Khamis, 12 September 2013

Ilmu Dan Wanita Solehah


SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA dalam hal ilmu atau menuntut ilmu, Islam tidak membezakan antara lelaki dan wanita. Wanita juga diperintahkan agar membekalkan diri mereka dengan ilmu yang bermanfaat, yang dapat mendorongnya sehingga mengenal Allah dan agama-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu adalah fardhu setiap Muslim.” (hadis riwayat Thabrani)

Perkara ini terungkap dalam sabda-sabda Baginda s.a.w yang lain. Baginda s.a.w bersabda, “Sesiapa lelaki yang mempunyai hamba sahaya wanita lalu ia mengajarnya dan membaguskan pengajarannya dan adabnya serta mendidiknya kemudian mengahwinkannya, maka baginya dua pahala.” (hadis riwayat Abu Daud).

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Barangsiapa yang memilki tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu mereka dididik dengan adabnya, berbuat baik kepadanya dan sampai mereka dinikahkan, maka baginya syurga.” (hadis riwayat Abu Daud)

Saiyidina Ali Bin Abi Thalib r.a. berkata, “Sebaik-baik wanita adalah wanita-wanita Ansar. Mereka tidak malu mempelajari dan mendalami pemahaman agama.” (Abdur Razak)

Rasulullah s.a.w sentiasa mengkhususkan pada hari-hari tertentu untuk mengajar kaum wanita mengenai hukum-hukum agama. Sehingga kaum wanita juga dapat belajar dan mengajar sesama wanita. Kerana ada satu masa di mana Rasulullah s.a.w pun merasa malu untuk menjelaskan beberapa hukum agama yang khusus bagi wanita. Maka di situlah kaum wanita berperanan untuk saling belajar dan mengajar. Sehingga tidak timbul fitnah dalam ajar mengajar. (hadis riwayat Bukhari, Muslim).

A’isyah r.a berkata, Ada seorang wanita bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang bagaimna cara mandi sesudah bersih dari haidh. Lalu Rasulullah s.a.w menyuruh wanita itu memperagakannya dan berkata, “Ambillah wangian itu dan sucikanlah ia.” Wanita itu bertanya lagi, “Bagaimana caranya?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Ya pakai saja.” Wanita itu nampaknya belum puas dengan jawapan Rasulullah s.a.w, jadi dia bertanya lagi, “Bagaimana caranya, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Subhaanallah, ya pakai saja!” Selanjutnya baginda s.a.w memanggil aku untuk menggantikan Baginda dalam menjelaskan hal ini.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)

Ibnu Hazm menjelaskan persekutuan wanita dengan lelaki dalam mencari ilmu, berkata, “Setiap Muslim yang sudah baligh dan berakal, lelaki dan wanita, orang merdeka dan hamba sahaya, adalah wajib. Tidak seorang pun dari kaum Muslimin yang menyanggahnya bahawa ia harus mengetahui mana yang halal dan mana yang haram bagi dirinya, siapa pun ia. Mereka semua diwajibkan adil dalam proses belajar. Seorang imam dapat memaksa para wanita dan wanita yang ‘terpandang’ sekalipun agar belajar sendiri atau memberi peluang kepada mereka untuk belajar. Imam juga layak bertegas dalam hal ini serta mengatur orang-orang untuk mengajar orang lain yang masih jahil.”

Wanita Berhak Menuntut Ilmu 

Sabda Rasulullah s.a.w. ”Dunia ini adalah kesenangan dan sebaik-baik kesenangan ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim dan An-Nasa’ei)

Wanita yang solehah ialah wanita yanbg berpendidikan baik dan berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Sekiranya wanita tidak diberikan pendidikan yang sewajarnya, amat sukar sekali hendak menjadikan mereka sebagai wanita solehah sebagaimana yang diharapkan. 

Sejarah telah membuktikan bagaimana seorang ibu telah dapat membakar semangat perjuangan ke dalam anak lelakinya. Wanita tersebut ialah Asma Binti Abu Bakar. Asma telah memberi perangsang kepada anaknya ketika pertempuran sengit berlaku di antara Abdullah bin Zubir (anak lelakinya) dan tentera-tentera Yazid bin Mu’awiyah. Di antara kata perangsang yang diucapkan oleh Asma kepada anaknya itu ialah, ”Hai anakku, jika engkau yakin bahawa engkau di atas kebenaran yang engkau seru maka teruskanlah dan janganlah sekali-kali engkau biarkan tengkukmu dipermain-mainkan olah hamba-hamba Bani Umaiyah. Akan tetapi, jika engkau mengkehendaki keduniaan, maka alangkah celakanya engkau sabagai hamba Allah dan dengan demikian engkaulah sendiri yang menghancurkan diri sendiri dan orang-orang yang bersama-sama itu. Akan tetapi, jika engkau berkata, ‘Aku berada di atas kebenaran tetapi apabila sahabat-sahabatku menjadi lemah semangat maka aku pun turut lemah semangat.’ Maka sikap seperti ini bukanlah sikap orang-orang yang merdeka, malah bukan sikap orang yang berkebajikan kerana berapa lama sangatkah hidupmu di dunia, hai anak Zubir. Demi Allah! Dipancung dengan pedang dalam kemuliaan lebih baik bagiku dari pukulan cemeti dalam kehinaan.” Abdullah Bin Zubir meneruskan perjuangan dan akhirnya beliau gugur sebagai seorang syahid. 

Begitu juga isteri Saiyidina Ali r.a. iaitu Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah telah dapat mendidik kedua-dua orang anaknya iaitu Hasan dan Husin sehingga mereka akhirnya menjadi orang yang mulia di sisi Allah s.w.t. Kedua-dua wanita yang sepatutnya dicontohi oleh generasi wanita Islam hari ini adalah terdidik dalam suasana Islam dan hidup mengikut tuntutan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. 

Wanita-wanita yang tidak mendapat didikan Islam yang sempurna tidak mungkin dapat memberikan contoh yang sedemikian rupa. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan Islam dan pendididkan bagi kaum wanita kerana mereka adalah institusi pendidikan bagi anak-anak mereka. 

Kepentingan Menuntut Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya seorang wanita itu dicipta dari tulang rusuk. Sekali-kali ia tidak akan lurus bagimu di atas satu jalur. Jika engkau bersenang-senang dengan wanita maka engkau akan mendapatkannya sedangkan pada dirinya tetap ada bengkok.” (hadis riwayat Muslim)

Syeikh Abu Muhammad Jibril menyatakan bahawa dari penyelidikan para ahli ilmu jiwa dan menurut kenyataannya bahawa wanita, meskipun ianya telah dewasa namun tingkah lakunya masih seperti anak-anak, tabiat manja dan suka merajuk selalu ada padanya. Selanjutnya beliau berkata selain sifat suka merajuk, mudah menangis dan putus asa.

Wanita mempunyai sifat hiba hati yang sangat dalam, pendiriannya mudah berubah dan ketabahannya mudah goyah. Kerana sifat-sifat itulah. kaum waita wajib dididik, di ajar dan diberi bimbingan yang cukup. Jika tidak memperolehi bimbingan yang memadai bahaya akan datang segenap lingkungan masyarakat dan kerosakan pun akan terjadi di mana-mana akibat kebodohan mereka. Sebab pada hakikatnya wanita itu adalah fitnah dan ujian terbesar, juga sumber kerosakan yang dasyat jika tidak diiringi dengan iman dan ilmu yang baik.

Dalam hal ini, para suami juga bertanggungjawab untuk memberi pengajaran, pengetahuan agama kepada isterinya. Syeikh Ibnu Abdullah berkata: “Jikalau isteri mengabaikan hukum dari hukum-hukum haid dan istihadhah dan lelaki-lelaki tidak mengajarkannya, maka lelaki-lelaki terseut keluar bersama dengan isterinya dan ia bersekutu dalam dosa.”

Ilmu Yang Wajib Dituntut

Firman Allah s.w.t: “Maka ketahuilah bahawasanya tiada Tuhan selain Dia.” (surah Muhammad: 19)

Hendaklah difahami bahawa yang diwajibkan untuk dipelajari bagi kaum Muslimin dan Muslimaat adalah ilmu agama. Imam Al-Ghazali r.a menuliskan bahawa jika seseorang yang sudah baligh, maka pertama sekali wajib baginya mempelajari dua kalimah syahadah dan memahaminya. Wajib baginya mengenal Allah s.w.t, siapa Allah, bagaimana sifat dan kebesaran Allah s.w.t. Kemudian apa-apa ilmu yang untuk mentaati Allah s.w.t.

Contohnya, jika sampai waktu solat maka wajib baginya belajar tentang solat. Jika tiba bulan Ramadhan maka wajib baginya mempelajari tentang Puasa. Jika akan berangkat haji, maka wajib baginya belajar tentang haji. Jikandia memilki harta, maka wajib ke atasnya mempelajari tentang zakat. Setelah ilmu-ilmu fardhu ini sudah sempurna ia pelajari, maka wajib baginya untuk mempelajari sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila ini pun sudah dipelajari, barulah ia boleh belajar hal-hal yang lainnya.

Urutan ilmu pengetahuan yang harus diketahui oleh seseorang wanita solehah adalah seperti berikut:

1)     Ilmu Tauhid dan permasaalahan agama
2)     Ilmu Sunnah dan Adab
3)     Ilmu Mu’ammalah sesama manusia, terutama bagaimana berbakti kepada suami, orang tua, tarbiyyah kepada anak-anak dan sebagainya
4)     Ilmu-ilmu lain yang bermanfaat bagi kehidupan dunia dan akhirat.

Dr Abdullah Nasih Ulwan juga menyatakan bahawa wanita wajib mempelajari keterampilan yang sesuai dengan tugas dan specialist-nya sebagai ibu dan isteri. Tetapi sayang yang terjadi di saat in iadalah kaum wanita (bahkan juga kaum lelaki) meremehkan ilmu-ilmu agama dan menganggap bahawa belajar ilmu agama adalah sia-sia. Ilmu pengetahuan dan teknologi dianggap satu kehebatan yang luar biasa. Ini adalah satu ‘tipuan’ yang melanda umat ini. Maka diharapkan dari wanita-wanita solehah agar dapat mengidupkan kembali semangat ilmu agama.

Etika Wanita Dalam Menuntut Ilmu

Takwa adalah modal utama. Firman Allah s.w.t: “Bertakwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan mengajarimu.” (surah Al Baqarah: 282)

Dengan menjaga diri dalam garis-garis ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka secara automatik akan menambah keilmuan dan pengetahuan dalam masaalah agama. Ilmu yang diiringi dengan ketakwaan akan mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

Utamakan Belajar Daripada Mahram

Di sinilah manfaat dan kepentingan menghidupkan majlis taklim di dalam rumah. Dengan taklim bererti kita telah menjadikan rumah sebagai ‘asas’ madrasah bagi keluarga. Salah satu manfaat daripada taklim, bagi kaum lelaki di masjid, apabila mereka (para suami) pulang ke rumah masing-masing dapat mengajar isteri-isteri mereka daripada apa-apa yang telah mereka pelajari dari taklim di masjid-masjid mereka.

Dengan ini dorongan isteri kepada suami untuk meluangkan masa mempelajari agama adalah sangat penting sekali, sebagaimana dorongan isteri kepada suami dalam mencari nafkah.

Jika terpaksa sekalipun untuk keluar mencari ilmu haruslah dijaga dalam batas-batas ketakwaan dan dengan redha daripada suami. Ibnu Abdullah berkata, “Manakala isteri belajar dari fardu-fardu yang wajib atas dirinya maka ia tidak berhak untuk keluar ke majlis lelaki dan tidak berhak untuk belajar keutamaan kecuali dengan redhanya (suami).”

Hijab Antara Bukan Mahram

Ini adalah suatu hal yang sangat penting dalam pendidikan wanita. Demikianlah yang dicontohi oleh para solehiin dulu dalam mencari ilmu. Diriwayatkan bahawa jika sesudah salam dari solatnya, maka Rasulullah s.a.w berdiam beberapa saat. Dan jemaah pada masa itu mengetahui akan sikap Baginda s.a.w ini, yang dimaksudkan agar wanita keluar lebih dahulu sebelum lelaki. Diriwayatkan bahawa Masjid Nabawi mempunyai pintu khusus bagi wanita dan Umar r.a melarang kaum lelaki masuk dari pintu-pintu ini.

Kewajiban menuntut ilmu adalah sama sengan lelaki tetapi cara dan sistemnya jelas berbeza bagi kaum wanita. Bukan seperti yang dicontohkan oleh ‘Penghancur Islam.’ Dr Anwar Jundi mengatakan bahawa sistem belajar telah diatur sedemikian rupa oleh Islam dijadikan sasaran propaganda ‘busuk’ oleh kalangan musuh-musuh Barat yang tidak senang terhadap Islam. Mereka meneriakkan dengan lantang, bahawa sistem belajar seperti ini hanya mengongkong kaum wanita, mengurangi kebebasan.

Oleh kerana itu mereka meniupkan propaganda busuknya ke telinga kaum Muslimaat agar merosakkan tata aturan Islam yang telah sempurna tersebut. Salah satu daripada propaganda mereka adalah dengan mencampurkan lelaki dan perempuan dalam satu ruamg dalam pendidikan.

Imam al-Qabisi di makalahnya tentang pendidikan berpendapat bahawa walaupun Islam memberikan kebebasan kepada kaum wanita untuk menuntut ilmu seperti kaum lelaki tetapi dalam praktik pengajarannya mesti dijauhkan dari kaum lelaki dan tidak mencampurkan lelaki dalam pendidikan.

Ibnu Sahnun ketika ditanya tentang pengajaran yang mencampurkan lelaki dan wanita, beliau menjawab, “Saya memakruhkannya.” Abdullah Nashih-ulwan menuliskan bahawa mereka yang menghalalkan percampuran lelaki dan wanita dengan membebaskannya dengan alasan adat istiadat, sosial dan sebagainya. Padahal Allah s.w.t telah menjadikan lelaki dan wanita, dan melengkapi kedua-duanya dengan kecenderungan seksual antara masing jenis. Itulah fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, “Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.” (surah Ar-Ruum: 30)

Pergaulan Wanita

Setiap manusia perlukan pergaulan dan Islam mengatur pergaulan bagi kaum Muslimah dengan pergaulan yang suci, selamat, dan mulia kerana syaitan laknatullah berusaha untuk menghancurkan keimanan kaum Muslimah dengan segala tipuannya. Yang paling banyak menyelewengkan wanita dari agama dalam pergaulan adalah ajakan mereka mengenai kebebasan wanita, emansipasi dan sebagainya. Ditambah lagi dengan suapan-suapan globalisasi yang berkiblatkan budaya-budaya Barat sehingga, seolah-olah memaksa kaum Muslimah untuk keluar dari budaya Islam yang aman dan bijaksana.

Untuk itu Rasulullah s.a.w mengingatkan kaum lelaki, “Berhati-hatilah kamu berkhalwat dengan wanita. Demi diriku yang berada di dalam genggaman-Nya, tidak akan pernah seorang lelaki yang berduaan dengan wanita melainkan syaitan akan masuk di antara mereka. Seorang lelaki yang rapat dengan babi yang penuh dengan lumpur masih lebih baik daipada dia merapat dengan peha wanita yang tidak halal baginya.” (hadis riwayat Thabrani).

Syeikh Muhammad bin Abdullah mengulas dalam hal tipuan syaitan ini bahawa pergalan bebas antara lawan jenis seperti yang sering kali terjadi hanya akan mendorong wanita untuk bersolek, berpenampilan menantang, menarik pandangan kaum lelaki dan membangkitkan pesona mereka. Sebab keinginan seksual yang sudah menjadi fitrah lelaki dan wanita akan bertambah kuat kerana adanya pergaulan antara lawan jenis dan jika pembatasannya mudah ditembus.

Dalam masyarakat yang membuka pergaulan seperti ini akan muncul pembawaan baru dalam diri lelaki dan wanita iaitu saling menampkkan keindahan dan pesonanya untuk menarik minat lawan jenis. Lama Kelamaan tindakan ini bukanlah sesuatu yang perlu dingkari dan dicela kerana adanya perubahan teori moraliti. Bahkan kemudian semua itu dianggap sesuatu yang perlu disenangi. Kemudian berkembang semakin jauh hingga masing-masing tidak memiliki lagi satu sempadan pun.

Islam yang bijaksana tahu bahaya akibat pergaulan yang tiada tara dalam kehidupan individu dan ummat tatkala dorongan berahi sudah memuncak. Syariat Islam sudah membuat berbagai cara penjagaan dan perlindungan yang boleh menghalangi terlepasnya keinginan berahi dari pagarnya. Maka Islam memberi perhatian dalam penguatan ketakutan kepada Allah dalam diri manusia dengan memperkuatkan fitrah dengan rasa malu agar perasaan ini boleh menjadi pengawal secara dalaman.

Islam juga mensyariatkan hijab kepada wanita agar dia menutupi keindahan dirinya daipada lelaki, meminta izin tatkala memasuki suatu rumah, memerintahkannya agar menundukkan pandangan mata, baik lelaki mahupun wanita, melarang secara bebas antara lelaki dan wanita, memperingatkan wanita berpergian tanpa disertai mahram, kemudian meletakkan hukuman bagi orang yang melanggar larangan ini.

Muhammad Qutub mengatakan bahawa nafsu berahi atau seks itu sendiri bukanlah sesuatu yang kotor atau haram tetapi harus diletakkan dalam suatu lingkungan yang benar lagi bersih. Sedangkan kebebasan yang dilakukan wanita di dunia Barat dan diseru oleh para propagandis kebebasan di negara Timur yang beragama Islam, justeru akan merosakkan wanita dan lelaki serta generasi seterusnya.

Padahal dalam Huququl Mar’ah di tulis bahawa kebebasan sebenarnya adalah melepaskan diri dari bisikan hawa nafsu dan syahwat, juga dari tradisi dan kebiasaan-kebiasaan yang menyimpang dan sesat. Dari sini jelaslah majlis yang di situ ada kaum lelaki wanita bercampur sama sekali tidak sesuai dengan tabiat Islam dan ajaran Islam. Sebab pesona berahi yang ada dalam naluri lelaki dan wanita mempunyai suatu kekuatan yang tidak boleh di elak, yang akan menjadi bertambah kuat jika keduanya saling berkumpul.

Disebutkan dalam Nailul Autsar bab ‘Larangan Berkhalwat Dengan Wanita Bukan Mahram’: “Berkhalwat dengan wanita lain sudah disepakati oleh para ulama tentang pengharamannya sebagaimana hal ini telah dikisahkan Al-Hafizh di dalam Al-Fath. Alasan pengharaman tersebut kerana apa yang disebut di dalam hadis tentang kewujudan syaitan sebagai orang ketiga daripada keduanya yang boleh mengheret keduanya ke dalam kederhakaan. Namun jika khalwat itu disertai oleh mahram, itu dibolehkan kerana kemungkinan terjadinya kemaksiatan boleh dicegah kerana kehadiran mahram tersebut.”

Sebab tabiat kekeluargaan itu cenderung mendorong lelaki berani memasuki tempat wanita kerana beralasan adanya hubungan saudara. Sehingga mereka berani mengetuk pintu baik pada siang mahupun malam hari, baik ada kepentingan ataupun tidak ada. Tetapi justeru sering terjadi akhirnya hal ini menimbulkan akibat yang sangat fatal dan boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan atau bahkan penceraian.

Luqman Hakim berwasiat kepada anak lelakinya: “Takutlah kamu terhadap wanita yang buruk kerana ia membuatmu beruban sebelum kamu beruban. Dan takutlah wanita-wanita yang jahat kerana mereka tidak mengajak kepada kebaikan dan jadilah kamu berhati-hati dalam memilih mereka.”

Wanita Dan Politik

Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak beruntung suatu qaum yang menyerahkan kepimpinan negaranya kepada seorang wanita.” (hadis riwayat an Nasa’i)

Dalam Huququl Mar’ah ditulis bahawa Muslimah pada awal Islam tidak mempunyai peranan apa pun dalam urusan politik, meskipun Islam memberinya hak yang sama dengan hak lelaki. Tidak pernah diriwayat bahawa selepas Rasulullah s.a.w wafat, ada wanita yang ikut bermusyawarah dengan kaum lelaki, ikut serta dalam membuat keputusan siapa yang akan menjadi khalifah sesudah Baginda s.a.w. Juga dalam memilih salah seorang di antara Khulafa’ur Rasyidin yang empat itu.

Tidak pula diriwayat bahawa Khulafa’ur Rasyidin mengumpul para wanita secara khusus untuk mengajak bermusyawarah dalam berbagai urusan daulah seperti yang mereka lakukan bersama kaum lelaki. Kalau pun ada dalil yang digunakan oleh orang-orang yang beranggapan bahawa wanita juga ikut turut campur dalam urusan politik serta hukum. Mereka menguatkan pendapat itu dengan alasan bahawa Aisyah r.a pernah keluar untuk menuntut pembunuhan Saiyiina Ustman r.a.

Padahal ternyata Aisyah r.a telah menyesal atas perbuatannya itu. Sehingga perbuatan ini tidak boleh dijadikan dalil untuk menciptakan sesuatu yang baru di dalam Islam. Tatkala Saiyidina Ali r.a menulis surat kepada Ummul Mukminin untuk mengingatkan bahawa apa yang hendak dibuatnya itu adalah melanggar ketetapan syariat, maka dia berkata di dalam suratnya itu: “Amma ba’d, sesungguhnya engkau keluar dalam keadaan marah kepada Allah dan Rasul-Nya. Engkau menuntut sesuatu yang engkau sendiri tidak memiliki kemampuan. Apa urusan wanita dan peranan serta perbaiakan yang boleh dilakukan di antara manusia? Engkau menuntut darah Ustman r.a. Demi hidupku, apakah yang mendorong engkau untuk membuka diri bagi bencana yang membawamu kepada kederhakaan yang justerunya dosanya lebih besar bagimu daripada orang-orang yang membunuh Ustman r.a?”

Kemudian tatkala Perang Jamal telah berakhir, maka Saiyidina Ali r.a. datang menemuinya, seraya berkata kepadanya, “Wahai wanita yang berada di dalam hijab, Allah memerintahkan agar engkau berdiam di dalam rumahmu namun engkau keluar untuk berperang.” Maka Aisyah r.a tidak mampu memberikan jawapan yang dapat menyokong perbuatannya itu dan bahawa Islam membolehkan hal itu baginya. Padahal beliau adalah orang yang memiliki ilmu pengetahuan.

Bahkan diriwayatkan bahawa Aisyah r.a masih bergelut dengan rasa sesal atas perbuatannya hingga kemudian hari. Diriwayatkan di dalam Al’Isti’ab oleh Ibnul Abdil Barr bahawa Aisyah r.a mengadu kepada Ibnu Umar r.a seraya berkata: ”Mengapa dulu engkau tidak melarangku sama sekali keluar, wahai Abu Abdurrahmaan?” Ibnu Umar r.a menjawab. “Kerana aku melihat ada seorang lelaki telah menguasai urusanmu dan aku tidak melihatmu menentangnya sama sekali.” Aisyah r.a berkata, “Andaikata engkau melarang aku dahulu, tentu aku tidak akan pergi.”

Maka apa lagi alasan bagi wanita solehah untuk terjun dalam urusan politik dan pemerintahan? Dalam Balaghat Annisaa diceritakan bahawa pada saat dekat ajalnya, Aisyah r.a rasa gelisah ketika ditanya apa sebabnya, Aisyah r.a menjawab, “Sesungguhnya hari terjadinya Perang Jamal telah menghalang tengggorokanku! Ahh, seandainya aku lupa atau dapat melupakan peristiwa itu.”


Syeikh Sulaiman Arafah mengatakan bahawa sungguh sangat tidak logik jika wanita dilarang menjadi pemimpin terhadap rumah tangganya, tetapi kemudian dia diberi hak kepimipinan terhadap berbagai urusan umat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA