntur, syaitan
menang dalam menggodaku sehingga aku terperosok masuk ke lembah kehinaan dengan
mereka. Ya Allah, penjara lebih baik bagiku daripada tergoda seperti ini, jauhkan
juga aku dari penggodaan itu, dan aku adalah hamba-Mu yang bodoh.’
Isteri dari pembesar sendiri pun kerana
tidak tahan berhadapan dengan Nabi Yusuf, minta kepada suaminya, supaya Nabi
Yusuf dikurung saja dalam penjara. Permintaan ini dikemukakan dengan tidak
boleh ditawar-tawar lagi.
Untuk melepaskan perempuan itu dari
kesengsaraan batinnya, juga untuk mengabulkan doa Nabi Yusuf kepada Tuhannya, tidak
lama kemudian Nabi Yusuf pun dimasukkan ke dalam penjara, ditutup seperti
orang-orang jahat, kendatipun baginda sendiri tidak pernah berbuat jahat. Dalam
penjara itu baginda bekerja sebagaimana banduan-banduan penjara lainnya. Semua
dilakukannya dengan penuh kesabaran. Dalam penjara itulah Nabi Yusuf
menghabiskan hari muda remajanya yang kacak itu dan di dalam penjara itu jugalah
mula-mula sekali datang kepadanya wahyu Allah s.w.t yang pertama, dengan wahyu
mana baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul Allah s.w.t. Penjara dan telaga
Jub yang sebelumnya itulah rupanya menjadi tempat latihan untuk menerima
risalahnya, sebagaimana Gua Hira bagi Nabi Muhammad s.a.w., sengsara dalam
pengembaraan bagi Nabi Ibrahim dan lain-lain.
Menakwil Mimpi Raja
Raja sendiri akhirnya bermimpi yang sangat aneh pada
suatu malam, sehingga beliau berasa gelisah, takwil apakah gerangan dari
mimpinya yang aneh itu. Lalu dipanggilnya semua orang cerdik pandai, tukang
telek dan pembesar-pembesar kerajaan. Ditanyakan kepada mereka itu kalau ada
yang tahu akan takwilnya dengan berkata: ‘Aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu
yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus. Aku lihat pula tujuh
tangkai gandum yang subur dan tujuh tangkai pula yang kurus kering.’
Tidak seorang pun di antara yang dapat
mentakwilkan mimpi raja. Mereka mengatakan bahawa itu adalah mimpi perintang
tidur saja dan ada pula yang mengatakan pengaruh angan-angan sebelum tertidur. Masing-masing
tidak mengetahui akan takwil mimpi tersebut.
Sungguhpun begitu, raja belum juga senang
hatinya, tetap gelisah. Lebih-lebih lagi setelah dikaji dan diselidiki dalam
sejarah hidupnya sendiri, belum pernah baginda bermimpi seperti itu, tidak
pernah pula baginda mendengar orang lain bermimpi demikian. Keinginannya untuk
mengetahui takwil mimpi tersebut bukan berkurangan. Setelah tukang kebun raja
mendengar khabar ini, dia segera teringat akan Nabi Yusuf yang sedang merengkuk
dalam penjara yang pernah mentakwilkan mimpinya sendiri dengan tepat. Dia
dengan cepat datang menghadap raja dan berkata: ‘Ya tuanku, di dalam penjara
ada seorang pemuda yang mulia, mempunyai fikiran yang dalam, pemandangan yang luas,
dapat membukakan keajaiban-keajaiban alam dengan akalnya, dapat mentakwilkan
mimpi dengan tepat. Tuanku utuslah aku ke sana pasti aku kembali dengan membawa
takwil mimpi tuanku itu dengan yakin kebenarannya.’
Raja gembira mendengar pendapat tukang
kebunnya itu. Baginda lalu mengutus tukang kebunnya itu menemui Nabi Yusuf di
dalam penjara. Sesampainya di penjara utusan itu berkata: ‘Ya Nabi Yusuf, saudaraku
yang mulia, aku datang mengganggu akan ketenanganmu. Aku minta fatwa tentang
mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang
kurus, lantas melihat tujuh tangkai gandum yang rimbun dan tujuh tangkai pula
yang hampa serta kering. Mudah-mudahan dengan takwil yang akan engkau berikan
itu dapatlah engkau diketahui oleh umum kaumku dan berterima kasih kepada
engkau atas segala kelebihan dan kebaikan engkau itu.’
Nabi Yusuf menjawab dan menerangkan, bahawa
takwil mimpi itu adalah bahawa negara kita menghadapi masa tujuh tahun yang
penuh dengan segala kemakmuran dan keselamatan, berkembang biaknya segala
ternakan, tumbuh subur semua tanaman, semua orang akan merasa senang dan
bahagia. Tetapi sebaik habis tujuh tahun itu, akan menyusul pula tujuh tahun
masa yang penuh dengan kesengsaraan dan kesusahan hidup, ternakan tidak
berkembang biak, tanaman tidak berbuah, udara panas dan kering, air kurang dan
manusia menderita kelaparan yang hebat. Tetapi sesudah habis kedua-dua masa
itu, akan datang pula masa selanjutnya yang makmur dan tenteram, masa suburnya tumbuh-tumbuhan
dan ternakan, masa memperbaiki segala kerosakan negeri. Pada masa itu setiap
rakyat akan dapat merasakan lazatnya berbagai buah-buahan. Itulah takwil mimpi
tersebut menurut apa yang diwahyukan Allah s.w.t kepada aku. Oleh kerana itu,
bila apa yang aku nyatakan ini terbukti nanti, maka hendaklah pada masa tujuh
tahun yang makmur dan damai itu, digunakan sebaik-baiknya untuk menyimpan
segala gandum yang masih bertangkai, untuk digunakan bagi mengurangi
kesengsaraan dan kelaparan umat pada tujuh tahun berikutnya. Keperluan makan
selama tujuh tahun pertama, baiknya hanya dipakai sekadar perlu saja.’
Setelah raja diberitahu tentang takwil
mimpinya itu, raja mengakui bahawa takwil itu memang terbit dari pemandangan
dan fikiran yang dalam dan jauh ke hadapan. Raja memerintahkan agar Nabi Yusuf
dibawa ke hadapannya, dengan harapan mudah-mudahan baginda mempunyai
pandangan-pandangan yang lain yang berguna dan ilmu-ilmunya yang perlu untuk
keselamatan bersama. Utusan raja kembali mendatangi Nabi Yusuf dan
mengkhabarkan akan keputusan dan panggilan raja terhadap dirinya: ‘Raja
memanggil engkau, ya Yusuf, kerana raja memerlukankan nasihat-nasihatmu dan
akan mengangkat engkau ke darjat yang tinggi,’ demikian kata utusan itu
mengajak Nabi Yusuf.
Dengan tenang Nabi Yusuf memenuhi
panggilan tersebut. Baginda keluar dari penjara gelap, sudah bertahun-tahun
lamanya hidup di situ dengan tidak pernah melihat wajah bulan purnama. Sekian
lama baginda hanya memakan makanan penjara yang kering, kurang garam. Sekian
lama juga hanya tidur di atas tikar yang terhampar di atas tanah yang terdiri
dari gurun pasir. Tetapi sebelum keluar baginda minta lebih dahulu kepada raja,
untuk memanggil semua perempuan yang sudah memotong tangan mereka sendiri
dengan pisau, untuk diterangkan kepada mereka bahawa baginda sendiri tidak
bersalah apa-apa dalam hal itu, hanya merekalah yang bersalah dan berdosa. Raja
pun segera memanggil semua perempuan yang memotong jarinya itu dan berkata: ‘Bagaimanakah
pandangan kamu sekalian terhadap Yusuf, kerana beliau akan aku lepaskan dari
penjara.’
Mereka menjawab, bahawa Nabi Yusuf
seorang pemuda yang suci murni, tidak pernah bersalah dan berbuat yang tidak
baik. Berkata pula isteri pembesar yang telah tergoda dan yang memelihara Nabi
Yusuf pada waktu itu: ‘Memang sudah terlalu lama Nabi Yusuf di dalam penjara
tanpa kesalahan apa-apa. Akulah yang bersalah kerana tidak dapat menahan hawa
nafsu terhadap dirinya. Aku tahu bahawa beliau selalu menjaga kehormatanku dan
kehormatan suamiku, tetap memegang teguh ajaran Tuhannya. Akulah yang
menyebabkan dia masuk penjara, Akulah yang menyebabkan dia menanggung sengsara
demikian rupa. Dengan pengakuan ini aku akui bahawa akulah yang mengajak dia
menghampiri aku dan dia segan akan ajakan aku itu.’
Dilantik Menjadi Menteri
Dengan pengakuan para perempuan dan isteri pembesar
itu sendiri bersihlah Nabi Yusuf dari segala sangka dan tuduhan selama ini.
Bukan bersih semata-mata, malah bertambah baik namanya di kalangan masyarakat
ramai, setelah setiap orang yang keluar dari penjara itu menerangkan dalam
masyarakat akan sifat dan perangai Nabi Yusuf di dalam penjara.
Atas segala keterangan ini, raja menjadi
tertarik hatinya untuk melantik Nabi Yusuf menjadi ajudan raja, lalu raja
berkata kepadanya: ‘Berdasarkan apa yang aku ketahui tentang dirimu,
budi-pekertimu, pandangan dan pengetahuanmu, maka mulai hari ini engkau
kuangkat menjadi aminku, menjadi orang kepercayaan tempat aku bertanya meminta nasihat-nasihat.
Maka engkau mulai hari ini berkuasa atas kerajaan kita ini, engkau berkewajiban
memperbaiki yang kurang baik dalam negara dan memajukannya menurut apa yang
engkau rasa baik. Semuanya aku serahkan kepadamu untuk memutuskan dan
mengendalikan-nya.’
Kerana Nabi Yusuf sudah tahu apa yang
akan terjadi sebagaimana bunyi takwil mimpi yang sudah ditakwilkannya itu, di
mana akan datang masa makmur, maka Nabi Yusuf minta supaya kepadanya diserahkan
kementerian kemakmuran, ekonomi dan kewangan, kerana Nabi Yusuf tahu bahawa
makanan dan wanglah yang menjadi pokok pangkal keselamatan dan kesengsaraan sesebuah
negara di atas dunia ini. Baginda minta kedudukan-kedudukan itu kepada raja
dengan keyakinan, bahawa baginda dapat menghindarkan umat dari kesengsaraan dan
kelaparan yang akan datang tersebut.
Permintaan Nabi Yusuf dipenuhi raja. Baginda
menjadi seorang menteri yang berkuasa penuh. Demikianlah caranya Allah s.w.t telah
menempatkan Nabi Yusuf di tempat yang selayaknya, sesudah bertahun-tahun
lamanya di dalam latihan dan penjara. Kendatipun baginda bekas penghuni penjara
tetapi semua perkataannya didengar dan diturut orang, segala aturan yang
dibuatnya dapat dijalankan rakyat dengan patuhnya; baginda menjadi buah bibir
dan kecintaan rakyat yang diperintahnya, juga dicintai oleh raja-raja lain yang
menjadi jiran negaranya. Kendatipun sebelum ini baginda pernah dipenjarakan,
dibuang ke dalam telaga, diperjualbelikan dan sebagainya.
Sudah tujuh tahun Nabi Yusuf memegang
tampuk kekuasaan, menjalankan rencana politik dan kemakmuran. Negeri Mesir
menjadi bertambah makmur, rakyatnya semakin bersatu-padu, taat dan berdisiplin.
Masa tujuh tahun itu digunakan sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan gandum
simpanan, untuk menghadapi masa tujuh tahun yang panas dan terik, yang sengsara
dan lapar itu.
Masa tujuh tahun berikutnya itu pun
datanglah. Kerana terik dan panasnya, tidak terdapat air mengalir, sehingga
matilah semua binatang dan tanaman, maka melaratlah semua penduduk negeri.
Tetapi kerana persediaan yang cukup yang telah diselenggarakan oleh Nabi Yusuf
selama tujuh tahun berturut-turut, maka tidak seorang pun di antara rakyat
Mesir yang mati kelaparan musim tersebut. Kesengsaraan dan kelaparan tatkala
itu bukan hanya menimpa negeri Mesir saja, tetapi menimpa juga negeri-negeri
yang berdekatan dan berjiran dengan Mesir sampai ke Kanan, di mana bertempat
tinggal Nabi Yaakub dengan anak-anaknya yang dinamakan Asbat itu.
Kebaikan perekonomian Mesir ketika yang genting
itu dikenal oleh negara-negara yang berjiran dengan Mesir. Orang ramai pun
sudah mengerti bahawa Mesir dipimpin oleh seorang menteri yang amat pintar,
yang adil dan berbudi tinggi. Kerana itu, bangsa-bangsa dan Negara-negara yang
terletak di sekitar Mesir itu kendatipun berlainan bangsa dan warna kulit,
tidak malu-malu datang minta pertolongan di Mesir untuk mengatasi kesengsaraan
rakyat di negara masing-masing.
Saudara Datang Mengadap
Pada suatu hari Nabi Yaakub yang sudah sangat tua
dan buta matanya itu berkata kepada anak-anaknya: ‘Hai anak-anakku,
kesengsaraan ini akan menimpa diri kita juga. Sebab itu cubalah kamu pergi,
beri pelanalah unta-untamu itu, pergilah menuju ke negeri Mesir, di mana
sekarang ini berkuasa seorang yang paling adil dan baik, namanya masyhur ke
mana-mana. Kerana kebijaksanaannya, Mesir tetap tidak kelaparan dan tetap
makmur. Cubalah minta pertolongan kepada pembesar yang adil berbudi itu. Tetapi
janganlah kamu pergi dengan membawa Bunyamin. Biarlah dia tinggal bersamaku di
rumah. Kalau tidak begitu dengan siapakah aku akan berhibur sedih sepeninggalan
kamu sekalian, menjelang kamu kembali. Aku doakan mudah-mudahan kamu selamat
dalam perjalanan, dilindungi oleh Allah s.w.t dan ditunjukkan-Nya pula jalan
yang lurus.’
Pada suatu hari, penjaga pintu kamar
kerja Nabi Yusuf mengetuk pintu, lalu masuk dan berkata kepada Nabi Yusuf: ‘Di
luar ada sepuluh orang lelaki, yang kelihatan persamaan keadaan mereka dan kelihatan
dari wajah mereka bahawa kedatangan itu bukan dengan niat yang kurang baik.
Mereka kelihatannya asing di negeri kita ini, berlaku sebagai tetamu dari jauh.
Itu terbayang dari bahasa dan gerak-gerinya sebagai orang baru yang agak
kehairanan. Mereka minta izin masuk, ingin bertemu dengan engkau, hendak
mengemukakan hal-hal yang mereka bawa berhadapan mata dengan engkau.’
Setelah Nabi Yusuf memberi izin, mereka pun
masuk. Semuanya adalah saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri, anak-anak Nabi
Yaakub yang diperintahkan bapanya datang ke Mesir, untuk minta bantuan bahan
makanan. Sebagai seorang yang kuat ingatannya, bijaksana dan pintar, Nabi
Yusuf tidak lupa kepada mereka. Untuk kebaikan dan kelancaran urusan yang
menyebabkan kedatangan mereka itu, Nabi Yusuf mendiamkan apa-apa yang sudah
diketahuinya itu terhadap mereka. Sedang mereka rupanya tidak sedikit pun menyangka,
bahawa yang mereka hadapi itu adalah saudara mereka, yang dahulu pernah mereka
buang ke dalam telaga Jub.
Nabi Yusuf menyambut mereka dengan sebaik-baik
sambutan dan diperlakukannya sebagai tetamu yang istimewa dan terhormat. Mereka
dipersilakan duduk di tempat yang ditentukan, kerana Nabi Yusuf ingin mendengar
berita-berita penting dari mereka, mahu mengetahui keadaan mereka sekarang
ini.
Sekarang mereka sudah duduk bersama di
sekitar Nabi Yusuf, Nabi Yusuf mulai bertanyakan ini dan itu: ‘Kamu sekalian
sudah aku sambut sebagai tetamu yang harus kuhormati dan menjadi haklah bagiku
terlebih dahulu untuk bertanyakan sesuatu hal tentang keadaanmu dan maksud
kedatanganmu ke mari. Aku ingin tahu lebih dahulu siapakah sebenarnya
saudara-saudara ini semua?’
Salah seorang di antaranya menjawab: ‘Ya,
Tuanku yang budiman! Kami ini semuanya bersaudara. Yang sebenarnya saudara-saudara
kami berjumlah dua belas orang, semuanya keturunan Nabi yang mulia, Rasul yang
besar. Sepuluh orang di antaranya kami yang dua belas bersaudara itu, diutus
oleh Nabi mulia iaitu bapa kami, untuk menghadap tuan ke mari. Cita-cita kami
semuanya bergantung pada diri tuan seorang. Adapun saudara kami yang kesebelas,
kami tinggalkan bersama orang tua kami, untuk mengurus keperluan bapa kami yang
sudah tua dan mengurus rakyat yang kami tinggalkan. Mengenai saudara kami yang
kedua belas, sudah lama tidak lagi di samping kami. Kami tidak mengetahui,
apakah dia sudah diangkat Allah s.w.t ke rahmat-Nya, ataukah dia masih
melayarkan bahtera hidupnya di bumi luas ini, semua itu tidaklah kami ketahui.
Demikianlah keadaan kami yang sebenarnya.’
Berkata pula Nabi Yusuf: ‘Aku percaya
segala yang kamu kemukakan itu benar semuanya. Sungguhpun begitu, kebenaran
sesuatu keterangan itu kurang jelas bila tidak ada bukti yang nyata dan dapat
dilihat oleh mata. Untuk menenangkan hati aku, aku minta dari kamu sekalian
saksi dan bukti kebenaran dari apa yang kamu ceritakan itu. Bukankah kamu
mengatakan tadi bahawa kamu bersaudara sebelas orang ramainya. Cubalah bawa ke
hadapan aku yang seorang lagi, kerana yang ada sekarang ini hanya sepuluh orang
saja.’
Jawab mereka: ‘Ya, Tuanku! Kami di sini
jauh sekali dari kampung halaman kami, jauh dari keluarga dan kawan-kawan kami.
Tidak begitu mudah kami membawa seseorang saksi dari kampung kami, lebih-lebih
lagi kami sudah kekurangan perbekalan untuk pulang dan kembalinya.’
Jawab Nabi Yusuf: ‘Aku akan menyediakan
perlengkapan dan perbekalan bagimu secukupnya. Agar kamu kembali ke kampungmu
selekas mungkin, bawalah ke mari saudaramu yang masih tinggal itu, cukuplah dia
seorang untuk menjadi saksi dan bukti atas kebenaran apa yang kamu katakan
tadi. Bila kamu kembali bersama dia ke mari, aku akan menyambutmu lebih gembira
dari sekarang ini dan akan aku lipat-gandakan barang perlengkapan dan
perlengkapan kamu. Hanya inilah syarat dan permintaanku dan hanya ini jugalah
janjiku kepada kamu. Tetapi bila kamu tidak membawa dia ke mari, jangan
diharapkan bahawa permintaanmu akan aku kabulkan dan tidak ada gunanya
kedatanganmu kembali nanti.’
Mereka menjawab pula: ‘Kami sangsi bahawa
bapa kami tidak dapat mengizinkan saudara kami yang seorang itu dibawa ke mari,
kami sangsi juga apakah dia cukup bersabar hati berpisah dengan adik kami itu.
Tetapi baiklah akan kami cuba membawanya dengan keterangan-keterangan yang
dapat dia percayai dan semua itu akan kami jalankan, insya-Allah.’
Nabi Yusuf lalu memerintahkan kepada
orang-orang bawahannya untuk menyediakan perbekalan dan perlengkapan mereka.
Diberinya bekalan yang jauh lebih banyak dan bekalan tersebut bukan saja
merupakan bahan makanan seperti yang diminta mereka, tetapi ditambah dengan emas
perak untuk mereka perjualbelikan, agar mereka benar-benar kembali ke tempat
ini lagi dengan harapan yang tidak kosong. Mereka segera bertolak kembali ke
negeri mereka dengan perasaan lega, disebabkan sambutan Nabi Yusuf yang sangat
memuaskan yang menjadikan kenang-kenanganan mereka, dengan memperoleh buah
tangan dan tandamata yang sangat berharga.
Sebaik tiba di negeri mereka, segera
mereka menemui Nabi Yaakub, menceritakan pengalaman dan apa yang sudah berlaku
antara mereka dengan pembesar Mesir itu sambil berkata: ‘Kami sudah menemui
pembesar itu, ya bapa, rupanya dia adalah seorang yang sangat baik, seorang
menteri yang murah hati, dimuliakannya kedatangan kami, ditanyakannya hal ehwal
kami, diberinya kami tempat sebaik-baiknya, dilengkapinya kami dengan
perbekalan-perbekalan yang banyak dan hadiah yang berharga. Hanya saja ada
sebuah syarat yang dimintanya dari kami, iaitu bahawa dia tidak akan memberi
bahagian apa-apa lagi kepada kami dan tidak akan mempercayai kami, sebelum kami
datang kembali kepadanya sambil membawa saudara kami kesebelas yang
ditinggalkan bersama bapa. Sebab katanya kalau bukti itu ternyata tidak dapat
kami tunjukkan kepadanya, dia tidak percaya akan kebenaran kata-kata kami itu.
Oleh kerana itu izinkanlah adik Bunyamin dibawa oleh kami esok hari ke Mesir
dan akan kami jamin keselamatannya, tidak akan kami sia-siakan lagi. Dengan
kedatangan kami bersama dia nanti, akan menambah berhasilnya atas kedatangan
kami itu. Percayalah bapa kepada kami.’
Sambil mengeluh Nabi Yaakub berkata
kepada mereka: ‘Tidak sanggup lagi aku mengizinkan dia pergi bersamamu.
Aku tidak sanggup berpisah dengan dia. Masih ingatkah kamu sekalian, apa yang
terjadi pada Yusuf dahulu? Janganlah kamu cuba memperdayakanku yang kedua
kalinya lagi, cukuplah sudah sekali itu saja aku ditipu olehmu.’
Mendengar jawapan itu, lalu mereka
membuka semua bungkusan pembawaan mereka. Dikeluarkan dari bungkusan-bungkusan
itu emas dan perak. Kesemuanya mereka serahkan kepada Nabi Yaakub sambil
berkata: ‘Bapa, kami tidak berbohong, inilah buktinya atas perkataan kami yang
sesungguhnya, kami benar-benar telah bertemu dengan Pembesar Mesir yang ternama
itu. Bagaimana benarnya ucapan kami tentang hal ini, begitu juga besarnya
tentang syarat yang diminta oleh pembesar itu. Percayalah bapa, izinkanlah dia
bersama kami besok. Kalau kami tidak kembali lagi bersamanya, kami akan tebusi
dengan jiwa kami sekalian.’
Setelah Yaakub melihat bukti-bukti
kebenaran yang mereka katakan itu, baginda mulai percaya kepada mereka dan
merasakan sendiri akan syarat yang diberikan oleh Pembesar Mesir itu. Akhirnya baginda
mengabulkan permintaan itu dengan mengizinkan Bunyamin turut serta dalam
penjalanan tersebut, tetapi dengan penjanjian dan ikrar yang keras: ‘Dia harus
kembali dengan sihat walafiat, kalau tidak, kamu akan menerima takdir yang
tidak dapat direkakan hebatnya dan kamu tidak akan diakui sebagai anakku lagi.’
Setelah mereka menerima baik segala janji
dan ikrar itu dengan bersumpah dan mempertaruhkan keimanan mereka, lalu
berkata: ‘Allah s.w.t menjadi saksi atas segala yang kami katakan itu.’
Mereka berangkat bersama Bunyamin yang
diminta oleh Nabi Yusuf supaya dibawa. Setelah berjalan jauh, menurun dan
mendaki berhari dan bermalam, akhirnya sampailah mereka di tempat yang dituju,
lalu minta izin masuk untuk bertemu dengan Nabi Yusuf. Baru saja Nabi Yusuf
melihat akan saudaranya sendiri turut serta, bukan main gembiranya baginda
untuk memeluk dan menciumi saudaranya itu, tetapi seluruh perasaannya
disembunyikan saja. Mereka dipanggil untuk dijamu bersama-sama dan diaturnya
duduk berdua-dua. Kerana mereka berjumlah sebelas orang, maka tinggallah
Bunyamin duduk menyendiri. Melihat dia duduk sendiri itu, Bunyamin lalu
mengenangkan nasibnya yang malang itu, seraya menangis tersedu-sedu dan berkata
dengan suara yang gugup-sayup terdengar: ‘Kalau Yusuf masih ada, tentu
dialah yang duduk di sampingku sekarang ini.’
Melihat itu Nabi Yusuf lalu tampil dan
menjadi teman Bunyamin. Rumah tempat tinggal pun disediakan untuk dua orang dan
Nabi Yusuf jugalah yang tinggal bersama Bunyamin. Nabi Yusuf serumah dan
bermalam dengan Bunyamin. Nabi Yusuf lalu bercakap-cakap dengan Bunyamin yang
dicintainya itu: ‘Sukakah engkau menjadikan aku sebagai ganti saudaramu yang
telah meninggal itu?’
Bunyamin menjawab: ‘Memang tidak ada
orang yang lebih baik dari tuan sendiri. Namun sayang, tuan bukan dianakkan
oleh Yaakub dan bonda Rahil.’
Mendengar jawaban Bunyamin itu, Nabi
Yusuf tidak dapat menahan air matanya, lalu menangis tersedu-sedu sambil
berdiri dan mencium Bunyamin, baginda berkata membukakan rahsianya: ‘Aku ini
adalah saudaramu yang selama ini engkau sebut-sebut dan kau rindukan. Akulah Yusuf
saudaramu itu. Aku sudah mengalami banyak pengalaman kerana buah perbuatan
saudara-saudara kita. Banyak pengalamanku yang sedih dan pahit. Aku pernah
ditimpa fitnah yang paling berat. Tetapi itu semua kulawan dengan kesabaran dan
ketetapan hati, sambil berjuang mengatasinya atas cubaan-cubaan itu. Akhirnya
Allah menunjukkan jalan bagiku, sehingga yang sengsara kini menjadi kaya, yang
pernah difitnah sekarang menjadi orang yang berkuasa. Tetapi hal ini sekali-kali
janganlah engkau ceritakan kepada saudara-saudara kita untuk sementara waktu.
Tutuplah dahulu rahsia ini serapat-rapatnya terhadap mereka.’
Tidak dapat diterangkan bagaimana
perasaan Biunyamin pada waktu itu setelah mengetahui bahawa yang bercerita itu
adalah Yusuf saudaranya. Begitu juga perasaan Nabi Yusuf sendiri!
Beberapa hari sudah berlalu dengan
tenang. Maka sudah sampai waktu untuk pulang. Tetapi Nabi Yusuf ingin membuat
sesuatu yang agak menggemparkan terhadap mereka. Setelah semua perbekalan dan alat-alat
yang diperlukan dalam penjalanan itu disediakan, begitu juga buah tangan untuk
dibawa pulang, lalu Nabi Yusuf memerintahkan kepada seorang suruhannya, agar ke
dalam barang-barang yang akan dibawa oleh Bunyamin, dimasukkan dengan diam-diam
sebuah timbangan kepunyaan negara. Baru saja mereka berangkat keluar dari Kota
Mesir, tiba-tiba mereka ditahan orang sambil berkata: ‘Berhenti dan turun
semua, kamu ini adalah pencuri.’ Alangkah terkejut dan gemparnya mereka
mendengar tuduhan seberat itu: ‘Apakah maksudmu menuduh kami, kami ini bukan
pencuri seperti yang kamu tuduh itu. Barang apakah yang sudah kami curi dari
kamu?’
Orang itu menjawab: ‘Kami kehilangan
timbangan (cupak) kepunyaan raja, dan kami mempunyai persangkaan, bahawa
kamulah yang telah mengambilnya. Sebab itu kalian kami tahan dan kami berkuasa
untuk menahanmu.’
‘Demi Allah s.w.t kami datang ke mari
bukan untuk merosak dan mencuri,’ jawab saudara-saudana Nabi Yusuf.
‘Kita tidak usah bertengkar
panjang-panjang, izinkan saja kami memeriksa segala bungkusan yang kamu bawa
ini. Hukuman apakah yang akan kamu jalankan nanti, bila mana barang itu terdapat
dalam bungkusanmu?’ kata orang itu lagi. Jawab saudara-saudara Nabi Yusuf: ‘Kami
ini adalah orang-orang yang mempunyai undang-undang, mempunyai agama pula.
Menurut undang-undang dan agama kami, bila seseorang kedapatan mencuri, dia
harus ditawan dan boleh dijadikan hamba oleh orang yang mempunyai barang itu.
Inilah undang-undang negeri kami yang selalu kami patuhi dan tunduk kepadanya.
Tetapi kami yakin bahawa kami tidak mencuri apa-apa.’
Sebagai Orang-Orang
Terdakwa
Akhirnya perkara tersebut dibawa ke hadapan Nabi
Yusuf, untuk mempersaksikan janji-janji yang telah dikemukakan mereka sebagai orang-orang
terdakwa. Tiap bungkusan diperiksa dengan teliti, seorang demi seorang. Tidak
seorang pun di antara sepuluh orang pertama yang membawa barang curian itu.
Sekarang tibalah giliran Bunyamin untuk diperiksa segala bungkusannya, iaitu
pemeriksaan yang penghabisan. Baru saja bungkusan Bunyamin dibuka, terdapatlah
di situ cupak (timbangan) yang dikatakan hilang itu. Cupak itu pun segera
dipertontonkan kepada mereka. Alangkah terkejut dan terperanjat mereka, malu
yang tidak terkatakan besarnya.
Nabi Yusuf lalu berkata kepada mereka: ‘Sekarang
kita tinggal menjalankan undang-undang dan memenuhi janji yang sudah kamu ucapkan
tadi. Orang yang bersalah kami tahan dan memang sudah menjadi hak bagi kami
untuk menahannya.’
‘Ya, Tuanku,’ keluh mereka. ‘Bapanya
sudah sangat tua, sudah melewati dua usia (lapan puluh tahun lebih), bapanya
sungguh berat berpisah dengannya. Dia diizinkan dibawa oleh kami ke mari hanya
untuk kali ini saja, bagi memenuhi permintaan tuanku atas kebenaran kami, namun
dengan perjanjian bahawa dia harus bersama kami bila mana kami pulang kembali.
Kami ini semuanya berjumlah sepuluh orang. Ambillah oleh tuanku salah seorang
di antara kami untuk menggantikannya dan kami percaya bahawa tuanku adalah
orang yang sangat baik hati.’
Berkata pula Nabi Yusuf: ‘Kami berlindung
kepada Allah s.w.t, bahawa kami tidak akan menahan orang yang tidak mengambil
barang kami, sebab kalau demikian halnya, bererti kami orang aniaya.’
Sambil menitiskan air mata, mereka
meminta agar Bunyamin dapat dibawa pulang akan tetapi permintaan tidak dapat
dikabulkan. Akhirnya mereka berputus asa untuk memperoleh Binyamin kembali.
Berkatalah ketika itu seorang yang terbesar di antara mereka, iaitu Yahuza: ‘Kita
sekalian sudah bersumpah kepada bapa kita, bahawa Bunyamin pasti pulang dengan
selamat, tetapi sekarang ternyata Bunyamin tertinggal, apakah daya kita? Apakah
kita dahulu sudah menghilangkan Yusuf dari bapa dan ketika itu pun kita sama-sama
bersumpah juga. Hati bapa yang luka dan sedih kerana hilangnya Yusuf belum
sembuh, air mata bapa setiap hari masih terus mengalir. Kita telah berdosa
besar kepada Yusuf dan dosa itu kita ulangi lagi terhadap Bunyamin. Aku
benjanji bahawa aku tidak akan meninggalkan negeri ini, hingga bapa aku memberi
izin untuk kembali atau Allah s.w.t menjatuhkan hukuman atas diri aku, kerana Allah
s.w.t adalah sebaik-baik pemberi hukum. Sebab itu pulanglah engkau
sekalian, tinggalkan aku dan katakan kepada bapa nanti, bahawa Bunyamin telah
mencuri, tetapi kita sendiri tidak melihat bahawa dia mencuri dan apa yang
sebenarnya tersembunyi dalam hal ini kita tidak mengetahuinya. Baliklah bapa
supaya menanyakan kepada orang-orang di bumi tempat kita berpijak di situ dan orang-orang
di kafilah yang berada di hadapan kita ketika itu, semuanya akan menjadi saksi bahawa
perkataan kita itu benar.’
Mereka sembilan orang pun pulang menuju
kampung halaman, sedang Yahuza tinggal di Mesir, begitu juga dengan Bunyamin
ditawan oleh pembesar Nabi Yusuf. Baru saja Yaakub melihat bahawa Bunyamin
tidak pulang bersama mereka, hatinya rasa disayat untuk kedua kalinya,
bercampur geram yang tidak dapat dibayangkan. Lalu baginda bertanya: ‘Apa pula
yang kamu telah lakukan atas diri saudaramu? Mana sumpah dan janji yang sudah
kamu ucapkan itu? Cuba ceritakan apa kejadian yang sebenarnya!’
Semua kejadian itu mereka ceritakan.
Yaakub lalu memalingkan muka menyisihkan diri menuju ke dalam kamarnya
bersembunyi diri dan berkata: ‘Hal itu sudah terjadi juga, maka sabar jugalah
yang lebih baik, kerana hanya Allah-lah yang dapat menolong atas semua apa yang
diceritakan itu. Mula-mula aku kehilangan Yusuf, sekarang kehilangan Bunyamin
dan Yahuza pula. Mudah-mudahan Allah s.w.t akan mendatangkan mereka yang telah
hilang itu bersama-sama, kerana Allah s.w.t Allah s.w.t Maha Mengetahui, Maha
Kuasa dan Maha Pintar.’
Nabi Yaakub lenyap ke dalam gelombang dan
gelora sedih. Gelombang dan gelora sedih yang datang silih berganti. Segenap
tulang temulang dan urat sarafnya kini penuh dengan kesedihan, sejak dari
hujung rambut hingga ke hujung tumit; lubang kecil sebuah pun tidak ada yang
dapat ditembus angin untuk mengurangkan kepedihan yang menyeksa batinnya. Hanya
ada dua ketika saja yang boleh menggembirakannya dalam keadaan sekarang ini.
Pertama ialah ketika baginda menyembah dan bersujud kepada Allah s.w.t, baginda
bermunajat dan berserah diri kepada Allah s.w.t dalam sembahyangnya, menuang
jiwanya dengan iman, sabar dan yakin. Kedua ialah ketika baginda mengingatkan
wajah Nabi Yusuf dan Bunyamin. Ketika mengingat dan membayangkan wajah kedua-dua
orang anaknya itu timbul rasa gembira dalam kalbunya, seakan-akan baginda benar-benar
bertemu dengan kedua-dua anaknya itu, kendatipun hanya sedetik, sesaat belaka
yang segera diringi pula oleh air mata dan sedu tangis yang tidak ada hentinya,
air mata panas yang membakar jantung, bukan air mata dingin yang dapat
mengurangkan kesedihan.
‘Akan sia-sia sajakah air mata dan sedu
sedanku sebanyak itu?’ tanya Yaakub kepada dirinya, sebaik habis baginda
mencurahkan air mata dan menangis tersedu-sedu itu. ‘Air mataku ini dijadikan Allah
s.w.t tentu bukan untuk disia-siakan belaka,’ katanya pula yang diperintah oleh
rasa keimanan dan kesabaran.
Sungguhpun keimanan dan kesabarannya
sentiasa memujuk hatinya yang duka, namun badan Yaakub bertambah kurus, matanya
semakin putih, akhirnya baginda tidak dapat bergerak lagi kerana lemah, matanya
sudah tidak dapat melihat lagi disebabkan terlalu banyak mengeluarkan air
mata.
Tidak Akan Berputus Asa
Pada suatu pagi sebaik habis baginda sembahyang dan
berdoa ke hadrat Tuhannya kembali badannya menjadi gementar, lalu baginda
menangis dan air matanya pun tercurah pula; baginda mengeluh panjang: ‘Ya Asafa
ala Yusuf,’ katanya dengan suara yang putus, seakan-akan baginda melihat
sendiri akan Nabi Yusuf yang berada jauh di sana.
Melihat keadaan bapanya yang demikian
itu, salah seorang di antaranya memanggil saudara-saudara yang lain untuk memeriksa
bagaimanakah keadaan bapanya kini dengan cara bagaimana untuk dapat membantu
dan meringankan kesedihan hatinya yang tidak terhingga itu. Salah seorang di
antaranya lalu berkata kepada Yaakub: ‘Hai, bapa kami. Engkau adalah Rasul yang
benar, Nabi yang mulia. Wahyu Allah s.w.t turun kepada engkau, ya bapa, dari
engkaulah keluarnya nasihat dan petunjuk. Tetapi mengapa bapa sampai demikian
rupa? Sudah cukup rasanya air mata yang bapa keluarkan, sehingga sudah kurus
kering badan bapa lantaran itu Demi Allah, sentiasa bapa teringat kepada Yusuf,
sehingga keadaan bapa menjadi sakit atau mungkin meninggal dunia.’
Berkatalah Yaakub: ‘Semua usahamu akan sia-sia
belaka, takkan ada yang dapat menyembuhkan penyakitku ini, sebelum aku dapat
bertemu dengan Yusuf dan dapat melihat wajahnya. Kendatipun Yusuf sudah mati
dimakan serigala sebagaimana ucapanmu, tetapi selama aku masih dapat menghirup
udara dan masih berada di bawah lindungan langit yang biru, aku dapat merasakan
suatu perasaan yang berada dalam jiwa dan lubuk jantungku, wahyu Allah s.w.t
telah berhembus dalam hatiku, sehingga aku masih mempunyai kepercayaan bahawa Yusuf
masih menghirup udara yang kuhirup, masih bernaung di bawah langit biru yang
melindungiku ini. Hanya saja aku tidak mengetahui padang pasir manakah yang
sedang dijalaninya sekarang ini, entah ke timur atau ke barat tujuan
perjalanannya. Inilah yang menyebabkan kesedihan dan kepiluan hatiku. Bila kamu
sekalian ingin menyembuhkan aku dari penyakitku dan menghilangkan segala kesedihan
hatiku, pergilah kamu menjelajahi bumi Allah s.w.t yang luas ini, carilah di
mana Yusuf sekarang berada, walaupun kamu sudah mengatakan bahawa dia sudah
binasa. Carilah dia dengan segala kesungguhan dan kesabaranmu dan janganlah
kamu sampai berputus asa, kerana tidak akan berputus asa selain mereka orang-orang
yang kafir.’
Kata-kata yang keluar dari mulut Yaakub
yang sudah tua itu, sungguh menusuk lubuk hati mereka, dicucukkanlah tiap-tiap
kata yang diucapkan oleh Yaakub itu dengan rahsia-rahsia yang mereka simpan
selama ini. Teringatlah mereka, bukankah Nabi Yusuf tidak jelas matinya, kerana
mereka hanya melemparkannya hidup-hidup ke dalam telaga Jub itu? Mungkin dia
dapat keluar dari telaga itu dan setelah dia dapat keluar terus mengembara ke
sana ke mari. Tetapi di manakah gerangan Yusuf sekarang ini?
Sungguhpun tentang Nabi Yusuf masih
meragukan hati mereka, tetapi mengenai Bunyamin, jelas masih ada, sedang dalam
tawanan raja dan tempatnya pun sudah dikenalinya pula. Timbullah gerak dalam
hati mereka untuk cuba mendapatkan Bunyamin lebih dahulu, kemudian baru
berikhtiar mencari Nabi Yusuf, sebab mereka beranggapan, dengan kembalinya
Bunyamin lebih dahulu, sedikitnya dapat juga mengurangi kesedihan hati bapa
mereka.
Mereka lalu minta izin untuk berangkat
kembali ke tanah Mesir, mengadap pembesarnya yang masyhur itu, dengan maksud
untuk meminta saudaranya yang ditawan itu dengan permohonan setinggi-tingginya,
harapan yang sebesar-besarnya, lebih tinggi dari langit dan lebih besar dari
bumi.
Setibanya di negeri Mesir, segera mereka
mendapatkan pembesar (Nabi Yusuf) serta menyampaikan permohonan: ‘Ya Tuanku
Pembesar, keadaan memaksa kami untuk kembali ke mari mengadap tuan. Kehendak
kami akan menetap di sini mendatangkan sembah dan sujud kepada tuan. Hari yang
selalu berubah. Bahan-bahan yang telah tuan serahkan kepada kami semuanya telah
habis, sedang keadaan di tempat kami masih tetap susah, sedang bahaya kelaparan
masih tetap mengancam kami. Kami sengaja datang kembali untuk minta atas segala
kemurahan hati tuan, agar tuan suka memberi sedekah lagi kepada kami, untuk
dapat menahan hidup kami. Begitu juga bila tuan masih menyukai dan berbuat baik
terhadap kami, sudilah kiranya tuan melepaskan saudara kami yang sedang tuan
tahan itu, agar dengan cara demikian dapatlah air mata bapa kami yang selalu
bercucuran itu ditahannya, begitu juga jantung dia dapat diringankan.’
Ketika itu Nabi Yusuf berpendapat, bahawa
sudah datanglah waktunya kini untuk membukakan rahsianya yang selalu ditutupnya,
bagi memaklumkan kepada saudara-saudaranya, bahawa dialah Yusuf, agar mereka
mengakui atas kebenaran dan kesalahan-kesalahan yang telah mereka
lakukan.
Berkatalah Nabi Yusuf kepada saudara-saudaranya
itu: ‘Ingatkah kamu sekalian akan awal cerita pada waktu kamu masih kecil-kecil?
Kamu diperkudakan oleh hawa nafsu dan dengki, menurutkan pengaruh buruk dari
syaitan, sehingga Yusuf kamu buang ke dalam telaga, kemudian saudaranya yang tinggal
selalu kamu goda dan kamu hinakan. Masih teringatkah kamu, ketika salah seorang
di antaranya yang terkuat dengan kedua-dua belah tangannya yang kuat itu
memaksa Yusuf membuka semua pakaiannya? Sedang Yusuf ketika itu menangis
terisak-isak minta dikasihani, tetapi tidak ada seorang pun di antaramu yang
merasa kasihan kepadanya dan dengan kasar kamu lemparkan dia ke dalam telaga
yang jauh terpencil di tengah-tengah gurun Sahara yang panas, dan di sanalah juga
kamu tinggalkan Yusuf sendirian menunggu nasib dan takdir Tuhannya.’
Mendengar cerita Nabi Yusuf itu, mulailah
mereka tercengang-cengang, kehairanan. Dari siapakah pembesar itu tahu akan
riwayat itu semua? Apakah dari Bunyamin? Tetapi Bunyamin sendiri tidak turut serta
ketika itu, tidak pula mengetahui sedikit pun tentang kejadian itu dan tidak
seorang manusia pun yang tahu.
Setelah menyimpulkan pendapat bahawa tidak
seorang pun manusia yang mengetahui akan kejadian itu, mereka memerhatikan benar-benar
akan gerak-geri orang yang berkata-kata di hadapan mereka, diingat-ingatkan
akan bentuk dan keadaan diri Nabi Yusuf, akhirnya yakinlah mereka bahawa semua tanda
yang dapat mereka ingat, memang bersamaan dengan orang yang berada di hadapan
mereka itu, lalu berkatalah mereka: ‘Sesungguhnya engkau inilah kiranya Yusuf.’
Dengan segera Nabi Yusuf menjawab: ‘Betul
aku adalah Nabi Yusuf, dan ini Bunyamin adalah saudaraku sendiri. Allah s.w.t
telah mempertemukan kami, kerana dia adalah hamba Allah s.w.t yang takwa dan
penyabar, sedang Allah s.w.t tidak akan menyia-nyiakan jasa hamba-Nya yang
sabar itu.’
Mendengan kisah itu, berubahlah warna
muka mereka, terkejut dan lebih terperanjat, dari mendengar petir yang dahsyat.
Mulut mereka menjadi tertutup tidak dapat berkata-kata, badan mereka menjadi
kaku tidak dapat bergerak rasanya. Kalau bumi mempunyai mulut dan mengangakan
mulutnya itu, rupanya mereka rela masuk ke dalamnya, agar ditelannya habis ketika
itu juga.
Tetapi Nabi Yusuf dengan segera
menyabarkan mereka, dijelaskannya bahawa mereka tidak akan menerima pembalasan apa-apa,
kerana mereka itu saudaranya sendiri, saudara sebapa, kendatipun dahulu mereka
pernah berbuat kejahatan terhadap dirinya. Nabi Yusuf berkata kepada mereka: ‘Aku
tidak akan bertindak apa-apa atas dirimu sekalian. Allah s.w.t telah mengampuni
segala dosamu. Allah s.w.t Maha Pengampun dan Maha Pengasih.’
Bertemu Anak Yang Dirindui
Kembali kita kepada Nabi Yaakub yang sedang ditimpa
cubaan besar silih berganti, sebagaimana halnya yang dialami oleh Nabi Yusuf
sendiri. Memang kedua-dua orang itu adalah orang-orang suci yang lurus dalam
menerima cubaan yang bagaimanapun juga hebat dan dahsyatnya, cubaan yang tidak
mungkin dapat di atasi oleh sebarang manusia.
Demikianlah, pada suatu pagi setelah Nabi
Yaakub selesai mengerjakan sembahyang, sebaik habis berdoa dan mengingat akan Allah
s.w.t, baginda kembali menangis tersedu-sedu, baginda seorang diri kerana tidak
ada orang yang menemaninya. Tiba-tiba tangisnya terhenti, dadanya berasa
lapang, air matanya tidak mengalir, hatinya sangat nyaman. Baginda pun hairan,
dari manakah gerangan datangnya perasaan yang demikian lega dan senang itu?
Ketika itu teringatlah baginda akan Nabi Yusuf, terbayang pula dalam ingatannya
akan wajah Nabi Yusuf. Ketika itu keluarlah senyuman dari kedua-dua belah
bibirnya.
Tiba-tiba Yaakub menjerit dengan sekuat
suaranya: ‘Sungguh, aku mencium baunya Yusuf.’
Tepat ketika itu sampailah unta yang ditunggangi
anak-anaknya dari Mesir, selain membawa buah tangan, mereka juga membawa
sehelai baju kepunyaan Nabi Yusuf. Baju itulah rupanya yang tercium oleh hidung
Yaakub sehingga baginda merasakan nikmat, hilang segala kedukaannya.
Anak-anaknya yang sembilan orang itu pun
segera turun dari unta, lalu melemparkan baju Nabi Yusuf yang sengaja mereka
bawa itu ke hadapan Yaakub, tepat mengenai hidungnya. Seketika itu juga mata
Yaakub yang selama ini buta dan kering, kini terbuka serta dapat melihat dengan
terangnya.
Di dalam keadaan yang serba nikmat
bahagia itu, mereka ceritakan kepada Yaakub segala sesuatu yang telah terjadi
dalam perjalanannya ke Mesir yang ketiga kalinya ini, di mana mereka telah
menemui pula pembesar yang budiman itu, serta diterangkannya juga agar mereka
sekalian berangkat kembali ke Mesir, untuk menemui serta dapat hidup bersama-sama
dengan Nabi Yusuf.
Berkatalah Yaakub dengan sangat girang: ‘Apa-apa
yang sudah terjadi, marilah kita lupakan, kendatipun aku tidak dapat
menghindarkan seseorang dari seksaan Allah s.w.t, namun aku mendoakan serta
memintakan keampunan kepada Allah s.w.t, mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuni
segala dosa-dosamu sekalian begitu juga dosaku sendiri, kerana Allah s.w.t
pemberi ampun dan pengasih. Sekarang marilah kita berangkat bersama-sama menuju
Mesir.’
Setelah Nabi Yusuf melihat bapanya datang
dan sedang dikelilingi oleh saudara-saudaranya yang berjumlah 11 orang itu, saudara-saudaranya
itu sujud bersimpuh di hadapan Nabi Yusuf sebagai tanda membesarkannya, lalu
berdiri di hadapan Nabi Yusuf dengan hormatnya. Seketika itu juga Nabi Yusuf
menengadahkan kedua-dua belah tangannya ke langit, baginda bersyukur atas
nikmat dan kurnia Allah s.w.t yang dianugerahkan pada dirinya, sambil berkata: ‘Tuhanku,
Engkau sudah memberi kekuasaan padaku dan Engkau telah mengajarkan akan takwil
mimpiku, Engkaulah yang menciptakan semuanya langit dan bumi. Engkaulah Waliku
di atas dunia dan di akhirat nanti, hendaknya Engkau mewafatkan aku dalam
keadaan aku beragama Islam dan masukkanlah aku dalam golongan orang-orang yang
berbahagia.’
Demikianlah riwayat kedua-dua-dua orang
Nabi Besar yang mulia ini, iaitu Nabi Yaakub dengan anaknya (Nabi Yusuf as.),
yang tidak kurang juga hebat serta mendalam pembawaannya, dibandingkan dengan
riwayat Nabi Ibrahim dengan anaknya (Nabi Ismail). Begitu juga riwayat para
Nabi dan Rasul lainnya. Hanya dengan kesucian dan keimanan mereka kepada Allah
s.w.t sajalah yang dapat membawa mereka dengan kejayaan dalam menghadapi perjuangan
suci. Dengan itu jugalah mereka dapat mengatasi segala rintangan dan bahaya
yang mereka hadapi, rintangan dan bahaya yang jauh lebih hebat dan sukar dari
rintangan serta bahaya yang dihadapi oleh manusia pada zaman sekarang. Dengan
berpedoman kepada perjuangan mereka, insya-Allah kita akan berjaya pula
mengatasi segala kesukaran yang terdapat sekarang ini dalam menghadapi perjuangan
kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan