Khamis, 12 September 2013

Sengsara Angkara Godaan Iblis


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah pada suatu hari, semua Malaikat berkumpul membicarakan tentang makhluk Allah s.w.t, mengenai ketaatan manusia dan maksiatnya, keburukan manusia dan kebaikannya. Akhirnya semua Malaikat itu memutuskan dengan sebulat suara bahawa Nabi Ayublah tatkala itu manusia yang paling baik di atas dunia, yang paling banyak ibadatnya kepada Allah s.w.t dan yang paling tinggi keimanan dalam dadanya. 
Dengan harta kekayaan yang banyak, anak keturunan yang banyak pula baginda tidak pernah sekali pun terlambat beribadat dan bersujud kepada Allah s.w.t. Baginda selalu memperhatikan dan menolong orang-orang yang melarat dan fakir miskin. Mendengar keputusan Malaikat itu, Iblis ingin menjalankan muslihat kotornya. Iblis tidak suka kalau ada manusia di muka bumi ini tebal imannya kepada Allah s.w.t, sempurna ibadat dan syukurnya. Tiap-tiap orang beriman itu, akan dicubanya membelokkan dan menyesatkannya. Dengan berbagai cara dan akal yang busuk, dengan pujukan yang halus dan dengan senjatanya yang paling ampuh, iaitu dengan berbohong. 
Iblis ini lalu datang menghadap ke hadrat Allah s.w.t, lalu berkata: ’Ya, Allah! Hamba-Mu yang bernama Nabi Ayub itu bukanlah beribadat menyembah Engkau, bukan bersyukur memuji Engkau. Ibadat dan syukurnya itu hanya kerana hartanya yang banyak, keturunannya yang cukup. Dia menyembah Engkau itu hanya agar Engkau menambah harta dan keturunannya. Dia bersyukur kepada Engkau itu agar semua harta dan anak-anaknya itu tetap banyak, supaya kambing dan biri-birinya yang berjumlah ribuan itu tetap tidak berkurang, supaya unta dan lembunya yang berjumlah ratusan itu semakin Engkau tambah, supaya binatang perahan dan yang dikerjakan semakin gemuk-gemuk dan kuat-kuat, supaya anak lelaki dan perempuannya yang sudah banyak itu ditambah banyak lagi. Nabi Ayub hanya menyembah harta, bukan menyembah Engkau. Mensyukuri anak keturunannya, bukan mensyukuri Engkau. Cuba Engkau izinkan aku merampas harta kekayaan itu, tentu baginda tidak akan menyembah Engkau lagi. Sebab itu cubalah izinkan aku, ya Allah, untuk melenyapkan semua harta kekayaan itu.’ 
Allah s.w.t menjawab: ‘Nabi Ayub adalah hamba-Ku yang beriman penuh dengan keimanan yang suci ikhlas. Dia menyembah-Ku kerana memang dia menginsafi akan keharusan menyembah-Ku ini. Ibadatnya suci dan pengaruh harta dunia, suci dari sifat-sifat haloba dan tamak.’ 
Tetapi kerana Allah s.w.t ingin menjadikan Nabi Ayub lebih suci dan bersih imannya, agar dapat menjadi contoh teladan tentang keimanan dan kesabaran bagi seluruh umat manusia, si Iblis diberi-Nya izin untuk merampas semua harta kekayaan Nabi Ayub. Allah s.w.t lalu berfirman kepada Iblis: ‘Boleh kau cuba, kumpulkanlah semua kakitangan dan kawan-kawanmu. Lakukanlah apa-apa yang kamu rencanakan itu. Perhatikanlah nanti bagaimana kesudahannya!’ 
Iblis lalu bersedia mengumpulkan semua kakitangannya, semua tentera dan pembantu-pembantunya dan dia berkata kepada mereka: ‘Allah sudah mengizinkan kita untuk merampas harta kepunyaan Nabi Ayub, agar Nabi Ayub menjadi orang yang melarat, agar dengan kehilangan hartanya itu, hilang pula keimanan dan ibadatnya.’

Hilang Lenyap Semua Harta Kekayaan

Dalam waktu sekejap saja, hilang lenyaplah semua harta dan kekayaan Nabi Ayub itu. Tidak seekor pun kambing atau biri-birinya lagi yang tinggal, tidak seekor pula unta dan lembunya, kebun dan tanaman-tanamannya pun habis kesemuanya. 
Dengan berbentuk sebagai seorang tua yang berpengalaman dan penuh dengan kasih sayang, Iblis itu lalu datang kepada Nabi Ayub mahu menggodanya; dia berkata: ‘Sekarang hartamu sudah musnah semuanya. Allah s.w.t yang selalu engkau puji dan sembah itu, rupanya tidak menolongmu sedikit juga pun. Sia-sialah engkau beribadat dan menyembah-Nya.’ 
Berbagai-bagai pula percakapan antara manusia sesama manusia, melihat nasib yang menimpa Nabi Ayub itu. Di antaranya ada yang berkata: ‘Itulah tanda bahawa Nabi Ayub tidak ikhlas dalam ibadatnya, tidak ikhlas dalam sembahyang dan zakat hartanya.’ 
Ada pula yang berkata: ‘Nabi Ayublah manusia yang paling baik dan paling ikhlas ibadatnya. Kenapa Allah s.w.t tidak memelihara hartanya? Kalau Allah s.w.t memang Pengasih dan Penolong, maka Nabi Ayublah yang paling wajar dikasihi dan ditolong Allah s.w.t.’ 
Ada pula orang lainnya berkata: ‘Semua itu terjadi, kerana Allah s.w.t mahu menguji keimanan Nabi Ayub dan mahu memberi pelajaran yang nyata kepada manusia.’
Mendengar semua perkataan itu, Nabi Ayub tenang dan sabar. Tidak sedikit pun baginda merasa sedih dan menyesal. Tidak sedikit juga menggoyangkan keimanan dan keikhlasannya dalam beribadat, malah sebaliknya, Nabi Ayub semakin kuat dan bersungguh-sungguh beribadat dan memuji Allah s.w.t. Terhadap orang ramai itu, Nabi Ayub berkata: ‘Semua itu, adalah kepunyaan Allah s.w.t. Diberikan Allah s.w.t kepadaku, kemudian diambil Allah s.w.t kembali. Maka terpuji Allah s.w.t yang telah memberi harta itu kepadaku dalam masa yang begitu lama dan maha terpuji Allah s.w.t yang telah mengambil kembali harta itu, kerana memang milik-Nya. Puji bagi Allah s.w.t yang memberi dan mengambil, pada waktu memberi nikmat-Nya dan mencabut nikmat-Nya itu kembali. Maha terpuji Allah s.w.t yang mendatangkan bahagia dan menurunkan seksa. Dia Allah s.w.t Raja dan segala raja. Diberikan-Nya kekuasaan dan kekayaan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia cabut kekuasaan dan kekayaan itu dan siapa saja yang Dia kehendaki.’ 
Sehabis berkata begitu, Nabi Ayub kembali bersujud menyembah Allah s.w.t Setelah melihat kejadian itu, Iblis merasa kecewa besar, gagal segala niat dan usahanya. Tetapi Iblis masih mempunyai akal dan daya upaya lain. Dia segera datang menghadap Allah s.w.t pula dan berkata: ‘Nabi Ayub menerima nikmat dengan pujian dan menerima cubaan dengan sabar, itu adalah disebabkan kerana Nabi Ayub masih mempunyai anak yang banyak, kepada siapa baginda dapat minta tolong dan dengan siapa baginda dapat kaya kembali. Bila Engkau izinkan aku, ya Allah untuk melenyapkan semua anak lelaki dan perempuannya, aku yakin bahawa Nabi Ayub akan nyata kekafiran dan keengkarannya terhadap Engkau.’ 
Allah s.w.t menjawab: ‘Boleh engkau lenyapkan semua anak-anaknya, tetapi akan engkau lihat sendiri, bahawa Nabi Ayub akan tetap imannya, takkan berkurang sedikit juga.’ 

Menghancurkan Mahligai-Mahligai Dan Istana

Kembali Iblis mengumpulkan semua kakitangan dan pembantu-pembantunya. Semuanya bersiap memasuki istana anak-anak Nabi Ayub, lalu menewaskan mereka, serta menghancurkan mahligai-mahligai dan istana yang mereka diami. 
Lalu Iblis pergi mendapatkan Nabi Ayub dan berkata: ‘Seluruh anak dan mahligaimu sudah hancur luluh. Mereka ada yang mati kerana luka-lukanya dan ada pula terbanting keras terhimpit barang-barang yang berat. Demikianlah Allah s.w.t membalasi engkau, hai Nabi Ayub, atas semua ibadat engkau kepada Allah s.w.t itu.’ 
Dengan air mata bercucuran dan menangis tersedu-sedu, Nabi Ayub menjawab perkataan Iblis yang sedang berbentuk manusia yang berlagak teman itu: ‘Allah s.w.t memberi, Allah s.w.t mengambil, Allah s.w.t menghidupkan dan Allah s.w.t mematikan. Atas semua itu aku memuji akan Allah s.w.t yang menjalankan hak-Nya itu.’ 
Nabi Ayub lalu sujud menyembah dan bersyukur memuji Tuhannya. Iblis kembali kecewa besar dan gagal lagi usahanya itu, tetapi Iblis tidak kekurangan daya-upayanya. Dia kembali mendapatkan Allah s.w.t dan berkata: ‘Dengan habisnya harta kekayaan dan anak-anaknya itu, Nabi Ayub masih tetap sabar, kerana dia yakin dengan badannya yang sihat dan kuat itu, baginda masih dapat mengumpulkan harta dan beroleh anak kembali. Izinkanlah aku sekarang juga untuk melenyapkan kesihatan badan Nabi Ayub, serta mendatangkan berbagai-bagai penyakit kepadanya. Dengan hilangnya kesihatan badannya dan dengan adanya berbagai-bagai penyakit itu nanti akan terbuktilah kepada-Mu, hai Allah, bahawa Nabi Ayub tidak ikhlas dalam ibadatnya kepada Engkau. Dengan hilangnya kesihatan dan datangnya penyakit itu, baginda akan membelakangi Engkau, akan derhaka dan tidak memuji Engkau.’ 
Allah s.w.t ingin menjadikan Nabi Ayub seorang hamba-Nya yang benar-benar teguh memegang tampuk keimanannya, hamba-Nya yang tabah dan sabar, hamba-Nya yang tetap syukur dan memuji Allah s.w.t, untuk dijadikan contoh bagi semua manusia dalam keimanan dan kesabarannya, lebih-lebih bagi orang-orang yang kehilangan harta, kehilangan anak dan pula bagi orang-orang yang ditimpa berbagai-bagai penyakit yang berat-berat. 
Kepada Iblis diperbolehkan Allah s.w.t untuk menjalankan tipu muslihatnya yang bagaimana juga hebatnya untuk menyesatkan keimanan Nabi Ayub yang teguh itu, kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui bahawa Nabi Ayub benar-benar teguh imannya, kuat dan tabah menderita, walaupun penderitaan yang bagaimana juga hebatnya, sedikit pun baginda tidak akan lupa memuji syukur dan menyembah Tuhannya. 
Iblis kembali muncul, menyeludup ke dalam tubuh Nabi Ayub. Lalu meniupkan kepada Nabi Ayub semacam penyakit yang amat berbahaya, sehingga kerananya, Nabi Ayub jatuh terhampar di tempat pembaringannya. Makin hari semakin kurus badannya, baginda tidak berdaya; habis segala kekuatan dan kegagahannya. Mukanya muram dan pucat, dengan mata yang cengkung. Semua penderitaannya ditanggungkannya dengan keimanan tidak berkurang, malah semakin bertambah; bukan dengan keluh-kesah dan kesal, tetapi dengan tetap memuji-muji Allah s.w.t. 

Pelbagai Penderitaan Diterima

Demikianlah penanggungan Nabi Ayub, bukan berhari-hari dan berbulan-bulan, tetapi bertahun-tahun lamanya, sehingga keadaan badan Nabi Ayub sungguh menyedihkan dan hampir-hampir tidak sanggup hidup lagi nampaknya. Kerana sakitnya berjalan lama, mulailah berkurang jumlah teman dan kawannya, sehingga akhirnya tidak seorang juga yang datang menengok dan menolongnya, kerana tidak ada apa lagi yang diharapkan daripadanya. Teman satu-satunya yang masih tinggal di sampingnya, yang selalu menolong baginda menanggung sengsara hidupnya ini, ialah isterinya sendiri, bernama Rahmah. 
Isteri yang setia itu dengan tidak kenal penat, menjaga Nabi Ayub yang sedang sakit dengan segala kasih mesra dan susah-payahnya. Segala kesakitan yang diderita Nabi Ayub, seakan-akan beliau sendiri ikut menderitanya juga. Nabi Ayub dihibur dan diladeninya, yang mana menunjukkan keimanan seorang isteri yang kuat dan teguh, yang tidak kalah pula dengan keimanan suaminya sendiri. 
Penderitaan Nabi Ayub dan isterinya (Rahmah), bukan hanya sampai di situ saja, penderitaan ini semakin melonjak lagi, lebih tinggi dan lebih hebat. Nabi Ayub dan isterinya bukan hanya kehilangan harta benda, anak, kesihatan badan, kehilangan semua kawan dan teman, tetapi ditarnbah lagi dengan penghinaan dan ejekan dari orang-orang bekas kawan dan temannva sendiri. 
Mereka bukan kasihan dan datang menolong, tetapi mereka keberatan bila Nabi Ayub dan isterinya tetap berada di rumahnya dan berjiran dengan mereka. Mereka bukan hanya merasa jijik melihat Nabi Ayub, tetapi juga takut kalau-kalau penyakitnya yang berat itu menular kepada mereka. Dengan tidak menaruh perasaan kasihan sedikit pun, mereka mendatangi Rahmah dan berkata: ‘Hai Rahmah, kami takut kalau penyakit Nabi Ayub berpindah kepada anak cucu kami, sebab itu keluarkanlah Nabi Ayub dari menjadi jiran kami dan kalau engkau tidak mahu mengeluarkannya, maka kami akan mengeluarkannya dengan paksa!’ 
Mendengar ucapan yang kasar dan menyayat perasaan itu, Rahmah melolong menangis dengan sekuat-kuat suaranya: ‘Aduhai nasib, mengapa mereka mengusir kami dan kampung dan rumah kami sendiri?’ 
Rahmah, isteri yang setia itu mengeluarkan segenap tenaga yang ada padanya, untuk memangku suaminya dan membawanya ke luar kampung dan tinggal di sebuah pondok yang sudah ditinggalkan orang. Di sanalah Nabi Ayub beserta isterinya menanggung derita lahir dan batin, dengan penuh kesabaran dan keimanan yang tidak pernah berkurangan. 
Untuk penghidupannya, Rahmah terpaksa bekerja memotong-motong roti pada seorang pedagang roti. Setiap petang beliau pulang mendapatkan suaminya, dengan membawa beberapa potong roti yang dihadiahkan orang kepadanya. 
Tetapi setelah orang ramai tahu bahawa Rahmah itu adalah isteri Nabi Ayub, maka pedagang roti itu pun tidak membenarkannya bekerja lagi sebagai tukang potong roti, kerana bimbang kalau-kalau penyakit Nabi Ayub itu menulari roti yang akan dijualnya. 

Tidak Makan Dan Minum

Kerana ketiadaan pekerjaan dan makanan, maka beberapa hari lamanya, baik Nabi Ayub mahupun isteninya tidak makan dan minum sedikit pun. Ya, kesengsaraan demi kesengsaraan, penderitaan demi penderitaan terpaksa ditanggung oleh kedua-dua suami isteri ini dengan penuh redha. Kerana sudah tidak tahan menahan lapar dan dahaga, Rahmah minta izin kepada Nabi Ayub untuk pergi menjalankan ikhtiar mencari makanan dan minuman. Melihat itu, Nabi Ayub menjerit kepada isterinya: ‘Ya Rahmah, janganlah engkau pergi meninggalkan aku seorang diri, aku takut kalau engkau tidak kembali lagi!’ 
Rahmah menjawab: ‘Jangan bimbang, ya Saiyidi, selama hayat masih berada dalam tubuhku. Aku pergi hanya sebentar dan akan segera kembali lagi.’ 
Maka pergilah Rahmah dan tidak lama kemudian beliau pulang kembali dengan membawa sepotong roti dan air minum. Setelah Nabi Ayub melihat sepotong roti segar yang dibawa isterinya itu, Nabi Ayub menyangka bahawa isterinya sudah menjual kehormatan dirinya untuk mendapatkan sepotong roti tersebut. Lalu Rahmah menceritakan kepada Nabi Ayub, bagaimana caranya beliau mendapatkan roti itu: ‘Ya, Saiyidi, aku bukan menjual kehormatan diriku, aku berlindung diri kepada Allah s.w.t dari segala perbuatan yang menodai diriku. Roti ini aku perolehi sebagai tukaran dengan rambutku yang panjang.’ 
Lalu Rahmah membukakan kepalanya yang tertutup itu, yang asalnya tertutup oleh rambut yang panjang kini sudah menjadi gondol sama sekali. Melihat kejadian itu, Nabi Ayub sangat sedih hatinya, lalu baginda menangis, bukan menangisi nasibnya, tetapi menangisi rambut isterinya, kerana di antara yang paling menarik hatinya terhadap isterinya, ialah kerana rambutnya yang panjang itu menambah kecantikan isterinya yang memag sudah cantik. 
Berkatalah Rahmah: ‘Janganlah engkau menangisi rambutku yang sudah hilang. Ketahuilah bahawa rambut itu akan tumbuh kembali dan mungkin akan lebih indah dari yang sudah hilang itu.’ Demikianlah katanya menghibur suaminya. 
Mendengar jawapan isterinya itu, Nabi Ayub merasa puas dan senang hatinya. Baginda kembali bersyukur, bertasbih, bertakbir memuji-muji Allah s.w.t. Dia merasa puas dan senang atas segala penderitaan yang dialami dan ditanggungnya dan seketika itu juga Nabi Ayub a.. bermunajat (berbisik) dengan segenap jiwa raganya ke hadrat Allah s.w.t: ‘Ya Allah, Tuhanku, aku redha kalau Engkau cabut daripadaku akan nikmat-Mu yang bernama harta benda, anak keturunanku dan kesihatan badanku, bahkan aku redha kalau Engkau cabut dariku akan segala darah dan dagingku, serta kalau perlu boleh cabut segala tulang-belulang dan semua anggota badanku. Hanya aku berharap agar jangan sampai Engkau mencabut dua perkara (nikmat)-Mu, iaitu akal fikiran dan lidahku, kerana aku memerlukan akal dan fikiran itu, guna mengingat-Mu dan aku memerlukan lidah itu, untuk dapat menyebut nama dan memuji-Mu.’ 
Ya, dengan cara begitu, Nabi Ayub a.s sesaat pun tidak pernah lupa kepada Allah s.w.t. Tidak pernah ketinggalan menyebut dan memuji-muji Allah s.w.t. Setelah Iblis melihat bahawa Nabi Ayub dengan percubaan dan penderitaan-penderitaan yang sudah tiba di puncak ketinggian dan kehebatannya itu masih tetap sabar dengan keimanan yang tidak goyang sedikit pun, maka Iblis masih belum putus asa. Dia kini cuba membelokkan perhatiannya, bukan terhadap Nabi Ayub, tetapi terhadap isterinya. 

Godaan Yang Tidak Terhingga

Isteri Nabi Ayub sekarang ini mendapat godaan yang tidak terhingga dari Iblis. Iblis cuba mengingat-ingatkan kepada isteri Nabi Ayub akan masa-masa yang silam, yang penuh dengan kemewahan dan kesenangan; Iblis cuba pula membanding-bandingkan kemewahan dan kesenangan yang silam itu dengan penderitaan dan kepahitan yang sedang mereka alami sekarang ini. Iblis cuba menanamkan keluh-kesah dan putus asa kepada Rahmah. 
Daya upaya Iblis ini ada juga pengaruhnya sedikit. Pada suatu hari Rahmah duduklah di samping suaminya dan berkata: ’Sampai bilakah Allah s.w.t akan menyiksamu, ya Nabi Ayub? Ke mana perginya harta benda kita, ke mana perginya anak-anak dan teman-teman kita? Ke mana tubuhmu yang sihat dan gagah itu?’ 
Alangkah terkejut dan sedihnya hati Nabi Ayub mendengar kata-kata isterinya yang mulai berputar pendiriannya itu, kata-kata yang terang menunjukkan hilangnya keimanan dan kesabaran, bahkan kata-kata yang seakan-akan keluar dari jiwa yang tidak kenal Allah s.w.t: kata-kata yang melupakan sama sekali segala nikmat dan pemberian Allah s.w.t yang berlimpah-limpah dalam masa yang panjang. Dia hanya mengingat akan cubaan Allah s.w.t dalam waktu yang begitu singkat, harta dan anak serta kegagahan pada waktu muda saja yang teringat olehnya. 
Nabi Ayub menjawab kata-kata isterinya dengan rasa pedih dalam hati: ‘Sungguh engkau ini sudah dapat disesatkan syaitan dan Iblis. Engkau menangis atas kemewahan hidup yang telah hilang, anak-anak yang sudah meninggal.’ 
Isterinya menjawab pula: ‘Kenapa engkau tidak mendoa kepada Allah s.w.t untuk melenyapkan kesedihan dan petaka atas dirimu ini.’
‘Berapa tahunkah kita mendapat kesenangan dan bahagia?’ tanya Nabi Ayub pula. 
‘Selama berpuluh-puluh tahun,’ jawab isterinya. 
‘Berapa tahunkah kita menderita?’ tanya Nabi Ayub. 
‘Baru tujuh tahun,’ jawab isterinya pula. 
‘Dari itu aku malu kepada Allah s.w.t meminta hilangnya petaka yang baru sebentar ini. Terbukti kepadaku, bahawa engkau sudah goyang pendirian dan menjadi tipis imanmu. Mulai hari ini, aku tidak mahu memakan makanan yang engkau buat, tidak mahu meminum minuman yang engkau sajikan. Engkau tidak boleh lagi mengurus dan menjagaku. Sekarang juga engkau harus pergi.’ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA