Khamis, 12 September 2013

Menyesal Dengan Kemusyrikan


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah pada zaman dahulu ada dua orang bersaudara di antara golongan Bani Israil. Kedua-duanya bersaudara kandung. Tetapi hairan, satu sama lain bertentangan dalam pendapat dan pandangan hidup, bertentangan fahaman dan ideologi; ibarat buah sepohon dan sekebun tempat tumbuhnya, tetapi rasa, yang sebiji manis, sedang yang sebiji lagi pahit sepahit-pahitnya. 
Yahuza, demikianlah nama salah seorang di antara kedua-dua orang yang bersaudara itu. Dia ini adalah seorang yang Mukmin dan mendasarkan hidup dan perjuangannya kepada dasar ketuhanan. Tahu akan darjat diri tempat di mana beliau hidup sekarang menjelang matinya. Sifatnya pemaaf dan pemurah hati, penyantun terhadap sesama dan suka merendahkan diri, tidak terlalu tergoda oleh hiburan dunia dan harta benda kekayaan. 
Yang seorang lagi bernama Qutrusy. Dia tidak mahu mengenal Allah s.w.t dan Hari Akhirat. Hidupnya dalam kekafiran tanpa agama, hanya berpedoman kepada otaknya sendiri saja. Sifatnya kasar dan bakhil sekali, selalu menganggap dirinya lebih pintar dan lebih berkuasa dari semua orang. Dia selalu memandang rendah kepada orang dan golongan lain, lebih-lebih kepada orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan senantiasa beribadat. 

Merasa Bimbang

Setelah bapa kedua-dua orang bersaudara ini menjadi tua dan dekat waktunya meninggal dunia, kedua-dua anaknya itu dipanggilnya. Si bapa merasa bimbang bila dia meninggal dunia kalau-kalau kedua-dua anaknya ini akan berebutan harta peninggalannya yang begitu banyak dan melimpah-ruah. Agar perselisihan yang tidak diharapkannya itu jangan sampai terjadi, maka ketika itu juga semua harta benda kekayaannya yang banyak itu pun, dibahagikannya sama banyak antara kedua anaknya itu. Sesudah dibahaginya sama rata, masing-masing berhak untuk memperbanyak atau menghabiskan harta itu sekehendak hati mereka. 
Adapun Yahuza telah menetapkan niat dan rencana dalam hatinya, akan menggunakan harta yang diterimanya itu untuk keperluan sesuatu yang diredhai Allah s.w.t, sebagai tanda bakti dan taatnya kepada Allah s.w.t, tanda syukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. Dia akan gunakan segala harta dan wang yang ada padanya itu untuk membeli dan menebus syurga yang dijanjikan Allah s.w.t. 
Harta itu selalu digunakannya untuk menolong orang-orang yang sengsara hidupnya, orang-orang yang lapar dan dahaga kerana miskin. Dia mendirikan jambatan dan memperbaiki jalan yang rosak untuk dilalui orang ramai, serta membantu orang-orang yang mendapat kecelakaan dan yang ditimpa bahaya. 
Tidaklah hairan kalau hartanya itu bukan semakin bertambah banyak, malah semakin sedikit dan akhirnya habis sama sekali; tetapi Yahuza tetap tenang dan sabar. Dicukupkannya apa-apa yang dapat dicarinya sehari-hari untuk penghidupannya, bahkan kadang-kadang dia tidak mendapat apa-apa untuk dimakannya, lalu dia berpuasa dan bermohon kepada Allah s.w.t agar diberi rezeki. Bila dia mendapat rezeki yang agak banyak, maka bertambah-tambah syukur dan ibadatnya kepada Allah s.w.t. Tidak jemu-jemunya lidah serta anggota tubuhnya menyebut dan menyembah Allah s.w.t. 
Adapun Qutrusy dengan harta pusaka yang diperolehnya itu semakin bertambah lupa dia kepada Allah s.w.t, kerana asyik mengurus harta dan kekayaannya itu saja. Dengan tidak kenal penat dan lelah, siang dan malam tidak ada yang difikirkannya selain bagaimana caranya untuk menjadikan harta yang banyak itu menjadi lebih banyak lagi. 
Satu sen pun dia tidak mahu memberikan hartanya itu kepada orang-orang yang melarat dan miskin, apalagi untuk keperluan sosial dan umum, sedikit pun tidak pernah digunakan untuk mengingat dan menyembah Allah s.w.t, sebab fikirnya, menyebut dan menyembah Allah s.w.t itu membuang waktu kepada yang tidak berguna dan tidak mendatangkan hasil saja, boleh merugikan diri sendiri dan bodoh. Telinganya ditutup serapat-rapatnya, bila mendengar suara orang yang meminta, pintu rumahnya dikunci serapat-rapatnya bila ada orang yang mengharapkan bantuan dan pertolongan, hanya dibuka selebar-lebarnya bagi orang yang akan menambah untung dan kekayaannya. 
Dengan hartanya itu, dia berhasil membina dua buah kebun yang besar dan luas. Mengurus dan memajukan kedua kebun itulah segala umur dan kekayaannya ditumpahkan. Kebun itu teratur rapi, bersih dan menghijau. Tumbuh di dalamnya berbagai-bagai tanaman yang selalu mendatangkan hasil yang berlipat ganda; di tengah-tengahnya dibuatnya taman dan jalan-jalan yang bersimpang-siur, sedang di kelilingnya berdiri rumah-rumah tempat tinggal seperti istana layaknya, enak dipandang mata, sejuk perasaan bila memasukinya, seakan-akan syurga di atas dunia. Tidak kurang pula dengan sungai-sungainya yang mengalir air jernih, untuk diminum dan tempat mandi bersenang-senang. 
Buahnya lebat lazat dan nyaman kalau dimakan, daunnya yang rimbun segar itu digunakan untuk berteduh dan berlindung tatkala musim panas. Semua orang tertarik akan kebun yang moden itu, hal yang menambah banyak hasil yang diperoleh daripadanya. Qutrusy tidak bosan-bosan memandang dan mengurus kebun yang cantik molek dan mendatangkan keuntungan yang tidak sedikit itu. Siang malam dengan asyiknya dia keluar masuk kebun itu, untuk memandang buah-buahan yang lebat dan warnanya yang menghijau. Kekayaannya makin berlimpah-limpah, hidupnya semakin senang dan bahagia rasanya. Dia dianugerahi Allah s.w.t beberapa orang anak yang sihat-sihat serta gagah-gagah. 
Tetapi dengan semua nikmat dan anugerah Allah s.w.t itu, hidupnya semakin lupa dan jauh dari Allah s.w.t, kesombongan dan kebongkakkannya semakin hebat, kebakhilannya pun menjadi berlipat kali ganda pula. Tidak pernah lidahnya digunakan untuk mensyukuri nikmat Allah s.w.t itu dan tidak pernah pula dahinya direndahkan untuk menyembah dan beribadat. 

Lama Tidak Berjumpa

Kebunnya makin diperluas lagi, rumah-rumah dan istana yang didiaminya ditinggi dan dimodenkan lagi, orang gajinya makin ditambah. Tetapi semakin senang dan kaya, dia semakin kafir dan lupa kepada Allah s.w.t yang telah menjadikan dirinya dan harta benda sebanyak itu. Pada suatu hari, setelah lama Qutrusy dan Yahuza tidak berjumpa, mereka bertemu di suatu tempat. Alangkah terkejutnya Qutrusy melihat saudaranya yang berpakaian compang-camping itu. Matanya mengejek, mulutnya segera menegur saudaranya itu: ‘Ke mana perginya harta dan kekayaanmu itu? Ke mana perginya emas dan perakmu? Sekarang ternyatalah akan kebodohanmu dan kepintaran diriku. Engkau hidup melarat dan compang-camping. Tidak mempunyai teman dan tidak akan dipandang oleh orang ramai sedikit pun juga.’ 
‘Adapun keadaanku boleh kau lihat sendiri. Hidupku senang, bahagia selamanya. Banyak harta dan anak keturunan, banyak teman dan pembantu. Cubalah masuk ke dalam kebunku ini, lihatlah pemandangan dan hasilnya, daunnya yang rimbun menghijau, buah-buahannya yang lebat dan lazat. Jalan-jalan dan rumah-rumah yang cantik dan teratur, sungai-sungainya yang senantiasa mengalir tidak kering-kering. Setiap hari dan bulan terus-menerus mendatangkan hasil dan keuntungan.’ 
‘Adapun engkau ini selalu memikirkan Allah s.w.t dan Akhirat saja. Aku tidak perlu tahu tentang Allah s.w.t dan akhirat itu. Aku juga tidak perlu Syurga yang dijanjikan Allah s.w.t, seperti katamu selama ini. Aku ini sudah dapat membuat Syurgaku sendiri dengan kepintaran dan tenagaku sendiri.’ 
Mendengar itu Yahuza menjawab dengan tenang: ‘Engkau sudah kafir mengengkari Allah s.w.t, sudah tidak percaya alam akhira. Engkau sudah tidak percaya akan hidup kembali sesudah matimu di alam fana ini, di alam mana engkau akan dihisab dan diperhitungkan segala amal perbuatanmu. Tidakkah engkau tahu siapa yang telah menjadikan manusia ini pada mulanya dari bahan tanah, kemudian dari setitis air di rahim ibu, yang kemudian lalu berubah menjadi segumpal darah, jadi berdaging dan bertulang? Berbentuk berupa, kemudian diberinya roh atau jiwa. Maka lahirlah ke alam dunia menjadi bayi, akhirnya menjadi manusia yang bertenaga seperti engkau ini.’ 
‘Apakah engkau tidak percaya, bahawa Allah s.w.t yang telah menciptakan manusia dengan jalan demikian itu, tidak akan dapat menciptakan alam akhirat seperti ajaran agama Allah s.w.t itu? Semua itu mudah sekali bagi Allah s.w.t Yang Maha Kuasa. Tetapi engkau tidak mengakui ini, kerana mata hatimu sudah ditutup serapat-rapatnya oleh keengkaranmu sendiri, sehingga semua itu kau lupakan dan tidak mahu memikirkannya. Engkau hanya memikirkan wang dan kekayaanmu saja. Pendirianmu itu sajalah yang dapat engkau benarkan. Pendirian orang yang beriman, walaupun dengan alasan yang bagaimana juga banyak dan nyata, tetap kau tolak, kau engkari dan kau dustakan.’ 
‘Dengan pendirianmu yang demikianlah engkau telah menghina, memandangku rendah, kerana kemiskinanku. Engkau menganggap dirimu lebih benar dari aku kerana hartamu yang lebih banyak itu. Aku dengan kemiskinanku ini lebih kaya daripadamu. Kekayaan yang sebenarnya, tidak terbatas pada wang dan harta saja, sedang engkau memandang kekayaan itu hanya dari segi wang dan harta saja. Kerana itu, seluruh tenaga dan fikiranmu itu dikerahkan ke arah wang dan harta saja. Kekayaan yang sebenarnya, adalah terletak dalam perasaan, merasa cukup apa yang ada.’ 
‘Itu emas dan perak, perhiasaan yang berupakan intan dan berlian, kebun-kebun yang luas dan tanaman-tanaman di atasnya, menurut pandanganku adalah ibarat biji yang tumbuh di atas tanah, ada masanya tumbuh dan subur, tetapi ada pula masanya layu dan mati. Begitu juga ada masanya berada dan akan datang masanya habis dan lenyap kesemuanya itu, disebabkan oleh terik panas matahari, atau kerana dilanda banjir, atau ditiup angin taufan.’ 
‘Adapun orang-orang sebanyak itu yang menjadi hambamu, menjadi pekerja dan buruh yang selalu kau sombong-sombongkan itu, belum tentu akan dapat engkau pekerjakan atau menolong bila engkau sedang ditimpa bahaya yang hebat, malah mungkin merekalah nanti yang akan mencelakakan dirimu sendiri. Adapun aku ini hanya ingin ditolong oleh Allah s.w.t, iaitu menjadi kawan Allah s.w.t, bukan menjadi musuhnya Allah.’ 
‘Buat aku nikmat yang paling penting, bukan harta dan kekayaan, tetapi adalah kesihatan badan dan hidup selalu dalam keredhaan Allah s.w.t; asal diredhai Allah s.w.t, aku tidak takut dimusuhi manusia. Asal dapat aku memperoleh syurga yang dijanjikan Allah s.w.t itu, aku rela kendatipun hidupku miskin di atas dunia yang fana ini, kerana hanya kebahagiaan hidup di dalam syurga itu sajalah yang bakal kekal selama-lamanya. Adapun kebahagiaan dunia ini, hanya terbatas dalam jangka waktu yang amat singkat saja.’ 
‘Kendatipun kebun dan kekayaanmu itu berlimpah-limpah, serta terjaga rapi oleh penjaga-penjaga yang engkau beri upah, tetapi siapakah gerangan yang akan dapat menjaganya dari bahaya badai dan banjir besar? Siapakah yang dapat menjaganya dari hawa panas terik, sehingga kesemuanya menjadi kering? Air yang mengalir di dalam kebunmu, dapat menghidupkan dan menyuburkan tanaman dan binatang-binatang ternakanmu, tetapi air itu pun dapat juga menghancurkan dan memusnahkan segala yang engkau tanam dan pelihara. Segala sesuatu mudah terjadi, bila telah dikehendaki oleh Allah s.w.t yang menjadikan semua itu; kalau engkau tidak mahu patuh, tunduk dan selalu bertindak memusuhi Allah s.w.t yang Maha Kuasa itu.’ 
Sebaik habis berkata-kata demikian, Yahuza segera meninggalkan tempat itu, meninggalkan saudaranya yang sudah nyata tidak akan menerima segala nasihat yang bagaimanapun baik dan jujur. Qutrusy segera pula kembali ke dalam kebunnya. Dia kembali asyik dengan harta kekayaannya saja, dia lupa akan semua nasihat yang didengar dari mulut saudaranya tadi. 
Pada suatu hari, tidak lama setelah pertemuan dengan saudaranya, setelah dia bangun dari tidurnya, kebiasaannya, segera beliau keluar menuju kebunnya yang tidak sedikit pun lepas dari ingatannya, untuk bersenang-senang dan melihat segala kekayaan yang menjadi penghibur hatinya. Tetapi alangkah terkejut dan terperanjatnya, setelah dilihatnya semua tanaman-tanamannya yang subur dan menghijau itu, telah menjadi kering dan mati. Setitis air, sedikit angin pun tidak berhembus lagi di tempat itu. 


Melihat pemandangan itu, kering lidah dan mulutnya, gementar sekujur badannya, lemah longlai semua persendian dan tulangnya. Dia rebah ke tanah tidak bertenaga lagi. Dengan susah payah beliau menengadahkan kedua telapak tangannya ke langit, menunjukkan akan penyesalan dalam hatinya, beliau merasa rugi atas segala dan susah payahnya selama ini. Di sanalah beliau mengeluh dengan suaranya yang sayup-sayup kedengaran: ‘Aku menyesal akan kemusyrikanku dan telah mengengkari Allah s.w.t! Sesalnya ini sudah terlambat, sesal kemudian sungguh-sungguh tidak ada gunanya sama sekali!’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA