SMAHADZIR
TERSEBUTLAH kisah bahawa bangsa Ad sudah lenyap
binasa, kerana dosa yang mereka lakukan. Negeri mereka sudah tandus dan kosong.
Tetapi lama kelamaan di negeri itu terdapat satu bangsa yang menempati dan
mendiaminya. Bangsa baru ini dinamakan dalam Al-Quran, sebagai bangsa Tsamud.
Merekalah yang berkuasa di atas bumi yang dikuasai oleh bangsa Ad dahulu
itu.
Negeri Yang Makmur
Negeri itu dibina kembali, sehingga menjadi sebuah
negeri yang makmur, lebih makmur lagi dari zaman bangsa Ad yang sudah lenyap
itu. Penuh dengan kebun-kebun, taman-taman yang indah permai, dengan hasil yang
berlipat ganda. Berdirilah kembali rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang besar
dan molek merupakan istana-istana yang indah. Malah bukit-bukit yang tinggi itu
mereka lubangi menjadi rumah tempat tinggal yang teratur. Dengan rumah yang
berupakan benteng-benteng perlindungan yang kukuh dan kuat itu, mereka berharap
dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga mereka dari berbagai-bagai gangguan
manusia dan alam. Hidup bangsa Tsamud ini penuh dengan harta kekayaan, senang
bahagia tidak kekurangan sesuatu apa pun.
Hanya seperkara, sebagaimana juga bangsa
Ad dahulu, mereka lupa sama sekali kepada Allah s.w.t, tidak kenal sama sekali
kepada Allah s.w.t. Kerana itu lama kelamaan mereka semakin jahat, jauh dari
segala yang baik, malah menjadi sombong sesombong sombongnya dengan harta dan
kekayaan yang mereka miliki itu. Mereka kira bahawa harta kekayaan mereka itu
akan kekal di tangan mereka, kesenangan dan kebahagiaan hidup mereka akan tetap
selamanya. Lalu mereka berbuat sekehendak hati mereka sendiri, menyembah dan
memuja pula batu-batu yang mereka buat sendiri, yang merupakan patung. Tepat
sebagaimana yang sudah terjadi pada zaman Ad.
Kepada mereka lalu diutus Allah s.w.t
pula seorang utusan, Nabi Saleh namanya. Untuk membawa mereka mengenal Allah
s.w.t, mensyukuri nikmat Allah s.w.t, meninggalkan penyembahan terhadap
batu-batu yang tidak berhak disembah itu. Terhadap semua yang disampaikan Nabi
Saleh itu, mereka menutup telinga dan memejamkan mata, tidak mahu tahu dan
percaya. Nabi Saleh mereka pandang seperti seorang yang tidak sepatutnya
menasihati mereka, kerana merekalah yang lebih pintar dan pandai, lebih kaya,
terhormat dan berkuasa, kata mereka.
Hanya sebahagian kecil yang terdiri dari
orang-orang melarat tingkatan rendah saja yang mahu mendengar dan menurut
ajaran itu. Sedang yang lain jangankan mengikut dan tunduk, malah Nabi Saleh
mereka anggap tidak siuman otaknya, kena sihir atau dimasuki Syaitan. ‘Kalau
memang perlu nabi, maka kamilah yang wajar menjadi nabi, kerana kami lebih
pintar dan lebih mulia dalam masyarakat daripada engkau,’ kata mereka kepada
Nabi Saleh.
Sungguhpun begitu, Nabi Saleh tetap
menjalankan apa yang diperintahkan Allah s.w.t kepadanya, menyampaikan
ajaran-ajaran yang benar, dengan kesabaran dan ketenangan. Sebab itulah maka
ada pula orang-orang yang melarat yang turut dan tunduk akan ajaran itu. Hal
ini akhirnya membimbangkan orang-orang yang tidak mahu tunduk tersebut.
Mereka mencari cara dan jalan untuk
memalingkan perhatian orang dari Nabi Saleh itu, yang dapat melemahkan dan
merendahkan pandangan orang terhadap baginda.
Meminta Mukjizat Nabi
Begitulah pada suatu hari, mereka datang kepada Nabi
Saleh dan berkata: ‘Cuba engkau tunjukkan kepada kami satu mukjizat
(keluarbiasaan) sebagai tanda kenabianmu itu. Kalau tidak, tentu engkau ini
orang yang bohong semata-mata.’
Mendengar kata dan pendirian mereka yang
demikian itu, tidak ada yang dapat dilakukan Nabi Saleh selain berdoa kepada
Allah s.w.t: ‘Ya, Tuhanku! Kaumku tetap mendustakan aku, selain sebahagian
kecil saja yang beriman denganku. Untuk mengatasi ini, sudi apalah kiranya
Tuhanku memberi aku satu mukjizat untuk jadi tanda kebenaranku. Dengan mukjizat
itu, mudah-mudahan mereka beriman juga!’
Allah s.w.t mengabulkan permintaan Nabi
Saleh, lalu berfirman kepadanya: ‘Pergilah mendapatkan kaummu dan katakan
kepada mereka agar mereka berkumpul di luar kota di kaki gunung yang kelihatan
itu, untuk dapat melihat mukjizat yang mereka kehendaki itu. Dari gunung itu
nanti akan muncul seekor unta betina yang luar biasa bagus, besar dan gemuk,
tidak pernah mereka melihat unta seperti itu. Tetek unta itu akan selalu penuh
dengan air susu, meskipun setiap jam diperah tidak henti-hentinya. Setiap orang
dibolehkan mengambil air susunya, dengan syarat bahawa unta itu dibiarkan bebas
sebebas bebasnya, tidak boleh diganggu dan diusik oleh sesiapa pun. Dan unta
itu harus dibiarkan meminum air yang ada di sumur itu berganti hari dengan
penduduk. Ertinya hari ini air minum itu semuanya untuk unta itu, dan besoknya
air sumur itu semuanya untuk penduduk. Begitulah seterusnya. Pada hari giliran
unta, tidak seorang juga manusia dibenarkan mengambil air. Begitu juga pada
hari giliran penduduk, unta tidak akan meminum sedikit pun.’
Setelah wahyu itu disampaikan oleh Nabi
Saleh kepada mereka, mereka berkumpullah menanti unta yang dimaksudkan itu.
Tidak lama kemudian, dari gunung itu muncullah seekor unta yang luar biasa
bagus, gemuk dan besarnya, persis seperti apa yang diterangkan Nabi Saleh
kepada mereka.
Unta itu terus berjalan ke sumur dan
meminum semua air yang ada. Dan benar bahawa tetek unta itu selalu penuh dengan
air susu. Mereka mulailah mengambil bekas susu untuk mengambil air susu dari
unta itu.
Demikianlah saban hari, pada hari mereka
tidak dapat air dari sumur kerana habis diminum unta, sebagai gantinya mereka
dapat memerah air susu dari unta itu untuk diminum. Begitulah dari hari ke
hari, minggu ke minggu, orang-orang beriman semakin bertambah kuat keimanannya,
tetapi bagi orang-orang yang engkar bukan menjadi tambah beriman. Seperti
kata-kata mereka ketika meminta-minta mukjizat dahulu, malah mereka bertambah
iri hati terhadap Nabi Saleh dan orang-orang yang beriman, mereka terus
mengengkari seruannya secara terang-terang.
Maka timbullah keinginan buruk dalam
batin mereka untuk membunuh unta itu, agar kebenaran Nabi Saleh tidak tersiar
ke serata tempat. Mula-mula mereka berani, tetapi kemudian ragu-ragu dan takut,
sebab seperti dikatakan, Nabi Saleh mengancam dengan turunnya seksa Allah s.w.t
bila unta itu diusik.
Lama mereka berfikir-fikir sama ada mahu
membunuh unta itu atau tidak membunuhnya. Berapa kali di antara mereka cuba
mendekati unta tersebut untuk dibunuhnya, tetapi mereka akhirnya mundur kerana
bimbang akan seksaan yang dijanjikan Nabi Saleh. Lama juga unta itu hidup
merdeka menjadi perhatian orang ramai. Semakin ramai juga orang yang percaya
kepada Nabi Saleh. Tetapi akal jahat dan niat buruk mereka itu membuka jalan
bagi mereka untuk melakukan satu perbuatan yang sejahat-jahatnya. Kecantikan
seorang perempuan, akan mereka jadikan alat untuk menjalankan niat mereka yang
jahat itu. Dengan perempuan cantik, dengan mudah mereka akan memperolehi pemuda
yang berani untuk membinasakan unta tersebut.
Bila seorang lelaki telah dapat ditawan
hatinya oleh seorang perempuan cantik, maka lelaki penakut boleh menjadi orang
paling berani untuk menunaikan perintah perempuan yang cantik itu. Seorang
lelaki yang pintar sekalipun, bila sudah dapat ditawan hatinya oleh seorang
perempuan cantik akan menjadi lelaki yang paling bodoh, sehingga dapat
diperintahkan oleh si perempuan cantik tersebut melakukan pekerjaan yang
bahaya. Hal ini diketahui oleh mereka yang engkar dan kafir itu. Mereka tidak
segan-segan menjalankan tindakan keji tersebut. Seorang perempuan cantik yang
derhaka, menyerahkan diri untuk melakukan lakonan yang berat ini.
Seorang perempuan cantik anak bangsawan
dan kaya raya pula, Saduq binti Al-Mahya namanya, sanggup menyerahkan
kehormatan dirinya kepada seorang pemuda berani, iaitu Masdak bin Mahraj, asal
saja pemuda itu berani membunuh unta yang menjadi bukti kebenaran Nabi Saleh
itu.
Perempuan Tua Keparat
Ada lagi seorang perempuan tua yang keparat pula,
dengan rela hati menyerahkan pula seorang anak gadis remaja kepada pemuda yang
bernama Qudar bin Salif, asal saja pemuda itu berani membunuh unta
tersebut.
Kedua-dua pemuda itu pun rupa-rupanya
belum berani melakukan pembunuhan terhadap unta itu berdua-duaan saja, lalu
mencari rakan-rakan lainnya. Mereka mendapat tujuh orang lagi rakan. Begitulah
akhirnya mereka dengan diam-diam mendekati tempat di mana unta itu berada, lalu
memanah unta tersebut sehingga patah kakinya sebelah, diiringi oleh pukulan
pedang yang tajam oleh Qudar bin Salif, sehingga terburailah perut besar dan
usus unta itu keluar. Unta itu pun lalu rebah ke tanah dan mati.
Kedua-dua pemuda tadi lalu kembali
mendapatkan kaumnya membawa khabar gembira ini dengan buktinya sekali. Semua
rakyat engkar yang menjadi golongan mereka, menyambut kedua-dua pemuda itu
dengan sambutan seorang jenderal besar yang menang perang layaknya, bahkan
lebih dari itu. Keberanian pemuda-pemuda itu dipuja setinggi langit dengan kata
dan pujaan yang luar biasa.
Mereka sudah bunuh unta itu, dan tidak
terjadi apa-apa. Lalu mereka mengejek akan firman Allah s.w.t, peringatan Nabi
Saleh yang telah memberi ancaman kepada sesiapa yang berani membunuh unta itu.
Mereka mengejek dan berkata: ‘Ya Saleh, datangkanlah seksaan yang telah engkau
janjikan itu, sekiranya engkau benar-benar utusan Tuhan.’
Nabi Saleh berkata kepada mereka: ‘Aku sudah
beri peringatan kepadamu sekalian, tetapi peringatan aku itu sudah kamu langgar
dengan nyata. Kamu sudah berbuat dosa. Sekarang kamu boleh bersenang-senang dan
bergembira atas kematian unta itu tiga hari saja. Sesudah tiga hari, seksaan
yang dijanjikan Allah s.w.t itu akan datang, dan bukanlah ini perjanjian yang
bohong.’
Tempoh tiga hari masih diberikan kepada
mereka oleh Nabi Saleh, dengan harapan mudah-mudahan mereka insaf dan minta
ampun, beriman kepada Allah s.w.t dan utusan-Nya. Tetapi oleh kaum yang derhaka
dan celaka itu, dianggap sebagai tanda kelemahan. Belum sampai tiga hari,
mereka sama-sama datang kepada Nabi Saleh mengejek lagi dengan bertanya:
‘Percepatkanlah datangnya seksaan yang engkau janjikan itu.’ Dan banyak lagi
cara-cara mereka mengejek itu.
Nabi Saleh hanya berkata: ‘Hai, kaumku,
kenapa kamu minta segera datangnya seksaan, bukan kebaikan? Kenapa kamu tidak
minta ampun kepada Allah s.w.t, mudah-mudahan kamu diberinya ampun?’
Sehari sebelum janji itu habis, kerana
mereka masih ragu-ragu dan syak, sehingga berhati takut terhadap seksa yang
dijanjikan itu, maka mereka mengadakan rapat raksasa, di mana mereka bersepakat
akan membunuh Nabi Saleh pada malam itu juga, kerana sangkaan mereka dengan
matinya Nabi Saleh, seksaan itu mungkin tidak datang. Allah s.w.t melindungi
Nabi-Nya, sehingga terhindar dari pembunuhan pada malam itu.
Azab Seksa Yang Dijanjikan
Besoknya sebagaimana yang dijanjikan Nabi Saleh,
maka azab atau seksa yang dijanjikan Allah s.w.t itu pun turunlah, berupa badai
taufan yang sedahsyat-dahsyatnya, sehingga mereka berserta harta benda dan
ternakan mereka musnah sama sekali. Rumah-rumah mereka yang besar-besar dan
kukuh menjadi abu yang berterbangan kena tiupan taufan yang dahsyat. Hanya Nabi
Saleh dan para pengikutnya saja yang selamat. Melihat kejadian sedih itu, Nabi
Saleh berkata: ‘Hai, kaumku, sudah aku sampaikan kepadamu apa yang
diperintahkan Allah s.w.t untuk menyampaikannya, dan sudah cukup nasihatku
kepadamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang yang beri nasihat.’
Bangsa Ad dan Tsamud ini berulang-ulang
disebut Allah s.w.t di dalam Kitab Suci Al-Quran sebagai dua bangsa terburuk di
permukaan bumi ini pada zaman purba, sebelum lahirnya Nabi Muhammad s.a.w.,
sesudah kaum Nabi Noh yang juga sering disebut sebagai bangsa yang terburuk.
Kedua-dua bangsa terburuk tersebut sudah dihancurkan Allah s.w.t se penuhnya.
Bukan saja bangsa atau manusianya yang dihancurkan Allah s.w.t, tetapi juga
seluruh harta benda, rumah dan tanah yang mereka diami, lebih hebat dari penghancuran
yang disebabkan bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki.
Kalau ditanyakan orang, bangsa manakah
yang terburuk pada zaman sekarang ini, kita tidak dapat menjawabnya, hanya
Allah s.w.t sajalah yang mengetahuinya. Dan menurut sebahagian ulama, sebagai
mukjizat dari Nabi Muhammad s.a.w., sesudah Nabi Muhammad s.a.w., Allah s.w.t
tidak lagi akan melakukan penghancuran secara menyeluruh sedemikian rupa kendatipun
terhadap bangsa terburuk, tidak kira bangsa terburuk itu pada zaman sekarang
atau pada zaman yang akan datang. Kepada Nabi Muhammad s.a.w diajarkan bahawa Allah
s.w.t bersifat as-Sabur, yang bererti sangat sabar. Segala seksaan hebat, Allah
s.w.t undurkan pelaksanaannya sampai di akhirat nanti terhadap orang-orang atau
bangsa-bangsa terburuk tersebut.
Kendatipun begitu, namun seksa-seksa yang
tidak bersifat total, bersifat insidental dan bersifat setempat, akan terus
menerus dilaksanakan Allah s.w.t atas orang dan bangsa atau golongan yang sudah
melewati batas kejahatan atau dosanya. Seksa itu mungkin berupa perang hebat,
kekacauan atau bencana alam. Setiap kekacauan dan bencana alam pada hakikatnya
menurut agama Islam adalah merupakan peringatan dari Allah s.w.t, agar manusia
kembali ingat dan beriman kepada Allah s.w.t.
Sebab itu, untuk mengatasi segala macam
kekacauan dan bencana, selain tindakan yang bersifat politik, ekonomi dan
sosial, harus dilaksanakan juga dengan cara bertaubat, minta ampun, bersyukur,
memuji-muji Allah s.w.t, dan dengan mempergiatkan berbagai-bagai ibadat dan
amal kebajikan yang diperintahkan dan diajarkan Allah s.w.t. Perbanyakan
sembahyang, puasa, zikir, doa dan bersedekah kepada fakir miskin atau orang-orang
yang berada dalam kesusahan. Dengan jalan begitu, Allah s.w.t akan melenyapkan
segala kekacauan dan bencana-bencana itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan