SMAHADZIR
TITIK permulaan segala sesuatu di sisi kita ialah
menghidupkan umat Islam dengan ilmu dan tarbiyah
Islamiyyah. Secara mudah, lelaki soleh dan wanita solehah adalah mereka
yang bersedia memenuhi segala tuntutan Islam ke atas mereka. Dua elemen inilah
yang akan membentuk sebuah unit yang dinamakan keluarga. Keluarga pada fitrahnya
adalah unit asas dalam sesebuah masyarakat dan merupakan unit yang paling
penting dalam sesebuah masyarakat.
Dinyatakan di dalam kitab Fiqh al Sunnah bahawa Imam Tarmizi dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan
sabda Rasulullah s.a.w mengenai ayat 34 surah at-Taubah semasa dalam satu
perjalanan Rasulullah s.a.w bersama para sahabat, maka sebahagian para sahabat
berkata: “Telah ada ayat yang turun mengenai harta dan perak, maka sekiranya
diketahui bahawa ada yang lain yang lebih utama maka kami akan mengambilnya.” Rasulullah
bersabda: “Lidah yang selalu berzikir, hati yang sentiasa bersyukur dan isteri mukminah yang mengukuhkan iman suaminya.”
Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Bagi mukmin, tidak
ada hal yang terlebih baik sesudah bertakwa kepada Allah selain mendapat isteri
yang solehah.” Rasulullah s.a.w juga bersabda: “Dunia adalah perhiasan dan
sebaik-baik berhiasan adalah wanita solehah.”
Di dalam satu riwayat yang lain ada dinyatakan
berkenaan perihal wanita solehah: “Apabila diperintahkan kepadanya, dia taat. Apabila
melihat kepadanya akan menyenangkan. Apabila diberi janji, dia menerima dan
apabila dia ditinggalkan, dia menjaga diri dan harta suaminya dengan baik.”
Sabda Rasulullah s.a.w: “Janganlah kamu berkahwin
dengan perempuan kerana kecantikannya, barangkali kerana kecantikan itu
membinasakannya. Janganlah kamu berkahwin kerana hartanya, barangkali
kekayaannya itu menyebabkan dia derhaka, tetapi kahwinlah dengan perempuan
kerana agamanya. Sesungguhnya perempuan yang tidak berhidung lagi budak adalah
lebih baik (daripada yang lain).”
Jawapan Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh kaum Muslimat
tentang jihad seharusnya dijadikan panduan bersama iaitu: “Sampaikanlah kepada
perempuan-perempuan yang kamu temui bahawa taat kepada suami dan mengakui
hak-haknya adalah sama dengannya (jihad di jalan Allah).”
Wanita solehah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu
Islam yang secukupnya kerana kecintaan kepada ilmu dan kesungguhan dalam
menimba ilmu adalah merupakan sifat para wanita solehah sejak zaman Rasulullah s.a.w.
Sejarah menceritakan bagaimana luasnya ilmu yang ada pada Saiyidatina Aisyah
dan betapa dalamnya ilmu yang ada pada Zainab. Keperibadian mulia, sikap berani
dalam membela hak dan menegakkan keadilan menjadi ciri-ciri yang menghiasi
perbadi dan mewarnai hidup seorang wanita solehah seperti yang ditunjukkan oleh
Khaulah binti Tha’labah.
Wanita solehah itu, sifat malu membenteng diri, pergaulan
yang dipagari, kecantikan bukan berada pada wajahnya, kemanisan bukan berada
pada kemanjaannya, kemanisan bicara tidak menjadi daya penariknya yang bisa
menggoyah iman kaum Muslimin tetapi terletak pada perjuangannya menjaga dan
memartabatkan agamanya. Kata orang, nafsu kata wanita cantik pada paras rupa, akal
kata wanita cantik pada ilmu dan hati kata wanita cantik pada akhlaknya. Wanita
solehah itu adalah yang menjaga kecantikan luaran dan mengutamakan kecantikan
dalaman.
Wahai kaum lelaki, jangan terlalu mencari-cari dan
menanti-nanti ‘si solehah’ yang diimpikan akan menjadi milik kita sebalik menjadikan
diri kita benar-benar soleh serta sanggup memenuhi segala tuntutan Islam keatas
kita adalah lebih utama. Sekiranya syarat ini dipenuhi pasti ‘si solehah’ yang
diidamkan yang mencari dan menanti kita.
Wanita Solehah Idaman
Lelaki
1. Kecantikan Dalaman
Wanita yang tulen adalah wanita yang lemah lembut
dalam pewarakannya tetapi prinsip dan nilai hidupnya begitu agung dan tinggi
merantai dirinya. Itulah kecantikan dalaman yang sukar ditandingi.
2. Keanak-anakan
Lelaki suka membela, menjaga, membimbing dan
melindungi justeru mereka boleh berperanan menjadi pelindung kepada mereka. Keperibadian
wanita yang manja keanak-anakan memang merupakan salah satu keindahannya namun
tidaklah berkeanak-anakan yang melampau kerana akan menunjukkan bahawa diri wanita
itu tidak matang.
3. Cantik
Nafsu mengatakan wanita cantik pada rupanya, AKAL
mengatakan wanita cantik pada ilmu dan kepandaiannya, HATI mengatakan wanita
itu cantik pada akhlaknya.
4. Berakhlak Mulia
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan
dunia adalah wanita yang solehah.” Sebagai ibu, terukir di paparan dada. Sebagai
isteri, pengubat duka nan lara. Sebagai kekasih, dirindui saban ketika. Sebagai
mujahidah, berdiri dibelakang
mujahidin. Ciri-ciri wanita yang solehah, taat kepada Allah. Berbuat baik
kepada ibu bapa. Sentiasa taat dan berkhidmat kepada suami dengan sepenuh hati.
Menutup dan menjaga aurat. Tidak berhias apabila keluar rumah. Tidak keluar
bersendirian atau bersama lelaki ajnabi kecuali bersama mahram. Berbuat baik
dengan jiran tetangga. Suka mempunyai anak yang ramai dan berusaha untuk
mendidik mereka.
5. Berpegang Pada Agama
“Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu: kecantikannya,
hartanya, keturunannya, dan agamanya. Pilihlah yang paling beragama.”
6. Dari Keturunan Yang
Baik-Baik
Seorang wanita yang dari keturunan yang baik-baik
mudah diterima lelaki. Namun wanita yang berasal dari keturunan yang hina
seperti anak zina atau sebagainya tidak wajar merasakan dirinya tidak layak
menjadi wanita idaman. Islam mengangkat tinggi umatnya yang bertaubat dan
sentiasa memperbaiki diri kerana takwa menjadi darjat kemuliaan di sisi Allah.
7. Bijaksana
Saiyidatina Aisyah r.a. merupakan seorang tokoh
intelektual terbilang. Sebanyak 2,210 hadis sahih berjaya diriwayatkan selama 9
tahun hidup bersama Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan fuqoha’ (ahli hukum) Madinah yang unggul dan juga berpengetahuan
dalam bidang perubatan. Wanita idaman lelaki ialah wanita yang pandai tetapi
tidak menunjuk-nunjuk pandai kerana ianya mencabar ego lelaki lalu menyebabkan
lelaki menyampah terhadapnya.
8. Tidak Mempamerkan
Keseksian
“Wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang
untuk mencari perhatian lelaki, yang melenggok-lenggokkan tubuhnya, yang
kepalanya seperti punuk (bonggol) unta, mereka itu tidak akan masuk syurga.” (Hadis
Riwayat Muslim)
9. Tidak Cerewet
Wanita yang cerewet boleh merimaskan lelaki dan
mudah menyebabkan lelaki menyampah terhadapnya.
10. Memahami Lelaki
Contoh: Yang berlaku: “Itulah abang! Asyik bekerja saja.
Mementingkan diri sendiri Tak ingat nak balik rumah Tak habis-habis layan kawan...
kawan… kawan! Hal rumah ni takkan nak suruh saya buat sorang!” Yang sebenarnya
berlaku: “Di pejabat, bos sambung meeting
hingga pukul 7 malam. Singgah solat Maghrib di masjid. Ada penceramah idola.
Dengar ceramah sehingga solat Isyak. Dalam perjalanan pulang, kawan lama
telefon minta jumpa di warung ada hal penting katanya. Pukul 10 malam baru
sampai di rumah.”
11. Tidak Terlampau Cemburu
“Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara
iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dihabiskan dijalan
Allah dan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan hukum
berpandukan ilmunya (Al-Quran dan Hadis) serta diajarkan kepada orang lain.” (riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
12. Sejuk Mata Memandang
Bersopan-santun, sentiasa memaniskan muka. Sentiasa
senyum. Menutup aurat. Ramah dan mesra. Menundukkan pandangan.
13. Pandai Menaikkan
Semangat Dan Bermotivasi
Lelaki lebih tertarik untuk mencari wanita yang
pandai menaikkan semangat dan bermotivasi ketika dia memerlukannya.
14. Canggih
Wanita yang pandai menyesuaikan diri dengan arus
perkembangan semasa tetapi masih mengekalkan ciri-ciri wanita Islam yang
berakhlak mulia dan menutup aurat.
15. Mempunyai Persamaan
Yang Bermakna
Suatu hari, Imam Malik hairan melihat burung merpati
dan gagak berkumpul bersama. Dengan spontan beliau berkata, “Kedua-duanya
bersatu padahal jenisnya tidak sama.” Ketika burung itu terbang, beliau melihat
kedua-duanya masih ada persamaan iaitu kedua-duanya cacat. Lalu beliau berkata,
“Sebab itulah burung itu dapat bersatu.”
16. Pemaaf
Wanita yang suka mendahului meminta maaf walaupun
dirinya tidak bersalah digambarkan mempunyai peribadi yang unggul dan mudah
disayangi.
17. Seimbang
Seimbang dari sudut pergaulan, keagamaan, pengurusan
diri, dan pengurusan masa.
18. Berkeyakinan Diri
Keyakinan diri merupakan satu sifat yang mampu
menaikkan lagi semangat terutama dalam menguatkan kemimanan kepada Allah s.w.t.
19. Mempunyai ‘Body
Language’ Yang Baik
Maksud ‘body
language’ di sini adalah cara percakapan, kawalan diri di hadapan orang
ramai dan sebagainya.
Darjat Wanita Solehah
- Doa
wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat
daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut,
jawab baginda: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang
penyayang tidak akan sia-sia.”
- Semua
orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah s.w.t di akhirat, tetapi Allah
s.w.t akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu
memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.
- Wanita
yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh.
- Seorang
wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.
- Seorang
wanita jahat adalah lebih buruk dari daripada 1,000 lelaki jahat.
- Wanita
yang menguli tepung dan gandum dengan kata-kata Bismillah, Allah s.w.t
akan berkatkan rezekinya.
- Wanita
yang menyapu lantai sambil berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai
di Baitullah.
- Wanita
yang memerah susu binatang dengan kata-kata Bismillah akan didoakan oleh
binatang itu dengan doa keberkatan.
- Barang
siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang
senantiasa menangis kerana takut akan Allah s.w.t dan orang yang takut
akan Allah s.w.t diharamkan api neraka atas tubuhnya.
- Barang
siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu
diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah
mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa
menyukai anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
- Barang
siapa mempunyai tiga orang anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau
dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan
dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa
serta bertanggungjawab, maka baginya adalah Syurga.
- Daripada
Aisyah: “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak
perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan
menjadi penghalang daripada api Neraka.”
- Syurga
itu di bawah telapak kaki ibu.
- Apabila
memanggil engkau oleh dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu
terlebih dahulu.
- Wanita
yang taat berkhidmat kepada suaminya, akan tertutup pintu Neraka dan
terbuka pintu-pintu Syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia
kehendaki tanpa dihisab.
- Wanita
yang taat kepada suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat
di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana
dia taat kepada suaminya dan ditemaninya (serta menjaga solat dan puasa).
- Perempuan
apabila bersolat lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara
kehormatannya serta taat kepada suaminya, masuklah dia dari pintu Syurga
mana saja yang dia kehendaki.
- Wanita
yang melayani dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan
letih akan mendapat pahala jihad.
- Jika
wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.
- Aisyah
r.a berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar
haknya terhadap wanita? Jawab baginda, “Suaminya.” Siapa pula berhak
terhadap lelaki? Jawab Rasulullah: “Ibunya.”
- Tiap
perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t
memasukkan dia ke dalam Syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000
tahun).
- Wanita
yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya
dengan kasih sayang, akan dipandang Allah s.w.t dengan penuh rahmat.
- Jika
wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas, jika
wanita memicit suami bila disuruh akan mendapatkan pahala 7 tola perak.
- Wanita
yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki Syurga.
- Jika
suami mengajar isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadah.
- Wanita
yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah s.w.t dan
kemudian menjaga adab rumah tangganya akan masuk Syurga 500 tahun lebih
awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari
dan wanita itu akan dimandikan di dalam Syurga dan menunggu suaminya
dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.
- Apabila
seorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah
para malaikat untuknya. Allah s.w.t mencatatkan baginya setiap hari dengan
1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
- Dua
rakaat solat wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat
wanita yang tidak hamil.
- Wanita
yang hamil akan mendapat pahala berpuasa pada siang hari.
- Wanita
yang hamil akan mendapat pahala berpuasa pada malam hari.
- Apabila
seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t
mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.
- Wanita
yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap
kesakitan pada satu uratnya Allah s.w.t mengurniakannya satu pahala haji.
- Apabila
seorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa
seperti keadaan ibunya melahirkannya.
- Sekiranya
wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dianggap sebagai
mati syahid.
- Apabila
telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan
daripada susunya diberi satu kebajikan.
- Jika
wanita menyusui anaknya sampai cukup waktu (2 1/2 tahun), maka
malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa Syurga wajib
baginya.
- Jika
wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah s.w.t
akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.
- Wanita
yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya akan dapat satu
pahala dari pada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.
- Apabila
semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah
s.w.t memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas
untuk membela agama Allah s.w.t.
- Wanita
yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan
diampunkan oleh Allah s.w.t akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan
hati anaknya Allah s.w.t memberi 12 tahun pahala ibadah.
- Wanita
yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w)
di dalam Syurga.
Wanita Solehah Permata
Suami
Allah s.w.t mengurniakan keupayaan intelektual dan
kognitif untuk berfikir kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Dengan
kemampuan itu, manusia diberikan kebebasan membuat pilihan, mahu taat dan patuh
secara sukarela, atau mengingkari seruan mentauhidkan Allah s.w.t serta tahu
akibatnya.
Kapasiti menggunakan akal dianugerahkan Allah s.w.t
yang akan membezakan manusia dengan makhluk lain. Malaikat dikurniakan akal
tanpa nafsu, menjadikan mereka makhluk paling taat serta tidak langsung
membantah segala ketetapan dan perintah Allah s.w.t. Sementara haiwan melata
diberikan nafsu tanpa keupayaan akal sofistikated, sehingga mereka hanya mampu
bertindak menuruti keperluan nafsu syahwat semata-mata.
Individu yang memilih jalan ketakwaan, ketaatan dan
keimanan akan mendapat kemenangan serta kejayaan besar. Sementara mereka yang
memilih dengan penuh sedar jalan kefasikan, kemungkaran dan kemunafikan, akan
menempa azab sengsara yang berkekalan.
Firman Allah s.w.t: “Demi jiwa (manusia) dan
penyempurnaan (kejadiannya). Maka (Allah s.w.t) mengilhamkannya (untuk
mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawa kepada
ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya: dan
sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.” (surah Asy-Syams, ayat 7-10)
Dengan penuh kasih sayang Allah s.w.t, diberikan
petunjuk kepada manusia melalui perutusan para Rasul dan Nabi yang membawa
kitab petunjuk, panduan menerangi jalan kehidupan. Maha adil Allah s.w.t yang
memberikan peluang terbuka seluas-luasnya untuk manusia membuat pilihan mereka.
Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Berkuasa memaksa kita menyembah zat-Nya yang Maha
Tinggi dan Mulia, namun Dia lebih suka hamba-Nya menyerahkan diri mereka serta
kembali kepada-Nya dengan penuh keikhlasan dan kerelaan.
Tiada bezanya jalan ketaatan seorang wanita dan
seorang lelaki yang mahu mencapai status soleh dan solehah di sisi Allah s.w.t.
Mereka mestilah memastikan dua suntikan ini mampu dilaksanakan terlebih dulu.
Pertama, menyuntik akal dengan ilmu pengetahuan yang sahih dan benar, manakala
yang kedua, menyuntik hati dengan iman serta takwa kepada Allah s.w.t.
Seorang wanita mestilah mencapai tahap kecerdasan
dan kecerdikan yang tinggi untuk meraih gelaran solehah. Dia akan mencari-cari
dan mengutip semua permata ilmu berharga di mana saja dia menemuinya. Motivasi
tinggi mendorong wanita solehah menggunakan potensi akal yang luar biasa dalam
menentukan keputusan kritikal. Wanita solehah bukan seorang yang sekadar
menurut membabi buta, perempuan biasa yang tiada minat kepada ilmu pengetahuan
dan penambahbaikan diri.
Dia tidak boleh menumpang tuah suami atau bapanya
yang tersohor dengan perilaku dan amalan soleh selama ini. Belum tentu dia
boleh diterima secara automatik masuk ke Jannah Allah s.w.t kerana sudah
puluhan tahun menjadi isteri mithali kepada suami yang terkenal soleh dan
warak.
Wanita harus mampu menggerakkan akalnya dengan
berfikiran kritis dan sentiasa menagih penjelasan bagi setiap yang kabur dan
belum difahaminya. Akalnya tajam, pemerhatiannya mendalam dan kesimpulannya
mengagumkan. Penuh keyakinan diri, wanita cerdik yang solehah mampu menganalisa
situasi dengan objektif dan tidak semata-mata dipengaruhi emosi yang dangkal.
Dia menyedari tugas dan peranan sebagai khalifah
Allah s.w.t di muka bumi ini memerlukannya keluar dari zon selesa, menjalankan
fungsinya dengan efektif di samping memberi manfaat sebanyak mungkin kepada
orang lain. Kepintaran wanita solehah menguruskan kehidupannya dan keluarga
memberi nilai tambah yang tiada bandingannya kepada suami, anak serta
keluarganya. Dia bijak membahagikan masa, ruang dan peluang 24 jam sehari
semalam yang dikurniakan Allah s.w.t untuk kebajikan manusia yang lain.
Ayuh, tingkatkan keazaman di hati untuk menjadi
wanita cerdik yang solehah, yang akan menjadi obor penerang kemajuan wanita
Muslim, di mana juga mereka berada.
Kelebihan Untuk Wanita
Solehah
Bila dikatakan bahawa para bidadari di syurga nanti
kesemuanya jelita, terlalu rupawan serta serba-serbinya paling menarik, maka
bagaimana pula dengan kedudukan kaum perempuan ‘Ahli Dunia’ akan muncul yang
akan mengisi mahligai syurga kelak? Di dalam syurga kelak kaum perempuan ‘Ahli
Dunia’ akan muncul jauh lebih rupawan dan menarik dari para bidadari itu
sendiri. Wajah mereka lebih cantik dan jelita, kulit tubuh mereka lebih halus
dan licin, demikian juga dengan perhiasan dan pakaian mereka jauh lebih menarik
dan berharga dari perhiasan para bidadari di syurga.
Pada waktu yang sama kaum perempuan dari dunia yang
menjadi pengisi taman syurga nanti dijadikan sebagai ketua bidadari bagi suami
masing-masing. lnilah ganjaran yang paling bernilai untuk mereka di mana nanti
mereka akan diberi tempat yang istimewa sesuai dengan kebajikan dan amal ibadat
yang telah mereka kerjakan di dunia.
Kaum perempuan diberi kemuliaan dan tempat yang
lebih tinggi dari para bidadari biasa di syurga lantaran mereka telah melalui
berbagai-bagai ujian yang pahit dan manis serta telah pun bertungkus lumus
beribadat kepada Allah s.w.t ketika hidupnya dulu. Di syurga nanti seorang
perempuan yang telah bersuami akan terus kembali berpasangan dengan suami
asalnya ketika di dunia dulu dan di sana nanti dialah yang bakal menjadi ketua
para bidadari di mahligai suaminya.
Manakala bagi seorang yang telah berkatwin dengan
lebih dari seorang lelaki ketika di dunia, maka di syurga nanti yang
kelebihannya mereka akan di beri kebebasan untuk memilih salah satu dari lelaki
yang pernah mereka kahwini dulu.
Perempuan-perempuan ini nanti akan tujuh puluh kali
ganda lebih baik mutunya dari kemuliaannya daripada bidadari biasa di taman
syurga. Dan seperti yang telah di nyatakan bahawa para penghuni taman syurga
nanti tidak akan menghadapi masa yang gelap seperti malam. Sebaliknya di syurga
nanti para penghuninya melalui hari-harinya seperti bertemu pagi dan petang
dengan suatu nur ajaib menjadi cahaya yang bakal meliputi seluruh taman syurga.
Di dalam syurga itu kelak tidak akan berlaku
sebarang kekecohan, pergaduhan, pertengkaran, sakit hati, hasad dengki dan
berbagai-bagai lagi di kalangan para penghuninya yang ramai itu apa lagi di
kalangan berpuluh orang bidadari yang menjadi isteri setiap seorang dari lelaki
syurga.
Ini kerana segala bibit perasaan dengki, irihati,
sombong, bongkak serta sesuatu yang seumpamanya dikikis dan dibersihkan dari
hati para penghuninya. Maka aman dan damailah dan akan sentiasa
bergemerlapanlah perkampungan syurga setiap saat. Apabila lelaki yang beruntung
mula dihantar ke mahligai masing-masing di perkampungan syurga maka akan
menunggulah para bidadari yang bakal menjadi isteri masing-masing di pintu
mahligai itu dengan kerinduan yang amat sangat.
Akan berkatalah para bidadari itu ketika menyambut
suami mereka pada hari pertemuan paling bererti di syurga nanti. Terlalu lama
kami menunggu kedatanganmu. Kami sentiasa riang dan tidak pernah bersedih. Kami
sentiasa lurus dan tidak pernah berlaku serong, kami juga hidup dan tidak pemah
mati. Mata bidadari itu mengerdip redup dan manis dan tidak henti-henti menatap
wajah suami masing-masing dengan hati yang penuh kerinduan. Berkatalah lagi
para bidadari itu, “Engkau adalah kekasih kami. Dan kami adalah kekasihmu dan
kami juga tidak mengenal orang lain selain darimu.”
Demikianlah suci dan bersihnya cinta dan kasih para
bidadari di taman syurga terhadap suami masing-masing. Cinta mereka sentiasa
tidak berbelah bagi, mereka tidak akan terpikat dengan lelaki lain meskipun
semuanya tampan dan bergaya. Suami kepada para bidadari itu telah ditentukan
awal-awal lagi. Mereka sudah tahu siapakah bakal suami mereka di akhirat kelak.
Mereka mulai mengenal suami masing-masing sejak kelahiran lelaki berkenaan di
dunia lagi. Apa yang berlaku ke atas diri lelaki tadi sentiasa di perhatikan
oleh para bidadari ini yang tidak sabar menunggu saat pertemuan yang paling
bererti di Syurga nanti.
Apabila seorang isteri di dunia menyakiti hati
suaminya dan menyebabkan suami tersebut tersinggung atau marah maka akan
segeralah para bidadari di syurga yang bakal menjadi isteri kepada suami dengan
berkata: “Janganlah engkau menyakiti dia kerana ini akan menyebabkan kepada
kemarahan Allah s.w.t ke atasmu. Di sisimu cuma untuk sementara sahaja sebab di
akhirat nanti yang menjadi suami kami pula.”
Di syurga nanti kaum lelaki yang menjadi penghulu
dan raja di mahligai masing-masing akan menghadapi tempoh perkahwinan dan
perkelaminan yang paling nikmat dan lazat.
Perkelaminan mereka tidak akan pernah digugat oleh
perasaan resah dan tenaga yang melemahkan, tanpa dihambat oleh perasaan bimbang
kerana mungkin akan memperolehi anak yang ramai lantaran mereka tidak akan
beranak lagi di syurga nanti. Kemewahan, kebahagiaan dan kesejahterasan para
penghuni syurga menghadapi suatu kehidupan yang sebenar dengan kesenangan yang
tidak pernah susut mahupun berkurangan iaitu suatu kehidupan yang kekal abadi.
lnilah taman syurga untuk manusia yang mahu berfikir
dan menggunakan akalnya kepada perkara-perkara yang kebajikan dan di redhai
oleh Allah s.w.t. Dan syurga itu sendiri bukanlah untuk golongan manusia yang
melampaui batas dalam kehidupan mereka setiap hari ketika di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan