SAJAK pertama hasil karya saya berjudul Bunga Manggar Di Simpang Jalan tersiar
dalam majalah Nona terbitan
Karangkraf pada tahun 1999. Sejak itu saya mulai giat berkarya dalam genre
puisi moden dan kebanyakan sajak saya tersiar dalam majalah Wanita, Jelita, Nona, Mingguan Wanita,
Dakwah, Sinar Rohani, Cahaya, Media, URTV
dan lain-lain lagi.
Sajak-sajak yang saya muatkan
dalam antologi Sungai Ombak ini
berjumlah 140 buah sajak yang saya garapkan sekitar tiga tahun mulai tahun 2011
hingga 2013. Sajak-sajak yang saya garapkan ini pelbagai tema merangkumi
kenegaraan, agama, kasih sayang, persahabatan, rumah tangga, persaudaraan, alam
sekitar dan sebagainya.
Saya yakin, sajak atau puisi
moden masih diminati oleh pelbagai generasi termasuk golongan remaja.
Rasionalnya, saya sering dijemput menjadi hakim dalam pelbagai sayembara
deklamasi puisi bagi para pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti baik
di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Penyertaan dalam sayembara
deklamasi puisi memang menggalakkan dan ini memberi makna bahawa puisi moden
memang diminati golongan remaja.
Saya lihat sajak-sajak yang
berbentuk patriotisme, sajak-sajak yang bertemakan keguruan, kasih ayah dan ibu
juga persahabataan merupakan sajak-sajak pilihan yang diminati golongan remaja.
Pada setiap sayembara terutama di peringkat sekolah dan daerah, sajak-sajak
beginilah yang menjadi pilihan. Lantaran itu, kumpulan Sungai Ombak ini amat sesuai dijadikan bahan bacaan dan rujukan
terutama para pelajar dan guru di sekolah.
Namun begitu, bauran pelbagai
tema dan isu dalam kumpulaan Sungai Ombak
ini menjadikannya sesuai dibaca, dihayati dan diladeni oleh semua lapisan
masyarakat. Secara keseluruhannya, kumpulan
Sungai Ombak ini diharap dapat memperbanyakkan lagi koleksi kumpulan puisi
moden dan mengayakan lagi khazanah kesusasteraan negara. Insya-Allah.
Selamat membaca.
Syed
Mahadzir Syed Ibrahim
Banting,
Selangor
Tanah Merdeka Tanah Syurga
SMAHADZIR
Gempita
genderang membakar semangat memanggang,
bergejolak
lembing-lembing dijulang,
menojak langit
tertinggi memokah dada petualang,
api dalam dada
pun marak menyala,
langkah gagah
dalam pencak perwira,
berirama
tembang merdeka,
semarak seakan
ajal memanggil,
keris pusaka
bangsa ditancapkan tanpa gigil,
di tanah ini
dipijakan langkah berani,
keras hati bak
kesi kersani,
demi generasi
anak cucu hari mendatang,
semangat
membela terus berkobar ingin menentang,
wangian tanah
ibunda ini tersebar gagah,
panji merdeka
melambai-lambai megah,
puji syukur
dipanjatkan ke hadrat Ilahi,
jalur gemilang
telah berkibar di langit tinggi,
Islam di dada
dan tanah ibunda pun merdeka.
Tanah ibunda
wangian syurga,
bentala pusaka
tinggalan leluhur berwati waja,
para pejuang
gagah menancap kayu semangat menjadi belati,
dengan redha
inayah Ilahi,
tanah syurga
ini makmur rezeki meruah,
apa yang
ditanam bakal diraih laba melimpah,
tanah subur
warisan moyang berjiwa penyayang,
tanah syurga
wanginya mencanak pintu bahagia,
dataran tinggi
berjajar pulau kencana,
membentang luas
samudera raya kaya pesona,
berdebur ombak
bangkitkan tekad dan waspada,
demi generasi
mendatang yang ingin mencapai pantai bahagia,
tanah ini tanah
syurga idaman semua,
titisan darah
para pahlawan dan hamburan keringat pejuang,
membasahi bumi
demi menjulang jamung masa depan,
buat pencerahan
jalan kesenangan,
menuju ke
puncak gunung kemakmuran.
Demi tanah
merdeka wangian syurga ini,
korbankanlah
waktumu untuk menjulang pertiwi,
agama dan
bangsa sepolos hati nurani,
rela taruhkan
nyawa kendati tergalang digerbang maut,
terbuntang mata
di ambang peluru yang ganas meragut,
bongkah membara
jangan biarkan berderai,
hapuskan semua
petualang negara,
yang hasratnya
bersalut seribu agenda.
corakkan kanvas
perjuangan dengan warna merah,
merah darah
yang berkobar marah,
hiasi jambangan
penentangan dengan api menjulang,
biar darah
mengalir menjadi sungai saksi,
bahawa merdeka
tanah wangian syurga bukan mudah,
tetapi bergulat
sejuta payah,
lembing runcing
yang setia di tangan kiri,
keris pusaka
ayah yang terhunus di tangan kanan,
keringat basah
mengalir menderas dalam kujur kudrat,
tetap terpahat
erat kukuh terbebat,
membawa tanah
merdeka ke puncak hasrat,
kekal kejap
dalam genggaman sepanjang hayat.
Taman Damai, Banting,
Selangor
Rukun Negara
SMAHADZIR
Minda Majlis Perundingan Negara,
satu gemal semua bangsa,
satu ideologi negara merdeka,
sama dan bersepadu seia sekata,
panduan merencana program dan dasar nusa,
nilai murni jamin sejahtera,
keduk perpaduan bangsa.
Rusuhan berdarah 13 Mei 1969,
rakyat pelbagai bertindak mengikut rasa,
kesan penjajahan British Jepun; pecah perintah,
nilai menyeluruh ke mercu perpaduan,
bangsa persefahaman antara semua,
masyarakat bersatu; hidup aman berpadu,
masyarakat demokratik; kuasa dan kerajaan rakyat,
pilihan raya bebas,
masyarakat adil; kemakmuran dan pengagihan harta
negara,
masyarakat progresif; warganegara berbudaya ilmu
demi kemakmuran,
masyarakat liberal; kebebasan amal budaya kaum;
kebudayaan kebangsaan.
Rakyat berpadu dalam kesatuan,
satu gayung seia sekata sehati sejiwa,
paduka tuanku lambang perpaduan,
tempat berpayung warga negara,
bertingkah gendang di medan berani,
langkah bermula gagah berjuang,
tegak undang-undang teguhlah pertiwi,
peraturan dipersenda tegaklah petualang,
rukun negara rakyat junjung di jemala,
prinsipnya dihayati sepanjang masa,
jalur gemilang berkibar di angkasaraya,
megah di seluruh negara sohor serata buana,
kebanggaan rakyat berbilang bangsa,
lagu Negaraku menyegar semangat cintakan nusa,
bersatu dan maju sehati dan sejiwa,
semangat setia tersemat kukuh dada,
bahasa kebanggaan bahasa tercinta,
bahasa Melayu perjana perpaduan,
menyatukan semua rakyat pelosok ceruk,
jata negara lambang berdaulat megah tersemat,
identiti negara junjungan hakikat.
Suruhan Tuhan sudah terpateri,
kitab mukjizat Junjungan Nabi,
warga mematuhi agama sepenuh hati,
jalan berkat luas terbentang nusa terbilang,
tutur manis kala menegur sesama warga,
tingkah tidak meruntuh susila merosak negara,
bunga raya Bunga Kebangsaan merah menyala,
mekar di seluruh negara semangat membara,
simbol warga hidup harmoni satu jenama,
rakyat Malaysia bicara sekata di bawah bendera
setia pada negara tercinta raja bertakhta,
Malaysia tanah tumpah darah naung perteduhan,
rimbun berbakti sepanjang hayat.
Tanah Malaysia pusaka merdeka berbilang bangsa,
pelbagai agama di bawah satu kuasa,
mendukung murni satu cita-cita,
tragedi berdarah jadi igauan lalu tercetus
ideologi negara,
adil saksama rukun negara diberi nama,
lima prinsip termaktub merangkumi segala aspek,
segala kepentingan lahir masyarakat adil
demokratik,
kepercayaan kepada Tuhan prinsip utama,
didalami sepenuh sukma agar tak berada dalam
dilema,
hidup selamat dari hukum karma.
Prinsip kedua perlu dijunjung,
kesetiaan kepada raja dan negara disanjung,
Yang Dipertuan Agong ikon perpaduan rakyat,
lambang kesetiaan membawa satu semangat,
kedaulatan undang-undang prinsip ketiga,
perlu dihormati segenap warga,
perlu dipatuhi melindungi hak warga paling
utama,
menjamin kemakmuran dan perpaduan,
keadilan terjamin melalui undang-undang,
tidak kira kaum dan agama semuanya sama,
itulah kedaulatan undang-undang,
kesopanan dan kesusilaan prinsip terakhir,
meminta rakyat berakhlak mulia,
moga keharmonian dapat dibina,
dalam perhubungan sesama kita.
Hadapan Tugu
Negara,
Kuala Lumpur
Perginya Sang Pencerah
(Belasungkawa
buat Tan Sri Awang Had Salleh)
SMAHADZIR
Tanggal 24 Jun 1934,
di Kampung Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang,
dia menjengok warna dunia,
pelajar Melayu terbaik Kedah Darul Aman,
sasterawan berjasa,
Biru Warna novel pertama 1966,
menyentuh kehidupan rakyat pelbagai bangsa,
latar 60-an waktu penuh konflik,
negara baru merdeka pembinaan negara bangsa,
polemik integrasi kaum dan jurang generasi,
Merah Kuning Biru, kumpulan cerpen mengubah minda,
Angin Retak, Tinta Pena dan Dongeng Merdeka,
antara karya kaya ceritera,
Buat Menyapu Si Air Mata dan Pelarian Seorang Tua,
drama pentas amat bermakna,
dramatis aliran realis sejajar Usman Awang dan Kala
Dewata,
pengkaji dan penelaah sastera dihormati,
Selindung Bulan Kedah Tua, buku kajian penuh erti.
Dalam seminar medan persidangan,
dia diberikan penghormatan,
bantu selesaikan masalah akbar:
rumusan dan resolusi,
mindanya jelas, mudah dan tidak kompleks,
rumusan mudah isu sukar cari inti pembentangan,
membingungkan atau meleret-leret,
segalanya jadi ringkas dan padat,
idea yang jelas, isu yang kemas,
fakta mudah dikunyah,
itulah Tan Sri Awang Had Salleh,
kejernihan minda,
terang dan bersuluh.
Dia terbuka dan menghormati semua pandangan,
amat berhemah membuat teguran,
tidak menyenangi atau menyokong sesuatu pandangan,
ada cara melakukannya dengan sopan,
disenangi teman-teman kerana peribadinya tenang,
sentiasa senyum dan terbuka,
dia cerminan minda,
sikap dan peri laku seorang Melayu sebenar.
Kini sudah lenyap Sang Pencerah,
dunia ilmu kehilangan tokoh terbilang,
buana pendidikan kehilangan ikonnya,
mandala sastera kehilangan penulis kreatif lagi
prolifik,
tidak mungkin dicari ganti,
dia pelajar dari desa,
capai kejayaan paling tinggi dunia pendidikan dan
keilmuan,
dia lambang kesungguhan dan kerja kuat,
dialah ikon pendidikan negara.
Putrajaya
Palestin; Hakikat Cinta
Sesama Manusia
SMAHADZIR
Palestin tanah anbia barokah melimpah,
di layar tv kulihat kipas helikopter dengan bendera
Israel,
berkibar dan meluncur ke penempatan warga,
gagah menderum dihuni lelaki agam perkasa,
tangan masing-masing teracung senjata automatik,
melintasi angkasa dengan genderang gempita,
di dada semarak kebencian ingin mengganyang,
kala itu aku sedang menganyam mimpi diusung
bidadari,
setelah menikmati nasi beriani daging bersari,
menghirup capocino coklat di cangkir antik,
aku lihat helikopter berputar mengesan mangsa untuk
ditempur,
udara penuh debu hangat melantun memburai,
batu-bata rumah lebur disergam mesiu ganas,
memuntah dan memancutkan darah pekat,
dari kepala dan dada manusia-manusia kerdil,
yang sekian lama terlonta dan meminta-minta,
ribuan peluru lepas dari mulut berdentum bingar,
lesap ke tubuh warga Palestin yang sedang merenung
langit,
mencari keadilan, mengintip kesejahteraan,
menuntut rasa adil dari dunia sekitar yang jengkel,
mewah dengan kekayaan melimpah.
Hari itu bahang mentari memijar bumi,
bergelimpanganlah tubuh-tubuh kurus kecil tak
berdosa,
menyembah bumi barokah titisan para anbia,
darah seakan aliran sungai berliku ke laut,
sedu-sedan mengapung tembang jelu bersambung,
roh-roh terlempar, bumi kinanah tergetar,
sukma menjadi kosong, jiwa menjadi lompong,
aku menyaksikan mereka sudah terbaring mati,
setelah tak ditemu rekonsiliasi demi tercipta revolusi,
putera-puteri jadi yatim-piatu di tengah dunia
demokrasi,
meratapi jiwa-jiwa yang pergi, betapa malang tanah
barokah ini,
bangsa mulia beriman kepada Allah Azzawajalla,
kini terbakar api yang dinyalakan para penderhaka,
mungkin seekor babi raksasa yang hadir dari rahang
neraka,
untuk membisikkan betapa kekuasaan adalah segala,
boleh merajalela, boleh membunuh sesiapa saja,
sekehendak rasa.
Palestin, demi memperjuangkan tanah barokahmu,
kami rela mempertaruhkan apa saja yang ada,
nyawa harta benda bukan nilai yang berharga,
kebebasan hidup saudara seagama lebih mulia,
dijunjung dan disemarakkan di mercu sejahtera,
kendati mesiu pembunuh masih bersiaga,
kereta kebal berlapis besi terus berjaga,
senapang automatik di pundak waspada,
bila-bila masa boleh melunyaikan tulang iga,
sisa asap mengelun, beban berat tak terpikul,
alangkah masygul warga yang dipaksa makzul,
suara nurani bungkam, kata hati terus diam,
batu-batu kecil adalah himpunan dendam,
tak ada yang pasti, antara hidup dan mati,
betapa hidup lebih agung menjulang maknawi,
iman dan cinta Ilahi.
Palestin terus diselimut sepi menguasai seluruh
mandala,
menziarahi batin-batin yang trauma kerana peristiwa,
pembunuhan tragis syaitan Israel berhati serigala,
sendu isak tangis berteleku di balik runtuhan pintu,
menumbuhkan kepiluan yang begitu ngilu,
sementara dari serata dunia, khabar telah merebak,
bungkusan simpati melimpah-ruah, hanya simpati,
bersama doa dan secubit tindak berani mengutuk,
di jalan-jalan raya dan tepian gedung bertingkat,
semuanya melaung tentang darah yang menggenang,
salak anjing memantul ke gunung kukuh tinggi,
gemanya tumbuh di udara, menebar suara sayu,
gunung tetap kukuh tanpa bergetar,
kalau damai boleh direngkuh, mengapa pembunuhan
ditempuh,
jika keadilan boleh digapai, kenapa ada nyawa
tergadai,
jika damai dirindu, mengapa menghambur peluru,
andaikata kenal hakikat cinta sesama manusia,
tak mungkin ada luka dan derita.
Bandar Tasik
Selatan
Kuala Lumpur
Hutan Kita
SMAHADZIR
Hutan kita,
gondol oleh tangan-tangan rakus,
wang berjuta menjadi berhala,
pentingkan keuntungan tanpa peduli derita,
hingga ada jiwa yang terluka,
ada hidup yang tersiksa.
Indahnya hutan kita dengan hijaunya,
ribuan pepohon menyapa senyum mesra,
nusa tercinta tumbuhan menghijau,
sungai dan jeram bertingkat menderu segar,
flora subur menyerap mentari,
fauna berlegar memokah rezeki,
aku lahir di sini,
temanku adalah hijau rimba,
ini taman syurgawi,
hutanku subur menjana rezeki meruah,
sumber perubatan dan ilmu pengetahuan,
pakar-pakar berkelana dari jauh,
mencari penawar untuk manusia.
Kini tangan-tangan rakus telah merajalela,
pepohon hijau rebah dipokah jentolak,
hutan kita jadi botak tidak keruan,
sungai menjadi merah,
semarak api marah mergastua,
tanah turut rebah menyembah,
lenyap flora-flora indah,
sisa akar-akar yang patah,
terbongkah di celah lembah.
Mari kita satukan jari-jemari,
subuhkan semula hutan kita yang asli
satu tunas biarkan hidupnya dipeduli,
yang sudah merambah dilindungi,
hutan kita milik semua generasi,
biarkan ia lestari,
pengukuh pasak bumi.
Genting
Highland
Pejuang Tak Dikenali
SMAHADZIR
i
Dia mati
sebelum negara ini merdeka,
mati di sisi
seorang soldadu Portugis di bumi Melaka,
beberapa butir
peluru senapang telah menembusi kepalanya,
darahnya
mengalir ke Sungai Melaka,
mengalir terus
ke Selat Melaka,
lalu bergenang
di pangkalan Sungai Linggi,
anak-anak yang
bermandi-manda,
membawa
jenazahnya ke puncak bukit,
dijulang bagai
seorang pejuang,
yang nesannya
tidak bernama,
pusaranya entah
di mana.
ii
Suatu ketika dahulu
dia terbaring kaku tidak bermaya,
bukan tidur
tetapi lenyap nyawanya,
sebuah lubang
peluru bundar di dadanya melopong menganga,
senyum
bungkamnya mahu berkata, aku telah diserang,
komunis yang
menerjang mahu berperang,
dia mati di
kebun getah kala fajar menyingsing,
hasil kerjanya
dirampas dan dibayar dengan nyawa melayang,
sebelum mati
dia telah menentang,
tangan ini akan
menghadang semua petualang,
jenazahnya
ditemui kala malam menjelang,
oleh harimau
yang berkeliaran,
lalu dibaham
sampai ke tulang,
dia adalah perwira
tidak pernah dikenang,
walau matinya
kerana berjuang,
menentang
komunis berhati binatang.
iii
Beberapa bulan
yang lepas dia ditemui bungkam,
mayatnya hampir
reput di sebuah belantara tebal,
siapa pun tidak
tahu kenapa dia datang,
kedua tangannya
memeluk sebilah parang,
yang tahu hanya
anak dan isteri yang malang,
yang sudah
seminggu meratap sebuah kehilangan,
dia terbaring
setelah jatuh dari puncak tualang,
kerana mencari
rezeki halal untuk anak isteri,
di sisi
Azzawajalla dia perwira sejati,
mati kerana
menunaikan tanggungjawab hakiki,
di pusara
hujung kampung jenazahnya disemadi,
tanpa kalungan
bunga tanpa panji-panji,
dan dia mati
tanpa dikenali.
iv
Hari ini
seorang penulis telah ditemui mati,
di sisinya
puluhan buku karya peribadi,
sarat nasihat,
kaya dengan pedoman,
soneta dan
puisi pengobar semangat juang,
cerpen-cerpen
pengubah corak peribadi,
novel-novel
peninggi akhlak,
kajian-kajian
budaya langka dan pupus,
untuk tatapan
generasi mendatang,
dia mati kala
sedang menulis sebuah sajak,
menghurai makna
merdeka di tanah pusaka,
mengajak
generasi remaja kembali ke pangkuan nusa,
cinta tanah
merdeka, kasih bentala kencana,
tinggalan
leluhur berhati waja,
dia mati tanpa
dikenali, tanpa anugerah di sisi,
dia mati tanpa
pingat jasa bakti,
dan dikuburkan
di pusara sepi,
bersama
mimpi-mimpi tersendiri.
Kampung Kanchong Darat,
Banting, Selangor.
Nil Berolak
SMAHADZIR
Riak Sungai Nil berolak kasar,
tidak lagi bersenandung riang bersama semilir
sahara,
dan menjemput biru lembut langit kinanah,
membonceng angin yang menampan pepasir halus,
biawak-biawak pasir menjadi diam,
unta-unta turut terkaku bungkam,
Sungai Nil tidak lagi tenang,
ganas menolak tebing lalu runtuh,
ikan-ikan terawang-awang dalam mimpi ngeri,
ragam manusia dihimbau kembali,
sejak Habil dan Kabil mencipta sejarah,
darah selalu mengalir di serata arah.
Sungai Nil tidak lagi mengalir indah,
untuk dilayari perahu-perahu ke muara Laur Merah,
atau menikmati molek Babylon dan istana
Nebuchadnezar,
bersorak senyaring genta benteng qibtiyah,
menjalari segenap mandala, mendebarkan,
mendongakkan nafas, membisik jelu rasa hati,
inikah bumi anbia yang bersalut emas pedoman,
di mana suara-suara ulama pewaris nabi,
yang mendahulukan syariat persaudaraan,
bukan permusuhan mencari kuasa,
waktunya semilir damai harus berderu segar,
menyapa tubuh dan tangan yang keras,
puing runtuhan perlu bangkit dengan gempita,
bangun dan berdiri teguh dengan paksa,
lenyapkan belenggu kuasa yang bermaharalela,
yang ingin menjadikan boneka semata,
tanpa memikirkan jutaan bahagia,
bersemarak di tanah anbia sejak lama.
Sungai Nil terus berolak marah mengalir darah merah,
dari tubuh-tubuh yang ditusuk gerah timah,
riak ombak membalun Mersa Matruh,
cerobong hitam terus melakar warna langit,
benarnya panji teguh terpacak, biar dipukul
digertak,
apa erti perjuangan jika terhenti,
andai denyut terhenti, andai air mata gugur,
gugurlah kerana panji, gugurlah di bumi sendiri,
antara Morsi dan El-Sisi, pilih yang berani dan
berbakti,
hilang nurani merobek daging, kental jiwa senjata
abadi.
Sungai Nil jadi saksi, dari timur dan fajar pagi,
melutut merangkak, jeritan kebebasan,
dari belenggu manusia syaitan,
gagah melangkah di jalan kemenangan,
deru semilir dalam marak semangat, rela mati
disiat-siat,
pelihara kasih, tergadai nyawa menjadi pusara,
sabarlah, ia bukan sia-sia, genggamlah bara bersama
doa,
Nil sungai hening di bumi suci,
perinya Firaun dan para nabi,
moga perjuangan Tuhan rahmati.
Nil terus berolak dan bergejolak,
menuntut lenyap kuasa yang tidak bijak,
langkisau garang terus bergerak,
bukan sekadar menggertak atau mencipta luluh lantak,
tetapi benar-benar ingin berontak,
menuntut hak, hidup sejahtera dan layak,
alun Sungai Nil akan terus bergerak,
demi sebuah tamadun yang pernah tegak.
Pantai Teluk
Kemang,
Port
Dickson, Negeri Sembilan
Mengejar Rindu Berlari
SMAHADZIR
Nyawa, daging, tulang dan urat nadi,
semuanya
milik Tuhan Rabul Izzati,
menjadi
hancur di buana azali,
terbang
mengecil lalu menyepi,
luluh
sirna dalam lebur diri,
di
kaki kebesaran arasy Ilahi.
Hanyir
nafas, angin dan hela nyawa,
hancur
dalam lowongan wirid berdoa,
mercup
gizi tanpa erti yang nyata,
segalanya
menjadi punah dan hina,
dalam
zuhud bersama mata yang buta,
di
kawah mimpi tanpa nikmat rasa.
Ya
Rabbi, mataku telah berzina,
ya
Izzati, lidahku telah bernista,
ya
Khalik, tanganku telah berdosa,
ya
Ilahi, kakiku telah berdusta,
ya
Salam, telingaku telah tercela,
ya
Ghaffar, ampunilah segala-galanya.
Cair
darah, lendir dan air mata,
meruap
dalam sakar Khaliq belaka,
melerai
jisim tersihir mukjizat nyata,
dalam
lebur hakikat yang Esa,
di
dasar samudera Rabbi Azzawajalla,
lemas dan sesak dihimpit nostalgia.
Begitulah aku insan yang rugi,
bak burung kencana dilitup sepi,
berlagu mersik di embun pagi,
bebas hinggap dan terbang lagi,
riang melarik mimpi dinihari,
leka mengejar rindu berlari.
Masjid Sultan Salehudin Abdul Aziz Shah,
Shah Alam
Wasiat Raja Melayu
SMAHADZIR
Wahai rakyat kami,
sementara belum kelu lidah dipasung hari,
dengar dan akurlah wasiat ini,
jangan lupa mandala ini tinggalan moyang hakiki,
leluhur berhati luhur berjiwa setia sejati.
‘Kami namakan, kami panggil akan bentala ini,
tanah yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung,
Persekutuan Tanah Melayu, tanah pusaka agung,
kami isytiharkan dan kami catatkan dengan tinta
kencana,
kami simpan untuk kamu semuanya,
kami benarkan kamu isytihar dan jaga dengan
sempurna,
dan simpan untuk anak cucu kamu selamanya,
selain bukit-bukau, gunung-ganang, tasik dan hutan
simpan,
Tanah Simpanan Melayu,
sehingga nisbah lima puluh peratus,
selebihnya kamu rebutlah, jangan bergaduh,
bersama-sama kaum lain, saudara kamu,
bagi menjaga dan melindungi anak cucu,
serta harta hak milik kamu,
kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu,
untuk membenteras kekacauan dalam negara,
dan ancaman luar negara dari angkara murka,
kami kekalkan dan kami jamin kerajaan,
dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah tanah
ini,
kami isytiharkan Islam Agama Persekutuan,
pertahankan,
kami tetapkan Bahasa Kebangsaan Bahasa Melayu,
jangan biarkan ia layu,
kami amanahkan,
kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu,
melindungi kedudukan istimewa orang-orang Melayu,
jangan keliru, jangan berhati batu,
jangan berseteru, jangan bertindak melulu,
akuri kepentingan sah kaum-kaum lain.’
Taman
Pertanian Putrajaya
Hadapan Kaabah
SMAHADZIR
Pagi ini,
di hadapan Kaabah,
kita yang
sarat dengan kekhilafan,
yang selama
ini memakai keduk kebesaran,
dan menaiki
kenderaan-kenderaan permata,
dan
menggunakan harta-harta bernoda,
dengan
suara lantang menggunakan nama,
kawula
dukana yang berpuluh juta,
kita
serahkan diri kita,
untuk
digantung di pilar penyesalan,
biarkan
pingat dosa kita dilucutkan,
setelah
puluhan tahun lamanya,
kita
diapung kemewahan.
Kita yang
datang dengan riyak dan bangga,
biarkan
dosa tertinggal di tanah nusa,
melancong
berfoya di manca-negara,
memperoleh
kekayaan beratus juta,
penganjur
zina secara terbuka,
dan
menistakan kehormatan wanita, kaum ibu kita,
hadapan
Kaabah ini kita potong tangan-tangan kefasikan,
sujud
tawaduk di depan Ar-Rahman,
ampunkan
segala dosa yang bersimbahan,
terangkan
perjalanan, luaskan keberkatan,
sebelum
kita berangkat pulang.
Di hadapan
Kaabah,
marilah
kita menyerah segala qudrah,
kita dalam
iradah, dalam inayah,
kita
manusia terlalu lemah dan lelah,
Azzawajalla
Maha Pemurah,
tempat
pemberi hidayah.
Hadapan
Kaabah,
sujud
pasrah, menyerah,
kepada
Allah.
Mekah Ar-Mukaramah
Laut China
Selatan
SMAHADZIR
Laut China Selatan makmur rezeki meruah,
keringat nelayan tumpah di jaring hidup,
penyu menangis di pantai Rantau Abang,
Pulau Hentian dipuput bayu membelai,
camar laut riang menyergap bilis,
di pangkalan berlabuh kolek-kolek kayu,
resah menanti tengkujuh berlalu.
Di Laut China Selatan kapal berlalu-lalang,
membawa barangan juga penumpang,
berlayar dan berlabuh,
menyebarkan pesona Tanah Melayu,
bersemarak suatu ketika dulu,
fenomena alam titiwangsa,
berpenampilan gagah perkasa,
membentang di bumi luas,
alun laut yang menghempas,
dan di Laut China Selatan, hatiku bergelora,
kala menanti senja,
kerana di sini ada cerita nestapa,
kisah air mata.
Di pasir tepian lautmu,
aku teringat dirimu, sahabatku,
kapal-kapal yang berlayar dan berlabuh,
kapal-kapal yang berlayar dan berlabuh,
menjadi harapan titipan rindu,
sahabat yang sekian lama merantau,
sahabat yang sekian lama merantau,
meninggalkan parit dan selokan,
meninggalkan kenangan berpanjangan.
Di Laut China Selatan,
sahabatku dari tanah leluhur,
bersemadi tanpa nisan kubur,
aku mengenangmu sambil menanti senja,
senja kematian yang pilu dan menyesakkan.
senja kematian yang pilu dan menyesakkan.
Pulau Redang
Ayah Tidak Merelakan
SMAHADZIR
Ayah tidak
merelakan,
kamu
berangkat ke medan durja,
kerana
rimba kemerdekaan ini,
ayah yang
pugar,
penerokaan
dalam linangan keringat dan darah,
menghalau
penjajah,
yang garang
menjarah.
Ayah tahu,
kamu tidak menggunakan akal,
apalagi
iman dan tawakal,
apa yang
kamu laungkan hanya kebencian,
dan dendam
tidak berkesudahan,
perjuangan
di jalanan bukan perjuangan sejati,
yang
menuntut kemerdekaan ibu pertiwi,
tetapi
undangan tangan-tangan hitam,
datang
untuk menghentam,
kemakmuran
yang sekian lama diidam.
Niatkanlah
hatimu tegakkan kalimah agama,
insaf darah
dan keringat pejuang lama,
yang ikhlas
berkorban tanpa nama,
buangkan
api marah yang menyala,
akibatnya
akan menggamit celaka,
bukan saja
negara tapi juga bangsa,
bangsa akan
menjadi hina,
bila
dijajah semula,
agama akan
sirna,
bila tiada
tunjang kuasa.
Ayah tidak
merelakan,
kamu jadi petualang negara,
bersama tangan-tangan ghaib celaka,
yang punya agenda,
busuk tercela.
Dataran
Merdeka, Kuala Lumpur
Jalur Gemilang
SMAHADZIR
26 Mei 1950 –
berkibar di bumi Tanah Melayu,
Mohamad Hamzah
pencipta bertuah,
putih bulan dan
bintang bertukar warna,
lambang diraja
Melayu,
bucu bintang
sebelas jumlah negeri,
Persekutuan
Tanah Melayu.
1995 Jalur
Gemilang bertukar nama,
ilham Datuk
Hashim Mat Dris,
megah sebaris
Sang Saka Merah Putih Indonesia,
gagah berkibar
setara Union Jack United Kingdom,
teguh berdiri
sepadan Star Spangled Banner Amerika Syarikat,
sohor ternama
sejajar Tricolor Perancis,
Si Tuah
dicadang sempena nama Hang Tuah,
pahlawan Melayu
berani, gagah perkasa, setia kepada raja,
Setia Perkasa,
Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara cadangan terpilih,
lambang sejarah
dan perjuangan negara,
memupuk
semangat jitu kalangan rakyat,
terus maju
membina negara aman makmur,
11 September
1996, gagal memikat ahli mesyuarat Kabinet,
2 Jun 1997, tiga
nama jadi pertimbangan:
Jalur Gemilang,
Jalur Nusa Gemilang, Jalur Sinar Gemilang,
9 Julai 1997,
Jalur Gemilang menjulang megah,
Dataran Merdeka
jadi saksi,
berkibar gagah
30 Ogos 1997.
Jalur Gemilang!
dulu, sebelum
berkibar di tiang tinggi,
dibelai,
dipeluk angin merdeka,
hanya lambang
sebuah asa bangsa melarat,
meski mewakili
negara tidak berdaya,
tidak bernama
di sejarah dunia,
namun tersimpan
dalam kalbu,
lambang kasih
pada nusa.
Jalur Gemilang
tersemat pada bendera negara,
jalur lambang
satu laluan lurus,
hala tuju serta
arah sama diikuti warga,
gemilang
lambang keadaan bercahaya,
terang-benderang
dan cemerlang,
lambang
aspirasi rakyat Malaysia,
mengharungi
kemajuan penuh gigih,
taat dan
bersatu bagi membina negara,
cemerlang
gemilang lagi terbilang.
Jalur Gemilang!
kini, berkibar
di tengah bangsa
lambang
kemegahan bangsa berjaya,
panji
perjuangan mengejar kemuliaan bangsa merdeka,
dan demi Tuhan
pencipta negara,
selama masih
bersiut nafas di dada,
denyut darahku
penyiram medan perjuangan,
takkan kembali
dalam lipatan,
diam di kamus
sejarah,
biar berkibar
megah di angkasaraya bebas.
Kuala Lumpur
Ainul
Mardhiah
SMAHADZIR
Bidadari yang diukir cahaya dari syurga,
wajah bersinar bak rembulan malam purnama,
permata yakut
dan marjan tiada tara,
wajah bercahaya laksana bintang berkilau,
wajah bercahaya laksana bintang berkilau,
menyiangi gelintin malam dengan benderang,
indah kerlipan wangian seisi alam,
sehelai rambut jatuh ke bumi,
harum meliputi timur dan barat,
pekat hitam rambut terpadu putih wajah,
mata bersinar cemerlang,
meludah tujuh lautan,
laut tawar dek indah dan manis,
berkat za’faran menyalut tubuh.
Bidadari yang diukir cahaya dari syurga,
penghuni jannah mencermin wajahnya,
di pipi mulus,
ketika senja beringsut pada horison baur,
dia hadir dalam aura yang menggiur,
manja malu-malu pada pucuk malam,
kala mengisahkan cinta yang membuai,
dan melenakan insan-insan yang dimabuk kasmaran,
matanya serupa semberani,
di mana merpati jantan enggan menyingkir dari dahan cemara,
kala menatapnya terpana,
dan berjanji sejak lama,
menantinya pada tiap malam menjelma,
pelita penerang temaram,
yang senantiasa menyinari jiwa-jiwa sunyi,
dan menuntun insan pada ranah nan membenderang,
senantiasa, setiap waktu, sepanjang masa.
Bidadari yang diukir cahaya dari syurga,
adalah Ainul Mardhiah,
bakal isteriku di sana.
Masjid Putrajaya
31 Ogos 1957
SMAHADZIR
31 Ogos 1957 –
hari bersejarah bertinta kencana,
merdeka,
merdeka, merdeka,
tarikh keramat,
satuan kata sepakat,
pejuang
menghunus senjata lidah di medan bicara,
gelanggang
perang bungkam dentuman senapang,
meriam dan
kereta kebal diam tidak menderam,
diplomasi
dijulang berselimut gebar sayang,
darah para
pejuang amat mahal untuk dibuang,
merdeka semarak
kembang,
laksana bunga
mekar di jambangan,
hari ini aku
berdiri menghadap Jalur Gemilang,
di Dataran
Merdeka berkibar cemerlang,
hentak kaki
gagahku menyongsong harapan menjulang,
suci jiwaku
menggapai harapan suci murni,
aku anak bangsa
Malaysia yang polos berbakti,
untuk
kedaulatan nusa ibu pertiwi,
suara lantang
menyuarakan semangat berani,
merdeka,
merdeka, merdeka,
mashyurlah
Malaysia ke serata dunia.
31 Ogos 1957,
hari ini hari
kemerdekaan nusa tercinta,
tarikh keramat
nama Malaysia tercatat di peta dunia,
hari kebangsaan
tanah pusaka tinggalan bonda,
hari lahirnya
bangsa 1Malaysia,
semangat juang
para perwira,
gugur damai di
medan perang pasca merdeka,
Portugis,
Belanda, British dan Jepun,
Bintang Tiga
yang ganas bermaharajalela,
kini sudah
melenyap dikambus sejarah,
harum namamu
para perwira di kandung badan,
dibalut jasa
bakti bernilai permata,
merdeka,
merdeka, merdeka,
jayalah
Malaysia di puncak persada.
Baling,
Kedah
Alam
Cameron Highland
SMAHADZIR
Gunung-gunung dan bukit-bukit hijau,
tinggi dan tajam menongkat alam,
menjulang menusuk-nusuk awan,
air sungai berkelok-kelok,
bermain-main di celahan kakinya,
makmur fauna dan flora bersyukur,
segar bugar dalam lingkungnya,
bilakah agaknya,
Tuhan menurunkan tangan-Nya,
mengukir dan mencalit warna alam,
memahat mencoret sebegini cantik mempersona.
Belantara menghijau membiru di kejauhan,
ladang-ladang sayur membentang kekayaan,
bunga pelbagai warna menggerbak memekar,
kebun teh menghijau saujana,
kumbang dan rerama berterbangan riang,
unggas gelicau bersenandung tembang gembira,
pawana berhubub mesra dan manja,
semuanya mengarak senyum pesona,
semilir sejuk segar membelai nyaman,
molekul-molekul bahagia bertebaran,
menyerap ke pori-pori kehidupan.
Cameron
Highland
Sebelum
Pantai Kerontang
SMAHADZIR
Sebelum pantai kerontang,
seekor penyu akan pulang bertandang,
menyuburkan telurnya di pasir gersang,
katanya: malam ini kubenamkan butir-butir puisiku di pantai hatimu,
sebentar lagi aku akan kembali ke laut,
untuk hidup bersama pelaut,
yang tabah diarak gelombang laut.
Telur-telur penyu itu, mungkin akan menetas,
menjadi penyu-penyu perkasa,
berenang beribu batu merentas benua,
mungkin juga mati pecah berkecai,
terinjak kaki makhluk-makhluk dajal.
Sebutir telur penyu menetas di pantai hatimu,
anak penyu juga kembali ke laut,
seperti penyair mudik ke gunung ilham,
melalui desa dan bandar, gunung dan belantara,
yang menghabiskan usianya,
kalau ombak menyambutku kembali,
akan kusebut namamu pantai kasih abadi,
tempat kubenamkan kata-kataku,
yang dulu melahirkan aku,
berkurun yang lalu.
Penyu itu tidak pernah datang lagi ke pantai kerontang,
sebab pasir membahang gersang,
hanya menyelam dan berenang riang,
menuju laut jauh di hujung horizon,
di pulau cakerawala abadi.
Bangi, Selangor
Seruan Perwira
SMAHADZIR
Kabus dalam
kenangan pergolakan pertiwi,
mendung bertandakah
hujan deras,
membanjiri rasa
yang haus kemerdekaan,
langkahnya ke
hadapan bersama semangat menjulang,
serbu atau
hayun lading perjuangan,
merdeka atau
mati dalam penjajahan,
seruannya
bersipongang merasuk jiwa,
dalam serbuan
keris-keris pusaka Melayu menyatu,
dilaungkan
ayat-ayat suci ke udara raya,
jeritan dan
laungan semangat juang demi negeri,
rela tubuh
menahan terpaan belati,
untuk ibu
pertiwi.
Kini kau lihat,
seruanmu telah
menyubur pepohon semangat,
lading
perjuangan telah dijulang tinggi,
mengapung
langit yang berdarah,
simbahan
keringat dan airmata tertinggal di pondok sepi,
gelecak amarah
kepada penjajah,
dendam kesumat
kepada petualang negara,
dicincang dalam
semarak api bergelojak,
merdekalah
tanah air, merdekalah bumi bertuah,
hitam putih
tanah kelahiranmu kini,
bercahaya bak
kemilau emas permata,
darah para
penjajah keji yang tumpah di tanah nusa,
adalah racun
berbisa,
jangan biarkan
tumbuh pepohon angkara,
seruan perwira
tetap menggerapak dalam dada,
gemanya merasuk
jiwa,
untuk kemerdekaan
Malaysia sepanjang masa.
Hutan Belum,
Gerik, Perak
Aliran
Sungai
SMAHADZIR
i
Sungai yang dulu mengalir kecil,
di celah pepohonan belantara tebal,
di antara batu-batu di pergunungan tinggi,
sekarang telah sampai ke bandar,
menyelusup di celah-celah bangunan,
jambatan, kolong dan longkang,
dan akan terus menuju ke laut lepas,
dan bermukim di kaki langit.
Sungai yang dulunya hening dan nyaman,
tak lagi terdengar derai air terjun,
atau jeram bertingkat mendebur segar,
udara sejuk, nyanyian burung, semerbak bunga,
berganti panas terik dan polusi alam,
sampah-sarap, plastik, minyak, tikus-tukus mati,
mengalir iseng lamban dan sakit,
memberat dan membusuk,
lalat-lalat hijau dan berenga bebas membiak,
meloyakan tekak menyaratkan otak.
Sungai itu akan terus mengalir,
dari gunung, kampung, bandar dan laut lepas,
membawa kapal-kapal berbeban berat,
mengalir dari mulut muara,
menyambut hangat hempasan prahara dunia,
dan mengalir terus ke kaki langit.
ii
Sungai-sungai kecil, sungai-sungai besar, bersama,
bergelora dalam hidup sarat fatamorgana,
pergunungan dan air terjun menghimbau aroma,
burung-burung bergelicau manja,
menyulut kemulus putih mesra,
menjadi lautan api yang menyala,
menyepuh nama-nama yang menjelma,
dari segenap makna.
Bandar-bandar kecil, bandar-bandar besar,
gemuruh dalam sepi jiwa, hati dirasuk merana,
burung-burung tersedu menghibur sungai duka,
mengalirkan cinta dan irama pesona,
di ambang senja ketika pohon-pohon usia,
bertafakur dalam zikir bergema,
sementara menunggu panggilan dari Yang Esa.
UKM, Bangi,
Selangor
Tanah Airku
SMAHADZIR
Angin berdesir di pantai tenang,
burung berkicau merdu suara,
embun pagi membasahi rerumputan,
sawah padi menghijau di kaki gunung,
gunung tinggi menjulang awan,
rakyat hidup makmur aman tenteram,
itulah tanah airku Malaysia,
yang dicinta dalam jiwa.
Liku-liku sungai di tanah airku,
airnya jernih sebening mata ibu,
tebingnya tinggi menghadang seteru,
tanah tumpah darahku,
dijaga dan dikawal selalu
di sinilah darahku mengalir,
di sinilah keringatku tumpah,
aku tak rela tanah airku dijajah,
apalagi dadanya dilapah,
bernanah dan berdarah.
Di sini aku dilahirkan,
di sini aku mengenal warna alam,
di sini aku berenang di sungai berliku,
di sini juga aku akan menutup mata,
tanah airku tercinta,
Malaysia jaya,
aku tak akan rela berputih mata,
melihat tubuhmu diperkosa,
manusia bernafsu gila.
Port Dickson,
Negeri Sembilan
Kenyataan
SMAHADZIR
Katamu: dunia ini begitu cepat berputar,
lantas hati jadi gundah dan gusar,
kuhitung angka-angka yang melekat di usia,
kucabut seratus uban yang tumbuh di kepala,
aku ajak bersenandung segala cerita,
kisah-kisah ceria orang muda,
namun tetap berhujung di pintu senja.
Katamu lagi: senja sering dipeluk penyair muda,
dalam puisi cinta juga balada,
namun aku kata itu hanya canda,
senja bukanlah sebuah cerita tetapi usia,
tanpa nafsu atau syahwat yang menggebu,
kerana senja sering menutup pintu,
untuk semua perilaku tidak menentu,
aku bukanlah penyair muda remaja,
yang mengharap hidup seribu tahun lamanya,
ketika sengsara jadi bahasa yang sukar diterka.
Kenyataannya: aku seorang yang tidak boleh kalah,
apalagi terus menyerah,
aku juga tak perlu terus berhati gundah,
warna senja yang bakal menutup malam,
akan dihadap dengan doa dalam diam,
senja akan terus berlabuh,
malam akan terus berinsut,
dan aku bakal diam.
Masjid
Putrajaya
Alam Di
Lembah Nusa
SMAHADZIR
Semilir sejuk menari lembut,
kabus putih menghapus bahang mentari,
tegak cahayanya menusuk citra,
gunung-ganang mencecah langit biru,
bukit-bukau berselimut awan beralas zamrud,
sejak lama tidak beranjak,
di sanalah sanubari berdetak,
sunyi sepi tidak beriak.
Cermin berkilau di atas tasik,
menikung pohon yang melambai warna,
di celah kaki-kaki bangau yang segar,
di sini aku berada,
di mana jiwa mendamba tanah nusa,
hidup serasa sempurna,
makmur dan sentosa.
Sungguh jelita alam di lembah nusa,
tebarkan pesona di atas cakerawala,
tak berhujung di pandang mata,
hati dan mata terbuka,
cahaya pagi menembus kaca jendela,
semerbak mawar merah dan putih serlah,
jendela terkuak, udara segar membuak-buak.
Kabus tebal terus menyelimuti bumi,
setitik embun membasahi dedaun,
kicauan merdu bersenandung di telinga,
angin berhembus halus menembus kulit,
awan seputih melati,
langit, sebiru samudera raya,
bersedia menghadapi hari baru,
memperkasa alam indah di lembah nusa.
Grik, Perak
Buluh Runcing
SMAHADZIR
Dengan sebatang
buluh runcing,
terjulang di
tangan kanan,
kuhamburkan
penjajah yang berani melangkah,
sempadan tanah
ibunda bersama para pejuang,
Mat Kilau, Tok
Janggut dan Dato Bahaman,
mustahil
pelanduk dapat kalahkan singa yang gagah,
buluh runcing
mampu menempa sejarah,
mengusir
penjajah yang ingin menjarah,
tapi semangat
yang tak kenal makna payah,
tidak pernah
kenal erti menyerah,
apalagi
mengorak langkah mengusir tuah.
Sebatang buluh
runcing,
ditajamkan
pisau semangat dan jampi nekad,
biar tulang
berkecai, sendi diseligi lumat,
biar darah
terkucur, daging dimamah hancur,
pantang anak
jantan menyerah diri,
apalagi lari
meninggalkan sempadan negeri,
diinjak
anjing-anjing dan dibaham babi-babi,
dengan doa
tinggalan Panglima Ali,
dengan berkat
perjuangan dan semangat baginda Nabi,
kutetap berdiri
dengan sebatang buluh runcing di sisi,
akan
dilenyapkan musuh yang ingin menapak di tanah ini,
biar berkubur
tenggelam di makan bumi,
inilah aku yang
bergelar semut merah,
tidak pernah
gentar menentang sekawan gajah,
semangat
berkobar tak pernah punah,
akan terus
berjuang pantang menyerah,
demi masa depan
anak cucu di laman bertuah,
biar jasa dan
pengorbanan tercatat dalam tinta sejarah,
terukir kerana
berjuang menghalau penjajah,
yang ingin
menjarah.
Kampung Bukit Hijau,
Baling, Kedah
Kabulkanlah Doa Mereka
SMAHADZIR
Mereka tidak pernah mengingkari,
hakikat Firaun pernah berkuasa di sini,
galak mengobar angkara, getol menebar kekejaman,
namun Azzawajalla mengutuskan Musa,
memimpin penentangan, mencipta perubahan,
hingga wujud tugu kebebasan,
tiga dekad sudah berlalu Firaun kembali berkuasa,
dengan gertak ancaman dan mesiu pembunuh berbisa,
bumi Piramid berselimut kezaliman,
lenyap semula kebebasan dan kemakmuran.
Dalam semarak semangat membara,
mereka bangun serentak menuntut hak setara,
di jalan-jalan raya tidak lagi bisik-bisik sunyi,
tapi nada-nada gerah melaung ngeri,
kala dentuman peluru menembusi kepala,
mereka tidak berdaya merempuh petaka,
kereta kebal dan senjata automatik bukan tandingan,
batu-batu jalan yang dikepal di tangan,
laksana titisan hujan menimpa batu,
tidak berbekas sebarang kesan,
dalam hening malam mereka sujud,
menojah pedang malam ke pintu langit,
inilah senjata kaum tertindas.
Allah kabulkanlah doa mereka,
manusia teraniaya yang munajat tak terhijab,
Allah tiupkanlah roh keberanian,
hingga tangan musuh tiba-tiba terkunci,
merdu tembang kebenaran,
menjelma di pintu langit tujuh,
kukuhkan kaki-kaki yang melangkah,
gempita gemuruhlah kebangkitan,
menggejolakkan lapangan Tahrir,
menggegarkan lautan sekeliling,
biar bergulung menjadi ombak,
jangan lagi mengharapkan turun pahlawan langit,
kerana mereka sudah ada di bumi.
Kemenangan hanya terjadi atas kehendak Azzawajalla,
bersujudlah, julangkan pedang malam,
jangan abaikan solat berjamaah,
contohi akhlak indah Sallehuddin Al-Ayyubi,
meski leleh keringat dan buakan luka darah,
dalam lebur tubuh diganyang musibah,
apalah ertinya negeri ini berubah,
dari Gamal Abdul Nasir, Anwar Sadat,
Hosni Mubarak atau sesiapa saja,
apalah ertinya kekejaman melenyap,
jika bangkit kekejaman baru,
apalah ertinya nyawa,
jika cagun megah rejim yang sama.
Perkenankan ya Allah, di lembaran sejarah,
mereka bermunajat dalam sujud pasrah,
biarlah bahang mentari mengeringkan darah,
wahai Dzat Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Engkau Pelindung makhluk lemah dan tertindas,
mereka berlindung pada sinar cahaya tangan-Mu,
yang menerangi kegelapan,
dan mendatangkan kebajikan di dunia akhirat,
perkenankan ya Rabbi,
kejayaan pembela agama-Mu.
Kota Seri
Emas,
Negeri
Sembilan
Terima Kasih Malam
SMAHADZIR
Terima
kasih malam,
kerana
memberikan aku sedikit kesempatan,
untuk
berzikir dalam diam,
kala dunia
diapung kelam,
hati
diselimut gebar tenteram,
jasad
melayang ke dimensi silam,
melihat
panorama dan geliat alam,
aku
tersasar jauh di jurang terdalam,
diulit
kesenangan, diapit kebahagiaan,
yang
nikmatnya tidak berpanjangan.
Malam
begitu bermakna,
membawa
jasadku pulang dari kembara,
di laut mimpi
gelombang begitu tinggi,
dan bulan
yang belayar tenggelam di kelam badai,
terenggut
dari pantai,
aku melaung
meminta mentari pagi,
terima
kasih kerana jejak kaki,
masih
tertinggal di pasir sepi.
Terima
kasih malam kerana mengerti,
episod
nestapa kini telah berganti,
lautan
nasuha yang membentang tidak bertepi,
membasuh
kekhilafan diri,
menyuci
kekerdilan hati,
sungguh
Allah masih menyayangi.
Masjid Banting
Aku, Alam, Dan Hujan Pertama
SMAHADZIR
Sejak
kecil, kutandai, hujan kali pertama,
dan petang,
kampungku lebih mempersona,
jika
sebelum dan sesudah hari itu,
alam
kacau-balau tidak menentu,
hujan
tumpah sembarang waktu,
badai dan
banjir sering berlaku,
waktu subuh,
sukar ke mana-mana,
kalau pertama
kali menjujuh 23 Oktober,
akan mengguyur
teratur, usai Asar, lembut, berkawan, syahdu,
ramai orang
kahwin dan berbulan madu,
delima,
angsana, kemang, dan kecapi memucuk gembur,
kulat tiong
indah memarak subur,
bunga
bakung bersemi awal dua kali berbuah,
punai makin
besar rombongan migrasi menggugah,
gelap dunia
sebelah.
Tengah hari
panas diusir awan kelabu,
dikirim
angin barat dan selatan,
masa ajaib
singkat, meruap perlahan,
semua
mendadak riang tanpa dapat ditahan,
sambil
bersenda gurau, ibu-ibu mengangkat jemuran pakaian,
dan memekik
‘rara riri, krat krut krat krut’,
memanggil
pulang ayam peliharaan,
lelakinya
tergopoh-gopoh meneduhi basikal,
pada momen
emas itu, kami melompat dari rumah,
menghambur
ke pekarangan Masjid Al-Hikmah,
bertengkar-tengkar
kecil di bawah,
soal
rancangan waktu hujan petang mereda,
yang segera
tumpah,
guruh halus
menggoda-goda.
Hujan
berhenti tidak sampai matahari terbenam,
kami
berlari ke tali air di bendang,
di tepian
tasik, kami saling berpeluk badan,
memandang
anak-anak belibis berenang riang,
berbaris-baris
dan lingkar pelangi terang,
saban
petang, selama musim hujan berdendang,
bagaikan
Khalik telah memindahkan syurga terbentang,
lalu,
langit dikuasai gerombolan punai melayang,
dan kami mulai
saling bertengkaran,
menentukan
raja punai yang pemimpin kumpulan,
skuadron
berwarna hijau melesat di atas bumi,
tidak
peduli pada kecantikan diri sendiri,
yang selalu
kami kagumi,
sejak kami
diizinkan orang tua bermain di sini,
hanya
hamparan bakung ranum di hulu sungai,
dan beradu
cepat agar tidak kehabisan rezeki kurniaan Tuhan,
punai-punai
menyihir hingga mulut kami ternganga,
mereka bak
lukisan yang berterbangan di angkasa,
raja punai
terbang paling setia,
jika
menukik sedikit saja,
ribuan
punai di belakang serentak menukik,
jika
membelok, semuanya membelok,
sesekali hinggap
ke puncak pohon kemangi,
di
pekarangan rumah di kampung kami,
sebentar
saja, lalu raja mengepakkan sayapnya,
dan
terangkatlah ke udara permadani hijau bersama.
Awal
Februari, hujan beranjak malam,
mengunjungi
kampung kami menjadi kelam,
lenyap
akhir Mei,
musim hujan
yang sempurna telah sirna,
memohon
diri lewat rintik-rintik lembut di hujung musim,
bersama guruh
yang gagah perkasa,
pergi,
tidak tahu ke mana.
Demikian
teoriku tentang hujan pertama 23 Oktober,
tentu saja
tidak pernah aku khabarkan pada sesiapa,
menjadi
rahsia yang terpendam sekian lama,
lambat-laun,
teori itu berubah menjadi godaan,
aku sering
meyakinkan diri untuk mempercayai,
sesuatu
yang dibina di atas logik yang aneh,
aku, alam,
dan hujan pertama,
telah
membentuk semacam persengkokolan,
yang begitu
ganjil,
sehingga di
dunia ini, hanya aku yang boleh tahu,
aku sering
merahsiakannya,
dari diriku
sendiri,
namun,
bukankah adakalanya,
menyerahkan
diri pada godaan dan rahsia ditutup,
sebahagian
dari indahnya hidup?
Bandar Tasik Selatan
Bencana
SMAHADZIR
Suara gemuruh diiring debu runtuh,
alam asri terlindas lumpuh,
rumah harta benda dan nyawa manusia,
dilalap habis lenyap segala,
meruah derita sengsara,
meraung duka nestapa.
Rakan sedunia terpengarah, menatap hiba,
bencana bagaikan raksasa,
meranapkan apa yang ada,
bantuan dan simpati pun mengalir,
menyimbah dari ulas hati nurani,
manusia punya hati polos murni,
kaum keluarga dan anak isteri,
tetap dikenang jasa dan budi.
Bila bencana menimpa,
hidup mulai dihenyak sengsara,
depan belakang ditusuk belati derita,
luka yang meroyak di dada,
lambat untuk sembuh semula.
Tuhan, mengapa semua ini terjadi,
mungkin kami terlalu banyak mengingkari,
terlalu bangga dengan kesilapan diri,
andai ini sebuah janji hakiki,
benarkan kami pulang kembali,
untuk memperbaikki dan menginsafi,
ya Tuhan ya Rabbi,
ampunkan segala dosa dan noda kami,
hidup kami mohon diberkati.
Kuala Lumpur
Di Sini
Angin Tak Berkesiur Lagi
SMAHADZIR
Di sini angin tak berkesiur lagi,
mati bagaikan dibawa pari-pari,
entah ke mana di langit lepas,
ruang pengap menjadi kian luas,
berkali-kali kuhimbau kesiur angin bagai dulu,
supaya terhibur kalbu yang pilu,
dari permatang di kaki kali langsung tidak berlagu,
hanya senandung bungkam sendu,
dari seorang gadis pemalu.
Ruang menunggu malam menjadi hiba,
katanya, pergilah sebelum malam tiba,
kudengar angin mendesak ke arah kita,
biola merdu bernyanyi baris-baris diksi Rubayyat,
dabus terus bergurindam doa-doa inayat,
menggelodar impian dan hasrat,
di halaman kenderaan telah berangkat,
menuju ruang hakikat,
sebelum bait pertama,
sebelum selesai kata-kata berirama,
sebelum dia sedar ke mana lagi akan tiba,
aku pun tahu: sepi kita pada mulanya,
sedia kecewa, bersedih tanpa kata-kata,
pohon-pohon pun berbahagi duka di luar jendela,
memberitakan esok mungkin tidak ada,
kerana dunia telah fana,
dalam fananya.
UKM, Bangi,
Selangor
Pantai
Bagan Lalang
SMAHADZIR
Angin pantai disela gerimis,
menderu perlahan, membawa duka ke tengah laut,
berteduh di bawah pohon ru rendang,
damai bertandang, hati disalut riang,
kolek dan sampan nelayan di kejauhan,
gigih meredah gelombang,
menagih rezeki anak isteri,
yang derita hari ke hari.
Senja di Pantai Bagan Lalang,
tiada yang romantis atau ghairan perasaan,
alam khayalan menjadi bungkam,
dan ratusan nafsu terkubur diam,
pengunjung santai di gerai-gerai jualan,
menikmati pelbagai juadah hidangan,
hasil laut jadi santapan,
suara muadzin mendayu sopan,
mengajak manusia menjunjung iman,
di puncak panggilan.
Menjelang malam,
Pantai Bagan Lalang dipeluk diam,
hanya derai ombak menampan pantai
membawa pasir dan anak-anak ketam,
rintik gerimis membasahi bumi,
pantai merubah menjadi teduh,
inilah pantai kenangan,
terpateri dalam nostalgia.
Pantai Bagan Lalang
Zaman
Kanak-Kanak, Padang Rumput & Tanah Belukar
SMAHADZIR
Padang rumput dan tanah belukar,
menggelinding bagaikan anak-anak terbiar,
belalang kacung, tiak puyuh dan mentari membakar,
ular senduk dan kapak tak pernah dihindar,
segalanya diredah dengan penuh debar,
dalam setiakawan yang erat sabar.
Zaman kanak-kanak yang tabah dan mesra,
ligatnya berputar laksana bola,
di mana serangga tidak bernama,
persandingan teruna dan dara,
gon-gon, gulang-gulang, tepian huma,
adalah mandala berharga,
untuk ditancap gurau dan senda,
impian-impian muluk dan entah apa-apa.
Riang bercanda di musim tengkujuh,
subuh yang menjelma dan senja yang berlabuh,
tidak pernah merungkai persahabatan yang kukuh,
tetap teguh walau ditusuk derita mencabuh,
malam yang menggamit belaian,
menyambung hiburan di tempat pengajian,
Quran dan muqaddam yang dibaca,
rotan bergedik menunggu luahan kata,
semuanya diterima dengan redha,
tiada suara berani bergema,
tetap akur takdir Pencipta.
Zaman kanak-kanak, padang rumput & tanah belukar,
tetap dikenang penuh iktibar,
persahabatan dijalin dengan setia dan sabar,
tidak kenal makna bertengkar,
apalagi mahu membongkah onar,
sungguh, kenangan silam telah mengajar,
kita menjadi manusia terpelajar,
bukan binatang kurang ajar.
Banting, Selangor
Angin
Samudera
SMAHADZIR
Kolek yang membawamu telah kembali,
angin samudera mendorongnya ke pantai asal,
engkau tidak pernah menduga,
alun yang selalu setia,
pulang dan pergi membawa sejuta makna,
seperti engkau berdiri di pantai,
menanti seseorang yang akan datang,
untuk menitipkan khabar gembira.
Angin samudera terus bertiup dari jauh,
menolak kapal-kapal bersauh,
camar dan undan melayah ke laut,
nelayan bertingkah menongkah alun,
pukat-pukat merempuh ikan-ikan dan udang,
laut membiru bersepuh sisik-sisik emas,
disuluh sinar mentari teduh.
Angin samudera,
membawa pelbagai berita,
suka duka untuk manusia.
Sungai Baru,
Melaka
Sungai Yang
Mengalir
SMAHADZIR
Sungai yang mengalir berkelok-kelok penuh batuan,
tebing tinggi akar-akar berserabut,
menampan sampan-sampan ke pangkalan,
kadang-kadang hancur berhantukan,
meninggalkan serpihan berselerakan,
sungai yang mengalir laksana tusukan luka tanpa harga,
bagai lembing menikal sukma,
bagai lembing menikal sukma,
ketika lupa pada bahasa alirannya.
Sungai yang mengalir keruh berkeladak,
hingga ikan dan udang sukar bergerak,
Sungai yang mengalir keruh berkeladak,
hingga ikan dan udang sukar bergerak,
sampan yang dikayuh terhinggut-hinggut,
dibalun henyakan ombak,
dan angin yang berolak,
menyuling badai di suatu palung,
sungai yang mengalir bak seekor labah-labah,
yang getol memintal sawang,
hingga kita tak mampu meredah,
menuju hujung jaring langkah,
kita akan terjebak di selekoh jalan,
jauh sebelum sampai tujuan.
Sungai yang mengalir juga membina sedar,
ia laksana gadis-gadis pingitan,
yang siaga menghantarmu tidur,
di sebuah pulau sarat puspa kencana,
dengan dada bertabur ghairah cinta,
ia mungkin gadis pemandu wisata,
yang senang menyuguhkan tequila,
sesekali mengajak tetamu berdansa,
sambil mendesahkan syahdu kata-kata,
dari sungai yang mengalir itulah kita faham,
betapa dendam dengan kelewang,
dan kebencian dengan kasih sayang.
dibalun henyakan ombak,
dan angin yang berolak,
menyuling badai di suatu palung,
sungai yang mengalir bak seekor labah-labah,
yang getol memintal sawang,
hingga kita tak mampu meredah,
menuju hujung jaring langkah,
kita akan terjebak di selekoh jalan,
jauh sebelum sampai tujuan.
Sungai yang mengalir juga membina sedar,
ia laksana gadis-gadis pingitan,
yang siaga menghantarmu tidur,
di sebuah pulau sarat puspa kencana,
dengan dada bertabur ghairah cinta,
ia mungkin gadis pemandu wisata,
yang senang menyuguhkan tequila,
sesekali mengajak tetamu berdansa,
sambil mendesahkan syahdu kata-kata,
dari sungai yang mengalir itulah kita faham,
betapa dendam dengan kelewang,
dan kebencian dengan kasih sayang.
Masjid Morib
Kampung
Permai
SMAHADZIR
Malinja terbentang mulai menguning,
mentari menyambut cagunnya pagi,
ayam berkokok bersahutan,
petani bersedia hendak ke bendang,
bakul dan kampit dikelek di pinggang,
berayun langkah riang,
tiak dan murai bersahut mesra,
gemuyu dan keriang dot berlenggok manja,
damai kampungku segar terasa,
damai dan tenang tiada sengketa.
Kampungku yang permai,
warga bersatu rukun dan damai,
sanak saudara ipar dan duai,
sama-sama ke bendang padi dituai,
malinja yang masak di hujung julai,
sedia untuk diketam dan dijual,
anak-anak petani berhati girang
ramai-ramai turun ke bendang
esok tiada lagi makna payah,
dan hati gelisah resah.
Bila musim menajak tiba,
gemercik air bendang berbani,
begitu bening memaut permatang,
keli, haruan, kedak dan karin,
riang berenang menongkah musim,
awan di langit bergumpal mesra,
laksana zamrud khatulistiwa,
itulah alam kampung yang sentosa,
tidak pernah tercela,
oleh daki dan noda kota.
Kuala Reman,
Sik
Destinasi
SMAHADZIR
Kolek kasihku datang menderu,
desirannya meningkah gelisah dalam kalbu,
membuatku semakin rasa terburu,
tidak lama lagi bertemu,
tidak lama lagi bertemu,
bertemu dalam rindu,
yang sekian lama membuku.
Sudah kubersihkan kolam kalbu,
sudah kusuburkan kelopak kiambang biar bersatu,
tetap saja dada digalau rindu,
sabarlah rindu, tidak lama lagi bertemu,
bertemu setelah sekian lama beku,
beku yang membuku,
dalam cumbu yang cemburu.
Tapi dalam leka dan terlena,
destinasi ini masih kelabu, entah di mana,
samar dalam impian, tak terjangkau tangan.
Banting,
Selangor
Kenangan
Al-Ghazali
SMAHADZIR
Kau menyayangi kebenaran hakiki,
pencerakin makna maknusiawi,
kau mencintai tulang dan pori-pori,
pembentuk jasadiah insani,
bumi kelahiranmu dan penguasa raja,
korban kebodohan yang alpa,
dungu melihat permata bercahaya,
kilau menyilau kaca tidak berharga.
Ketika kautulis sajak kebenaran,
kau diborgol dalam kesamaran,
khazanah ilmu lenyap kemuliaan,
perdamba buku hilang kefasihan,
sungguh dunia menatap bibit-bibit bercambah,
yang mekar dari pengorbanan yang rebah,
iktikad dan pegangan tetap tabah,
kukuh dan tak mudah goyah,
lalu ketika ini prasasti keberanian,
bersimbahan dalam jujuhan penerimaan,
terima kasih Al-Ghazali kerana pilar pedoman,
tertegak menjadi turus ikutan,
sepanjang zaman.
Akan kukenang Al-Ghazali,
dengan seluruh keperibadian murni,
sanggup memahami segala dusta disaji,
sekian lama terpasung minda dan hati,
di langit hatiku gerimis telah reda,
tinggal namamu tertulis dengan tinta kencana,
menagih cintamu pada bentala manusia,
aku dan saudara seagama.
Masjid Batang
Kali, Selangor
Perwira
SMAHADZIR
Sepi bermukim asing di belantara,
nafas sisi senjata, bulir besi-besi tua,
menghirup bahang panas dengan keikhlasan jiwa,
mengapa peluru itu tidak segera menerobos,
tahu itu bukan penceroboh,
hukum dunia tak mengenal siapa untuk dirempuh,
tanah nusa tak akan ditebus,
jika tergadai di tangan musuh.
Jauh dalam hati melebur hari-hari pergi,
kampung halaman rumah tangga anak dan isteri,
kalung asmara, gurau senda dan belaian hati,
diliput batin antara hidup dan mati,
kendatipun sesal tinggal dendam,
galak semarak tak akan padam,
demi hukum keadilan, musuh perlu ditentang,
walau nyawa berganti galang,
perwira tak akan pulang,
dengan tangan telanjang dan mata terbuntang,
melihat bentala diinjak petualang,
menggelintin hari-hari mendatang.
Tabir doa kusyuk adalah garis pengabdian,
jika mati adalah takdir yang hakiki,
sampaikan salam dunia dan diri sepi,
kuyup mata, ruang dahaga dan harapan pertiwi,
tiada mengharapkan budi dan bakti,
dikenang dan diarak wangian setanggi,
demi hukum perjuangan, perwira di medan perang,
bawakan pelita melewati jalan-jalan terang,
kitab suci, sumpah murni dan tangis malang,
akan memberkahi segi-segi yang bakal mendatang.
Dari hati yang tersirat, perwira terhormat,
menjunjung hakikat bumi keramat,
tercatat dalam sumpah yang berkat,
perjuangan ini sarat matlamat,
menggerbak kuntuman bunga-bunga hasrat,
menjulang di mercu negara berdaulat.
SEMASHUR,
Selangor
Ramadhan
Yang Bening
SMAHADZIR
Sekuntum hari,
wanginya mengharumi bumi,
itulah kemahamurahan Khaliq berlimpah untuk kami,
menyatu pada segala inti hidup yang hakiki,
rahsia tidak sekadar lapar dahaga,
rahmat tidak sekadar pahala berganda,
tapi segala kemewahan syurga,
itulah hakikat Ramadhan yang mulia,
satu cara bersujud pada Azzawajalla,
dengan jasad lapar dahaga,
lebih insaf kita tidak punya apa-apa,
kemampuan lebih memahami akan makna,
kita tidak lebih dari sebutir debu tidak berdaya,
di antara kemahakuasaan-Nya.
Ramadhan adalah telaga bening,
rahsianya dalam diam hening,
cahaya maghrifohnya bertebaran,
untuk dikaut insan beriman.
Pantai Morib,
Selangor
Perempuan
Tua Penadah Tangan
SMAHADZIR
Setiap kali kupandang,
perempuan tua penadah tangan,
langkahnya terlalu lambat mencapai harapan,
senyumnya terlalu kekal untuk kenal kedukaan,
tengadah pada bulan merah mengambang,
namun sepi dihenyak badai mendatang,
kota ini jadi kontang,
jiwa manusianya persis binatang,
mata tidak pernah manis kala memandang,
galak dan ghairah umpama jalang,
penuh syak wasangka,
sarat caci dan cela.
Ingin sekali aku bertandang,
kediaman perempuan tua penadah tangan,
di bawah jambatan kota yang gemilang,
berdinding kotak-kotak usang,
yang tak kulihat almari pengisi makanan,
hidup sarat kehidupan angan-angan gemerlapan,
gembira dari kemayaan riang.
Perempuan tua penadah tangan,
impiannya lebih tinggi dari KLCC yang menjulang ke awan,
sekitarnya aliran kumbahan warga kota,
yang tidak pernah ingin bersenda,
apalagi mahu bertegur-sapa, bertanya derita,
namun jiwanya begitu murni, terlalu murni dalam nestapa,
untuk membahagi rasa sengsara,
kalau kau mati, perempuan tua penadah tangan,
bulan di atas itu, tidak ada yang punya,
dan kota ini, tetap angkuh dan sombong,
dengan lagaknya yang gempita,
hidup tidak lagi punya makna dan tanda,
dan kau tetap akan kukenang dalam duka.
Kuala Lumpur
Sejarah Telah Singgah
SMAHADZIR
Aku tidak
boleh dipulau,
apalagi
cuba dihalau,
ini mandala
subur,
pulau emas
yang makmur,
mereka
adalah orang-orang sasau,
sekarang
galak menghunus ajakan,
namun aku
tak pernah risau,
semangatku
kental jiwaku teguh,
segala
cabaran akan dirempuh.
Sejarah
telah singgah,
lalu
menebarkan ceritera lama,
yang
terselit tersembunyi di celah masa,
dan
menghulurkan tangannya yang ramah
katanya;
jangan biarkan kemakmuran punah,
jangan
benarkan manusia serakah ganas menjarah,
tak ada
lagi waktu untuk berleka,
ayuh angkat
senjata terjah ke medan laga,
tentang
mereka dengan semangat waja,
walau jalan
masih jauh,
kalau
bersatu kita akan kukuh,
musuh yang
ramai pasti akan jatuh.
Kata
sejarah lagi,
manusia-manusia
sasau itu sudah gila,
gila kaya,
gila kuasa, gila segala,
dengki
busuk hati tamak serakah haloba,
lupa untuk
berpada-pada.
Marilah
bersamaku, kita berpadu satu,
dalam saf
yang padu,
sejarah
telah singgah,
aku adalah
bangsa yang megah,
bangsa
penjelajah kaya maruah,
manusia-manusia
sasau jangan dibantu,
biarkan
mereka terkulai dan layu.
Ulu Yam, Selangor
Sehelai
Baju Berlumuran Darah
SMAHADZIR
Sehelai baju milik ayah,
berlumuran darah bertompok merah,
berpercikan di bumi Lahad Datu,
kami semua telah menatap jasadmu,
telah pergi perjuangan yang agung,
bersama doa yang menggunung,
dalam kejeluan bertahun-tahun,
pedih tak tertanggung.
Selembar lautan membatasi negara,
di bawah terik mentari Sabah,
antara pencerobohan dan maruah,
berlapis senjata dan peluru-peluru tembaga,
akan mundurkah ayah di medan juang,
seraya mengucapkan ’selamat tinggal perjuangan’,
mana ikrar setia kepada nusa tercinta,
lalu membiarkan kami,
memakai baju seorang pelayan,
di rumah sendiri.
Di balutan Jalur Gemilang itu,
kami semua telah menatap jasadmu, ayah,
dan di hadapan bangunan parlimen,
berkibar bendera separuh tiang,
berita jelu itu telah sampai ke mana-mana,
belasungkawa dari seluruh rakyat jelata,
dibawa kenderaan di pusat kota,
beca-beca, semua warga yang sekata,
doa-doa yang mengapung sejahtera,
menyelinap seluruh pelosok negara,
sehelai baju milik ayah,
yang berlumuran darah bertompok merah,
akan tetap bersalut maruah,
tidak rela nusa diganggu-gugah.
Kuala Lumpur
Pantai
Berpasir Nyaman
SMAHADZIR
Aku telah meninggalkan semuanya,
belantara tebal unggas bersiulan,
tasik tenang tidak beriak garang,
diteduhi pohon yang rendang,
gunung tinggi yang menampan awan,
juga dari badai dan taufan,
pantai ini berpasir nyaman,
berkilau kala disuluh rembulan,
inilah cita dan impian,
yang menyubur sejak semalam.
Pantai berpasir nyaman,
ombak riang berkejar-kejaran
di ufuk biru tepian langit,
laut tenang beralun camar berterbangan,
pasir putih bersih bersinar emas,
riang bercanda bersama angin,
mesra bersenda bersama mega.
Aku telah meninggalkan semuanya,
untuk terus bermukim di sini,
di pantai berpasir nyaman jiwa tidak gelisah,
ketenangan mengapung digebar indah.
Kuala Lumpur
Marak
SMAHADZIR
Api marah sudah galak membahang,
menggelodar tinggi menjulang-julang,
muslihatnya kini sudah terserlah,
niat busuknya kini sudah terbekah,
membunuh anak-anakku hari mendatang,
musuh-musuh itu bersuara garang,
sudah bersedia hendak berperang,
menunggu kami di medan juang.
Suara-suara terus bersipongang,
‘hapuskan semua petualang,’
yang selama ini laksana binatang,
ganas meragut hampas dibuang,
inilah musuh yang sekian lama berlindung,
di sebalik selimut yang tebal,
mengherdik dalam senyum,
menghulur sajian beracun.
Sudah lama mereka menabur kaca dan duri,
perlangkahan jadi payah,
sudah lama mereka memeram bara api,
kini sudah berasap tinggi,
anak-anak kami akan mati,
aku akan patahkan kaki-kaki mereka,
aku akan kudungkan tangan-tangan mereka,
aku akan bakar dapur-dapur mereka,
aku tak ingin anak-anakku mati,
di tanah air sendiri.
Ya, api dalam dada sudah menggelecak,
mendidih dan memarak merah,
musuh-musuh itu perlu dihapuskan,
mari kita hunuskan keris pusaka bangsa,
ayuh kita ke medan juang,
gemuruh berderau darah pejuang,
sama-sama kita lenyapkan petualang.
Banting,
Selangor
Narasi
Jujuhan Hujan
SMAHADZIR
Hujan, curahkan emasmu yang berkilau,
di lembah dan lurah, di tasik dan telaga,
puaskan dahaga warga alam,
hingga jiwaku terasa segar,
membajak kehidupan,
mekarkan bibit-bibit yang bercambah,
bersama gerbak setanggi,
ke segenap arah.
Hujan, simbahan dalam titikan gerimis,
di pinggir jendela aku ingat benar,
aku masih kanak-kanak, bersenda gurau, bernyanyi riang,
memutar-mutar payung kertas,
dalam jujuhan dan curahan,
yang berkilauan bagai perak disentuh mentari,
di situlah melenyap nestapa kehidupan,
di situlah menghilang derita kesempitan.
Oh, hujan… biar jujuhanmu kian deras,
puaskan dahaga jiwaku yang gersang,
agar hidupku menyeruak bagai cendawan,
mekar dan segar bak perawan,
di bawah mentari terang.
Bukit Bangkong,
Sepang,
Selangor
Kala Embun
Jatuh
SMAHADZIR
Sudah biasa aku mendengar simfoni rindu,
sehabis embun yang jatuh di halaman,
kala aku memetik daun-daun,
tetapi berdering dan pecah di atas batu,
esoknya adalah fajar,
mengekalkan kicau burung,
senyum gadis anggun,
dan sisa embun di dahan tembun.
Rindu dan cinta pun berkemas, membumbung,
ke dalam baris sajak-sajakku,
yang sarat gelisah,
semekar mawar-Nya,
aku biarkan embun terus jatuh,
untuk terus menyuburkan,
jiwaku yang haus.
Port Dickson,
Negeri Sembilan
Seruling
Malam
SMAHADZIR
Seharusnya kutiup kau malam itu,
dengan tembang semangat,
yang liriknya panggilan jihad,
mendayu ke puncak awan,
agar orang-orang yang terbunuh,
bangkit semula dari kematian,
untuk meneruskan perjuangan,
yang sekian lama diam,
dan bungkam.
Seharusnya kutiup kau malam itu,
dengan nyanyian syahdu,
yang senikatanya aksara rindu,
agar mayat-mayat yang dikubur tanpa nisan,
menguak tanah merah hitam,
lalu keluar menerjah alam,
dan merangkak perlahan ke rumah syaitan,
yang sekian lama memuja kekasihnya,
setiap malam.
Seharusnya kutiup kau malam itu,
supaya mereka yang cedera mampu berjalan,
lalu ke masjid dengan tubuh berlubang,
berdoa dengan darah di mulut,
sehingga tidak ada suara yang terluah,
selain bunyi kebencian meruah,
yang sekian lama mendidih dalam darah,
kerana penjajah.
Seharusnya kutiup kau malam itu,
dengan senandung mimpi,
yang liriknya belaian bidadari,
bercumbu rayu hingga ke pagi,
agar orang-orang yang merindu,
terus segar semula dari layu,
untuk meneruskan bulan madu,
yang sekian lama membara,
dalam mesra.
Shah Alam
Dibawa
Gelombang
SMAHADZIR
Gelombang membawa bidukku perlahan,
dalam kesunyian tanpa teman,
tidak berilmu tidak beriman,
ke hujung kegelapan alam.
Bidukku belayar ke bintang kejora,
jauh di atas langit kemilau,
tiada siapa pun yang hirau,
apa lagi untuk meninjau,
geliat dansa kehidupan yang berpesta,
di atas pentas pelbagai rona,
sehingga fajar cerah menjelma,
dengan cahaya mempersona.
Bidukku terdampar di pulau kencana,
aku mulai bernyanyi dengan lunak suara,
seperti bisikan angin di daun mesra,
suaraku hilang dalam udara,
dibalun gelombang laut yang beralun manja.
Gelombang membawa bidukku perlahan,
pulang ke pangkalan.
Banting, Selangor
Kota Bukit
SMAHADZIR
Kami di sini hidup bersama petani,
bersama penoreh yang bersemangat tinggi,
bersama pengorek pasir berhati berani,
dan anak-anak warga kampung kami,
bagaikan sudah mangli,
berselut lumpur di kaki,
Kota Bukit ini kampung kami sejati,
tidak pernah berhasad dengki,
memendam rasa iri hati,
antara kami anak-anak ria,
yang sering bercanda bergurau senda
pagi ke senja,
tanpa sebarang duka.
Namun hati sering terbakar,
kesempitan amat sukar dibongkar,
kemiskinan sentiasa saja berlegar,
melingkar dalam asrar,
lalu di sini lahir bangsa musafir,
meredah haluan menyongsong takdir,
berkawan dengan lembah bukitmu,
berteman dengan tebing Sungai Remamu,
jalan kenangan bersilang tak jemu,
menjangkau dusun dan kebun,
kerana sungai kehidupan di sini,
berhulu di kubur leluhur.
Di sini juga hidup bangsa penyair,
kekasihnya bulan purnama,
kecapi malam cendana mengukir,
semerbak lagu menghiburkan.
IPBA, Kuala
Lumpur
Perjalanan Satu
Persinggahan
SMAHADZIR
Perjalanan
ini satu persinggahan,
liku-liku jalan
terjal bergaung curam,
kerikil
tajam berselerak di pertengahan,
menanti
tubuh jika tersalah langkahan,
destinasi
akhir di hujung ketabahan,
untuk beradu
di ranjang ketakwaan,
mengagungi
sebuah keagungan,
Allah Yang
Maha Penyayang,
Rabbi
pencagun segala kemakmuran,
dan
menginsafi hina kekerdilan,
seorang
manusia yang dijadikan.
Perjalanan
ini terlalu jauh,
jutaan
marhalah,
penantian
adalah lumrah yang akrab,
tidak pernah
jelak,
menanti satu
saat yang pasti,
datang
dengan sapa mesra,
dan gamitan
taubat,
yang tidak
terhambat,
daripada
terlambat.
Di sini aku
masih perlu menanti,
dengan siap
siaga yang hakiki,
biarpun
detik berangkatan kini,
sudah
tercegat dalam senyuman pasti.
KLCC
Sumber
Bahagia
SMAHADZIR
Bukan semua
boleh merasa,
hanya dapat
dirasa oleh jiwa bertakwa,
berdoa
sahaja sudah pasti selesa,
kendati
belum tentu diterima,
berbual
mesra dengan Azzawajalla,
sunggguh
terasa lazatnya,
bermunajat
dengan-Nya,
terasa
indahnya maya.
Allah
Azzwajalla terlalu dekat,
tidak
berantara dan bercara,
terasa ada
di mana-mana, tidak ada di sana,
terasa
sangat Dia bersama kita,
semuanya
tidak bercara
Tuhan
dirasakan sangat diperlukan,
Subhanallah,
indahnya bersama Allah,
rahmat dan
kurniaan-Nya seperti lautan,
luas tanpa
sempadan.
Bila
menyebut nama-Mu,
dunia terasa
tenang,
air mata
akan berlinang,
terkenang
segala kesilapan silam,
dialah
sumber bahagia,
makhluk yang
bernama manusia.
Masjid Morib
Sebatang Tali Air
SMAHADZIR
Sebatang
tali air,
penawar
musim kemarau,
pengempang
air membuak,
menjela panjang
tepian bendang,
kala orang
bersedih tiada air,
dari kaki
langit ke kaki langit air membusa,
dari tahun
ke tahun ia datang melanda,
dari tumit,
paha lalu kepala,
menyeret
semua yang ada di sisinya,
bila air
surut tinggallah angin menudungi,
di atas langit
dan di bawah lumpur di kaki,
kelepak
tabtibau di celah jerami,
bila tebing
rebah tinggallah air berbani,
sawah
retak-retak berebahan tangkai padi,
nyanyian
katak bertalu-talu hujung permatang,
yang petani
minta hanyalah air dari tali air,
mengairi
bendang musim kemarau.
Sebatang
tali air,
kekasih
petani di kampung kami,
jadi
penghubung periuk nasi,
bertahun-tahun
kita merdeka,
tali air
tetap penyumbang jasa,
kepada
warga.
Kg. Imam,
Padang Perahu
Gergasi
Dalam Mimpi
SMAHADZIR
Dalam mimpiku ada seekor gergasi,
taringnya tajam bak gergaji,
kepalanya botak sekeras besi,
dari mulutnya menyembur kata-kata keji,
hai budak kecil, kamu tidak usah mengaji,
buang Al-Quran, jum kita menyanyi,
sebarang nasihat jangan peduli,
kita senangkan diri berhibur hati.
Tetapi aku bukan budak jahat,
tubuhku kecil tapi hatiku sihat,
ibu sudah melatihku jadi kuat,
menjadikan aku anak yang taat,
kepada agama juga adat.
Bapa sering berpesan,
hati-hati dengan syaitan,
mulutnya manis tapi hatinya busuk,
jangan biarkan dirimu dirasuk,
banyakkan zikir kayakan tawaduk,
kepada Allah sujud ditunduk.
Gergasi itu jadi beringas,
dari mulutnya menjulur api panas
tangannya mahu mencekik pantas,
hatiku kecut, nafasku cemas,
namun aku tak mudah lemas,
ilmu di dada kejap dan kemas,
jika gergasi bertindak ganas.
Kalau kau berani tunjukkan jantanmu,
kita bertarung satu lawan satu,
awas jangan guna helah menipu,
gergasi menyeringai taringnya berkilat,
lantas kubuka pencak dan silat,
gergasi melompat mahu menyerang,
tapiku bersiaga dalam tenang,
menjerit tidak bersuara pun tidak,
sambil berdoa aku bertindak,
ilmu Al-Quran kukeluarkan serentak,
raung gergasi bergema lantang,
dibakar api hangus terlentang,
aku menjerit kegembiraan,
dan mimpi pun bubar spontan.
Dalam tidurku tiada lagi gergasi,
yang datang dalam mimpi,
mengajakku ponteng mengaji,
untuk jadi penyanyi.
Dengkil-Banting
Perempuan-Perempuan Pasar Tani
SMAHADZIR
Perempuan-perempuan
pasar tani yang getol menjaja,
dari
manakah mereka,
jauh dari
kota mereka datang dari perbukitan desa,
sebelum
peluit bas pagi terjaga,
sebelum
hari bermula dalam pesta kerja,
perempuan-perempuan
yang membawa sayur dalam kereta,
ke manakah
mereka,
ke
pasar-pasar tani gigih menongkah mega,
mereka
bertarung dengan mentari bahang menggila,
merebut
hidup di pasar-pasar tani tepian kota,
mereka
membawa bakul jajaan di pagi buta,
siapakah
mereka,
mereka
ialah ibu-ibu yang perkasa,
akar-akar
yang melata dari tanah perbukitan turun ke kota,
mereka:
cinta kasih yang bergerak menghidupi desa demi desa.
Perempuan-perempuan
pasar tani yang getol menjaja,
mereka
tidak gelentar ugutan rasa duka,
mereka
tidak menggelugut henyakan derita,
dari
perbukitan desa dijinjing semangat ingin jaya,
mengubah
hidup yang dilingkung nestapa,
sejak lama.
Pasar Tani
Banting, Selangor
Jelita Tepian Bendang
SMAHADZIR
Serunai
padi di dangau usang tepian bendang,
merdu
antara longgokan jerami musim kemarau,
tembang
menggema di kaki Gunung Jerai,
kesing di
pucuk-pucuk malinja mulai menggigit,
embun tipis
menurun satu-satu,
membasahi tangga
di tanah berbukit,
dikenal
gadis-gadis dari bendang,
bersenandung
tembang cinta yang hilang,
jelita
berkebaya merah melangkah permatang,
belalang di
pucuk-pucuk pulut kian mengamuk,
embun tipis
terus jatuh satu-satu.
Jelita
tepian bendang berdendang anak petani,
berdendang
lirik-lirik kebahagiaan,
berdendang
cinta yang dibawa pergi,
serunai
mengusik kalbu rindu,
jelita
tepian bendang jadi sendu,
longgokan
jerami membara dibakar,
angin
membawa asap yang berlingkar,
tembang
cinta tak akan kembali lagi,
senyap
dalam alunan sepi.
Pendang, Kedah
Kita Tiada Pilihan
SMAHADZIR
Tidak ada
lagi pilihan,
rumah ini
rumah pusaka tinggalan,
leluhur
yang berdarah di tangan,
jika diam
atau bungkam,
rumah
pusaka akan menjadi milik orang,
kita harus
terus berjalan,
kerana
berhenti atau mundur bermakna hanyut ketinggalan,
kita tak
akan jual keyakinan,
tanpa harga
dalam pengabdian,
sampai bila
kita mahu ditekan,
hati dan
perasaan,
sedang
sudah banyak yang kita gadaikan,
demi
kesatuan dan perpaduan.
Tidak ada
lagi pilihan,
kita harus
terus bertahan,
kita adalah
manusia berjiwa mampan,
tak punya
kepentingan dalam muluk slogan,
rumah
pusaka adalah keringat perjuangan,
tinggalan
leluhur yang tak kenal erti kesengsaraan,
kalau kita
mengalah bermakna kita dayus,
kiri kanan
depan belakang diugut terus,
muslihat
mendekam dalam mulut yang mulus,
kita harus
teruskan perlangkahan,
sehingga ke
titisan darah penghabisan,
agar anak
cucu kita esok tidak kehampaan,
melihat
rumah pusaka tinggalan leluhur,
besar,
megah dan makmur,
sedang
hakmilik sudah berkubur.
Putrajaya
Perempuan,
Luka Dan Dosa Lelaki
SMAHADZIR
Perempuan; lukamu itu akan dibawa mati,
tak mampu disusun kembali,
luluhlantak sekeping hati,
oleh lelaki,
yang hingar oleh kerenah,
yang rasa dirinya berhemah,
dalam tindakan yang serakah.
Perempuan; maaf atas segala luka melepa,
mungkin berkecai tak akan bercantum semula,
laik renjana kasih disanjung mulia,
namun luka terus meroyak binasa,
rembang petang bagai alam gelita,
tak terganti oleh benderang kejora.
Perempuan; izinkan aku bersimpuh di bawah kakimu,
maaf atas segala dosa yang berlaku,
yang pernah lelaki lakukan terhadapmu,
biar kubasuh dan kusucikan,
kakimu yang dilentuk haluan pedoman,
sesempurna syurga idaman.
Maaf; atas setiap titis air mata,
yang pernah kau jujuhkan ke
dunia,
dan darah yang pernah mengucur
dari luka,
akibat dosa lelaki durjana,
yang sering mengaku raja.
Kuala
Lumpur
Redup
Purnama
SMAHADZIR
Malam tak pernah bercerita lagi,
bungkam merajuk hati,
lalu bersembunyi di sebalik pagi,
kala kujenguk ia dalam bisu,
sebundar awan mengepung kaku,
bagai perewa berjubah kelabu,
kerdipnya mati, liriknya beku,
seperti kunang-kunang yang diam,
enggan berkelip-kelipan,
gemintang tak pernah bersinar lagi,
rembulan meredup membawa diri,
langit cuma jelaga,
yang hanya menyisakan giris gelita.
Seorang dara yang dirundung lara,
gerangan apa pun dia mendurja,
tetap di hatinya semarak jejaka,
sepejam matanya yang tak lagi gemilang,
seindah cemerlang bintang.
seorang dara adalah luka masa lalu,
renjana yang koyak adalah perih pilu,
bagai seberkas aura yang hilang,
pergi tak pernah lagi pulang,
biar luka masih membilur biru,
jiwa masih mengharu.
Dengarlah, ia tetap purnama yang redup,
dan aurora di antara lembayung senja,
sampaikan arca teragung padanya,
berukir kuntuman cinta untuknya
dan selalu untuknya,
semoga ia dapat bersinar semula,
seperti gemilangnya bintang kejora.
Sepang,
Selangor
Bendera Nusa
SMAHADZIR
Manusia
berpakaian hitam lengkap bersenjata,
telah
berhenti di depan sebuah rumah pusaka,
yang
semarak mengibarkan bendera nusa,
menceroboh
masuk dengan paksa,
memperkosa
kata, menoda bahasa,
juga
membakar bendera,
menjelaga.
Manusia
berpakaian hitam bertopeng hantu,
rakus
menurunkan bendera itu,
di hadapan
seorang bapa renta,
tidak ada
pejuang pun yang mahu menuntut bela,
semuanya
lena dan leka,
alpa.
Manusia
berpakaian hitam bertangan kejam,
dengan hati
yang kelam,
telah
meninggalkan rumah pusaka,
menyongsong
halaman tergesa-gesa,
bapa tua
renta dengan kudrat yang ada,
perlahan
menaikkan kembali bendera,
walau
serasa nestapa pada jiwa,
walau
gelodar marah menggila,
ke tiang
kesal dan kecewa,
hampa.
Permatang
Siantar,
Sumatera
Utara
Perempuan
Tua Di Hujung Desa
SMAHADZIR
Perempuan tua di hujung desa,
laksana genta dari kemilau emas,
juga serunai istana dari kerlap permata,
lafaznya senantiasa menjelma,
menyerupa kidung indah,
lirik bermadah,
pedoman ke jalan cerah.
Perempuan tua di hujung desa,
ialah rindu serupa pungguk malam,
yang senantiasa merenung purnama,
bagai cahaya fatamorgana,
hingga tiap detak nyawa,
sentiasa padanya,
sepanjang masa.
Perempuan tua di hujung desa,
dialah lantun segala irama mempersona,
yang mengukir gelintin malam dengan cahaya,
dan membias baur horizon,
dengan indah warna kejora.
Perempuan tua di hujung desa,
dialah nirwana yang hadir dalam asmara,
maharani agung di puncak singgahsana,
yang melahirkan aku ke dunia,
dari rahimnya,
sehingga kurangkul indah rerona,
menghias kanvas jiwa.
Kampung
Tomok, Danau Toba,
Sumatera
Utara
Lelaki Di Jambatan Pulau Pinang
SMAHADZIR
Lelaki di jambatan Pulau Pinang,
beritanya hangat di depan akhbar,
menggugah kedamaian warga sekitar,
dia melayang bak sehelai kertas usang,
aura hidup wangi terpental di penggal jalan,
luka itu terancap bagai belati,
pada dada dan hatinya,
hidupnya adalah jelaga hitam,
dan sering meniriskan hujan airmata,
katanya; aku sudah tak sanggup hidup dalam medan kalah.
Lelaki di jambatan Pulau Pinang,
bagai layang-layang melayang terbang,
dari jambatan di tengah Selat Melaka,
mungkin cinta telah mengajaknya ke sana,
setelah patah berkecai dan berkecamuk,
renjana asmara menggejolak dada,
telah membakar jiwa yang luka,
jasadnya memutih dalam pandangan,
melayang ke dasar laut,
lelaki itu,
siapa pun dia, telah mati,
dan kita tidak perlu bercerita lagi.
Seberang
Perai
Izinkan
Aku Mencium Dahimu
SMAHADZIR
Luka itu memang tak sengaja kutoreh,
cagun kala hati diamuk nestapa,
tertancap bagai sembilu,
dan kenangan pilu tak mungkin berlalu,
dengan darah yang mengalir,
membasahi ruang sukma,
lalu isak-tangis pun bergema,
dan pisau di tanganku terlepas,
dalam lubuk keinsafan,
terdalam.
Isteriku, izinkan aku memelukmu,
agar dapat kusalurkan sejuta maaf,
dan penyesalan dari setiap kata yang terucap,
yang menambah sejumlah perih di hati,
malam tak lagi berbintang,
kerana jelaga awan galak menghalang,
menculik gemintang dari benderang,
cinta bagai rembulan pasi pucat tanpa warna,
biarkan sekali ini airmataku jatuh di pangkuan,
meski tanpa lunak sentuhan jemari,
yang tersalur dari sejemput maaf.
Isteriku, biarkan aku terpenjara oleh
jeriji bersalah,
kenangan kita telah terbingkai diselubung debu,
dan kelabu cinta kita menyesakkan kalbu,
aku seperti mati dan sendiri dalam sepi,
izinkan aku mencium dahimu,
untuk terakhir kali sebelum aku pergi,
dan berlalu seperti angin pagi,
biarkan aku bersemadi dalam cintaku yang abadi,
sebelum aku dijemput Ilahi,
ke perkampungan azali.
Kg.
Baru, Kuala Lumpur.
Sungai Ombak
SMAHADZIR
Hujan telah
menangis melimpahi sungai,
di atas
tanah yang lelah dan patah,
angin
jalanan yang panjang terus mengerang,
kita tak
ada pondok kediaman,
kita hanya
bayang-bayang,
siluet yang
bergentayangan.
Hujan terus
menangis, menangis sedih,
di atas
tanah yang perih dan letih,
di atas
jasad yang pedih dan mendidih,
kita tidak
ada makanan, kita kelaparan,
bayang-bayang
yang lapar mencengkam,
siluet yang
berpestaan menerkam.
Hujan
semakin kuat menangis
di atas
bumi yang hening dan sepi,
sehabis
paluan gendang genderang,
angin
jalanan yang panjang terus menerjang,
menyusup-nyusup
garang,
menusuk-nusuk
membahang,
bayang-bayang
berlegar-legar,
siluet
terawang-awang,
di bawah
bayangan tiang,
di bawah
bayangan kencana gemilang,
berjuta
bayang-bayang dan siluet berebut-rebutan,
menangisi
hujan dan menangisi gunung gejolak,
kabus
kelabu membelai menolak-nolak,
tubuh-tubuh
yang berselerak,
terkapar dalam
sungai ombak yang berolak.
Berastagi, Sumatera Utara
Gurindam Orang Lapar
SMAHADZIR
Lapar
menyerang kampungku,
ubi kayu
dipanggang menjadi abu,
kidung
kepiluan pun berirama sendu,
menggores
pedih di dasar kalbu,
kemarau
semakin ganas mencengkam,
bendang dan
huma kering kerontangan,
sungai
tidak lagi berlimpah airnya,
angin jadi
membahang,
api
menggejolak memijar,
memanggang
perasaan.
Di hujung
kampung, hatinya tambah terhiris,
sanak
saudara ibu dan bapa menjadi pengemis,
menadah
ehsan mengharap sedih,
tempurung
berhantukan, lapar mengamuk,
darah
memuncat iman menjadi kalut,
kidung
berirama gurindam beralun dalam kemelut,
parah dan
hancur,
lapar
berserabut,
akal telah
menyelinap ke bumbung nafsu,
api amarah
sudah memarak semarak,
bertingkah
menjadi batu, berpadu satu,
hari ini
bukan lagi apa yang akan dimakan,
tetapi
siapa yang akan dibaham.
Ini
gurindam orang lapar,
kidung
musim kemarau memijar,
dalam
sungai yang terbiar.
Bukit Hijau, Baling, Kedah
Pesona Jiwa
SMAHADZIR
Bak gelombang mewarna di udara,
laksana sinar pagi hari,
bagai rembulan mengharung samudera,
seperti bidadari dirangkul mentari,
meskipun langit memeluk bumi,
mirip kencana di senja kemerlap,
umpama terbang setinggi awan,
bagaikan bintang menghiasi malam,
sinar mentari menyebar tenang,
indah pesona dalam jiwa,
kala dirasuk bahagia.
Bahagia yang menjelma,
beraroma syurga,
bersama pari-pari bunga kencana,
semerbak harumnya mempersona,
tatkala pesona jiwa melanda,
terbentang luas hamparan dunia,
melenyap derita yang pernah melanda,
nestapa sengsara ghaib entah ke mana.
Pesona jiwa,
tidak pernah kekal lama,
mengecil dalam gelap gelita,
lenyap dalam kata-kata,
hilang dalam fatamorgana.
Kota Kinabalu, Sabah
Indahnya
Alam
SMAHADZIR
Desiran angin berirama tenang di pergunungan,
tumbuhan menari lemah gemalai di perbukitan,
kicauan burung merdu mengalun tembang keheningan,
deburan omban beralun merdu di pantai tenang,
gelicau unggas berselerak riang ria,
indahnya alam hati terpesona,
gemilang membuai cinta mesra,
ke celah-celah mega,
damai dan sentosa.
Kupejamkan mata, kurentangkan tangan,
sejuk, tenang, damai terasa,
diri melayang ke puncak awan,
wahai pencipta alam,
kekaguman sukar dipendam,
dari siang hingga malam,
pesonanya tak pernah padam,
begitu indah dinikmati,
bak taman syurgawi.
Keindahan alam terasa sempurna,
semua makhluk terpana,
semua insan terkesima,
justeru kita harus menjaganya,
agar takkan sirna,
sampai bila-bila, selamanya.
Gunung Kinabalu,
Sabah
Dihenyak Gelombang Masa
SMAHADZIR
Tak terdaya
mataku melihat anak-anakku bersengketa,
hanya kerana
sekeping tanah pusaka,
tinggalan
leluhur selepas merdeka,
airmataku
tumpah, parang dan lading menjadi hakim,
masyuarah bukan
lagi jalan penyelesaian,
mahkamah
menjadi medan perjuangan,
penentuan hak
dan kebenaran,
sedang hak dan
kebenaran adalah kasih sayang,
yang disemai di
tanah tinggalan,
dipupuk makna
persaudaraan,
dalam sentung
yang sempit dihirup bersama udara sedikit,
dalam teratak
yang kecil hidup bersama semua saudara,
kehidupan yang
dicari sarat ikatan,
ukhuwah segemal
satu agama.
Longlai
semangatku melihat anak-anakku bergaduh sesama sendiri,
hanya kerana
pegangan yang tidak sealiran,
agama bukan
lagi penyatu ikatan keluarga,
tapi dihurai
songsang lalu terburai makna saudara,
masjid tidak
lagi laman sejahtera penjana tarbiah,
tapi mandala
pemisah antara sesama,
kita satu
ummah, satu kalimah dan satu Kaabah,
kita bersama
menentang musuh-musuh Allah,
rumah kita kini
sudah diintai jembalang tanah,
yang bernafsu
ammarah, berkeduk mazmumah,
huma kencana
kita akan rakus dimamah,
maruah dan
darjat kita akan punah,
buangkanlah api
serakah yang menjulang pongah,
bakal
menghancurkan kesatuan ummah,
lalu menghimbau
sengsara bercambah.
Sebak dadaku
melihat anak-anakku tidak lagi sedar,
asyik
bertengkar, leka berhibur, pules digebar,
bermimpikan
mahligai antah berantah yang entah di mana,
terpesona
dengan gelamayar berkilau di kejauhan sana,
sedang orang
lain sudah menjulang di puncak kencana,
membina
istana-istana gemilang bercahaya,
sudah
bergantang kisah sejarah dibentang,
sudah berjuta
pedoman dicakap ulang,
ceritera
kemusnahan bangsa-bangsa peribumi,
di serata
pelosok bumi merdeka,
dialun dalam
konserto jelu balada derita,
terlukis di
kanvas nyata terpamer di serata mandala,
namun laksana
tercurah air ke daun keladi,
lenyap dan
hilang dimamah sepi,
anak-anakku tak
pernah mahu bangun dari lena yang panjang,
maruah bangsamu
sudah ditelanjang,
turus kemegahan
agamamu sudah diterjang,
bahasa leluhurmu
diancam gelombang,
budaya murni
sudah tercaing musnah,
tanah yang
dipijak ini akan retak berderak,
awan putih
bertebaran tak lagi akan berarak,
angin sejuk
akan berhenti bergerak,
sungai yang
mengalir akan menjadi sempit,
aliran yang
tenang dan makmur akan terhimpit,
perjalanan akan
bertambah getir.
Menjelang senja
ini aku akan pergi,
jauh dari
kepiluan dek sikap alpa anak cucu,
tetapi aku akan
tetap menggengam api hasrat yang menyala,
biar dalam
kelam kulihat wajah anak-anakku,
makin pudar
tidak bermaya,
dihenyak
gelombang masa.
Batang Kali,
Selangor
Waktu
SMAHADZIR
Waktu yang
hakikat,
bagi para
pesakit,
adalah
musuh yang mereka tipu saban hari,
dengan
harapan,
namun, di
sana, di sebalik jeruji yang dingin,
waktu
menjadi paduka raja,
tidak pernah
terkalahkan.
Bagi para
politikus dan olahragawan,
waktu
adalah kesempatan yang singkat, ganas, dan mahal,
para
seniman melihat waktu seperti angin,
hantu,
bahan kimia, seorang anak perempuan, payung,
seuntai
tasbih, atau sebuah rejim,
Salvador
Dali melihat waktu boleh meleleh.
Bagi para
ilmuwan,
waktu
umpama garis,
yang ingin
dilipat dan diputar-putar,
atau
lorong,
melemparkan
manusia dari masa ke masa,
maju atau
mundur,
bagi yang
terbaring sakit,
tergolek
lemah tanpa harapan,
waktu mereka
panggil-panggil,
tidak
datang-datang.
Bagi para
petani,
waktu
menjadi raja,
mereka
tunduk patuh,
bila
menanam, bila menyiram, bila menuai,
adalah
titah dari waktu yang sombong,
tidak boleh
diajak berunding,
tidak
mempan disogok.
Bagi yang sedang
jatuh cinta,
waktu
mengisi relung dada dengan gembira,
sekali gus
cemas,
kerana
teristimewa untuk cinta,
waktu
menjelma menjadi jerat,
semakin
cinta melekat, semakin kuat waktu menjerat,
jika cinta
yang lama menukik,
jerat itu
mencekik.
Bagiku,
waktu telah menjadi spekulasi mendebarkan,
akankah
esok semuanya berubah.
Rawang,
Selangor
Mengharap Kepada Tuhan
SMAHADZIR
Tatkala sungai
menjadi sempit,
nelayan pun
menghentikan dayungan,
sampan
teroleng-oleng dipukul alun,
membalun
tebing, air berkocak,
langit yang
bergemuruh ditatap resah,
awan bergumpal
gelap pekat,
hati nelayan
merengap hebat,
mengharapkan
Tuhan,
menurunkan
tangan-Nya,
meluruskan
lekok-lekok sungai yang berbatu,
agar kayuhan
menjadi mudah,
sampan terarah
ke pulau impian.
Kala sungai
lurus tanpa bebatuan,
tebing damai
rerumputan hijau tenang,
nelayan
bersenandung riang,
lupa daratan,
alpa kesempitan.
Tuhanku,
mohonkan ampun ke hadrat-Mu,
atas segala
dosa yang telah lalu,
berharap Kau
menerima taubat,
kerana hanya
engkaulah pelita hidup,
sempitnya
sungai yang berliku,
bebatuan tajam
ternganga menunggu,
namun tiada
lagi kini sendu,
sembah sujud
pada-Mu Tuhan,
Kau berikan
segala senang dalam pendayungan,
Sampan nelayan
telah terdampar di pulau bahagia,
kini tiada lagi
lupa daratan.
Taman Damai,
Banting, Selangor
Bila Malam
SMAHADZIR
Bila malam
menjelma,
memberi salam
di pintu kamarku,
ada mimpi-mimpi
silam yang bergentayangan,
terpampang di
layar memori,
pelbagai warna
menabiri ceritera tertayang,
airmata menjadi
kesalan,
kisah-kisah
purba begitu hitam berjelaga,
menampal
kanvas-kanvas diri,
angin bagaikan
terhenti,
tasik-tasik
bagaikan kering,
sekumpulan
awan hitam gelap di angkasa,
berulang kali
berbelok arah tanpa jelas,
kadang-kadang
berputar-putar atas kepala,
titik hujan
jadi meradang, lalu berjujuhan,
memental warna
dedaunan kuning di hamparan pilu,
sesekali angin
berhubub sayu,
sayap-sayapnya
seperti mahu luruh,
melayang,
berputar, lalu tergeletak bisu,
di bawah
dedaunan hijau berkilau yang masih tergantung kaku,
merangkul kisah
purba ini dengan pelukan insaf.
Bila malam
menjelma,
desir hujan dan
angin yang luruh,
tersenyum
ketika menimpa batu,
aroma riak
hutan,
dan dingin yang
menelusup di sebalik ari-ari,
satu nafas,
satu denyut nadi, satu detak jantung,
dalam gelombang
hujan yang melebat,
dan dosa yang
perlahan menarik kaki ke pusaran masa,
lenyap di
permukaan insaf,
dan hening
kembali merayap dalam jiwa yang beku.
Masjid Putrajaya
Pejuang Tanah Nusa
SMAHADZIR
Demi tanah nusa
dikorbankan waktu,
demi agama sanggup
menggadai jiwa,
demi bangsa
rela pertaruhkan nyawa,
maut menunggu
di sempadan,
bakal
mengganyang seluruh jasad,
lumat tercaing
senjata-senjata runcing,
pejuang tanah
nusa berhati waja,
tidak gentar
gertakan maut petualang negara,
tidak gelugut
ancaman neraka senjata musuh,
langkah diatur,
muslihat disusun, helah ditabur,
musuh digempur
diburu seluruh pelosok,
demi sebuah
negara makmur,
generasi subur.
Di raut wajah
pejuang tanah nusa,
tak sekumin
rasa takut membusa,
semangat juang
membara,
semarak
bergelora,
lenyapkan
pemusnah kemakmuran negara,
hari-hari
pejuang tanah nusa diwarnai segala,
pembunuhan dan
pertumpahan darah,
dan dihiasi
bunga-bunga api bergejolak,
mengalir sungai
darah bersemarak merah,
tidak jarang
darah merah memancut membuar,
membuak dari
tubuh bersarang besi tembaga,
namun tak mampu
meruntuhkan turus semangat juang,
di dada seorang
pejuang.
Keris pusaka
bonda yang setia menemani,
keringat masin
yang tak pernah kering,
membasahi
seluruh badan siang dan malam,
pakaian dengan
seribu hapak,
kini menjulang
tanah nusa,
ke puncak
persada,
bertakhta di
singgahsana merdeka,
ceria di istana
bahagia.
Keningau,
Negeri Di Bawah Bayu
Kepada Belia Harapan Bangsa
SMAHADZIR
Nusa kita pasti
menangis sedih,
hatinya terasa
dicabik rabak,
pabila ada
warganya memilih untuk kaya peribadi,
korupsi jadi
pegangan, rakus jadi pilihan,
tak peduli
rakyat miskin merintih,
tak hirau
penadah tangan meminta,
harta negara
direbut haloba,
bukit bukau
gondol ditarah,
emas permata
diraih meruah,
tanpa sedar ada
luka-luka parah,
terkulai di
tepi jalan.
Nusa kita pasti
meratap hiba,
pabila
kesejahteraan jadi angan-angan semata,
keadilan
hanyalah khayalan nyata,
kemerdekaan
telah terjajah,
yang tinggal
hanya kebodohan dan kepalsuan,
bermaharajalela
di pelosok negara,
dengan
angkuhnya mendabik dada,
rakyat miskin
peduli apa,
kami berkuasa,
kami boleh buat
apa saja,
akan runtuh
sebuah kuasa,
dileburkan
kebangkitan massa.
Malaysia,
negara milik kita bersama,
jangan hanya
bungkam memeluk dada,
mari bersatu
teguhkan kuasa,
bina nusa
tegakkan panji setia,
jujur dan
amanah dalam bekerja,
ikhlas berbakti
taburkan jasa,
gemilangkan
bentala merdeka,
kita belia
harapan bangsa,
pancangkan
janji sekata, makmurkan nusa,
bahagiakan
negara sepanjang masa,
hindar ancaman
durjana serakah haloba,
mari berkongsi
kekayaan negara sesama kita.
Putrajaya
Pengorbanan
SMAHADZIR
Mengucur deras
hasrat,
bak keringat
melencun sumur hakikat,
membasah tubuh
melengas kudrat,
membawa angan
ke samudera luas,
dibalun badai
teroleng ke pulau bebas,
bagai pungguk
rindukan bulan,
jiwa terpuruk
dalam kesedihan,
pagi menjadi
malam,
bulan menjadi
tahun,
sekian lama
menanti,
tak kunjung
padam api kegelisahan,
gundah digulat
kesayuan.
Andai aku sang
kesateria perkasa,
pasti kudatang
menyelamatkannya,
namun semua
hanya mimpi,
dirinyalah yang
harus berusaha,
untuk keluar
dari kegelapan abadi,
aku hanya
pejuang dalam sepi,
tanpa senjata
penguat diri,
terumbang-ambing
dibalun sepi,
terlunta dalam
kamar peribadi,
yang terpencil
di sudur memori.
Ini sebuah
pengorbanan,
seorang
pencinta sepi,
yang terpelosok
dalam kamar jelu,
digulat resah
tersendiri,
tapa sesiapa
pun di sisi.
Permatang Pasir,
Kuala Langat, Selangor
Ayah, Seorang Pejuang
SMAHADZIR
Ayah,
bagaimana aku
boleh membalas jasa-jasamu,
yang telah kau
berikan untuk bumi pertiwi,
mencurah
keringat berbudi kepada tanah,
menyuburkan
pokok-pokok hijau di tanah merdeka,
padi dan getah
menghijau di kebun ladang,
kau menghayun
lading perjuangan di medan juang,
menghalau
penjajah dan petualang,
tidak pernah
gentar menentang,
meronai kanvas
merdeka di medan perang,
haruskan aku
memegang cangkul dan tajak,
turun ke
bendang dan petak-petak paya,
haruskah aku
berdarah di tengah desiran senjata,
haruskah aku
mandi berlumuran peluh seluruh tubuh,
haruskah aku
tersusuk peluru senapang penjajah,
mengenang
kembali segala jasa dan pengorbanan,
sehingga aku
senang di tanah ini,
tanpa sedikit
pun ancaman bimbang,
hingga
sekarang.
Ayah,
engkau relakan
nyawamu,
diganyang musuh
durjana,
engkau relakan
dirimu,
diseligi daging
dikunyel tulang temulang,
demi
kebahagiaan dan kemakmuran,
anak cucumu di
tanah sekangkang,
demi satu
kemerdekaan yang cemerlang,
tak boleh
diraih dengan hanya berdakap tubuh,
engkaulah bunga
bangsa yang tabah,
pejuang yang
gagah dan perwira yang teguh,
di medan juang,
memakmurkan
negara.
Shah Alam,
Selangor
Menyusur Petaka Mesir
SMAHADZIR
Piramid purba porak poranda,
Spink pecah berserakan,
bukan bencana alam, melainkan amukan manusia,
padang pasir menangis, bumi diambang kekacauan,
anak-anak kecil menggemakan tangisan jelu,
para isteri sebak menanti suami,
lelaki beradu tenaga, saling menghentak kaki,
masing-masing menjerit:
mana Mesirku yang damai,
mana Sungai Nil yang dulunya mencipta tamadun,
kehidupan yang tersohor,
semua, terperi benar dalam diri masing-masing
semua, saling menyalahkan satu sama lain
hakikatnya sedarah:
satu bangsa, satu saudara, satu bahasa,
satu hamba Allah di bumi barokah.
Beza fahaman telah menjulang,
api dendam dan amarah menggila,
dua kumpulan yang sama-sama mengadap Kiblat,
namun terasing dan tidak sepakat,
mengapa tidak makan bersama?
satu talam berisi nasi yang sama,
lalu cari jalan persahabatan berdasar syariat Nabi,
yang sudah terpateri dalam Kitab Suci,
pencerahan paling hakiki.
Di luar sana, hasutan iblis nyata meraja lela,
menjulur tangan-tangan ghaib berupa raksasa,
inginkan Sungai Nil mengalirkan air merah,
bumi Firaun jadi mainan, sebuah boneka,
syaitan laknatullah nyata sedang menari-nari,
bersuka ria,
menonton manusia bergelora nafsu dan amarah.
Demokrasi; mana janji damai?
mana keadilan dan suara ramai,
Amerika angkat bicara ‘Mesir telah tercerai berai’,
mereka ketawa, kerja mudah sudah selesai,
waktunya untuk rakyat Mesir bangkit dari lena,
tembang manis tak usah merdu di telinga,
resepi enak Uncle Sam usah dilahap lagi,
mari jejaki kembali langkah para nabi,
satukan tangan julang janji-janji sejati,
untuk menuju Mesir yang permai,
telusurilah Sungai Nil hingga ke dermaganya,
airnya yang sejuk hening pasti akan tersenyum,
tukang perahu berkulit gelap akan bernyanyi
girang,
perahu layar akan merentangkan sayapnya,
menangkap angin dan belayar jauh,
sepanjang hari dari fajar hingga ke timur,
di mana kehidupan pagi dan kebenaran lahir dengan
gembira,
seperti dahulukala.
Rembau,
Negeri
Sembilan
Maafkan Aku Perwira Negara
SMAHADZIR
Maafkan aku wahai perwira negara,
aku tak mampu bersama menjulang bendera,
di medan laga mempertahankan nusa,
aku hanya mampu berdoa segenap masa,
baik di dhuha atau kala matahari di atas kepala,
di senja atau kala lail tinggal sepertiga,
doaku kepada Allah Azzawajalla,
agar para perwira disimbah qudrah perkasa,
meletakkan maruah bangsa dan agama,
di puncak mulia.
Maafkan aku wahai perwira negara,
aku tak mampu mengobar api membara,
membela tanah moyang dari musuh durjana,
di belakang, di tengah, apalagi di depan barisan,
aku jauh di seberang lautan,
di kampung yang jauh tersisih di pedalaman.
Aku tak pernah berjuang di sisi perwira,
dengan langkah dan semangat seorang juara,
baik dalam tegak memperjuangkan yang hak,
atau dalam tunduk doa yang tersamar,
baik dalam ibadah yang bening tenang,
atau di hadapan ancaman yang menghadang,
wajah perwira hanya imbas dalam kelip mata,
perjuangan perwira hanya cagun dalam kilasan berita,
semangat perwira hanya terukir dalam susunan aksara,
ketika keringat perwira kucur ke bumi,
aku masih lelap tidur di kamar sepi,
ketika air mata perwira membasahi pipi,
aku masih dibuai mimpi diusung bidadari,
dalam getir perwira menghindar mesiu menyeligi,
aku membazirkan rezeki dengan pesta bunga api,
ketika perwira gembira menyambut syahid tertinggi,
aku masih menggelentar untuk mati.
Maafkan aku wahai perwira negara,
aku sentiasa alpa menjaga tanah bonda,
di pojok tertentu sudah ada api sengketa,
musuh durjana sudah kembali mengatur agenda,
kedamaian bentala sudah menggamit dengki haloba,
namun aku tak mampu menghalang mereka,
aku terlalu kerdil di celah musuh raksasa,
hanya mampu menadah doa.
Maafkan aku wahai perwira negara,
kemerdekaan tanah ini hasil darahmu,
kebahagiaan bentala ini dari keringat panasmu,
aku akur segala jasa,
moga perwira dalam redha Azzawajalla,
sepanjang masa.
Pusat
Latihan Tentera Darat,
Port
Dickson,
Negeri
Sembilan
Perbincangan
Tiada Lagi
SMAHADZIR
Bila tiada lagi perbincangan,
akan adalah hati yang remuk kecewa,
iblis dan syaitan akan berpesta pora,
bersorak ria meraikan kemenangan menggoda,
dan menghasut makhluk yang bernama manusia,
bersengketa sesama lalu bertemu di medan laga,
tiada lagi salam sejahtera ucapan mulia,
tiada lagi pelukan cinta sesama agama,
walau kalimah syahadah masih serupa,
namun nafsu dan amarah lebih utama,
dari perpaduan dan muhibah yang aula.
Mengapa perbincangan berganti dengan senjata,
sudah matikah akal sihat dan nurani kasih,
kenapa tergamak biarkan kematian berselerakan,
anak-anak kecil, wanita dan orang-orang tua,
peluru hidup bukan tandingan tubuh-tubuh rapuh,
yang mudah dirobohkan laksana angin,
ratusan nyawa melayang bagai kapas di udara,
terkapar berlumuran darah,
bersimbahan percikan daging-daging hancur,
kepala berderai, tulang temulang lunyai,
tanpa sempat mengucapkan kata sayang,
kepada ayah bonda sanak saudara,
anak-anak juga suami isteri tercinta.
Mengapa masih mahu berdebat soal demokrasi dan hak
asasi,
sedang ideologi barat itu sudah ditelanjangi
di mana-mana saja sekadar hipokrasi,
demi memuaskan nafsu dan kehendak sendiri,
yang ada cuma letupan senjata api,
dan siapa yang menentang dianggap seterus,
dan harus dibinasa dan dihancurleburkan,
kematian tak akan menyelesaikan persoalan,
hanya melahirkan dendam yang tak berkesudahan,
siapa yang akan menanggung segala kehidupan,
mereka yang ditinggalkan tanpa kebahagiaan.
Luas lautan tak mampu menampung,
air mata kedukaan yang bergenang,
dan biru cakerawala akan menghitam,
menanggung mendung kedukaan jiwa,
yang tercabik-cabik belati nestapa,
sia-sia mengaku manusia dewasa,
dan mampu mengelola konflik dengan bijaksana,
nyata akal waras lenyap entah ke mana,
dan kecerdasan yang dimiliki minda,
hanya untuk kekuasan dan pengaruh harta.
Tegakkan panji perbincangan,
kembalilah pada kedalaman nurani,
kembalilah pada akal budi insan sejati,
semua yang telah diusahakan,
dengan paksa dan kekerasan tak akan kekal,
simpan dan akurlah firman Tuhan,
tak ada yang abadi di dunia fana,
sia-sia merebut hati dan fikiran,
yang tak mampu dibelenggu kaku,
milik manusia beraja di mata.
Rembau,
Negeri
Sembilan
Ceritera Perpaduan
SMAHADZIR
Bersama kita membaja pepohon cinta tanpa warna,
bersatu memperkasa turus nusa tanpa curiga,
tetap bersama dari dulu hingga selamanya,
dalam gemal kejap satu bebat ikatan,
tetap berusaha membangun tanah moyang pusaka,
mencegatkan agama dan memakmurkan bangsa,
bersama ilmu ditimba tanpa putus asa di mana saja,
menjana modal insan di arena globalisasi,
disinar gemilang akhlak dan nilai peribadi.
Bersama kita suburkan ceritera perpaduan,
seteru disanggah bersama dengan lading muhibah,
demi kesatuan satu bangsa satu negara,
biar puncak kemajuan dikemerlap cahaya gemintang,
nusa bangsa Malaysia gah serata dunia,
ceritera perpaduan ini biar ditera tinta kencana,
dalam kamus sejarah bersalut perada bersinar,
bersama kita eratkan tangan satu genggaman,
tempuh suka duka bersama sepanjang masa,
rempuh pancaroba liku-liku sungai sempit menuju
muara,
di sana ada bahtera kesejahteraan,
renyah globalisasi laksana kerikil tajam,
kita tetap bersatu dan tegar menghadap cabaran,
seia sekata sehati sejiwa,
ke hutan diredah ke lembah dituruni,
itulah perpaduan yang hakiki.
Ceritera perpaduan bukan legenda,
bukan kisah penglipur lara,
tapi simbol kekuatan negara,
persahabatan yang murni, muhibah sejati,
amalan nilai-nilai murni,
mesranya laksana kuku dan isi,
Melayu, India, Cina dan semua eknik warga setia,
bersatu hati menjulang jamung menghalau penjajah,
sekarang kita bersama dalam gebar merdeka,
bersama lembaran baru kehidupan sejahtera,
walau kita berbeza bangsa, agama, dan budaya,
namun kita sehati sejiwa,
memacu pembangunan negara.
Kem PLKN
Kuala Kubu Bharu,
Hulu
Selangor
Guru Insan Mulia
SMAHADZIR
Sudah bermusim bersama guru
di pusat pengajian,
banyak cerita yang berlegar
dalam kenangan,
kenal hati dan budi akhlak
mulia jadi pedoman,
sebak dan sayu kala
perpisahan,
laksana kekasih hati ke
medan juang di perbatasan,
air mata berjujuhan tangisi
sebuah kehilangan,
seorang guru yang berbakti
tiada tandingan.
Guru pembina negara
merdeka,
pengisi dada anak bangsa
dengan ilmu berguna,
diseli sayang dan kasih
sepanjang masa,
ikhlas berbudi tanpa pingat
di dada,
menjadi sahabat ketawa
bersama,
menjadi ibubapa kala
berduka,
nasihat diberi sepenuh
rela,
walau diri sendiri
diselimut derita,
laksana dian membakar
bercahaya,
pencerah jalan kehidupan
manusia,
mencapai bahagia.
Bila usia sudah meningkat
tua,
sudah di penghujung kerjaya
seorang guru yang mulia,
terpaku di kamus sejarah
dengan tinta kencana,
murni jasa bakti yang
dicurahkan sepanjang usia,
akan dikenang sepanjang
masa,
anak didik yang diasuh
sudah mencapai langit gemilang,
cemerlang disalut gemintang
terang,
berhentinya guru bukan
sebuah pengakhiran,
ilmunya yang dicurah
laksana pohon subur,
berbunga berbuah dan
menjalar ke serata pojok,
terus jadi amalan ilmu yang
ditabur,
anak didik yang gah di
mercu bahagia,
sentiasa merafak doa ke
hadrat Azzawajalla,
moga guru dalam sentosa.
Duhai guru insan mulia
pemberi permata,
selagi nafas masih tersemat
di usia,
budi luhur tetap dikenang
sepanjang masa.
Institut Pendidikan Guru Kampus Antarabangsa,
Kuala Lumpur
Tanah Merdeka Luhur Berjasa
SMAHADZIR
Jangan berdukacita Malaysiaku tercinta,
jika budi yang ditabur dibalas tuba,
segelintir warga lupa sejarah derita lama,
tiada lagi makna menyanjung jasa,
apalagi mahu mengekalkan merdeka,
cukuplah masih ada lagi warga pembela,
yang sanggup mati bergadai nyawa,
tetap bergejolak semangat ingin menjaga,
keutuhan tanah tinggalan moyang berharga,
dari diganyang musuh derhaka,
petualang negara beragenda celaka.
Jangan bersedih Malaysiaku tanah moyang,
jika kemakmuran yang bercambah akan diganyang,
segelintir wargamu sudah dirasuk puaka jembalang,
tiada lagi bakti pejuang yang mahu dikenang,
tapi syukurlah kerana masih ada lagi para pejuang,
walau tidak bersenjata meriam dan senapang,
masih mahu menghapuskan petualang,
sanggup tercegat di medan hadapan,
dengan tinta dan kobaran pagar penghadang,
mesiu musuh dari segenap lapangan,
walau nyawa dan jasad berkalang,
jasa ibu pertiwi tetap dikenang.
Jangan berhiba Malaysiaku bentala pusaka,
jika kemerdekaan yang telah ditempa,
tiada siapa yang akan menghargainya,
sehingga leka dan alpa anasir durja,
laksana ular tedung berbisa,
cuba menyelinap di celah-celah kehidupan warga,
tapi syukurlah masih ada segelintir manusia,
yang sanggup menjaga nusa,
walau dengan tarian jejari di kanvas sahaja,
tanpa pingat dan terjulang nama,
di pentas singgahsana.
Jangan bermurung Malaysiaku bumi merdeka,
jika khidmat bakti yang dihulurkan kepada warga,
tiada pujian hanya caci cela ke udara,
jasa pejuang dan pahlawan berhati waja,
mengusir penjajah yang ingin bermaharajalela,
dikutuk dikeji dilupakan malah dihina,
tapi masih ada anak bangsa,
yang sentiasa mendoakan kau sejahtera,
setiap kali berteeleku di hadapan Azzawajalla,
menjelang 31 Ogos setiap dasawarsa,
kau tetap dijulang sebagai tanah yang berjasa,
membangun dan membina hidup bermakna,
semua bangsa tanpa mengira agama,
kekal terukir dalam kamus permata,
tanah merdeka yang luhur berjasa.
Kampung Kota
Bukit,
Sik, Kedah
Setia Dalam Merdeka
SMAHADZIR
Kami berjanji demi kesejahteraan sebuah tanah yang
merdeka,
tinggalan moyang yang tangannya berlumuran darah,
dihiris belati penjajah,
dagingnya disiat jerkah keramat di medan juang,
berjuang sehingga darah terakhir,
mengalir di tubuh melalui suara-suara semangat,
putaran kemerdekaan sejak 1957 santak kini,
menyusur sungai-sungai yang alirannya mati,
kepada warga segemal 1Malaysia, negara bangsa,
yang telah bebas dari belenggu,
hasil perjuangan silam yang luhur,
menjulang kencana makmur meruah syukur.
Dalam sejarah kepahitan digugah gentar,
sungai-sungai yang mengalir sempit,
alirannya berjelaga dan berkeledak,
di tebingnya larian anak-anak kecil,
bogel tanpa seluar dan baju,
berhingus lagi kedana dihenyak sengsara,
tak bersekolah walau dalam kelas rendaha
hingga menjelang dewasaa
tidak pernah kenal alif ba ta,
sehinga tanah merdeka menjulang panji cahaya,
baru berubah hidup derita diulit pesona,
gemilang di mana-mana, cerlang maya.
Titisan darah ayah di sempadan nusa,
bersama para pejuang berjiwa mulia,
hanya batu sungai sebagai tanda,
masih melekat kukuh di atas pusara,
nama yang telah terkambus dek hujan,
masih panas membahang semangatnya,
walau tulang temulang diam berubah fosil,
dalam tanah merdeka tinggalan sejak lama,
seperti selalu berlarilah kami dengan sehelai
bendera kecil,
pemberian ayah suatu ketika dulu,
kami menyebut aksara merdeka,
bergema ke langit tujuh,
membingkas azam baru untuk terus setia,
dalam merdeka.
Dataran
Merdeka,
Kuala Lumpur
Demi Perpaduan
SMAHADZIR
Sambutannya berulang lagi saban tahun kembali
meriah,
keranamu Malaysia, kami di sini menabur bakti ibu
pertiwi yang megah,
jalur gemilang berkibar sana sini merona gagah,
walau segelintir tiada endah, satukan hati bukannya
mudah
hanya Malaysia negara tercinta terpateri indah,
kejap dalam jiwa sanubari penuh maruah,
untuk merdeka pejuang bersusah payah,
jangan siakan apa yang terpampang indah,
sayangilah tanah tumpah darah, mandala bertuah.
Kala melangkah menjinjing timba perpaduan,
jangan biarkan melimpah di perjalanan,
ada kerikil tajam berbonggol di hadapan,
ada hasutan dan dendam kesumat merintang jalan,
pandanglah ke kiri dan kanan,
ranting-ranting berduri ego bergelimpangan,
tumbang dek ribut dengki dan badai bimbang,
langkisau penggugah damai laksana gergasi,
berdiri bongkak bersama angkatan pemusnah,
mari bersama kita tepis warna-warna kelam,
usah berganjak walau digertak,
kukuhkan tunjang tegap memasak bumi,
walau tusukan datang menggempur,
menggegar tanah yang dipijak.
Takkan roboh tanah merdeka ini,
walau dibalun badai hitam menutup pandangan,
takkan rebah tiang Jalur Gemilang ini,
walau petualang mengancam dengan jentolak raksasa,
takkan terpokah pohon nusa ibunda ini,
kerana akar umbinya terpasak kukuh,
tunjangnya teguh di dalam diri,
jati pertiwi sasa menjunjung daulat tanah moyang,
laksana tugu besi tak mempan dek peluru,
generasi silih berganti musim silih bertukar,
masak minda melewati usia,
gemilang warga sudah di puncak cendiakawan,
lahir masyarakat berintegriti satu negara.
Ini seruan padamu bangsa setia bumi mulia,
generasi penerus aksara merdeka,
saudara senegara satu bahasa satu budaya,
kita harapan tanah moyang memupuk perpaduan,
yang pencorak kanvas keamanan,
memakmurkan lembah nusa menjadi gunung kencana,
bersatu teguh, bercerai roboh,
bulat air kerana pembetung,
bulat kata kerana muafakat,
warna yang bertaburan akan bersatu bersama,
berpadu dalam saf yang satu,
kita adalah warga satu bangsa,
berpadu dalam gagasan 1Malaysia,
berbaur tanpa mengira warna,
bercampur tanpa sengketa,
demi perpaduan bumi Malaysia tercinta.
Dataran
Putrajaya,
Putrajaya
Seorang Perwira
SMAHADZIR
Seorang perwira
telah gugur di perbatasan,
permulaan musim
gerhana diapung sedu sedan,
terselubung
aroma darah bersimbahan,
dan tanah yang
berembun air mata berjujuhan,
kala mentari
mengelupaskan kulit-kulit pahlawan,
hingga kawanan
peluh yang siaga bertaburan,
menghalau
kepulan debu bergerombolan,
yang mengepung
dari sekumpulan,
perompak,
penjarah untuk penjajahan,
terasing dari
keadilan,
penyubur hak
dan pencabulan.
Seorang perwira
telah lenyap di sempadan,
tatkala banjir
berlarian menggenang sawah bendang,
memokah
hamparan tanah usang,
dengan jeritan
malang dihenyak belati petualang,
serta busung
lapar memanjang,
kala air mata
telah mengguruh menjadi gelombang,
hingga sampan
yang belayar di lautan,
terlambung,
teroleng dan terumbang,
berkecai
menjadi puing berselerakan,
merintih di
setiap gigir pantai bertebaran,
namun harumnya
menggerbak dua nesan kaku,
mengapung ke
langit sejarah,
tercatat dalam
tinta bermaruah.
Seorang perwira
telah gugur,
di medan
perjuangan menuntut makna merdeka,
atas kekejaman
musuh durjana,
dia adalah ayah
yang darahnya merah,
terkorban di
tangan penjajah,
ditusuk peluru
tembaga sarat amarah,
dialah perwira
sejati,
namanya erat
melepa di sanubari,
sebagai ayah
yang berbakti,
untuk ibu
pertiwi.
Port Dickson,
Negeri Sembilan
Pemandangan Indah Bumi Malaysia
SMAHADZIR
Dari utara ke selatan,
menganjur perbukitan dan gunung-ganang,
menghijau tumbuhan segar meruah saujana,
sungai-sungai mengalir tenang, hening airnya,
flora dan fauna subur bertebaran,
laut membiru nelayan menongkah alun,
mengaut rezeki melimpah kurniaan Allah,
unggas berceridau riang,
bunga-bunga bermekaran mempersona,
semilir bersenandung ria,
awan berarak cantik, gerimis merintik,
paya dan tasik beralun tenang,
padi menguning di sawah dan bendang,
anak-anak kecil berlarian di permatang,
dalam riang bertembang senang.
Kicauan
burung merdu bersenandung,
cagun
pagi baru mewangi,
indahnya
bumi Malaysia hati terpaku,
pejamkan
mata sejenak berteleku,
rasai
sejuk tenang segar udara berlegar,
naluri
melayang berputar-putar,
kekaguman
sukar dipendam,
dari
siang hingga malam pesonanya tak pernah padam,
desiran
angin berirama di pergunungan,
tumbuhan
menari-nari di perbukitan,
dan
banjaran yang merentang panjang,
begitu
indah bak indah taman di syurga,
keindahan
alam sarat sempurna,
hati
terpana jiwa terkesima,
kita
harus menjaganya,
keindahannya
takkan sirna.
Betapa indahnya bumi Malaysia,
laut berombak awan berarak,
udara segar bertiup segar,
aku berdiri di atas gunung dan di bawah langit,
melihat keindahan bumi negaraku,
laut berombak awan berarak,
udara segar bertiup segar,
aku berdiri di atas gunung dan di bawah langit,
melihat keindahan bumi negaraku,
lalu mempertaruhkan nyawa,
bertahan di atas kelestarian,
demi menjaga keindahan alam ciptaan
Tuhan.
Pemandangan indah bumi bertuah,
tenang mempesona tiada gundah,
setenang masjid sedamai bahtera dilaut tanpa gelora,
seindah gumpalan awan putih di awan di langit
saujana,
kanvas langit nan gemilang mempersona,
hamparan bumi hijau terbentang berseri,
mengajak warga negara menginsafi diri,
bertasbih memuji anugerah Ilahi,
mengagungkan pemberian Yang Maha Esa,
sepanjang masa dalam doa,
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar,
ini satu hadiah paling berharga,
untuk bumi Malaysia tercinta.
Genting Highland – Cemeron Highland
Angin
Dan Laut
SMAHADZIR
SMAHADZIR
Laut damai alunnya tenang,
deburan ombak dibelai semilir petang,
ke tengah samudera luas merentang,
sedang di bibir pantai terbentang,
nelayan riang menari di sisi perahu payang,
tembang rezeki meruah gemilang,
dambaan anak isteri tersayang.
Laut mengundang sehamparan gunung samudera,
datanglah dari penjuru segala benua,
melihat nelayan serata desa menari gembira,
menjelang akhir pesta hulurkan mantera sejahtera,
ketika tubuh bermandi peluh melencun,
jangan suguhkan kalimat sengsara,
Laut mengundang sehamparan gunung samudera,
datanglah dari penjuru segala benua,
melihat nelayan serata desa menari gembira,
menjelang akhir pesta hulurkan mantera sejahtera,
ketika tubuh bermandi peluh melencun,
jangan suguhkan kalimat sengsara,
sebab ia sudah sirna,
di dasar laut bersama angin tenggara.
Angin laut dari penjuru benua,
ramaikan laut kami yang sepi,
dengan lagumu yang sarat cinta,
Angin laut dari penjuru benua,
ramaikan laut kami yang sepi,
dengan lagumu yang sarat cinta,
perahu
yang membawamu telah kembali,
angin
laut mendorongnya ke hujung dunia,
engkau
tidak mengerti makna derita,
duduklah,
ombak yang selalu pulang dan pergi,
seperti
engkau berdiri di pantai,
menanti
seseorang untuk menebak teka-teki itu.
Pantai Pengkalan Balak,
Melaka
Malaysia Jaya
SMAHADZIR
Mata terbuka di pagi nan permai,
sinar pagi menembus kaca jendela,
semerbak mawar merah dan kemboja
merekah,
menggerbak mengapung alam nan
indah,
kuhirup udara nyaman segar,
kabus tebal tenang menyelimuti
bumi,
titisan embun membasahi dedaunan,
kicauan merdu gemersik di
telinga,
semilir berhubub lunak menembusi
kulit,
kulihat awan seputih melati,
dan langit sebiru samudera raya,
aku sedia menghadapi hari baru,
melestari bumi moyang kurniaan
Ilahi.
Padi di bendang saujana
menguning,
mentari menyambut datangnya pagi,
ayam berkokok bersahutan riang,
petani bersiap hendak ke bendang,
malinja yang bergemerisik tenang,
sedia untuk diketam,
petani bersuka ria,
beramai-ramai bergotong-royong,
gemercik air sungai, begitu
bening,
bagaikan zamrud khatulistiwa,
itulah alam Malaysia jaya yang
permai.
Angin berdesir di pantai berpasir
putih,
burung berkicau merdu mengalun
riang,
embun pagi membasahi dedaunan,
itulah tanah airku Malaysia jaya,
banjaran yang menghijau
membentang,
gunung tinggi menjulang ke awan,
rakyat aman dan makmur sejahtera,
tanah tumpah darahku Malaysia
jaya,
jaga dan sayangilah sentiasa,
di sinilah aku dibesarkan dalam
bahagia,
di sinilah aku bakal menutup
mata,
oh.. tanah airku tercinta,
Malaysia jaya.
Lebuhraya Utara
Selatan,
Hentian Gunung
Semanggul
Bangunan Yang Menjulang Di Kota Raya
SMAHADZIR
Bangunan yang
menjulang di kota raya,
menyimpan
segunung rahsia manusia,
yang tak usai
menghisap puting waktu,
manusia asyik
bermaharajalela,
masing-masing
menjadi perwira,
menakluk
belantara harta,
gunung-gunung
kencana,
mereka memakai
baju para jutawan,
berhibur dan
makan-makan di istana kayangan,
mereka berpesta
di pawagam tersergam,
dengan
selebriti molek gadis jelitawan,
sering bergulat
dalam kolam kebanggaan,
lenyap dalam
rona-rona kemegahan,
tanpa sempadan.
Bangunan yang
menjulang di kota raya,
menyimpan keluh
juga lenguh,
tengik dan
masam dalam lencun peluh,
yang
disembunyikan dari mata khalayak,
terasing di
rongga gelap dan kedap,
manusia belajar
membaca lumut,
membaca
batu-batu yang keras dan ganas,
membaca bau
hanyir longkang,
busuk kohong
bangkai-bangkai siamang,
sambil menari
dan menyanyi riang:
‘kota yang
kucinta, bangunan yang menjulang,
tinggi ke
puncak awan’,
bangunan-bangunan
menjalar telanjang,
menyimpan duka
airmata dan darah.
Bangunan yang
menjulang di kota raya,
menyimpan
sejuta rahsia,
manusia
penghuninya.
Kuala Lumpur
Kala Hujan
Reda
SMAHADZIR
i
Petang telah melangkah tenang menuju peraduan,
hujan petang yang lebatnya telah reda,
hanya gerimis malu-malu, juraiannya kecil-kecil,
embun basah menyatu dalam hawa dingin,
senja hari beranjak larut,
kala itu aku dekat padamu, ibu!
hingga mampu merasakan kehadiran kasihnya,
memandang wajahmu,
dihiasi rona senyum di wajah kedutmu,
merengkuh lembut genggam tanganmu,
lebih halus dari selendang sutera,
terbaik yang pernah ada,
betapa manis dan cantiknya engkau, ibu!
dapat bersandar pada dadamu,
meraih hangat pelukanmu seperti dulu,
berikan cium sayang di keningmu,
segala keindahan bersama terbayang mesra,
kala hujan mereda.
ii
Kala hujan telah reda,
dari hadapanku dan hadapanmu, ibu!
ia sisakan pada bumi pertiwi kasih sejati,
tempiasnya basah, di setiap mandala daratan,
segenap pucuk pohon, di hamparan rerumputan,
titisan airnya menggayut, pojok dedaunan,
gerimis airnya jatuh di pundakku, di rambut putih ibu,
lambang usia kasih sayang yang tercurah,
angina halus menyapa kita, hati kita sayu,
yang haus kasih cinta dan jauhnya jarak kehidupan,
pucuk-pucuk tunas bertumbuh biji-biji pun berpucuk,
berhias pula pepohonan, daun-daun segar,
segalanya bagai musim semi,
menyambut hari esok penuh harapan,
hujan, membasuh segala kering kerontang,
segala dahaga dan kehausan,
sisakan kristal-kristal berkilau,
di luasnya dataran hijau.
iii
Waktu-waktu hujan telah lalu,
kala itulah angananku sarat,
akan sejuta imaginasi dan harapan masa depan,
tentang cinta dan kasih sayang,
juga tentang usiamu ibu yang semakin senja,
betapa pahitnya, kelamnya hari-hari lalu,
itu cerita lalu yang kian temaram di hujung waktu,
sebab anugerah tak terkira,
aku dilahirkan olehmu, ibu!
kini bersamamu berbahagi cerita semalam,
hari esok, inginku bersamamu lagi, ibu!
berbahagi cerita sebulan setahun juga seribu tahun,
tentang kisah bahagia, kasih sukacita kita bersama,
drama duka pedih, dalam cinta yang ikhlas,
hujan cerminan ingatan,
selubung awal barunya kehidupan,
kesegaran semesta tiada terkira.
iv
Terlintas tanya di benak,
akankah hujan akan jatuh lebat lagi?
buat kita cemas, takut basah kuyup merana,
sengsaranya banjir melanda,
hingga kita digulat persoalan besar,
bilakah itu semua akan berakhir?
meski tetap kuyakinkan dalam diri,
bahawa badai pasti akan berlalu,
dengan segala keyakinan,
polos kasih cinta ibu bagai dian kerdil,
rona mentari setiap hari kehidupan,
di tengahnya jelaga gelita,
juga bagai hujan sehari,
hapus kemarau seribu tahun,
kala hujan telah berlalu,
waktu-waktu indah bersamamu, ibu!
Kampung Bukit
Hijau,
Kupang, Baling,
Kedah
Doa Untukmu
Anakku
SMAHADZIR
Selamat malam, anakku sayang,
tidurlah dengan nyenyak,
bermimpilah dalam segala lembutmu,
peribadi mulia seorang anak solehah,
dalam suara berpadu merdu,
beribu malaikat turun dari syurga,
seakan itulah dirimu, puteri yang cantik,
kaulah bidadari yang telah turun dari sana,
suatu lagu terindah akan membelai rona alismu,
sentuh merah bibirmu, rengkuh gemas pipimu,
huluran tangan dari Tuhan,
akan terus mendakapmu, menjagamu,
meniti negeri-negeri penuh emas dan putih awan,
jauh tinggi di langit sana.
Bermimpilah yang indah-indah, anakku sayang,
lesatkan panah-panah anganmu,
duhai anakku sayang, buah hati pengarang jantungku,
biarkanlah mereka menemanimu,
tunjukkan jalan lurus kepadamu,
pejamkanlah matamu kejap-kejap,
dengarlah suara para malaikat di sekitarmu,
padukan suara semesta,
tidurlah, mimpilah dalam segala lembutmu,
anakku sayang, malaikat hatiku.
Semoga suatu waktu nanti,
kau berkenan merebahkan sandarmu di hatiku,
dalam pelukanku yang akrab,
doaku selalu sersamamu.
Taman Damai,
Simpang Morib,
Banting,
Selangor
Runduk
Pohon Malinja
SMAHADZIR
i
Betapa indah negeri utara ini,
menembus di lembah hijau,
jalan-jalan masih berliku,
gunung-gunung kelilingi bendang,
dari curam lereng-lereng,
bala pasukan pohon malinja,
mengepung seluruh pandangku,
malinja bahasaku,
beribu lagi bahasa para petani,
bendang, permatang, tiak dan kesing,
yang kukenal dan kudengar,
itulah sahabat dan musuh mereka.
ii
Kulihat sawah hijau kini,
dan pasti malinja tetap kuning nanti,
sungguh hijaumu di panas musim,
sungguh kuningmu di hujung musim,
dan tetaplah sungguh suburmu, malinja!
akan diketam, dibanting segala kudrat,
tatkala semuanya di sekelilingmu,
layu berguguran lalu berselimut putih,
hanya kulihat kuningmu kini,
belum lagi kugenggam ringan hampamu,
tatkala layu dan putih salju peluk semestamu,
namun, itulah dirimu, malinja!
julai-julai buahmu sungguh setia,
bertaut pada batang-batang yang melentuk,
merunduk senada nafas jiwamu.
iii
Hijau dan kuningmu kekal selalu,
rundukmu abadi senantiasa,
seakan itulah suatu yang terbesar, akhlak!
anugerah terindah dari yang maha kuasa,
untuk segenap kehidupan,
pohon-pohon malinja, menghiasi petak bendang,
pada kalbu ini yang meradang lara,
merindu dia, puteri pujaan hati,
namun laranya sirna, oleh senyum percaya,
pada kasih, yang takkan lenyap,
kekal hijau kuningmu, abadi rundukmu,
seperti itu cintaku padanya,
akhlak mulia seorang insan sejati.
Kampung Imam,
Padang Perahu
Pasti Terjadi
SMAHADZIR
Usiamu
dunia di akhir zaman,
Bergema
khabar di hujung semboyan,
Dengan
tanda pelbagai tafsiran,
Namun
ummah masih melupakan,
Kerana
impian belum kesampaian.
Belum
bergema suara nafiri,
Imamat
senipis kulit ari,
Bermegah
manusia menampil diri,
Mendabik
dada dengan berani,
Amalan
munafik mainan keji.
Seharusnya
kita tidak menanti kiamat,
Kerana takwa perlu subur setiap saat,
Berpegang teguhlah pada tonggak
kalimat,
Mantapkan iman dengan pancang solat,
Teguhkan akidah dengan tunjang ibadat.
Kuasa Allah Yang Maha Esa,
Izin-Nya terjadi, terjadilah ia,
Namun jika waktu belum tiba,
Kita perlu teruskan usaha,
Selagi jasad masih bernyawa.
Alam akhirat anugerah Ilahi,
Entah bila tapi pasti terjadi,
Semuanya dalam kehendak Rabbi,
Jangan biarkan waktu berlari,
Meninggalkan pahala, menggunung rugi.
Masjid Nabawi,
Madinah Ar-Munawarah
Di Puncak
Gemilang
SMAHADZIR
Aduhai
insan khalifah yang malang,
Dengan tubuhmu yang kering gersang,
Cerminan padah yang menjelma panjang,
Di mana akal fikiran anugerah Tuhan,
Telah tercemar dek nafsu kesesatan.
Aduhai insan generasi yang hina,
Dinoda najis dadah yang durjana,
Maruahmu menghilang entah ke mana
Hidupmu kecundang sengsara merana,
Masa depan tidak lagi berguna.
Yang sudah terlanjur kembalilah menginsafi,
Lafazlah taubat dengan hati yang suci,
Sejarah yang malang jangan diulangi
lagi.
Kita yang berdiri teguh di sini,
Jangan biarkan nafsu merasuk hati,
Binalah tembok kebal pemisah diri,
Demi agama yang murni dan suci,
Demi mertabat dan maruah hakiki.
Untuk hari-hari yang mendatang,
Noda-noda hitam
perlulah dibuang,
Agar kehidupan
kita diulit tenang,
Agar maruah
bangsa tinggi terjulang,
Agar agama suci
di puncak gemilang.
UTM, Skudai,
Johor
Keimanan Kukuh Berpadu
SMAHADZIR
Fajar
indah telah bangun tersenyum,
Menyapa
hari yang menguntum anggun,
Keimanan
di dada tertegak dalam santun,
Dalam
mengharung badai yang meruntun,
Hasil
kesedaran lama sejak berkurun.
Dalam
mencapai tauhid uluhiyah,
Keimanan
subur mencapai natijah,
Lahirlah
insan mulia berjiwa gagah,
Teguh
jahadanya menentang serakah,
Kukuh
akhlaknya menyisih gundah.
Neraka itu
neraca keadilan-Nya,
Syurga itu
mandala rahmat-Nya,
Terimalah
segala ujian kerana-Nya,
Sanggup
sengsara demi cinta-Nya.
Ikhlas
takbir Allah Huakbar,
Kasih
sayang Dia terlalu lebar,
Hadapilah
cabaran dengan sabar,
Segala
yang khilaf jadi ikhtibar,
Allah Maha
Qahhar Maha Jabbar.
Ya
Rabbi, sungguh indah nama-Mu,
Tersemat
erat dalam lipatan hatiku,
Bersama
amalan berpandukan ilmu,
Iman
di dada kukuh berpadu,
Tiada
jelak memohon restu-Mu.
Pekarangan
Masjid Quba,
Madinah
Tertinggal
Di Etalase
SMAHADZIR
Berjalan tenang menyusuri etalase romantik,
berkilat menghimbau perlangkahan,
lalu masuk ke dalam kedai barangan antik,
dan kaca-kaca beningnya laksana cermin,
pantulkan gaya segak dan bangga,
ketawa sekali gus ratapan hiba,
jalinan bahagia sekaligus sesak jiwa,
kerana tak sanggup membendung rasa,
aku terduduk rengsa.
Di kedai barangan antik,
aku melirik dan meraba sepanjang rak,
sorot pandangan sepanjang etalase,
namun itu hanya klise,
hanya tinggal usia lama di situ,
menghampar pandang ke sekeliling,
rupanya kedai bakal ditutup,
hari kian larut senja,
aku gesit membayar barangan dibeli.
Usia tua terpaku di situ,
sewaktu aku melangkah pergi,
kedai antik itu segera ditutup,
seribu persoalan cagun mengapung ke langit biru,
di mana bayang wajahku yang segak bergaya?
di mana bayang ketawa sekali gus ratapan hiba?
rupanya tertinggal di kaca bening,
dan ratapanku tertinggal di etalase,
bersama segunung harap,
ingin menggenggam erat tangan usia,
biarlah usiaku tetap di sana,
untuk diambil suatu hari nanti,
dari dibawa angin malam,
menuju layar hitam panggung kehidupan,
dan nuansa semusim indah di etalase ini.
SACC Mall, Shah
Alam,
Selangor
Hujan Dan
Embun
SMAHADZIR
i
Hujan,
terus merintik seperti manik-manik kristal,
berkilau menyubur segala gersang,
membajai segala kekeringan,
merinai di atas kepala segala hidupan,
menitis di kening setiap insan,
biarkan ia terus menembus ke benak,
meresap di kalbu hingga jadi embun pagi rindu.
ii
Embun pagi buta meniti turun ke pangkuan pertiwi,
sampaikan segala salam sapanya padaku,
dalam pelukan sunyi dan indahnya,
seakan semua tempat terindah aku bersandar,
pada semua keindahanmu, bumi pertiwi yang bertuah,
embun telah terjun dengan kasihnya,
merangkai kata-kata pujaan yang tak bersua dengan noda,
memeluk jelu yang sentiasa akrab dengan rindu,
melukis warna yang tak pernah dikisahkan danu,
memelihara adanya taman bunga di hati,
yang tak pernah kenal musim.
iii
Hujan dan embun,
menjelma dalam waktu rindu,
menyirat cinta dalam kalbu.
Majlis
Kebudayaan Negeri Selangor,
Shah Alam
Molek
Seorang Ibu
SMAHADZIR
i
Molek seorang ibu;
wujud dalam sepi hening,
kala tiada lagi terucap sebarang aksara,
ada dalam diam, telah cukupkan segalanya,
nyalakan lilin-lilin pesona, ada dalam ikhlas tenang,
mengalir sungai kasih cinta,
dari mata air kehidupan, ada dalam nada-nada,
kala semua tanda, tiada mampu ungkap makna,
molek seorang ibu: ada dalam cinta.
ii
Ibu, engkau begitu lincah,
bak helai putih merpati di langit biru,
begitu halus, lembut, suci laksana baldu,
terbang melayang, berkelana bersama bayu,
entah di mana akan hinggap untuk memadu,
rasa rindu.
Begitu juga ibu,
tiada siapa yang tahu, dalam benak, dalam hati,
selain ibu anugerah Tuhan,
wajah ibu sungguh molek, manis laksana bidadari,
di sebalik lembayung senda gurau,
di bawahnya derai pedih ibu,
lembut, polos, dan molek selalu dalam indah,
dan ibu selalu bersembunyi di situ.
Rona mata ibu sarat sinaran kasih,
runtuhkan segala mahkota keangkuhan,
tiada lagi yang mampu berpaling,
sesiapa saja yakin dalam hatinya,
hanya ibu yang ikhlas menyinta,
siapakah yang belum pernah rasakan,
nikmat kasih cinta polos suci murni ibu,
belum bermakna mereguk cangkir anggur,
dari pesta sajian terindah semesta.
Kampung Bukit
Hijau,
Kupang, Baling,
Kedah
Hujan: Aku
Merindukan-Nya
SMAHADZIR
i
Hujan turun namun tidak kelihatan,
hanya bayang dalam langit sepi,
tirai di cakerawala sunyi,
hujan malu-malu menyapa dalam jelu,
tidak berbekas, tidak tercerap,
sirna dari lamunan rona,
mereka tidak lagi dikenali,
kecil-kecil tidak berasa, tidak terlacak,
namun menjujuh dari nuansa,
tidak terbilang rinainya,
seakan itulah, rinduku pada-Nya.
ii
Duduk sendiri tanpa jelak,
kala memandang rinai hujan,
meski lara penat tidak tertahan,
sergap seisi benak, seisi jiwa,
namun tidak ingin beranjak,
selagi jujuhan hujan belum mereda,
langit kelam, awan hitam belum lagi menghilang,
rintik gemericik bisikkan syahdu,
masih ingin meramaikan nuansaku.
Kala hujan menjunam dingin,
hiburan tak kunjung putus,
sukacita yang tak henti berpendar,
menyatu dalam nuansa,
masa di mana aku pernah bersandar,
menyatu dengan segala bahagia,
damai sentosa di luar sana,
daun-daun terus bersukaria,
tinggalkan kilau jejak basuhnya,
itulah aku kala ini,
seakan segar daun-daun merindui nyanyian hujan,
seperti itulah aku merindukan-Nya,
Allah Yang Maha Berkuasa.
Rembau,
Negeri Sembilan
Tanah
Moyang: Indah Tiada Tara
SMAHADZIR
Tanah moyang, jauh di benua sana,
dengan manis senyumanmu,
pada dunia yang tiada lagi gelap,
senja yang menggegap ramai,
tidakkah matamu yang merona,
memandang jauh ke sini,
bangunkan damai di hati berselimut sengsara.
Tanah moyang, jauh di benua sana,
di dalam luas mandalamu,
adakah yang bermimpi senantiasa,
untuk kehidupan penuh angan berkejaran,
apakah di sebalik mentari yang menemani hari,
gembira dan bahagia,
sedih dan pedih perih juga kisah pilu,
juga lukis pelangi rasa di sisi kalbu.
Tanah moyang, jauh di benua sana,
apakah kau akan limpahkan terangmu,
dari sebalik mahligai indahmu,
pada akhir waktuku,
mahukah suatu hari nanti,
di padang rumput berkilauan hijau dan emas,
damai yang tak akan beku,
turun bagai embun pagi,
menyapa segenap lelah jiwaku.
Tanah moyang, jauh di benua sana,
sebelum jiwaku wujud sayap,
melayang masuk dalam damaimu,
kerinduanku senantiasa berpeluk padamu,
dengan penuh harapan, penuh keyakinan,
kau yang sungguh indah tiada tara.
Tanah Tinggi
Cameron Highland,
Pahang
Sewaktu
Bertemu-Nya
SMAHADZIR
Masa berlari terlalu gesit,
membawa aku ke sini,
semua tentang-Nya,
aku menanti dalam sepi, saat itu kembali,
tak akan terduga, sungguh tak pernah terduga,
saat itu datang kembali,
tanpa mampu diingkari,
dan aku teramat rindu pada-Nya.
Dia dicinta dan dipuja,
tak mampu lagi aku berpaling,
sungguh tak dapat aku mengelak lagi,
itulah Dia, cantik-Mu manis-Mu molek-Mu,
tiada yang kuasa untuk mengungkap semua itu,
selain ada Dia saja,
waktu yang terlalu singkat,
untuk satu kurnia terbesar,
cukuplah sekejap sinaran waktu,
kerlap bintang di langit musim terindah,
Dia menyapa dan berlalu,
dalam segenap keindahan-Nya,
aku hanya mengutip sebait senyum,
lalu melangkah pergi, meniti dalam degup detik,
kembali kulalui, belas kasih dari waktu,
hingga ada yang terlupa,
satu pujian untuk-Mu, jauh lampaui semesta kata,
entah bila mampu terungkap,
sewaktu bertemu-Nya,
Dia maha cantik lagi mempersona.
Masjid
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur
Gemilang Di Muka Dunia
SMAHADZIR
Wahai perwira negara,
pembela kebenaran,
marilah berjuang, teruslah mara, meski ditentang.
semarakkan roh jihad, ukhuwah Islamiyah,
tegakkan amar makruf, hapuskan nahi mungkar.
penat lelah hanyalah mainan,
tempuhi ranjau banyak bersabar, letih lesu tidak
menentu,
syurga menjadi idaman kalbu.
orang berjuang harum namanya,
dalam kemenangan atau gugur sebagai syuhada,
berjuanglah wahai pahlawan,
demi menegakkan negara berdaulat,
bebas merdeka.
Denyut nafasmu
para perwira bangsa,
berkibar dalam
syair sang saka,
berkobar dalam
puisi Malaysia,
untuk meraih
cita-cita merdeka,
keringat dan
darah anak bangsa,
bersatu dalam
semangat jiwa,
bergema di
jagat nusantara,
untuk meraih
prestasi dan karya merdeka.
Merdeka;
kata-kata berharga,
aksara yang
penuh makna,
bertakhta dalam
raga pejuang bangsa,
bermandikan
darah dan air mata,
perjuangan
tanpa menyerah untuk nusa tercinta,
menggelora di
garis khatulistiwa,
memberi
kejayaan bangsa sepanjang masa.
Merdeka; aksara
keramat sarat permata,
harta yang tak
ternilai harganya,
menjadi pemicu
pemimpin bangsa,
untuk tampil
gemilang di muka dunia.
Dataran
Merdeka,
Kuala Lumpur
Seorang Pemimpin
SMAHADZIR
Malaysia tumpah
darahku,
apakah belum
bangun dan terjaga,
mencari
pemimpin yang kita bangga,
apakah rasa
kepemimpinan itu,
masih tersimpan
di dasar kalbu,
dan tertinggal
di lubuk hati.
Di mana
pemimpin yang kita cari,
masih
bersembunyi di pilar sepi,
rakyat merindu
dan sering bermimpi,
seorang
khalifatur rasyidin berhati suci,
yang setia
sebagai pemimpin sejati,
yang menyantuni
fakir miskin,
mengasihi anak
yatim,
adil dan
saksama semasa berdiri.
Warga kini mengharapkan
pemimpin yang barokah,
yang soleh dan
solehah,
menggantikan
tugas Rasulullah,
seorang
pemimpin ummah,
yang bersifat
siddiq, amanah, tabligh dan fatonah.
Andai aku
menemuinya,
seorang
pemimpin dunia,
seorang
pemimpin tanah nusa dan agama,
seorang
pemimpin Malaysia tercinta,
akan kusyukuri
anugerah Allah,
Dia maha
mengetahui dan maha pemurah.
Masjid Putra,
Putrajaya
Keris Pusaka Tinggalan Ayahanda
SMAHADZIR
Mengapa engkau
bawa padaku,
laras senapang
dan mesiu moden terhunus,
padahal aku
hanya ingin merdeka,
dan membiarkan
ranting-ranting derita,
patah di tepian
samudera,
kerana kau
memaksaku,
bertahan atau
mati,
dengan mengirim
ratusan bom,
yang engkau
ledakkan di kepalaku,
aku terpaksa
membela diri,
demi sebuah
maruah dan harga nyawa.
Pesawat pejuangmu
jatuh berdentum,
di tusuk keris
pusaka tinggalan ayahanda,
yang kupasakkan
dari sebalik kubu kecil,
semangat
merdekaku tidak pernah runtuh,
atau terkandas
di batu-batu cadas,
tanah moyangku
yang panas,
akan terus
menggelecak dengan semangat juang,
biar nyawa
berketai luluh,
biar daging
diseligi terkucai,
biar seluruh
jasad berkecai,
tanah moyang
tergadai tidak sekali.
Hanya dengan keris
pusaka tinggalan ayahanda,
aku akan
lepaskan tanda setia,
pada nusa
tercinta,
sehingga aksara
merdeka,
kemerlap di
puncak nusa.
Kampung Kota Bukit,
Sik, Kedah
Untuk Tanah Nusaku
SMAHADZIR
Untuk tanah
nusaku,
hancur lebur
tulang belulang,
berlumur darah
sekujur tubuh,
bermandi
keringat penyejuk hati.
Kurela demi
tanah airku,
jalur gemilang
merah berani, putih nan suci,
melambai-lambai
ditiup angin,
air mata
bercucuran sambil menjulang doa,
untuk perwira
tanah nusa,
berpijak
berdebu pasir,
berderai kasih
hanya untuk perwira jagat raya,
hanya jasamu
yang boleh kulihat,
hanya jasamu
yang boleh kukenang ,
tubuhmu hancur
lebur hilang entah ke mana,
demi darah dan
tulangmu,
aku perjuangkan
tanah nusaku,
ini tanah nusa
Malaysiaku.
Dengan semangat
perwira sejati,
tak menyerah
berpatah arang,
tak gentar juang
kau radak seribu petualang,
bersorak-sorai
tanda kemenangan,
letih raga,
jatuh tanda tak kalah menyerah,
di sini kami
berdoa bangkit hadapi menyerang tak gundah,
dari digulat
caci durja,
terus
melangkah, Tuhan pasti di sebelah,
bersujud
berharap akur menyerah,
mentari senyum
tak kalah - pasrah.
Kendati tulang
tak lagi menyatu,
tapi semangat
maju takkan luntur,
kini, mimpi
telah usai,
cita membara
takkan berhenti,
perjalanan
hidup panjang di sini,
semangat
perwira kembali,
untuk nusa ibu
pertiwi.
Keningau, Sabah
Hanya Kepada-Mu
SMAHADZIR
Aku paparkan
kepada-Mu rasa takut,
yang telah
disempurnakan,
hariku
menjelaskan segalanya,
yang diucapkan
oleh mataku,
rasa maluku
telah melarangku dari-Mu,
untuk
menyembunyikan keinginan,
dan Engkau
memberikan pemahaman,
dengan
terungkapnya segala rahsia.
Engkau telah
mempermudahkan segala urusan,
lantas Engkau
tumpahkan,
oraang-orang
yang menyaksikan kekhilafan,
oleh itu
kelemahlembutan akan diperoleh,
dengan
hidayah-Mu.
Engkau telah
memperlihatkan diriku,
sesuatu yang
samar,
seakan-akan
Engkau memberikan khabar,
dengan sesuatu
yang samar,
bahawa Engkau
berada dalam kebahagiaan,
aku dapat
melihat-Mu dekat diriku,
kerana
kehebatanku takut kepada-Mu,
Engkau
menggembirakan aku,
dengan lemah
lembut dan cinta kasih.
Kau hidupkan
orang sekelilingku dengan cinta,
sedangkan
Engkau mencintai kematian,
alangkah
hairannya eksistensi kehidupan,
yang terpaut
dengan kematian.
Setiap malam
aku berdoa,
setiap malam
aku bersujud,
setiap malam
aku meminta,
aku meminta
hanya kepada-Mu,
berdoa dan
bersujud kepada-Mu,
hanya
kepada-Mu,
dan selalu kepada-Mu.
Ya Allah… ya
Tuhanku,
berilah
hamba-Mu ini ketulusan dan keredhaan,
dalam
menghadapi seluruh cubaan di dunia,
berilah
hamba-Mu ini jalan terbaik,
jalan yang
lurus,
jalan yang
Engkau kehendaki,
malam ini;
hamba-Mu bersujud kepada-Mu,
bersujud dalam
ketulusan hati dan ketenangan jiwa.
Masjid KLIA
Rumah Bonda
SMAHADZIR
Dulu rumah
bonda buruk dan berlubang sana sini,
dimakan
asai, puhu serata tempat,
terasa sukar
mengatur langkah,
atapnya
nipah, dindingnya buluh,
lantainya
nibung, tangganya kayu,
api pelita
minyak tanah menerangi malam,
air telaga
jadi minuman dan mandian,
kala musim
hujan membasahi tempat tidur,
kala musim
panas membahang habanya,
asap dapur
menjelaga rumah,
alang geta
dan kasau jadi hitam,
tiang teras
merbau kuat terpasak,
kukuh dari
terjahan langkisau,
teguh dari
hentakan geguntur,
dijaga ayah
siang dan malam,
dipagar
keliling rumah menghalang gangguan,
musang dan
babi hutan,
yang gemar
membaham ayam dan ibu kayu.
Kini rumah
bonda sudah bertukar wajah,
tidak lagi
buruk dan berlubang sana sini,
atapnya
genting, dindingnya bata,
lantainya
ubin, tidak lagi bertangga,
api pelita
minyak tanah berganti kalimantang,
air batang
besi, radio, tv dan segala hiburan,
sudah
bertandang di ruang anjung,
dapur tidak
lagi berasap jelaga,
teras simen
kuat terpasak dalam tanah,
kukuh dari
terjahan langkisau,
teguh dari
hentakan geguntur,
dijaga kami
siang dan malam,
dipagar
keliling rumah menghalang gangguan,
pencuri dan
penganyak malam,
yang gemar
meragut segala kebahagiaan.
Sebelum
bonda pergi, kami telah berjanji,
hanya rumah
ini sahaja yang ada,
sebagai
tempat tinggal yang abadi,
ikrar telah
terpaku di hati,
menyambung
tugasan ayah,
melestarikan
segala tinggalan,
akan menjaga
rumah pusaka ini,
dari
sebarang pencerobohan,
seperti
menjaga diri sendiri.
Kampung Kuala Reman,
Sik, Kedah
Aku Sehelai Daun Kering
SMAHADZIR
Jangan sekat
suaraku, ya Aziz,
sedangkan
firman-Mu diabaikan,
jangan halang
ucapanku, ya Qawiy,
sedangkan
ayat-ayat-Mu dilupakan,
jangan putuskan
cintaku, ya Dzul Quwwah,
sedangkan kasih
sayang-Mu dibuang,
jangan benci
sapaanku, ya Matin,
sedangkan
pilihan tawaran-Mu diremehkan.
Betapa naifnya
harapanku untuk diterima oleh mereka,
sedangkan jasa
penciptaan-Mu dihapuskan,
betapa lucunya
dambaanku untuk didengar oleh mereka,
sedangkan
kitab-Mu diingkari oleh seribu peradaban,
betapa tidak
wajar aku merasa berhak untuk dihormati,
sedangkan
rahman rahim-Mu diingat hanya sesekali saja,
betapa tak
masuk akal keinginanku untuk tak disakiti,
sedangkan
kekasih-Mu Muhammad dilempar batu,
sedangkan
Ibrahim-Mu dibakar,
sedangkan
Yunus-Mu dicampakkan ke laut,
sedangkan
Nuh-Mu dibiarkan kesepian.
Tetapi wahai
Qadir Muqtadir,
wahai Jabbar
Mutakabbir,
Engkau maha
agung dan aku kerdil,
Engkau maha
hebat dan aku keparat,
Engkau maha
kuat dan aku tidak berkudrat,
Engkau maha
kaya dan aku papa kedana,
Engkau maha
suci dan aku sarat noda,
Engkau maha
tinggi dan aku rendah di tapak kaki,
akan tetapi
wahai Qahir wahai Qahhar,
rasul kekasihmu
maksum dan aku bergelumang hawai,
nabi utusan-Mu
terpelihara sedangkan aku penuh kekhilafan,
wahai Mannan
wahai Karim,
wahai Fattah
wahai Halim,
aku setitik
debu namun tetap bersujud kepada-Mu,
aku sehelai
daun kering namun tetap bertasbih kepada-Mu,
aku abdi yang
kesepian namun yakin pada kasih sayang dan rahmat-Mu.
Permatang Pasir,
Kuala Langat, Selangor
Kematian
SMAHADZIR
i
Dia seorang
lelaki pencari rezeki,
bersenandung
riang sepenuh hati,
dipokah emas di
puncak tinggi,
hari sebelum
senja menjelang,
di rumah anak
menunggu baju dan buku baru,
kaki terseliuh
dan tubuh terguling,
lelaki tadi
kini bersenandung malang,
di rumah
isterinya jadi janda,
anak-anaknya
kehilangan bapa,
pintu tak
terbuka,
bapa tak
kembali,
sia-sia
menanti,
sepanjang hari.
Lelaki dijemput
ke alam lahud,
tubuh yang
sudah ditusuk tunggul,
anaknya
menjerit yatim,
ayah telah
mati,
muka yang tiada
lagi bentuk,
terpekur
pengantar pusara,
nyawa lepas tak
tersangka.
ii
Sungguh, ia
akan menjelma,
tanpa salam
tanpa sapaan,
tanpa tiang
bendera atau tanda,
juga sebarang
khabar berita,
hadir di celahan
pagi atau malam,
di sela resah
dan desah,
pada
hujung-hujung waktu tanpa sempat ditoleh,
juga
pangkal-pangkal sudut ruangan,
bagai angin,
gesit tindaknya,
bagai api,
membahang panasnya.
Sungguh, Tuhan
memberi kertas,
dengan
garis-garis tebal peringatan,
akan wicara
kuasa yang takkan mampu tersentuh,
oleh sesuatu
yang halus atau sekecil apa pun,
untuk alam juga
geliat-geliat nyawa yang dipinjamkan,
bersediakah
bila Tuhan meminta untuk pulang?
iii
Datang ia
memanggil namaku,
tersentak aku
dari kealpaan,
ketika bisikan
kata teringat akan dosa,
ia datang tanpa
memberi salam,
datang bukan
dari pintu,
atau memang itu
caranya bertamu.
Ia pastikah itu
alamat yang tertulis di daftar-Mu,
jangan dekati
aku,
aku malu
bertemu dengan-Mu,
aku masih
kotor, aku masih jahil,
izinkan aku
mewarnai semula kanvas hidup,
dengan
rona-rona putih,
dengan nasuha
terpilih.
Perkuburan Baqi,
Madinah
Maut Menjemput
SMAHADZIR
i
Manusia lahir,
hidup, lalu maut menjemput,
menerima atau
menolak, tak peduli, terpaksa ikut,
dengan tangan
dingin namun pasti, diturut,
datang dan tiap
hidup ia akhiri, akur.
Perempuan
sedang mengandung,
wajahnya riang,
mimpinya menimang bayi comel,
namun maut
tenang berlindung,
dalam rahim ibu
ia bersenandung.
Bayi lahir,
dan pertama
kali udara dihirup,
dalam tangisnya
terdengar maut menyindir:
“jangan
nangis, kelak hidupmu akan kututup.”
ii
Yang dikandung
sejak hidup bermula,
takkan ditolak,
meski dibenci, kendati dicaci,
tapi kalau
hidup nak dikunci, bebas berlari,
datang Tuhan
menawari:
“sukakah kau
hidup seminit lagi?”
dijawab pasti:
“suka sekali!”
iii
Seperti gelita
bagi kanak-kanak, pada maut aku ngeri,
kerana tak
berkepastian, mampu menyergap sesuka hati,
membayangi
langkah, mengintip menanti detik, pasti,
bagi kesedaran
jadi beban paling berat,
dicabar dengan
hidup yang seakan direbut, kalut,
dipilih pihak:
kerana pada siksa neraka aku takut;
namun kini
tiada lagi, kerana selalu didapati, hakiki,
nafas
menghembus dalam tiap hidup fana, abadi.
Halaman Istana Seri Menanti,
Negeri Sembilan
Jangan Gelita Selamanya
SMAHADZIR
Malam telah
mengatur langkah,
cahaya rembulan
tak lagi menguning megah,
semakin temaram
dengan datangnya gelita,
kemerlap
bintang ikut memudar,
menghilang
bersama cagunnya gelita,
gelita yang
selalu dinanti,
gelita yang
mendamaikan hati,
gelita yang
kadang-kadang membuatkan dunia sepi,
namun gelita
itu juga yang mendamaikan nubari,
gelita yang
selalu hadir untuk melepaskan penat berlari,
memberikan
keterasingan pada diri,
sentosa menuju
pekat malam yang diselimut gebar mimpi.
Gelintin telah
menyapa,
gelita telah
memudar,
menghilang
bersama datangnya gelap,
perlahan namun
pasti,
dalam gelita
ada pelbagai ceritera,
suka duka
manusia di dunia fana,
ada gejolak
nestapa,
ada semarak
bahagia,
ada rahsia
terselubung selama-lamanya,
gelita membawa
air sedar,
bermula dan
berakhir dalam gelita,
rahim dan
lahud; dua alam gelita,
tiada sebarang
cahaya,
hanya
redha-Nya.
Gelita jangan
selamanya,
biarlah
secercah cahaya,
gemilang di
penghujung sana.
Taman Tasik Selatan,
Kuala Lumpur
Kesalahan Masa Lalu
SMAHADZIR
Hidup mengumpul
silap dan salah,
satu per satu
disusun menjadi dokumentasi sejarah salasilah,
dan
ditandatangani pada rasa sedih kala malam gundah,
bagaimana
memikirkan rasa bersalah,
kita mampu
mengudap arus hikmah,
jangan sampai
luka silam terkuak membelah,
dan membuka
langkah dengan aksara Bismillah.
Langit mencatat
setiap dosa yang digurat,
maka segeralah
bentang sejadah dan solat,
agar tak pergi
dengan rasa tersendat,
beban dosa yang
sarat menyekat,
langkah tenang
kaki di titian sirat,
alam akhirat
menghitung darjat.
Mata hati
selalu hidup,
walau dosa
bertumpuk,
renungkanlah
malam yang dilalui dengan rasa tawaduk,
dan biarkanlah
diri menuntun dan merunduk,
dunia hanya
sebentar sahaja,
tak perlulah
dibela dengan kekuatan harta,
berakhir pada
alam mati dan selepas itu tiada suara,
untuk
berkata-kata.
Kesalahan masa
lalu adalah kehidupan senja,
usah diingkari,
itulah fikiran masa muda,
itulah tingkat
kedewasaan manusia,
usah ditangisi
kekhilafan melepa,
dan diungkap
dengan rasa hiba,
jalan menuju
dewasa bukan jalan mudah,
kadang-kadang
bersalut nanah dan darah.
Kampung Banting,
Sabak Bernam, Selangor
Pangkalan Kecil
SMAHADZIR
Pangkalan
kecil,
tempat
kolek-kolek kayu bersauh,
layar-layar
koyak nelayan menyimpan harapan pada ikan-ikan tangkapan,
pangkalan kecil
yang teguh,
dengan dermaga
kayu berjajar mengatasi ombak,
gagah menampan
angin,
di mana
cakerawala di atas rumah penjaga sampan memerahkan senja,
dan angin
petang menghujani jemala,
sejuk dan
sentosa,
mendakap
tubuhmu berjam-jam tanpa lupa cinta yang dibina.
Pangkalan
kecil,
laksana tangan
halus lembut bak arus kali,
yang
menghangatkan batu-batu,
memarak
semangat juang mencanai gemilang,
tempat nelayan
menaruh jaring dan menjirat jala,
membebat rotan
menganyam bubu,
membina harapan
dengan merajut benang kudrat,
agar mampu
menangkap ikan-ikan hikmat,
membentuk
keluarga selamat,
pintu keluar
dari badai menyengat.
Pangkalan kecil
kini sudah bungkam,
kerana tidak
ada kesetiaan dan kepala batu mencengkam,
kadang-kadang
sikap keras perlu dilembutkan,
untuk percaya
bahawa cinta boleh diteruskan.
Pangkalan kecil
centang perenang tubuhnya,
hancur menjadi
puing-puing berselerakan,
hanya dalam
puisi yang mampu dibentang,
sejarahnya
hanya tinggal kenangan.
Pantai Pangkalan Balak,
Melaka
Semangat Dendam
SMAHADZIR
Suara-suara
gegak gempita mengapung membahang,
membingar
bergerapak di serata pelosok kampung,
bergejolak bak
api yang membakar perun kering,
menghamburkan
udara panas ke langit tinggi,
dari liang jiwa
yang keras dengan semangat,
terus
bergemuruh memintal hati menjadi satu,
laksana batu
kukuh tak mempan dek hunjaman,
medan
peperangan telah benderang dengan api,
panji
perjuangan terus gagah berkibar,
menunggu putera
puteri anak peribumi sepolos nurani,
menjulang
lading melangkah ke tengah gelanggang.
Laksana mentari
membakar yang berpendar dari langit luas,
putera puteri
anak peribumi gesit bergegas menyarung kedok perjuangan,
mendepani
manusia-manusia penjarah bergilir masuk sederas arus sungai,
memburu
kemakmuran yang bersemarak subur di tanah nusa,
membidik
gadis-gadis ayu yang bisu dan polos,
mengubur kudrat
anak-anak muda yang garang,
membungkam
langkah-langkah gagah di kebun dan bendang,
manusia-manusia
penjarah telah bernyanyi dengan lirik dusta yang bingar,
penuh doktrin
songsang dan lagak pembela,
ternyata pagi
membawa kabus tanpa molekul kedinginan,
senja pula
bergerak bersama di medan juang yang tak akan padam.
Suara-suara
gegak gempita akan terus bersipongang,
menggegar pintu
langit,
dengan apinya
yang membahang,
langkah-langkah
terus kukuh diatur ke medan juang,
bersama lading
di tangan kanan,
dijulang tinggi
mencecah awan gemawan,
menyentuh bulan
dan bintang,
bersemarak
dengan semangat dendam,
menghapuskan
petualang.
Kampung Bukit Hijau,
Baling, Kedah
Kasih
SMAHADZIR
Kuhirup udara
sejuk pagi tanpa mentari,
yang masih
malu-malu di sebalik perbukitan,
secubit cahaya
menerobos lubang jendela,
memasuki kamar
semarak sinar cerah,
memberikan
sambutan untukku,
bahawa duniaku
akan dimulai detik ini,
mencari rezeki
kurniaan Ilahi,
melimpah-ruah
di serata pojok,
menunggu
kudratku memokah batu.
Aku langkahkan
kaki dengan gagah,
melilau segenap
pelosok ruang kamar,
menyelongkar
makna hidup yang bakal direbut,
dunia ini pasti
kalut dengan lingkaran sungai berliku,
namun aku mesti
berjiwa teguh,
seteguh karang
di lautan menampan arus gelombang,
terperanjat
mataku kala menatap meja,
ada secawan
kopi hangat berkelun asapnya,
membuak di
angkasa raya,
aromanya
menawarkan aku rasa sentosa,
diulit bahagia
dipeluk gebar cinta.
Aku tahu, pasti
ibu yang menyediakannya,
setiap pagi
kopi santapan jasad yang layu,
tersaji dari
talam cinta yang polos,
ibu selalu
mengucapkan selamat pagi,
meski tak
sempat aku melihatnya sebelum pergi,
bagiku, pagi
tetap selalu hangat dan bersemangat,
kerana ibu
selalu menyelimutiku dengan sutera kasih yang tulus,
yang tidak
pernah diminta bayaran,
sejak lama ibu
lakukan.
Taman Damai,
Simpang Morib, Banting,
Selangor
Akulah Cicit Moyang
SMAHADZIR
Bonda, aku
ingin bebas berlari,
berlari di kaki
gunung, berlari ke hujung lautan,
aku ingin
terbang bebas seperti helang di angkasa.
Berlarilah nak,
halaman tanah moyangmu ini luas terbentang,
terbanglah kerana tanah moyangmu ini sentosa tanpa noda,
udaranya segar nafasmu pasti tidak mencungap.
Bonda, aku
mahu bermain, bernyanyi, dan menari-nari,
bermain di
padang hijau,
bernyanyi di
panggung dan menari-nari di pentas khalayak.
Lakukanlah nak,
lalu pilihlah dari ribuan permainan,
dari ratusan
lagu, dari puluhan tarian,
pilihlah dari
tinggalan moyangmu,
yang lirik dan
iramanya murni,
yang lenggok
dan santunnya suci.
Bonda, aku
ingin memilih semua itu,
semua yang
terpampang tinggalan pusaka,
semuanya indah
dan molek belaka,
lambang jati
diri bangsa merdeka.
Ambillah nak,
satu, dua, atau semuanya,
sebab itu
adalah warisan budaya nusa,
tinggalan
moyang sejak lama,
jadi pusaka
kelangsungan maruah bangsa.
Bonda, aku
ingin bersama dengan rakan sekampung,
ingin makan
sepinggan, ingin bersembang di taman,
ingin mengajak
mereka menjaga kampung dari sebarang noda,
Peluklah
rakanmu itu, nak!
satu demi satu
kawanmu, boleh dari berbeza ras dan suku,
boleh dari
berbeza agama, boleh dari berlainan budaya,
ajaklah mereka
bersatu dalam barisan yang jitu,
segenggam satu
tangan mengerat kata setia,
jaga nusa
jangan sampai porak-peranda.
Bonda, kini aku
rasa terlalu bahagia,
bahagianya bak
mengapung ke angkasa raya,
Apa alasanmu anakku?
Sebab kampung
halamanku hijau membentang,
kawanku ramai
menyebar serata kawasan,
dendang, tari,
dan mainanku meruah terpampang.
Bonda, bolehkah
aku bertanya?
Tanyalah
anakku!
Apa maknanya
semua ini, bonda?
Ini adalah
sebuah tanah yang menakjubkan,
dipersatukan
oleh satu bahasa.
Apakah bahasa
itu, bonda?
Bahasa Melayu,
anakku!
bahasa agung
laksana helang,
menebarkan
sayapnya di angkasa,
bahasa ekonomi,
bahasa perantara,
bahasa
nusantara.
Bonda, apakah
yang wajar dikatakan untuk tanah ini?
Inilah sebuah
tanah yang kaya melimpah,
inilah kampung
pujaan kita; Malaysia,
tapi, jangan
lupa dan alpa sampai tertidur lena,
kerana ada musuh
yang berupa ular sawa,
bakal membelit
jika terleka.
Bonda, aku
harus bersuara,
Bersuaralah,
anakku!
ini tanah
demokrasi, kampungmu sejati,
Lihatlah aku,
ibu!
akulah cicit
moyang yang akan menjaga tanah ini,
dari sebarang
polusi,
dan ancaman musuh
terkini.
Taman Damai,
Simpang Morib, Banting,
Selangor
Bersatu Hati
SMAHADZIR
Kami datang
berbondong-bondong,
datang dengan
doa, penuh harapan,
kami membawa
nama anak bangsa yang mencintai nusa,
dengan megah
melihatmu menari di angkasaraya,
sorak sorai
menggema gegak gempita,
lagu kebangsaan
bersuara gagah,
memacumu jalur
gemilang di persada indah,
di Dataran
Merdeka menyambut hari ulangtahun,
merdeka sebuah
tanah nusa,
yang dijajah
sekian lama.
Kami tak pernah
sedikit pun mahu menyerah,
seperti kau tunjukkan
pada dunia makna kibaran,
berkibar dengan
segala gagah memukau dunia,
memukau mata
kami yang dilanda keharuan,
kemenangan
bukan sekadar bebas dari penjajahan,
tapi makna
perpaduan, makna kemakmuran,
dan makna
kekukuhan kesatuan,
demi merah
putih biru kuning yang berkibar di atas sana,
di tiang
tertinggi Dataran Merdeka,
demi pertiwi
yang mengharapkan kebahagiaan,
demi kami yang
rindukan keselamatan,
jangan sedikit
pun gentar dan menghentikan langkah perjuangan,
jalur gemilang
biarkan gagah berkibaran,
merentas
kegemilangan.
Jalur gemilang;
lihatlah hari telah berganti,
kami tetap
bangga jadi bangsa yang dipertaruhkan,
kami cucurkan
keringat dan julang martabat,
di medan perang
yang membahang,
kami anak
bangsa yang berada di belakang jalur gemilang,
bersama
merentang tangan membebat kesatuan,
kami telah
menggenggam ikrar yang kukuh terpahat,
menyerah dan
takut tidak sekali,
semarak
sayangkan nusa mekar dalam nubari,
meski daging
dan tulang diseligi,
kami tetap
bersatu hati.
Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur
Pendekar Sejati
SMAHADZIR
Dulu tubuhnya
tegap pagan kukuh kekar,
tulangnya teguh
laksana pendekar,
tidak pernah
gelugut gentar,
musuh mendekat
pantang dicabar,
dialah ayahku,
membesarkan aku dengan kudrat,
tulang empat
kerat, rezeki dibebat,
gagah memokah hutan belukar,
ya, dialah pendekar sejati,
hatinya laksana harimau berani,
tidak mampu ditandingi,
kerja kerasnya
adalah polos nurani,
untuk bahagia
anak dan isteri.
Tak pernah dia
keluhkan betapa terbeban,
keringat dan
kudrat tidak sepadan,
rezeki
digarapnya sekadar mampu bertahan,
hanya separuh
bulan,
selut dan
bendang padang permainan,
sungai dan paya
mandala pencarian,
keringat di
badan bukanlah ukuran kerajinan,
tapi semangat
berkobar mengubah kehidupan,
mengisi ruang
kemiskinan.
Benarlah, ayahku
pendekar sejati,
keringat
berkucuran bak embun syurga firdausi,
air matanya
gemercik laksana hujan susu dinihari,
semangat
kerjanya membahang laksana mentari,
usia hidupnya
sarat bebanan jasa bakti,
dia pembawa
aroma syurgawi,
lihatlah,
anak-anaknya sudah tegak berdiri,
gagah mengecap
gemilang di puncak bestari,
menjadi seorang
insani dambaan nabi,
kini ayahku
sudah tua dimamah masa,
dia dijaga
bagai permata berharga,
kerana jasa dan
baktinya seluas segara,
jamung pencerah
sungai pancaroba.
Sungai Petani,
Kedah
Merenda Kerinduan
SMAHADZIR
i
Isteriku,
kala malam
muram berselimut mendung,
kurangkai
aksara menjadi sajak berkalung,
kuanyam
bait-baitnya agar merdu bersenandung,
lalu
disarungkan cincin rindu abadi,
di jari manismu
berukir cinta sejati,
seperti indah
purnama matamu yang bening,
kurengkuh wayu
dingin menjadi pelamin,
kubingkai
bintang-bintang jadi bunga hiasan,
kutitipkan
khabar bahagia pada rembulan,
isi dan kuku tak
rela berjauhan.
Isteriku,
gunung dikejar tetap menanti,
di sini, di bukit
batu kita tulis prasasti,
tanda cinta
kasih kita bersemi.
ii
Pagi ini
kutulis gurindam kasih untuk isteri tercinta,
bertata kerama
seperti surya kencana,
berbahagi sinar
ke segala warna,
ke celah-celah
ranting daun dan belantara,
yang tersepit
pohon asmara,
kutulis madah
dalam benakku,
pada rembulan
yang melahirkan kasih terpaku,
kusebut namamu
setiap waktu berlalu,
di danau
kemilau airnya yang membiru,
merapat ke
dermaga cintamu.
Petang ini aku
mengukir sebuah arca nama
kupahat erat di
mercu astana,
cinta dan kasih
kita kekal selamanya.
iii
Kugenggam janji
kala rembulan pancarkan cahaya,
sungguh adinda,
cinta kita seindah kenanga,
yang mekar
ketika pintu derita terbuka,
meski ada luka
melara di bahu jendela,
barangkali
adinda masih ingat suatu ketika,
kita berlari
kala gerimis manja menjelma,
yang
menggetarkan ruang sukma,
kita mendayung
sampan sampai ke dermaga.
Kita pernah
leka di belantara sawang,
ada janji yang
terdampar di batu karang,
kala gelombang
menghempas tajam mengancam,
hingga lupa menyisir
buih di rembulan,
sungguh
isteriku, cinta kita seharum kemboja,
berpendar-pendar
riang di alun samudera,
biarku renda
pasir kerinduan,
menjadi gebar
tidurmu kala malam,
di pulau kasih
yang luasnya selautan,
cadarnya
gumpalan awan gemawan,
agar lenamu
terbuai berpanjangan.
Taman Damai, Simpang Morib,
Banting,
Selangor
Lenyapkan Duri Dan Sangsi
SMAHADZIR
Telaga ini
jernih airnya, memantul sinar di wajahmu,
kala memungut
dedaun kering hanyut,
lentera jatuh
ke kali: ‘aku melihat raut bulan kusut’.
Menerawang
geram ke hilir,
gelap menyapu
sudut mata,
menyisir liar
ke hulu,
riak memercik
di dahi: ‘aku melihat raut bintang remang’.
”Saputlah air
mata, kita kembali ke huma,
pondok kecil
dan bara menyala
menyalai
sehiris daging puyuh.”
Suaramu seperti
malam jenuh,
seperti arang
aku rapuh,
menggiringmu
tinggalkan telaga,
tak ingat
daging puyuh panggangmu,
menyusup ke
huma dan lena: ‘aku melihat ilalang bergoyang’.
Air mata, oh,
air mata; ia menjelma igauan senja,
sepanjang
malam,
seluruh tidur
lebur dalam gambar-gambar liar,
seseorang
menegur dengan kasar: ‘aku melihat ranjang berdarah’.
”Lenyapkan duri
dan sangsi,
kita berjalan
malam ke hulu,
menunggu mata
air air mata,
hingga tumbuh
kemboja,
lalu kita
kembali ke tepian.”
Isakmu seperti
giris di pusara,
tapi entah bila
mulut berkata,
aku bersandar
di batu dan berdusta:
‘aku melihat
bintang di kakimu,
masih dengan
remang asalnya.
Persiaran Gurney,
Pulau Pinang
Lelaki Tua Penoreh Getah
SMAHADZIR
Sejak subuh
temaram melangkah kaki,
ke kaki bukit menghambakan
diri,
dengan pisau di
tangan bersujud di pintu rezeki,
di tangan
terjinjing beban harapan anak isteri,
baju dan buku
yang harus dibeli,
beras dan kopi
yang tiada lagi,
dapur sudah
lama tak berasap sepi,
lelaki tua
penoreh getah,
gagah berkudrat
hatinya betah,
kukuh
semangatnya tak pernah patah,
walau terancam
pelbagai musibah,
jiwanya tabah.
Kala mentari
merenda di atas jemala,
menari-nari di
seputar kepala,
keringat
melencun membasahi raga,
semangat kukuh
dan ampuh meredah juang,
di celah warna
hijau daun getah,
mengalir putih
awan ke dalam jantung,
dikibarkan
bendera batinnya ke cakerawala,
dengan jiwa
rela, pasrah menyerah,
kepada
Azzawajalla.
Lelaki tua
penoreh getah,
panorama
matanya menanam keteguhan,
pada angin
perbukitan yang menggambar,
pada badai
belantara yang terhampar,
langkah-langkah
pasti tak gentar,
menorehkan hati
risau kehidupan yang pudar.
Lelaki tua
penoreh getah,
melukai kulit
setitis demi setitis,
mengalirkan
darah putih ke diri,
dalam binar
jiwa yang berseri.
Kampung Bukit Hijau,
Baling,
Kedah
Warkah Dari Kampung
SMAHADZIR
Perlahan kubuka
sampul yang membalut,
warkah kubaca
dalam resah berbaur,
bagai petir
menyambar,
ada kisah
sengsara yang dipapar,
menggerutup
debar.
Sajak lautmu
bergelora,
mengkristal di
karang kata,
ketika semilir
mulai menyiul rindu,
gelombang
mengejar perahu,
di atas
cakerawala keningmu,
kemudian kisah
berperi tenang;
berapa hektar
musim benih puisi,
yang kau semai
di ladang sepi?
sambil senyum
kuhitung jemari,
dan
jari-jemarimu menulis gelombang,
di atas kolek
kayu kecil bagai sayap,
burung terbang
menghantar mimpi.
Awal aksara
surat ada doa untukku,
tembang syahdu
dari kampung halaman,
berulangkali
kucari jejak di mata,
terpatah rebah
langkah,
lalu bangkit
dari jalan kota,
kunikmati
gerimis manja,
yang jatuh di
hujung kaki.
Hari ketujuh
kuulangi baca warkah derita,
seakan yakin
majlis upacara
ketika
bayang-bayang mentari,
merenda lirik
mata bersama mantera,
kasih dan
sayang yang dijeruk rasa,
ingin
penghujung kata-kata,
di dermaga
tumbuh bunga kemboja,
menghias ruang
dada,
kita pelawat
setia tabur serpihan jiwa,
ke tanah asal
kita melodikan,
malam-malam
sejuk mencengkam,
seperti
menikmati biji-biji selasih,
di ambang
dahaga.
Bagaimana
agaknya?
kita tutup dulu
pintu aksara,
seusai hujan
senja berlalu,
langit masih
menyisakan cahaya,
digurat wajah
kita yang semakin tua.
Taman Damai Simpang Morib,
Banting,
Pusara Pahlawan
SMAHADZIR
i
Malam yang
tekun menjaga pusara,
pahlawan yang
berkubur bersemadi tanpa suara,
menyejuk hening
dada pada cerita sengsara selama usianya,
dan sesaat
terasa akan hidup yang punya harga,
anaknya pernah
berlinang air mata, dihenyak derita,
pandangnya ke muka penuh keriput jasa,
pengorbanan dan
bakti yang tak pernah bertanda,
pingat juga
sijil anugerah raja,
berantakan
citanya membuat ia memendam rasa,
kecewa
dukalara,
sepanjang
hayatnya.
Musim bunga
gugur menggores catatan menyayat berat,
melemah jiwa
dan mendatangkan takut yang hebat,
irinya jadi
perkosaan manusia yang lari,
lari kerana
tidak peduli ke daerah mati dan sepi,
keterlaluan
mengisi detik-detik hidupnya,
malam yang
berjaga dan dia yang merana,
sesedih mereka
menunggu di pusaranya.
ii
Tubuh kaku
terbujur sunyi,
terpancang
tonggak bisu tak bernama,
tanah merah
tanpa bertabur bunga,
tapi rela pahlawan terbaring di pusara.,
ketika kejam
peperangan merobek damai sepi,
kau angkat
senjata tanpa dipinta,
melawan
penindasan dan penjajahan,
demi bumi
pertiwi.
Ketika tangan
masih mampu mencengkam,
jantung
berdetak hati berderak,
kau pekikkan
satu tekad: merdeka!
kau biarkan di
sekujur tubuh,
luka menganga
bertaut sendiri,
kau korbankan
hidup,
gugur
satu-satu.
Sebelum sempat
kukalungkan bunga di lehermu,
aku sematkan
bintang jasa di dadamu,
kau berlalu
tanpa meminta balasan jasa,
izinkan aku
seka darah di luka tubuhmu,
hapuskan debu
di kaki telanjangmu,
sebagai rasa
hormat dan terima kasihku,
di atas
pusaramu kutaburkan wangi bungaan,
dan kutitiskan
air mata jelu berjujuran.
Tugu Pahlawan,
Kuala Lumpur
Kampung Menangis
SMAHADZIR
Dari belantara
tebal sarat tolang sepemelok,
dipokah dipugar
ditebang ditebas leluhur,
diperun kering
dibakar dibaja,
padi huma
berseli pohonan kontan,
kini jadi
kampung subur makmur kaya meruah,
membangun kota
besar hutan batu,
putera puteri
bebas riang bergerak senang,
berlarian bercanda
ke hujung tanah,
hingga alpa
hati nuraninya menginsafi,
titik peluh leluhur
berhati walang,
menanam subur
benih-benih juang,
kampung
gemilang.
Langit kebiruan
merayu pesona hati,
mencuat
kekayaan di kandungan bumi,
bagai memburu
sepasang mata putera puteri,
kemudian alamat
padi berkibar berpadu,
ditiup sayup
semilir beralun,
perwira desa
bersorak sebab musim belayar.
Dari daratan
kota berbau ramai,
bukan putera
puteri membangun negeri,
bukan putera
puteri bersajak jalur gemilang,
bukan putera
puteri mengukir prasasti nusa gemilang,
tapi putera
puteri bangsa itu kehilangan nuraninya,
putera puteri
bangsa itu terburu letih sia-sia,
membiarkan arus
persatuan hanyut ke longkang luas,
membiarkan
gelita di kerongkong belantara.
Jika
pilar-pilar patriotisme nyata,
kenapa bawakan
layar berkhabar ’kampung menangis’,
menggulung
makna jalur gemilng di jiwa warga,
kampungku lebur
dipijak putera puteri bangsanya sendiri,
yang lupa peri leluhur
memugar belantara,
yang terpesona
mantera petualang durjana,
yang bicaranya
tersirat sejuta makna,
pemusnah nusa
penggamit bencana.
Taman Damai,
Simpang Morib.
Gerabak Tua
SMAHADZIR
Gerabak tua
akan bergerak ke dermaga sepi,
laksana diri
dalam dunia fana ini,
dianugerah
Azzawajalla rezeki dan kudrat sejati,
lupa dosa, alpa
pahala, takut akan mati,
kematian adalah
halte pembebasan yang hakiki,
bila mati
segala masalah akan hilang menyepi,
namun amal
kebajikan bakal dihalusi,
ringan dan
berat ditimbangi,
penentu neraka
abadi,
atau nyaman
hidup di syurgawi,
dipeluk
bidadari.
Gerabak tua
akan diheret-heret waktu,
lewat sungai
berliku,
kehidupan
laksana bidak catur nafsu mengatur,
tak peduli dosa
tak peduli pahala,
diredah sama
saja tanpa takut Azzawajalla,
semua akan
menumpang keranda ke pusara sepi,
ditemani dua
nesan kaku tidak berperi,
dalam kematian
dunia dibebaskan,
hukuman menjadi
tapal sempadan,
fikiran
terhenti dan nafas ditamatkan.
Diri yang takut
pada mati,
juga takut pada
belenggu,
terbang ke awan
dan lihatlah penjuru angin,
seribu malaikat
menjemput dengan tangan berbunga,
ada syurga ada
neraka,
semuanya
menjadi sarat dengan penghuni,
pelbagai ibarat
pelbagai iktibar,
jadi jamung
menginsafi hakikat.
Bumi ini indah
meruah melimpah kehendak rasa,
kadang-kadang
peri ceritera manusia menjadi resah,
berulang-ulang
kisah dan lakonan sejarah,
dan kematian menemukan makna Pencipta.
Villa Merdeka,
Ampang, Selangor
Sepi Di Pusara
SMAHADZIR
Yang riang
dalam kehidupan,
dengan tawa
senda seribu makna,
leka membangun
khayal dan angan,
memutar roda
sejarah, membina keluarga dan menafsir dunia,
bina tugu ilmu
dengan sejuta buku,
cinta harapan
seperti melonggok kertas kosong dalam fikiran,
lalu apakah
ketika sudah mati,
menghuni lahud
dua kali dua nanti,
dan dibuka
penggali tanah separuh baya,
siapa dan di
manakah kita,
ketika ada
menjadi tiada,
hanya kain
kafan tanpa jenama ternama,
di mana segala
harta hasil kerja,
anak pinak ipar
duai teman semua,
dan mimpi-mimpi
indah syurga?
Tidak tahu apa
kemahuan kita,
setelah mati
dan sepi di pusara,
mungkin
mendongakkan kepala,
di atas langit
pusara yang sepi meraja,
dan berucap
kata tanpa suara;
“andai dosa
tidak pernah menjadi mainan,
dan fitnah
bukan amalan perbuatan,
andai solat
menjadi bakti harian,
dan doa-doa
adalah bahasa percakapan,
mencintai Allah
dan manusia sekalian,
mungkin aku tak
kesepian!”
Di kuburan
sepi,
hanya nisan
kaku tanpa air api,
bunga-bunga
yang ditaburkan jelu hati,
dengan tangisan
semakin jauh membawa diri,
kian layu
dimamah hari,
meninggalkan
aku sendiri.
Tanah Perkuburan Jalan Aman,
Kancong Darat, Selangor
Orang-Orang Miskin
SMAHADZIR
Orang-orang miskin
di kaki lima jalanan,
yang menadah
tangan meminta bantuan,
yang tinggal di
bawah jambatan,
yang kalah
dalam pergulatan,
yang ditipu
oleh impian,
janganlah
mereka dilupakan.
Semilir membawa
aroma baju hapak,
rambut mereka
melekat di bulan purnama,
perempuan-perempuan
tua berbaris di cakerawala,
menadah sesuap
nasi di jalan raya,
orang-orang
miskin, orang-orang tak berdosa,
kanak-kanak
berhingus selimut jelaga,
kucing berkurap
anjing kelaparan,
jangan begitu
mudah diabaikan.
Bila diremehkan
mereka yang malang,
hidup akan
diburu bayangan,
tidur akan
penuh igauan,
dan bahasa
kanak-kanak sukar diterka,
jangan
dikatakan tanah nusa ini kaya,
kerana manusia
berkembang di kota dan desa,
jangan dikata
diri kita kaya,
jika tetangga
memakan bangkai kucingnya.
Perempuan-perempuan
tua menyuapi anak-anaknya,
dengan
tangan-tangan kotor dari jalanan,
meraba-raba
kocek kosong berdebu,
mereka tak
boleh dibiarkan,
mereka akan
menjadi persoalan,
yang mencegat
ideologi,
gigi mereka
yang berkarat akan meringis di muka agama,
mereka akan
berbaris sepanjang sejarah,
laksana udara
panas yang selalu menjelma,
bagai gerimis
yang selalu membayang,
mereka
mengangkat pisau-pisau belati,
tertuju ke dada
kita, atau ke dada mereka sendiri,
kenangkanlah
orang-orang miskin,
juga berasal
dari tanah yang sama.
Kuala Lumpur
Aku Anak Jalanan
SMAHADZIR
Aku anak
jalanan,
merempat di
lorong terbuang,
nasibku tak
ubah sampah di longkang,
sering ditemani
anjing dan kucing kelaparan,
dibawa arus ke
selokan malang,
terdampar sepi
kala malam menjelang.
Aku anak
jalanan,
nasibku yang
malang penuh halangan,
kaki lima
adalah rumah penginapan,
rumah yang tak
berpintu,
asap kenderaan
hiasi sepanjang hari,
memenuhi baju
dengan debu,
debu yang
menutup mata,
indahnya tanah
nusa tercinta.
Aku anak
jalanan,
tiada berayah
tiada beribu dan tiada berteman,
hidup cemerlang
yang aku harapkan,
takdir malang
yang mendatang,
hilangnya
perhatian, dipinggirkan,
manusia yang
kaya seperti membiarkan,
hina memandang,
bibir menjuih panjang,
melihat aku
yang centang perenang,
busuk hanyir
laksana memerang,
iri rasa aku
memandang,
anak yang penuh
harapan,
kuusap dadaku
perlahan,
dan terima
takdir Tuhan,
sarat
keredhaan.
Puduraya,
Kuala Lumpur
Laut Dan Hujan
SMAHADZIR
i
Luasnya laut
sejauh mata memandang,
saujana
hamparan biru nan mendinginkan,
gemericik
tenang tapi menghanyutkan,
sesekali ombak
menjelma,
bercengkerama
dengan semilir liar,
menebarkan
angan dan berjuta harapan.
Luasnya laut
terhampar,
tak kelihatan
batas sejauh mata memandang,
berjuta jiwa
bernyawa menghidupkan nuansanya,
mata dirasuk
pesona,
sesekali
pelangi melintas di atasnya,
memberi
pemandangan seindah syurga,
manusia
terpana.
ii
Kala mendung
bercengkerama dengan wayu,
mentari selalu
muram, menyepi malu-malu,
terpempan oleh
wibawa guntur yang menggegar,
rumput yang
selalu membingar,
memarahi kaki
yang menghenyak hangat,
berdendang
riang kala rintik-rintik mulai datang,
jiwa terpesona
gemilang,
lantas
bercerita dengan segala indah cemerlang.
Alam yang gesit
disapa,
rona bahagia,
pucuk-pucuk
daun tersenyum manis menikmati lenyapnya debu,
debu-debu noda
yang tak rela hijaunya semakin cantik,
kembali
didengar suara alam berpesta,
semua bahagia
dengan hujan yang menjelma.
Pantai Teluk Kemang,
Port Dickson,
Negeri Sembilan
Malam
SMAHADZIR
i
Malam ini ada
sembilu perih menggores hati,
segenap
candaria terbungkam mati,
sejuta asa
terbunuh sepi,
raga rasa
longlai untuk berdiri,
ke mana harus
dilangkahkan kaki,
arus sungai
terasa berduri,
di mana harus
dicari kebahagiaan sejati,
di hujung buana
tiada ditemui.
Malam ini
fikiran jadi kalut,
laksana
bersemayam di hujung maut,
tiada tali
cinta yang dapat dirajut,
hanya amarah
yang kian menyulut,
pergilah risau
yang membebat kemelut,
agar aliran
sungai tak lagi berserabut.
dipanjat dalam
doa kala bersujud,
agar ketenangan
tidak menyusut.
ii
Kala malam
bisu, ditanya dalam relung kalbu,
mencari makna
kata, mengorek erti rindu,
mencari
definisi yang terpendam membisu,
ketika muzik
berdendang syahdu,
mengiringi
tidur malamku,
dicari makna
sebuah ceritera,
direlung-relung
minda,
adakah rindu
masih melepa,
sungguh
bebayangnya telah mencuri sukma,
melabuhkan aku
dalam mimpi yang mempersona.
Bertabur
bintang-bintang seribu khayalan,
antara rahsia
malam datang satu barisan,
dalam suara
hati yang bungkam,
kuingin
menyingkap tirai kelam,
yang
membelenggu perasaan,
memenjarakan
impian,
ketika kasih
datang mengoda,
hati telah
terpenjara oleh sebuah nama,
nama pemilik
bintang purnama.
iii
Duhai malam;
senyumlah,
tidakkah
rembulan sedang merekah merah,
dan bintang
berkilauan, indahkan alam maya,
tidakkah esok
fajar akan datang,
bawa impian
yang dimimpikan,
hingga menjelma
segala harapan.
Duhai malam;
tidurlah,
ragamu lelah
menanti pagi yang tak juga pergi,
dan kalbumu
mengembang kala senja datang,
malam
dengarkanlah,
kidung
burung-burung dalam perjalanan pulang,
hingga tak ada
alasan akan kesepian,
bermimpilah,
disela-sela jagamu ada tangan-tangan suci,
yang meminta
pada Ilahi,
agar tetap kuat
menemani indahnya tanah pertiwi,
hingga waktu
berhenti.
Kampung Bukit Hijau,
Baling, Kedah
Pantai
SMAHADZIR
i
Ombak mesra
membelai mengusap,
kedua kakiku
seperti menari-nari,
dalam buaian
keriangan kalbumu,
kupandang jauh,
saujana di ufuk
kebiruan berpadu,
yang menyatukan
langit dan laut,
namun waktu
sekejap berlalu,
beranjak dari
pesona,
dengan hamparan
pasir putihmu.
Debur ombak
yang berdebar,
dan keceriaan
kanak-kanak tertawa gembira,
tersenyum serta
lesung pipimu,
bak guratan
pasir jemari-jemari lentik,
yang sesekali
gelombang menyapanya,
waktu yang tak
pernah kembali,
berjalan bahkan
berlari.
Izinkanlah aku
temui,
bukan sekadar
untaian mimpi,
kan kubasuh
kakiku di pantaimu.
ii
Kemilau surya
menyambut datang fajar,
kubuka jendela
mata membundar,
bisikan alunan
senandung camar,
hembusan angin
bertiup manja,
suasana yang
sepi menjelma,
ombak bergulung
berkejaran,
betapa indah
rahsia alam kurniaan Tuhan.
Khaliq mencipta
semua keindahan,
Agar dapat
merasakan ketenangan,
Kasih sayang
berpanjangan.
Pantai Morib,
Kuala Langat, Selangor
Hutan Dara
SMAHADZIR
Melangkah di
antara akar pepohonan,
bersama semilir
yang mengalir,
menyusuri
sela-sela batu di lereng perbukitan,
hangatnya
atmosfera di relung hati membaur aroma nafasmu,
hutan dara
segenit gadis bermata jeli,
semakin dekat,
semakin kurasa himpitan ilusi,
pepohonan
menari lemah gemalai,
gerbak harum,
wangi tubuhmu membelai,
mendesak asa
untuk mengejar,
semakin dekat,
semakin hangat,
menghimpit
tarikan nafas demi nafas,
ke dalam
pelukan mesranya.
Hutan dara
subur di mandala megah,
diapit
perbukitan menghijau menganjur,
sepanjang inti
tanah utara selatan timur dan barat,
sayang, senyum
segar nan memikat hati,
mengundang
naluri untuk memiliki,
semakin dekat,
semakin hangat, semakin erat,
biru, hijau, putih,
kuning, jingga, merah,
menerbangkan
rasa yang menggelora,
menggoda hasrat
membara,
menyala,
membakar segala yang ada.
Hutan dara
manis wajahnya,
mesra
senyumnya, genit tingkahnya,
mesra menggoda
membelai jiwa,
indah, cantik,
wangi, segar, merangsang,
sayang, jangan
kasari dia,
jangan
rosakkan, jangan telanjangi sesuka hati,
biarkan dia
bersendiri berdandan diri,
dia hutan dara
nan perawan,
penyimpan air
kehidupan.
Ulu Yam,
Hulu Selangor
Pesona Flora Fauna
SMAHADZIR
Anggerik liar
putih berseri,
kenanga aneka
rona dan warna,
menawan,
mempesona alam rimba,
walau lembayung
meredup lara,
rotan menjalar
menelusuri belantara,
gaharu semerbak
mewangi,
mengundang
suasana damai tersendiri,
dalam naungan semilir
beringin sunyi.
Punai daun
bebas berterbangan,
jerijit hinggap
dari dahan ke dahan,
helang gagah
perkasa membelah awan gemawan,
cenderawasih
cantik menawan mempesonakan,
pipit
berceridau di antara ilalang,
berlari
melompat rusa riang,
harimau belang
menanti di banir tolang,
sawa merayap
mengitari rawa buana,
memerang
menyendiri mencari mangsa.
Di sana
berjajar jati diri idola negara,
kempas dan
merbau amat berharga,
dalam sungai
antara mandala,
patin, sebarau,
toman, lampam, semuanya ada,
menanti di
bubu, jarring juga jala,
inilah flora fauna
Malaysia,
menarik unik
penuh pesona.
Tasik Banding,
Perak
Nyanyian Belantara
SMAHADZIR
i
Luas menghampar
hijau saujana,
dedaun
bergoyang lembut menari berirama,
ketika rumput
berbisik berbicara,
mengajak canda
makhluk belantara,
pohon tegar
berdiri rendang,
terpasak kukuh
tinggi menjulang,
gemercik air
terjun damai menyegar,
gelicau unggas
riang bertebar,
bersama aneka
warna harumnya bunga,
pinggang bukit
lembah mempersona,
sempurna
anugerah Allah Azzawajalla.
Unik menawan
panorama alam maya,
menghiasi rimba
belantara sejahtera,
burung berkicau
sepanjang masa,
membangunkan
satwa-satwa,
penuh pesona
menghiasi dunia,
mamalia,
reptilia, amfibia, primat semua ada,
berjajar pulau
hingga ke hujung nusa,
taman negara,
rumah
keanekaragaman fauna flora,
dalam ekosistem
yang terpadu mesra,
kesejahteraan
alam semesta.
ii
Kupu-kupu dan
kumbang beraneka warna,
indah
mengagumkan menarik pesona,
terbang
melayang mengepakkan sayapnya,
tatkala mentari
pagi menembus dedaunan,
membuyarkan
halimun dalam duka,
air terjun
gemercik membuai rasa,
mengalunkan
simfoni nada ceria,
yang tak henti
mengiringi belantara,
walau
kadang-kadang dihenyak nestapa,
tapi tak
bermukim sepanjang masa.
Berjajar tegar
pinggang perbukitan,
bagai menara
alam penuh menawan,
bukit karst
milik berharga,
menyimpan aneka
khazanah pusaka,
di antara sunyi
dan gelap gelita,
dinding gunung
terjal berstalagtit,
langit
stalagnit bak ukiran maestro alam,
menghiasi
mandala gua di belantara,
alam kembali
diselimut sunyi,
ketika mentari
redup membalut sepi,
bersembunyi di
sebalik pelbagai misteri.
iii
Mengalun merdu
tiupan bayu,
membawa
nyanyian beralun merdu,
menyelinap
lembut ke dasar kalbu,
menggugah hati
sanubari rindu,
belantaraku
kebanggaan bangsa,
menopang
kehidupan makhluk semesta,
dari si miskin di
pedalaman sana,
juga si kaya di
bangunan kota,
selimut hijau beruntai permata,
belantara hijau
kini digulat duka,
salah siapa,
siapa yang tamak haloba,
cita duka,
bangkitkan cinta,
belantara
sengsara, pesonanya lara,
di antara
tangis jelu satwa,
bayu tetap
semilir mengalun mesra,
membawa simponi
alam sejahtera,
membisikkan kata pujangga,
esok, di mana
aku akan berkelana.
Taman Negara,
Pahang
Orang Utan
SMAHADZIR
i
Rimba luas luas
menghijau,
di antara
hijaunya dedaun belantara,
yang jauh di
hujung timur sana,
semua dalam
damainya alam,
melompat
perlahan, manja dan teguh,
mengintai
mencari makanan penyegar tubuh,
demi menyambung
generasi,
dalam habitat
kehidupan hakiki.
Kau gemparkan
semesta alam,
dengan
kemanjaan wajah dan senyuman,
dan panjangnya
tangan milikmu,
hingga membuat
kagum penuh pesona,
para wisatawan
yang bertandang,
napuh dan rusa
berkeliaran tenang,
kijang berlari
melompat lintang,
unggas burung
juga berkicau riang,
orang utan
tetap melangkah tenang.
ii
Dalam belantara
hijau tebal,
tinggi dan
besar kukuh tegar,
pepohonan
rendang, habitat terbentang,
bergelantungan
melompat bebas,
molek buruk
bersuara lantang,
memecah
keheningan rimba negara,
damai di
kejauhan alam sana,
orang utan
satwa langka,
berorasi
menuntut hak hidup sendiri,
ketika habitat
terkunci
menanti tangan
Ilahi.
Orang Utan Santuary,
Sipilok, Sabah
Riak Tasik Banding
SMAHADZIR
i
Kabus berkelun
membuai mesra,
kala pagi
menguak pintu jendela,
biarpun rintik
hujan setia,
membasahi alam
seputar Tasik Banding,
membuai pawana
menggeliat indah,
berkilau
menghijau mengagumkan,
membiru bagai
lautan saujana,
bersisik perak
menarik hati,
hijau, biru,
kuning aneka warna,
Tasik Banding
khazanah pusaka,
jauh di dalam
belantara Belum,
tak sangka
mempesona dunia,
hingga pemburu
satwa, merambah,
alam memang
bungkam membisu,
tetap tersenyum
bersama bayu,
yang menerpa
dedaunan,
sekitar alam
dan riak air,
Tasik Banding.
ii
Terhampar
cantik di tepian hutan hujan,
bayang-bayang
hijau bergelombang,
mengalun bak
alunan simfoni,
seakan merdu membuai
sekitar,
terlena dalam
buaian mimpi,
gelicau unggas
aneka warna,
bersahut
bersama harmoni alam,
mengumandangkan
gema pesona.
Camar bak
helang menyambar,
tenang
menjelajahi tasik membiru,
kumbang terbang
celahan ilalang,
gagah perkasa
hitam penuh wibawa,
Tasik Banding
penuh pesona,
gemercik air
bagai melodi cinta,
mengalun lirih
tepian jalan raya.
Di antara
bebatuan kerikil alam,
embun pagi
masih membasahi bumi,
sementara
mentari setia menyinari,
menghangatkan
suasana rimba sekitar,
tatkala jemari besi
menggerus,
berkubang
lumpur gemerlap emas,
panorama lain
sekitar Tasik Banding,
yang lalu, hari
ini, dan esok nanti,
diam membisu
menunggu sang ratu,
bahu membahu
bangkitkan kalbu,
membiru tenang riakmu
Tasik Banding,
Perak
Sepenggal Derita
SMAHADZIR
Dalam meredah
sungai berolak deras,
seorang penahan
bubu dicabar beribu batu,
tajam meruncing
menusuk langkah,
semuanya hanya
mencipta luka berdarah,
yang mungkin
tiada hentinya,
meratap,
merayu, menjerit, menangis,
tiada yang
dapat ditangkis,
ketentuan yang
sudah tercatat,
walau darah
meluruhkan kudrat.
Apa yang dapat
dilakukan,
tetap meredah
merempuh sungai mencabar,
berserah dan
selalu bersabar,
kerana hanya
takwa pada-Nya jalan terbaik
bersama doa dan
ikrar,
ada penghujung
terang di muara,
luas menuju
lautan bahagia,
di sana akan
bertemu makna sejahtera,
dari sungai ke
muara yang dicita,
berliku
pancaroba yang harus diranduk,
dengan wajah
dan tubuh menunduk,
sarat tawaduk.
Meraung
bukanlah jawaban,
menangisi nasib
diri bukan pula penyedap harapan,
hanya doa
menjadi pedoman,
agar
Azzawajalla selalu dalam ingatan,
usah disesali
nasib yang malang,
biarkan segala
derita jadi saksi bisu,
akan datang
carilah sejahtera di hati,
agar sepenggal
derita lenyap menyepi.
Majlis Kebudayaan Negeri Selangor,
Shah Alam,
Selangor
Manusia Tersisih
SMAHADZIR
Bahang mentari
menggaring jadi sahabat harian,
debu jalanan
menjadi embun mandian,
deru enjin
kenderaan adalah senandung merdu mempersonakan,
kolong jambatan
dan kaki lima adalah istana peraduan,
tertidur nyenyak
di atas tumpukan kertas hiasan,
merasa hangat
dengan selimut akhbar-akhbar terbuang,
bahkan biasa
makan dengan rakus kelaparan,
nasi berlaukkan
garam,
namun kenapa
hidup terus ditekan.
Istana kekotak
dibakar-hanguskan,
gerobak-gerobak
nasi di sita tanpa belas kasihan,
mengatas-namakan
undang-undang dan peraturan,
membuat kami
melewati hari-hari dengan kelaparan,
kami tak pernah
meminta lebih dari mengharap,
untuk kehidupan
yang gilap kemerlap,
bermimpi jadi
konglomerat pun kami tak berhasrat,
makan tiga kali
sehari sudah cukup berkhasiat,
kami manusia
melarat,
di pinggir kota
hidup merempat.
Lihatlah
anak-anak kami yang tak bersekolah,
setiap hari
hanya mengais sampah,
tak pernah
mengeluh meski kaki luka dan bernanah,
demi sesuap
nasi mereka tabah,
tidakkah anda
berasa malu wahai manusia berada,
kita sebangsa
dan satu agama mulia,
cuma berbeza
wang ringgit dan harta,
insaflah, kami
juga manusia ciptaan Azzawajalla,
berhak mendapat
tempat meski dipandang hina.
Dengarlah
rayuan kami wahai manusia berkuasa,
biarkan kami
hidup bebas tanpa diburu dan disiksa,
mengejar hari
esok demi anak cucu kami yang buta aksara,
agar mereka tak
jadi sampah dunia,
dengan tekad
ini kami yakin mampu berubah cara,
istana kekotak
akan jadi istana singgahsana,
kerana kami
adalah orang tersisih berhati waja,
tak akan takut
dengan derita,
suatu hari
nanti kami akan merdeka.
Pandanglah kami
dengan hati yang tulus,
bukakanlah
denai yang lurus,
agar kesempitan
dan sengsara kami tertimbus,
oleh pawana
bahagia lunak berhembus,
mesra di
mahligai kabus,
kami ingin
hidup bahagia
tidak terhenyak
dicengkam derita,
sepanjang masa.
Kuala Lumpur
Tsunami
Dalam Kenangan
SMAHADZIR
i
Biru laut biru hati yang terkedu,
di sana purnama terluka ganas memburu,
tentang kematian yang beribu,
dan cinta kasih yang terbujur kaku,
berlumur darah dan nanah membeku,
kenangan apa yang akan kusematkan padamu,
seuntai kidung yang tak berirama merdu,
pada mayat-mayat tanpa pusara,
atau manusia yang terusir dari rumah tangga,
atau harta benda yang porak-poranda,
dalam maraknya resah di mulut sengsara,
dalam maraknya tsunami di hujung segara.
Hukum apa yang diundangkan padamu,
untuk menawarkan panas api membahang,
untuk menyejukkan bumi-bumi melata,
untuk mengibarkan panji-panji sejahtera,
agar nelayan berlayar di samudera sentosa,
agar petani mencangkul di ladang subur,
agar pengungsi kembali ke rumah sendiri,
menyiram kasih sayang abadi,
andai bahasa telah mengering dalam kitab,
andai hati telah membeku tanpa peduli,
kemelaratan dan kesengsaraan melumpuhkan kudrat.
ii
Kala alun Selat Melaka membuat kau terlena malam
ini,
biarlah jiwamu hanyut bersamanya,
lalu impikan bidadari syurga bergurau senda,
berlarian sepanjang taman istana,
tatkala nyaring suara muadzin membangunkan kau esok
hari,
pandanglah kepada jantung tanah ini,
di mana awal nadi berdenyut dan dinamika hidup
bermula,
pandanglah kepada kiblat yang memberimu damai,
di segenap rasa dan indera,
pandanglah kepada rumah yang memberimu ketenteraman,
bila rumpun padi engkau saksikan kuning-kemuning,
bayangkanlah semampai anak dara tanah ini,
meliukkan ranum lenggang-lenggok,
gemulai merdu suara serunai padi,
sampai ke peraduan puteri diraja.
Bila engkau dengar derap badai,
maka saksikanlah gelora kemusnahan,
membakar semangat putera-puteri tanah ini,
kukuhkan pengabdian kepada Ilahi,
kepada tanah kita berasal dan akan kembali,
jika engkau lihat pantai-pantai berpasir emas,
bukit-bukit berjajar dan hutan-hutan perawan,
pujilah kebesaran Tuhan,
limpah kekayaan ruah milik warga yang tegar,
dengan otak seruncing mata rencong,
maka dengarlah hikayat yang mereka lantunkan,
saksikan semarak semerbak,
dan tawa para anak-anak kecil yang menyimpan harap,
marilah memandang jauh merambah,
denyut kehidupan yang makmur,
maka janganlah malu mengakui,
engkau pasti akan merindukannya lagi.
iii
Deru air bersama angin melaju,
derak pepohonan dan rumah tumbang,
dalam gerak singkat, dalam detik, sirna,
tsunami yang datang tanpa diundang,
tak habis manusia dirundung malang,
bawa ribuan jiwa melayang,
bersama badai samudera ke hadrat Tuhan.
Pantai Acheh,
Kedah
Penyapu
Sampah Tua
SMAHADZIR
Penyapu sampah tua menjemput bulan di jendela,
merangkai sejuta mimpi dalam air mata,
ketika cinta mendakap dan memudar,
di taman kembang-kembang plastik,
di bawah siraman-siraman remang lampu-lampu antik,
segelas hempedu mencair semanis madu,
disapu sampah-sampah impian ke longkang harap,
diraih butir-butir kencana impian ke karung hasrat,
citanya terdampar di hujung malam,
malam yang gelap, tiada purnama kemerlap,
di langit malap.
Penyapu sampah tua merangkul bulan di jendela,
mengirimkan pawana senja,
di batas pengembangan di hujung buana,
dengan hati kosong dan mata hampa,
tertatih menuju mahligai Azzawajalla,
dia pasrah pada remang-remang cahaya,
bersinar laksana fatamorgana,
pada malam-malam dalam lena,
bermimpikan bulan purnama jatuh ke riba,
istana dan singgahsana permata,
di puncak bukit pesona.
Penyapu sampah tua melambai bulan di jendela,
tanpa kekasih membisikkan janji setia,
tanpa cinta asyik bermanja senda,
hanya pada bintang di langit terbuka,
diserahkan sisa-sisa kasih yang masih ada,
hatinya telah robek terluka,
berdarah bernanah bersalut jelu hiba,
istana bahagianya telah roboh dilanda bencana.
Taman Damai,
Simpang Morib, Banting,
Selangor
Selamat
Berjuang Ayah
SMAHADZIR
Selamat berjuang ayah,
sempadan nusa menunggu darahmu,
pemergianmu tak mungkin cepat pulang,
hanya asa rindu kepiluan,
kuucapkan pada mentari redup dan bulan tanpa
purnama,
yang tak sudi dan tak akan menulis perputaran waktu,
pada derita jiwa ibu yang melahirkan,
dengan darah, air mata, kepedihan, harapan dan
cita-cita,
Selamat berjuang ayah,
tanah nusa menadah keringat yang mengkucur,
kamus sejarah akan merakam jasa ayah,
diukir prasasti dengan pahat kencana,
jangan lupa kirimkan khabar gembira pada ibu,
bahawa ayah sedang memburu seteru,
di antara jiwa syahid dan hidup,
di antara jiwa mati dalam perjuangan,
membebaskan tanah moyang dari ancaman,
petualang yang sekian lama berdendam.
Selamat berjuang ayah,
doakan anak-anakmu satu ketika nanti,
akan berdiri tegak tak takut mati,
berlari mengejar langkahmu di sempadan nusa,
berjuang melenyapkan angkara murka,
untuk mengekor jemari syurgawi,
menyusuri alam kemandirian yang abadi.
Selamat berjuang ayah,
doa kami sentiasa mengiringi,
sehingga ayah pulang ke pangkuan kami,
atau gugur demi pertiwi.
Port Dickson,
Negeri Sembilan
Bersatu
Walau Berbeza
SMAHADZIR
Kita telah diciptakan berbeza;
warna kulit dan bahasa,
apalagi agama dan budaya,
dan selamanya kita akan berbeza,
kita boleh bersama walau dalam beza rupa dan cara,
kita bersama kala hadapi ancaman durjana,
yang mahu merampas kampung kita,
kelak kita akan tinggal bersama juga,
bermukim di dunia baru penuh sentosa.
Jangan menutup rapat ruang-ruang pemisah,
hapuskan segala rasa gelisah dan gundah,
biarkanlah angin syurgawi membelai segala resah,
dan mengajar kita melakar warna-warna cerah,
di kanvas muhibah,
hiduplah saling melengkapi,
jangan jadikan itu tali belenggu yang terpateri,
biarkan kecurigaan itu lenyap di alun mimpi,
meresap ke dalam bumi, sepi menyendiri.
Kita mampu mengisi cangkir minuman,
dari botol yang sama,
kita saling berbahagi nasi,
dari periuk yang tidak berbeza,
marilah bernyanyi dan menari di pentas ceria,
bersama-sama dalam suka dan duka,
dan sisakan ruang berharga,
untuk menghayati makna negara bangsa,
di tanah nusa merdeka.
Marilah kita saling memberi hati,
jangan saling menguasai,
berdirilah dalam tegak selari,
lupakan rasa bangga dan besar diri,
mari kita jadi pilar-pilar besi,
kukuh terpasak dalam bumi,
tak akan mampu musuh mendekati.
Kuala Lumpur
Tanah
Pusaka Ini
SMAHADZIR
Tanah pusaka ini tuan, tak akan kugadaikan,
untuk ditukarkan dengan gunung kekayaan,
hanya kerana janji yang belum pasti menjadi
kenyataan,
kata demi kata yang tuan janjikan,
bagai meleburkan batu pengorbanan,
para pejuang yang memekup dada berdarah,
ditusuk amarah penjajah,
di atas tanah pusaka ini aku berpijak,
di bawah langit ini aku berlindung,
dari tusukan bahang mentari,
tak sekali-kali aku mahu menjual harga diri.
Tuan, aku tak akan menjual sebentuk kenangan,
hanya kerana termakan pujukan manis tuan,
sehingga darah leluhur jadi taruhan,
tanah ini adalah nyawaku yang mesti dipertahankan,
mengakar di jiwa mengukuh dalam kalbu,
seumpama isi yang berpaut erat pada kuku,
biar badai silih menghenyak,
takku jual nafsu kehendak,
tanah ini adalah maruah keturunanku yang hakiki,
meski terkucur darah pekat daging diseligi,
demi lenyap tanah ini tidak sekali.
Aduhai tuan yang kaya tipu muslihat,
betapa licik jalan fikiranmu bersalut kesumat,
membungkus impian menggunung hasrat,
kuasa dan kekayaan menjadi matlamat,
tapi tuan telah lupa akan hakikat,
aku bukan mudah untuk dipikat,
apalagi untuk digula-gulakan dengan janji keramat,
tanah ini tinggalan pusaka leluhur sejati,
tanah tumpah darah ibu pertiwi,
ayuh tuan, marilah bersamaku kita satu hati,
pegang janji, kita bangunkan tanah ini.
Kampung Bukit Hijau,
Tawar, Baling, Kedah
Kuala
Lumpur
SMAHADZIR
Gemilang lampu-lampu menghias dadamu,
seakan bintang turun dan tidur di bumi,
gemerlapan cantik langkah-langkah menarik,
pelosok tubuhmu menjadi garing membahang,
panas yang mencengkam,
nafsu dan akal jadi bersatu,
tanpa arah tuju,
berselirat tidak menentu.
Di dadamu yang bidang beribu batu bata tersusun
kukuh,
menjulang istana pencakar langit yang utuh,
berjuta semut besi menderu sesak,
memuntahkan asap penat menyendat,
nafas menjadi sendat dan penat,
di celah-celah lorong muram wajah-wajah suram,
mencari dan menunggu sisa-sisa noda,
bercambah menjadi benih-benih menjalar,
tumbuh dan memekar pepohon dosa.
Kuala Lumpur, buana manusia musibat,
berpesta dengan suapan serakah,
kelab para hawa tawar menawar,
sajian hangat daya tarik keparat,
memburai imamat.
Kuala Lumpur, penuh kabut dendam,
manusia berhati kelabu berwajah hitam,
taman bungaan dengki takabur memekar,
dan senandung kesombongan menggelegar,
noda dan dosa lebar terhampar,
dari selatan ke utara, timur dan barat.
Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan