SMAHADZIR
APAKAH yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq dan
negara Islam lain perlu dibiarkan berlaku di negara kita Malaysia? Rusuhan,
demonstrasi dan menentang undang-undang negara adalah suasana yang digemari oleh
segelintir masyarakat di negara ini. Apa yang berlaku di Syria untuk
menjatuhkan Presiden Bashar Assad menyebabkan rakyat negara itu hilang rasa
selamat. Sekarang rakyat Mesir sedang melalui apa yang dirasai oleh rakyat Iraq
dan Syria. Keamanan dan kemakmuran negara mereka sudah diragut oleh dua
kumpulan yang saling bermusuhan dan berbunuhan.
Ramai penganalisis politik melihat ada tangan
ghaib yang menjadi dalang dalam krisis politik di bumi Mesir. Tangan ghaib itu
ialah Amerika Syarikat yang selama ini merupakan syaitan paling laknak yang
telah menghuru-harakan seluruh dunia. Di Malaysia juga tangan ghaib ini cuba
menyelusup masuk melalui pelbagai aktiviti mereka namun majoriti rakyat Malaysia
masih lagi rasional dan tidak termakan madu beracun yang disajikan mereka.
Bersyukurlah kita kerana pasukan polis dan tentera
Malaysia tidak sekejam pasukan keselamatan negara lain yang telah kita saksikan
cara mereka menyelesaikan penentang kerajaan. Bersyukur juga kita kerana bermacam-macam
strategi dan perhimpunan haram yang diatur oleh segelintit masyarakat negara
kita berkesudahan dengan kegagalan. Beberapa kali usaha dan gerakan menghimpunkan
ratusan ribu rakyat negara ini seperti yang berlaku di negara Asia Barat tidak
berjaya malah ditolak oleh rakyat Malaysia yang mengutamakan keamanan dan
kestabilan politik daripada kepentingan peribadi seseorang pemimpin yang kecewa.
Sungguhpun begitu, segelintir masyarakat ini tidak pernah putus asa meracuni
pemikiran rakyat. Oleh itu, kerajaan yang terus diberi mandat kali ke-13 untuk
mentadbir kerajaan Malaysia diharap jangan berlembut dan terlalu beri muka
kepada mana-mana pihak terutama dalam soal keselamatan negara.
Sebagaimana yang kita tahu, krisis politik di
Mesir memuncak apabila kira-kira lebih 2,000 orang maut selepas polis dan
tentera menggempur lokasi ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong bekas Presiden
Muhammad Mursi di Kaherah. Kekejaman pasukan keselamatan Mesir itu
membangkitkan kecaman dan kutukan daripada pemimpin dan masyarakat dunia. Walaupun
jauh beribu kilometer dari Kaherah, tetapi kita dapat melihat kesan dan iktibar
apabila rebutan kuasa politik akhirnya boleh memudaratkan kehidupan rakyat.
Paling membimbangkan jika perang saudara antara
kumpulan penyokong Mursi dengan pihak anti-Mursi tercetus. Sentimen balas
dendam bakal menjadi faktor utama dalam pergolakan di Mesir selepas ini,
mungkin sama dengan apa yang berlaku kepada Iraq dan Syria sekarang. Dalam
situasi ini, bagaimana nasib lebih 3,000 rakyat dan pelajar Malaysia di sana?
Ketika pergolakan menjatuhkan Hosni Mubarak pada
2011, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia
menyediakan pengangkutan udara untuk membawa pelajar dan rakyat kita pulang ke
tanah air. Syukur, hampir semua pelajar kita yang pulang terselamat daripada
tindakan perusuh ketika itu. Kita tidak lupa bagaimana tindakan sesetengah
pihak dan suara-suara sumbang yang mempertikaikan bantuan kerajaan itu. Kali
ini, jika operasi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir
dilakukan, utamakan mereka yang sedia menerima bantuan sahaja. Jangan dipaksa
ahli dan penyokong ‘parti pembenci kerajaan’ yang berada di Mesir untuk turut
serta.
Statistik terbaru menunjukkan lebih 3,000 orang
awam dibunuh di Mesir. Mereka dibunuh oleh tentera kerajaan yang dibiayai oleh
Amerika Syarikat kerana menuntut
demokrasi ditegakkan. Pertumpahan darah ini wajar dijadikan renungan supaya
rakyat Malaysia jangan mudah terpedaya dengan demokrasi yang dijaja oleh pihak
berkepentingan. Renunglah yang tersirat daripada yang tersurat.
Mohammed Mursi dari Ikhwanul Muslimin yang
memenangi pilihan raya secara demokrasi bukanlah pilihan Amerika Syarikat. Maka
kemenangan itu tidak akan bertahan lama dan Mursi dijatuhkan kononnya atas
kehendak rakyat. Inilah akibatnya apabila membiarkan kuasa asing seperti Amerika
Syarikat menentukan hala tuju politik sesebuah negara. Malah agensi media Barat
seperti sepakat menyiarkan angka korban yang jauh lebih kecil daripada sebenarnya.
Ini bertujuan menutup tindakan melampau tentera Mesir kerana Amerika Syarikat
ada penglibatannya. Tetapi statistik oleh Ikhwanul Muslimin menunjukkan lebih
3,000 orang berbanding agensi berita Barat tidak sampai 1,000 orang.
Mursi dipenjara dan hingga kini belum dibebaskan.
Tentera mengambil tindakan drastik menggempur penyokong Mursi dengan peluru
hidup. Di negara kita, polis hanya menggunakan meriam air. Tetapi digambarkan
oleh puak tertentu sebagai tindakan ‘paling tidak berperikemanusiaan.’
Dalam pilihan raya Jun tahun 2012, Mursi memenangi
52 peratus undi. Tetapi sebenarnya hanya mendapat sokongan satu perempat
daripada 50 juta rakyat Mesir yang layak mengundi. Bagi Mesir, jatuhnya
diktator Hosni Mubarak bukanlah berakhir konflik politik yang membelenggu
negara itu. Mubarak diibaratkan tayar lama yang sudah tidak diperlukan lagi.
Tetapi tayar baharu mesti dari jenama yang sama.
Banyak pihak melihat kejatuhan Mubarak sebagai
hasil kebangkitan rakyat. Secara tersurat rakyatlah yang menukar rejim Mubarak
kepada pemimpin yang dipilih menerusi sistem yang demokratik. Tetapi yang
tersiratnya, gerakan menjatuhkan Mubarak dipersiapkan oleh Amerika Syarikat
sejak tahun 2008 lagi. Kejatuhan Mubarak tidak ada kena mengena dengan kebangkitan
rakyat yang dicanang-canangkan itu. Malah istilah Arab Spring itu sengaja
dicipta supaya kelihatan keterlibatan rakyat di negara-negara Asia Barat
menentukan masa depan mereka sendiri. Buktinya pada 2008 aktivis gerakan massa
dari Mesir berhimpun di New York pada pelancaran Alliance of Youth Movement
(AYM).
Sebenarnya, banyak yang tidak tahu kewujudan AYM
dan peranannya dalam menentukan agenda Amerika Syarikat di Mesir. Ini adalah
perkakas Amerika Syarikat untuk menggerakkan rakyat bagi menjatuhkan Mubarak,
sekutu Amerika Syarikat yang sudah tidak diperlukan lagi. Tugas AYM bukan
sahaja menjatuhkan Mubarak tetapi mana-mana pemimpin yang bertentangan dengan
dasar Amerika Syarikat.
Apa itu AYM? AYM adalah sebuah organisasi yang melibatkan
aktivis massa bergerak secara terancang dalam talian dan mencatatkan sejarah
sebagai yang pertama pada abad ke-21. Jabatan Negara Amerika Syarikat
berganding dengan gergasi dalam media sosial seperti Facebook, Howcast, MTV,
Google dan Youtube menggerakkan AYM dengan menggunakan generasi muda untuk
mencetuskan gerakan massa. Menerusi AYM, strategis Amerika Syarikat memberikan
latihan kepada aktivis massa untuk menggunakan media sosial bagi meluaskan
jaringan di peringkat antarabangsa. Malah AYM dan para aktivis diberi akses
langsung dengan Jabatan Luar Negara Amerika Syarikat.
Sebenarnya pada pasca Mubarak, nama Mursi berada
jauh di belakang. Malah tidak ada dalam senarai pengganti Mubarak kerana ada
beberapa nama lain yang mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat lebih
ditonjolkan. Antaranya Mohamed El Baradei yang mempunyai jaringan antarabangsa
yang kuat malah sekutu rapat Amerika Syarikat. Tetapi siapakah El Baradei?
El Baradei adalah salah seorang ahli pemegang
amanah International Crisis Group (ICG), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh
Amerika Syarikat dan dibiayai oleh George Soros menerusi National Endowment for
Democracy (NED). Tetapi dalam pilihan raya, El Baradei tidak mendapat sokongan
dan terpaksa mengalah kepada Mursi. Orang begini dipergunakan oleh Amerika
Syarikat untuk menguasai Mesir dari jauh. Kerana itu faktor Amerika Syarikat
memang tidak dapat dipinggirkan apabila berhujah tentang kemelut politik Mesir
yang semakin tenat. Sebenarnya penglibatan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak
hanya kerja sia-sia kerana Amerika Syarikat mempunyai perancangan siapa yang
akan menggantikan Mubarak, bukannya ditentukan oleh rakyat Mesir.
Kerana itu pergolakan yang berlaku di Mesir malah
beberapa negara Asia Barat bukan kebangkitan rakyat. Tetapi rakyat hanya
digerakkan supaya bangkit oleh aktivis massa yang dipimpin oleh Amerika
Syarikat tetapi berselindung di sebalik kebangkitan rakyat menuntut demokrasi. Lihat
apakah tindakan luar biasa Amerika Syarikat untuk membendung pembunuhan
beramai-ramai di Mesir? Walaupun Presiden Barack Obama membayangkan akan
menangguhkan latihan ketenteraan bersama Mesir tetapi Amerika Syarikat terus
menyalurkan dana kepada tentera. Dana inilah yang telah digunakan untuk membunuh
penyokong Mursi baru-baru ini.
Tentera mempunyai banyak pendekatan lain untuk
menyuraikan demonstrasi penyokong-penyokong Mursi. Melancarkan pembunuhan
beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah sama dengan
serangan Amerika Syarikat terhadap beberapa buah negara yang dianggap sarang
pengganas.
Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah
pentingnya Mesir kepada Amerika Syarikat berbanding negara lain yang lebih kaya
hasil buminya. Jawapannya Mesir memang sangat strategik baik dari segi
geoekonomi mahupun geopolitik. Selain mempunyai kedudukan yang strategik untuk
memainkan peranan penting di dunia Arab, Mesir juga strategik bagi
negara-negara di Afrika. Mesir merupakan jambatan yang baik dari sudut
geografi, sosial, ekonomi, dan etnik. Kerana itu Mesir sangat penting sebagai
negara transit untuk menguasai Asia Barat dan Afrika. Cara Amerika Syarikat
menguasai Mesir adalah menguasai tenteranya dan memastikan Presiden Mesir dalam
kalangan pemimpin tentera. Malangnya Mursi kerana beliau bukan pemimpin tentera
tetapi teraju pergerakan Islam yang memberi ancaman kepada Barat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan