SMAHADZIR
DALAM ajaran Islam, wanita merupakan di antara
makhluk Allah yang sangat dimuliakan. Mereka diberi kemulian sama taraf dengan
kaum lelaki jika mereka benar-benar beriman dan menurut segala perintah Allah s.w.t.
Hal ini telah dibuktikan dengan lahirnya Rasulullah s.a.w membawa risalah Islam
yang membebaskan manusia dari memperhambakan diri sesama manusia kepada
memperhambakan diri semata-mata kepada Allah s.w.t. Kaum wanita telah
dibebaskan dari menjadi hamba kepada kaum lelaki, sebaliknya berkhidmat kepada
kaum lelaki (yang bernama suami atau ayah) selama mereka menjaga dan
memeliharanya dengan baik menurut panduan Ilahi.
Hak Dan Kemuliaan Wanita
Dalam Islam
Pada masa bangsa Arab Jahiliyyah dan seluruh bangsa
di dunia ini menganggap kaum wanita sebagai najis, hina, haiwan dan sebagainya,
maka Rasulullah s.a.w. dibangkitkan oleh Allah s.w.t untuk mengisytiharkan
kepada dunia bahawa wanita juga adalah manusia dan mempunyai hak-hak
tertentu. Islam telah mengatur kehidupan manusia dengan yang
sebaik-baiknya. Kaum wanita tidak lagi dijadikan sebagai barang dagangan,
pelacur atau hamba abdi. Sebaliknya mereka hidup dalam keadaan suasana yang
teratur dan terpelihara. Bukan setakat itu sahaja, malah Islam telah mengangkat
darjat wanita ke taraf yang tinggi yang tidak dapat ditandingi dalam
perkembangan-perkembangan tamadun kemanusiaan.
Wanita tidak diperintah ke medan perang atau membuat
tugas-tugas sebagaimana kaum lelaki kerana kekuatan mereka kurang dan tidak
sesuai melaksanakan perkara-perkara tersebut. Pusat kegiatan bagi kaum wanita
sebagaimana yang digariskan oleh syarak ialah di rumah. Rumah merupakan syurga
dan medan jihad serta gelanggang bagi kaum wanita menumpukan masanya bagi
menyelesaikan tugas dan tanggungjawab mereka dalam urusan rumah tangga. Firman
Allah di dalam Al-Quran, ”Dan hendaklah kamu (hai isteri-isteri Nabi)
tinggal tetap di rumahmu.” (Surah Al-Ahzab ayat 33)
Ayat secara khusus ditujukan kepada para isteri
Rasulullah s.a.w. juga secara tidak langsung ditujukan kepada seluruh kaum
wanita beriman kerana para isteri Rasulullah s.a.w. merupakan contoh ikutan
yang sebaik-baiknya bagi setiap wanita Islam. Alangkah baiknya jika setiap
wanita Islam mengikuti serta mencontohi bentuk kehidupan para isteri Rasulullah
s.a.w daripada mengikuti dan mencontohi kehidupan wanita-wanita musyrik yang
sentiasa mendapat laknat dari Allah s.w.t.
Sungguhpun kaum wanita dinaikkan darjat sama
mulianya dengan kaum lelaki andai kata mereka benar-benar beriman dan bertakwa,
namun demikian mereka tidak sekali-kali dibolehkan menjadi pemimpin kepada kaum
lelaki. Wanita adalah tetap wanita sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan.
Hendaklah diingat bahawa di antara tanda-tanda
hampirnya turun azab serta laknat Allah s.w.t. ke atas sesuatu kaum atau bangsa
ialah apabila merosotnya akhlak kaum wanitanya dalam berbagai segi dan mereka
berbondong-bondong keluar rumah dengan alasan untuk sama menyumbangkan bakti
terhadap masyarakat. Perkara ini banyak disebut oleh para ulama Islam di dalam
kitab-kitab mereka, bahkan memperingatkan akan bahayanya apabila wanita-wanita
telah dibenarkan keluar tanpa uzur syarie.
Wanita Berhak Dalam Urusan
Harta Benda Dan Hak Milik
Kalau pada zaman Jahiliyyah dahulu kaum wanita tidak
diberikan bahagian dari harta pusaka peninggalan keluarga mereka yang telah meninggal
dunia, Islam telah menghapuskan kezaliman tersebut dari mereka. Firman Allah s.w.t:
“Bagi lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dari kerabatnya,
dan bagi wanita ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan
kerabatnya, sama ada sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.”
(Surah An-Nisa’ ayat 7)
Dalam hal pembahagian harta pusaka peninggalan ibu
bapa dan kaum kerabat, kaum lelaki berhak menerima bahagian yang lebih banyak
melebihi kaum wanita kerana memandangkan tanggungjawab mereka adalah lebih
berat dari kaum wanita. Mereka bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga
yang berada dalam kekuasaannya. Tetapi wanita adalah sebaliknya.
Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan sikap
perikemanusiaan dan timbang rasa terhadap kaum wanita dalam segala hal. Baginda
telah bersabda maksudnya, ”Hai Aisyah, barangsiapa member pemberian dengan
tidak diminta terlebih dahulu hendaklah kamu terima kerana sesungguhnya ia
adalah rezeki yang disampaikan oleh Allah s.w.t kepada kamu.” (Riwayat
Al-Tarmizi)
Hadis Rasulullah s.a.w. ini menunjukkan serta
menjelaskan bahawa wanita dibenarkan menerima hadis atau pemberian dari orang
lain. Wanita Islam juga berhak dan dibenarkan membuka perniagaan dengan
syarat segala urusan umumnya dikendalikan oleh kaum lelaki. Saiyidatina
Khadijah Binti Khuwailid pada zaman permulaan Islam adalah seorang saudagar
yang kaya raya. Beliau telah menyerahkan segala pengurusan harta benda dan
perniagaannya kepada Rasulullah s.a.w. Dengan harta kekayaan yang dimiliki itu
dapat digunakan untuk menggerakkan dakwah Islamiyah yang dibawa oleh Rasulullah
s.a.w.
Wanita Berhak Dalam Urusan
Ibadah
Sedang manusia menganggap bahawa wanita tidak boleh
menjalankan amalan agama kerana dianggap sebagai haiwan yang tidak berjiwa,
maka Islam mengakui bahawa untuk wanita pahala amal ibadah yang dikerjakannya
sama sebagaimana yang diperolehi oleh kaum lelaki. Firman Allah s.w.t: “Barangsiapa
yang mengerjakan amal soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang
beriman, maka mereka masuk syurga dan mereka tidak akan dizalimi sedikit pun.” (Surah
An-Nisa’ ayat 124)
Islam telah meletakkan tanggungjawab beribadah
kepada Allah s.w.t ke atas wanita sama seperti tanggungjawab yang dibebankan
terhadap kaum lelaki. Ini adalah disebabkan kerana lelaki dan wanita sama-sama
hamba Allah s.w.t. yang diperintahkan untuk beribadah kepada-Nya. Tugas lelaki
dan wanita itu sama sungguhpun terdapat beberapa perbezaan atau kelainan yang
timbul, tetapi tidaklah begitu banyak, kerana sememangnya begitu peraturan yang
ditetapkan oleh syariat Islamiyah.
Umpamanya, kaum wanita tidak diwajibkan mendirikan
sembahyang atau berpuasa ketika didatangi haid atau nifas. Hanya diwajibkan
mengqadakkan kembali puasa yang telah ditinggalkan ketika didatangi haid atau
nifas.
Matlamat Utama Kehidupan
Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman, yang
bermaksud: “Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu,
kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan
diri dari sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan dia Maha Mengetahui lagi
Maha Bijaksana. Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada
salah seorang isterinya (Hafshah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafshah)
menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahu hal itu
(pembicaraan Hafshah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahu sebahagian
(yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain
(kepada Hafshah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahu pembicaraan (antara Hafshah
dan Aisyah) lalu (Hafshah) bertanya: Siapakah yang telah memberitahu hal ini
kepadamu? Nabi menjawab: Telah diberitahu kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui
lagi Maha Mengenali. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya
hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan) dan jika kamu berdua
bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya
dan (begitu juga) Jibril dan orang-orang Mukmin yang baik, dan selain dari itu
malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Jika Nabi menceraikan kamu, boleh
jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik
daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang
mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.”
Al-Maghari berkata: Surah ini termasuk dalam
kategori surah Madaniyyah dan mengandungi 12 ayat. Ia diturunkan selepas surah
al-Hujurat. Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya ialah:
Surah al-Talaq menceritakan tentang pergaulan yang
baik dengan para isteri dan memenuhkan hak-hak mereka, manakala dalam surah ini
juga menceritakan apa yang terjadi di antara mereka dengan Nabi s.a.w sebagai
pengajaran kepada umatnya agar berhati-hati dalam urusan wanita, melayan mereka
dengan lemah lembut sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan memberi
nasihat dengan cara yang berkesan.
Kedua-dua surah ini dimulakan dengan seruan kepada
Nabi s.a.w. Surah yang terdahulu berkenaan dengan persengketaan para isteri, manakala
surah ini pula membincangkan berkenaan dengan persengketaan isteri-isteri Nabi
s.a.w. Disebutkan isteri baginda secara khusus untuk menghormati kedudukan
mereka.
Kesimpulan: “Wahai isteri-isteri nabi! Jauhilah
olehmu daripada menyakiti Rasulullah s.a.w dan berkomplot untuk menentang dan
berbuat buruk terhadap baginda. Ini kerana perbuatan ini boleh membangkitkan
dadanya, sehingga ia akan menceraikan kamu semua dan Allah akan memberikan pengganti
untuknya yang lebih baik daripada kamu dalam perkara agama, amalan soleh, ketakwaan
dan mengatur urusan rumah tangga. Dia memberikan kepadanya sesetengah daripada
isteri-isterinya itu yang masih lagi perawan dan sesetengahnya yang janda.”
Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi seorang
wanita selain daripada talak (perceraian), terutama bila isteri penggantinya
lebih baik dari sebelumnya. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a, yang
berkata: “Umar berkata, isteri-isteri Nabi s.a.w bersepakat untuk mogok
terhadap baginda. Lalu aku berkata: Mudah-mudahan jika baginda telah
menceraikan kamu, Allah akan memberi ganti untuk baginda isteri yang lebih baik
daripada kamu semua. Lalu turunlah ayat ini.”
Sebenarnya keindahan merupakan matlamat utama manusia
dan fitrah kepada sesiapa pun sukakan indah dan keindahan. Ini menyebabkan
mereka begitu terpesona apabila mendapat apa-apa yang indah seperti barangan, kenderaan,
harta benda, lebih-lebih lagi suami dan isteri yang ada nilai kecantikan dan
ketampanan.
Indah Yang Hakiki
Sebenarnya keindahan bukan semata-mata dilihat dari
segi lahiriah dan zahir semata-mata tetapi lebih daripada itu memerlukan
keindahan dalaman yang mewakili hati dan akhlak serta budi yang luhur apatah
lagi dipasakkan dengan keimanan sejati. Inilah yang hakiki patut didambakan
oleh kita semua kerana ia sudah pasti menatijahkan kebahagiaan hidup di dunia
seterusnya berlangsungan hingga ke akhirat.
Indah Dalam Berumah Tangga
Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyatu al-Aulad menyebut berkenaan
dengan perkahwinan contoh dan hubungannya dengan pendidikan. Antara lain
katanya: Perkahwinan terdiri dari tiga sudut, iaitu:
- Perkahwinan
adalah fitrah manusia.
- Perkahwinan
boleh membawa kebaikan kepada masyarakat.
- Perkahwinan
merupakan penelitian dan pemilihan.
Ketiga-tiga perkara di atas akan menjelaskan sejauh
mana hubungan pendidikan dengan sifat tanggungjawab kelahiran zuriat. Begitu
juga hubungan darah keturunan dengan anak serta memelihara keselamatan tubuh
dan kelakuannya, perasaan kasih sayang kedua ibu bapa terhadapnya, kerjasama
yang erat antara kedua-dua ibu bapanya dalam usaha mendidiknya, membetulkan
segala penyelewengan dan membentuknya sebagai insan yang soleh untuk menghadapi
kehidupan.
Wanita Solehah, Wanita Sejati
Wanita solehah itu auratnya dijaga, pergaulannya
dipagari, sifat malunya pengikat diri, seindah hiasan di dunia ini. Rasulullah
s.a.w. bersabda, “Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah
wanita solehah.” (hadis riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi, “Dan sebaik-baik
wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan
yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya
dan harta engkau ketika ketiadaanmu.” (hadis riwayat Nasa’i, Baihaqi, Ahmad
dan al-Hakim)
“Wanita solehah itu lebih baik dari bidadari syurga.
Dan isteri solehah itu akan menjadi ketua bagi bidadari bidadari syurga. Kamu
mahu menjadi solehah?” soal seorang ustazah. “Nak!!” jawab para pelajarnya.
Ustazah tersenyum. “Kalau macam itu, usahalah jaga akhlak kamu. Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda, “Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa
sebulan pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka
ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: ‘Masuklah kamu ke dalam syurga
dari pintu mana saja yang kamu suka.” (hadis riwayat Ahmad)
“Insya-Allah ustazah!” kata saya dengan penuh
semangat. Saya merupakan antara salah seorang murid ustazah tersebut. Peristiwa
ini berlaku sewaktu saya masih lagi di bangku sekolah menengah tingkatan satu. Kini
saya sudah dewasa. Bukan lagi murid tingkatan satu dahulu. Mungkin cita-cita
untuk menjadi seorang doktor tidak kesampaian. Namun cita-cita sebagai seorang
wanita solehah tetap hidup dalam diri. Kalau dulu saya hanya mengangguk kalau
ada yang berpesan, “Nanti kamu jadi anak yang solehah ya. Yang sentiasa
mendoakan kedua ibu bapanya.”
Hari ini saya melihat dunia. Dunia realiti dan
sebenar. Manalah perempuan yang baik itu. Susah untuk ketemu. Saya yang rasa
dan pendam sendiri. Untuk menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan. Untuk
menjaga aurat. Untuk menjaga iman dan akal hati. Kadang-kadang saya menangis
sendiri.
“Ya Allah susahnya mahu jadi solehah. Bertalu-talu
aku diuji.”
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat
23: ”Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya
sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah
telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas
penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah
(membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”
Saya sapu air mata. Takut kalau Allah mengunci hati.
Ahh.. itu hanya mehnah kecil.
Sedangkan Sumayyah diuji imannya dengan ujian yang maha dahsyat! Kan wanita
solehah itu kuat jiwanya! Teguh azamnya!
“Seorang muslimah sejati bukan dilihat dari
kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan
yang amat kecil, tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan
hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik.”
Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh
badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk
tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak
mana kebaikan yang diberikannya, tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan
segala kebaikan itu.
Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah
lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.
Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat dari
bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran. Ketahuilah muslimah
sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian tetapi dilihat dari
sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.
Muslimah sejati bukan dilihat dari kebimbangannya
digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kebimbangannya dirinyalah yang
mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya
dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana dia mampu menjaga kehormatan
dirinya dalam bergaul. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak
dan besarnya ujian yang dia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana dia
menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada Tuhannya, dan
dia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.
Solehah bukan lah mudah. Namun ia bukanlah mustahil.
Selagi menjaga ibadah, menjaga kehormatan dan taat kepada suami. Abu Hurairah
meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila mati seorang anak Adam itu
maka terhentilah amalnya kecuali 3 perkara: Sedekah yang berjalan terus
(sedekah amal jariah), ilmu yang berguna dan terus diamalkan dan anak soleh
yang mendoakannya.”
Keutamaan Wanita Solehah
Dinyatakan di sini beberapa nas daripada hadis
berkenaan dengan kelebihan dan faedah bagi individu yang berkahwin dan mendapat
isteri mahupun suami yang bersifat soleh dan solehah, antaranya:
- Daripada
Abdullah bin Amr r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: ”Dunia merupakan keseronokan yang bersifat sementara dan
keseronokan yang paling baik di dunia ialah wanita yang solehah.” (Riwayat
Muslim)
- Daripada
Ibn Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Empat
perkara yang jika dikurniakan kepada seorang bererti, ia telah dikurniakan
kebajikan di dunia dan akhirat: Hati yang bersyukur, lidah yang berzikir, badan
yang sabar menerima cubaan dan isteri yang tidak ingin berbuat derhaka
terhadap dirinya sendiri dan terhadap harta suaminya.” (Riwayat
at-Tabrani)
- Daripada
Abu Amamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seseorang
lelaki itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan selepas takwanya kepada
Allah s.w.t lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, ia
taat, jika suaminya melihat kepadanya, ia menyenangkannya, jika bersumpah,
nescaya ia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan pergi oleh suaminya,
ia menjaga diri dan menjaga hartanya.” (Riwayat Ibn Majah)
- Daripada
Abu Hatim al-Muzani r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Apabila
kamu didatangi oleh seseorang yang kamu berkenan dengan agama dan
akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, akan berlaku fitnah dan
kerosakan di muka bumi ini.” (Riwayat Tirmidzi)
Amalan Wanita Solehah
Nabi Muhammad s.a.w memberi beberapa sebab yang
dapat memasukkan seseorang wanita itu ke syurga iaitu solat fardhu lima waktu,
puasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluan dan taat kepada suami. Sesungguhnya
Allah telah mewajibkan kepadamu agar solat lima waktu sehari semalam. Solat
merupakan tiang agama bagi umat Islam. Barang sesiapa yang melakukan solat lima
waktu tersebut maka dia telah menegakkan agamanya dan sesiapa yang
meninggalkannya maka bererti dia telah merobohkan agamanya sendiri. Allah juga
telah memperingatkan kita agar tidak menyibukkan diri dengan hanya mencari
harta dunia sahaja sehingga kita lupa untuk menunaikan solat.
Selain itu, Allah juga telah mewajibkan kita agar
berpuasa pada bulan Ramadhan secara sempurna. Puasa ini merupakan salah satu rukun
Islam yang amat dituntut. Puasa harus dilakukan dari terbit fajar hingga
terbernam matahari. Kita juga harus berjaga-jaga daripada melakukan
perkara-perkara yang makruh dan haram ketika berpuasa. Sebab ketiga yang
memasukkan seseorang wanita itu ke syurga ialah sentiasa memelihara kehormatan.
Kemudian sentiasa mentaati suamimu dan sentiasa menjaga akhlak seorang wanita
kerana itu merupakan tunjang untuk menjamin rumah tangga yang bahagia.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila
seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga
kemaluan (tidak berzina), serta taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya:
masuklah ke dalam syurga dari pintu mana yang kamu suka!” (Hadis riwayat Ahmad
dan Tabram).
Alangkah mudahnya bagi seorang wanita untuk masuk
syurga, hanya dengan mengamalkan empat perkara tersebut, tetapi malangnya di
dalam syurga itu kebanyakan penghuninya bukanlah wanita. Ini terbukti dengan
hadis Rasulullah s.a.w ketika malam Israk Mi’raj, dimana Rasulullah s.a.w
diberi penghormatan untuk melihat syurga dan neraka. Dan kebanyakan wanita
berada di dalam neraka.
Mengapakah begini jadinya? Apakah wanita tidak mampu
mengamalkan empat perkara yamg mudahkannya untuk ke syurga? Apakah kebanyakan
wanita sangat gemar melakukan dosa-dosa yang akan menyebabkan dirinya dihumban
ke neraka? Apakah kebanyakan wanita tidak Nampak jalan-jalan yang mudah untuk
ke syurga itu? Abu Hurairah r.a berkata: Ya Rasulullah dari apakah dibuat
syurga itu? Jawabnya: Dari air. Kami bertanya: Ceritakan tentang bangunan
syurga! Jawabnya yang bermaksud: Satu bata dari emas dan satu bata dari perak
dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za’faran, kerikilnya mutiara dan yakut.
Kemudian Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Tiga jenis
doa yang tidak akan ditolak: imam (pemimpin hakim) yang adil, doa orang
berpuasa ketika berbuka dan doa orang yang teraniaya, maka doannya terangkat di
atas awan, dilihat oleh tuhan lalu berfirman. Demi kemuliaan dan kesabaranku,
Aku akan bela padamu hanya menanti masanya.
1. Mendirikan Solat Dan
Menjaga Solatnya
Seseorang wanita yang sudah mencapai umur baligh
diwajibkan ke atasnya untuk solat fardhu lima waktu sehari semalam. Solat
fardhu harus dilakukan dengan rajin dan lakukan solat sunat bagi menampung
kekurangan yang terdapat pada solat wajib itu. Seseorang yang wajib solat
dituntut juga khusyuk ketika menunaikan kewajipan ini. Selain khusyuk
menunaikan solat juga kita dituntut beristiqamah iaitu melakukan solat dengan
berterusan serta menjaga waktunya. Ini bermaksud solat itu mesti
dilaksanakan diawal waktu dan tidak dilengah-lengahkan atau melambat-lambat
untuk menunaikan solat tersebut.
2. Bersyukur Dan Redha
Manusia ini biasa mempunyai tabiat yang buruk kerana
apabila ditimpakan ujian atau musibah sering mengeluhdan adakalanya seperti
menyalahkan takdir. Sebaiknya kita bersyukur dan redha dengan setiap pemberian
Allah.
3. Selalu Bersedekah
Murah hati adalah sifat yang mulia. Kehidupan akan
menjadi indah dan bahagia apabila semua orang ada perasaan ingin saling bantu
membantu sesama saudara seagama. Sehingga malaikat berdoa agar orang yang rajin
memberi sedekah itu Allah s.w.t akan gantikan dangan ganjaran yang berlipat
kali ganda.
4. Menjaga Maruah Diri
Untuk menjadi wanita solehah hendaklah wanita itu
menjaga maruahnya dengan menutup aurat dengan betul, memelihara diri dan
kehormatannya serta menjauhi perlakuan yang boleh mendorongnya melakukan
maksiat dan perbuatan keji.
5. Takut Murka Allah
Wanita solehah sentiasa patuh kepadaajaran Allah dan
menjauhi semua larangan-Nya. Walaupun Allah tidak dapat dilihat tetapi sentiasa
merasakan Allah itu Maha Melihat semua perbuatan hamba-Nya.
6. Menjaga Amanah
Sebagai wanita perlulah menjaga amanah yang telah
dipikulkan ke atasnya seperti amanah menjadi seorang isteri, seorang ibu, seorang
pekerja, seorang tertangga. Amanah kepada Allah seperti di dalam surah
Al-Fatihah, ‘Kepada Engkau kami menyembah dan kepada Engkau kami memohon
pertolongan.’
7. Pandai Mengaji Al-Quran
Wanita solehah selain solat, menjaga solatnya dengan
istiqamah, menjaga amanah dan memelihara diri, mestilah juga tahun mengaji
Al-Quran dan suka atau sering menjadikan Al-Quran itu sebagai sahabatnya.
Sesungguhnya rumah yang tidak diperdengarkan alunan bacaan Al-Quran ibarat sebuah
kubur.
8. Menutup Aurat
Sesungguhnya Islam mewajibkan agar kita berhijab.
Kewajipan ini tidak lain hanyalah untuk memelihara diri kita dari sifat yang
kenal akan rasa malu, dan jauh daripada penzinaan dan di keji oleh Allah s.w.t. Sebagai
wanita Muslimah yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, kita tidak boleh
melanggar perintah Allah dan membuka aurat (tidak memakai hijab) di khalayak
ramai atau di hadapan kaum lelaki yang bukan mahram. Di antara hukum-hukum
Nabawi yang mengkhususkan tentang hijab adalah diterima solat seseorang itu
bergantung kepada cara seseorang Muslimah tersebut memakai tudung iaitu adakah
si pemakai menutup aurat ataupun tidak. Menutup kepala juga haruslah menutupi
kedua telinga, kerana ia merupakan sebahagian daripada kepala.
Jika kamu tahu bahawa kedua telinga adalah
sebahagian dari kepala, maka kamu harus menutup kedua telinga tatkala menutup
kepala. Tetapi menutup wajah dan kedua tapak tangan adalah tidak wajib. Ini
menurut kata-kata sepakat para ulama-ulama. Perkara yang harus kita
pelihara juga adalah leher, dada, atau lengan tidak boleh di nampakkan ketika
solat kerana semua itu adalah termasuk aurat yang wajib di jaga bagi seorang
wanita yang solehah.
9. Menjaga
Pergaulan Lelaki Dan Perempuan
Tajuk ini menerangkan bahawa tidak boleh seseorang
lelaki menetap di rumah seorang wanita kecuali wanita tersebut adalah
mahramnya. Nabi s.a.w telah memastikan bahaya nya bagi lelaki yang bercampur
dengan wanita dan baginda berkata: “Janganlah kamu sekalian memasuki tempat para
wanita.” Dalam peringatan Nabi ini terkandung pengharaman berkhalwat dengan
wanita bukan mahram dan terkandung peringatan agar tidak bercampur dengan
seseorang yang bukan mahramnya. Mahram yang dimaksudkan ini adalah setiap
lelaki yang diharamkan untuk menikahi seseorang wanita.
Masalah pergaulan bebas diantara lelaki dan
perempuan yang dapat dilihat merata tempat kini dianggap sebagai akhlak yang
buruk dan tidak sama sekali termasuk akhlak wanita-wanita Muslimah. Wahai
saudari-saudari, akibat paling besar yang akan kamu kesali kerana pergaulan
bebas adalah hilang rasa malu, kesucian dan kehormatan diri. Dalam
keterangan di atas, dapat diketahui seberapa bahayanya pergaulan bebas dengan
bukan mahram, baik tatkala mencari ilmu ataupun semasa waktu kerja mahupun di
rumah.
10. Berbuat Baik Kepada
Orang Tua
“Seorang ibu mampu membesarkan anak yang ramai,
namun anak yang ramai belum tentu mampu membela ibunya.” Demikian ungkapan
yang menggambarkan realiti keadaan yang merentas masa. Kisah Si Tanggang,
walaupun masih ada ruang untuk dikritik beberapa kepercayaan karut yang ada di
dalam cerita tersebut, namaun realiti hari ini mengiyakan wujudnya anak-anak
yang menjadi anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa mereka, jauh sekali untuk
berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Terdapat banyak hadis yang menunujukkan perkara ini.
Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: “Kehinaan
bagi sesiapa yang memiliki kedua ibubapanya yang sudah tua salah seorang atau
kedua-duanya, tidak dapat memasuki syurga.”
Al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini
berkata: “Hadis ini berupa galakan untuk berbuat baik kepada ibu bapa dan besar
pahalanya, maknanya berbuat baik kepada mereka berdua ketika mereka sudah tua
dan lemah dengan memberi khidmat atau nafkah atau selainnya menjadi sebab
dapatnya memasuki syurga, dan sesiapa yang mengurangi perkara (berbuat baik
kepada ibu bapa) maka dia terlepas dari memasuki syurga maka Allah menghina ke
atas dirinya.”
Demikian betapa besarnya hikmah berbuat baik kepada ibu
bapa sehingga ia menjadi salah satu sebab beroleh syurga dan neraka bagi
seseorang itu. Di dalam al-Adab
al-Mufrad al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn ‘Abbas yang
didatangi seorang lelaki bertanya: “Aku telah meminang seorang wanita tetapi
dia tidak menerima pinangan-ku, kemudian wanita itu dipinang oleh lelaki lain,
dan wanita itu menerima pinangan tersebut, maka timbul perasaan cemburu aku
terhadap wanita tersebut, lalu aku membunuhnya. Apakah ada lagi peluang bagiku
bertaubat? Ibn Abbas bertanya: “(Adakah) Ibumu masih hidup?” Jawab lelaki
tersebut: “Tidak.” Kata Ibn’Abbas: “Bertaubatlah kepada Allah dan hampirkanlah
dirimu kepada-Nya semampumu.” Atho bin Yassar berkata: “Aku pergi bertanya
kepada Ibn Al-Abbas: “Mengapa anda bertanya kepada lelaki apakah ibunya masih hidup?”
Jawab Ibn Abbas: “Sesungguhnya aku tidak mengetahui adanya yang lebih hampir
kepada Allah ebih daripada berbuat baik kepada ibu.”
Hadis ini menunjukkan kepada kita bagaimana berbuat
baik kepada ibu dapat menghapuskan kesalahan yang pernah kita lakukan, kerana
itu sahabat Nabi s.a.w. Ibn Abbas r. a bertanyakan keadaan ibu lelaki tersebut
apakah masih hidup ataupun tidak, sehingga dia dapat berbuat baik kepada
ibunya, seterusnya dapat menghapuskan kesalahan dan dosanya. Dari
penjelasan di atas jelas menunjukkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu
adalah suatu kewajipan yang harus menjadi ikutan Muslimah pada zaman
kini.
11. Berzikir Kepada Allah
Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan
kalimah-kalimah suci seperti Subhanallah,
Alhamdullilah, Allahu Akhbar dan lain-lain lagi tetapi Zikrullah ialah satu
ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan
untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Rugilah kita dsebagai wanita
solehah jika tidak berzikir kepada Allah. Besar pahalanya bagi sesiapa yang
sentiasa berzikir kepada Allah.
Berzikir kepada Allah menunujukkan kita sentiasa
mengingati Allah tidak kira waktu. Allah sentiasa mengingatkan kita di dalam
kitab suci Al-Quran supaya berzikirlah seperti berikut: “Dan sebutlah nama
Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan juga tidak
meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk di
dalam golongan orang-orang yang sentiasa lalai.” (surah 7: Al A’raf, ayat 205)
Jika seorang Muslimah yang sentiasa berzikir kepada
Allah, nescaya Allah akan sentiasa mengingatinya dan menjaganya termasuk
hatinya. Firman Allah: “Maka ingatlah kepadaKu, nescaya Aku akan ingat
kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).”
(Surah Al-Baqarah ayat 152)
Peranan zikir ini samalah seperti air bagi ikan,
jika ikan tersebut di keluarkan dari air maka matilah ikan tersebut. Begitulah
juga dengan hati, hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikirullah (hati
kita akan sentiasa gelap tanpa hidayah Allah s.w.t).
12. Memberi Dan Menjawab
Salam
Memberi salam adalah sunat bagi umat Islam manakala
menjawab salam adalah wajib. Terdapat banyak hikmah yang Allah s.w.t berikan
di sebalik memberi salam. Justeru itulah, banyak hadis-hadis yang menceritakan
kelebihan memberi dan menjawab salam. Antaranya ialah: Nabi Muhammad s.a.w
pernah bersabda; “Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya! Kamu tidak
akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehingga
dapat berkasih mesra. Adakah aku belum menunujukkan kepada kamu satu amalan,
yang apabila kamu mengerjakan nescaya kamu akan berkasih mesra?”
Para sahabat baginda menjawab; “Belum wahai
Rasulullah s.a.w.” Kemudian Rasulullah s.a.w pun menerangkan: “Kembangkanlah
memberi salam di antara kamu.” (Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)
Selain itu, malaikat pula akan mendoakan bagi mereka
yang memberi dan membalas salam sebanyak 70 kali. Ini terbukti didalam hadis: “Apabila
seseorang Islam itu memberi salam kepada orang Islam lalu salam tersebut
dibalas, maka berdoalah para malaikat untuknya 70 kali.” (Hadis riwayat Sahibul
Firdaus daripada Abu Hurairah)
Kesimpulannya, daripada tajuk ini terdapat banyak perkara
yang dapat kita lakukan untuk mendapat keredhaan jika kita sentiasa mengamalkan
perkara-perkara yang di sukai Allah s.w.t. Wahai saudari-saudari, hindarkan lah
diri kita daripada melakukan kemungkaran kerana kebanyakan penghuni neraka itu
adalah daripada golongan wanita. Oleh itu sama-samalah kita berusaha untuk
mendapat hidayah Allah demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Sifat Wanita Solehah
Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Dunia ini adalah
perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.’ (Riwayat Muslim).
a. Ciri-Ciri Wanita Solehah
Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk
seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima habuan
syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t. Mereka hanya perlu memenuhi dua
syarat sahaja, iaitu:
- Taat
kepada Allah dan Rasul-Nya
- Taat
kepada suami
Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai
berikut:
1. Taat Kepada Allah Dan
Rasul-Nya
- Mencintai
Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib
menutup aurat
- Tidak
berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak
bermusafir atau bersama dengan lelaki ajnabi kecuali ada bersamanya
mahramnya.
- Sering
membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa
- Berbuat
baik kepada dua ibubapa
- Sentiasa
bersedekah samada dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak
berkhalwat dengan lelaki ajnabi
- Bersikap
baik terhadap jiran tetangga
2. Taat Kepada Suami
Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita
yang solehah. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di
sempurnakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi s.a.w bersabda:
“Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan
mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan
musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada
isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.” (Hadis riwayat Al Imam
Bazzar).
Isteri adalah sumber kebahagiaan dan ketenteraman di
dalam sebuah rumah tangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian
yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak. Sikap inilah yang boleh
mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam sesebuah rumah tangga yang
harmoni. Dalam hal ini, para isteri mithali akan sentiasa bersikap baik kepada
suami.
Saiyidina Abu Bakar meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w
pernah bersabda: “Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia
mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia.” Selain
itu, Saiyidina Ali meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak
menghormati status suaminya. “Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak
melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan
baiknya selama 70 tahun, walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan
bersembahyang pada malamnya.” (Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)
- Memelihara
kewajipan terhadap suami
- Sentiasa
menyenangkan suami
- Menjaga
kehormatan diri dan harta suaminya semasa suami tiada di rumah.
- Tidak
cemberut di hadapan suami.
- Tidak
menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak
keluar tanpa izin suami.
- Tidak
meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak
membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak
menerima tamu yang dibenci suaminya.
- Sentiasa
memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikannya serta kebersihan
rumahtangga.
3. Tidak Memakai Pakaian
Yang Nipis
Muslimah solehah itu tidak guna kain yang nipis
untuk membuat bajunya, sehingga terbayang kulitnya. Kerana dia tahu, bahawa
pakaian seperti itu adalah pakaian yang layak dipakai oleh perempuan tidak
baik.
4. Tidak Memakai Rantai
Berloceng
Muslimah solehah memang tidak guna rantai kaki yang
berloceng untuk dililitkan pada kakinya. Rantai ini apabila dipakai walaupun
tersembunyi tetap bergemerincing dan menarik perhatian orang lain, lebih-lebih
lagi lelaki jahat. Dia tahu sekiranya dia memakainya juga dia telah melanggar
larangan Allah dalam ayat 31 surah An-Nur.
5. Dilarang Memakai
Wangi-Wangian
Daripada Abu Hurairah, dia berkata: “Rasulullah s.a.w
berkata: ‘Siapa pun wanita yang memakai (bau harum), maka mereka janganlah
menunaikan solat Isyak yang akhir bersama kami.” Daripada Zainab
Ath-Thaqfiyyah, sesungguhnya dia pernah membicarakan tentang Rasulullah s.a.w,
bahawa beliau berkata: “Apabila salah seorang di antara kamu turut menunaikan
solat Isyak, maka janganlah memakai wangi-wangian pada malam itu.”
“Dan di dalam suatu riwayat disebutkan: ‘Apabila
salah seorang di antara kamu memasuki masjid, maka janganlah memakai minyak
wangi.” Seorang wanita yang berfikir untuk mendapat keredhaan Allah akan
berusaha untuk menambahkan ilmu agamanya, dengan cara mendalami kandungan Kitab
Allah dan sunnah Nabi-Nya. Ini adalah salah satu kewajipan untuk setiap Muslim
agar mereka lebih mengenali pencipta mereka. Para ulama mengambil
kesimpulan dari hadis-hadis ini dan juga hadis lain yang serupa, bahawa
disyaratkan bagi wanita yang pergi ke masjid, agar mereka tidak memakai minyak
wangi, tidak berhias, tidak memakai kasut yang boleh menimbulkan bunyi dan
mengenakan pakaian yang sopan.
Para ulama berkata: “Siapa pun wanita yang memakai
(bau harum),” seseorang wanita yang pergi solat berjemaah, mereka disarankan
agar tidak memakai minyak wangi atau benda-benda lain yang boleh menyebarkan
bau yang harum. Bahkan beliau menegah wanita yang pergi solat berjemaah
dengan memakai wangi-wangian, maka solatnya tidak akan diterima sehinggalah
beliau menbersihkan diri dahulu. Diriwayatkan dari bekas hamba sahaya Abu
Rahman, yang bernama Ubaid, Abu Hurairah pernah berselisih dengan seorang
wanita yang memakai minyak wangi yang sedang menuju ke masjid. Lalu dia berkata:
“Wahai hamba Allah, hendak ke manakah engkau?” Wanita itu menjawab, “Ke masjid.”
“Apakah untuk keperluan kamu memakai minyak wangi?”
tanya Abu Hurairah. ”Benar,” jawab wanita itu. Abu Hurairah berkata; “Sesungguhnya
aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w berkata: “Siapapun wanita yang memakai
minyak wangi, kemudian dia keluar ke masjid, maka solatnya tidak akan diterima
sehingga dia mandi.”
6. Tidak Biadab Dalam
Berkata
Muslimah solehah memang tidak guna kata-kata yang
keji, kerana dia tahu sesiapa sahaja yang bercakap perkara yang keji adalah
mereka yang rendah akhlaknya. Lelaki atau perempuan yang bercakap menggunakan
perkataan yang buruk atau jahat, adalah seperti sebatang pokok yang rosak akar
tunjangnya. Dia tahu bahawa perumpamaan perkataan yang baik dan buruk
dinyatakan dengan jelas dalam ayat 24-26 surah Ibrahim.
7. Tidak Berkata Sia-Sia
Muslimah solehah tidak guna masa berborak untuk
mengatakan hal-hal orang yang di sekitarnya atau dengan kata lain mengumpat, memperkatakan
keabaian saudaranya. Dia tahu bahawa sekiranya orang yang suka mengumpat baik
lelaki atau perempuan, dia seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri. Apakah
sanggup kita memakan daging saudara sendiri? Persoalan ini ditanyakan kepada
kita dalam firman-Nya ayat 12, surah al-Hujurat.
8. Tidak Memakai Tudung
Tiga Segi
Muslimah solehah memang tidak guna tudung tiga segi,
apabila memakainya diselempangkannya sehingga nyata bentuk perbukitan pada
badannya. Sememangnya ia menjadi tatapan mata lelaki yang jahat yang terkena
panahan syaitan. Dia tahu apabila bertudung, dia mesti melabuhkan tudungnya
sehingga menutup alur lehernya dan tidak menampakkan bentuk di bahagian dadanya.
Pesan Rasulullah s.a.w seperti yang disuruh oleh Allah tersebut dalam ayat 59 surah
al-Ahzab. Begitu juga seorang lelaki yang bergelar suami mesti memberi
peringatan untuk isteri dan anak-anaknya.
9. Tidak Mengada-Ngada
Muslimah solehah memang tidak guna lenggok bahasa
yang boleh menggoda seorang lelaki. Jika bercakap dengan lelaki yang bukan
mahramnya, bercakaplah dengan tegas. Jangan biarkan suara lembut dan lunak
untuk menarik perhatian lelaki yang sakit dalam hatinya. Sememangnya suara
perempuan bukanlah aurat, jika aurat maka Allah tidak akan menjadikan perempuan
boleh berkata-kata. Bertegaslah dalam percakapan, jangan gunakan suara untuk
menarik perhatian lelaki sehingga menjadi fitnah.
Bahaya suara wanita yang bercakap dengan gaya memujuk
yang boleh mencairkan keegoan lelaki (yang bukan mahramnya) dicatat dalam ayat
32 surah al-Ahzab. Makna ayatnya lebih kurang begini: “Maka janganlah kamu
tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam
hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.”
Tunduk di sini ditafsirkan sebagai berbicara dengan
sikap yang boleh menimbulkan keberanian orang untuk bertindak jahat kepada
mereka. Penyakit dalam hati adalah keinginan seorang lelaki untuk melakukan
perbuatan sumbang dengannya seperti berzina. Mengapa? Lelaki sangat mudah
tertarik kepada seorang wanita melalui suaranya.
10. Tidak Menghias Diri
Berlebihan
Muslimah solehah memang tidak guna alat make-up
untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Adab
bersolek (tabarruj) ini amat ditekankan
kepada wanita Muslim (Muslimah) kerana semestinya kecantikannya adalah hak
ekslusif yang mesti dipersembahkan kepada suaminya. Jika ingin keluar bekerja, dia
memakai make-up secara bersederhana
sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan
bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang-kadang wajah anda menjadi
seperti hantu. Hendak bergincu? Jika bergincu, pakailah yang tidak menyerlah
warnanya.
11. Tidak Memakai Tudung
Jarang
Muslimah solehah tidak guna kain tudung yang jarang-jarang
seperti jarangnya jala yang digunakan untuk memukat haiwan akuatik. Kerana
apabila memakai tudung seperti ini, akan nampak juga bahagian yang sepatutnya
ditutup rapi dari pandangan orang lain.
Rambut adalah mahkota, tetapi jangan biarkan mahkota
itu tidak berharga dengan menayangkannya tanpa sebarang perlindungan. Jika
mahkota berharga disimpan dengan rapi di dalam sangkar, dan ditambah pula
pengawal untuk menjaga keselamatannya, maka demikian juga dengan rambut wanita.
Sangkar itu adalah kain litup yang sempurna dan pengawalnya pula adalah ilmu
yang diamalkan oleh anda untuk memakainya dengan cara yang terbaik.
b. Faktor Yang Merendahkan
Martabat Wanita
Apabila kita melihat bahawa punca rendahnya martabat
wanita adalah datangnya dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang
berbentuk material sebagaiamana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang
hak-hak palsu wanita. Faktor-faktor tersebut ialah:
1- Lupa Mengingati Allah
Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti luar
atau memelihara anak-anak, maka tidak hairan jika ramai wanita yang tidak
menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingati Allah. Dan saat kelalaian
ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di
mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Jathiah, ayat
23: Ertinya: “Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya
sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah
telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas
penglihatannya.”
Sabda Rasulullah s.a.w.: Ertinya: “Tidak sempurna
iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang aku
sampaikan.” (Riwayat Tarmizi)
Mengingati Allah s.w.t. bukan sahaja dengan berzikir,
tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu, muzakarah atau sebagainya.
2- Mudah Tertipu Dengan
Keindahan Dunia
Keindahan dunia dan keseronokkannya memang banyak
menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan setakat itu sahaja, malahan syaitan
dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama
bergelumang dengan dosa dan noda. Bukan sedikit yang sanggup menderhaka kepada
Allah s.w.t. hanya kerana keni’matan dunia yang terlalu sedikit.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am:
Ertinya: “Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian
dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh
kerana itu tidakkah kamu berfikir.”
Wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai
lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi
Muhammad s.a.w. Ini kerana Nabi Muhammad s.a.w adalah pembela nasib kaum
wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan
dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.
Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w juga
berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada
kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan
keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad s.a.w
menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas
keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah s.a.w telah menjadikan
anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka, contohnya
seperti Uwais Al-Qarni.
Salah satu tanda kasih Baginda s.a.w terhadap kaum
wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita,
khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah s.a.w sendiri menjadikan diri dan
keluarga baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik
dan memuliakan kaum wanita.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang Mukmin yang paling
sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada
ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Lagi sabda Rasulullah s.a.w, “Sebaik-baik kamu
adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu
terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia,
dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.”
(Riwayat Abu ‘Asakir)
Tetapi betulkahwanita solehah itu lebih baik
daripada bidadari syurga? Daripada Umm Salamah, isteri Nabi s.a.w, katanya (di
dalam sebuah hadis yang panjang): “Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah
wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab, “Wanita di dunia
lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang
batin.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda menjawab, “Dengan
solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka
mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian
hijau dan berperhiasan kuning.” (hingga akhir hadis - riwayat al-Tabrani)
Bagaimana Yang Dikatakan
Wanita Solehah Itu?
Seorang gadis kecil bertanya ayahnya: “Ayah,
ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?” Si ayah pun menjawab: ”Anakku,
seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya
semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil, tetapi muslimah
sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah
yang terbaik.”
Si ayah terus menyambung: “Muslimah sejati juga
tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari
sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati
bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi dari
keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah
dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang
sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya
berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah
kebenaran.”
Berdasarkan ayat 31, surah An-Nurr, Abdullah ibn Abbas
dan lain-lainya berpendapat: “Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan
wajah, dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram.”
(As-Syeikh Said Hawa di dalam kitabnya Al
Asas fit Tasir)
“Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak
dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya, tetapi
ucapkanlah perkataan yang baik-baik.” (surah Al Ahzab: 32)
“Lantas apa lagi ayah?” sahut puteri kecil terus ingin
tahu. “Ketahuilah, muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam
berpakaian tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan
kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kebimbangannya
digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kebimbangannya dirinyalah yang
mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak
dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi
ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada Tuhan-Nya, dan ia
sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.”
“Dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat
dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu
menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.”
Selepas itu si anak bertanya: “Siapakah yang
memiliki kriteria seperti itu ayah? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampu dan
layakkah saya ayah?”
Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata: “Pelajarilah
mereka! Supaya kamu berjaya nanti. Insya-Allah kamu juga boleh menjadi muslimah
sejati dan wanita yang solehah kelak, malah semua wanita boleh.”
Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu
terlihatlah sebaris perkataan berbunyi Isteri
Rasulullah. “Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa pada
bulan ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia
ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya.” (riwayat Al-Bazzar)
Ciri-Ciri Isteri Solehah
Banyak ciri yang perlu disemai dalam diri seorang
isteri yang solehah, antaranya ialah:
- Segera
menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah s.a.w bersabda,
yang maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu
isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka
isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”
- Tidak
membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
- Tidak
bermasam muka terhadap suami.
- Sentiasa
menuturkan kalimah yang baik-baik.
- Tidak
membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
- Keluar
rumah hanya dengan izin suami.
- Berhias
hanya untuk suami.
- Menghargai
pengorbanan suami.
- Tidak
membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
- Menerima
tunjuk ajar daripada suami.
- Menghormati
mertua serta kaum keluarga suami.
- Sentiasa
berada dalam keadaan kemas dan bersih.
- Menjadi
penenang dan penyeri rumah tangga.
Dinyatakan di sini beberapa panduan untuk mendidik
isteri, antaranya:
- Allah
membekalkan kepada lelaki kekuatan akal, rasional, tidak mudah didorong
oleh perasaan. Wanita pula berjiwa sensitif dan mudah tersinggung. Justeru,
kekuatan akal jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah kekuatan
fizikal, suami boleh menjadi pendidik yang kreatif.
- Perasaan
wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling.
Justeru, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir dan strategi.
- Kaum
wanita dibekalkan dengan sembilan nafsu dan satu akal berbanding dengan
lelaki yang diciptakan dengan hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu
yang dimaksudkan bukan nafsu seks semata-mata, tetapi nafsu tidak penyabar,
mudah prasangka, cemburu, cepat merajuk dan sebagainya. Dari dorongan
nafsu itulah, lahirnya pelbagai perasaan pada wanita.
- Dikatakan
juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan
dan satu persepuluh sahaja pertimbangan akal. Sebab itulah wanita mesti
dibimbing lelaki agar tindak tanduknya tidak mengikut perasaan
semata-mata.
- Tahu
sedikit sebanyak ilmu psikologi wanita. Ini dapat dimanfaatkan suami dalam
mendidik isteri.
Kebijaksanaan perlu disertai dengan kesabaran.
Kesabaran tanpa kebijaksanaan membawa kepada suami menurut semahu-mahunya
kemahuan isteri. Tanpa kesabaran, boleh hilang pertimbangan akal dan tidak
bertindak secara rasional.
Akhirnya, penulis menutup perbincangan ini dengan
memohon doa daripada Allah s.w.t, seperti yang diajar dalam Al-Quran yang
bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang
berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri
dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan
jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (surah al-Furqan:
74)
Ciri-Ciri Suami Soleh
Seorang pakar sakit jiwa mengatakan: “Menghormati isteri
termasuk di dalam soal yang amat penting kerana seorang isteri merasa dirinya
lemah atau dipandang lemah. Pada umumnya, kaum wanita mengamalkan pelajaran
yang buruk hingga melekat pada sifat-sifatnya, seperti suka berdusta, tidak
boleh dipercayai, nifaq (lain di
mulut, lain di hati) dan sebagainya. Apabila kita tanamkan rasa menghargai diri
di dalam jiwanya, kita menghormati keperibadiannya dan kita jaga kehormatannya.
Kita dapat memperkuat keperibadiannya dan membuatnya sanggup menghadapi
gelombang dahsyat yang mungkin akan dihadapi selama perjalanan hidupnya. Dengan
menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri dan dengan penghargaan yang kita
berikan itu, ia akan dapat mengatasi kelemahan jiwanya sehingga ia tidak mudah
diperdaya dan tidak mudah tergelincir ke dalam perbuatan yang rendah dan
sia-sia.”
Antara ciri-ciri suami yang soleh ialah:
- Mentaati
Allah dan Rasul dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala
larangan.
- Mendirikan
rumah tangga semata-mata kerana Allah dan demi memenuhi tuntutan agama.
- Melayani
dan menasihati isteri dengan cara yang baik.
- Menjaga
hati dan perasaan isteri.
- Sentiasa
bertolak ansur dan selalu membantu isteri.
- Tidak
menyuruh sesuatu di luar kemampuan isteri.
- Kuat
kesabaran dan menghindari daripada menyakiti isteri, seperti memukul atau
dengan perkara yang memudaratkan, yang tidak dibenarkan syariat.
- Tidak
mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan
isteri.
- Menerima
kelemahan isteri dengan hati yang terbuka.
- Mengelakkan
daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej
dan prestasi sebagai ketua keluarga.
- Memberi
nafkah kepada ahli keluarganya dengan sedaya kemampuan.
- Menyediakan
keperluan dan tempat tinggal yang selesa.
- Bertanggungjawab
mendidik akhlak ahli keluarganya.
- Sentiasa
mengambil berat tentang keselamatan mereka.
- Memberikan
kasih sayang dan berkorban demi kebahagian bersama.
Seorang lelaki datang menemui al-Hasan bin Ali r.a
meminta nasihat dan bertanyakan tentang lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan
dengan puterinya. Ia berkata: “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang
lelaki, dengan siapakah yang sebaiknya aku mengahwinkannya?”
Al-Hasan menjawab: “Kahwinkanlah dia dengan lelaki
yang bertakwa kepada Allah, sebab kalau ia mencintai isterinya ia pasti
menghormatinya, tetapi kalau tidak menyukainya ia pasti tidak akan berlaku
zalim terhadapnya.”
Sepuluh Wasiat Untuk Puteri
Umamah
Umamah telah mewasiatkan kepada puterinya yang akan
berkahwin dengan al-Harith bin Amru. Katanya: “Wahai puteriku! Ada sepuluh
perkara yang inginku berikan pedoman kepadamu dan sebagai panduan untukmu dalam
kehidupan berumahtangga iaitu:
- Jalinkan
hubungan dengan suami dengan penuh ketaatan. Perhatikan kesukaannya dan
jangan sampai dia melihat sesuatu yang buruk daripadamu atau tercium
sesuatu yang tidak enak daripadamu.
- Sentiasalah
membanggakan suamimu kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu.
- Benarkanlah
segala pendapat dan sikapnya (selagi tidak bertentangan dengan syariat)
nescaya, dia akan bersikap lembut terhadapmu.
- Uruskan
rumah tangga dengan baik dan sempurna.
- Sentiasalah
memelihara diri, keluarga dan kehormatannya.
- Simpanlah
segala rahsianya dengan baik. Jangan sesekali kamu membantah suruhannya kerana
ini akan melukakan hatinya.
- Jagalah
waktu makan dan waktu istirehatnya kerana perut yang lapar akan membuatkan
darah cepat naik. Tidur yang tidak cukup akan menimbulkan keletihan.
- Jika
dia sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan. Kamu mesti
pandai mengikut suasana hatinya.
- Hiasilah
dirimu selalu agar dia gembira apabila memandangmu.
- Jadikanlah
dirimu itu sebagai pembantu kepadanya, nescaya dia akan menjadi penolong
pula kepadamu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan