Rabu, 11 September 2013

Saiyidina Umar Al-Khattab



SMAHADZIR

UMAR AL-KHATTAB kadang-kadang dipanggil juga sebagai Umar Al-Farooq ataupun Omar atau Umar ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan puak Bani Adi, Quraisy. Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada tanggal 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa Al-Rasyidin.

Kehidupan Awal

Saiyidina Umar Al-Khattab dilahirkan di Mekah. Bapanya bernama Khattab bin Nufaul Bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Beliau juga berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.

Memeluk Islam

Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saiyidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saiyidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu. Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saiyidina Umar Al-Khattab dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam. Saiyidina Umar Al-Khattab pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al-Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al-Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.

Saiyidina Umar Di Madinah

Saiyidina umar merupakan antara individu yang berhijrah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Dia merupakan salah seorang daripada Sahabat Rasulullah s.a.w. Pada tahun 625, anak perempuan Saiyidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.

Kewafatan Nabi Muhammad

Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada tahun 632 Masehi. Saiyidina Umar Al-Khattab dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat.  Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saiyidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap, ‘Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati.’ Saiyidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al-Quran untuk mententeramkan umat Islam.

Saiyidina Abu Bakar dengan sokongan Saiyidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar Al-Khattab merupakan penasihat Saiyidina Abu Bakar. Saiyidina Abu Bakar mencalonkan Saiyidina Umar Al-Khattab sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 Masehi. Dengan itu Saiyidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah kedua umat Islam.

Pemerintahan Saiyidina Umar

Semasa pemerintah Saiyidina Umar Al-Khattab, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantium (Rom Timur). Ada di antara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantium yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantium di selatan Asia Kecil.

Pada tahun 637, selepas pengempungan Baitul Muqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitul Muqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saiyidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saiyidina Umar Al-Khattab supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saiyidina Umar Al-Khattab menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. Lima puluh tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saiyidina Umar Al-Khattab menunaikan solat.

Saiyidina Umar Al-Khattab banyak melakukan transformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. Saiyidina Umar Al-Khattab juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.

Kematian Saiyidina Umar

Saiyidina Umar Al-Khattab meninggal dunia pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Majusi menyembah api Parsi yang bernama Abu Lu’lu’ah atau Fairuz. Abu Lu’lu’ah menikam Saiyidina Umar Al-Khattab kerana menyimpan dendam terhadap Saiyidina Umar. Dia menikam Saiyidina Umar Al-Khattab sebanyak enam kali sewaktu Saiyidina Umar Al-Khattab menjadi imam di Masjid al-Nabawi di kota Madinah. Saiyidina Umar Al-Khattab meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saiyidina Abu Bakar. Saiyidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya.

Pemerintah Contoh

Pemerintahan Islam yang sebenarnya, yang sesuai dengan kehendak-kehendak Al-Quran dan Hadis, hanya dapat ditegakkan oleh beberapa orang saja dalam sejarah. Itu pun terjadinya tidak lama, sekitar beberapa tahun saja. Memang demikianlah sunnatullah bahawa kebenaran yang tulen itu tidak panjang umurnya. Bak bunga asli, tidak lama kembangnya dan cepat layu. Sedangkan bunga plastik, tahan lama. Allah s.w.t memunculkan pemerintahan contoh sesekali supaya manusia dapat membuat perbandingan antara pemerintah-pemerintah yang hak dan yang batil. Supaya manusia tahu makna kebatilan dan kebenaran. Supaya manusia mengakui kelemahannya dan sedar akan kehebatan Tuhannya. Pemerintahan Islam contoh itu hakikatnya pemerintah dari Allah s.w.t. Allah s.w.t sendiri langsung campur tangan dalam urusan-urusan pemerintahan tersebut.

Mula-mula Allah s.w.t melahirkan wakil-Nya, yakni seorang manusia, kemudian Allah s.w.t memberi ilmuNya. Allah s.w.t tanggung rezekinya, Allah s.w.t jadwalkan langkah-langkah perjuangannya, Allah s.w.t tipu musuh-musuhnya, Allah s.w.t menjayakan segala-galanya. Hingga berakhirlah dengan satu bentuk kehidupan yang aman, makmur dan mendapat keampunan Allah s.w.t. Itulah yang terjadi pada Rasulullah s.a.w, yang kemudian disambung oleh Khulafaur Rasyidin (Saiyidina Abu Bakar As Siddiq, Saiyidina Umat Al-Khattab, Saiyidina Usman Ibnu Affan dan Saiyidina Ali bin Abi Talib). Pemerintahan mereka hanya mengambil masa lebih kurang 30 tahun saja iaitu di awal-awal tahun hijrah. Hingga tahun 100 hijrah atau awal kurun kedua, lahir pula Khalifah Umar Abdul Aziz, diikuti 100 tahun selepas itu dengan lahirnya Imam Syafi’i sebagai mujaddid kurun kedua dan pemimpin thoifah untuk zamannya.

Demikianlah seterusnya 600 tahun kemudian, muncullah Muhammad Al-Fateh yang membebaskan Konstantinopel sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi sebelum itu telah lahir Salahuddin Al-Ayyubi yang menawan kembali Baitul Muqaddis. Mereka semua membawa pemerintahan contoh bertaraf ummah dan thoifah.

Terutama Rasulullah s.a.w, betul-betul mewakili Allah s.w.t untuk memimpin manusia kepada kebenaran hingga terbentuklah oleh baginda sebuah masyarakat dan kerajaan Islam kecil, tepat seperti yang Allah s.w.t inginkan. Hakikatnya itulah kerajaan yang dibentuk oleh Allah s.w.t sendiri sebagai satu-satunya negara dan masyarakat terbaik untuk dicontoh dan ditiru oleh dunia sepanjang zaman. Bila Rasulullah s.a.w wafat, maknanya selesailah tugasnya memimpin dan memerintah umat, Saiyidina Abu Bakar menyambung kerja-kerja tersebut. Diikuti oleh Saiyidina Umar Al-Khatttab, yang turut meniru kerja-kerja Rasulullah s.a.w pada zaman pemerintahannya. Demikianlah seterusnya hingga kerajaan Islam yang adil dan baik itu tidak dapat ditiru oleh pemerintah-pemerintah selepas Khulafaur Rasyidin itu. Generasi selepas Saiyidina Ali tidak cukup layak dan tidak memenuhi syarat-syarat untuk menegakkan pemerintahan yang adil. Hingga Allah s.w.t melahirkan seorang pemimpin di setiap awal 100 tahun yang bertaraf mujaddid.

Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Allah s.w.t akan mengutus untuk umat ini, setiap awal 100 tahun mereka yang memperbaharui (mujaddid) urusan agama-Nya.’

Dengan cara-cara yang sesuai untuk mujaddid tersebut, Allah s.w.t sendiri yang mendidik dan menjaganya, memberi rezeki dan ilmu serta kecerdikan dan lain-lain hingga berulanglah satu pemerintahan yang benar-benar adil, di tangan para mujaddid. Mereka dapat menepati kehendak Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya pada zaman mereka.

Sebenarnya apa yang mereka bawakan, betul-betul pembaharuan yang memeranjatkan orang sezamannya. Sebab apa yang diperjuangkannya tidak terduga dan tidak mampu dilakukan oleh orang lain. Orang lain pun tidak terfikir untuk berbuat apa-apa. Kerana mujaddid itu sebenarnya orang yang Allah s.w.t janjikan. Hadis di atas menjadi hujah (bukti) kenyataan ini. Mujaddid adalah orang yang dijanjikan. Selain mujaddid, belum pernah diceritakan adanya individu yang berjaya menegakkan pemerintahan yang adil. Banyak yang memerintah tetapi tidak adil. Memang mereka ingin berlaku adil tetapi ternyata tidak mampu. Sebab halangan, ujian dan masalahnya cukup banyak dan besar. Tidak ada yang tahan kecuali hanya orang-orang Allah s.w.t.

Saya sebutkan itu bukan bermaksud untuk melemahkan semangat pejuang-pejuang Islam dan yang berjuang menegakkan Islam. Sekali-kali tidak, kerana berjuang itu memang tuntutan agama. Siapa yang melakukannya sangat besar pahalanya. Terbunuh kerananya, syahid. Saya berkata demikian, kerana melihat pejuang- pejuang Islam di dunia hari ini, cita-cita mereka begitu besar, sedangkan kemampuan dan potensi yang ada kecil saja. Mereka berbincang tentang persoalan antarabangsa dan Islamic Country.

Sedangkan diri, keluarga dan jemaah atau parti (harakah) sendiri, tidak memiliki cukup kemampuan. Pengikut diajak berangan-angan besar. Sedangkan usaha, pengorbanan, tenaga, perpaduan dan jiwa, lemah sekali. Hingga perjuangan Islam yang dielu-elukan dianggap hal yang lucu oleh para peninjau. Oleh pendukungnya tidak lagi disegani, kerana jelas tidak ada wibawa.

Para mujaddid, pemimpin yang Allah s.w.t lantik itu, bukan meminta kuasa memerintah dan tidak juga merebutnya. Sebab itu mereka tahu tugas memimpin itu tidak boleh diperebutkan. Bahkan mereka dapat menasihati, itu pun sudah cukup baik. Dalam keadaan mereka takut dengan kekuasaan itu, tapi sebaliknya manusia sangat menginginkan kepemimpinan dari mereka. Dengan kekuasaan Allah s.w.t, Allah s.w.t juga akan menyerahkan kuasa memerintah itu kepada mereka. Ramai orang tertarik dengan kepemimpinan mereka. Lalu mereka pun mendapat banyak pengikut. Jemaah mereka menjadi begitu berwibawa, kepemimpinan mereka sangat dikagumi. Dalam keadaan demikian, walaupun dia tidak meminta kuasa memerintah, namun Allah s.w.t serahkan juga padanya.

Demikianlah hasilnya pemerintahan yang adil. Tetapi selain itu, pemimpin yang naik melalui demokrasi, umumnya tidak mampu berlaku adil, walaupun keinginannya begitu besar sekali. Sebab itulah saya peringatkan tadi, supaya pejuang-pejuang Islam jangan berangan-angan. Kalau kita rasa kita bukan orang yang dijanjikan Allah s.w.t, rasanya cukuplah kita berjuang secara kecil-kecilan saja. Baiki diri, keluarga dan masyarakat serta jemaah dengan sungguh- sungguh. Kalau usaha itu berjaya, itu pun sudah cukup besar rasanya. Apa

Maknanya kita memerintah negara tetapi Islam tidak tertegak oleh kita. Orang hilang kepercayaan terhadap kita. Lebih baik kita menjadi penasihat kepada pemerintah, itulah yang lebih bijaksana rasanya. Hal itulah yang telah dibuat oleh Imam Syafi’i ketika dia ditawarkan memerintah, lalu ditolaknya. Demikian juga Imam Ahmad, menolak tawaran memerintah. Mereka tidak malu memerintah tetapi tetap menasihati pemerintah agar berlaku adil. Orang yang bertakwa itu, sangat takut dengan Allah s.w.t dalam urusan memimpin. Yang jelas mereka tidak memperebutkannya.

Bertindak adil dalam pemerintahan tidaklah mudah. Sedangkan pemerintah yang tidak adil, tidak dapat lepas dari Neraka. Dalam pengalaman dunia, hanya beberapa orang saja pemerintah yang adil, yakni yang layak untuk ke syurga. Selain mereka, semuanya ke neraka. Apakah anda suka kiranya jawatan memerintah itu membuka pintu neraka untuk anda? Tidak bukan? Sebab itu takutlah pada Allah s.w.t kiranya anda dicalonkan untuk menjadi pemimpin. Umumnya pemimpin gagal dalam tugasnya. Terlalu sedikit yang berjaya. Memimpin sebenarnya kerja yang sangat berat dan sukar. Kerana itu tidak munasabah untuk dijadikan rebutan. Kalau ada orang yang mampu lebih melaksanakannya, kita sepatutnya bersyukur.

Apakah kita ingin berebut untuk memanjat pohon kelapa? Tentu tidak, bukan? Kalau ada orang lain yang dapat membuatnya, kita merasa lega bukan? Demikianlah menjadi pemimpin yang adil, hakikatnya jauh lebih susah dari kerja memanjat pohon kelapa. Apa pendapat anda?

Berikut saya paparkan satu contoh pemerintahan adil, yang sangat sukar dan berat untak dijayakan. Moga-moga kita dapat menirunya, kalau kita betul-betul ingin memimpin umat ini. Saiyidina Umar Al-Khatab setelah menjadi khalifah sangat memperhatikan urusan manusia. Selepas dilantik menjadi khalifah, Beliau tidak berupaya tidur pada waktu malam. Beliau berkata, ‘Aku tidak dapat tidur pada waktu siang, takut urusan rakyat tidak sesuai. Aku tidak dapat tidur pada waktu malam, takut urusanku dengan Allah s.w.t tidak selesai.’

Pada waktu sembahyang malam, hatinya tidak dapat bertumpu pada solat, kerana fikirannya diganggu oleh urusan manusia, kemudian beliau pun menangis. Setiap hari selepas solat Subuh, Saiyidina Umar Al-Khatab duduk memikirkan urusan manusia serta membahagi-bahagikan rampasan perang (ghanimah) kepada orang-orang yang berhak. Iaitu rampasan perang yang disampaikan kepadanya oleh ketua-ketua tentera yang menawan negara-negara musuh. Setiap kali Saiyidina Umar Al-Khatab menerima harta, beliau senantiasa berfikir kepada siapa harta itu hendak diberikan. Saiyidina Umar pernah duduk di hadapan harta yang banyak dan rampasan perang yang sangat besar sekali. Kemudian beliau menyuruh sebahagian sahabat menghitungnya.

Selepas itu Saiyidina Umar Al-Khatab mengisytiharkan dasar pembahagian harta. Ucapannya kepada orang banyak, ‘Demi Allah s.w.t, tiada Tuhan melainkan Dia, tiada seorang pun di kalangan manusia melainkan baginya ada hak atas harta itu. Tiada seorangpun yang lebih berhak daripada orang yang lain. Saya juga tidak berhak, melainkan saya sama seperti salah seorang dari mereka.’

Saiyidina Umar Al-Khatab senantiasa bergaul dengan manusia. Kemana saja beliau pergi, beliau senantiasa membawa tongkat kecil di tangannya. Siapa yang bersalah (melakukan kemungkaran dan dosa) dipukul dengan tongkatnya. Saiyidina Umar pernah melihat penjual susu menipu di sebuah pasar, lantas beliau memukulnya, kemudian mengancam untuk memenjarakannya. Selepas itu, susu tersebut dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin dan beliau memberi peringatan bahawa sesiapa yang menipu akan diazab dengan azab yang menyakitkan. Kemudian beliau mengingatkan manusia tentang Sabda Rasulullah s.a.w, ‘Barang siapa menipu, maka bukanlah dari golongan kami.’

Waktu siang Saiyidina Umar Al-Khatab mengelilingi pasar Madinah untuk memperhatikan keadaan rakyatnya. Pada waktu malam beliau berjalan-jalan keluar untuk mengetahui keperluan rakyat dan di tangan kanannya ada tongkat.

Saiyidina Umar pernah melihat ada di kalangan orang-orang yang beribadah di dalam masjid, yang tidak bekerja, lantas beliau memukulnya. Saiyidina Umar selalu bertanya kepada orang-orang yang ditemuinya di dalam masjid selepas solat tentang usaha-usaha mereka. Jika didapat ada yang tidak mempunyai usaha, Saiyidina Umar Al-Khatab menggalakkan berniaga atau mendorong untuk menambah kemahiran.

Saiyidina Umar tidak memberi zakat kepada muallaf kerana beliau berijtihad bahawa Islam telah kuat, berwibawa dan tidak berkeinginan mengambil hati seseorang. Saiyidina Umar sangat keras mendisiplinkan diri dan keluarganya. Beliau dan keluarganya tidak sampai terlalu kenyang dan berpakaian berlebih-lebihan. Saiyidina Umar Al-Khatab pernah melihat seekor unta yang gemuk dan cantik lantas bertanya, ‘Siapa pemilik unta ini?’

Ada yang menjawab, ‘Itu unta Abdullah bin Umar (anak Saiyidina Umar)’. Mendengar jawaban itu, Saiyidina Umar Al-Khatab mengutus seseorang memanggil Abdullah. Setelah Abdullah hadir, Saiyidina Umar berkata, ‘Beruntunglah engkau wahai anak Amirul Mukminin. Unta apa ini?’

Abdullah menjawab, ‘Aku membeli dengan wangku sendiri. Aku berniaga dan melakukan apa yang dikehendaki oleh kaum Muslimin.’

Saiyidina Umar Al-Khatab berkata, ‘Orang yang melihat akan berkata, jagalah unta itu kerana unta itu milik anak Amirul Mukminin. Hal itu membuatkan untamu gemuk dan bertambah subur. Keuntungan yang engkau peroleh dari unta Amirul Mukminin! Wahai Abdullah Ibnu Umar, ambillah modal yang dulu engkau gunakan untuk membeli unta itu dan untungnya kau berikan kepada Baitulmal.’

Saiyidina Umar Al-Khatab pernah memanggil anggota keluarganya, kemudian berkata, ‘Manusia semua melihat kepada kamu sebagaimana burung melihat daging. Apabila kamu melakukan sesuatu, mereka akan melakukan. Jika kamu hati-hati, mereka juga akan hati-hati. Sesungguhnya demi Allah s.w.t, tidak ada seorangpun dari kalangan kamu yang melakukan apa yang kularang dilakukan oleh manusia melainkan aku akan azab dia berganda-ganda kerana kedudukannya sebagai keluargaku.’

Seorang Arab Badwi pernah berkata kepadanya, ‘Ya Umar! Bertakwalah kepada Allah s.w.t!’

Lantas seorang yang ada di dalam majlis itu berkata, ‘Orang yang seperti engkau hendak berkata kepada Amirul Mukminin bertakwalah kepada Allah s.w.t?’

Lantas Saiyidina Umar Al-Khatab berkata, ‘Biarlah dia berkata, maka tidak ada kebaikan bagi kamu yang tidak mengucapkannya, juga tidak ada kebaikan bagi kami kalau tidak mahu mendengarnya. Biarlah dia ucapkan kepadaku, maka itulah ucapan yang sebaik-baiknya.’

Saiyidina Umar Al-Khatab pernah mengajak manusia berhimpun di masjid. Kemudian naiklah beliau ke atas mimbar dan berpidato, ’Wahai sekalian Muslimin, apa yang akan kamu katakan kalau aku sudah cenderung dengan dunia, sedangkan kerana kalian takut bersalah, maka tiada seorang pun di kalangan kamu yang sanggup menegah kerana membesarkan aku. Jika aku baik, tolonglah aku. Jika aku bersalah, betulkan aku.’

Kemudian seorang lelaki berkata, ‘Demi Allah s.w.t, jika kami lihat engkau telah keluar dari kebenaran, nescaya kami akan kembalikan kamu kepada kebenaran.’

Kemudian melompat seorang lelaki yang lain lantas berkata, ‘Demi Allah s.w.t, ya Amirul Mukminin, jika kami melihat kamu menyeleweng, nescaya kami membetulkan engkau dengan pedang-pedang kami.’

Kemudian Saiyidina Umar Al-Khatab berkata, ‘Moga-moga Allah s.w.t merahmati kamu. Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah membuat ada di kalangan kamu, orang yang akan meluruskan Umar dengan pedang-pedangnya.’

Saiyidina Umar Al-Khatab pernah berucap di atas mimbar, ‘Wahai manusia, aku akan berdoa, aminkanlah.’ Dia pun mengangkat dua tangan dan berdoa, ‘Wahai Tuhan, aku ini kasar, lembutkanlah aku untuk orang yang mentaati Engkau sesuai dengan kebenaran, kerana menuntut keredhaan-Mu dan Hari Akhirat. Dan berilah aku rezeki kekerasan dan ketegasan terhadap musuh-musuhmu dan orang-orang yang fasik dan munafik dengan tidak menzalimi mereka dan tidak juga memusuhi mereka.’

‘Wahai Tuhanku, aku bakhil. Maka jadikanlah aku pemurah dengan tidak membuang-buang harta, mubazir dan tidak riya’ serta bermegah-megahan. Jadikanlah aku dengan demikian itu, bertujuan kerana Zat-Mu dan Negeri Akhirat.’

‘Jadikanlah aku merendahkan sayap dan diri terhadap orang-orang Mukmin. Ya Allah s.w.t, aku ini telah banyak lalai, dan ilhamkan aku untuk mengingat-Mu di dalam keadaan apapun. Dan ingatkanlah aku kematian di setiap ketika. Wahai Tuhanku, aku ini lemah beramal untuk mentaati-Mu, berilah aku rezeki, kegagahan dan kekuatan ke atasnya dengan niat yang baik dan yang tidak akan terjadi, kecuali dengan taufiq dan kemuliaan-Mu.’

‘Wahai Tuhan tetapkan aku dengan keyakinan, kebajikan dan kekuatan. Dan berilah aku khusyuk pada apa saja yang membuat Engkau redha padaku, dan berilah aku rezeki untuk muhasabah diri dan memperbaiki segala niat serta senantiasa mengawasi terhadap segala yang syubhat. Wahai Tuhan, rezekikanlah aku berfikiran dan mengambil perhatian pada apa saja yang akan diucapkan oleh lidahku dari kitab-Mu dan berilah aku kefahaman dan sangat memperhatikan pengertiannya dan mengkaji rahsia-rahsia dan beramal dengan apa yang tersimpan.’

Selepas berdoa Saiyidina Umar Al-Khatab berucap, ‘Wahai manusia, sesungguhnya Arab itu seumpama unta yang lemah dan akan menuruti orang yang menuntunnya, di mana saja dia dituntun. Sesungguhnya demi Tuhan, aku akan membawa kamu di atas hal kebenaran.’

Kemudian Saiyidina Umar Al-Khatab pun turun dari mimbar dan menulis satu surat kepada petugas-petugasnya, meminta mereka sangat memperhatikan untuk memperbaiki urusan mengatur keuangan orang banyak dan bertanggungjawab terhadap keperluan-keperluan manusia.

Selepas itu Saiyidina Umar Al-Khatab berucap,’Wahai para gubernur sekalian, sesungguhnya kalau kami lihat harta ini halal bagi kami nescaya kami akan menghalalkan untuk kamu. Apabila tidak halal bagi kami, kami akan larang untuk diri kami, maka hendaklah kamu hindarkan untuk diri-dirimu.’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat aktif mengirim tenteranya ke negara-negara lain seperti Iraq dan Syam, tetapi bukan untuk menjajah atau untuk kekayaan dunia. Beliau melakukan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan Saiyidina Abu Bakar dengan tujuan mempertahankan Islam dari serangan musuh, menyebarkan ajaran Islam dan membebaskan manusia dari belenggu kehinaan dan penghambaan sesama manusia (oleh bangsa Parsi dan pemerintahan Rom), dan juga untuk membangun masyarakat manusia atas asas meneguhkan rasa persaudaraan di bawah satu naungan, satu agama, bertoleransi, adil dan memberi kebaikan. Caranya ialah mengajak manusia dengan cara yang bijaksana dan nasihat-nasihat yang baik. Hanya jika mereka memerangi, barulah akan diperangi.

Saiyidina Umar Al-Khatab pernah menasihati para kadhi (hakim) agar jangan menghukum dengan melihat yang zahir semata-mata. Beliau mengambil iktibar dari kisah Nabi Yusuf a.s. Sesungguhnya saudara Nabi Yusuf a.s. mencampakkannya ke dalam perigi, kemudian mereka kembali kepada bapa mereka dengan menangis. Saiyidina Umar Al-Khatab sangat mesra dengan Saiyidina Ali. Beliau selalu bersababat dengannya walaupun perbedaan umur di antara keduanya sangat jauh. Persahabatan antara keduanya sangat rapat dan mereka sangat berkasih sayang. Di antara satu sama lain senantiasa mengiktiraf kedudukan masing- masing.

Apabila Saiyidina Ali menyebut namanya di sisi Saiyidina Umar, Saiyidina Umar akan berkata: ‘Ali orang yang paling pandai menghukum di kalangan kami.’

Apabila Saiyidina Umar menghadapi kesamaran dalam suatu masalah, dan Saiyidina Ali tidak ada bersamanya, hatinya tidak tenang dalam menghukum, lalu dia akan berkata, ‘Tidak ada keputusan sedangkan Abal Hassan tidak ada.’ Seringkali beliau menyebut, ‘Allah s.w.t tidak akan menghidupkan saya di satu bani yang Abal Hassan tidak ada padanya.’

Saiyidina Ali juga mengakui kelebihan yang ada pada Saiyidina Umar Al-Khatab. Beliau selalu saja menyebut tentang kelebihan Saiyidina Umar Al-Khatab kerana beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w menyebut, ‘Sebaik-baik manusia selepas Rasulullah s.a.w ialah Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar.’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat amanah dalam menjaga harta Baitulmal. Pada satu ketika dia naik ke atas mimbar hendak memberi nasihat, tiba-tiba dia merasa sakit. Ada orang mengatakan bahawa obatnya ialah madu lebah. Sedang pada waktu itu di dalam Baitulmal (Perbendaharaan Negara) ada tersimpan setong (segariba) madu lebah. Namun beliau berkata, ‘Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan mengambilnya sedikit, tetapi kalau tidak, haramlah saya mengambilnya.’

Saiyidina Umar Al-Khatab juga pernah berkata, ‘Wahai umat, kamu harus maklum bahawa harta Baitulmal itu bukanlah kepunyaanku atau keluargaku. Harta Baitulmal adalah kepunyaan kamu, dan kamu berhak menerimanya. Aku diamanahkan supaya menjaga harta kamu ini. Dan kelak aku akan ditanya oleh Allah s.w.t tentang bagaimana caranya aku menjaga harta itu dan bagaimana caranya aku mengurus kepentingan umat Islam. Celakalah aku nanti sekiranya Allah s.w.t mendapatkan aku tidak amanah terhadap harta Baitulmal itu.’

Melayani seluruh rakyat dengan rasa persamaan dan bersikap adil walaupun kepada orang yang dipandang rendah. Pada satu hari Saiyidina Umar Al-Khatab pergi naik haji, Safyan Ibn Umayyah menyediakan dan mengajaknya makan. Lalu dikeluarkanlah sebuah nampan besar makanan diangkat oleh empat orang khadam. Mereka pun makan tetapi khadam-khadam itu berdiri saja. Lalu Saiyidina Umar Al-Khatab berkata, ‘Mengapa saya lihat khadam-khadam tuan tidak makan bersama.’ Lalu mereka menjawab, ‘Tidak, demi Allah s.w.t ya Amirul Mukminin, tetapi mereka makan sesudah kita untuk menunjukkan kebesaran kita.’

Mendengar itu Saiyidina Umar Al-Khatab marah, lalu berkata, ‘Tiap-tiap kaum yang merendah-rendahkan khadamnya akan direndahkan Allah s.w.t. Ayuh, khadam-khadam, mari makan bersama-sama!’ Maka khadam-khadam itunpun makan bersama-sama sehingga tidak ada lagi makanan yang dimakan oleh Amirul Mukminin.

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat tegas bila berhadapan dengan penganiayaan dan sikap mementingkan diri seorang Muslim terhadap saudaranya yang lain. Pernah terjadi seorang lelaki datang ke kampung di sebuah oasis meminta air minum. Malangnya penduduk kampung pedalaman itu tidak mau memberinya, hingga orang itu mati. Maka oleh Saiyidina Umar Al-Khatab seluruh penduduk kampung itu dikenakan diat (denda kerana membunuh).

Saiyidina Umar Al-Khatab tidak pilih kasih, tidak takut dalam urusan pemerintahan sekalipun kepada tokoh-tokoh besar yang berpengaruh. Suatu masa ketika tangan kanannya memegang tongkat (cambuk) Saiyidina Umar Al-Khatab pergi ke Mekah. Beliau telah bertemu dengan Abu Sufyan (seorang pembesar yang terkenal) yang sedang duduk berdekatan dengan batu-batu.

Saiyidina Umar Al-Khatab berkata, ‘Angkat batu ini!’ Lalu batu itu diangkat oleh Abu Sufyan. ‘Ini juga, ini juga,’ kata Saiyidina Umar Al-Khatab lagi. Semuanya diangkat oleh Abu Sufyan dengan tidak bertanya apa sebabnya, untuk apa, sampai 5 atau 6 buah batu.

Selepas itu Saiyidina Umar Al-Khatab terus mengadapkan mukanya ke Kaabah lantas menangis, ‘Segala puji bagi-Mu ya Allah s.w.t yang telah membuat Umar sanggup memerintah Abu Sufyan di pusat kelahirannya sejati (Mekah) dan diturutinya perintah itu.’

Saiyidina Umar Al-Khatab berdaya upaya menyeimbangkan sikap lunak dan kerasnya semasa memerintah. Pernah orang mengadu kepadanya melalui Abdul Rahman bin Auf, ‘Umar, engkau telah menimbulkan rasa takut sehingga mata kami tidak kuat menentang matamu.’

Lalu berkata Saiyidina Umar Al-Khatab kepada Abdul Rahman bin Auf, ‘Benarkah mereka berkata demikian? Demi Allah s.w.t, aku telah cuba melunakkannya sehingga disebabkan sikap itu aku takut dimurkai oleh Allah s.w.t. Aku telah mencoba berkeras, sehingga aku juga takut dimurkai Allah s.w.t kerananya. Oh bagaimana lagi? Bagaimana nasibku dibandingkan dengan mereka?’

Bila rakyat melihatnya, mereka takut kepada Allah s.w.t. Seorang lelaki Quraisy telah menemui Saiyidina Umar Al-Khatab dan berkata, ‘Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami sudah amat gentar melihatmu.’

Saiyidina Umar Al-Khatab menjawab, ‘Apakah di situ tersimpan perbuatan saya yang zalim?’

‘Tidak,’ jawab lelaki itu.

Maka kata Saiyidina Umar Al-Khatab, ‘Kalau demikian, biarlah Allah s.w.t menambah takut dalam hatimu terhadap aku.’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat takut kepada Allah s.w.t dalam urusan pemerintahannya. Pada satu ketika Anas bin Malik sengaja mengikuti Saiyidina Umar tanpa sepengetahuannya. Sampai di satu kamar yang kecil, Umar masuk ke dalamnya sedang Anas mendengarnya dari sebelah dinding. Anas melaporkan, ‘Setelah dia bersunyi diri dalam kamar itu terdengarlah dia berkata kepada dirinya sendiri, bolehkah engkau bersenang diri wahai Umar, takutlah kepada Allah s.w.t, jika tidak kau akan diazab-Nya.’

Saiyidina Umar Al-Khatab tidak berbangga dan sangat menjaga hatinya ketika menjadi khalifah. Pada satu ketika dia mengangkut air di belakang badannya. Maka beliau ditegur oleh sahabat-sahabatnya, ‘Hai Amirul Mukminin, mengapa tuan sendiri yang memikul air ini?’

Jawabnya, ‘Aku merasa bahawa diriku telah merasa takabur, lalu kupikul air ini untuk menundukkannya.’ Saiyidina Umar Al-Khatab sangat menganjurkan rakyatnya hidup berdikari. Saiyidina Umar pernah berkata, ‘Pelajarilah hidup susah, kerana mungkin engkau kelak akan menderita dengan kesusahan.’ Saiyidina Umar Al-Khatab juga pernah berpesan, ‘Pekerjaan yang kelihatannya rendah lebih mulia dari sikap meminta-minta.’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat toleransi dengan rakyatnya sekalipun bagi mereka yang bukan Islam. Pada suatu hari, iaitu ketika Baitul Muqaddis telah dibebaskan oleh tentera Islam, beliau pergi ke Gereja Al-Qiamah di Baitul Muqaddis untuk menziarahi pendeta Kristian untuk bertukar fikiran dan bermesra dengan mereka.

Dalam percakapan itu, pendeta Kristian itu sangat kagum dengan sifat tawaduk, sopan santun dan pekerti mulia yang dilahirkannya. Sifat-sifat itu jarang ada pada pemimpin-pemimpin Kristian Kerajaan Rom yang memang keras dan zalim. Ketika mereka berbincang, tiba waktu solat. Memang tidak salah kalau Saiyidina Umar Al-Khatab solat di dalam gereja sekalipun. Tetapi sebaliknya beliau melakukan solat di luar bangunan itu.

Ketika ditanya, ‘Mengapa tuan solat di luar? Bukankah lebih nyaman solat di dalam?’ Saiyidina Umar menjawab, ‘Benar tuan. Memang tidak ada salahnya. Tetapi saya tidak mahu kemudian hari kelak orang menuduh saya menukar gereja menjadi masjid lalu perbuatan saya dicontoh oleh kaum Muslimin.’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat mementingkan nasib rakyatnya. Beliau selalu duduk bersama rakyatnya, makan dan berbincang bersama tanpa kelihatan perbedaan tingkat hidup di antara beliau dan rakyatnya. Pernah terjadi satu musim kemarau yang sangat dahsyat hingga makanan begitu begitu sukar didapati di Madinah. Saiyidina Umar Al-Khatab bersama-sama rakyatnya begitu menderita dengan ujian ini. Satu ketika dibawa oleh pelayannya sedikit minyak sapi dan susu ke rumahnya. Kata pelayan itu, ‘Ya Amirul Mukminin, saya membeli sedikit minyak sapi dan susu ini dari uang saya sendiri untuk tuan...’

Mendengar kata-kata pelayannya, Saiyidina Umar Al-Khatab berkata, ‘Pergilah engkau hadiahkan kepada orang Islam yang lebih memerlukan. Aku tidak akan makan makanan seperti susu dan minyak sapi itu selagi aku masih melihat ada orang Islam yang lapar dan susah di negara ini.’

Saiyidina Umar Al-Khatab selalu solat dan berdoa pada malam hari di masjid. Suatu malam datanglah seorang utusan dari Iraq ke Madinah untuk bertemu dengan Khalifah Umar. Kerana waktu itu haripun telah jauh malam utusan itu singgah bermalam di masjid. Waktu itu Saiyidina Umar Al-Khatab baru selesai solat. Melihat tetamu itu masuk beliau pun mendekatinya seraya bertanya, ‘Anda nampaknya datang dari jauh. Dari mana anda datang? Apa yang anda inginkan?’

Jawab utusan itu (tanpa mengetahui orang yang bertanya itu ialah Saiyidina Umar Al-Khatab sendiri), ‘Aku datang untuk bertemu Khalifah. Tetapi hari telah jauh malam, aku keberatan sekali mengganggu beliau di rumahnya...’

Saiyidina Umar Al-Khatab memberitahu orang itu bahawa ia boleh bertemu dengan khalifah di mana pun dan bila-bila saja. Bila melihat utusan itu kurang percaya tentang apa yang didengarnya, Saiyidina Umar Al-Khatab pun berkata, ‘Sayalah Saiyidina Umar Al-Khatab...’

Utusan itu terkejut kerana khalifah masih berjaga walaupun hari telah larut malam dan sanggup melayani tetamu. Tidak tidak menyangka sama sekali! Amirul Mukminin berkata, ‘Wahai saudaraku... jika saya tidur pada malam hari maka bermakna saya menyia-nyiakan diri saya sendiri. Jika saya tidur pada siang hari, bermakna saya mengabaikan umat!’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat adil sekalipun kepada orang bukan Islam. Pada satu masa beliau melihat seorang tua menadahkan tangan kesana kemari meminta sedekah. Beliau amat terharu lantas bertanya, ‘Pak, mengapa hidup jadi begini? Tidakkah bapak punya anak?’
‘Saya orang susah tuan. Kalau tidak meminta sedekah bagaimana saya hendak membayar jizyah?’

Maka sedarlah Saiyidina Umar Al-Khatab bahawa orang tua itu beragama Yahudi. Saiyidina Umar Al-Khatab berkata, ‘Hai orang tua. Engkau tidak patut bekerja mencari nafkah untuk keluarga lain. Dan aku tidak mahu melihat kau hidup meminta-minta. Mulai hari ini biaya hidupmu dan keluargamu akan dibiayai oleh Baitulmal setiap bulan!’

Setelah orang tua itu berlalu, Saiyidina Umar Al-Khatab berkata kepada pembantunya, ‘Sedih sekali aku melihat orang Yahudi tua itu. Tidak adil kalau kita biarkan dia meminta-minta sedangkan semasa mudanya dia telah penat lelah mencari nafkah untuk keluarganya dan menunaikan tanggungjawab kepada negara. Tetapi setelah tua dia masih terus mencari wang untuk membayar cukai. Itu tentu tidak sesuai. Segera tulis namanya sebagai golongan yang berhak mendapat bantuan dari kita setiap bulan.’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat mengasihi rakyatnya sekalipun kepada anak-anak. Satu ketika sewaktu melantik seorang gabenor baru di satu wilayah, Saiyidina Umar berjalan-jalan melihat keadaan rakyat bersama gabenor barunya. Beliau telah melihat seorang anak kecil lalu diangkat, ditimang serta diciumnya.

Melihat keadaan Saiyidina Umar Al-Khatab yang sangat halus dan penyantun itu, gabenornya berkata, ‘Wahai Amirul Mukminin, patutkah tuan melayani anak kecil seperti ini? Saya fikir tidak perlu bagi seorang pemerintah melayani anak kecil. Demi Allah s.w.t saya sendiri tidak pernah berbuat demikian.’

Mendengar itu Saiyidina Umar Al-Khatab menjawab, ‘Demi Allah s.w.t, tahukah engkau bahawa barangsiapa yang tidak mempunyai belas kasihan dan santun terhadap orang lain maka ia tidak sepatutnya diberi amanat untuk memelihara kepentingan umat. Tidakkah engkau tahu wahai pejuang Allah s.w.t, bahawa anak-anak kecil juga sebahagian rakyat kita? Aku bukan saja khalifah untuk umat Islam. Tetapi juga khalifah untuk anak-anak!’

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat ditaati oleh rakyatnya hingga air Sungai Nil pun mematuhi perintahnya. Ketika gabenornya di Mesir Amru Al-Ash mengirim surat bahawa air Sungai Nil telah semakin surut dan kering. Menurut kepercayaan penduduk asal (bangsa Qibti), seorang anak dara mestilah dikorbankan untuk membuat air mengalir seperti biasa, Saiyidina Umar Al-Khatab cuma mengirim surat dengan pesannya surat itu hendaklah dijatuhkan ke dalam Sungai Nil.

Surat itu berbunyi: ‘Surat ini dikirimkan oleh Umar, Amirul Mukminin kepada Sungai Nil. Hai Sungai Nil... kalaulah air yang mengalir pada tubuhmu itu bukanlah dari kuasa Allah s.w.t maka kami tidak memerlukan engkau sama sekali. Tetapi kami percaya Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan kepada-Nya kami mohon supaya engkau mengalir seperti biasa.’ Ketika surat itu jatuh ke dalam Sungai Nil, airnya pun mengalir seperti sedia kala.

Saiyidina Umar Al-Khatab sangat takut dengan amanah kekhalifahan yang disandangnya dari awal hingga akhir hayatnya. Ketika dilantik menjadi khalifah beliau berkata, ‘Kalaulah aku tahu ada di antara kamu lebih baik dan lebih kuat dariku dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah, aku lebih rela leherku dipotong daripada menerima jabatan ini...’

Ketika hampir meninggal dunia setelah ditikam, Saiyidina Umar Al-Khatab berpesan kepada anaknya (Abdullah bin Umar), ‘Wahai Abdullah, keluarga Umar tidak menaruh niat sedikit pun untuk menjadi khalifah. Cukuplah di kalangan mereka Umar Al-Khattab saja yang akan ditanya oleh Allah s.w.t tentang tanggungjawabnya terhadap umatnya. Anakku... sekali kali jangan, jangan engkau mengingat ingat akan jabatan khalifah ini...’

Umar Al-Khattab Memeluk Islam

Saiyidina Umar Al-Khattab sangat dibanggakan oleh seluruh umat Islam dan sangat digeruni oleh orang-orang musyrikin. Pada awalnya beliau sangat kuat menentang Rasulullah s.a.w dan merupakan seorang musuh Islam yang sangat berani menyeksa orang-orang Islam sehinggalah beliau sendiri memeluk agama Islam. Peristiwa pengislaman Saiyidina Umar Al-Khattab bermula apabila pada suatu hari orang-orang Quraisy bermesyuarat bagi melantik seseorang untuk menjalankan usaha untuk membunuh baginda Rasulullah s.a.w. Umar Al-Khattab menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab itu.

Tawaran beliau mendapat sorakan daripada hadirin memandangkan beliau merupakan panglima perang Quraisy yang paling terkemuka dan handal. Umar Al-Khattab lantas menggalas pedangnya di tengkuk lalu lalu terus pergi untuk menyelesaikan tanggungjawab tersebut. Dalam perjalanan, beliau bertembung dengan Saad bin Abi Waqqas r.a dari Bani Zuhrah.

‘Mahu ke mana engkau wahai Umar Al-Khattab?’

‘Aku mahu membunuh Muhammad!’ jawab Umar Al-Khattab.

‘Tidakkah engkau sedar bahawa Bani Hashim, Bani Zuhrah dan Bani Abdul Manaf akan bertindak balas membunuhmu.’

Umar Al-Khattab tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Saad lalu menghunus pedangnya. Saad juga bertindak sedemikian untuk mempertahankan nyawanya sambil mengisytiharkan keislamannya. Pertarungan hampir tercetus dan pada ketika itu Saad berkata:

‘Terlebih dahulu kamu perbetulkan urusan keluargamu. Adik perempuanmu dan iparmu telah memeluk Islam.’

Mendengar sahaja berita itu, kemarahan Umar Al-Khattab meluap-luap dan beliau menukar langkah untuk menuju ke rumah adiknya. Pintu rumah adiknya dikunci dari dalam dan kedua-dua adiknya sedang menerima pengajaran Al-Quran daripada Khabbab r.a. Umar Al-Khattab mengetuk pintu dan memanggil adiknya supaya membuka pintu.

Mendengar suara Umar Al-Khattab, Khabbab r.a terus menyembunyikan dirinya dalam sebuah bilik. Beliau terlupa untuk membawa lembaran-lembaran Al-Quran. Apabila pintu dibuka, Umar Al-Khattab terus memukul adiknya sambil berkata: ‘Wahai musuh kepada musuhmu sendiri. Kamu juga telah meninggalkan agama datuk nenek moyang kamu. Apa yang telah kamu lakukan? Siapakah pemilik suara asing yang aku dengar dari luar sana?’

Adik iparnya menjawab: ‘Kami sedang bercakap antara satu sama lain.’

Umar Al-Khattab bertanya kepadanya: ‘Adakah kamu juga meninggalkan agama nenek moyang kamu dan memeluk agama baru itu?’

Adik iparnya menjawab: ‘Tetapi apa salahnya sekiranya agama yang kami anuti itu lebih baik dan benar?’

Apabila mendengar sahaja jawapan daripada adik iparnya itu, Umar Al-Khattab bertambah menyinga lalu memukulnya, menarik janggutnya dan membelasahnya dengan teruk. Apabila adik perempuannya mencelah, dia memukul muka adiknya begitu kuat sehingga mengalir darah dengan banyaknya. Adiknya meluahkan perasaannya: ‘Umar Al-Khattab, kami dibelasah hanya kerana kami menjadi seorang muslim. Dengarlah! Bahawa kami berazam untuk mati sebagai seorang Islam. Kamu bebas melakukan apa sahaja terhadap kami kerana Allah sentiasa berada bersama kami.’

Dia berasa menyesal dengan perbuatannya apabila melihat adiknya berlumuran darah. Matanya terpandang lembaran Al-Quran yang tidak sempat dibawa oleh Khabbab r.a. Lalu beliau cuba untuk mengambil lembaran Al-Quran untuk melihat apakah kandungannya. Adiknya berkata: ‘Tidak! Badanmu bernajis dan tidak seorang pun yang bernajis dibenarkan untuk menyentuh Al-Quran.’

Umar Al-Khattab mendesak ingin menyentuhnya tetapi adik perempuannya enggan membenarkan tindakannya kecuali beliau membersihkan dirinya terlebih dahulu. Akhirnya Umar Al-Khattab akur. Setelah beliau mandi beliau mula membaca lembaran tersebut dan surah yang dibacanya ialah Surah Thaha. Beliau memulakannya daripada awal. Apabila sampai kepada ayat berikut, pemikirannya bertukar sama sekali: ‘Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku kerana itu, sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.’ (Surah Thaha: 14)
Lantas Umar Al-Khattab bersuara:

‘Baiklah bawakan aku berjumpa Muhammad.’

Apabila mendengar kata-kata ini, Khabbab pun keluar dari tempat persembunyiannya dan berkata: ‘Wahai Umar Al-Khattab! Berita gembira untukmu. Semalam Rasulullah s.a.w telah berdoa kepada Allah.’Ya Allah! Perkuatkanlah Islam melalui Umar Al-Khattab atau Abu Jahal, sesiapa yang Engkau kehendaki. Nampaknya doa Rasulullah ini diperkenankan untukmu.’

Umar Al-Khattab pun pergi menemui Rasulullah s.a.w lalu terus memeluk Islam pada pagi Jumaat. PengIslaman Umar Al-Khattab memberikan pukulan hebat kepada semangat orang-orang musyrikin. Namun begitu bilangan umat Islam masih kecil untuk mengimbangi seluruh negeri yang memusuhi mereka. Orang musyrikin melipatgandakan usaha mereka untuk menghancur leburkan dan melenyapkan Islam sama sekali. Dengan kehadiran Umar Al-Khattab r.a, orang Islam telah mula berani untuk menunaikan solat di Tanah Haram.

Abdullah bin Mas’ud berkata: ‘Pengislaman Umar Al-Khattab adalah satu kejayaan yang sangat besar. Penghijrahannnya ke Madinah menambahkan kekuatan dan pengkhalifahannya mendatangkan sebesar-besar rahmat kepada orang Islam.’

Ketakutan Umar Al-Khattab Terhadap Allah

Suatu ketika beliau sedang sibuk dengan satu pekerjaan yang penting. Pada ketika itu, datang seorang membawa pengaduan mengenai suatu hal kecil agar beliau dapat menyelesaikannya. Umar Al-Khattab r.a lalu memukul bahu pemuda itu sambil berkata: ‘Apabila aku duduk untuk menerima perkara tersebut, kamu tidak datang menemuiku tetapi apabila aku sibuk dengan lain-lain perkara yang penting kamu mencelahiku dengan perkara remeh temeh.’
   
Pemuda itu pun pergi dari situ. Tetapi Umar Al-Khattab r.a memanggilnya kembali dan memberinya cemeti lalu berkata: ‘Pukullah aku dengan cemeti ini supaya kesalahanku terbalas.’

Pemuda itu berkata; ‘Aku maafkan kamu kerana Allah.’

Umar Al-Khattab r.a pulang ke rumahnya lalu bersolat taubat dua rakaat serta mencela dirinya sendiri: ‘Wahai Umar Al-Khattab! Kamu dahulukan hina maka Allah mengangkat darjatmu, kamu sesat tetapi Allah telah memberikan kamu hidayah kepadamu, kamu dulu sangat mengaibkan tetapi Allah memuliakan kamu serta mengurniakan kamu kekuasaan terhadap orang lain. Sekarang apabila salah seorang datang kepadamu mengadu mengenai sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya untuk diselesaikan, kamu memukulnya? Apakah jawapan yang akan kamu berikan di hadapan Allah kelak?’

Beliau menangis begitu lama seperti tangisan kanak-kanak kecil. Suatu hari Umar Al-Khattab membuat rondaan biasanya ke Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya api. Beliau berkata: ‘Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah suatu khalifah yang tidak dapat memasuki Bandar kerana waktu telah gelap. Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu untuk mereka.’

Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang terjerang. Umar Al-Khattab menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar Al-Khattab bertanya: ‘Mengapa kanak-kanak itu menangis?’

Wanita itu tidak mengenali Umar Al-Khattab dan dia menjawab pertanyaan Umar Al-Khattab dengan sedih: ‘Mereka lapar.’

‘Apakah yang ada dalam periuk?’ Umar Al-Khattab bertanya.

‘Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan mengadili Umar Al-Khattab pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam kesusahan’, kata wanita itu.

Umar Al-Khattab menangis apabila mendengar kata-kata wanita itu. ‘Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar Al-Khattab dapat mengetahui kesusahanmu ini?’

Wanita itu menjawab: ‘Apabila dia menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami.’

Umar Al-Khattab pun kembali ke bandar dan terus ke Baitulmal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi beliau berkata kepada Aslam: ‘Sekarang letakkanlah karung ini di belakangku wahai Aslam.’

Aslam enggan lalu menjawab: ‘Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya.’

Umar Al-Khattab enggan mendengar kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul barang itu di atas pundaknya sambil berkata: ‘Apa! Mahukah kamu memikul beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini kerana aku akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak.’

Dengan perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang Umar Al-Khattab lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya.

Aslam berkata; ‘Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar Al-Khattab yang tebal.’

Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata: ‘Semoga Allah memberi ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil tempat Umar Al-Khattab sebagai khalifah.’

Beliau duduk seketika di suatu penjuru yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada Aslam: ‘Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka riang dan ketawa untuk seketika.’

Dikatakan bahawa tatkala Umar Al-Khattab mengimami solat Fajar, beliau selalu membaca Surah Kahf, Thaha dan lain-lain surah sambil menangis begitu kuat sehingga kedengaran tangisannya sehingga ke beberapa saf di belakangnya. Suatu ketika beliau membaca Surah Yusuf dalam solat Fajar sampailah beliau ayat 86 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui.’

Lantas beliau menangis bersungguh-sungguh sehingga tidak boleh meneruskannya lagi. Dalam solat Tahajjudnya kadang kala beliau akan jatuh dan mendatangkan keuzuran disebabkan terlampau banyak menangis.

Bayaran Bantuan Harian Kepada Umar Al-Khattab

Umar Al-Khattab juga hidup dengan berniaga. Apabila beliau dilantik menjadi khalifah selepas Saiyidina Abu Bakar, beliau pun mengumpul orang ramai dan berkata kepada mereka: ‘Aku menyara hidupku dengan berniaga. Disebabkan kamu semua telah melantikku sebagai khalifah, aku tidak dapat lagi pergi berniaga. Jadi bagaimana dengan saraanku sekarang?’

Berbagai saranan diberikan agar bayaran harian daripada Baitulmal diberikan kepadanya. Ali r.a tidak berkata apa-apa. Lalu Umar Al-Khattab pun meminta pandangannya: ‘Wahai Ali! Apakah pendapat kamu?’

Beliau menjawab: ‘Aku cadangkan agar sejumlah wang diambil mencukupi bagi keperluan keluargamu.’

Umar Al-Khattab menerima cadangannya dan jumlah bayaran harian yang sederhana ditetapkan untuknya. Kemudian beberapa orang termasuk Ali, Uthman, Zubair dan Talhah mencadangkan agar bayaran itu ditambah kearana bayaran sebelum itu jauh daripada mencukupi. Tetapi tiada seorang pun yang berani mengesyorkannya kepada Umar Al-Khattab r.a.

Mereka pun berjumpa dengan Ummul Mukminin Hafsah, anak perempuannya dan memintanya mendapatkan persetujuan daripada Umar Al-Khattab tanpa menyebutkan nama orang-orang yang mengesyorkannya. Apabila perkara ini dibawa oleh Hafsah, Umar Al-Khattab menjadi begitu marah dan berkata: ‘Siapakah yang mengesyorkan perkara ini?’

Hafsah menjawab: ‘Berikan pendapatmu dahulu.’

Umar Al-Khattab: ‘Jika aku mengetahui mereka, nescaya aku akan ku tampar muka mereka. Hafsah! Ceritakanlah kepadaku pakaian Rasulullah yang terbaik yang ada di rumahmu?’

Hafsah: ‘Sepasang kain kemerah-merahan yang dipakai oleh Rasulullah pada hari Jumaat atau tatkala menerima perutusan.’

Umar Al-Khattab: ‘Apakah jenis makanan yang terbaik yang pernah dimakan oleh Rasulullah di rumahmu?’

Hafsah: ‘Kami makan roti barli biasa. Pada suatu hari daku telah menyapu sekeping roti daripada bekas minyak sapi dan baginda makan dengan penuh selera dan menyungguhkannya kepada orang lain.’

Umar Al-Khattab: ‘Apakah jenis hamparan tidur yang terbaik yang digunakan oleh Rasulullah di rumahmu?’

Hafsah: ‘Sehelai kain tebal. Pada musim panas ia dilipat empat dan pada musim sejuk ia dilipat dua, sebahagian dijadikan selimut untuk menutupinya.’

Umar Al-Khattab: ‘Hafsah! Pergilah beritahu orang-orang ini bahawa Rasulullah telah menunjukkan satu tauladan peribadinya. Aku mesti ikut teladan itu. Perumpamaan bagi kami bertiga yakni aku, Rasulullah dan Abu Bakar adalah seumpama tiga orang yang bermusafir melalui sebatang jalan yang sama.’

Orang yang pertama (Rasulullah) yang memulakannya dengan perbekalan dan telah mencapai matlamatnya. Yang kedua (Abu Bakar) mengikuti jejaknya dan telah bertemu dengannya. Sekarang orang yang ketiga sedang dalam perjalanan. Jikalau dia menuruti jejak mereka nescayalah dia juga akan bertemu dengan mereka. Jika tidak menyimpanglah dia.

Suatu ketika beliau terlewat untuk solat Jumaat lalu beliau memberitahu jemaah: ‘Maafkan aku tuan-tuan semua. Aku terlewat disebabkan pakaianku sedang dibasuh dan aku tidak punya pakaian lain.’

Suatu ketika beliau sedang menghadapi makanan, seorang sahabat ‘Utbah bin Abi Farqad meminta izin untuk berjumpa dengannya. Beliau mengizinkannya dan menjemputnya makan bersamanya. ‘Utbah pun mulalah makan tetapi roti terlalu kasar sehinggalah beliau tidak dapat menelannya. Beliau pun bertanya: ‘Kenapa tuan tidak menggunakan tepung yang lebih baik untuk rotimu wahai Umar Al-Khattab?’

Beliau berkata: ‘Adakah setiap orang Islam mampu memperolehi tepung yang baik untuk membuat rotinya?’

Lalu ‘Utbah menjawab: ‘Tidak. Tidak semua orang Islam mampu untuk berbuat sedemikian.’

Umar Al-Khattab berkata lagi: ‘Oh! Kamu ingin agar aku mengecapi segala kelazatan ketika aku masih di dunia.’

Begitulah antara kisah mengenai kezuhudan para sahabat nabi. Dengan menjadikan sahabat nabi sebagai contoh, sekurang-kurangnya kita merasa malu untuk berlumba-lumba di antara satu sama lain dalam mengejar kemewahan duniawi.

Kecintaan Terhadap Rasulullah

Sesiapa pun tidak dapat menafikan keberanian, ketabahan dan kekuatan Umar Al-Khattab yang apabila disebutkan namanya sahaja bisa menggentarkan hati dengan penuh ketakjuban dan penghormatan walaupun itu semua sudah berlalu lebih 1400 tahun dahulu.

Sebelum Umar Al-Khattab memeluk Islam, penyeruan dan pengakuan iman tidak dapat dilakukan secara terang-terangan. Sebaik sahaja beliau memeluk Islam, mulalah orang-orang Islam bersolat di Tanah Haram kerana seorang pun tidak berani mendatangkan mudarat apabila Umar Al-Khattab berada di belakang mereka.

Walaupun ciri-ciri kepimpinan ada terdapat pada Umar Al-Khattab, namun gelombang kejutan dengan kewafatan Rasulullah s.a.w sukar dibendungnya. Beliau berdiri dengan pedang terhunus di tangannya, bingung dan keliru sambil berkata: ‘Daku akan memancung kepala sesiapa sahaja yang berkata Rasulullah telah wafat. Rasulullah hanya pergi menemui Tuhannya sebagaimana Musa a.s pergi ke Bukit Thur. Baginda akan segera kembali dan akan mengerat tangan dan kaki mereka yang menyebarkan berita palsu mengenai kewafatannya.’

Sementara itu Uthman terpegun dan sedih dengan kejadian ini. Sepatah perkataan pun tidak terekeluar dari mulutnya sehinggalah keesokan harinya. Beliau mundar mandir seolah-olah kehilangan kata-kata. Ali dalam keadaan yang berdukacita yang teramat sangat. Beliau kaku tanpa bergerak-gerak.

Hanyalah Abu Bakar, didorong dengan cinta kasih terhadap Rasulullah tetap teguh seumpama batu menghadapi keadaan berdukacita. Beliau tidak kehilangan punca. Dengan tenang beliau masuk ke rumah Rasulullah lalu mencium dahi baginda. Kemudian beliau muncul kembali kepada orang ramai. Katanya seperti firman Allah: ‘Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad). Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.’ (Surah Ali Imran: 144)

Sumbangan Khalifah Umar Al-Khattab

Saiyidina Umar Al-Khattab telah memerintah selama 10 tahun dari 13- 23 Hijrah dan perlantikan sebagai khalifah telah dicalonkan oleh Abu Bakar dan dipersetujui oleh umat Islam. Pada zaman pemerintahan beliau, beliau telah melakukan banyak pembaharuan dalam pentadbiran Islam dan perluasan wilayah Islam serta mengembangkan dakwah Islamiah. Selain itu, telah berlaku kegemilangan Islam terutama dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan agama. Khalifah Umar Al-Khattab telah meninggal dunia pada 23 Hijrah.

Nama penuhnya ialah Umar bin Al-Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza bin Rabah bin Abdullah bin Qarth bin Razah bin Adiy bin Kaab. Di lahirkan pada tahun 583 Masehi dan berasal daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia, megah, dan berkedudukan tinggi. Sewaktu kecil, beliau pernah mengembala kambing dan apabila dewasa beliau berniaga dengan membawa barang dagangan berulang-alik ke Syam.

Pada zaman Jahiliah, beliau pernah menjadi pendamai ketika terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani, tegas dalam berbicara, dan berterus terang ketika menyatakan fikiran, serta pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemidato dan juga seorang ahli gusti.

Saiyidina Umar Al-Khattab memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi Muhammad. Beliau merupakan pemberi sumbangan yang sangat besar terhadap perkembangan Islam. Sebelum itu beliau merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam. Ramai orang Islam yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbang akan orang Quraisy yang selalu merancang untuk mengusir mereka.

Setelah beliau memeluk Islam, ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak berasa curiga lagi untuk mengerjakan ibadat. Beliau digelar ‘Al-Faruq’ yang bermaksud orang yang membezakan hak dan yang batil. Gelaran ini diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka buat pertama kali dalam sejarah Islam.

Hijrah

Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi, tetapi Khalifah Umar Al-Khattab keluar secara terang-terangan bersama pedang di tangan. Beliau sedia untuk menghunus sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya keluar berhijrah.

Ketika Khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba, beliau memanggil para sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi menggantikan pentadbiran beliau sebagai khalifah. Khalifah Abu Bakar mencadangkan nama Saiyidina Umar Al-Khattab untuk dicalonkan memegang jawatan tersebut dan seterusnya mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan orang ramai.

Khalifah Umar Al-Khattab meninggal dunia pada malam Rabu di akhir bulan Zulhijjah tahun 23 Hijrah, sewaktu berumur 63 tahun iaitu setelah beliau memerintah negara Islam selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari. Beliau wafat kerana ditikam oleh Abu Lu’luah yang berbangsa Parsi dan beragama Majusi. Beliau dimakamkan di Madinah, berhampiran dengan makam Rasulullah s.a.w dan Khalifah Abu Bakar.

Corak Pentadbiran Umar Al-Khattab

Dalam bidang pemerintahan, langkah pertama yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab sebagai khalifah adalah meneruskan langkah yang telah ditempuh oleh Khalifah Abu Bakar iaitu dalam memperluaskan wilayah Islam ke luar Semenanjung Arab. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, terjadinya perluasan kuasa Islam secara besar-besaran sehingga zaman ini dengan nama Futuhat al-Islamiyah (perluasan wilayah Islam). Pasukan Islam berjaya menduduki Syria, Iraq, Mesir, Palestin dan Parsi berturut-turut (Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam,2010).

Penubuhan Majlis Syura

Khalifah Umar Al-Khattab telah menubuhkan Majlis Syura yang merupakan lembaga (Majlis Perunding Negara) yang tertinggi. Ia terbahagi kepada 2 majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am. Anggota Majlis Syura Tertinggi terdiri daripada Uthman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib, Waqqas Bin Muaz Bin Jabal. Semua perkara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama. Majlis Syura juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar. Melalui amalan sistem syura, Umar Al-Khattab telah membuka peluang dan kebebasan yang seluasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka dari kebaikan dan keadilan Islam sehingga beliau menganggap bahawa manusia yang tidak dapat atau tidak mahu memberi pendapat adalah manusia yang tidak berguna.

Perbahagian Wilayah Islam

Umar Al-Khattab telah membahagikan Kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pemerintahan Islam. Ia terdiri daripada Hijaz, Syiria, Iran, Iraq, Mesir, Palestine, Juzirah dan Madinah. Setiap wilayah dilantik beberapa orang pegawai. Mereka dikehendaki datang ke Mekah pada setiap tahun untuk membuat laporan setelah menunaikan haji. Orang ramai pula berpeluang untuk mengadukan hal tentang pegawai-pegawai yang ditugaskan itu.

Antara pegawai yang terkenal ialah Muawiyah Bin Abu Sufian, Amru Bin al-As, Zaid Bin Smyah dan sebagainya. Di antara jawatan utama yang dilantik di setiap wilayah adalah Wali (Gabenor) yang menjadi ketua pentadbir awam dan panglima tentera, pengarah perbendaharaan, pemungut cukai, ketua polis, hakim (Qadi). Sebelum seseorang Gabenor dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta-benda masing-masing demi mengelakkan amalan rasuah. Mereka juga diisytiharkan bahawa tidak menunggang kuda Turki atau memakai pakaian yang mahal.

Memperbaharui Undang-undang Pentadbiran Tanah

Apabila wilayah jajahan Islam menjadi semakin luas, beberapa pembaharuan dalam undang-undang pentadbiran tanah telah diperkenalkan. Misalnya, di Iraq, Syria dan Mesir, segala tanah awam (sawafi) adalah hak kerajaan tempatan dan segala hasil daripada tanah-tanah itu akan digunakan untuk membiayai kemudahan awam negara. Tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduk Iraq tidak boleh dirampas tetapi dikenakan cukai oleh Kerajaan Islam.

Tanah-tanah milik pemerintah Rom di Mesir dan Syiria dirampas dan dibahagikan kepada para petani. Tentera atau umat Islam tidak dibenarkan mengambil tanah-tanah di negara jajahan melainkan pembelian. Hal ini berbeza dengan amalan sebelumnya di mana tanah-tanah jajahan akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

Pembaharuan Dalam Ekonomi

Kadar dan sistem pungutan cukai telah diubah. Cukai dikenakan mengikut perbezaan jenis tanaman dan kualiti tanah. Sebagai contoh, kadar cukai untuk tanaman gandum adalah 2 kali ganda daripada cukai untuk tanaman barli. Ladang-ladang subur dikenakan cukai yang lebih tinggi. Peraturan-peraturan yang tidak adil telah dihapuskan.

Umar Al-Khattab sering meninjau daripada golongan Dhimmi dan pegawai-pegawai pemungut cukai untuk menentukan sama ada cukai atau jizyah yang dikenakan menyusahkan mereka atau tidak. Sistem pemungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharaan negara bertambah. Umar Al-Khattab turut memajukan sektor pertanian negara. Rakyat digalakkan untuk membuka tanah-tanah baru. Hak milik tanah-tanah pertanian diserahkan kepada sesiapa yang mahu mengusahakannya. Namun hak tersebut akan terlupus jika ia gagal menunjukkan hasil dalam tempoh 3 tahun. Beberapa pengairan telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq untuk meningkatkan lagi hasil pertanian. Umar Al-Khattab turut memberikan perhatian supaya amalan penindasan ke atas petani tidak berlaku.

Pembaharuan Pentadbiran Ketenteraan

Umar Al-Khattab adalah khalifah pertama yang memberikan gaji kepada tenteranya. Tentera Islam telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu tentera tetap dan sukarela. Tentera tetap diberikan gaji, pakaian seragam dan keluarga mereka turut mendapat bantuan. Pusat-pusat ketenteraan telah ditubuhkan di bandar-bandar utama seperti Madinah, Kufah, Basrah, Mawsil, Fustat, Hims dan sebagainya.

Tentera-tentera akan dikenakan peraturan dan disiplin tertentu yang sesuai dengan ajaran Islam. Pusat-pusat tentera ini kemudiannya telah tumbuh sebagai pusat kebudayaan Islam. Umar Al-Khattab telah mengarahkan Abdullah Bin Qaisy untuk membina kubu-kubu pertahanan di sempadan yang menghadap negara musuh demi keselamatan.

Tentera-tentera diwajibkan menjalani latihan ketenteraan seperti menunggang kuda, berjalan kaki tanpa kasut dan sebagainya. Ia bertujuan untuk menanamkan semangat perjuangan pada setiap masa. Umar Al-Khattab juga menubuhkan jabatan penyiasatan jenayah tentera rahsia.

Pembaharuan Bidang Kehakiman

Umar Al-Khattab telah mengetatkan syarat-syarat perlantikan seseorang untuk menjadi hakim supaya golongan yang layak sahaja akan memikul tugas tersebut. Seseorang itu mestilah mempunyai ilmu yang lengkap, dihormati oleh masyarakat. Gaji untuk hakim telah dinaikkan supaya mengelakkan kecenderungan menerima rasuah. Para hakim tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan. Jabatan kehakiman telah dipisahkan sepenuhnya daripada jabatan-jabatan lain dan mempunyai mahkamah keadilan dan kadi-kadi khas untuk menguruskan perbicaraan serta peraturan-peraturan kehakiman yang tertentu.

Pembaharuan Dalam Bidang Sosial

Golongan Dhimmi ialah orang-orang bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam dengan dikenakan cukai jizyah. Umar Al-Khattab telah memperkenalkan beberapa polisi baru ke atas golongan ini supaya kedudukan sosioekonomi dan politik mereka tetap dijaga. Beliau telah menetapkan cukai jizyah dan cukai tanah yang rendah kadarnya supaya tidak menyusahkan mereka. Taraf dan hak awam ke atas golongan ini diberikan sama seperti yang dinikmati oleh masyarakat Islam. Golongan Dhimmi yang masih menentang Kerajaan Islam akan dihalau keluar negara. Namun, harta-benda mereka tidak akan dirampas manakala harta benda yang tidak boleh dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh Kerajaan Islam.

Taraf Baru Untuk Golongan Hamba

Beberapa pembaharuan yang dilakukan untuk menjaga kepentingan sosial, taraf dan kedudukan golongan hamba dalam masyarakat. Hal ini bertujuan supaya mereka tidak dihina atau ditindas. Hanya orang-orang yang benar-benar terlibat menentang Islam dalam peperangan sahaja akan dijadikan hamba. Hal ini bermakna penduduk awam dalam negara yang dijajah akan terus dibenarkan hidup bebas.

Hamba perempuan yang menjadi ibu pula tidak boleh dijual beli sewenang-wenangnya seperti harta-harta yang lain. Hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari anggota keluarganya yang lain. Oleh itu, hamba yang berkeluarga mestilah dibeli atau dijual bersama-sama dengan anggota keluarganya. Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam hal-hal tertentu. Pegawai-pegawai yang tidak menghormati kebajikan hamba di bawah jagaannya akan dikenakan tindakan oleh Umar Al-Khattab. Beliau pernah melucutkan jawatan salah seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.

Menggalakkan Kegiatan Keilmuan Dan Pelajaran

Pelbagai langkah telah dijalankan untuk mengembangkan pengajaran Al-Quran. Guru-guru telah disediakan bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan mereka dihantar ke serata tempat yang memerlukannya serta diberikan gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah telah ditubuhkan di masjid-masjid untuk mengajar pelajaran Al-Quran di seluruh wilayah Islam. Umat Islam telah diwajibkan untuk menghafal surah-surah tertentu dalam Al-Quran yang menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti Surah al-Baqarah, al-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan yang menghafal seluruh isi kandungan Al-Quran akan diberi pelbagai ganjaran sebagai usaha untuk menggalakkan mereka menghafal kandngan Al-Quran.

Kemudahan-kemudahan Lain

Umar Al-Khattab bertanggungjawab memulakan sistem kalendar Islam dengan menggunakan Tahun Hijrah yang umat Islam gunakan hingga kini. Umar Al-Khattab adalah khalifah yang pertama memperkenalkan pasukan polis yang digelar ‘Andath’. Hukum buang daerah telah diperkenalkan oleh Umar Al-Khattab. Baginda telah menjatuhkan hukuman buang daerah ke sebuah pulau ke atas Abu Mihjan Thaqafi kerana bersalah minum arak. Baginda turut membangunkan kota-kota baru seperti Basrah, Kufah, Fustat dan Mausil. Basrah (Iraq) dibina pada tahun 14 H. Penduduk asalnya berjumlah 800 orang telah meningkat kepada 100,000 orang. Dalam zaman Kerajaan Umayyah, ia mempunyai penduduk seramai 120,000 orang. Kufah di Iraq mempunyai penduduk asal seramai 40,000 orang.

Umar Al-Khattab menunjukkan minatnya kepada pembinaan kota ini dengan menyediakan sendiri sebahagian daripada pelan dan peta kota itu. Jalan raya yang dibina seluas 60 kaki dan masjid negerinya boleh memuatkan seramai 40,000 orang jemaah. Umar Al-Khattab pernah menggelarkan kota Kufah sebagai ‘Rasulul-Islam’ atau pusat Islam. Fustat dibina oleh Amru Bin al-As atas arahan Umar Al-Khattab. Ia dipanggil sebagai kota Islam yang paling indah selepas kota Baghdad.

Umar Al-Khattab telah membina banyak masjid dan memerintahkan gabenor Islam supaya membina sekurang-kurangnya sebuah masjid di setiap bandar. Beliau juga mengarahkan pembinaan pejabat-pejabat Baitulmal di seluruh wilayah Islam. Rumah-rumah rehat untuk pengembara turut dibina.

Memajukan Sektor Pertanian

Umar Al-Khattab telah membina tali air dan terusan supaya hasil pertanian bertambah. Di antaranya ialah Terusan Amirul Mukminin (Mesir) yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laur Merah sepanjanag 69 batu dari Bandar Fustat. Di Iraq, dibina Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigris) dengan bandar Basrah. Satu kaji selidik telah dilangsungkan di Iraq untuk memudahkan penaksiran cukai dan menentukan jenis tanaman untuk pertanian. Rakyat digalakkan membuka tanah-tanah pertanian dan akan dikenakan syarat bahawa hak milik ke atas tanah tersebut akan ditarik balik sekiranya gagal mendatangkan hasil dalam masa 3 tahun.

Menggalakkan Kegiatan Keilmuan Dan Pembelajaran

Khalifah Umar Al-Khattab telah melakukan pelbagai langkah untuk mengembangkan pelajaran Al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan guru-guru dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Banyak sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi mengajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya, umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam Al-Quran. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai usaha untuk menggalakkan mereka menghafal kandungan Al-Quran (Siti Hajar Abdullah,2009).

Menguatkan Sistem Pertahanan

Di bidang keselamatan dalam negeri, beliau telah menubuhkan pasukan polis. Bagi mengukuhkan sistem pertahanan, beliau telah membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut. Beliau juga merupakan seorang pahlawan yang telah berjaya menundukkan Parsi dan Rom selain turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi mengembangkan kebudayaan Islam. Selain itu, beliau juga memajukan bidang pertanian dan mengasaskan sistem pelajaran Islam demi meningkatkan sistem pertahanan negara (sumbangan Saiyidina Umar Al-Khattab, 2010).

Baitulmal

Umar Al-Khattab telah menubuhkan Baitulmal untuk menyimpan harta dan khazanah kerajaan. Sumber utama kewangan negara dikutip daripada orang Islam melalui zakat dan usyur (zakat tanaman). Daripada orang bukan Islam, cukai diperolehi melalui jizyah dan kharaj (cukai tanah). Baitulmal juga memperolehi hasilnya daripada al-Fai iaitu harta benda rampasan daripada pihak musuh tanpa peperangan dan ghanimah iaitu harta rampasan perang.

Umar Al-Khattab adalah seorang pentadbir yang amat cekap dan bijak serta banyak melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran negara Islam. Dalam zaman pemerintahannya, beliau berjaya memperluaskan wilayah Islam dan membebaskan rakyat yang ditindas oleh penjajahan Parsi dan Rom.

Pemerintahan Umar Al-Khattab dianggap sebagai ‘zaman keemasan Kerajaan Islam’. Beliau telah memperkenalkan sebanyak 41 buah pembaharuan berdasarkan Al-Quran dan Hadis dan digelarkan Awliat-i-Umar Al-Khattab. Beliau telah meninggal dunia dalam Zulhijah 23 H setelah dibunuh oleh seorang hamba berbangsa Parsi bernama Fairuz.

Bersifat Inovatif

Umar Al-Khattab merupakan khalifah Islam kedua yang bersifat inovatif lakukan pembaharuan dari segi kepemimpinan serta perluasan wilayah. Umar Al-Khattab adalah penyandang pertama gelaran Amir Al-Mukminin (ketua kaum beriman) dianggap sebagai Bapa Pemodenan Pentadbiran Islam. Pengalaman luas sebagai hakim, duta dan penasihat pada zaman Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar As-Siddiq menjadikannya pentadbir unggul ketika menduduki kedudukan puncak sebagai khalifah kedua. Ini ditambah pula dengan keistimewaan lain yang dimilikinya termasuk keberanian, ketajaman akal dan kepetahannya. 

Antara dipelopori Umar Al-Khattab dalam bidang pentadbiran dan pengurusan termasuk apa yang kini disebut ‘Pengurusan Turun Padang’ dan ketika ini disebut sebagai Management by Walking Around (WO) dan sentiasa bersiap sedia. Ketika menjadi khalifah beliau sering meninjau sendiri keadaan kehidupan rakyat dengan menyamar diri. Dengan demikian, beliau mendapat gambaran secara langsung mengenai realiti sebenar seterusnya beliau membuat keputusan serta mengambil langkah penyelesaian dengan serta-merta. 

Dasar Pentadbiran

Dasar pentadbiran yang mementingkan kerja kuat, cekap dan cepat demi kebajikan serta kesejahteraan rakyat, Umar Al-Khattab berjaya memberi contoh terbaik bagaimana pentadbiran berasaskan tindakan dan mementingkan pelanggan itu dilaksanakan. Selain itu, Umar Al-Khattab terus mengekalkan dan mengembangkan gaya pengurusan partisipatif menerusi institusi dan amalan syura yang memberi ruang seluasnya kepada semua pihak terbabit (terutama gabenor, panglima tentera dan pegawai) untuk berperanan dalam proses membuat keputusan, nasihat-menasihat dan ingat-mengingat. 

Dalam sejarah tamadun Islam, era Khalifah Umar Al-Khattab dicatat sebagai era pembaharuan sistem pentadbiran. Beliaulah yang mula-mula membentuk pelbagai dewan. Institusi formal pentadbiran itu diilhamkan daripada sistem jawatan gaya Parsi dan Romawi. Umar Al-Khattab memang seorang yang inovatif dan memiliki kemampuan istimewa mencipta pembaharuan khususnya dalam bidang pentadbiran. Di samping itu, beliau juga seorang yang bersikap akomodatif seperti terbukti daripada kesediaannya menyerap unsur baik dan bermanfaat daripada tamadun asing (Parsi dan Romawi). Sikap Umar Al-Khattab menggambarkan semangat ajaran Islam yang melihat segala yang baik dan bermanfaat (al-Hikma Hijrah) adalah barang hilang milik orang beriman, maka di mana saja ditemui beliau harus diambil. 

Dengan demikian beliau berjaya melakukan pelbagai pembaharuan meliputi gaya kepemimpinan, struktur organisasi, persekitaran dan budaya kerja. Zaman pemerintahan Umar Al-Khattab dilihat sebagai babak sejarah cukup mengagumkan. Pada zaman itulah gerakan perluasan wilayah Islam terlaksana dengan pesat dan jaya hingga meliputi Syria, Iraq, Mesir dan Parsi. Wilayah seluas itu berjaya ditadbir dengan baik dan ini tentu saja berkait dengan pembaharuan pentadbiran Umar Al-Khattab yang meliputi pelbagai bidang termasuk ketenteraan (sistem tentera bergaji), kehakiman (pemisahan daripada eksekutif) dan perkhidmatan awam. 

Keseluruhannya, tidak banyak perubahan pentadbiran berlaku pada zaman kedua-dua khalifah selepasnya. Mereka hanya mengekalkan dasar dan sistem diwarisi daripada khalifah terdahulu khususnya Umar Al-Khattab. Hujung pemerintahan Uthman dan sepanjang era pemerintahan Ali, Khalifah Islamiyah dilanda krisis berat termasuk perang saudara yang berlarutan hingga tidak banyak masa dapat ditumpukan kepada pembangunan pentadbiran. Bagaimanapun, di tengah situasi seperti itu sempat juga Saiyidina Ali memberikan sumbangan cukup bererti. Sesuai dengan kekuatannya sebagai seorang ilmuwan, beliau meletakkan dasar falsafah, garis panduan dan kod etika pentadbiran Islam seperti didokumenkan dalam surat dan perutusan kepada gabenor wilayah. Selepas zaman Al-Khulafa’ Al-Rashidun (Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman dan Ali) sistem pemerintahan Islam mengalami perubahan drastik sistem khalifah (berasaskan syura) kepada sistem warisan (kelompok eksklusif keluarga tertentu). 

Implikasi Besar

Implikasi terbesar daripada perubahan itu, lemahnya institusi dan amalan syura dalam pentadbiran Islam. Perkembangan pentadbiran zaman itu ialah penubuhan dan penyusunan semula jawatan ketenteraan, percukaian, persuratan, cap mohor dan kewangan pada peringkat pusat dan jawatan ketenteraan, persuratan dan kewangan pada peringkat wilayah. Pada zaman kerajaan ‘Abbasiyyah diwujudkan beberapa jawatan baru seperti Jawatan Pengaduan Awam (Al-mazalim), Jawatan Pengawasan Harta Khalifah dan Jawatan Kelengkapan Perang. 

Zaman itu juga dianggap sebagai zaman pertembungan tamadun Islam dengan tamadun asing khususnya Parsi dan Rom. Dialog ketamadunan yang pesat ketika itu memperkayakan tamadun Islam termasuk bidang pentadbirannya dengan penyerapan lebih banyak pengaruh Parsi dan Rom. Perkembangan itu berlaku ekoran pentadbiran wilayah bukan Arab yang memang sudah sedia memiliki tradisi pengurusan pentadbiran tersendiri. Dengan demikian bahasa Parsi dan Yunani turut digunakan sebagai bahasa pentadbiran wilayah di samping bahasa Arab. Dasar pengekalan unsur tradisi pentadbiran tempatan ini menyebabkan sebilangan peneliti berkesimpulan bahawa dalam banyak segi pentadbiran Islam zaman itu berasaskan model pentadbiran Byzantium dan Sasan (Al-Buraey). 

Antara institusi penting pentadbiran zaman itu ialah institusi dewan dan hisbah yang ditubuhkan di semua peringkat pusat, wilayah dan daerah. Dewan diperkemaskan hingga dapat berfungsi sebagai jabatan dan kementerian. Antaranya, Jabatan Percukaian atau Perbendaharaan, Jabatan Ketenteraan, Jabatan Mohor dan Jabatan Persuratan. Hisbah adalah institusi penegak kemakrufan dan pencegah kemungkaran. Ketua Hisbah (muhtasib) dipertanggungjawabkan mengawal ketertiban dan kesusilaan rakyat khususnya di persekitaran pasar. 

Wilayah pemerintahan Dar Al-Islam ketika itu meliputi daerah cukup luas dan keadaan ini membawa implikasi pentadbiran yang menjadi bertambah kompleks. Keadaan itu mendorong usaha penulisan buku, risalah dan surat arahan mengenai pentadbiran dan tatanegara. Pada zaman itu, pelbagai karya dijelaskan sebagai genre siyasah shar’iyyah oleh ulama besar seperti Al-Ghazali dengan kitabnya Nasihatu ‘l-Muluk (Nasihat Untuk Raja-raja), Al-Mawardi dengan Al-Ahkam Al-Sultaniyyah (Hukum-hukum Mengenai Pemerintahan) dan Abu Yusuf, Kitab Al-Kharaj (Buku Mengenai Percukaian). 

Pembaharuan Era Pemerintahan Umar Al-Khattab 

  1. Pertubuhan institusi dan sistem Majlis Syura (Majlis Perundingan) terdiri daripada dua peringkat utama (Majlis Syura Tertinggi (Khalifa Hijrah) dan Majlis Syuara Am). 
  2. Penubuhan Baitulmal bagi menyimpan khazanah negara pada peringkat pusat dan wilayah. 
  3. Penubuhan jawatan awam (dewan) untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai seperti Jawatan Ketenteraan, Jawatan Pengaduan Awam dan Jawatan Dokumentasi. 
  4. Pembinaan bandar seperti Kufah, Basrah, Fustat dan lain-lain. 
  5. Penubuhan Dana Wakaf (Dar Al-Daqiq) dengan tujuan mengumpul sumbangan (sedekah, derma) yang kemudian diagihkan kepada pihak memerlukan. 
  6. Pembaharuan dasar berkaitan sistem percukaian, tanah dan taraf kaum hamba. 
  7. Pengenalan sistem kalendar Islam. 
  8. Penubuhan pasukan polis. 
  9. Pembinaan intelektual: memperbanyak pembinaan sekolah. 
  10. Perumusan kod etika bagi pemimpin, hakim dan tentera. 
  11. Pengemasan syarat perlantikan jawatan utama dalam pentadbiran seperti Gabenor (Wali), Pengarah Perbendaharaan (Sahib Bayt Al-Mal), Pemungut Cukai (Sahib Al-Kharaj), Ketua Polis (Sahib Al-Ahdat Hijrah) dan Hakim (Qadi). 

 Sistem Politik Khalifah Umar Al-Khattab

* Perluasan Wilayah-Wilayah Kerajaan Islam

Melalui dasar pembukaan negara-negara dan kawasan baru (futuhat) yang dijalankan oleh Saiyidina Umar ibn Al-Khattab, pengaruh kekuasaan kerajaan Islam terus berkembang luas. Dalam masa pemerintahan beliau penguasaan kerajaan Islam tidak sahaja terhad di kawasan empayar Parsi dan Byzantium, malahan telah melewati kawasan-kawasan luar sehingga sampai ke perbatasan negeri China dan Benua Kecil India di sebelah Timurdan ke Afrika Utara dan Eropah di sebelah Barat. Melalui kejayaan yang telah dicapai Islam dapat disebarkan kepada para penduduk setempat di kawasan-kawasan tersebut.

* Pentadbiran wilayah

Membahagikan wilayah-wilayah yang ditakluki oleh tentera-tentera Islam kepada beberapa bahagian, iaitu: Basrah, Syam, Jazirah (Mesopotamia), Mausil, Yaman dan Bahrain. Penduduk-penduduk wilayah yang dikuasai oleh tentera Islam telah disusun mengikut sistem unit (‘Arafah) yang terdiri daripada tujuh unut suku: suku Kinanah dan sekutunya, Jadilah Bani Amr ibn Qays Alan, Buda dan sekutunya, Madhhij dan sekutunya, Tamin dan sekutunya,Iyad dan sekutunya. Setiap unit sosial ini mempunyai perkampungan dan ketua masing-masing yang dibayar gaji dan elaun mengikut kadar yang ditetapkan.

* Struktur dan Organisasi Pentadbiran Umar ibn Al-Khattab

Pentadbiran kerajaan Islam Wilayah diketuai oleh gabenor (Wali) yang bertanggungjawab secara lansgsung kepada khalifah, dibantu oleh seorang setiausaha (katib), jabatan setiausaha tentera (Katib al-Diwan), jabatan percukaian (Sahih al-Kharraj), pegawai polis (Sahih al-Shurtah), pegawai perbendaharaan negara (Sahih Baytilmal) dan seorang kadi.

Semua pegawai yang dilantik oleh khalifah Umar ibn Al-Khattab, termasuklah gabenor, telah diberikan surat perintah oleh Khalifah Umar ibn Al-Khattab. Surat perintah ini menyebutkan bidang tugas dan kuasa mereka. Sebelum seseorang pegawai itu dihantar ke wilayah-wilayah berkenaan, rakyat terlebih dahulu diberitahu tentang kuasa dan tugas pegawai tersebut supaya tidak timbul kekeliruan kemudian hari.

Demikian juga apabila seorang pegawai dilantik, terlebih dahulu diperiksa harta benda dan juga peribadinya sebagai langkah ke arah mencegah berlakunya penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadinya. Demikian pula apabila seseorang pegawai berhenti kerja segala hartanya dihitung sekali lagi. Jika terdapat hartanya berlebihan dan terbukti harta itu didapatinya dengan cara melanggar peraturan negara, maka harta itu akan diambil dan diserahkan kepada perbendaharaan negara (Bayt al-Mal).

Setiap tahun pada musim haji pegawai-pegawai kerajaan diminta hadir ke Tanah Suci Mekah untuk memberikan laporan tentang sebarang perkara berhubung dengan pentadbiran wilayah. Di samping itu pula, rakyat jelata yang mengerjakan ibadat haji diberikan hak untuk menyuarakan sebarang perkara atau aduan tentang pegawai-pegawai tersebut. Jika sekiranya terdapat sebarang kezaliman yang dilakukan oleh pegawai-pegawai berkenaan, Khalifah Umar ibn Al-Khattab tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka.

* Penubuhan Bayt al-Mal (Perbendaharaan Negara)

Khalifah Umar ibn Al-Khattab merupakan orang yang pertama menubuhkan institusi Bayt al-Mal atau Perbendaharaan Negara, tempat semua harta kerajaan disimpan. Sebuah buku kira-kira negara telah disediakan untuk mengetahui wang keluar-masuk dari segi pendapatan dan perbelanjaan negara. Sumber-sumber kewangan negara adalah daripada pendapatan bayaran zakat, harta rampasan perang (ghanimah), harta rampasan tanpa perang (fay’), cukai perlindungan (jizyah), cukai tanah (kharj), cukai perniagaan (ushur) dan harta peninggalan orang mati yang tidak mempunyai waris.

* Pentadbiran Tanah

Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera Islam telah dibahagikan kepada dua jenis: tanah dhimmah iaitu tanah yang bertuan dan tanah sawf iaitu tanah yang tidak bertuan. Tanah dhimmah ditadbir oleh pemilik-pemiliknya yang asal, sementara tanah sawf ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah yang dilantik daripada golongan Ahl al-Ayym, iaitu golongan peneroka atau juga disebut juga Ahl al-Fay.’ Tanah-tanah ini tidak boleh dibeli atau dimiliki oleh sesiapa bagi mengelakkan daripada berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.

* Pembinaan Bandar-bandar Tentera (maslih)

Khalifah Umar ibn al-Khattab telah membina bandar-bandar tentera masalih seperti bandar Kufah, Basrah, Damsyik, dan Fustat. Bandar-bandar ini dijadikan pusat tentera dan di sini didirikan khemah-khemah tentera. Tujuannya adalah apabila mereka selesai menjalani ekspedisi, mereka akan kembali ke situ dan tidak perlu balik ke Madinah kerana terlalu jauh.

Tujuan lain adalah untuk mengawal sempadan wilayah-wilayah yang sudah ditakluki dari bandar-bandar tersebut. Di tengah-tengah bandar tersebut didirikan pula masjid-masjid sebagai tempat ibadat dan pusat penyatuan masyarakat Islam. Dari bandar-bandar tentera tersebut kemudiannya agama dan kebudayaan Islam disebarkan. Bangunan-bangunan masjid yang terdapat di bandar-bandar itu kemudiannya menjadi lambing seni bina dan keagungan Islam.

* Peraturan dan Arahan Baru

Bagi menjaga kemurnian ajaran Islam, beliau membuat suatu peraturan baru, iaitu tidak membenarkan para sahabat Rasulullah s.a.w berhijrah ke luar daripada Hijaz kerana takut dan bimbang dipengaruhi oleh pemikiran dan budaya asing. Oleh sebab itulah apabila selesai sahaja ekspedisi, para sahabat yang terdiri daripada kaum Muhajiran dan Ansar yang merupakan tunggak ilmu dan pemikiran Islam pada waktu itu diarah pulang ke Hijaz (Madinah, Mekah dan Ta’if).

Untuk melincinkan urusan pentadbiran negara Umar ibn al-Khattab telah membentuk Majlis Shara yang dianggotai oleh enam orang tokoh Islam yang terdiri daripada sahabat Rasulullah s.a.w yang terkenal iaitu ‘Uthman ibn ‘Affan, ‘Ala ibn Aba Talib, Sacd ibn Aba Waqas, ‘Abd Rahman ibn Awf, Talhah dan al-Zubayr. Fungsi utama badan ini untuk memberi nasihat dan menentukan jawatan khalifah selepas beliau.

Kesimpulan

Khalifah Umar Al-Khattab adalah profil seorang pemimpin yang berjaya, mujtahid (ahli ijtihad) yang ulung, dan sahabat Rasulullah s.a.w. yang sejati. Kejayaan dalam mengibarkan panji-panji Islam mengundang rasa iri dan dengki dalam hati musuh-musuhnya. Salah seorang musuhnya, Abu Lu’lu’ah, telah mengakhiri hidupnya dengan cara yang amat tragis. Dia menikam Khalifah Umar Al-Khattab tatkala sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh. Beliau wafat pada usia 63 tahun setelah lebih kurang 10 tahun memegang amanah sebagai khalifah.

Sumbangan dan jasa Khalifah Umar Al-Khattab adalah menyusun pentadbiran dan pembentukan syura. Selain itu, beliau menubuhkan beberapa jabatan seperti ‘dewan al-janad’ dan ‘dewan al-jarah.’ Khalifah Umar Al-Khattab juga telah mengadakan peraturan tanah negara, menetapkan kalendar Islam bermula dari Hijrah Rasulullah s.a.w. dan menubuhkan pasukan polis dan tentera laut.

Khalifah Umar Al-Khattab yang merupakan khalifah yang kedua dalam kerajaan khulafa ar-Rasyidin telah memberi banyak sumbangan kepada umat islam dan seterusnya memberi teladan yang baik untuk dijadikan ikutan umat islam. Kegigihan dan perjuangan Khalifah Umar Al-Khattab bin al Khattab di dalam menegakkan ajaran agama Islam telah memberi kesan yang mendalam pada kerajaan Islam pada masa itu.

Kepimpinan beliau adalah berpandukan akidah yang benar dan sanggup berkorban bagi mempertahankan agama. Merealisasikan Al-Quran terutama dalam akhlak dan penghidupan sehingga menjadi qudwah hasanah, iaitu contoh yang baik.

Kehebatan Umar Al-Khattab

Ubaidullah Bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Umar Al-Khattab memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya: ‘Wahai Amirul Mukminin! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini?’

Jawab Umar Al-Khattab: ‘Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya.’

Keperibadian Umar Al-Khattab

Kata Aslam beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka: ‘Umar Al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata dengannya.’

Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar Al-Khattab berkata: ‘Benarkah mereka berkata demikian?’

‘Demi Allah, saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut Allah marah kepada saya. Bagaimanakah lagi? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka?’

Diriwayatkan oleh Umar bin Murrah bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar Al-Khattab dan berkata: ‘Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu!’

Umar Al-Khattab menjawab: ‘Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim?‘

Jawab lelaki itu: ‘Tidak!’

Kata Umar Al-Khattab lagi: ‘Kalau begitu, biarlah Allah s.w.t menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku.’

Menurut Barrak bin Makrur: ‘Pada suatu hari Umar Al-Khattab naik ke mimbar untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jemaah, ubatnya adalah madu lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah. Kata beliau: ‘Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi kalau tidak diizinkan haram ke atas saya mengambilnya.’

Saiyidina Umar Al-Khattab memeluk Islam pada tahun ke 6 kenabian ketika berumur 27 tahun. Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat Quraisy dan memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa Islam akan menjadi kuat.

Rasulullah s.a.w pernah berdoa; ‘Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab Al-Khatab atau Abu Jahal bin Hisyam.’ (Hadis riwayat At-Thabarani)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah s.a.w juga pernah berdoa: ‘Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab Al-Khatab.’

Sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w berkata: ‘Apabila Umar Al-Khattab memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata: ‘Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan Islamnya Umar Al-Khattab.’

Setelah memeluk Islam, Rasulullah s.a.w telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saiyidina Umar Al-Khattab menjawab: ‘Pada suatu hari, aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: ‘Ya Rasulullah s.a.w, adakah kita dalam kebenaran?’

Jawab Rasulullah s.a.w: ‘Benar!’

Aku berkata lagi: ‘Kenapakah kita beribadah secara sembunyi?’

Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua saf, satu saya dan satu lagi Saiyidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang kafir Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini, lalu Rasulullah s.a.w mengelarkan aku Al-Faruq!

Dengan Islamnya Umar Al-Khattab, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di Baitullah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar Al-Khattab.

Keberanian Umar Al-Khattab

Peristiwa yang menarik perhatian kafir Quraisy Mekah ialah apabila Saiyidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah secara rahsia.

Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah, Saiyidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan: ‘Setelah Saiyidina Umar Al-Khattab membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut di bahunya, sebatang anak panah tergenggam di tangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaabah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Kaabah menyaksikan kehadiran Umar Al-Khattab.’

‘Saiyidina Umar Al-Khattab melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan mendirikan solat.’

‘Selesai solat, Umar Al-Khattab berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. Kata Umar Al-Khattab: ‘Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah.’

Kata Umar Al-Khattab lagi: ‘Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik bukit ini.’

Cabaran Saiyidina Umar Al-Khattab terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar Al-Khattab dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar Al-Khattab, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar Al-Khattab berlawan senjata.

Dari sudut psikologi, cara Umar Al-Khattab mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar Al-Khattab mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah s.w.t. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar Al-Khattab mengajaknya adu senjata.

Saiyidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar Al-Khattab itu berkata: ‘Sesudah itu Umar Al-Khattab melangkahkan kaki meninggalkan kota Mekah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum Muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Mekah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.

Berikutan dari peristiwa itu, maka kaum Muslimin Mekah telah menyahut seruan hijrah. Sehingga tiada lagi para penyokong Nabi s.a.w. yang tinggal di Mekah, kecuali Nabi s.a.w., Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq. Saiyidina Ali bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit, mereka yang tidak kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka yang dikenakan tahanan oleh pihak Quraisy, akibat tindakan mereka menyahut seruan Islam

Hadis Tentang Umar Al-Khattab

  1. Semasa tidur, aku bermimpi bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat seorang perempuan sedang berwudhuk dekat sebuah istana. Aku bertanya untuk siapa istana ini. Katanya: Untuk Umar Al-Khattab. - Hadis riwayat Shiekhaini (Bukhari dan Muslim)
  2. Sesungguhnya Allah menjadikan lidah dan hati Umar Al-Khattab itu di atas kebenaran. - Hadis riwayat At-Turmizi
  3. Sekiranya selepas aku ada nabi, sudah pasti Umar Al-Khattablah orangnya. - Hadis riwayat At-Turmizi
  4. Sesungguhnya aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari Umar Al-Khattab. - Hadis riwayat At-Turmizi
  5. Umar Al-Khattab cahaya bagi penduduk syurga.
  6. Semua malaikat di langit menyayangi Umar Al-Khattab dan semua syaitan di dunia melarikan diri dari Umar Al-Khattab
  7. Sesungguhnya ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi sebutan ramai (kerana kebaikannya), jika perkara ini terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umar Al-Khattablah orangnya. - Hadis riwayat Bukhari.
  8. Tidak ada sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan kemudian diperkatakan oleh Umar Al-Khattab, nescaya turunlah Al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Umar Al-Khattab. (Kata-kata Abdullah bin Umar Al-Khattab)

Umar Al-Khattab Sebagai Orang Yang Pertama

  1. Pertama digelar Amirul Mukminin
  2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
  3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum arak
  4. Pertama mengharamkan nikah mut’ah
  5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
  6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
  7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
  8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
  9. Pertama memperkenalkan Al-’Aul dalam masalah Faraid (harta pusaka)

Umar Al-Khattab Dan Al-Quran

Saiyidina Umar Al-Khattab mempunyai pemikiran yang sangat hebat. Beberapa pendapatnya merupakan sebab turunnya Al-Quran. Di antara ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan sempena pendapat beliau ialah:

  1. Kisah tawanan Badar - ayat 28 Surah Al-Anfal
  2. Ayat Menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat - Ayat 125 Surah Al-Baqarah
  3. Ayat Hijab - Ayat 53 Surah Al-Ahzab
  4. Ayat tentang asal-usul kejadian manusia - Ayat 12 Surah Al-Mukminun
  5. Ayat tentang arak - Ayat 219 Surah Al-Baqarah dan Ayat 43 Surah An-Nisa’
  6. Ayat Larangan Mensolati Jenazah Orang Munafik - Ayat 84 Surah At-Taubah
  7. Kisah orang Munafik - Ayat 6 Surah Al-Munafikun
  8. Ayat 5 Surah Al-Anfal
  9. Ayat 16 Surah An-Nur
  10. Ayat tentang penghalalan jimak di malam bulan Ramadhan - Ayat 187 Surah Al-Baqarah
  11. Ayat 97 Surah Al-Baqarah
  12. Ayat 65 Surah An-Nisa’
  13. Ayat 13 Surah Al-Waqiah

Saiyidina Umar Al-Khattab memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam. Sebelum ini beliau merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam. Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan kepada orang Quraish yang selalu mengancang dan mengusir mereka. Setelah Umar Al-Khattab memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat.

Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi, tetapi Umar Al-Khattab keluar secara berterang-terangan. Pedang di tangannya sedia menghunus kepada sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Ketika khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba, beliau memanggil sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi dilantik menggantikan pentadbiran khalifah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar Al-Khattab untuk dicalonkan memegang jawatan itu. Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan orang-orang ramai.

Ketokohan Umar Al-Khattab

Sejarah pemerintahan Khulafaur-Rasyidin penuh dengan pelajaran dan ibrah (iktibar). Para sahabat pada ketika itu, benar-benar mengamalkan hukum-hukum Islam dan menyebarkan syiarnya ke seluruh penjuru dunia. Zaman mereka adalah sebaik-baik zaman. Merekalah yang mengajarkan Al-Quran kepada umat dan meriwayatkan sunnah dan atsar daripada Rasulullah s.a.w.

Hakikatnya, sejarah mereka adalah harta simpanan yang memelihara pusaka umat Islam berupa pemikiran, budaya, ilmu pengetahuan, perjuangan, gerakan perluasan wilayah dan kaedah berinteraksi dengan bangsa dan umat lain.

Justeru Rasulullah s.a.w menganjurkan dan menyuruh kita untuk mengikuti sunnah mereka dan berpedoman dengan petunjuk mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud: ‘Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur-Rasyidin yang memperoleh petunjuk sesudahku.’ (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Lantas salah satu tujuan penulisan buku berjudul, Umar Al-Khattab bin Khattab: Kepimpinan dan Kewibawaannya oleh pengarangnya, Dr. Ali Muhammad As-Shallabi adalah untuk menghadirkan kembali hari-hari kehidupan yang indah pada zaman lampau dan memberi isyarat kepada generasi sesudahnya bahawa sebuah generasi tidak akan baik pada akhirnya, kecuali pada awalnya juga baik.

Karya besar itu merupakan buah tangan istimewa penulisnya selepas kejayaan beliau menghasilkan buku pertama yang berjudul, Abu Bakar Ash-Shiddiq: Syakhsyiyyatuhu wa Ashruhu yang telah beredar luas di pelbagai kedai buku di dunia Arab dan pameran-pameran buku antarabangsa. Maklum balas hebat serta desakan para pembaca, pendakwah, ulama, pelajar dan masyarakat umum menjadi dorongan dan pemangkin semangat kepada Dr. Ali Muhammad As-Shallabi untuk terus mengkaji pemerintah lain pada zaman Khulafaur Rasyidin. 

Umar Al-Khattab adalah sebaik-baik orang soleh sesudah para nabi, para rasul dan Abu Bakar. Rasulullah s.a.w pernah bersabda mengenai Umar Al-Khattab dan Abu Bakar: ‘Ikutilah jejak orang yang datang sesudahku, iaitu Abu Bakar dan Umar Al-Khattab?’ (hadis riwayat Tirmizi)

Malah terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang keutamaan-keutamaan Umar Al-Khattab. Antaranya; ‘Di antara umat-umat yang hidup sebelum kamu ada orang-orang yang dianugerahi ilham. Jika dalam umatku ada orang yang mendapat ilham, maka beliau adalah Umar Al-Khattab.’ (riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Rasulullah s.a.w ada bersabda: ‘Aku pernah bermimpi seolah-olah aku sedang mengambil air dengan timba di sebuah sumur. Abu Bakar datang, kemudian beliau mengambil air, satu atau dua timba. Tetapi air yang ditimbanya tetap kurang (tidak cukup). Semoga Allah mengampuninya. Kemudian Umar Al-Khattab datang untuk mengambil air dan air yang ditimbanya melimpah. Sesungguhnya aku belum pernah melihat orang yang genius yang mampu melakukan seperti yang dilakukannya, sehingga orang ramai dapat memenuhi bekal air mereka dan membawa unta-unta mereka pulang ke kandang.’ (hadis riwayat Muslim)

Begitu juga Amru bin Al-Ash pernah bertanya kepada Nabi: ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling engkau cintai? Baginda menjawab: ‘Aisyah.’ Amru bertanya: ‘Dari kalangan lelaki.’ Baginda menjawab: ‘Ayahnya (Abu Bakar).’ Amru bertanya lagi: ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab: ‘Umar bin Khattab.’ Kemudian baginda menyebut nama beberapa orang sahabat.’ (hadis riwayat Ibnu Hibban)

Kehidupan Umar Al-Khattab merupakan lembaran yang cemerlang di dalam sejarah Islam yang menyinari dan mengungguli setiap sejarah. Sejarah Umar Al-Khattab ini berupa kemuliaan, kejayaan, ketulusan, perjuangan dan dakwah di jalan Allah s.w.t. 

Qudwah Buat Umat Islam

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w adalah sebuah rentetan sejarah hidup yang panjang yang mengandungi pelbagai pengajaran dan pendoman untuk umat Islam. Sejarah kehidupan atau sirah baginda Rasulullah s.a.w dihiasi dengan kisah perjuangan yang tidak mengenal erti jemu, sebuah hakikat pengorbanan yang sangat tinggi, pergantungan dan kepasrahan sepenuhnya kepada Allah s.w.t, dan contoh panduan yang hidup untuk dijadikan ikutan sepanjang zaman.

Inilah ketetapan dan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, bahawa segala apa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w adalah contoh panduan kepada umat Islam. Keperibadian dan kehidupan baginda umpama ‘manual’ panduan untuk dilihat dan dijadikan contoh oleh seluruh manusia dan seharusnya kita fahami bahawa baginda Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik contoh dan ikutan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.’ (surah Al-Ahzab: 21)

Rasulullah s.a.w telah berjaya membina satu ketamadunan yang hebat dan gemilang. Di dalam buku yang ditulis oleh seorang penulis barat iaitu Michael H. Hart, beliau telah meletakkan Nabi Muhammad s.a.w di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, malah baginda mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri.

Bukunya The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History, menyatakan bahawa satu faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w menjadi insan berpengaruh adalah kerana kualiti yang ada pada diri baginda. Kualiti yang dimaksudkan ialah kualiti integriti dan kualiti kompetensi. Inilah yang menjadikan kehidupan baginda sangat signifikan kepada manusia lain terutamanya kepada para sahabat di bawah didikan baginda.

Di dalam Islam, kualiti ini kita namakan ia sebagai akhlakul karimah atau budi pekerti yang mulia. Bermula dari kualiti ini akhirnya Rasulullah s.a.w berjaya membentuk dan membina satu tamadun yang sangat gemilang dan dihormati seantero dunia. Sudah pasti terdapat satu rahsia yang perlu dilihat secara terperinci terhadap proses pembentukan ketamadunan Islam yang diasaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w kerana di dalam hanya masa yang singkat iaitu 23 tahun, Baginda berjaya mengasaskan dan membentuk satu ketamadunan yang mampu bertahan selama 1400 tahun!

Justeru itu, melihat dan meneliti sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w adalah menjadi keutamaan kita di dalam menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh dan murrabi di dalam perjuangan menegakan Islam.

Sejarah Sebelum Islam

Sebelum zaman kedatangan Islam, kehidupan masyarakat arab jahiliyah pada ketika itu berada dalam kehidupan yang porak peranda dan hilang aspek nilai kemanusiaannya. Masyarakat arab ketika itu, berada dalam keadaan yang jahil disebabkan sistem kemasyarakatan yang rosak dan penindasan sesama manusia itu berlaku secara berleluasa. Kerosakan ini berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah dari segi ekonomi, perundangan dan juga sosial kehidupan. Di dalam buku sejarah, para ahli sejarahawan menamakan zaman ini sebagai zaman jahiliyah atau zaman kegelapan.

Pada dasarnya, masyarakat Arab Jahiliyah memiliki sifat-sifat positif seperti berani, setia, ramah, sederhana, cintakan kebebasan dan menghormati tetamu. Mereka juga mempunyai kelebihan-kelebihan lain seperti ingatan yang kuat dan pandai bersyair. Namun kerana sifat jahiliyah yang menyelimuti kehidupan mereka, segala kebaikan itu tenggelam dalam sifat keburukan. Mereka berpaling daripada kebenaran, menyembah berhala yang pelbagai jenis rupa dan bentuk, melanggar hak orang lain dan menindas sesama manusia. Kejahilan ini terus menyelubungi masyarakat jahiliyah sehingga kedatangan Nabi Muhammad s.a.w yang akhirnya telah mengubah kehidupan mereka. Cahaya keislaman itu telah menyinari kehidupan mereka yang gelap kepada kehidupan yang terang benderang dan akhirnya mereka dapat hidup dengan aman serta bahagia dipimpinan Rasulullah s.a.w.

Sejarah Semasa Zaman Rasulullah

Namun, selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w dengan membawa risalah kebenaran kepada masyarakat arab, kehidupan mereka berubah sama sekali. Risalah Islam yang benar ini telah mengubah kehidupan yang penuh dengan kegelapan kepada kehidupan yang disinari dengan cahaya keimanan kepada Allah s.w.t. Proses dakwah baginda Rasulullah s.a.w di Mekah telah menekankan kepada aspek keimanan kepada Allah s.w.t sebagai teras dan tunjang pembinaan masyarakat Islam yang tulen dan kukuh.

Dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah seruan dan ajakan untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w membina ummah Islam bermula dengan diri baginda seorang diri secara terancang sehinggalah lahirnya satu kelompok Muslim yang beriman kepada Allah s.w.t dengan seluruh jiwa dan raga mereka. Mereka inilah generasi awal yang menerima didikan Rasulullah s.a.w secara terus-menerus sehinggalah mereka digelar sebagai ‘sebaik-baik generasi’ di dalam sejarah peradaban manusia.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali-Imran: 110 yang bermaksud: ‘Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana (kamu) menyuruh berbuat yang maruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah s.w.t. Sekiranya ahli kitab yang beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.’

Di dalam usaha baginda mengajak kepada Islam, baginda telah melakukan proses pembinaan individu Muslim secara terancang dan proses ini mengambil masa yang begitu lama. Proses pembentukan ini menekankan kepada proses penanaman aqidah dan keyakinan kepada Allah s.w.t secara mendalam. Proses pembinaan generasi unggul ini adalah berteraskan kepada proses pendidikan Islamiyah dan dakwah islamiyah secara tersusun dan terancang.

Rasulullah s.a.w telah menggunakan beberapa kaedah untuk melaksanakan usaha dakwah ini. Antara perkara yang utama yang dilakukan ialah dengan menghimpunkan hati-hati dan jiwa-jiwa yang bersih serta ikhlas untuk diproses dengan didikan keimanan kepada Allah s.w.t. Pemilihan individu ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi ia dilakukan secara sedar dan penuh keyakinan kepada Allah s.w.t.

Proses penanaman aqidah ini berterusan sehinggalah jumlah generasi awal di bawah didikan Rasulullah s.a.w mulai bertambah dari satu masa ke satu masa. Dakwah peringkat rahsia ini mempunyai penekanan yang memfokuskan kepada proses didikan hati dan pembinaan individu Muslim secara kolektif. Pendidikan yang dijalankan oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah proses yang mensasarkan kepada pendidikan hati. Pendidikan hati ini ditekankan dengan nilai-nilai keimanan, ketakwaan, keikhlasan dan ihsan kepada Allah s.w.t sehinggalah melahirkan suatu keperibadian yang murni dan berakhlak mulia.

Proses pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w adalah tunjang kepada pendidikan yang mendidik jiwa dan hati untuk patuh dan mengesakan Allah s.w.t. Pada peringkat ini, sumber rujukan baginda hanyalah Al-Quran semata-mata. Ini bertujuan untuk memastikan para sahabat generasi awal mendapat satu kefahaman yang benar-benar bersih dan tulen berkaitan Islam. Penekanan kepada sumber rujukan yang satu ini boleh digambarkan melalui satu sirah Rasulullah s.a.w.

Pernah satu ketika Saiyidina Umar Al-Khattab membawa satu kitab yang dikatakan sebagai kitab Taurat untuk dijadikan bahan didikan Islam. Pada ketika itu, merah muka baginda Rasulullah s.a.w, dan sambil berkata: ‘Sekiranya, Nabi Musa ada pada ketika ini, nescaya beliau juga mengikut aku.’

Zaman Ketamadunan Islam

Zaman pemerintahan Islam sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w diteruskan dengan gagasan pemerintan sistem Khalifah Islamiyah iaitu kepimpinan Khulafa’ Ar Rasyidin, Kerajaan Bani Umaiyah, Kerajaan Bani Abbasiyah dan Kerajaan Bani Uthmaniyah. Zaman ketamadunan ini melalui satu perjalanan pembinaan, perkembangan dan kejatuhan yang sangat panjang. Sejarah telah menunjukan peradaban ketamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangannya sehingga seluruh dunia mengenali dan mengakui kehebatan Ketamaduanan Islam.

Pengasas kerajaan Bani Umaiyyah ialah Umaiyyah bin Abdul Syams, seorang pemimpin kaum Quraish yang kaya dan berpengaruh. Pada zaman ini, perkembangan penyebaran Ilmu berkembang pesat terutamanya pada Zaman Khalifah Umar Al-Khattab Abdul Aziz. Penghasilan teknologi baru seperti Seni Ukir, sistem pengasing benda asing melalui aplikasi tarikan graviti dan juga kinci air.

Kemudian sistem pemerintan Islam diteruskan dengan pemerintahan kerajaan Abbasiyah pada 763 M. Penubuhan Kota Baghdad sebagai Pusat pemerintahan Khalifah Bani Abbasiyah telah menjadi dimensi perubahan kerajaan Islam ketika itu. Pada tahun 786 Masehi merupakan zaman Keemasan Bani Abbasiyah (Pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid dan anaknya Al-Makmum).

Ketika itu ilmu berkembang pesat dan masyarakat Islam sangat dihormati kerana kemajuan yang dikecapi oleh mereka. Pembinaan Baitul Hikmah telah merancakan lagi aktiviti penyebaran ilmu dalam peradaban tamadun Islam. Baitul Hikmah telah menjadi pusat penyebaran dan pengumpulan Ilmu yang mengandungi setengah juta jilid buku dan 36 buah perpustakaan. Dengan jumlah buku yang banyak ini, pihak pengurusan baitul hikmah yang memerlukan 120-400 ekor unta untuk pindahkan kesemua buku-buku itu ke suatu tempat. Pada era ini, lahirlah tokoh-tokoh ilmuan Islam yang terkenal seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusdh dan ramai lagi.

Zaman Keruntuhan Islam

Setelah melalui sejarah ketamadunan yang panjang, umat Islam mengalami kemunduran dan perpecahan di kalangan mereka. Akhirnya ketamadunan Islam mengalami saat-saat keruntuhan dan kehancuran yang amat memilukan hati dan jiwa umat Islam seluruh dunia. Jika dilihat dan diamati, antara faktor keruntuhan ini adalah berpunca daripada umat Islam itu sendiri. Bertarikh pada 3 Mac 1924, ia merupakan tarikh kesedihan dan saat yang memilukan umat Islam seluruh dunia kerana pada tarikh ini runtuh dan berakhirnya sebuah empayar Islam yang selama ini memayungi pemerintahan kerajaan Islam di seluruh dunia. Keruntuhan kerajaan Turki Uthamaniyah memberi tamparan yang hebat kepada umat Islam dan ia telah memberi kesan yang sangat besar kepada sejarah umat Islam dalam sejarah dunia.

Dalam kajian sejarah, punca-punca keruntuhan yang paling ketara ialah masalah perebutan kuasa di kalangan Khalifah Islam pada ketika itu, sikap sambil lewa pemerintah yang lebih sukakan hiburan serta mengejar kemewahan dan sekaligus menunjukan kepimpinan yang sangat lemah. Selain daripada itu, masalah konflik dalaman sesama umat Islam dan konflik luaran daripada musuh Islam itu sendiri, menambahkan lagi masalah kepimpinan Islam pada zaman tersebut untuk terus mengekalkan kegemilangan Islam.

Suasana Umat Islam Kini

Ketamadunan Islam telah melalui satu rentetan sejarah yang panjang bermula pada zaman Rasulullah s.a.w sehinggalah kepada zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah yang berakhir dengan kejatuhan sistem khalifah islamiyah. Sejarah ketamadunan islam yang panjang ini, memberi kesan yang sangat mendalam kepada pembinaan, pembentukan dan keberadaan ketamadunan Islam sehingga kini.

Kini, kita dapat lihat keadaan umat Islam yang semakin hari semakin lemah dan tiada perpaduan di kalangan mereka sendiri. Kelemahan inilah yang banyak memberi kesan kepada kemajuan dan kemunduran umat Islam pada hari ini. Sekiranya, tiada usaha-usaha yang bersepadu ke arah pemulihan dan kebangkitan semula ketamadunan Islam ini, nescaya umat Islam akan terus berada dalam krisis perpecahan dan kehancuran.

Negara Islam secara umumnya dan umat Islam secara khususnya, sangat lemah dari segi pelbagai bidang dan aspek. Jika kita nyatakan satu per satu bidang yang ada, tiada satu pun Negara Islam yang mampu menandingi negara-negara barat yang ada di dunia ini. Hampir semua aspek umat Islam lemah. Antaranya, aspek ekonomi, pendidikan, keilmuan, pembangunan negara, dan sebagainya. Satu contohnya mudah, dari segi ekonomi dan pembangunan, tidak ada satu pun negara Islam yang tersenarai dalam negara yang maju dan hanya beberapa buah negara Islam sahaja yang terletak dalam senarai negara yang membangun.

Penyelesaian Ke Arah Kebangkitan Islam

Justeru itu, usaha ke arah pemulihan ini harus dimulakan dan diteruskan sehinggalah umat Islam kembali kepada acuan yang sebenar seperti yang digariskan oleh Allah s.w.t. Sekiranya kita kembali kepada sejarah yang dinyatakan di atas, kita akan dapati formula untuk membina dan membentuk sesuatu generasi dan tamadun itu telah pun ditunjukan serta dilaksanakan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Seharusnya, jalan, kaedah, cara dan juga panduan yang ditunjukan oleh Rasulullah s.a.w dijadikan kaedah utama dalam membentuk generasi yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Perkara inilah yang seharusnya menjadi perkara utama yang kita tekankan dan fokuskan sekiranya kita ingin membina semula generasi Islam yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam.

Fokus penekanan Rasulullah s.a.w adalah membangunkan sumber manusia itu sendiri. Inilah modal utama pembangunan dan pembinaan ketamadunan Islam. Peringkat awal perkembangan Islam, tapak asas kepada tamadunan Islam yang dibina oleh Rasulullah s.a.w adalah penanaman ‘aqidah yang jitu dan kukuh di dalam jiwa dan hati para sahabat dan pengikut Rasulullah s.a.w. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi tonggok utama kepada penyebaran dan perjuangan Rasulullah s.a.w di dalam mengerakan jentera dakwah selepas era dakwah rahsia kepada dakwah terbuka. Seharusnya, pembinaan sumber manusia bermula dengan aspek aqidah dan kepercayaan ini. Ia boleh diserapkan melalui proses pendidikan kerohanian dan ini wajar dicontohi dan dilaksanakan oleh Umat Islam di dalam kehidupan seharian mereka.

Seharusnya inilah penghayatan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mencontohi perjuangan Rasulullah s.a.w. Sunnah yang paling besar yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah perjuangan dan penyebaran ajaran Islam itu sendiri. Lantas, segala kehidupan yang ditunjukan oleh baginda mestilah difahami, dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian secara penuh sedar dan faham. Inilah kejayaan utama yang harus dilihat secara serius dan seterusnya dilakukan sebagai agenda utama dalam kehidupan kita.

Wasiat Umar Al-Khattab

Suatu hari Umar Al-Khattab Bin Khattab r.a. bertutur kepada sebahagian sahabatnya; Aku berwasiat kepadamu enam perkara:

  1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

  1. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

  1. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

  1. Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

  1. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.

  1. Bila mana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.’

Umar Al-Khattab: Keterampilan Dalam Pentadbiran Negara

Sejarah pemerintahan Khulafaur-Rasyidin penuh dengan pelajaran dan ibrah (iktibar). Para sahabat pada ketika itu, benar-benar mengamalkan hukum-hukum Islam dan menyebarkan syiarnya ke seluruh penjuru dunia. Zaman mereka adalah sebaik-baik zaman. Merekalah yang mengajarkan Al-Quran kepada umat dan meriwayatkan sunnah dan atsar daripada Rasulullah s.a.w.

Sejarah Adalah Harta Simpanan

Hakikatnya, sejarah mereka adalah harta simpanan yang memelihara pusaka umat Islam berupa pemikiran, budaya, ilmu pengetahuan, perjuangan, gerakan perluasan wilayah dan kaedah berinteraksi dengan bangsa dan umat lain. Justeru Rasulullah s.a.w menganjurkan dan menyuruh kita untuk mengikuti sunnah mereka dan berpedoman dengan petunjuk mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur-Rasyidin yang memperoleh petunjuk sesudahku. (riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Banyak hadis yang menjelaskan tentang keutamaan-keutamaan Umar Al-Khattab. Antaranya; ‘Di antara umat-umat yang hidup sebelum kamu ada orang-orang yang dianugerahi ilham. Jika dalam umatku ada orang yang mendapat ilham, maka beliau adalah Umar Al-Khattab.’ (riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Rasulullah s.a.w ada bersabda: ‘Aku pernah bermimpi seolah-olah aku sedang mengambil air dengan timba di sebuah sumur. Abu Bakar datang, kemudian beliau mengambil air, satu atau dua timba. Tetapi air yang ditimbanya tetap kurang (tidak cukup). Semoga Allah mengampuninya. Kemudian Umar Al-Khattab datang untuk mengambil air dan air yang ditimbanya melimpah. Sesungguhnya aku belum pernah melihat orang yang genius yang mampu melakukan seperti yang dilakukannya, sehingga orang ramai dapat memenuhi bekal air mereka dan membawa unta-unta mereka pulang ke kandang.’ (riwayat Muslim)

Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. juga terkenal sebagai ahli sastera yang hebat, syair yang bijaksana, pahlawan yang berani, orang yang adil dan mematuhi perintah Allah s.w.t. Semasa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab banyak negara telah berada di bawah pemerintahan Islam termasuklah Palestin di mana terdapat kota Baitul Muqaddis.

Membebaskan Baitul Muqaddis

Umar Al-Khattab telah berjaya membebaskan Baitul Muqaddis atau Al-Quds dari kekuasaan empayar Rom yang zalim. Penduduk Al-Quds ketika itu majoritinya beragama Kristian menyambut dengan gembira pemerintahan Islam kerana mereka merasakan bebas dari penindasan dan kezaliman pemerintah Rom sebelum itu.

Setelah Al-Quds jatuh ke tangan tentera Islam, penduduk beragama Kristian ingin membuat perjanjian damai dengan Khalifah Umar Al-Khattab sendiri, mereka enggan membuat perjanjian dengan sesiapa pun di kalangan ketua-ketua Islam yang lain. Ini kerana mereka ingin melihat sendiri wajah Khalifah Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sifat adil dan kasihnya kepada golongan mustadaffin, fakir dan miskin. Mereka sanggup menunggu kedatangan Umar Al-Khattab.

Khalifah Umar Al-Khattab memahami hasrat rakyat Al-Quds, maka beliau pun berangkatlah ke sana dengan seorang pengiring dan seekor unta sebagai tunggangan dari Madinah. Oleh kerana ada hanya seekor unta sebagai tunggangan, maka khalifah dan pembantunya membuat persetujuan untuk menunggang unta secara bergilir-gilir dengan pembantunya, dimulai dengan khalifah selepas itu pembantunya sehinggalah tiba di kota Al-Quds.

Apabila hampir tiba di ibu kota Al-Quds, tibalah giliran pembantunya menaiki unta dan khalifah berjalan kaki. Pengiringnya enggan menaiki unta kerana dilihatnya ramai penduduk sedang menyambut kedatangan khalifah Umar Al-Khattab, pada pendapatnya tentulah tidak wajar dia yang menunggang unta sedangkan khalifah berjalan kaki. Lagipun penduduk menunggu kedatangan khalifah, sudah tentu khalifah yang sepatutnya diberi penghormatan menunggang unta bukan pembantunya.

Khalifah Umar Al-Khattab marah dengan sikap pembantunya kerana menurut persetujuan sebelum berangkat mereka akan bergilr-gilir menunggang unta, kini adalah giliran pembantunya. Umar Al-Khattab dengan tegas tetap menyuruh pembantunya menunggang unta. Menurut Umar Al-Khattab ‘inilah ajaran Islam, keadilan adalah hampir kepada takwa, aku tidak sedikit pun keberatan berjlan kaki sedangkan engkau menunggang unta. Dan aku sama sekali tidak berasa terhina berbuat demikian. Terpulanglah kepada penduduk Baitul Muqaddis untuk membuat tafsiran masing-masing. Aku sanggup beri penjelasan jika mereka kehendaki. Nah sekarang, ikut perintahku, ikut perintah khalifahmu, naiklah unta ini.’

Setelah memasuki kota Al-Quds, berduyun-duyunlah penduduk menyambut kedatangan khalifah Umar Al-Khattab, alangkah terkejutnya mereka melihat melihat peribadi agung khalifah yang masuk berjalan kaki sedangkan pembantunya menaiki unta. Dengan perasaan hairan bercampur kagum mereka menyaksikjan kejadian yang mengusik kalbu tersebut.

Betapa besarnya perbezaan khalifah Islam dengan Raja Rom yang memerintah mereka sebelum ini. Ini menambahkan lagi rasa hormat mereka pada khalifah Islam yang rendah diri. Inilah salah satu dari keadilan Umar Al-Khattab. Berapa ramai pemimpin dan raja-raja yang sanggup mencontohi peribadi mulia ini zaman sekarang?

Tidak Dapat Terima Hakikat

Waktu Rasulullah s.a.w wafat dan berita kewafatannya tersebar di kalangan umat Islam, ramai di kalangan mereka yang tidak percaya. Kerana mereka menganggap bahawa Rasulullah s.a.w mustahil boleh wafat. Malahan Omar bin Khattab waktu mendengar kewafatan Rasulullah s.a.w itu berkata dengan amat marah:

‘Sesiapa yang berani mengatakan bahawa Nabi wafat adalah pengkhianat. Tidak! Rasulullah s.a.w tidak wafat. Rasulullah s.a.w sedang menghadap Tuhannya sebagaimana ia pernah terjadi dengan Nabi Musa a.s. dan baginda akan segera kembali ke tengah-tengah kita. Sesiapa yang masih berani mengatakan Rasulullah s.a.w wafat, akan aku pancung lehernya.’

Dalam waktu-waktu genting dan penuh kebimbangan itu, datanglah Abu Bakar sambil berkata kepada orang ramai: ‘Kalau saudara-saudara menyembah Muhmmad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi kalau saudara-saudara menyembah Allah, maka sesungguhnya Dia tetap hidup selama-lamanya.’

Kemudian Abu Bakar membacakan Al-Quran surah Ali Imran ayat 144: ‘Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).’ (surah Ali Imran ayat 144)

Setelah Abu Bakar selesai mengucapkan kata-kata tersebut, maka Omar berkata: ’Demi Allah! Setelah Abu Bakar membaca ayat-ayat itu, solah-olah aku tidak dapat berdiri tegak lagi, kerana terasa kaki aku amat gementar lamah. Aku hampir-hampir terjatuh pingsan, sebab waktu itulah baru aku insyaf, bahawa Rasulullah s.a.w. kekasih umat benar-benar telah wafat.’

Untuk memelihara supaya tidak ada perhambaan terhadap diri peribadi Rasulullah s.a.w., Allah s.w.t. menurunkan ayat yang berbunyi: ‘Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.’ (surah Al-Kahfi ayat 110)

Dalam kehidupan seharian diriwayatkan, bahawa pergaulan Rasulullah s.a.w. dengan keluarga serta sahabat-sahabatnya adalah sebagaimana biasa yang dilakukan oleh manusia dengan manusia lainnya.

Kalau Rasulullah s.a.w. datang di suatu tempat di mana para sahabat sedang berkumpul, maka diucapkannya salam. Oleh sahabat-sahabat salamnya itu disambut sambil berdiri memberi hormat. Maka Rasulullah s.a.w. menegur mereka, supaya jangan berdiri menghormatinya sebagaimana kebiasaannya pada orang-orang Parsi menghormati pemimpin-pemimpinnya. Di mana ada tempat yang kosong, maka di situlah baginda duduk sehingga tidak berbeza sedikit pun dengan sahabat-sahabatnya.

Satu ketika Rasulullah s.a.w. pergi berbelanja ke pasar dan membeli sehelai kain (seluar). Waktu itu Abu Hurairah ikut bersama baginda. Setelah harga pembelian barang itu dibayar, maka Abu Hurairah ingin menunjukkan perasaan cinta dan hormatnya kepada Rasulullah s.a.w. sambil berkata: ‘Biarlah aku yang membawa kain itu ya Rasulullah. Sambil tersenyum baginda menjawab: ’Si empunya kain lebih layak membawanya wahai Abu Hurairah.’

Di rumah, Rasulullah s.a.w. sering membantu keluarganya meringankan pekerjaan mereka, baginda suka membantu di dapur, menghidupkan api atau mengambil air dan kalau ada pakaiannya yang perlu ditampal, ditampalnya sendiri, sekalipun Muhammad adalah seorang rasul, seorang ketua negara dan seorang panglima yang sering memimpin peperangan, sebagaimana yang dikatakan oleh Jawaharlal Nehru: ‘King and Pope in one.’

Sewaktu Perang Badar, Rasulullah s.a.w. mengatur penempatan tentera di suatu tempat, di mana ia dipandang oleh Hubab Al-Anshary sebagai satu kesalahan besar. Hubab memberanikan diri untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. apakah Rasulullah s.a.w. menempatkan tentera di tempat itu dengan perantaraan wahyu atau tidak.

Dijawab oleh Rasulullah s.a.w. bahawa penempatan itu menurut perhitungannya sendiri. Dengan spontan waktu itu Hubab Al-Anshary menyatakan bahawa penempatan tentera di tempat yang ditentukan Rasulullah s.a.w. itu akan berakibat kerugian besar bagi pasukan umat Islam, dan setelah diberinya penjelasan-penjelasan secara lengkap, maka Rasulullah s.a.w. menyedari akan kesilapannya dan mengarahkan supaya pasukan itu segera dipindahkan ke tempat lain.

Jelas, bahawa masalah-masalah keduniaan ada sahaja terdapat kekurangan pada diri peribadi Rasulullah s.a.w., dan baginda pernah bersabda yang maksudnya: ’Kalau ada sesuatu yang mengenai agamamu, maka itu soal aku; dan kalau ada yang mengenai soal keduniaanmu, dalam hal ini kamu lebih mengetahui.’

Demikianlah beberapa contoh yang mana menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam pergaulan hidup seharian sentiasa berusaha supaya diri baginda tidak dipuja-puja, didewa-dewakan atau disembah-sembah.

‘Laa Ilaaha Illallah, Muhammadur-Rasulullah.’ Hanya Allah-lah yang patut disembah dan hanya kepada Allah-lah setiap hamba-Nya patut meminta ampun dan pertolongan. Agama Islam adalah agama amal. Agama yang mengajarkan bahawa seorang Muslim hanya akan mendapat pahala dan ganjaran dari amal yang dikerjakannya, dari hasil keringat peluh dan pengurbanan yang diberikannya.

Adalah ia satu kesilapan yang amat besar dan kefahaman yang tidak mempunyai asas, apabila ia ada anggapan dikalangan umat Islam , bahawa hanya dengan memuja atau membaca salawat ke atas Rasulullah s.a.w seseorang itu akan mendapat kehidupan yang baik diakhirat. Kesenangan atau kebahagiaan hidup diakhirat hanya dapat ditebus dengan amal pengurbanan yang syarat rukunnya ditentukan oleh Allah s.w.t.

Agama Islam adalah agama perjuangan atau agama jihad. Rasulullah s.a.w hanyalah seorang utusan, seorang Rasul Allah yang membawa misi (risalah) dari Tuhannya Allah swt. bagi umat manusia, supaya manusia berbuat dan beramal sesuai dengan petunjuk-petunjuk yang diberikannya untuk mendapat karunia serta keridaan Allah s.w.t. Di dunia dan di akhirat. Tiada daripada itu. Dalam Islam tiada ada penghambaan manusia ke atas manusia. Tidak pula terhadap Nabi, lebih-lebih lagi terhadap manusia biasa!

Umar Al-Khattab Sebelum Islam

Seorang pemuda yang gagah perkasa berjalan dengan langkah yang mantap mencari Rasulullah s.a.w hendak membunuhnya. Beliau sangat membenci Rasulullah s.a.w, dan agama baru yang dibawa baginda. Di tengah perjalanan beliau bertemu dengan seseorang yang bernama Naim bin Abdullah yang menanyakan tujuan perjalanannya tersebut. Kemudian diceritakannya niatnya itu.

Dengan sinis, Naim mengatakan agar beliau lebih baik memperbaiki urusan rumah tangganya sendiri terlebih dahulu. Ketika itu juga pemuda itu kembali ke rumah dan mendapatkan ipar lelakinya yang sedang asyik membaca kitab suci Al-Quran. terus iparnya dipukul dengan ganas, pukulan yang tidak membuatkan ipar mahupun adiknya meninggalkan agama Islam.

Pendirian adik perempuannya yang teguh itu akhirnya justeru mententeramkan hatinya dan malahan beliau memintanya membaca kembali baris-baris Al-Quran. Permintaan tersebut dipenuhi dengan senang hati. Kandungan makna dan alunan ayat-ayat Kitabullah ternyata membuatkan si pemuda itu begitu terpesonanya, sehingga beliau bergegas ke rumah Rasulullah s.a.w dan terus memeluk agama Islam. Begitulah pemuda yang bernama Umar Al-Khattab, yang sebelum masuk Islam dikenali sebagai musuh Islam yang berbahaya.

Rahmat Dan Hidayah

Dengan rahmat dan hidayah Allah s.w.t, Islam telah bertambah kekuatannya dengan masuknya seorang pemuda yang gagah perkasa. Ketiga-tiga bersaudara itu begitu gembiranya, sehingga mereka secara spontan mengumandangkan ‘Allahu Akbar’ (Allah Maha Besar). Gaungnya bergema di pergunungan di sekitarnya.

Umar Al-Khattab memeluk agama agama Islam pada usia 27 tahun. Beliau dilahirkan di Mekah, 40 tahun sebelum hijrah. Salasilahnya berkaitan dengan garis keturunan Rasulullah s.a.w pada generasi ke lapan. Moyangnya memegang jawatan duta besar dan leluhurnya adalah pedagang. Beliau merupakaan salah seorang dari 17 orang Mekah yang terpelajar ketika kenabian dianugerahkan kepada Muhammad s.a.w.

Dengan masuknya Umar Al-Khattab ke dalam agama Islam, kekuatan kaum Muslimin makin bertambah tangguh. Beliau kemudiannya menjadi penasihat utama Abu Bakar selama masa pemerintahan dua setengah tahun. Ketika Abu Bakar meninggal dunia, beliau dipilih menjadi khalifah Islam yang kedua, jawatan yang diembannya dengan sangat hebat selama sepuluh tahun setengah. Beliau meninggal dunia pada tahun 644 Masehi, dibunuh sewaktu menjadi imam sembahyang di Masjid Nabi. Pembunuhnya bernama Feroz alias Abu Lu’lu, seorang Majusi yang tidak puas hati dengqan corak pentadbiran beliau.

Revolusi Terbesar Dalam Sejarah Manusia

Ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w telah mengubah suku-suku bangsa Arab yang suka berperang menjadi bangsa yang bersatu, dan merupakan suatu revolusi terbesar dalam sejarah manusia. Dalam masa tidak sampai 30 tahun, orang-orang Arab yang suka berkelana telah menjadi tuan sebuah kerajaan terbesar pada waktu itu. Tentera-tenteranya melanda tiga benua terkenal di dunia, dan dua kerajaan besar Caesar (Romawi) dan Chesroes (Parsi) bertekuk lutut di hadapan pasukan Islam yang perkasa.

Rasulullah s.a.w telah meninggalkan sekelompok orang yang tidak mementingkan diri, yang telah mengabdikan dirinya kepada satu tujuan, yakni berbakti kepada agama yang baru itu. Salah seorang di antaranya adalah Umar Al-Khattab, seorang tokoh besar, pada masa perang mahupun pada waktu damai.

Tidak ramai tokoh dalam sejarah manusia yang telah menunjukkan kepintaran dan kebaikan hati yang melebihi Umar Al-Khattab, baik sebagai pemimpin tentera di medan perang, mahupun dalam mengemban tugas-tugas terhadap rakyat serta dalam hak ketaatan kepada keadilan. Kehebatannya kelihatan juga dalam mengkonsolidasikan negeri-negeri yang telah berjaya ditaklukkan.

Islam pernah dituduh disebarluaskan melalui hujung pedang. Tetapi kajian sejarah moden yang dilakukan kemudiannya membuktikan bahawa perang yang dilakukan orang Muslim selama kekhalifahan Khulafaur Rasyidin adalah untuk mempertahankan diri. Sejarawan Inggeris, Sir William Muir, melalui bukunya yang termasyhur, Rise, Decline and Fall of the Caliphate, mencatatkan bahawa setelah penaklukan Mesopotamia, seorang jenderal Arab yanag bernama Zaid memohon izin Khalifah Umar Al-Khattab untuk mengejar tentera Parsi yang melarikan diri ke Khurasan. Keinginan jenderalnya itu ditolak Umar Al-Khattab dengan berkata, ‘Aku ingin agar antara Mesopotamia dan negara-negara di sekitar pergunungan-pergunungan menjadi semacam batas penyekat, sehingga orang-orang Parsi tidak akan mungkin menyerang kita.’

‘Demikian juga kita, kita tidak boleh menyerang mereka. Dataran Iraq sudah memenuhi keinginan kita. Aku lebih menyukai keselamatan bangsaku dari pada ribuan barang rampasan dan melebarkan wilayah penaklukkan.’

Muir menjelakasnnya demikian: ‘Pemikiran melakukan misi yang meliputi seluruh dunia masih merupakan suatu embrio, kewajiban untuk memaksakan agama Islam melalui peperangan belum lagi timbul dalam fikiran orang Muslimin.’

Pakar Strategi Ketenteraan

Umar Al-Khattab adalah pakar strategi ketenteraan yang besar. Beliau mengeluarkan perintah operasi ketenteraan secara lengkap. Pernah ketika mengadakan operasi ketenteraan untuk menghadapi kejahatan orang-orang Parsi, beliau yang merancang komposisi pasukan Muslim, dan mengeluarkan perintah dengan teratur dan simtematik.

Waktu beliau menerima khabar hasil pertempurannya beliau ingin segera menyampaikan berita gembira atas kemenangan tentera kaum Muslimin kepada penduduk, lalu Khalifah Umar Al-Khattab berpidato di hadapan penduduk Madinah: ‘Saudara-saudaraku! Aku bukanlah rajamu yang ingin menjadikan kamu hamba. Aku adalah hamba Allah dan pengabdi hamba-Nya. Kepadaku telah diamanahkan tanggungjawab yang berat untuk menjalankan pemerintahan khilafah. Adalah tugasku membuat kamu senang dalam segala hal, dan akan menjadi hari nahas bagiku jika timbul keinginan barang sekalipun agar kamu melayaniku. Aku berhasrat mendidik kamu bukan melalui perintah-perintah, tetapi melalui perbuatan.’

Pada tahun 634 Masehi, pernah terjadi pertempuran yang dahsyat antara pasukan Islam dan Romawi di dataran Yarmuk. Pihak Romawi mengerahkan 300,000 tenteranya, sedangkan tentera Muslimin hanya 46,000 orang sahaja. Walaupun tidak terlatih dan berkelengkapan buruk, pasukan Muslimin yang bertempur dengan gagah berani akhirnya berjaya mengalahkan tentera Romawi. Sekitar 100,000 orang tentera Romawi terkorban sedangkan di pihak Muslimin tidak lebih dari 3,000 orang yang terkorban dalam pertempuran itu. Ketika Caesar diberitakan dengan kekalahan di pihaknya, dengan sedih beliau berteriak: ‘Selamat tinggal Syria,’ dan beliau berundur ke Konstantinopel.

Beberapa orang tentera yang melarikan diri dari medan pertempuran Yarmuk, mencari perlindungan di antara dinding-dinding benteng kota Jerussalem. Kota dijaga oleh pasukan tentera yang kuat dan mereka mampu bertahan cukup lama. Akhirnya uskup agung Jerussalem mengajak berdamai, tetapi menolak menyerah kecuali secara langsung kepada Khalifah Al-Khattab sendiri.

Khalifah Umar Al-Khattab mengabulkan permohonan itu, menempuh perjalanan di Jabia tanpa pengawalan dan perarakan kebesaran, kecuali ditemani seorang pembantunya. Ketika Umar Al-Khattab tiba di hadapan uskup agung dan para pembantunya, Khalifah menuntun untanya yang ditunggangi pembantunya.

Para pendeta Kristian lalu sangat kagum dengan sikap rendah hati Khalifah Islam dan penghargaannya pada persamaan martabat antara sesama manusia. Uskup agung dalam kesempatan itu menyerahkan kunci kota suci kepada Khalifah Umar Al-Khattab dan kemudian mereka bersama-sama memasuki kota. Ketika ditawarkan bersembahyang di gereja kebaktian, Umar Al-Khattab menolaknya dengan mengatakan: ‘Kalau aku berbuat demikian, kaum Muslimin pada masa depan akan melanggar perjanjian ini dengan alasan mengikuti contoh aku.’

Syarat-syarat perdamaian yang adil ditawarkan kepada orang Kristian. Sedangkan kepada orang-orang Yahudi, yang membantu orang Muslimin, hak milik mereka dikembalikan tanpa harus membayar apa-apa pun cukai. Penaklukan Syria sudah selesai. Seorang sejarawan terkenal mengatakan: ‘Syria telah tunduk pada tongkat kekuasaan Khalifah, 700 tahun setelah Pompey menurunkan tahta raja terakhir Macedonia. Setelah kekalahannya yang terakhir, orang Romawi mengaku takluk, walaupun mereka masih terus menyerang daerah-daerah Muslimin.

Orang Romawi membina sebuah rintangan yang tidak boleh dilalui, antara daerahnya dan daerah orang Muslim. Mereka juga mengubah sisa tanah luas miliknya di perbatasan Asia menjadi sebuah padang pasir. Semua kota di jalur itu dihancurkan, benteng-benteng dibongkar, dan penduduk dipaksa berpindah ke wilayah yang lebih utara. Demikianlah keadaannya apa yang dianggap sebagai perbuatan orang Arab Muslim yang biadab sesungguhnya hasil kebiadaban Byzantium.’

Namun kebijaksanaan bumi hangus yang sembrono itu ternyata tidak dapat menghalang gelombang maju pasukan Muslimin. Dipimpin oleh Ayaz yang menjadi panglima, tentera Muslim melewati Tarsus, dan maju sampai ke pantai Laut Hitam. Menurut sejarawan terkenal, Baladhuri, tentera Islam seharusnya telah mencapai Dataran Debal di Sind. Tetapi, kata Thabari, Khalifah Al-Khattab menghalangi tenteranya maju lebih ke timur dari Mekran.

Suatu kajian pernah dilakukan untuk menunjukkan faktor-faktor yang menentukan kemenangan besar operasi ketenteraan Muslimin yang diraih dalam waktu yang begitu singkat. Kita ketahui, sewaktu pemerintahan khalifah yang kedua, orang Islam memerintah daerah yang sangat luas. Termasuk di dalamnya Syria, Mesir, Iraq, Parsi, Khuzistan, Armenia, Azerbaijan, Kirman, Khurasan, Mekran, dan sebahagian Baluchistan.

Pernah sekelompok orang Arab yang bersenjata tidak lengkap dan tidak terlatih berjaya menggulingkan dua kerajaan yang paling kuat di dunia. Apa yang memotivasikan mereka? Ternyata, ajaran Rasulullah s.a.w telah menanamkan semangat baru kepada pengikut agama baru itu. Mereka merasa berjuang hanya demi Allah semata-mata. Kebijaksanaan Khalifah Umar Al-Khattab, khalifah Islam kedua dalam memilih para jenderalnya dan syarat-syarat yang lunak yang ditawarkan kepada bangsa-bangsa yang ditaklukan telah membantu terciptanya serangkaian kemenangan bagi kaum Muslimin yang dicapai dalam waktu sangat singkat.

Bersifat Badani Dan Rohani

Bila diteliti kitab sejarah Thabari, dapat diketahui bahawa Umar Al-Khattab, kendati berada ribuan batu dari medan perang, berjaya menuntun pasukannya dan mengawasi gerakan pasukan musuh. Suatu kelebihan anugerah Allah s.w.t yang luar biasa. Dalam menawan musuhnya, Khalifah Umar Al-Khattab banyak menekankan pada segi moral, dengan menawarkan syarat-syarat yang lunak, dan memberikan mereka segala macam hak yang bahkan dalam abad moden ini tidak pernah ditawarkan kepada suatu bangsa yang kalah perang.

Hal ini sangat membantu memenangkan simpati rakyat, dan itu pada akhirnya membuka jalan bagi konsolidasi pentadbiran secara efisien. Beliau melarang keras tenteranya membunuh orang yang lemah dan menodai kuil serta tempat ibadah lainnya. Sekali suatu perjanjian ditandatangani, ia harus ditaati, yang tersurat mahupun yang tersirat. Berbeza dengan tindakan penindasan dan kebuasan yang dilakukan oleh Alexander, Caesar, Atilla, Ghengiz Khan, dan Hulagu. Penaklukan model Umar Al-Khattab bersifat badani dan rohani.

Ketika Alexander menawan Sur, sebuah kota di Syria, dia memerintahkan para jenderalnya melakukan pembunuhan terhadap orang awam, dan menggantung seribu warga negara terhormat pada dinding kota. Demikian juga ketika dia menawan Astakher, sebuah kota di Parsi, dia memerintahkan memenggal kepala semua laki-laki.

Raja lalim seperti Ghengiz Khan, Atilla dan Hulagu bahkan lebih ganas lagi. Tetapi empayar mereka yang luas itu hancur berkeping-keping sebaik sahaja sang raja meninggal. Sedangkan penaklukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab, khalifah Islam kedua berbeza sifatnya. Kebijaksanaannya yang arif, dan pentadbiran yang efisien, membantu mengonsolidasikan kerajaannya sedemikian rupa. Sehingga sampai masa kini pun, setelah melewati lebih dari 1,400 tahun, negara-negara yang ditaklukannya masih berada di tangan orang Muslim. Khalifah Umar Al-Khattab sesungguhnya penakluk terbesar yang pernah dihasilkan oleh sejarah dunia.

Sifat mulia kaum Muslimin umumnya dan Khalifah Umar Al-Khattab khususnya, telah memperkuatkan kepercayaan kaum bukan Muslim pada janji-janji yang diberikan oleh pihak Muslimin. Suatu ketika, Hurmuz, pemimpin Parsi yang menjadi musuh kaum Muslimin, tertawan di medan perang dan dibawa menghadap Khalifah Umar Al-Khattab di Madinah.

Beliau sedar kepalanya pasti akan dipenggal kerana dosanya sebagai pembunuh sekian ramai orang Muslimin. Dia tampaknya merancang sesuatu, dan meminta segelas air. Permohonannya dipenuhi, tetapi anehnya dia tidak mahu minum air yang dihidangkan. Dia rupanya merasa akan dibunuh sewaktu mereguk minuman, Khalifah Umar Al-Khattab meyakinkannya, dia tidak akan dibunuh kecuali jika Hurmuz meminum air tadi.

Hurmuz yang cerdik ketika itu juga membuang air tersebut. Beliau lalu berkata, kerana dia mendapat jaminan dari Khalifah, dia tidak akan minum air itu lagi. Khalifah Umar Al-Khattab memegang janjinya. Hurmuz yang terkesan dengan kejujuran Khalifah Umar Al-Khattab, akhirnya masuk Islam.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata, ‘Kata-kata seorang Muslim biasa sama beratnya dengan ucapan komandannya atau khalifahnya.’ Demokrasi sejati seperti ini diajarkan dan dilaksanakan sewaktu kekhalifahan ar-Rasyidin hampir tidak ada persamaannya dalam sejarah umat manusia. Islam sebagai agama yang demokratik, seperti digariskan oleh Al-Quran, dengan tegas meletakkan dasar kehidupan demokrasi dalam kehidupan Muslimin, dan dengan demikian setiap masalah kenegaraan harus dilaksanakan melalui runding dan perundingan. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah mengambil keputusan penting tanpa melakukan rundingan.

Pohon Demokrasi

Pohon demokrasi dalam Islam yang ditanam Rasulullah s.a.w dan dipelihara oleh Abu Bakar mencapai puncaknya pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Semasa pemerintahan Umar Al-Khattab telah dibentuk dua badan penasihat. Badan penasihat yang satu merupakan sidang umum yang diundang bersidang bila negara menghadapi bahaya. Sedang yang satu lagi adalah badan khusus yang terdiri dari orang-orang yang integritinya tidak diragukan untuk diajak membicarakan hal rutin dan penting. Bahkan masalah pengangkatan dan pemecatan pegawai awam serta lainnya dapat dibawa ke badan khusus ini, dan keputusannya dipatuhi.

Rasulullah s.a.w hidup seperti orang biasa dan setiap orang bebas menanyakan tindakan-tindakannya. Suatu ketika beliau berkata: ‘Aku tidak berkuasa apa pun terhadap Baitulmal (harta umum) selain sebagai petugas penjaga milik yatim piatu. Jika aku kaya, aku mengambil wang sedikit sebagai pemenuh keperluan sehari-hari. Saudara-saudaraku sekalian! Aku abdi kalian, kalian harus mengawasi dan menanyakan segala tindakanku. Salah satu hal yang harus diingat, wang rakyat tidak boleh dihambur-hamburkan. Aku harus bekerja di atas prinsip kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.’

Suatu kali dalam sebuah rapat umum, seseorang berteriak: ‘Oh, Umar Al-Khattab, takutlah kepada Tuhan.’ Para hadirin bermaksud membungkam orang itu, tetapi Khalifah Umar Al-Khattab mencegahnya sambil berkata: ‘Jika sikap jujur seperti itu tidak ditunjukan oleh rakyat, rakyat menjadi tidak ada ertinya. Jika kita tidak mendengarkannya, kita akan seperti mereka.’ Suatu kebebasan menyampaikan pendapat telah diamalkan dengan baik.

Ketika berpidato suatu kali di hadapan para gabenor, Khalifah Umar Al-Khattab berkata: ‘Ingatlah, aku mengangkat kamu bukan untuk memerintah rakyat, tetapi agar kamu melayani mereka. kamu harus memberi contoh dengan tindakan yang baik sehingga rakyat dapat meneladani kamu.’

Pada waktu perlantikkannya, seseorang gabenor yang dilantik harus menandatangani pernyataan yang mensyaratkan bahawa ‘Dia harus memakai pakaian yang sederhana, makan roti yang kasar, dan setiap orang yang ingin mengadukan suatu hal bebas menghadapnya setiap waktu.’

Menurut pengarang buku Futuhul-Buldan, pada masa itu dibuat sebuah daftar barang bergerak dan tidak bergerak sebaik sahaja pegawai tinggi yang terpilih dilantik. Daftar itu akan diteliti pada setiap waktu tertentu, dan penguasa tersebut harus mempertanggungjawabkan terhadap setiap hartanya yang bertambah dengan sangat mencolok. Pada waktu musim haji setiap tahun, semua pegawai tinggi harus melaporkan kepada Khalifah Umar Al-Khattab.

Menurut penulis buku Kitab ul-Kharaj, setiap orang berhak mengadukan kesalahan pegawai negara, yang tertinggi sekalipun, dan pengaduan itu harus dilayani. Bila terbukti bersalah, pegawai tersebut mendapat ganjaran hukuman. Muhammad bin Muslamah Ansari, seorang yang dikenali berintegriti tinggi, diangkat sebagai pemantau. Dia mengunjungi berbagai negara dan meneliti pengaduan masyarakat. Suatu waktu, Khalifah Umar Al-Khattab menerima pengaduan bahawa Saad bin Abi Waqqash, gabenor Kufah, telah membina sebuah istana. Ketika itu juga Umar Al-Khattab mengutuskan Muhammad Ansari untuk menyaksikan adanya bahagian istana yang ternyata menghalang jalan masuk kepemukiman sebahagian penduduk Kufah. Bahagian istana yang merugikan kepentingan umum itu kemudian dipecahkan. Kes pengaduan lainnya menyebabkan Saad Abi Waqqash dipecat dari jawatannya.

Seorang sejarawan Eropah menulis dalam The Encyclopedia of Islam: ‘Peranan Umar Al-Khattab sangatlah besar. Pengaturan warganya yang bukan Muslim, pembentukan lembaga yang mendaftar orang-orang yang mendapat hak untuk pencen tentera (divan), pengadaan pusat-pusat ketenteraan (amsar) yang kemudian hari berkembang menjadi kota-kota besar Islam, pembentukan pejabat kadhi (qazi), semuanya adalah hasil karyanya. Demikian juga seperangkat peraturan, seperti sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan, keharusan naik haji, hukuman bagi pemabuk, dan hukuman pelemparan dengan batu bagi orang yang berzina.’

Khalifah Umar Al-Khattab menaruh perhatian yang sangat besar dalam usaha perbaikan kewangan negara, dengan menempatkannya pada kedudukan yang sihat. Beliau membentuk ‘diwan’ (jabatan kewangan) yang diamanahkan untuk menjalankan pentadbiran pendapatan negara.

Pendapatan persemakmuran berasal dari sumber:

  1. Zakat atau cukai yang dikenakan secara bertahap terhadap Muslim yang berharta.
  2. Kharaj atau cukai bumi
  3. Jizyah atau cukai perseorangan. Dua cukai yang disebut terakhir, yang membuatkan Islam banyak dicerca oleh sejarawan Barat, sebenarnya pernah berlaku di kerajaan Romawi dan Sasanid (Parsi). Cukai yang dikenakan pada orang bukan Muslim jauh lebih kecil jumlahnya dari pada yang dibebankan pada kaum Muslimin.

Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan cukai bumi menurut jenis penggunaan tanah yang terkena. Beliau menetapkan 4 dirham untuk satu jarib gandum. Sejumlah 2 dirham dikenakan untuk luas tanah yang sama tetapi ditanami gersb (gandum pembuat ragi). Padang rumput dan tanah yang tidak ditanami tidak dipungut cukai. Menurut sumber-sumber sejarah yang boleh dipercayai, pendapatan cukai tahunan di Iraq berjumlah 860 juta dirham. Jumlah itu tidak pernah lebih pada masa selepas kematian Khalifah Umar Al-Khattab.

Memperkenalkan Transformasi
                                                                                         
Khalifah Umar Al-Khattab memperkenalkan transformasi (penataan) yang luas di lapangan pertanian, hal yang bahkan tidak terdapat di negara-negara berkebudayaan tinggi pada zaman moden ini. Salah satu dari transformasi itu ialah penghapusan zamindari (tuan tanah), sehingga pada gilirannya terhapus juga beban buruk yang mencekik petani penggarap. Ketika orang Romawi menawan Syria dan Mesir, mereka menyita tanah petani dan membahagi-bahagikannya kepada anggota tentera, kaum ningrat, gereja, dan anggota keluarga kerajaan.

Sejarawan Perancis mencatatkan: ‘Kebijaksanaan liberal orang Arab dalam menentukan cukai dan mengadakan land reform sangat banyak pengaruhnya terhadap berbagai kemenangan mereka di bidang ketenteraan.’

Khalifah Umar Al-Khattab membentuk jabatan kesejahteraan rakyat, yang mengawasi pekerjaan pembangunan dan meneruskan rancangan-rancangan. Sejarawan terkenal Allamah Maqrizi mengatakan, di Mesir saja lebih dari 20,000 pekerja terus-menerus dipekerjakan sepanjang tahun. Sejumlah terusan dibina di Khuzistan dan Ahwaz selama masa itu. Sebuah terusan yang bernama ‘Nahr Amiril Mukminin,’ yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah, dibina untuk menjamin pengangkutan padi secara cepat dari Mesir ke Tanah Suci.

Selama masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab diadakan pemisahan antara kekuasaan mahkamah dan kekuasaan eksekutif. Von Hamer mengatakan, ‘Dahulu hakim dilantik dan sekarang pun masih dilantik. Hakim ush-Shara ialah penguasa yang ditetapkan berdasarkan undang-undang, kerana undang-undang menguasai seluruh keputusan mahkamah, dan para gabenor dikuasakan menjalankan keputusan itu.

Dengan demikian dengan usianya yang masih sangat muda, Islam telah mengumandangkan dalam kata dan perbuatan, pemisahan antara kekuasaan mahkamah dan kekuasaan eksekutif.’ Pemisahan seperti itu belum lagi dicapai oleh negara-negara paling maju, meskipun pada zaman moden ini.

Tegas Menegakkan Hukum

Khalifah Umar Al-Khattab sangat tegas dalam penegakan hukum yang tidak memihak dan tidak pandang bulu. Suatu ketika anaknya sendiri yang bernama Abu Syahma, dilaporkan terbiasa meminum khamar. Khalifah memanggilnya menghadap dan ia sendiri yang mendera anak itu sampai meninggal. Cemeti yang dipakai menghukum Abu Syahma ditancapkan di atas kuburan anak itu.

Kebesaran Khalifah Umar Al-Khattab juga kelihatan dalam perlakuannya yang simpatik terhadap warganya yang bukan Muslim. Beliau mengembalikan tanah-tanah yang dirampas oleh pemerintahan jahiliyah kepada yang berhak yang sebahagian besar bukan Muslim. Beliau berdamai dengan orang Kristian Elia yang menyerah. Syarat-syarat perdamaiannya ialah: ‘Inilah perdamaian yang ditawarkan oleh Umar Al-Khattab, hamba Allah, kepada penduduk Elia. Orang-orang bukan Muslim diizinkan tinggal di gereja-gereja dan rumah-rumah ibadah tidak boleh dihancurkan. Mereka bebas sepenuhnya menjalankan ibadahnya dan tidak dianiaya dengan cara apa pun.’

Menurut Imam Syafi’e ketika Khalifah Umar Al-Khattab mengetahui seorang Muslim membunuh seorang Kristian, dia mengizinkan ahli waris almarhum menuntut balas. Akibatnya, si pembunuh dihukum penggal kepala.

Khalifah Umar Al-Khattab juga mengajak orang bukan Muslim berrunding tentang sejumlah masalah kenegaraan. Menurut pengarang kitab al-Kharaj, dalam wasiatnya yang terakhir Khalifah Umar Al-Khattab memerintahkan kaum Muslimin menepati sejumlah jaminan yang pernah diberikan kepada bukan Muslim, melindungi harta dan jiwanya, dengan taruhan jiwa sekalipun. Khalifah Umar Al-Khattab bahkan memaafkan penghianatan mereka, yang dalam sebuah pemerintahan beradab pada zaman sekarang pun tidak akan mentolerirnya.

Orang Kristian dan Yahudi di Hems bahkan sampai berdoa agar orang Muslimin kembali ke negeri mereka. Khalifah Umar Al-Khattab memang membebankan jizyah, iaitu cukai perlindungan bagi kaum bukan Muslim, tetapi cukai itu tidak dikenakan bagi orang bukan Muslim, yang bergabung dengan tentera Muslimin.

Khalifah Umar Al-Khattab sangat mengambil berat tentang rakyatnya, sehingga pada suatu ketika secara diam-diam beliau turun meronda pada malam hari untuk menyaksikan secara langsung keadaan rakyatnya. Pada suatu malam, ketika sedang berkeliling di luar kota Madinah, di sebuah rumah dilihatnya seorang wanita sedang memasak sesuatu, sedang dua anak perempuan duduk di sampingnya menjerit-jerit minta makan. Perempuan itu, ketika menjawab pertanyaan Khalifah Umar Al-Khattab, menjelaskan bahawa anak-anaknya lapar, sedangkan dalam cerek yang dia jerang tidak ada apa-apa selain air dan beberapa ketul batu. Itulah caranya dia menenangkan anak-anaknya agar mereka percaya bahawa makanan sedang disiapkan.

Tanpa menunjukkan identitinya, Khalifah Umar Al-Khattab bergegas kembali ke Madinah yang berjarak tiga batu. Beliau kembali dengan memikul sekarung terigu, memasakkannya sendiri, dan baru merasa puas setelah melihat anak-anak yang malang itu sudah merasa kenyang. Keesokan harinya, beliau berkunjung kembali, dan sambil meminta maaf kepada wanita itu beliau meninggalkan sejumlah wang sebagai sedekah kepadanya.

Khalifah Umar Al-Khattab yang agung itu hidup dengan cara yang sangat sederhana. Tingkat kehidupannya tidak lebih tinggi dari kehidupan orang biasa. Suatu ketika Gabenor Kufah mengunjunginya sewaktu beliau sedang makan. Gabenor menyaksikan makanannya terdiri dari roti gersh dan minyak zaitun, dan berkata, ‘Amirul mukminin, terdapat cukup di kerajaan kamu; mengapa kamu tidak makan roti dari gandum?’

Dengan agak tersinggung dan nada murung, Khalifah Umar Al-Khattab bertanya, ‘Apakah kamu fikir setiap orang di kerajaanku yang begitu luas boleh mendapatkan gandum?’

‘Tidak,’ jawab gabenor.

‘Lalu, bagaimana aku dapat makan roti dari gandum? Kecuali bila itu boleh dengan mudah didapati oleh seluruh rakyatku,’ tegas Khalifah Umar Al-Khattab.

Dalam kesempatan lain Khalifah Umar Al-Khattab berpidato di hadapan suatu pertemuan. Katanya, ‘Saudara-saudara, apabila aku menyeleweng, apa yang akan kalian lakukan?’ Seorang laki-laki bangkit dan berkata, ‘Kamu akan kami pancung.’

Khalifah Umar Al-Khattab berkata lagi untuk mengujinya, ‘Beranikah kamu mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan seperti itu kepadaku?’

‘Ya, berani!’ jawab laki-laki tadi.

Khalifah Umar Al-Khattab sangat gembira dengan keberanian orang itu dan berkata, ‘Alhamdulillah, masih ada orang yang seberani itu di negeri kita ini, sehingga bila aku menyeleweng mereka akan memperbaikiku.’

Seorang ahli falsafah dan penyair Muslim dari India menulis nukilan seperti berikut untuk Khalifah Umar Al-Khattab: ‘Jis se jigar-i-lala me thandak ho who shabnam Daryaan ke dil jis se dabel jaen who toofan.’ (Seperti embun yang mendinginkan hati bunga lily, dan bagaikan taufan yang menggelagakkan dalamnya sungai.)

Sejarawan Kristian Mesir, Jurji Zaidan terhadap prestasi Khalifah Umar Al-Khattab berpendapat: ‘Pada zamannya, berbagai negara dia taklukkan, barang rampasan kian menumpuk, harta kekayaan raja-raja Parsi dan Romawi mengalir dengan derasnya di hadapan tenteranya, namun dia sendiri menunjukkan kemampuan menahan nafsu serakah, sehingga kesederhanaannya tidak pernah ada yang mampu menandinginya. Dia berpidato di hadapan rakyatnya dengan pakaian bertampalkan kulit haiwan. Dia mengamalkan satunya kata dengan perbuatan. Dia mengawasi para gabenor dan jenderalnya dengan cermat dan dengan cermat pula menyelidiki perbuatan mereka. Bahkan Khalid bin Walid yang perkasa pun tidak terkecuali. Dia berlaku adil kepada semua orang, dan bahkan juga bagi orang bukan Muslim. Selama masa pemerintahannya, disiplin yangkental diterapkan secara utuh.’

Dasar Pentadbiran Khalifah Umar Al-Khattab

Ketika Khalifah Umar Al-Khattab menyoal sahabat-sahabatnya tentang sama ada dia telah menunaikan tugasnya dengan melantik mereka yang terbaik sahaja serta menasihatkan mereka agar berlaku adil dan bijaksana, mereka mengiakan. Sebaliknya Umar Al-Khattab membantah dengan mengatakan: ‘Belum, aku belum menunaikan kewajipanku selagi aku belum memeriksa apakah mereka ada menjalankan apa yang aku nasihatkan atau tidak.’

Jadi bagi Umar Al-Khattab, dengan melantik orang yang terbaik sahaja tidak memadai jika mereka tidak menunaikan tanggungjawab. Sebab itu telah menjadi kebiasaan baginya untuk meronda tengah malam dalam usahanya untuk mengetahui denyut nadi rakyatnya. Maka bertemulah dia dengan mereka yang daif dan yang memerlukan bantuan. Dan dengan tangannya sendirilah dia berusaha menolongnya tanpa sedikit pun diketahui oleh mereka bahawa dialah Khalifah Umar Al-Khattab!

Sungguh besar perhatiannya terhadap kebajikan rakyat sehingga pada zamannyalah bermulanya sistem pentadbiran yang serba teratur. Dengan berdasarkan kepada prinsip ‘syura’, Umar Al-Khattab telah membentuk Majlis Tertinggi dan Majlis Umum. Majlis Tertinggi adalah semacam jawatankuasa kabinet yang terdiri dari tokoh-tokoh besar seperti Usman Affan, Ali bin Abu Talib, Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad Abi Waqqash bin Abi Waqas dan Muaz bin Jabal. Sedangkan Majlis Umum pula sifatnya terbuka untuk rakyat dengan masjid sebagai tempat pertemuannya.

Untuk melicinkan pentadbiran wilayah, Umar Al-Khattab telah melaksanakan dasar disentralisasi dengan membahagikan kepada lapan wilayah, iaitu Mekah, Madinah, Sham, Basrah, Syria, Kufah dan sebagainya yang masing-masirgnya mempunyai seorang Gabenor, seperti Amru ibnul-Ass, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Musa Al-Shaari, Al-Mughjrah bin Abu Shu’bah, Abu Aidah Al-Jarrah dan lain-lainnya.

Pada tiap-tiap wilayah itu dilantik pegawal-pegawai untuk mengetuai jabatan-jabatan tentera dan polis, cukai, kadhi dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebelum gabenor-gabenor tersebut dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta benda masing-masing demi mengelakkan amalan rasuah. Mereka juga disyaratkan susaha tidak menunggang kuda Turki atau memakai pakaian yang mahal. Dan pada tiap-tiap musim Haji dikehendaki berada di Mekah untuk mendengar pengaduan rakyat.

Suatu langkah Umar Al-Khattab yang nampaknya telah mendahului sejarah ialah apabila beliau menjalankan sistem pentadbiran yang dalam istilah perundangan moden dipanggil prinsip ‘perasingan kuasa (separation of power). Meskipun caranya agak berbeza dengan fahaman dan amalan masa kini, tetapi Umar Al-Khattab telah berjaya melaksanakannya apabila para kadhi diberi kebebasan untuk menjalan tugas-tugasnya, tanpa takutkan kuasa-kuasa politik.

Pernah terjadi seorang Muslim meminta fatwa dari Hakim Ali bin Abu Talib, sedangkan Umar Al-Khattab tidak sependapat dengan keputusan Ali tersebut. Namun Umar Al-Khattab tidaklah bertindak agar keputusannyalah yang dipakai, apa lagi untuk memecat Hakim yang bertentangan pendapat dengannya.

Dari segi ekonomi, Umar Al-Khattab telah menubuhkan Baitulmal. (perbendaharaan). Sumber utama kewangan negara tentunya dari kutipan zakat atau ‘Usyur (zakat tanaman), iaitu 1 atau 10 jika menggunakan air hujan atau 1 atau 20 jika menggunakan tenaga. Terhadap orang-orang bukan Islam pula, mereka dikenakan cukai Kharaj (cukai tanah) serta cukai jizyah, iaitu cukai kepala kerana tinggal di dalam negara Islan. Selain dari itu, Baitulmal juga memperolehi hartanya dari al-Fai’, iaitu harta-harta rampasan musuh tanpa melalui peperangan, dan juga Ghanimah, iaitu harta-harta rampasan perang.

Dengan adanya sumber-sumber kewangan seperti ini, dapatlah Umar Al-Khattab melaksanakan program-program sosialnya, seperti memberi elaun-elaun khas kepada rakyat. Dan dalam hal Ini, Umar Al-Khattab mengutamakan keluarga Nabi (Ahlul-bait), seperti isteri-isteri Rasulullah s.a.w serta anak-anak cucunya dan lain-lain. Kepada mereka diberikan 12,000 dirham setahun, sedangkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar di antara 4,000-5,000 dirham setahun, golongan tentera biasanya 500-6000 dirham dan golongan kanak-kanak serta perempuan mendapat 200-400 dirham setahun. Dan kepada mereka yang tidak berdaya diberi imbuhan khas dan perlindungan, meskipun mereka adalah orang Yahudi!

Dengan wujudnya sistem pembahagian sara hidup tersebut, Umar Al-Khattab seolah-olah telah berjaya mengasaskan sebuah negara kebajikan (welfare state) seperti yang pernah diamalkan oleh setengah negara Barat masa kini. Dalam bidang pentadbiran tanah pula, Umar Al-Khattab telah dapat menghapuskan pemerasan tuan-tuan tanah (landlords) terhadap kaum petani. Umar Al-Khattab juga menggalakkan pembukaan tanah-tanah baru dengan memberikan hak milik kepada pengusahanya. Tentang soal ketenteraan; Umar Al-Khattab telah membahagikan tentera Islam kepada dua bahagian; mereka yang bertugas sepenuh masa (standing army) dan orang-orang awam yang dapat dikerahkan pada masa-masa tertentu (volunteer).

Sebagai tentera sepenuh masa, mereka mendapat gaji tetap serta kemudahan-kemudahan sampingan lain, tetapi mereka tidak diberikan habuan tanah demi untuk mengelakkan mereka menetap di sesuatu tempat. Hanya tentera ‘volunteer’ atau sukarela sahaja mendapat habuan tanah tersebut. Dari segi pendidikan, pusat-pusat pengajian Islam telah didirikan di kota-kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru-guru agama telah dihantar ke pusat-pusat ini, sedangkan imam-imam diadakan di masjid-masjid. Dan buat pertama kalinya Umar Al-Khattab mengadakan kalendar (taqwim) Islam sendiri yang bermula dari peristiwa Hijrah Nabi ke Madinah.

Dengan adanya perubahan-perubahan pertadbiran seperti ini, serta sumbangan-sumbangan lain yang tidak disebutkan, maka tidak hairanlah jika Umar Al-Khattab digelar ‘Amirul-Mukminin; atau Raja orang-orang yang beriman. Bahkan di kalangan rakyat, istilah ‘Keadilan’ itu sinonim dengan nama Umar Al-Khattab sendiri.

Gerakan-Gerakan Ketenteraan

Gerakan-gerakan ketenteraan pada zaman Umar Al-Khattab tertumpu kepada jajahan-jajahan Rom serta wilayah Parsi sendiri, sebagai penerusan daripada gerakan-gerakan pada zaman Abu Bakar dulu. Mengenai jajahan Rom, telah pun disentuh bahawa Khalid Al-Walid telah dipecat oleh Umar Al-Khattab sebagai Pemimpin Umumnya sebaik sahaja beliau menjadi Khalifah. Sebab-sebab pemecatannya hingga diganti oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah agak kabur. Ada pendapat mengatakan bahawa Khalid ikut menyokong Ali bin Abu Talib sebagai khalifah, dan ada pula yang menganggap bahawa Umar Al-Khattab takut keperwiraan Khalid menyebabkan ramai yang akan menjadi mangsanya, atau mengkaguminya secara berlebih-lebihan.

Pendapat mengatakan bahawa kecekapan Khalid hanyalah di bidang ketenteraan sahaja, sedangkan Abu Ubaidah mempunyai kelebihan di bidang diplomasi. Walau bagaimanapun pemecatannya tidaklah menggugat perasaannya, lagipun sebelum kedatangannya dulu Abu Ubaidahlah yang merupakan Pemimpin Umumnya. Kekalahan di Damsyik menyebabkan Heraclius mengumpul semula kekuatannya sehingga dapat membentuk suatu ketumbukan berjumlah kira-kira 1.5 juta orang. Pimpinannya diserahkan kepada Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir kerajaan Ghassan dengan bantuan Mahan dari Armenia.

Tentera Islam yang berjumlah 24,000 orang dipimpin oleh Abu Ubaidah sendiri. Maka berlakulah Peperangan Yarmuk pada 636 Masehi, dan ianya begitu sengit sehingga Heraclius terpaksa sekali lagi berangkat dari Antioch menuju Konstantinopel (ibu kota Byzantium) pula setelah tenteranya dipukul. Kemudiannya tentera Islam terpecah dua, sebahagian menuju ke utara di bawah pimpinan Abu Ubaidah dan Khalid, dan bahagian lain menuju ke selatan dengan ketuanya Shurahbil dan Amru ibnul Ass. Adapun Yazid bin Abu Sufyan sendiri harus menjaga Damsyik.

Dalam perjalanannya itu Abu Ubaidah dan Khalid telah menakluki Hems, Hama, Qinnisria, Laziqiyah dan Aleppo. Amru dan Shurahbil pula berjaya merebut Acre, Haifa, Jaffa, Ghazzah dan lain-lainnya, kecuali Baitul Muqaddis sahaja yang belum menyerah. Tetapi ini pun tidak lama sebab penduduk-penduduknya sendiri ingin berdamai dengan syarat khalifah sendiri datang ke Jerusalem buat mengadakan perundingan.

Demikianlah yang berlaku apabila Jerusalem menyerah kepada Umar Al-Khattab pada 15 H. Kemudian Amru berangkat ke Qisariyah lalu mara pula ke Mesir dengan keizinan Umar Al-Khattab. Dengan melalui Padang Pasir Sinai, Amru sampai ke Arisy dan seterusnya ke Farma. Sebulan lamanya kaum Muslimin mengepung Farma, akhirnya jatuh juga dengan sokongan penduduk-penduduk Mesir sendiri.

Dari Farma Amru mara ke Bulbais dengan menghadapi tentera Rom pimpinan Artibun yang sebelumnya melarikan diri dari Baitul Muqaddis. Di sini juga tentera Islam memenanginya, tetapi dalam pertempuran di Ummu Dunain kemudiannya tentera Islam mengalami kesukaran. Oleh Amru diminta bantuan pusat, maka tibalah 4000 tentera tersebut yang dipimpin oleh Zubair Al-Awwam, Miqdad Al-Aswad, Muslimah bin Mukhlid dan Ubaidah Al-Samit. Maka bertemulah mereka dengan tentera Rom pimpinan Theodore yang berjumlah 20,000 di Ainus-Sham.

Dengan kebijaksanaan Amru tercapailah kemenangan, tetapi sebahagian tentera Rom dapat melarikan diri ke benteng Babylon. Selama 7 bulan kaum Muslimin mengepungnya, akhirnya baru diberi tiga pilihan kepada Muqauqis (Gabenor Rom di Mesir) sama ada mahu masuk Islam, membayar jizyah atau berperang. Melihat kekuatan tentera Islam yang cukup berdisiplin itu Muqauqis memilih perdamaian saja dengan membayar cukai. Meskipun tindakannya ini dibantah keras oleh Heraclius, tetapi Muqauqis tidak mempedulikannya.

Buat mengakhiri sin serangan terhadap Rom, kaum Muslimin terus mara ke Iskandariyah, ibu kota Mesir. Disebabkan benteng pertahanannya agak kuat, sukarlah kaum Muslimin menyerangnya. Maka timbullah semacam kelemahan semangat untuk meneruskan pertempuran. Hanya setelah tibanya surat dari Umar Al-Khattab yang membidas sikap tersebut itulah baru mereka bertekad untuk berjuang habis-habisan sehingga sanggup memanjati benteng tersebut. Ini menyebabkan tentera Rom melarikan diri ke kapal mereka yang berlabuh di laut. Akhirnya dengan penerimaan syarat-syarat perdamaian oleh Muqauqis itu maka jatuhlah seluruh Mesir ke bawah kekuasaan Islam setelah sekian lama dijajah oleh kerajaan Rom.

Mengenai Parsi pula, sebaik sahaja Umar Al-Khattab menggantikan Abu Bakar, segera dikirimkannya bantuan tentera pimpinan bersama Abu Ubaid Al-Saqafy dan Sulait Al-Ansary kepada Al-Muthana yang baru mengambil alih pimpinan Khalid Al-Walid dulu. Maka berlakulah Peperangan Jambatan sebanyak dua kali berhampiran dengan Al-Hirah pada 13 Hijrah. Tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum telah mencapai kemenangan sehingga Abu Ubaid dan Sulait sendiri terbunuh. Ini menyebabkan Umar Al-Khattab membekukan gerakan ketenteraan selama setahun sambil melengkapi persiapannya. Untuk menebus kekalahan tersebut, pada 15 Hijrah.

Umar Al-Khattab lalu menghantar satu pasukan tentera pimpinan bersama Al-Muthana dan Jarir bin Abdullah yang hasilnya berjaya memukul tentera Parsi pimpinan Mahran. Kemenangan ini mendorong Umar Al-Khattab melantik Saad Abi Waqqash mengetuai angkatan tentera seramai 10,000 untuk menghadapi tentera Parsi yang berjumlah 120,000 pimpinan Rustum. Turut membantu Saad Abi Waqqash ialah Al-Mugirah bin Abi Shu’bah, Dais bin Hubairah dan dan Tulaihah bin Khuailid, salah seorang nabi palsu dulu.

Ketika bertemu, kedua belah pihak cuba mencari penyelesaian agar peperangan dapat dihindari. Malangnya satu rombongan diplomatik untuk mengadap Maharaja Parsi di Madain telah dibunuh oleh Rustum, kecuali ketua rombongan Nukman bin Al-Mughirah. Akibatnya tercetuslah Pertempuran Al-Qadisiyah yang hebat selama tiga hari yang menyebabkan kekalahan teruk di pihak Parsi, sementara tentera Islam telah memperoleh banyak harta rampasan. Malah Rustum sendiri telah dibunuh oleh Hilal bin Al-Qamah.

Dengan kemenangan ini memaksa mereka untuk mencapai kemenangan muktamad. Ketika tentera Islam berjaya merebut Bahrain yang terletak di bahagian bandar Madain; ibu kota Parsi, tentera Parsi terus menyeberangi Sungai Dajlah lalu membinasakan jambatannya. Begitu pun tentera-tentera Islam dapat juga menyeberanginya dengan kuda sehingga gugup tentera Parsi dibuatnya. Akhirnya Madain dapat ditawan, tetapi Maharaja Yazdajird bin Shahriar telah berangkat ke Helwan dengan memindahkan segala alat-alat kebesarannya di situ.

Di Helwan Yazdajird lalu menyusun kembali angkatannya di samping meminta bantuan di sana-sini. Dengan terkumpulnya bala tentera tersebut di suatu tempat bersama Jalaula, mereka menggali parit di sekelilingnya. Tetapi tentera Islam berjaya juga merempuhnya sehingga dapat memenanginya. Ini menyebabkan Yazdajird sekali lagi berangkat dari Helwan menuju Nihawand.

Di sini dia sempat mengumpul kembali tenteranya seramai 100,000 orang pimpinan Firzan. Dan agar mereka tidak melarikan diri, tenteranya telah dirantaikan sesamanya. Pimpinan tentera Islam dipegang oleh Nukman Al-Muqarrin setelah Saad Abi Waqqash bin Abi Waqas dipecat kerana setengah tindakannya di Kufah tidak direstui oleh Umar Al-Khattab. Dalam Pertempuran Nihawand pada 19 Hijrah. ini kaum Muslimin mencapai kemenangan gemilang.

Dan buat menamatkan siri ini tentera Islam terus menakluki Ahwaz, Kashan, Qam dan Azerbaijan. Ada pun Yazdajird sendiri tidaklah berdaya lagi untuk melawan, dan pada 31 Hijrah dia dibunuh di Khurasan. Sejak ini jadilah wilayah Parsi di bawah perintah Islam.

Demikianlah pada zaman Umar Al-Khattab jatuhnya Empayar Parsi serta jajahan-jajahan Rom ke tangan Islam. Kejatuhan Rom dan Parsi sesungguhnya amat memalukan, kerana selama berabad-abad kedua-duanya sangat terkenal sebagai kuasa-kuasa besar yang sangat menggerunkan.

Al-Quran Pada Zaman Khalifah Umar Al-Khattab

Pada hakikatnya usaha-usaha pengumpulan Al-Quran tidaklah dimulakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Meskipun ke semua ayat-ayat Al-Quran sudah sedia tertulis pada zaman baginda, tetapi tidaklah diusahakan pengumpulannya dalam suatu mashaf. Ini memandangkan bahawa ayat-ayat Al-Quran sentiasa dalam proses nuzul (turun) malah setengahnya ada yang memansukhkan ayat sebelumnya. Maka jika dikumpulkan, terpaksalah diperbaiki selalu. Jadi biarlah kesemuanya selesai diturunkan meskipun terpaksa menunggu sehingga wafatnya Rasulullah s.a.w.

Dengan gugurnya 70 orang Huffaz (penghafaz) dalam Perang Yamamah tersebut, barulah timbul kesedaran dan keperluan buat menghimpunkannya. Atas cadangan Umar Al-Khattab yang disetujui oleh Abu Bakar, ditugaskanlah Zaid bin Thabit melaksanakan usaha-usaha pembukuannya. Demikianlah selama setahun baru dia dapat menyelesaikannya dengan cara menemui para-para Huffaz serta dari catatan-catatan. Atas inisiatif Abu Bakar itulah Ali bin Abu Talib kemudiannya berkata: ‘Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas Abu Bakar sebagai orang pertama yang mengumpulkan kitab Allah di antara dua Luh.’

Dengan kewafatan Abu Bakar, mashaf itu berpindah ke tangan Umar Al-Khattab sampailah masa ketiadaannya pula. Kemudian baru disimpan oleh anaknya Hafsah yang juga isteri Rasulullah s.a.w. Ini bukan sahaja kerana dia sendiri menghafalnya serta pandai pula membaca dan menulis, bahkan juga kerana belum jelas lagi siapa pengganti Umar Al-Khattab agar dapat diserahkan naskhah itu kepadanya.

Pada zaman Uthman Affan, timbullah beberapa faktor yang mendorong Al-Quran disalin semula. Pernah Huzaifah Al-Yaman ketika berada di Azerbaijan dan Armenia menyaksikan pertelingkahan yang berlaku antara orang Sham dengan orang Iraq sekitar bacaan Al-Quran. Lalu dilaporkanlah kepada Uthman dengan kiranya masalah itu dapat diatasi.

Malah Uthman sendiri pun pernah melihat kejadian yang sama, sebab itu dia berkata: ‘Sedangkan engkau berada berhampiran denganku bercakaran dan salah-menyalahi antara satu sama lain, maka apatah lagi mereka yang tinggal jauh dariku, sudah tentu perbalahan mereka lebih dahsyat dari kamu. Wahai para sahabat Rasulullah s.a.w, berhimpunlah kamu dan tuliskan Al-Ouran untuk menjadi pedoman ikutan sekalian orang.’

Sekali lagi tugas penyusunannya diketuai oleh Zaid bin Thabit. Maka dimintalah mashaf yang disimpan oleh Hasfah sebagai sandaran. Pedomannya ditetapkan oleh Uthman, iaitu hendaklah ditulis menurut loghat (dialek) kaum Quraisy, sebab Al-Quran diturunkan menurut dialek mereka. Hasilnya lahirlah beberapa naskhah yang kemudiannya dihantar ke Mekah, Syria, Basrah, Kufah dan satu lagi disimpan oleh Uthman sendiri.

Dan bersama mashaf tersebut diutuskan kepada setiap wilayah itu seorang Huffaz khas untuk membetuli bacaan di dalam mashaf yang dibawanya. Oleh Uthman diperintahkan agar dibakar segala mashaf peribadi yang nampaknya mendapat sokongan ramai, kecuali tentangan yang tidak bertenaga dari Abdullah bin Mas’ud. Terhadap tindakan Uthman ini, Ali mengatakan: ‘Jangan kamu mengata-ngatakan kepada Uthman sesuatu yang tidak baik. Sesungguhnya demi Allah, segala sesuatu yang dilakukannya terhadap mashaf itu adalah dengan persetujuan dan kehendak dari kami semua.’

Mashaf Uthmani ditulis tanpa tanda bacaan, jadi beliau berkemungkinan dibaca dengan berbagAl-bagai cara. Selama lebih 40 tahun mashaf ini dipakai oleh umat Islam, hinggalah ke zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan (685-705 Masehi) yang sejak:itu bermacam-macam kesamaran timbul mengenai bacaannya. Oleh pembesar-pembesar negeri seperti Al-Hajjaj bin Yusuf Al-Saqafy dan Ubaidullah bin Ziyad diperelokkanlah perkataan-perkataannya agar Iebih jelas serta senang difaham. Pembetulan ini dilakukannya terus-menerus, dan kemuncaknya ialah pada akhir abad ke-3 Hijrah. apabila Al-Quran dibubuh titik dan baris. Tokoh-tokoh yang terlibat ialah Abul-Aswad Saad Abi Waqqash Abi Waqqashh-Dualy, Yahya bin Yakmar dan Nasim bin Asim Al-Laisy.

Kemudiannya disusuli oleh penulisan nama-nama surah, membahagikan Al-Quran kepada juzuk-juzuk dan sebagainya. Semuanya ini berlaku meskipun selepas wafat Rasulullah s.a.w, namun ianya dilakukan secara tauqifi (menurut pandangan Rasulullah s.a.w).

Pada zaman Al-Walid bin Abdul Malik (705-715 Masehi) diperintahkannya Khalid Abi Hiyaj mencantikkan tulisannya. Mulanya hingga akhir kurun ke-4 Hijrah. dipilih seni khas gaya Kufi, tetapi kemudiannya pada awal abad ke-5 Hijrah. Iebih disukai gaya Nasakh. Mulai abad ke-6 Hijrah. (1145 Masehi) diusahakanlah terjemahan pertama Al-Quran dalam bahasa Latin untuk keperluan Gereja Clugni, tetapi baru dapat diterbitkan pada 1543 oleh penerbitan Bibliander di Basle. Dan berdasarkan naskhah Latin inilah Al-Quran diterjemahkan ke bahasa Itali, Jerman dan Belanda. Adapun terjemahan dalam Bahasa Melayu telah dirintis oleh Syeikh Abdur Rauf Singkel pada abad ke-17 Masehi, di Acheh berdasarkan Tafsir Al-Baidhawi.

Dengan sejarah ringkas ini dapatlah difahamkan betapa terjaminnya keselamatan Al-Quran dari semasa ke semasa. Sejarah pembukuannya jelas, demikian juga sejarah pemeliharaannya. Tidak pernah terdapat sebarang bukti yang ada pihak yang berjaya menyebarkan Al-Quran, palsu, atau sekurang-kurangnya berjaya menyelewengkan ayat-ayat tertentu.

Tiadanya penyelewengan ini dan terjaminnya keselamatan Al-Quran bukannya secara kebetulan saja, tetapi memang kerana ianya telah dipelihara oleh Allah sendiri dalam firman-Nya: ‘Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami tetap memeliharanya.’ (surah Al-Hijr: 9)

Keistimewaan seperti ini tidak ada pada kitab Injil; suatu kitab yang telah mengalami banyak perubahan, baik dalam bentuk pembuangan atau penyisipan pada ayat-ayatnya. Contoh terkemuka tentang adanya perubahan ini temyata sekali pada ayat yang dikenalii sebagai ‘Comma Johaeum’ atau Tiga Kesaksian Langit: ‘Kerana Tiga yang menjadi saksi di syurga, iaitu Bapa dan Firman dan Ruhul-Kuddus, maka ketiganya itu menjadi satu’ (St. John 5:7).

Menurut Rev. Dr. Charles Francis Potter, ayat ini dianggap sebagai ‘a deliberate to forgony’, suatu pemalsuan yang disengajakan. Malah untuk kesemua 25 ayat dalam Fasal 21 Injil St. John itu, oleh Jemaah Penyunting The Holy Bible, Catholic ed. RSV, Nelson 1966 ditegaskan bahawa: ‘This chapter was added later, either by the evangelist or by a disciple,‘ bahawa fasal ini ditambah kemudian, sama ada dari evangelist atau oleh seorang murid.

Begitu juga dalam 101 St. Mathews (15:24) dikatakan bahawa Agama Kristian hanyalah khusus buat kaum Yahudi sahaja. Tetapi ini ditolak oleh para penganut Kristian dengan mengemukakan bukti dari Injil St. Marks (16:15). Anehnya menurut Jemaah Penyunting yang sama, ‘it is possible that Mark did not write it,‘ iaitu ada kemungkinan yang Mark tidak menulisnya.

Demikianlah perbezaan besar antara sejarah Al-Quran dengan sejarah Injil; yang satu masih terpelihara keasliannya, sedangkan yang satu lagi sudah dikotori oleh tangan manusia. Dan dalam hal ini, sesungguhnya jasa Abu Bakar tidaklah ternilai.

Lahirnya Mazhab-Mazhab Politik

Kelahiran mazhab-mazhab politik dalam Islam adalah berasaskan persoalan-persoalan sekitar masalah kepimpinan, yakni siapakah yang Iebih berhak untuk menjadi Khalifah (pengganti Rasulullah s.a.w). Sebetulnya masalah-masalah tentang pemilihan Khalifah ini bermula sejak wafatnya Rasulullah s.a.w, apa lagi baginda sendiri tidak pula menentukan siapakah penggantinya, dan bagaimana pula cara pemilihannya.

Ini menimbulkan beberapa aliran tertentu, seperti golongan-golongan penyokong Ansar, penyokong Quraisy dan penyokong Ali bin Abu Talib. Bagaimanapun aliran yang penyokong Quraisy menang, maka naiklah Abu Bakar dan Umar Al-Khattab sebagai Khalifah. Tetapi aliran yang penyokong Ali terus hidup, cumanya kurang berpengaruh berkat keadilan dan kebijaksanaan kedua-dua khalifah tersebut.

Dengan naiknya Uthman bin Affan barulah aliran penyokong Ali hidup kembali, apa lagi dilihatnya bahawa Uthman mengamalkan polisi nepotisme, yakni mementingkan keluarga Umayyah saja. Bagaimanapun tentangan-tentangan terhadap Khalifah Uthman kelihatan terpencar-pencar di sana-sini, hinggalah munculnya Abdullah bin Saba’ yang menyatukannya di bawah slogan ‘Ahlul-bait.’

Lalu dipropagandanya bahawa Rasulullah s.a.w telah berwasiat kepada Ali untuk menjadi khalifah sesudahnya. Dan untuk memperkuatkan teorinya, disebarkannya fahaman ‘Hak Ilahi’ (Devini Right) bahawa Allah yang berhak menjadi khalifah, kerana hal itu sudah ditentukan oleh Allah, dan Uthman telah merampas hak itu dengan kekerasan. Jadinya pengasas gerakan penyokong Ali ialah Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi yang memeluk Islam semata-mata untuk meruntuhkannya dari dalam.

Tetapi dengan berlakunya peristiwa Tahkim tersebut, terpecahlah pengikut-pengikut Ali kepada dua golongan; golongan Syiah yang menyokongnya dan golongan Khawarij yang menentangnya. Mengenai puak Syiah, pokok kepercayaan mereka berasaskan kepada fahaman bahawa Alilah yang lebih berhak menjadi khalifah, sedang Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman telah merampas hak Ali tersebut.

Maka adalah menjadi tugas mereka untuk mengembalikan hak-hak tersebut kepada yang empunya, iaitu keluarga Ali. Bagi mereka, soal Imamiah (kepimpinan) tidak termasuk kepentingan umum yang dapat diserahkan saja kepada rakyat untuk menetapkan siapa yang mereka kehendaki, sebaliknya merupakan ketetapan dari Rasulullah s.a.w sendiri yang harus diterima sebagai dasar agama. Soal siapa pengganti Rasulullah s.a.w dikatakan telah diwasiat lebih dulu kepada Ali, seperti yang terdapat pada Hadis ‘Ghadir Khum.’

Ada pun mengenai puak Khawarij, mereka dulunya adalah penyokong Ali juga. Tetapi kerana Ali menerima Tahkim (yang mereka sendiri memaksanya), mereka lalu menentangnya pula. Terdapat khalifah-khalifah sebelumnya, sikap mereka agak moderate. Mereka menyokong Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan juga tahun-tahun pertama pemerintahan Uthman.

Malah mereka juga menyokong Ali, tetapi kemudiannya menyalahkannya kerana menerima perundingan, dan kerana Ali dituduh kafir. Mereka juga mengkafirkan Abu Musa Al-Shaari, Amru ibnul-Ass, Muawiyah dan Uthman. Mengenai soal pemerintahan, mereka berpendapat bahawa khalifah harus dipilih secara bebas dari segenap rakyat umat Islam; tidak semestinya dari puak Quraisy sahaja. Dan andai kata sudah dipilih maka dia adalah pemimpin umat Islam yang harus tunduk kepada hukum-hukum Allah, dan sekiranya dia menyeleweng dia harus dipecat.

Selain dari kedua-dua mazhab tersebut, timbul juga mazhab Murji’ah. Golongan ini timbul setelah mengetahui bahawa Khawarij mengkafirkan Uthman dan Ali serta penyokong-penyokong Tahkim, juga setelah dilihatnya bahawa dalam Syiah juga ada mengkafirkan Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman dan pengikut-pengikut mereka. Setiap golongan dari umat Islam menganggap bahawa mereka saja yang benar sedangkan golongan lain sesat dan kafir. Maka datanglah aliran Murji’ah yang cuba mengkompromi semua golongan dan tidak mengkafirkan salah satunya. Bagi mereka, baik Syiah, Khawariji mahupun pengikut-pengikut Umayyah adalah orang-orang Mukmin, ada salahnya dan ada benarnya.

Mereka tidak menentukan mana yang salah dan mana yang benar, sebaliknya menyerahkan saja kepada Allah. Sebab itulah mereka digelar Murji’ah, yakni golongan yang menangguhkan atau mengakhirkan persoalan-persoalan sehingga Hari Pembalasaan nanti. Antara mereka yang dapat digolongkan dalam puak ini ialah seperti Abi Bakarah, Abdullah bin Umar Al-Khattab, Imran bin Al-Hussain dan Saad Abi Waqqashh. Mereka terdiri daripada golongan yang enggan terlibat dalam penentangan-penentangan yang berlaku pada akhir pemerintahan Uthman tersebut.

Demikianlah mazhab-mazhab yang timbul pada zaman-zaman akhir Khulafaur-Rashidin. Baik golongan Syiah, Khawarij mahupun Murji’ah, semuanya itu asalnya bersifat politik semata-rnata. Bagaimanapun akhirnya mereka berubah menjadi mazhab agama, lantaran kecenderungan membicarakan soal-soal akidah dan syariat.

Ceritera Khalifah Umar Al-Khattab

Sejarah telah mencatatkan bahawa Khalifah Umar Al-Khattab telah melantik Saad Abi Waqqash r.a seorang sahabat besar Rasulullah s.a.w sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Namun terdapat beberapa kumpulan munafik yang amat benci kepada Saad, lalu membuat aduan palsu kononnya Saad Abi Waqqash tidak adil dalam pembahagian dan tidak memimpin ketika peperangan. Sedangkan ketika itu, kerajaan Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menuju ke Nahawand. Amat difahami kumpulan ini ingin mengganggu kelancaran perancngan kerajaan Islam.

Walaupun aduan ini sememangnya telah diketahui palsu oleh Khalifah Umar Al-Khattab tetapi beliau masih meraikannya secara serta merta dengan menghantar wakil penyiasat iaitu Muhammad Ibn Maslamah. Khalifah Umar Al-Khattab seorang yang amat sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap gabenor lantikannya. Tatkala proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua yang berada di Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakladilan Saad Abi Waqqash lalu semuanya mengkhabarkan kebaikan Saad Abi Waqqash.

Tiba-tiba muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Saad Abi Waqqash tidak adil dan tidak memimpin perang. Saad menafikan dengan sumpah serta mendoakan buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah dunia bagi sesiapa yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya. Hasil doa individu soleh seperti Saad Abi Waqqash, kesemua kumpulan yang meinpu ini mati. Usamah pula menjadi buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu syahwat yang luar biasa. Walaupun Saad Abi Waqqash terbukti selepas itu tidak bersalah, demi mengelakkan perpecahan dan menjaga status Saad Abi Waqqash, Umar Al-Khattab meminta Saad Abi Waqqash untuk menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah Bin ‘Utban yang merupakan timbalan kepada Saad Abi Waqqash sebelum ini. Manakala Saad Abi Waqqash di bawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah di Madinah.

Harta Gabenor Dan Pegawai Khalifah Umar Al-Khattab

Khalifah Umar Al-Khattab begitu tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara, beliau juga amat ketat dalam meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai yang dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta, dan peningkatan hartanya akan disemak dengan begitu kerap. Jika peningkatan berlaku, Khalifah Umar Al-Khattab akan mengambil separuh untuk baitulmal dan dalam beberapa keadaan Khalifah Umar Al-Khattab mengambil semuanya. Selain itu, Khalifah Umar Al-Khattab turut melakukan lawatan mengejut ke ruamh pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. 

Berikut beberapa kisah prihatinnya Khalifah Umar Al-Khattab:

  1. Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-’As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar Al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut: ‘Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu.’

  1. Dalam satu keadaan lain, Saad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya (di ketika itu amat jangkal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarkannya ‘Istana Saad.’ Dinyatakan bahawa Saad Abi Waqqash membina agar itu kerana rumahnya berhampiran degan pasar dan amat bising, lalu dibinanya agar dapat menghalang sedikit kebisingan. Apabila berita sampai kepada Umar Al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar dari manfaatnya, lalu dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut.

  1. Khalifah Umar Al-Khattab telah melantik Mujasha’ bin Mas’od untuk beberapa tugasan, dan kemudiannya mendapat laporan isteri Mujasha’ bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru dan hiasan dinding. Lalu Khalifah Umar Al-Khattab menghantar surat kepada Mujasha’ agar mengoyakkan semua hiasan dinding. Mujasha’ menerima surat itu ketika bersama orang ramai, lalu dengan segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya. Sebenarnya, Khalifah Umar Al-Khattab tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha’, kerana itu diarahkan sedemikian. kamu juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya para pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Khalifah Umar Al-Khattab.

  1. Khalifah Umar Al-Khattab pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Khalifah Umar Al-Khattab memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Khalifah Umar Al-Khattab mula mengambilnya sambil berkata: ‘Barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas.’ 

  1. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikannya mendapati keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil sebahgian dari harta Abu Bakarah. Namun Abu Bakarah cuba membantah dengan mengatakan: ‘Aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan).’ Khalifah Umar Al-Khattab menjawab: ‘Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitulmal, dan dia telah memberikan beberapa pinjaman kepadamu agar kamu boleh berniaga dengannya.’ 

Kesimpulannya, semua tindakan Khalifah Umar Al-Khattab ini tidaklah diambil secara sembrono, kisah ini hanyalah ringkasan sahaja, dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan jawatan di jadikan peluang untuk meraut kekayaan. Ibn Taymiah mengulas beberapa tindakan Khalifah Umar Al-Khattab tadi bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan para gabenor dan pegawainya, yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah oleh rakyat jelata disebabkan oleh jawatannya.

Khalifah Umar Al-Khattab Dan Denda Anaknya

Abdul Rahman bin Umar Al-Khattab, salah seorang anak Umar Al-Khattab berada di Mesir dan dilaporkan telah melakukan kesalahan dengan meminum arak. Beliau kemudiannya meminta Amru bin Al-’As untuk melaksanakan hukuman ke atasnya.

Namun Amru al-’as r.a merasa serba salah kerana ia adalah anak khlaifah lalu menjatuhkan hukuman secara sedikit berbeza iaitu mencukur kepalanya dan ia disebat secara tertutup di dalam rumahnya. Sepaptunya prosedur di ketika itu adalah hukuman minum arak mestilah dicukur dan disebat pada waktu yang sama di hadapan khalayak ramai. Peristiwa ini bocor kepada Khalifah Umar Al-Khattab lalu beliau menghantar surat yang antara lainnya menyebut:- ‘Engkau telah menyebat dan mencukur Abdul Rahman di dalam rumahmu dan kamu tahu ia bertentangan dengan apa yang aku harapkan (hukuman seperti orang lain). Abdul Rahman adalah salah seorang warga di bawah tanggungjawabku (di akhirat), dan kamu beralasan dengan mengatakannya adalah anak Khalifah sedangkan kamu tahu aku tidak sesekali berkompromi dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah s.w.t.’ 

Khalifah Umar Al-Khattab Dan Khalid Ibn Walid

Khalid Ibn Walid, yang terkenal sebagai ‘Pedang Islam’ dilucutkan jawatan sebanyak dua kali oleh Khalifah Umar Al-Khattab, iaitu pada tahun 13 Hijrah sejurus selepas Khalifah Umar Al-Khattab dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah. Namun kedua-dua peristiwa ini bukan kerana Khalid tidak baik dan bermasalah, namun ia adalah dari sebab berikut:

  1. Menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah s.w.t, ia jelas dari surat umum yang dihantar Khalifah Umar Al-Khattab kepada umat Islam memberitahu agar mereka tidak terlalu ’attached’ dengan Khalid sehingga tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan Khalid dan bukan kerana bantuan Allah s.w.t swt.
  2. Pentadbiran; iaitu dalam urusan dan keputusan pembahagian harta.
  3. Pentadbiran: Khalifah Umar Al-Khattab inginkan keteletian dan laporan berterusan dari setiap pegawainya, namun Khalid inginkan pentabdiran yang bebeas dari penelitian sentiasa oleh Khalifah Umar Al-Khattab.

Pada waktu Khalid dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di Syria, belia berkata: ‘Amir al-Mukminin (Khalifah Umar Al-Khattab) melantik aku sebagai gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancer, beliau melucutkan jawatanku.’

Lalu seorang lelaki berkata: ‘Sabarlah wahai ketua, ia waktu untuk bermulanya fitnah.’

Kahlid membalas: ‘Selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu tiada ruang fitnah untuk berlaku.’ 

Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Khalifah Umar Al-Khattab walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Khalifah Umar Al-Khattab adalah untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.

Ketika Khalid r.a hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata kepada Abu Darda r.a: ‘Wahai Abu Darda, bila Khalifah Umar Al-Khattab r.a wafat kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci berlaku.’

Dan berkata lagi sambil mengelap air matanya: ‘Aku memang merasa sedikit kecewa dengan beliau dalam sesetengah isu, tetapi setelah aku fikrikan kembali berkenaannya di ketika aku sakit ini, aku menyedari bahawa Khalifah Umar Al-Khattab melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah s.w.t dari setiap tindakannya.’

Khalid juga melantik Khalifah Umar Al-Khattab sebagai waasi (pengurus harta pusakanya), ketika Khalifah Umar Al-Khattab menrima surat wasiat itu, beliau turut menangis.

Cuba kita bayangkan ketegasan Khalifah Umar Al-Khattab tersebut dan bagaimana tingginya takwa beliau dan juga para sahabat yang bersamanya. Mengapa mereka tidak melenting akibat diambil sebahagian harta dan sebagainya? Kerana Umar Al-Khattab sendiri mengambil hartanya untuk umat Islam, dan beliau tidak makan daging sehingga semua orang miskin di bawah pentadbirannya makan terlebih dahulu.

Ijtihad Umar Al-Khattab

Berkaitan erat dengan asas pembahasan tentang reaktualisasi ajaran-ajaran agama yang dibawakan oleh Munawir Syadzali ialah persoalan pertimbangan kemaslahatan atau kepentingan umum dalam usaha menangkap makna dan semangat berbagai ketentuan keagamaan. Pertimbangan itu terlebih lagi berlaku berkenaan dengan ketentuan agama yang tercakup dalam pengertian istilah ‘syari’at’ sebagai hal yang mengarah kepada sistem hukum dalam masyarakat.

Konsep Tentang Mencari Kebaikan

Dalam teori-teori dan kaedah atau sistem baku pemahaman agama, hal tersebut dituangkan dalam konsep-konsep tentang istihsan (mencari kebaikan), istislah (mencari kemaslahatan), dalam hal ini kebaikan atau kemaslahatan umum (al-maslahat al-’ammah, al-maslahat al-mursalah) disebut juga sebagai keperluan atas kepentingan umum (umum al-balwa).

Contoh klasik untuk tindakan mempertimbangkan kepentingan umum dalam menangkap makna semangat agama itu ialah yang dilakukan oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab r.a., berkenaan dengan masalah tanah-tanah pertanian berserta garapan-garapannya yang baru dibebaskan oleh tentera Islam di negeri Syam (Syria Raya, meliputi keseluruhan kawasan pantai timur Laut Tengah), Iraq, Persia dan Mesir.

Pendirian Saiyidina Umar untuk mendahulukan pertimbangan tentang kepentingan umum yang menyeluruh, baik secara ruang (meliputi semua orang di semua tempat) mahupun waktu (mencakupi generasi sekarang dan masa datang) mula-mula mendapat halangan hebat dari para sahabat Rasulullah s.a.w, dipelopori antara lain oleh ‘Abd al-Rahman ibn Awf dan Bilal (bekas muazin yang sangat disayangi Rasulullah s.a.w).

Mereka ini berpegang teguh kepada beberapa ketentuan (lahir) di beberapa tempat dalam Al-Quran dan dalam Sunnah atau amalan Rasulullah s.a.w pada peristiwa pembebasan Khaybar (sebuah kota beberapa ratus kilometer di utara Madinah), dari sekelompok orang Yahudi yang khianat. Tetapi, sebaliknya, sejak dari awal para sahabat Rasulullah s.a.w yang lain, termasuk tokoh-tokoh seperti ‘Utsman ibn ‘Affan dan ‘Ali ibn Abi Talib (kedua-duanya kelak menjadi Khalifah, berturut-turut yang ketiga dan keempat), sepenuhnya menyetujui pendapat Saiyidina Umar dan sepenuhnya menyokong pelaksanaannya.

Pertikaian pendapat itu berlangsung panas selama berhari-hari di Madinah, sehingga akhirnya dimenangi oleh Saiyidina Umar dan sahabat-sahabat dengan hujah-hujah yang tepat, juga berdasarkan ketentuan-ketentuan Kitab Suci Al-Quran.

Dalam banyak hal, Saiyidina Umar memang dikenali sebagai tokoh yang sangat bijaksana dan kreatif, bahkan genius, tetapi juga penuh kontroversi. Tidak semua orang setuju dengan Saiyidina Umar, dari dahulu sampai sekarang. Kaum Syi’ah, misalnya, menolak keras ketokohan Saiyidina Umar, khususnya kalangan ekstrim (al-ghulat) dari mereka. Yang moderat pun masih melihat pada Saiyidina Umar hal-hal yang ‘menyimpang’ dari agama. Atau, seperti dikatakan oleh seorang tokoh ‘ulama Syi’ah, Muhammad al-Husayn Al Kashif al-Ghita’, banyak tindakan Saiyidina Umar, seperti dalam kes beliau melarang nikah mut’ah, adalah semata-mata tindakan sosial-politik, yang tidak ada sangkut-pautnya dengan bukan keagamaan (madaniyyan la diniyyan).

Untuk memperolehi gambaran yang hidup dan langsung tentang ijtihad Saiyidina Umar dan kemelut yang ditimbulkannya di Madinah selama berhari-hari itu, di bawah ini disajikan terjemahan dari dua penjelasan oleh dua orang ahli. Tanpa membuat teori yang abstrak, dari kedua penjelasan itu dapat kita tarik inspirasi untuk melihat dan memecahkan berbagai masalah kita sendiri sekarang, sesuai dengan tuntutan ruang dan waktu, sama dengan halangan yang dihadapi dan diselesaikan oleh Saiyidina Umar.

Yang pertama dari kedua penjelasan itu berjudul Dari Celah Fiqh Saiyidina Umar Di Bidang Ekonomi Dan Kewangan oleh al-Ustadh al-Bahi al-Khuli, sebagai berikut: ‘Berita-berita telah sampai kepada Saiyidina Umar r.a. dengan membawa khabar gembira tentang telah terbebaskannya Syam, Iraq dan negeri Khusru (Persia), dan beliau mendapati dirinya berhadapan dengan persoalan ekonomi yang rumit. Harta benda musuh yang terdiri dari emas, perak, kuda dan ternakan telah jatuh sebagai harta rampasan perang (ghanimah) di tangan bala tentera yang menang dengan pertolongan Allah s.w.t. Dan tanah-tanah pertanian mereka pun termasuk dalam penguasaan tentera itu.’

‘Berkenaan dengan harta (yang bergerak) maka Saiyidina Umar telah melaksanakan hukum Allah mengenainya. Beliau ambil seperlimanya, dan membahagi-bahagikan empat perlima lainnya kepada masing-masing anggota tentera sebagai pelaksanaan firman Allah s.w.t, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa apa pun yang kamu peroleh sebagai rampasan perang dari sesuatu (harta kekayaan) itu maka seperlimanya adalah untuk Allah dan untuk Rasul, kaum kerabat (dari Rasulullah s.a.w), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibn al-sabil (orang terlantar di perjalanan), jika kamu sekalian benar-benar beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran) atas hamba Kami (Muhammad) pada hari penentuan, iaitu hari ketika kedua golongan manusia (Muslim dan Musyrik) bertemu (dalam peperangan, yakni, Perang Badar). Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.’ (surah al-Anfal/8:41)

Tetapi berkenaan dengan tanah-tanah pertanian itu, Saiyidina Umar berpendapat lain iaitu, ‘Pendiriannya ialah bahawa tanah-tanah itu harus disita, dan tidak dibahagi-bahagikan, lalu dibiarkan seolah-olah tanah-tanah itu kepunyaan negara di tangan para pemilik (aslinya setempat) yang lama, kemudian mereka ini dikenakan cukai (kharaj), dan hasil cukai itu dibahagi-bahagikan kepada keseluruhan orang-orang Muslim setelah disisihkan daripada gaji tentera yang ditempatkan di pos-pos pertahanan (al-thughur, seperti Basrah dan Kufah di Iraq) dan negeri-negeri yang terbebaskan.’

Tetapi kebanyakan para sahabat menolak kecuali jika tanah-tanah itu dibahagikan di antara mereka kerana tanah-tanah itu adalah harta kekayaan yang dianugerahkan Allah s.w.t sebagai rampasan (fay’) kepada mereka.

Adapun titik pandangan Saiyidina Umar ialah bahawa negeri-negeri yang dibebaskan itu memerlukan tentera pendudukan yang tinggal di sana, dan tentera itu tentulah memerlukan perbelanjaan. Maka jika tanah-tanah pertanian itu habis dibahagi-bahagikan, lalu bagaimana tentera pendudukan itu akan memperolehi logistik mereka?

Demikian itu, ditambah lagi bahawa Allah s.w.t tidak menghendaki harta kekayaan hanya berkisar atau menjadi sumber rezeki kaum kaya saja. Jika habis dibahagi-bahagikan tanah-tanah pertanian yang luas di Syam, Mesir, Iraq dan Persia kepada beberapa ribu orang sahabat, maka menumpuklah kekayaan di tangan mereka, dan tidak lagi tersisa sesuatu apa pun untuk mereka yang masuk Islam kemudian hari kelak. Sehingga terjadilah adanya kekayaan yang melimpah di satu pihak, dan keperluan (kemiskinan) yang mendesak di pihak lain ... Itulah keadaan yang hati nurani Saiyidina Umar tidak boleh menerimanya.

Tetapi dalil dari Kitab dan Sunnah berada di pihak mereka yang menentang pendapat Saiyidina Umar, yang terdiri dari mereka yang mahukan kekayaan yang memang halal dan telah dianugerahkan Tuhan kepada mereka itu. Mereka ini mengajukan hujah kepadanya bahawa harta kekayaan itu adalah fay’ (jenis harta yang diperoleh dari peperangan), dan tanah rampasan serupa itu telah pernah dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah s.a.w sebelumnya, dan baginda (Rasul) tidak pernah melakukan sesuatu seperti yang ingin dilakukan oleh Saiyidina Umar.

Terutama Bilal r.a. sangat keras terhadap Saiyidina Umar, dan mempelopori gerakan penentangan sehingga menyesakkan dada Saiyidina Umar dan menyusahkannya, sehingga kerana susah dan sedihnya itu Saiyidina Umar mengangkat kedua tangannya kepada Tuhan dan berseru, ‘Oh Tuhan, lindungilah aku dari Bilal dan kawan-kawan.’

Fahaman Agama Yang Mendalam

Akhirnya memang Tuhan melindunginya dari Bilal dan sahabat-sahabat dengan fahaman keagamaannya yang mendalam, yang meneranginya dengan suatu cahaya dari celah baris-baris dalam Kitab Suci, dan dengan hujah yang unggul, yang semua golongan tunduk kepada kekuatannya.

Begitulah Saiyidina Umar yang suatu ketika berkata kepada sahabat-sahabatnya yang hadir bahawa Sa’d ibn Abi Waqqas menulis surat kepadanya dari Iraq bahawa masyarakat (tentera Muslim) yang ada bersama dia telah memintanya untuk membahagi-bahagi harta rampasan di antara mereka dan tanah-tanah pertanian yang dianugerahkan Allah kepada mereka sebagai rampasan juga. (Kemudian terjadilah dialog berikut):

Sekelompok dari mereka berkata: Tulis surat kepadanya dan hendaknya ia membahagi-bahagikan tanah itu antara mereka.

Saiyidina Umar: Lalu bagaimana dengan orang-orang Muslim yang datang kemudian sesudah itu, yang akan mendapati tanah-tanah telah habis terbagi-bahagikan, terwariskan dari orang-orang tua serta telah terkuasai? Ini bukanlah pendapat yang benar.

Abd al-Rahman ibn ‘Awf: Lalu apa pendapat yang benar? Tanah-tanah itu tidak lain daripada sesuatu yang dianugerahkan Tuhan kepada mereka sebagai rampasan.

Saiyidina Umar: Memang seperti yang kamu katakan tapi aku tidak melihatnya begitu. Demi Tuhan, tiada lagi suatu negeri akan dibebaskan sesudahku melainkan mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Jika tanah-tanah pertanian di Iraq dan Syam dibahagi-bahagikan, maka dengan apa biaya pos-pos pertahanan ditutup, dan apa yang tersisa bagi anak yatim dan para janda di negeri ini dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?

Orang ramai: Bagaimana mungkin sesuatu yang dianugerahkan Tuhan kepada kami sebagai harta rampasan dengan perantaraan pedang-pedang kami akan engkau serahkan kepada kaum yang belum ada dan belum bersaksi, serta kepada anak-cucu mereka turun-temurun yang belum ada?

Saiyidina Umar (dalam keadaan bingung dan termangu): Ini adalah suatu pendapat.

Orang ramai: Bermusyawarahlah!

Maka Saiyidina Umar pun bermusyawarah dengan kaum Muhajirin yang terkemuka, yang memiliki kepeloporan dan keperintisan yang mendalam dalam Islam:

Abd al-Rahman ibn ‘Awf: Aku berpendapat hendaknya kamu bahagi-bahagikan kepada mereka itu hak-hak mereka.

Ali ibn Abi Talib: Tapi pendapat yang benar ialah pendapatmu, wahai Amir al-Mu’minin!

Al-Zubayr ibn al-’Awwam: Tidak! Sebaliknya, apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita sebagai rampasan dengan pedang kita itu harus dibahagi-bahagi.

Utsman ibn ‘Affan: Pendapat yang benar ialah yang dikemukakan Saiyidina Umar.

Bilal: Tidak! Demi Tuhan, sebaliknya kita harus melaksanakan hukum Tuhan terhadap harta yang dianugerahkan sebagai rampasan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.

Talhah: Aku berpendapat bahawa yang benar ialah yang dianut Saiyidina Umar.

Al-Zubayr: Ke mana kalian, wahai kaum, hendak pergi dari Kitab Allah?

Abdullah ibn Saiyidina Umar: Teruskan, wahai Amir al-Mu’minin, dengan pendapatmu itu. Sebab aku harap bahawa di situ ada kebaikan bagi umat ini.

Bilal (menjerit dan marah): Demi Tuhan, tidak berlaku di umat ini kecuali apa yang telah ditentukan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya

Saiyidina Umar (dalam keadaan sesak dada dan sedih): Oh Tuhan, lindungilah aku dari Bilal dan kawan-kawan.

Pertengkaran itu memuncak selama tiga hari, dan kegelisahan orang ramai sekitar masalah itu pun menjadi-jadi. Saiyidina Umar berfikir untuk memperluaskan musyawarahnya keluar ke kalangan Muhajirin sehingga mencakup para pemuka Ansar, dan dipanggillah oleh Umar sepuluh orang dari mereka, lima orang dari suku al-Aws dan lima orang dari suku al-Khazraj, kemudian beliau berucap di depan mereka dengan pernyataan yang indah dan bijaksana ini: (Saiyidina Umar membaca hamdalah dan memuji Tuhan sesuai dengan yang patut bagi-Nya, kemudian berkata):

‘Aku tidak bermaksud mengejutkan kalian kecuali hendaknya kalian menyertaiku dalam amanat mengenai urusan kalian yang dibebankan kepadaku. Sebab aku hanyalah salah seorang saja dari antara kalian. Dan kalian hari ini hendaknya membuat keputusan dengan benar, siapa saja yang hendak berbeza pendapat denganku, silakan ia berbeza, dan siapa saja yang hendak bersepakat denganku, silakan ia bersepakat.’

‘Aku tidaklah ingin kalian mengikuti begitu saja hal yang menjadi kecenderunganku ini. Di tangan kalian ada Kitab Allah yang menyatakan kebenaran. Dan demi Tuhan, kalau aku pernah menyatakan suatu perkara yang kuinginkan, aku tidak menginginkannya kecuali kebenaran.’

Kaum Ansar: Bicaralah, dan kami semua akan mendengarkan, wahai Amir al-Mu’minin!

Saiyidina Umar: Kalian telah mendengar pembicaraan mereka, kelompok yang menuduhku berbuat zalim berkenaan dengan hak-hak mereka. Aku benar-benar berlindung kepada Allah dari melakukan kezaliman. Jika aku telah berbuat zalim kepada mereka berkenaan dengan sesuatu yang menjadi milik mereka dan aku memberikannya kepada orang lain, maka benar-benar telah celakalah diriku. Tetapi aku melihat bahawa tidak ada lagi sesuatu (negeri) yang dibebaskan sesudah negeri Khusru (Persia), dan Allah pun telah merampas untuk kita harta kekayaan mereka dan tanah-tanah pertanian mereka. Maka aku bagi-bahagikanlah semua kekayaan (yang bergerak) kepada mereka yang berhak, kemudian aku ambil seperlimanya, dan aku atur menurut aturan tertentu, dan aku sepenuhnya bertanggungjawab atas pengaturan itu. Tetapi aku berpendapat untuk menguasai tanah-tanah pertanian dan aku kenakan cukai atas para penggarapnya, dan mereka berkewajiban membayar jizyah sebagai fay’ untuk orang-orang Muslim, untuk tentera yang berperang serta anak turun mereka, dan untuk generasi yang datang kemudian. Tahukah kalian pos-pos pertahanan itu? Di sana harus ada orang-orang yang tinggal menetap. Tahukah kalian, negeri-negeri besar seperti Syam, al-Jazirah (Lembah Mesopotamia), Kufah, Basrah dan Mesir? Semuanya itu harus diisi dengan tentera dan disediakan perbekalan untuk mereka. Dari mana mereka akan mendapat perbekalan itu jika semua tanah pertanian telah habis dibahagi-bahagi?

Semua yang hadir: Pendapat yang benar ialah pendapatmu. Alangkah baiknya apa yang kamu katakan dan lihat itu. Jika pos-pos pertahanan dan kota-kota itu tidak diisi dengan pegawai-pegawai, serta disediakan bagi mereka perbekalan, maka tentulah kaum kafir akan kembali ke kota-kota mereka.

Kebenaran Datang

Kemudian terlintas dalam benak Saiyidina Umar suatu cahaya seperti biasanya jika kebenaran datang ke lisan dan hatinya, lalu berkata: ‘Sungguh telah kudapatkan hujah dalam Kitab Allah, ‘Sesuatu apa pun yang dianugerahkan Allah sebagai harta rampasan untuk Rasul-Nya dari penduduk negeri-negeri (yang dibebaskan) adalah milik Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang terlantar dalam perjalanan, agar supaya tidak berkisar di antara orang-orang kaya saja dari kamu. Maka apa pun yang diberikan Rasul kepadamu sekalian hendaklah kamu ambil, dan apa pun yang Rasul melarangnya untuk kamu hendaklah kamu hentikan. Dan bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, sesungguhnya Allah itu keras dalam siksaan.’ Selanjutnya, kata Saiyidina Umar, ‘Allah berfirman, ‘Dan bagi orang-orang miskin dari kalangan Muhajirin yang diusir dari rumah-rumah dan harta kekayaan mereka, guna mencari kemurahan Allah dan redha-Nya, serta membantu Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.’

Kemudian, kata Saiyidina Umar lagi, ‘Allah tidak rela sebelum Dia mengikutsertakan orang-orang lain dan berfirman, ‘Dan mereka (kaum Ansar) yang telah bertempat tinggal di negeri (Madinah) serta beriman sebelum (datang) mereka (kaum Muhajirin); mereka itu mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka, dan tidak mendapati dalam dada mereka keinginan terhadap apa yang diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, bahkan mereka lebih mementingkan orang-orang yang berhijrah itu daripada diri mereka sendiri meskipun kesusahan ada pada mereka. Barangsiapa yang terhindar dari kekikiran dirinya sendiri, maka mereka itulah orang-orang yang bahagia.’

Firman ini, jelas Saiyidina Umar, adalah khusus tentang kaum Ansar. Kemudian Allah tidak rela sebelum menyertakan bersama mereka itu orang-orang lain (dari generasi mendatang), dan berfirman, ‘Dan orang-orang yang muncul sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) itu semuanya berdoa: ‘Oh Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam beriman, dan janganlah ditumbuhkan dalam hati kami perasaan dengki kepada sekalian mereka yang beriman itu. Oh Tuhan, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun dan Maha Penyayang.’ (surah al-Hashr/59:7-10)

Ayat ini, kata Saiyidina Umar, ‘Secara umum berlaku untuk semua orang yang muncul sesudah mereka (kaum Muhajirin dan Ansar) itu, sehingga harta rampasan (fay’) adalah untuk mereka semua. Maka bagaimana mungkin kita akan membahagi-bahaginya untuk mereka (tentera yang berperang saja), dan kita tinggalkan mereka yang datang kemudian tanpa bahagian? Kini menjadi jelas bagiku perkara yang sebenarnya.’

Para pembahas dapat menarik kesimpulan dari pendirian Saiyidina Umar itu tentang banyak hukum sosial dan ekonomi. Di situ kita dapat melihat Saiyidina Umar sangat cermat memperhatikan agar harta kekayaan tidak menumpuk hanya di tangan sekelompok orang-orang kaya saja.

Sebab penyerahan pemilikan atas berpuluh-puluh juta hektar tanah pertanian di Iraq, Syam, Persia dan Mesir kepada sekelompok tentera dan bawahannya akan membentuk sejumlah orang kaya yang pada mereka terdapat harta benda melimpah-ruah, dengan peredarannya pun terpusat kepada mereka saja. Hal itu akan membawa kesan sosial dan moral yang akibatnya tidak terpuji.

Di dalamnya kita melihat Saiyidina Umar memandang harta sebagai hak semua orang dan menempuh kebijaksanaan yang memperhitungkan kemaslahatan generasi mendatang. Itu adalah pandangan yang cermat dan mendalam, yang dalam Al-Quran diketemukan sandaran yang sangat kuat.

Di dalamnya juga terdapat tindakan sejenis nasionalisasi tanah-tanah pertanian atau yang mendekati itu, iaitu ketika beliau mencegah sekelompok orang-orang Muslim sezamannya dari menguasai tanah-tanah yang dianugerahkan Tuhan sebagai harta rampasan (fay’), dan beliau tidak bergeser dari pendapatnya untuk menjadikan tanah-tanah itu milik negara, yang dari hasil cukainya beliau membuat anggaran untuk tentera, dan dengan hasil itu pula beliau menanggung kesulitan-kesulitan pada masa depan.

Di dalamnya juga terdapat banyak hal yang lain, berupa pandangan-pandangan kewangan dan ekonomi yang menunjukkan luasnya ufuk dan keluwesan pemikiran serta daya cakup Islam yang hanif (secara semula jadi selalu mencari yang benar dan baik) terhadap masalah-masalah yang pelik.

Penjelasan kedua berjudul Bagaimana Para Sahabat Rasulullah s.a.w Menggunakan Akal Mereka Untuk Memahami Al-Quran oleh Dr Ma’ruf al-Dawalibi. Barangkali dari antara banyak masalah ijtihad dan kejadian yang mucul pada zaman para sahabat setelah wafat Rasulullah s.a.w, yang paling menonjol ialah masalah pembahagian tanah-tanah (pertanian) yang telah dibebaskan oleh tentera (Islam) melalui peperangan di Iraq, Syam (Syria) dan Mesir.

Telah terdapat nas Al-Quran yang menyebutkan dengan jelas tanpa kesamaran sedikit pun di dalamnya bahawa seperlima harta rampasan (perang) harus dimasukkan ke bait al-mal, dan harus diperlakukan sesuai dengan pengarahan yang ditentukan oleh ayat suci. Allah telah berfirman dalam surah al-Anfal, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa apa pun yang kamu rampas (dalam perang) dari sesuatu (harta) maka seperlimanya adalah untuk Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan (ibn al-sabil).’[6]

Sedangkan yang empat perlima selebihnya maka dibahagi sama antara mereka yang merampas (dalam perang) itu, sebagai pengamalan ketentuan yang boleh difahami dari ayat suci tersebut dan amalan Rasulullah s.a.w ketika baginda membahagikan (tanah pertanian) Khaybar kepada para tentera.

Maka, sebagai pengamalan Al-Quran dan al-Sunnah, datanglah para perampas (harta rampasan perang) itu kepada Saiyidina Umar ibn al-Khaththab, dan meminta agar beliau mengambil seperlima daripadanya untuk Allah dan orang-orang yang disebutkan dalam ayat (dimasukkan dalam bait al-mal), kemudian membahagi bakinya kepada mereka yang telah merampasnya dalam perang. (Kemudian terjadi dialog berikut):

Kata Saiyidina Umar: Lalu bagaimana dengan orang-orang Muslim yang datang kemudian? Mereka mendapati tanah-tanah pertanian beserta garapannya telah habis terbahagi-bahagi, dan telah pula diwariskan turun-temurun dan dikuasai? Itu bukanlah pendapat (yang baik).

Abd al-Rahman ibn ‘Awf, menyanggah Saiyidina Umar: Lalu apa pendapat (yang baik)? Tanah pertanian dan garapannya itu tidak lain adalah harta rampasan yang diberikan Allah kepada mereka!

Saiyidina Umar menjawab: Itu tidak lain adalah katamu sendiri, dan aku tidak berpendapat begitu. Demi Tuhan, tidak akan ada lagi negeri yang dibebaskan sesudahku yang di situ terdapat kekayaan besar, bahkan mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Jika aku bahagi-bahagikan tanah-tanah di Iraq beserta garapannya, tanah-tanah di Syam beserta garapannya, maka dengan apa pos-pos pertahanan akan dibiayai? Dan apa yang tersisa untuk anak cucu dan janda-janda di negeri itu dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?

Orang pun ramai berkumpul sekitar Saiyidina Umar, dan mereka semua berseru: Apakah engkau akan memberikan sesuatu yang oleh Allah diberikan untuk kami dengan perantaraan pedang-pedang kami kepada kaum yang belum ada dan belum bersaksi? Dan kepada anak-anak mereka itu serta cucu-cucu mereka yang belum ada?

Namun Saiyidina Umar tidak tergugat kecuali berkata: Itulah pendapatku.

Mereka menyahut: Bermusyawarahlah!

Maka Saiyidina Umar pun bermusyawarah dengan kaum Muhajirin yang terkemuka, dan mereka ini berselisih pendapat. Adapun Abd al-Rahman ibn ‘Awf, pendapatnya ialah agar diberikan kepada para tentera itu apa yang telah menjadi hak mereka. Sedangkan pendapat ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah dan Ibn Saiyidina Umar sama dengan pendapat Umar.

Kemudian Saiyidina Umar memanggil sepuluh orang dari golongan Ansar, lima orang dari suku al-Aws dan lima orang dari suku al-Khazraj, terdiri dari para pembesar dan tokoh mereka. Setelah mereka berkumpul, Saiyidina Umar membaca hamdalah dan memuji Tuhan, kemudian berkata (penuturan al-Dawalibi ini tidak jauh berbeza dengan al-Khuli di atas):

‘Aku tidak bermaksud mengejutkan kalian kecuali hendaknya kalian menyertaiku dalam amanatku dan dalam urusan kalian yang dibebankan kepadaku. Sebab aku hanyalah salah seorang saja dari kalian, dan kalian hari ini hendaknya membuat keputusan dengan benar: siapa saja yang hendak berbeza pendapat dengan aku, silakan ia berbeza, dan siapa saja yang hendak bersepakat dengan aku, silakan ia bersepakat. Aku tidaklah ingin kalian mengikuti begitu saja hal yang menjadi kecenderunganku ini. Di tangan kalian ada Kitab Allah yang menyatakan kebenaran. Dan demi Tuhan, kalau aku pernah menyatakan suatu perkara yang kuinginkan, aku tidak menginginkannya kecuali kebenaran.’

Semuanya serentak berkata: Bicaralah, dan kami semua akan mendengarkan, wahai Amir al-Mu’minin!

Dan Saiyidina Umar berkata lagi: Kalian telah mendengar pembicaraan mereka, kelompok yang menuduh aku berbuat zalim berkenaan dengan hak-hak mereka. Aku benar-benar berlindung kepada Allah dari melakukan kezaliman. Jika aku telah berbuat zalim kepada mereka berkenaan dengan sesuatu yang menjadi milik mereka dan aku berikan kepada orang lain, maka benar-benar telah celakalah diriku. Tetapi aku melihat bahawa tidak ada lagi sesuatu (negeri) yang dibebaskan sesudah negeri Khusru (Raja Persia), dan Allah pun telah merampas untuk kita harta kekayaan mereka dan tanah-tanah pertanian mereka, garapan-garapan mereka, maka aku bahagi-bahagikanlah semua kekayaan (yang bergerak) kepada mereka yang berhak, kemudian aku ambil seperlimanya, dan aku atur menurut aturan tertentu, dan aku sepenuhnya bertanggungjawab atas pengaturan itu. Tetapi aku berpendapat untuk menguasai tanah-tanah pertanian beserta garapan-garapannya, dan aku terapkan cukai atas para penggarap tanah-tanah itu, dan mereka berkewajiban membayar jizyah sebagai fay’ untuk orang-orang Muslim, baik yang berperang mahupun anak cucu mereka, dan untuk generasi yang kemudian. Tahukah kalian pos-pos pertahanan itu? Di sana harus ada orang-orang yang tinggal menetap. Tahukah kalian, kota-kota besar seperti di Syam, al-Jazirah (Mesopotamia), Kufah, Basrah dan Mesir? Semuanya itu memerlukan tentera untuk mempertahankan dan biaya besar untuk mereka. Dari mana mereka diberi biaya itu jika semua tanah pertanian dan garapannya telah habis dibahagi-bahagi?

Serentak semuanya menjawab: Pendapat yang benar ialah pendapatmu. Alangkah baiknya apa yang kau katakan dan lihat itu. Jika pos-pos pertahanan dan kota-kota itu tidak diisi dengan pegawai-pegawai, serta disediakan bagi mereka keperluan-keperluan mereka, maka tentulah kaum kafir akan kembali ke kota-kota mereka.

Kata Mu’adz kepada Saiyidina Umar: ‘Jika engkau sampai membahagi-bahaginya, maka akan terjadilah kekayaan yang amat besar berada di tangan kelompok orang tertentu, kemudian mereka akan mati, lalu harta itu akan bergeser ke tangan satu orang, baik laki-laki ataupun perempuan, dan sesudah mereka itu muncul generasi yang benar-benar melihat adanya kebaikan pada Islam iaitu mereka mendapati dalam Islam suatu keuntungan namun mereka tidak mendapatkan apa-apa. Kerana itu carilah sesuatu yang menguntungkan baik generasi pertama mahupun generasi akhir.’

Sungguh menakjubkan pernyataan Mu’adz itu: Jika tanah-tanah pertanian itu dibahagi habis, maka terjadilah kekayaan amat besar pada kelompok tertentu, dan kalau mereka ini semuanya telah tiada, kekayaan itu akan pindah ke tangan satu dua orang, sehingga orang-orang (dari kalangan penduduk setempat) yang muncul sesudah itu dan memeluk Islam tidak lagi mendapatkan sesuatu apa pun! Alangkah cemerlang pernyataannya itu!

Menentang

Dengan pernyataannya itu, Mu’adz seolah-olah hendak menentang banyak orang sebagaimana kaum sosialis sekarang menentang para tuan tanah agar jangan sampai tanah yang luas milik Tuhan itu jatuh ke tangan hanya satu dua orang, sama ada lelaki mahupun wanita, yang dengan pemilikan tanah itu orang tersebut memetik buah kerja keras sejumlah besar para petani untuk dinikmati sendiri tanpa disertai kalangan manusia lainnya.

Para sahabat Rasulullah s.a.w itu terus melakukan perbincangan sesama mereka selama beberapa hari. Mereka yang berpendapat harus dibahagi-bahagikan, berhujah dengan amalan Rasulullah s.a.w dalam membahagi-bahagikan tanah Khaybar di antara para tentera yang membebaskannya, dan dengan firman Allah, ‘Ketahuilah bahawa apa pun dari sesuatu (kekayaan) yang kamu rampas dalam peperangan maka seperlimanya adalah untuk Allah, Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang terlantar di perjalanan.’

Kerana ayat itu hanya mengemukakan ketentuan untuk menyisihkan seperlima saja dari kekuasaan para tentera pelaksana rampasan dalam perang dan menyerahkannya kepada bait al-mal untuk digunakan bagi keperluan pihak-pihak yang berhak yang tersebutkan dalam ayat tersebut, sedangkan ayat itu tidak memberi ketentuan apa-apa tentang bahagian yang empat perlima lagi, maka ‘Abd al-Rahman ibn ‘Awf berkata kepada Saiyidina Umar: ‘Tanah-tanah pertanian dan garapannya itu tidak lain ialah harta yang dirampaskan oleh Tuhan untuk mereka, yakni harta yang diberikan Tuhan kepada mereka dari musuh.’

Sedangkan Saiyidina Umar, dalam menjawab hujah ‘Abd al-Rahman itu, menyatakan: ‘Itu tidak lain hanyalah pendapatmu, dan aku tidak berpendapat begitu. Demi Tuhan, tidak ada lagi sesudahku negeri yang dibebaskan yang di situ terdapat kekayaan yang besar, bahkan mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Maka jika aku bagi habis tanah Iraq dan garapannya, juga tanah Syam dan garapannya, maka bagaimana membiayai pos-pos pertahanan? Dan apa yang tersisa untuk anak cucu dan janda-janda di negeri itu dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?’

Saiyidina Umar terus melakukan musyawarah dan pembahasan. Ramai orang berargumentasi untuk melakukan pembahagian sesuai dengan pengertian lahir nas-nas, dan Saiyidina Umar berargumentasi untuk tidak melakukan pembahagian demi kemaslahatan masyarakat Muslim sendiri. Seolah-olah Saiyidina Umar membezakan antara apa yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w di tanah-tanah pertanian Khaybar yang kecil pada permulaan Islam yang dituntut oleh kemaslahatan masyarakat Muslim ketika itu tanpa menyimpang daripadanya, dan tanah-tanah pertanian lembah yang subur di Iraq, Mesir dan Syam, yang seandainya diterapkan di sana apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di tanah-tanah pertanian Khaybar itu maka tentu masyarakat Muslim akan kehilangan kemaslahatannya.

Orang ramai tetap saja pada pendirian mereka, sehingga akhirnya Saiyidina Umar datang dan menyatakan: ‘Aku telah mendapatkan hujah terhadap mereka dengan bahagian akhir dari ayat-ayat al-Hasyr.’

Di situ Tuhan telah memperincikan mereka yang berhak atas harta rampasan perang dengan firman-Nya: ‘Sesuatu (harta kekayaan) yang diberikan Tuhan sebagai rampasan perang untuk Rasul-Nya dari penduduk negeri adalah milik Tuhan, Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan ibn al-sabil, agar supaya harta itu tidak berkisar di antara orang-orang kaya saja dari antara kamu...’

Maksudnya supaya harta rampasan itu tidak berputar di kalangan para orang kaya saja tanpa ikut sertanya para fakir miskin, sampai dengan firman Allah s.w.t: ‘Bagi orang-orang miskin para Muhajirin yang diusir dari rumah-rumah dan harta benda mereka ...’ terus ke firman-Nya, ‘Dan mereka yang telah menetap di negeri (Madinah) dan beriman sebelum (datang) mereka (Muhajirin) itu...,’ serta diakhiri dengan firman, ‘Dan mereka yang datang sesudah mereka itu ...’

Kemudian kata Saiyidina Umar: ‘Aku tidak melihat ayat ini melainkan meliputi semua orang manusia sampai termasuk pula seorang penggembala kampung Kidd’.’

Lalu Saiyidina Umar berseru kepada orang ramai: ‘Apakah kalian menghendaki datangnya generasi kemudian tanpa mendapatkan sesuatu apa pun? Lalu apa yang tersisa untuk mereka sepeninggal kalian itu? Kalau tidak kerana generasi kemudian itu, tidaklah ada suatu negeri yang dibebaskan melainkan pasti aku bahagi-bahagikan sebagaimana Rasulullah s.a.w telah membahagi-bahagikan tanah Khaybar.’

Demikianlah Saiyidina Umar memutuskan untuk menyita tanah-tanah pertanian tersebut dan tidak membahagi-bahagikannya kepada tentera pembebas, dan membiarkan tanah-tanah itu tetap berada di kalangan para penduduk penggarap yang dari hasilnya mereka membayar cukai untuk dibelanjakan bagi kemaslahatan masyarakat Muslim pada umumnya, dan orang-orang Muslim pun kemudiannya bersepakat dengan Saiyidina Umar.

Jelas bahawa tindakan bijaksana dari Saiyidina Umar r.a. yang menyimpang dari tindakan Rasulullah s.a.w bukanlah bermakna peniadaan suatu Sunnah yang tetap yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, melainkan kerana berpegang teguh kepada Sunnah itu dengan dalil-dalil berbagai nas yang lain mengikuti kemaslahatan umum.

Jika Rasulullah s.a.w membahagi-bahagikan antara orang-orang Muslim harta rampasan perang yang terdiri dari tanah-tanah pertanian pada waktu itu tanpa menyisakan sedikit pun untuk generasi yang datang kemudian, maka hal itu ialah kerana masalah zaman menghendaki hal demikian sesuai dengan situasi yang ada, khususnya untuk menolong orang-orang miskin Muhajirin dari Mekah yang diusir dari tempat-tempat kediaman dan harta kekayaan mereka.

Dan jika Saiyidina Umar tidak membahagi-bahagikannya, maka hal itu pun kerana kemaslahatan ketika itu, sebagaimana beliau sendiri telah menjelaskannya, menghendaki kebijaksanaan demikian itu. Itulah sebabnya al-Qadli Abu Yusuf berkata: ‘Pendapat yang dianut Saiyidina Umar r.a. untuk tidak membahagikan tanah-tanah pertanian itu antara mereka yang membebaskannya, ketika Tuhan memberinya kearifan tentang apa yang disebutkan dalam Kitab Suci sebagai penjelasan pendapatnya itu, adalah suatu petunjuk dari Tuhan.’

Kebaikan Pendapat

Pada Saiyidina Umar dengan tindakan tersebut - yang di situ terdapat kebaikan pendapatnya - berupa pengumpulan cukai dan pembahagiannya di antara orang-orang Muslim, terkandung kebaikan umum bagi masyarakat mereka. Sebab jika seandainya pendapatan dan kekayaan (negeri) tidak diserahkan kepada manusia (secara umum), maka pos-pos pertahanan tidak lagi terpenuhi keperluannya, dan tentera tidak lagi mendapat bekalan untuk melanjutkan perjuangan suci (jihad) mereka.

Demikianlah dua penjelasan tentang ijtihad Saiyidina Umar r.a. Semoga kita dapat belajar dari kearifan tokoh dalam sejarah Islam yang amat tersohor itu, yang sering dikemukakan sebagai teladan seorang pemimpin dan penguasa yang adil, demokratik dan terbuka.

Catatan:
Diambil dari kitab al-Huquq al Madaniyyah (Hak-hak Umum) oleh al-Zarqa, halaman 76. Al-Zarqa telah menjabarkan ayat ghanimah (harta rampasan perang) dalam s. al-Anfal/8:41, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa apa pun dari sesuatu (harta kekayaan) yang kamu rampas dalam peperangan maka sesungguhnya seperlima daripadanya adalah untuk Allah dan untuk Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang dalam perjalanan.’

Kata al-Zarqa, ‘Sebenarnya ayat suci itu menentukan pembelanjaan seperlima dari harta rampasan itu untuk urusan umum, dan Sunnah menjelaskan tindakan Rasulullah s.a.w tentang cara membagikan sisanya (yang empat perlima) kepada para anggota mereka yang merebut harta rampasan itu. Kemudian datang ayat fay’ dalam Surah al-Hasyr/59:6-10, yang mengatakan, ‘Apa pun yang diberikan Tuhan bahawa harta fay’ kepada Rasul-Nya ...’ yang ayat itu memberi kejelasan bahawa harta fay’ harus dimanfaatkan oleh orang-orang Muslim secara keseluruhan, baik yang sekarang mahupun yang bakal datang, dan tidak hanya terbatas untuk para pejuang pembebas saja, melainkan semuanya harus ditempatkan di bawah bait al-mal.

Beza antara ghanimah dan fay’ dalam istilah shar’i ialah bahawa ghanimah adalah harta yang dirampas dari musuh dengan kekuatan senjata, sedangkan fay’ adalah harta yang ditinggalkan musuh kerana ketakutan, atau yang mereka bayarkan kerana terpaksa dan kalah, dan tidak diperolehi dari musuh itu dengan pengerahan kavaleri ataupun komando tentera dalam medan peperangan.

Lantaran itu fay’ meliputi pula pungutan-pungutan yang dibebankan kepada mereka seperti jiryah atas individu-individu dan cukai (kharaj) atas bumi. Telah terbukti dalam Sunnah ketika Rasulullah s.a.w membebaskan Khaybar, yang dibebaskan dengan kekerasan, bukan dengan jalan damai, dan penduduk Yahudinya yang diperangi itu meninggalkannya atas dasar hukum pelarian diri, maka tanah-tanah pertanian mereka itu dianggap termasuk fay’, dan Rasulullah s.a.w mengambil separuhnya - sebelum seperlimanya - kemudian ditinggalkan untuk para pengawas dan penghuni setempat, kemudian baginda bahagi-bahagikan bakinya kepada para tentera pembebas.

Kemudian al-Ustadh menjelaskan kisah pembebasan Lembah Iraq (Mesopotamia), dan mentafsirkan pendirian Saiyidina Umar yang bijaksana dalam membezakan antara harta rampasan perang yang bergerak dan tanah-tanah pertanian, bahawa sesungguhnya beliau justeru berpegang kepada dalil-dalil nas dan menggabungkan semuanya, dan melaksanakan setiap dalil nas itu dengan meletakkan pada tempatnya yang dibimbing oleh pandangannya yang menyeluruh dan tepat, tidak seperti yang dikesankan oleh mereka dari zaman sekarang yang mengira dalam masalah ini Saiyidina Umar menyalahi nas-nas agama, dan menganggap sikap menyalahi itu menurut perkiraan mereka sebagai suatu kepintaran dalam berijtihad.

Dari yang telah dikutip itu pembaca boleh melihat bahawa Saiyidina Umar menggunakan hujah-hujah dari nas Al-Quran sendiri yang dengan nas-nas itu beliau membungkam para penentangnya dan membuktikan keunggulan pemahamannya mengenai nas-nas tersebut. Menyertai pendapat Saiyidina Umar dalam pandangannya itu ialah para pembesar sahabat yang mendalami pemahaman agama seperti ‘Ali dan Mu’adh.

Kerajaan Khulafa Al-Rasyidin

Sejarah telah mencatatkan bahawa Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w telah berhijrah ke Madinah pada tahun 622 Masehi. Baginda telah berjaya membentuk sebuah pemerintahan Islam. Baginda berjaya menyatupadukan golongan Islam dan bukan Islam. Perlembagaan Madinah yang digubal pada tahun 622 Masehi lebih menyerlahkan peranan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin kerajaan Islam sehingga Madinah menjadi pusat pemerintahan dan bukan pusat perdagangan semata-mata.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun 632 Masehi, sistem pemerintahan kerajaan Islam yang diasaskan oleh baginda telah diteruskan melalui sistem pentadbiran yang diketuai oleh khalifah. Zaman pemerintahan khalifah dikenali sebagai zaman Khulafa al-Rasyidin. Tokoh-tokoh yang memegang jawatan ini ialah Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq, Saiyidina Uma bin Al-Khattab, Saiyidina Uthman bin Affan dan Saiyidina Ali bin Abu Talib.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq

Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq dilahirkan pada tahun 573 Masehi iaitu dua tahun selepas kelahiran Rasullullah s.a.w. Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abi Khuhafah. Beliau berasal daripada keturunan Bani Tamim. Beliau diberi gelaran as-Siddiq kerana beliau sentiasa meyakini kebenaran segala kata-kata dan perbuatan Rasulullah s.a.w. Selain itu, beliau juga bersifat ikhlas, jujur dan setia kepada baginda. Beliau telah menjadi khalifah pertama dan memerintah selama dua tahun dari 11-13 Hijrah (632-634 Masehi) sebelum wafat pada tahun 13 Hijrah (634 Masehi).

Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w, berlaku perselisihan faham antara kaum Ansar dan Muhajirin. Orang Ansar bercadang untuk melantik Saad bin Ubadah untuk menggantikan tempat Nabi Muhammad, apabila perkara ini diketahui golongan Muhajirin; satu pertemuan telah dilakukan untuk membincangkan perkara ini.

Setelah berbincang, Abu Bakar telah mencadangkan Saiyidina Umar Al-Khattab dan Ubaidah tetapi cadangan ini telah ditolak sama sekali oleh Saiyidina Umar Al-Khattab. Kemudiannya Saiyidina Umar Al-Khattab telah mencadangkan kembali Saiyidina Abu Bakar sebagai Khalifah pertama kerajaan Islam Madinah dan cadangan ini telah dipersetujui oleh semua pihak.

Sumbangan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq

Sepanjang pemerintahannya selama dua tahun sebagai pentadbir kerajaan Islam Madinah, beliau telah berjaya mengatasi perpecahan masyarakat Islam Madinah yang berpunca daripada pelbagai permasalahan yang terbentuk daripada golongan-golongan murtad sebagai contoh. Dalam pemerintahannya, beliau telah berjaya memerangi golongan murtad, nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat. Hal ini kerana beliau telah berijtihad bahawa orang yang mengingkari kewajipan membayar zakat adalah dikira sebagai menafikan rukun Islam.

Selain itu, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq turut menggerakkan semula tentera Usamah bin Zaid untuk memerangi penduduk Ghasan yang telah membunuh utusan Rasullullah kerana berpendapat beliau tidak patut merubah bendera yang telah diikat baginda. Malah, ketika beliau sedang sakit, kebijaksanaannya telah membantu golongan selepasnya untuk melantik khalifah seterusnya kerana beliau telah menamakan penggantinya iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab sebelum beliau wafat.

Seterusnya, sumbangan beliau kepada tamadun Islam pada zaman tersebut turut diteruskan apabila beliau telah berjaya membebaskan negeri-negeri di bawah naungan Rom dan Parsi. Tentera Islam yang diketuai panglima Khalid bin al-Walid turut berjaya mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar seperti Parsi di sebelah Timur dan serangan kerajaan Byzantium (Rom Timur) di sebelah Barat. Di samping itu, beliau turut berusaha untuk melicinkan lagi pentadbiran kerajaan Islam dengan membahagikan lagi Tanah Arab kepada sepuluh wilayah iaitu Mekah, Taif, Yaman, al-Jund, Khalwan, Bahrin, Jarsh, Zabid, Hadhramaut dan Nijran. Dalam dasar pemerintahannya, beliau turut melantik seorang amir atau ketua untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut.

Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq turut memperkenalkan bayaran gaji untuk tentera melalui Ghanimah atau harta rampasan perang. Malah undang-undang tanah seperti bayaran cukai al-Kharaj atau cukai tanah dan Jizyah atau cukai perlindungan bagi orang kafir dan melindungi golongan mawali iaitu orang bukan Arab yang memeluk Islam. Akhir sekali, sumbangan terbesar Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq ialah beliau telah mengumpul semula semua naskah Al-Quran dan mengkitab mukjizat Rasullullah itu menjadi panduan umat Islam sehingga kini. Hal ini kerana beliau telah mula runsing dengan kemunculan golongan murtad dan nabi palsu, maka beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit supaya mengumpulkan semua tulisan ayat Al-Quran serta menyalinnya semula.

Salinan tersebut telah disimpan olehnya dan telah diamanahkan kepada Saiyidina Umar Bin Al-Khattab, Hafsah (isteri kepada Nabi Muhammad) dan Saiyidina Uthman bin Affan. Sebagai pengiktirafan kepada jasanya itu, beliau telah digelar sebagai Penyelamat Umat Islam.

Khalifah Umar Bin Al-Khattab

Saiyidina Umar Bin Al-Khattab telah dilahirkan pada 13 tahun selepas kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad iaitu pada tahun 583 Masehi. Nama sebenar beliau ialah Umar Bin Al-Khattab bin Naufal. Beliau berketurunan Bani A’di daripada golongan Arab Quraisy. Beliau telah diberi gelaran al-Farouk yang membawa maksud pemisah antara hak dan batil; dan beliau sangat terkenal dengan sikapnya yang tegas, berani dan berterus-terang. Tarikh perlantikannya sebagai Khalifah kedua kerajaan Islam ialah pada hari Selasa, 22 Jamadilawal tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masehi. Beliau telah memerintah selama 10 tahun 6 bulan hingga tahun 644 Masehi sebelum wafat di usia 63 tahun di bulan Zulhijjah bersamaan tahun 23 Hijrah.

Berkenaan cara perlantikan beliau pula, Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq telah menamakan beliau sebagai penggantinya ketika sedang sakit sebelum Saiyidina Abu Bakar wafat. Malah, Saiyidina Abu Bakar turut meminta pendapat dan pandangan orang ramai mengenai keputusannya untuk melantik Saiyidina Umar Al-Khattab sebagai penggantinya. Wasiat Saiyidina Abu Bakar untuk melantik beliau sebagai waris Khalifah empayar Islam Madinah telah ditulis oleh Saiyidina Uthman bin Affan.

Sumbangan Khalifah Umar Al-Khattab

Zaman pemerintahan Saiyidina Umar Bin Al-Khattab turut dianggap pengkaji sejarah Islam sebagai zaman keemasan tamadun Islam terutamanya kerajaan Islam Madinah kerana polisi pentadbiran dan pemwujudan beberapa pembaharuan dalam pentadbiran yang telah membawa banyak perubahan yang berjaya kepada kerajaan yang unggul pada ketika itu telah disusun rapi oleh pentadbiran Saiyidina Umar Bin Al-Khattab.

Antara sumbangan terpenting Saiyidina Umar Al-Khattab kepada ketamadunan Islam ialah menyusun semula majlis Syura yang dianggotai oleh wakil daripada golongan muhajirin dan ansar. Malah, beliau turut mengisytiharkan penggunaan kalendar mengikut tahun Hijrah. Selain itu, beliau turut menyusun semula undang-undang tanah negara dan menyusun semula pentadbiran tanah yang di bawah penguasaan kerajaan Islam di mana tanah-tanah tersebut dinamakan sebagai harta negara.

Saiyidina Umar Al-Khattab juga telah membahagikan jajahan takluk Islam kepada beberapa wilayah dan melantik wali atau gabenor sebagai ketua untuk bertindak sebagai pentadbir awam dan panglima tentera. Malah, wilayah yang telah dibahagikan turut dipecahkan lagi kepada beberapa kawasan seperti Mekah, Madinah, Palestin, Kufah, Jazirah dan Basra untuk melancarkan lagi sistem pentadbiran.

Di samping itu, Saiyidina Umar Al-Khattab juga telah menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Percukaian dan Jabatan Perbendaharaan Negara. Seorang khatib atau setiausaha diletakkan di setiap jabatan tersebut untuk mengetuai pentadbiran jabatan tersebut. Selain itu, beliau telah memisahkan Jabatan Kehakiman daripada jabatan lain. Seorang hakim pula telah dibayar gaji bulanan yang tinggi, sekitar 500 dirham untuk mengelakkan salah laku dalam menjalankan tugas.

Dalam bidang sosial, terutamanya pendidikan; Saiyidina Umar Al-Khattab telah mengembangkan pengajaran Al-Quran dengan penyediaan madrasah di kawasan masjid dan beliau turut menghantar guru-guru agama ke seluruh wilayahnya untuk mengembangkan sistem pendidikan. Sebagai contoh, Abu Sufyan pernah diutuskan ke kawasan pedalaman untuk mengajar orang Badwi di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Saiyidina Umar Al-Khattab juga telah mempertingkatkan lagi ketamadunan Islam pada masa itu dengan menyusun semula tentera Islam dengan mewujudkan pasukan tentera sukarela dan pasukan tentera tetap. Mereka juga diberikan gaji yang tetap dan pakaian seragam. Markas tentera dan kubu-kubu pertahanan turut dibina di bandar-bandar utama dan sempadan yang menghadap negara musuh seperti di Madinah, Kufah, Fustat dan Basrah. Pada zaman pemerintahannya juga, harta ghanimah tidak lagi diberi kepada tentera Islam setelah sistem gaji diperkenalkan.

Dalam bidang ekonomi pula, beliau juga telah membina terusan dan tali air untuk menambahkan lagi hasil pertanian seperti Empangan Abu Musa di Basrah dan Terusan Amirul Mukminin sepanjang 111 kilometer di Mesir. Rakyat juga telah digalakkan untuk meneroka tanah baru untuk pertanian di samping mengusahakan tanah terbiar.

Saiyidina Umar Al-Khattab turut memperkenalkan pelbagai jenis cukai untuk mempertingkatkan lagi pendapatan negara. Contonhya jizyah yang dikenakan kepada golongan zimmi (golongan bukan Islam yang hidup dalam pemerintahan kerajaan Islam) adalah tidak memberatkan mereka. Begitu juga dengan kharaj yang dikenakan ke atas hasil tanaman. Melalui sistem cukai ini, beliau telah berjaya menubuhkan Baitulmal. Saiyidina Umar Bin Al-Khattab juga telah diberi gelaran sebagai amirul mukminin atas kepimpinannya.

Khalifah Uthman Bin Affan

Khalifah ketiga dalam kerajaan Islam Madinah ialah Saiyidina Uthman bin Affan atau nama sebenarnya ialah Uthman bin Affan bin al-Aus bin Umaiyah. Beliau berasal daripada keturunan Bani Umaiyah. Beliau telah dilahirkan pada 576 Masehi iaitu enam tahun selepas tahun Gajah. Beliau telah dilantik pada tahu ke 23 Hijrah bersamaan 644 Masehi untuk menggantikan Saiyidina Umar Al-Khattab yang wafat. Telah memerintah selama 12 tahun sehingga 656 Masehi, beliau dikenali sebagai seorang hartawan dan pakar perniagaan yang sangat dermawan, bersifat lemah lembut, bertolak ansur dan mempunyai sikap simpati terhadap golongan yang memerlukan.

Beliau juga terkenal dengan gelaran Zu Nurain kerana beliau telah berkahwin dengan 2 orang puteri Nabi Muhammad. Tarikh kewafatannya ialah pada 18 Zulhijjah tahu 35 Hijrah; beliau telah dibunuh oleh pemberontak ketika sedang membaca Al-Quran. Saiyidina Uthman bin Affan telah dilantik dengan cara wasiat daripada pemimpin terdahulu iaitu Saiyidina Umar Bin Al-Khattab. Saiyidina Umar Al-Khattab telah mencalonkan enam orang sahabat untuk menggantikan beliau ketika beliau sedang sakit. Mereka ialah Saiyidina Uthman bin Affan, Saiyidina Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidah, Zubair bin al-Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf.

Talhah, Zubair dan Saad telah menarik diri manakala Abdul Rahman pula memilih untuk menjadi pemegang amanah di mana beliau telah menemui orang ramai untuk mengumpulakn pendapat apabila hanya tinggal Saiyidina Uthman dan Saiyidina Ali yang mendapat undian yang tertinggi. Akhirnya, dengan persetujuan orang ramai, Saiyidina Uthman bin Affan telah dilantik menjadi khalifah ketiga dalam kerajaan Islam Madinah.

Sumbangan Khalifah Uthman Bin Affan

Dari segi politik, Saiyidina Uthman bin Affan terkenal dengan perluasan kuasa empayar Islam sehingga ke Afghanistan, Samarkand, Cyprus dan Tripoli. Dengan kekayaan yang diperolehi daripada kepintarannya dalam perniagaan, beliau juga telah membelanjakan hampir semua hartanya dalam membentuk pasukan tentera Islam yang terhebat pada zaman itu yang digeruni. Beliau juga telah mengukuhkan lagi keselamatan negaranya dengan menubuhkan pasukan tentera laut pertama Islam dalam sejarah khulafah ar-Rasyidin.

Antara sumbangan terbesar khalifah Uthman ialah apabila jajahan takluk Islam semakin meluas, berlaku pula kepelbagaian cara bacaan (qiraat) ayat Al-Quran di pelbagai wilayah tersebut. Maka, untuk menyelaraskan bacaan-bacaan tersebut Saiyidina Uthma bin Affan telah mengumpulkan dan membukukan Al-Quran dalam satu naskah yang dikenali sebagai Mashaf Uthmani untuk memudahkan orang ramai untuk membacanya dengan betul.

Selain itu, pembinaan infrastruktur juga telah berkembang pesat pada zaman pemerintahan beliau. Saidin Uthman bin Affan telah membina banyak sekolah, jalan raya, jambatan dan juga rumah rehat untuk kemudahan pengembara. Beliau telah menyambung konsep pemimpin sebelumnya dalam memakai cukai untuk menampung pendapatan negara. Daripada pendapatan yang diperoleh, beliau telah membelanjakannya dengan bijak untuk memajukan lagi negara Islam pada ketika itu.

Melalui harta negara yang begitu banyak, beliau telah melonggarkan syarat-syarat Baitulmal supaya dapat membantu rakyatnya yang susah. Melalui pengurusan Baitulmal yang efisyen pada zaman perintahannya, harta Baitulmal dapat digunakan untuk pembangunan negara contohnya membiayai kos infrastruktur dan mempertingkatkan sistem ketenteraan dengan pembelian peralatan senjata dan kapal-kapal untuk pertahanan negara.

Khalifah Ali Bin Abi Talib

Khalifah terakhir dalam tamadun khulafah ar-Rasyidin ialah Saiyidina Ali bin Abi Talib. Beliau lahir pada 602 Masehi iaitu sepuluh tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul. Beliau merupakan sepupu kepada Nabi Muhammad. Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib. Beliau berasal daripada keturunan Bani Hasyim dan merupakan golongan Arab Quraisy. Beliau telah berkhidmat sebagai khalifah selama hampir lima tahun hingga 661 Masehi sebelum wafat pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah kerana dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljan di Kufah. Saiyidina Ali bin Abi Talib juga turut diberi gelaran sebagai Abu Thurab dan Abu Hasan. Beliau juga merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam.

Beliau didoakan sebagai karamah allahu wajhah yang membawa maksud orang yang dimuliakan wajahnya atau maruahnya oleh Allah karana tidak pernah menyembah berhala. Malah, beliau juga sangat terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanannya dan berwatak tegas serta berpengetahuan luas dalam perundangan Islam. Berkaitan dengan cara pemilihannya pula, Saiyidina Ali dipilih dan rela menjadi khalifah dalam keadaan negara yang huru hara akibat kewafatan Saiyidina Uthman bin Affan yang tidak mewasiatkan waris penggantinya. Pihak pemberontak pula telah sebulat suara meminta untuk melantik Saiyidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah.

Memandangkan keadaan negara yang kian meruncing, beliau menerima jawatan tersebut dan disokong oleh ramai pihak berlandaskan kemahiran dan pengetahuan beliau yang luas dan kepakarannya tentang selok belok hukum. Perlantikannya juga telah banyak membantu dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan masyarakat dan undang-undang Islam.

Sumbangan Khalifah Ali Bin Abi Talib

Sumbangan terbesar Saiyidina Ali bin Abi Talib kepada kerajaan Islam ialah beliau sanggup menerima jawatan pemimpin tertinggi kerajaan Islam pada ketika itu walaupun pada masa itu berlaku kegoyahan di mana bermulanya titik pertukaran politik negara Islam yang bercelaru apabila ramai pihak yang berebut untuk berkuasa dan menjadi ketua.

Saiyidina Ali bin Abi Talib telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga dibunuh hanya kerana untuk mengekalkan keamanan dalam negara Islam yang telah dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad. Beliau juga bermati-matian dalam usahanya untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara. Misalnya dalam satu peperangan saudara; iaitu Perang Sifin, walaupun tenteranya hampir mencapai kemenangan dalam peperangan terebut tetapi disebabkan ada dalam kalangan pihak musuh yang rela mengangkat Al-Quran, maka beliau sanggup menghentikan peperangan tersebut dan memulakan proses perundingan.

Biarpun mengutamakan keharmonian dan kedamaian, Saiyidina Ali bin Abi Talib juga tidak melupakan soal pertahanan negaranya. Buktinya, beliau telah membina markas tentera di Parsi dan di sempadan Syria.

Sumber dan rujukan:

  1. Rosnani Rifin.(2007). Masteri Memori Melalui Peta Minda. Selangor Darul Ehsan: PNI NEURON.
  2. Razlina Abd. Rahman. (2005). Bimbingan Skor, Intensif SPM, Pendidikan Islam. Selangor Darul Ehsan: PAN ASIA PUBLICATIONS SDN.BHD)
  3. Siti Hajar Abdullah. (2009). My Gred A, Pendidikan Islam Tingkatan 5. Selangor Darul Ehsan: INFO-DIDIK SDN. BHD)
  4. Fiqh Al-Harakah 1 & 2 - Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Hadi Awang
  5. Hayatus-Sahabah 1,2,3 dan 4 - Syeikh Myuhamad Yusuf Al-Qardhawi.
  6. Tokoh-tokoh Islam dulu dan sekarang edisi 5 - H. Luqman Hakim
  7. Al-Quran, Tafsir Usmani - Allama Shabbir Ahmad Usmani.
  8. Abdul Aziz, Dr., 1996. ‘Poverty Among Muslims and Strategies For Its Alleviation’, dlm. T. Abdur Rahman and K.G. Munshi, eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies, ms 1-6.
  9. Abul-Laits Assamarqandi, terj. H. Salim Bahreisy, 1978. Tanbihul Ghafilin (Peringatan Bagi Yang Lupa), Jakarta dan Surabaya: Pt Bina Ilmu, cetakan kedua.
  10. Akram Diya’ Al-’Umar Al-Khattabi, terj. Zainab Abdul Kadhir, 2000. Masyarakat Madani Pada zaman Nabi, Kuala Lumpur; The International Institute of Islamic Thought Malaysia dan Thinker’s Library Sdn Bhd.
  11. Al Imam Al Bukhary, 1997. (terj. H.Zainuddin Hamidy, H. Fachruddin Hs, H. Nasharuddin Thaha, Johar Arifin, A. Rahman Zainuddin M.A), Terjemahan Hadis Shahih Bukhari, Jilid I, II, III & IV, Klang, Selangor: Klang Book Centre, Cetakan Kelima.
  12. Asghar Ali Engineer, 1991 atau 1992. ‘An Islamic Approach to the Challenge of Poverty’, Ilmu Masyarakat, No.21, Oktober 1991 - Jun 1992, ms.26-36.
  13. Ashaari Muhammad, Abuya Syeikh Imam, 1993. Falsafah Kemiskinan dan Jalan Penyelesaiannya Menurut Islam, Lumpur: Minda Abuya Agency.
  14. Faisal bin Othman, 1993. ‘Kepapaan Adalah Musuh Islam’, dlm. Nik Mustapha Haji Nik Hassan dan Siti Fatimah Abdul Rahman, sunt., Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat - Satu Kefahaman, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ms.137-141.
  15. Fauzian Mohammad, 1997. Ke Arah Pembentukan Masyarakat Madani, Batu Caves: Pustaka Ilmi.
  16. Ibn Majah, 1984. Sunan Ibn Majah, Riyadh: Sharikah at-Tiba’ah al-’Arabiyah as-Sa’udiyah, Vol.2, p.344.
  17. Imam Al-Ghazali (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali), disesuaikan oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, terj. Syed Ahmad Semait, 1978. Bimbingan Mu’minin: Pada Mencari Redha Rabil-’Alamin, Jilid 2, Singapura: Pustaka Nasional.
  18. Imam Al-Ghazali (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali), 1980. Ihya Ulumiddin, Jilid 5 dan 7, Indonesia: Penerbit Asli.
  19. K.H. Firdaus, 1997. Tokoh Kepimpinan dan Pejuang Keadilan Khalifah Umar Al-Khattab bin Abdul Aziz, Selangor D.E.: Pustaka Ilmi. 
  20. K.S.S. Uduman Mohideen, Dr., 1996. ‘Islamic Concept of Poverty’, dlm. T. Abdur Rahman and K.G. Munshi, eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies, ms 7-19.
  21. Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi, 1998. Kisah-Kisah Para Sahabat, Jilid 1-2 (Edisi Baru), Johor Bharu: Perniagaan Jahabersa.
  22. M. Basheer Ahmed Khan, Dr., 1996. ‘Management of Poverty Alleviation - A Strategy’, dlm. T. Abdur Rahman and K.G. Munshi, eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies
  23. Muhammad Akram Khan, 1985. ‘Economic Growth and Development in Islam’, The Search, Brattleboro, USA, Vol.6, No.24, ms 142-166.
  24. Muhammad Syukri Salleh, 1999. ‘Islam dan Kemiskinan’, Pemikir, Bil.18, Oktober-Disember, hal. 153-174.
  25. Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi, 1997 (Diolah dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait), Untaian Kisah Nabi dan Para Sahabat, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
  26. Seers, Dudley, 1969. ‘The Meaning of Development’, International Development Review, Vol.11, No.4; diulang-terbit dalam IDS Communication Series, No.44; Revista Brasileira de Economia, Vol.24, No.3;International Spectator, Vol.XXIV, No.21; Ekistics, 1970; Sociological Abstracts, USA, 1970; The Political Economy of Development, ed. Ilchman and Uphoff, 1971; dan Insight, July 1971.
  27. Siddiq Fadil, 1992. Minda Melayu Baru, Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.
  28. Surtahman Kastin Hassan, 1996. ‘Kemiskinan dan Pembasmian Kemiskinan Mengikut Perspektif Islam’, dlm. Chamhuri Siwar dan Nor Aini Hj Idris, sunt., Kemiskinan Dalam Pembangunan Ekonomi Malaysia, Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, ms.70-81.
  29. Syed Ahmad Semait, 1995. Sepuluh Yang Dijamin Masuk Syurga, Singapura: Pustaka Islamiyyah Pte Ltd.
  30. Syed Ahmad Semait, 1996. Kuliah Subuh - Pada Membicarakan Hadis 40, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., Cetakan Ketujuh.
  31. Syed Othman Alhabshi, 1993. ‘Tidakkah Islam Menggalakkan Kita Mengumpul Harta?’, dlm. Nik Mustapha Haji Nik Hassan dan Siti Fatimah Abdul Rahman, sunt., Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat - Satu Kefahaman, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ms.127-135.
  32. Syeikh Yusuf Qardhawi, terj. Umar Al-Khattab Fanany, 1980. Problema Kemiskinan: Apa Konsep Islam, Surabaya, Indonesia: P.T. Bina Ilmu, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd dan Johor Bahru, Malaysia: Penerbitan Pena Mas. 
  33. T. Abdur Rahman, Dr. and K.G. Munshi, Dr., eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies.
  34. Ziauddin Ahmad, 1991. Islam, Poverty and Income Disteribution, Leicester, UK: The Islamic Foundation. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA