Khamis, 12 September 2013

Harta Kekayaan Yang Banyak Ditelan Bumi


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah bahawa Qarun ini termasuk keluarga yang terdekat juga dengan Nabi Musa a.s. Kepada Qarun ini, Allah s.w.t telah memberikan harta kekayaan yang banyak sekali, yang tidak ada tolok bandingnya di seluruh dunia ini, sehingga kalau anak kunci gudang-gudang tempat menumpuk harta Qarun itu dikumpulkan semuanya, maka tidak ada seorang pun yang dapat memikul anak-anak kunci tersebut. 

Harta kekayaan Yang Melimpah

Kalau anak kunci gudangnya sudah sebegitu banyak dan berat, dapatlah kita bayangkan sendiri berapa banyak gudangnya, berapa jumlah harta kekayaan yang ada padanya dan yang dikuasai oleh Qarun itu. Dengan harta yang banyak itu, bukan main senang dan bahagianya hidup Qarun. Rumahnya dibuat sebesar-besar dan sebagus-bagusnya, pakaiannya dari yang paling bagus dan mahal harganya. Ramai khadamnya yang bekerja untuk melayani keperluannya, banyak juga hamba yang dibelinya, untuk dijadikan pelayan dan hiasan gadungnya. 
Harta benda dan kekayaan, sejak dahulu sudah menjadi perhiasan hidup di dunia, yang menjadi pusat segala kebahagiaan dan kegirangan. Tetapi kerana harta dan kekayaan yang banyak itu jugalah di antara orang yang dianugerahi harta itu, menjadi manusia yang sombong dan jahat perangainya, menjadi orang yang angkuh lagi bertambah aniaya, bukan bertambah baik dan pengasihani. 
Dengan harta yang banyak itu, dia bukan menolong memperbaiki dan menolong nasib orang-orang yang miskin, tetapi malah memaksa dan mencelakakan mereka yang miskin, memperhamba mereka serta memeras tenaganya, sampai tinggal kulit pembalut tulang saja. Demikian jugalah halnya Qarun ini. Sudah dapat hidup senang dengan hartanya, dia ingin mencelakakan orang yang tidak berharta dan hidup melarat. Dia merasa berkuasa dengan kekuasaan yang tidak terbatas, kekuasaan yang digunakannya untuk menekan dan memeras, juga untuk mencelaka serta merosakkan. 
Allah s.w.t memerintahkan kita untuk menuntut kekayaan dan kesenangan yang ada di dunia ini, tetapi jangan sekali-kali lupa akan nasib kita di akhirat nanti. Tetapi Qarun hanya dunia saja yang menjadi arah tujuan hidupnya, dia tidak mengenali Allah s.w.t, lebih-lebih lagi percaya dengan hari akhirat. Allah s.w.t memerintahkan agar jangan berbuat kerosakan di muka bumi ini, tetapi Qarun segala kerjanya hanya untuk merosakkan semata-mata.
Kepada Qarun pun dengan perantaraan Nabi Musa, diperintahkan Allah s.w.t untuk berbuat kebaikan, tetapi perintah ini dijawab oleh Qarun dengan sombong sekali: ‘Aku peroleh harta benda ini, dengan tenaga dan ilmu pengetahuan aku sendiri.’ Qarun lupa, bahawa Allah s.w.t telah merosakkan tidak sedikit orang-orang dan bangsa-bangsa yang kaya raya dan kuat serta berkuasa. Qarun acapkali keluar memperlihatkan kesenangan hidup dan kekayaannya kepada orang sekampungnya. Dengan perbuatan ini, ramai orang yang bercita-cita mahu menjadi kaya raya seperti dia: ‘Alangkah baiknya kalau aku beroleh kekayaan seperti yang diperoleh Qarun itu,’ kata mereka. 
Orang-orang yang berilmu dan suci serta beriman kepada Allah s.w.t berkata: ‘Pahala dari Allah s.w.t lebih baik dari harta sebanyak itu.’ Tetapi kata-kata mereka ini tidak dipedulikan oleh orang ramai, sedikit sekali orang yang dapat memahamikannya, iaitu golongan orang-orang yang beriman dan bersabar saja. 

Semakin Giat Menambah Harta

Qarun semakin giat menambah harta dan kekayaannya, semakin jahat juga terhadap orang-orang sekampungnya itu, semakin sombong dan angkuh. Kerana sudah keterlaluan dan menyolok mata akan kesombongan dan kejahatannya, maka ramai orang yang beriman menasihatinya, agar dia jangan terlalu gembira dan sombong dengan harta kekayaannya: ‘Kami bukan iri hati melihat kekayaanmu dan tidak pula melarangmu berbahagia, senang serta bergembira dengan hartamu itu, tetapi kami hanya menasihatkan, agar carilah olehmu jalan yang halal saja menambah hartamu itu dan pakailah harta itu dengan baik. Bila dapat, tolonglah orang-orang yang melarat dan miskin dengan sebahagian saja dari hartamu itu. Berbuat baiklah engkau terhadap mereka, sebagaimana Allah s.w.t telah berbuat baik terhadapmu. Dengan jalan begitu, mudah-mudahan Allah s.w.t akan menambah berlipat kali ganda hartamu itu, dengan segala berkat dan rahmat-Nya.’ 
Segala nasihat itu jangankan didengar dan dijalankan, malah Qarun menghina orang yang menasihatinya sebaik itu. Dia menyombongkan diri dan memerahkan muka serta matanya, sambil menjawab: ‘Aku tidak memerlukan nasihat dari kamu sekalian. Tanpa nasihatmu pun aku dapat hidup senang dan berbahagia. Aku lebih tahu daripada kamu sekalian, akal aku lebih pintar. Aku manjadi kaya ini, adalah suatu tanda bahawa aku lebih pintar dari kamu. Malah akulah sebenarnya yang lebih berhak menasihati kamu sekalian!’ 
Sebagai jawapan terhadap nasihat yang baik itu, pada suatu hari Qarun keluar dengan pakaian dan perhiasannya yang serba mahal harganya, dia menuju kea rah khalayak ramai, diiringi oleh pengiring-pengiring dan hamba-hambanya yang tidak terhingga ramainya. Semua orang kampung itu, yang terdiri dari kaum fakir miskin dan melarat, keluar menyaksikan kekayaan Qarun. Dengan keluhan dan bersedih hati, ramai di antara mereka yang melarat itu berkata antara satu sama lain: ‘Alangkah bahagianya Qarun dan alangkah sengsaranya kita ini.’
Dengan wahyu Allah s.w.t, Nabi Musa lalu mengumumkan kewajiban berzakat bagi orang yang kaya, untuk dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang melarat dan sengsara. Perintah Allah s.w.t ini pun disampaikan pula oleh Nabi Musa kepada Qarun. 
Dengan mengejek dan berolok, Qarun menolak perintah ini: ‘Ada-ada saja perintah Tuhan Musa ini,’ kata Qarun di hadapan Nabi Musa. Nabi Musa lalu menjawab: ‘Ini adalah perintah Allah s.w.t, hai Qarun, aku sampaikan kepadamu, kerana Allah s.w.t telah menetapkan aku sebagai pesuruh-Nya!’ 
‘Ah, ada-ada saja akalmu untuk mambohongi aku. Mula-mula engkau katakan tentang agama baru, kemudian engkau perintahkan mengeluarkan zakat. Sungguh engkau ini seorang pembohong,’ kata Qarun kepada Nabi Musa mengengkari perintah Allah s.w.t yang disampaikan kepadanya.
Sesudah berdebat lama dan tidak membawa hasil apa-apa itu, lalu Qarun tampil ke hadapan orang ramai yang telah tunduk kepada ajaran Nabi Musa. ‘Nabi Musa itu orang yang iri hati,’ kata Qarun kepada orang ramai, ‘yang sebenarnya Nabi Musa itu menutup apa yang sebenarnya tersembunyi dalam hati kecilnya, untuk mendapat harta benda. Musalah orang yang paling jauh dari agama dan ajaran Tuhan.’ 
Semua perkataannya itu didengar Nabi Musa dengan kesabaran. Setelah Nabi Musa tidak mempunyai harapan lagi untuk memperbaiki pendirian Qarun yang sesat itu, lalu Nabi Musa menyerahkan urusan itu kepada Allah s.w.t kembali, dengan sepatah doa agar janganlah hendaknya manusia ramai itu dapat disesatkan kembali oleh ucapan Qarun dan oleh harta kekayaan dunia ini. 
Doa Nabi Musa ini dikabulkan oleh Allah s.w.t. Tanah sekitar istana dan gudang-gudang kekayaan Qarun itu mulai bergerak, lalu pecah, akhirnya tenggelam ke dalam perut bumi, bersama dengan istana, gudang dan Qarunnya sekali. Tidak seorang pun khadam-khadamnya yang dapat menolongnya dan tidak seorang pun dari orang-orang kampungnya yang ingin memberikan pertolongan kepadanya. 
Dengan demikian tamatlah riwayat Qarun dan segala harta kekayaannya yang melimpah-ruah itu. Melihat kejadian yang hebat itu, maka orang-orang yang melarat di kampung itu, menyesal atas keinginan dan doa mereka, agar menjadi orang kaya seperti Qarun itu. Mereka berkata: ‘Kalau tidak kerana Allah s.w.t, tentu kita ini sekaliannya akan musnah ditelan bumi, seperti yang terjadi atas diri Qarun itu.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA