SMAHADZIR
SESUNGGUHNYA dalam hal ilmu atau menuntut ilmu,
Islam tidak membezakan antara lelaki dan wanita. Wanita juga diperintahkan agar
membekalkan diri mereka dengan ilmu yang bermanfaat, yang dapat mendorongnya
sehingga mengenal Allah dan agama-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda, “Menuntut
ilmu adalah fardhu setiap Muslim.”
(hadis riwayat Thabrani)
Perkara ini terungkap dalam sabda-sabda Baginda s.a.w
yang lain. Baginda s.a.w bersabda, “Sesiapa lelaki yang mempunyai hamba sahaya
wanita lalu ia mengajarnya dan membaguskan pengajarannya dan adabnya serta
mendidiknya kemudian mengahwinkannya, maka baginya dua pahala.” (hadis riwayat Abu
Daud).
Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Barangsiapa yang
memilki tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara
perempuan lalu mereka dididik dengan adabnya, berbuat baik kepadanya dan sampai
mereka dinikahkan, maka baginya syurga.” (hadis riwayat Abu Daud)
Saiyidina Ali Bin Abi Thalib r.a. berkata, “Sebaik-baik
wanita adalah wanita-wanita Ansar. Mereka tidak malu mempelajari dan mendalami
pemahaman agama.” (Abdur Razak)
Rasulullah s.a.w sentiasa mengkhususkan pada
hari-hari tertentu untuk mengajar kaum wanita mengenai hukum-hukum agama. Sehingga
kaum wanita juga dapat belajar dan mengajar sesama wanita. Kerana ada satu masa
di mana Rasulullah s.a.w pun merasa malu untuk menjelaskan beberapa hukum agama
yang khusus bagi wanita. Maka di situlah kaum wanita berperanan untuk saling
belajar dan mengajar. Sehingga tidak timbul fitnah dalam ajar mengajar. (hadis
riwayat Bukhari, Muslim).
A’isyah r.a berkata, Ada seorang wanita bertanya
kepada Rasulullah s.a.w tentang bagaimna cara mandi sesudah bersih dari haidh. Lalu
Rasulullah s.a.w menyuruh wanita itu memperagakannya dan berkata, “Ambillah
wangian itu dan sucikanlah ia.” Wanita itu bertanya lagi, “Bagaimana caranya?” Rasulullah
s.a.w menjawab, “Ya pakai saja.” Wanita itu nampaknya belum puas dengan jawapan
Rasulullah s.a.w, jadi dia bertanya lagi, “Bagaimana caranya, ya Rasulullah?” Rasulullah
s.a.w menjawab, “Subhaanallah, ya
pakai saja!” Selanjutnya baginda s.a.w memanggil aku untuk menggantikan Baginda
dalam menjelaskan hal ini.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)
Ibnu Hazm menjelaskan persekutuan wanita dengan
lelaki dalam mencari ilmu, berkata, “Setiap Muslim yang sudah baligh dan
berakal, lelaki dan wanita, orang merdeka dan hamba sahaya, adalah wajib. Tidak
seorang pun dari kaum Muslimin yang menyanggahnya bahawa ia harus mengetahui
mana yang halal dan mana yang haram bagi dirinya, siapa pun ia. Mereka semua
diwajibkan adil dalam proses belajar. Seorang imam dapat memaksa para wanita
dan wanita yang ‘terpandang’ sekalipun agar belajar sendiri atau memberi
peluang kepada mereka untuk belajar. Imam juga layak bertegas dalam hal ini
serta mengatur orang-orang untuk mengajar orang lain yang masih jahil.”
Wanita Berhak Menuntut
Ilmu
Sabda Rasulullah s.a.w. ”Dunia ini adalah
kesenangan dan sebaik-baik kesenangan ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim
dan An-Nasa’ei)
Wanita yang solehah ialah wanita yanbg berpendidikan
baik dan berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
Sekiranya wanita tidak diberikan pendidikan yang sewajarnya, amat sukar sekali
hendak menjadikan mereka sebagai wanita solehah sebagaimana yang
diharapkan.
Sejarah telah membuktikan bagaimana seorang ibu
telah dapat membakar semangat perjuangan ke dalam anak lelakinya. Wanita
tersebut ialah Asma Binti Abu Bakar. Asma telah memberi perangsang kepada
anaknya ketika pertempuran sengit berlaku di antara Abdullah bin Zubir (anak
lelakinya) dan tentera-tentera Yazid bin Mu’awiyah. Di antara kata perangsang
yang diucapkan oleh Asma kepada anaknya itu ialah, ”Hai anakku, jika
engkau yakin bahawa engkau di atas kebenaran yang engkau seru maka teruskanlah
dan janganlah sekali-kali engkau biarkan tengkukmu dipermain-mainkan olah hamba-hamba
Bani Umaiyah. Akan tetapi, jika engkau mengkehendaki keduniaan, maka alangkah
celakanya engkau sabagai hamba Allah dan dengan demikian engkaulah sendiri yang
menghancurkan diri sendiri dan orang-orang yang bersama-sama itu. Akan tetapi,
jika engkau berkata, ‘Aku berada di atas kebenaran tetapi apabila
sahabat-sahabatku menjadi lemah semangat maka aku pun turut lemah semangat.’
Maka sikap seperti ini bukanlah sikap orang-orang yang merdeka, malah bukan
sikap orang yang berkebajikan kerana berapa lama sangatkah hidupmu di dunia,
hai anak Zubir. Demi Allah! Dipancung dengan pedang dalam kemuliaan lebih baik
bagiku dari pukulan cemeti dalam kehinaan.” Abdullah Bin Zubir meneruskan
perjuangan dan akhirnya beliau gugur sebagai seorang syahid.
Begitu juga isteri Saiyidina Ali r.a. iaitu
Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah telah dapat mendidik kedua-dua orang anaknya
iaitu Hasan dan Husin sehingga mereka akhirnya menjadi orang yang mulia di sisi
Allah s.w.t. Kedua-dua wanita yang sepatutnya dicontohi oleh generasi wanita
Islam hari ini adalah terdidik dalam suasana Islam dan hidup mengikut tuntutan
Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Wanita-wanita yang tidak mendapat didikan Islam yang
sempurna tidak mungkin dapat memberikan contoh yang sedemikian rupa. Begitulah
pentingnya ilmu pengetahuan Islam dan pendididkan bagi kaum wanita kerana
mereka adalah institusi pendidikan bagi anak-anak mereka.
Kepentingan Menuntut Ilmu
Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya seorang
wanita itu dicipta dari tulang rusuk. Sekali-kali ia tidak akan lurus bagimu di
atas satu jalur. Jika engkau bersenang-senang dengan wanita maka engkau akan
mendapatkannya sedangkan pada dirinya tetap ada bengkok.” (hadis riwayat
Muslim)
Syeikh Abu Muhammad Jibril menyatakan bahawa dari
penyelidikan para ahli ilmu jiwa dan menurut kenyataannya bahawa wanita, meskipun
ianya telah dewasa namun tingkah lakunya masih seperti anak-anak, tabiat manja
dan suka merajuk selalu ada padanya. Selanjutnya beliau berkata selain sifat
suka merajuk, mudah menangis dan putus asa.
Wanita mempunyai sifat hiba hati yang sangat dalam, pendiriannya
mudah berubah dan ketabahannya mudah goyah. Kerana sifat-sifat itulah. kaum
waita wajib dididik, di ajar dan diberi bimbingan yang cukup. Jika tidak
memperolehi bimbingan yang memadai bahaya akan datang segenap lingkungan
masyarakat dan kerosakan pun akan terjadi di mana-mana akibat kebodohan mereka.
Sebab pada hakikatnya wanita itu adalah fitnah dan ujian terbesar, juga sumber
kerosakan yang dasyat jika tidak diiringi dengan iman dan ilmu yang baik.
Dalam hal ini, para suami juga bertanggungjawab
untuk memberi pengajaran, pengetahuan agama kepada isterinya. Syeikh Ibnu
Abdullah berkata: “Jikalau isteri mengabaikan hukum dari hukum-hukum haid dan istihadhah dan lelaki-lelaki tidak
mengajarkannya, maka lelaki-lelaki terseut keluar bersama dengan isterinya dan
ia bersekutu dalam dosa.”
Ilmu Yang Wajib Dituntut
Firman Allah s.w.t: “Maka ketahuilah bahawasanya
tiada Tuhan selain Dia.” (surah Muhammad: 19)
Hendaklah difahami bahawa yang diwajibkan untuk
dipelajari bagi kaum Muslimin dan Muslimaat adalah ilmu agama. Imam
Al-Ghazali r.a menuliskan bahawa jika seseorang yang sudah baligh, maka pertama
sekali wajib baginya mempelajari dua kalimah syahadah dan memahaminya. Wajib
baginya mengenal Allah s.w.t, siapa Allah, bagaimana sifat dan kebesaran Allah s.w.t.
Kemudian apa-apa ilmu yang untuk mentaati Allah s.w.t.
Contohnya, jika sampai waktu solat maka wajib
baginya belajar tentang solat. Jika tiba bulan Ramadhan maka wajib baginya
mempelajari tentang Puasa. Jika akan berangkat haji, maka wajib baginya belajar
tentang haji. Jikandia memilki harta, maka wajib ke atasnya mempelajari tentang
zakat. Setelah ilmu-ilmu fardhu ini sudah sempurna ia pelajari, maka wajib
baginya untuk mempelajari sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila ini pun sudah
dipelajari, barulah ia boleh belajar hal-hal yang lainnya.
Urutan ilmu pengetahuan yang harus diketahui oleh
seseorang wanita solehah adalah seperti berikut:
1)
Ilmu
Tauhid dan permasaalahan agama
2)
Ilmu
Sunnah dan Adab
3)
Ilmu
Mu’ammalah sesama manusia, terutama
bagaimana berbakti kepada suami, orang tua, tarbiyyah
kepada anak-anak dan sebagainya
4)
Ilmu-ilmu
lain yang bermanfaat bagi kehidupan dunia dan akhirat.
Dr Abdullah Nasih Ulwan juga menyatakan bahawa
wanita wajib mempelajari keterampilan yang sesuai dengan tugas dan specialist-nya sebagai ibu dan
isteri. Tetapi sayang yang terjadi di saat in iadalah kaum wanita (bahkan juga
kaum lelaki) meremehkan ilmu-ilmu agama dan menganggap bahawa belajar ilmu
agama adalah sia-sia. Ilmu pengetahuan dan teknologi dianggap satu kehebatan
yang luar biasa. Ini adalah satu ‘tipuan’ yang melanda umat ini. Maka
diharapkan dari wanita-wanita solehah agar dapat mengidupkan kembali semangat
ilmu agama.
Etika Wanita Dalam Menuntut
Ilmu
Takwa adalah modal utama. Firman Allah s.w.t: “Bertakwalah
kamu kepada Allah, nescaya Allah akan mengajarimu.” (surah Al Baqarah: 282)
Dengan menjaga diri dalam garis-garis ketaatan
kepada Allah dan Rasul-Nya, maka secara automatik akan menambah keilmuan dan
pengetahuan dalam masaalah agama. Ilmu yang diiringi dengan ketakwaan akan
mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.
Utamakan Belajar Daripada
Mahram
Di sinilah manfaat dan kepentingan menghidupkan
majlis taklim di dalam rumah. Dengan taklim
bererti kita telah menjadikan rumah sebagai ‘asas’ madrasah bagi keluarga. Salah
satu manfaat daripada taklim, bagi
kaum lelaki di masjid, apabila mereka (para suami) pulang ke rumah masing-masing
dapat mengajar isteri-isteri mereka daripada apa-apa yang telah mereka pelajari
dari taklim di masjid-masjid mereka.
Dengan ini dorongan isteri kepada suami untuk
meluangkan masa mempelajari agama adalah sangat penting sekali, sebagaimana
dorongan isteri kepada suami dalam mencari nafkah.
Jika terpaksa sekalipun untuk keluar mencari ilmu
haruslah dijaga dalam batas-batas ketakwaan dan dengan redha daripada suami. Ibnu
Abdullah berkata, “Manakala isteri belajar dari fardu-fardu yang wajib atas
dirinya maka ia tidak berhak untuk keluar ke majlis lelaki dan tidak berhak
untuk belajar keutamaan kecuali dengan redhanya (suami).”
Hijab Antara Bukan Mahram
Ini adalah suatu hal yang sangat penting dalam
pendidikan wanita. Demikianlah yang dicontohi oleh para solehiin dulu dalam
mencari ilmu. Diriwayatkan bahawa jika sesudah salam dari solatnya, maka
Rasulullah s.a.w berdiam beberapa saat. Dan jemaah pada masa itu mengetahui
akan sikap Baginda s.a.w ini, yang dimaksudkan agar wanita keluar lebih dahulu
sebelum lelaki. Diriwayatkan bahawa Masjid Nabawi mempunyai pintu khusus
bagi wanita dan Umar r.a melarang kaum lelaki masuk dari pintu-pintu ini.
Kewajiban menuntut ilmu adalah sama sengan lelaki
tetapi cara dan sistemnya jelas berbeza bagi kaum wanita. Bukan seperti yang
dicontohkan oleh ‘Penghancur Islam.’ Dr Anwar Jundi mengatakan bahawa sistem
belajar telah diatur sedemikian rupa oleh Islam dijadikan sasaran propaganda ‘busuk’
oleh kalangan musuh-musuh Barat yang tidak senang terhadap Islam. Mereka meneriakkan
dengan lantang, bahawa sistem belajar seperti ini hanya mengongkong kaum wanita,
mengurangi kebebasan.
Oleh kerana itu mereka meniupkan propaganda busuknya
ke telinga kaum Muslimaat agar merosakkan tata aturan Islam yang telah sempurna
tersebut. Salah satu daripada propaganda mereka adalah dengan mencampurkan
lelaki dan perempuan dalam satu ruamg dalam pendidikan.
Imam al-Qabisi di makalahnya tentang pendidikan
berpendapat bahawa walaupun Islam memberikan kebebasan kepada kaum wanita untuk
menuntut ilmu seperti kaum lelaki tetapi dalam praktik pengajarannya mesti
dijauhkan dari kaum lelaki dan tidak mencampurkan lelaki dalam pendidikan.
Ibnu Sahnun ketika ditanya tentang pengajaran yang
mencampurkan lelaki dan wanita, beliau menjawab, “Saya memakruhkannya.”
Abdullah Nashih-ulwan menuliskan bahawa mereka yang menghalalkan percampuran
lelaki dan wanita dengan membebaskannya dengan alasan adat istiadat, sosial dan
sebagainya. Padahal Allah s.w.t telah menjadikan lelaki dan wanita, dan
melengkapi kedua-duanya dengan kecenderungan seksual antara masing jenis. Itulah
fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, “Tidak ada
perubahan pada fitrah Allah.” (surah Ar-Ruum: 30)
Pergaulan Wanita
Setiap manusia perlukan pergaulan dan Islam mengatur
pergaulan bagi kaum Muslimah dengan pergaulan yang suci, selamat, dan mulia
kerana syaitan laknatullah berusaha
untuk menghancurkan keimanan kaum Muslimah dengan segala tipuannya. Yang paling
banyak menyelewengkan wanita dari agama dalam pergaulan adalah ajakan mereka
mengenai kebebasan wanita, emansipasi dan sebagainya. Ditambah lagi dengan
suapan-suapan globalisasi yang berkiblatkan budaya-budaya Barat sehingga, seolah-olah
memaksa kaum Muslimah untuk keluar dari budaya Islam yang aman dan bijaksana.
Untuk itu Rasulullah s.a.w mengingatkan kaum lelaki,
“Berhati-hatilah kamu berkhalwat dengan wanita. Demi diriku yang berada di
dalam genggaman-Nya, tidak akan pernah seorang lelaki yang berduaan dengan
wanita melainkan syaitan akan masuk di antara mereka. Seorang lelaki yang rapat
dengan babi yang penuh dengan lumpur masih lebih baik daipada dia merapat
dengan peha wanita yang tidak halal baginya.” (hadis riwayat Thabrani).
Syeikh Muhammad bin Abdullah mengulas dalam hal
tipuan syaitan ini bahawa pergalan bebas antara lawan jenis seperti yang sering
kali terjadi hanya akan mendorong wanita untuk bersolek, berpenampilan
menantang, menarik pandangan kaum lelaki dan membangkitkan pesona mereka. Sebab
keinginan seksual yang sudah menjadi fitrah lelaki dan wanita akan bertambah
kuat kerana adanya pergaulan antara lawan jenis dan jika pembatasannya mudah
ditembus.
Dalam masyarakat yang membuka pergaulan seperti ini
akan muncul pembawaan baru dalam diri lelaki dan wanita iaitu saling menampkkan
keindahan dan pesonanya untuk menarik minat lawan jenis. Lama Kelamaan tindakan
ini bukanlah sesuatu yang perlu dingkari dan dicela kerana adanya perubahan
teori moraliti. Bahkan kemudian semua itu dianggap sesuatu yang perlu disenangi.
Kemudian berkembang semakin jauh hingga masing-masing tidak memiliki lagi satu sempadan
pun.
Islam yang bijaksana tahu bahaya akibat pergaulan
yang tiada tara dalam kehidupan individu dan ummat tatkala dorongan berahi
sudah memuncak. Syariat Islam sudah membuat berbagai cara penjagaan dan
perlindungan yang boleh menghalangi terlepasnya keinginan berahi dari pagarnya.
Maka Islam memberi perhatian dalam penguatan ketakutan kepada Allah dalam diri
manusia dengan memperkuatkan fitrah dengan rasa malu agar perasaan ini boleh
menjadi pengawal secara dalaman.
Islam juga mensyariatkan hijab kepada wanita
agar dia menutupi keindahan dirinya daipada lelaki, meminta izin tatkala
memasuki suatu rumah, memerintahkannya agar menundukkan pandangan mata, baik
lelaki mahupun wanita, melarang secara bebas antara lelaki dan wanita, memperingatkan
wanita berpergian tanpa disertai mahram, kemudian meletakkan hukuman bagi orang
yang melanggar larangan ini.
Muhammad Qutub mengatakan bahawa nafsu berahi atau seks
itu sendiri bukanlah sesuatu yang kotor atau haram tetapi harus diletakkan
dalam suatu lingkungan yang benar lagi bersih. Sedangkan kebebasan yang
dilakukan wanita di dunia Barat dan diseru oleh para propagandis kebebasan di
negara Timur yang beragama Islam, justeru akan merosakkan wanita dan lelaki
serta generasi seterusnya.
Padahal dalam Huququl
Mar’ah di tulis bahawa kebebasan sebenarnya adalah melepaskan diri dari
bisikan hawa nafsu dan syahwat, juga dari tradisi dan kebiasaan-kebiasaan yang
menyimpang dan sesat. Dari sini jelaslah majlis yang di situ ada kaum
lelaki wanita bercampur sama sekali tidak sesuai dengan tabiat Islam dan ajaran
Islam. Sebab pesona berahi yang ada dalam naluri lelaki dan wanita mempunyai
suatu kekuatan yang tidak boleh di elak, yang akan menjadi bertambah kuat jika keduanya
saling berkumpul.
Disebutkan dalam Nailul
Autsar bab ‘Larangan Berkhalwat
Dengan Wanita Bukan Mahram’: “Berkhalwat dengan wanita lain sudah
disepakati oleh para ulama tentang pengharamannya sebagaimana hal ini telah
dikisahkan Al-Hafizh di dalam Al-Fath.
Alasan pengharaman tersebut kerana apa yang disebut di dalam hadis tentang kewujudan
syaitan sebagai orang ketiga daripada keduanya yang boleh mengheret keduanya ke
dalam kederhakaan. Namun jika khalwat itu disertai oleh mahram, itu dibolehkan kerana kemungkinan terjadinya kemaksiatan
boleh dicegah kerana kehadiran mahram tersebut.”
Sebab tabiat kekeluargaan itu cenderung mendorong
lelaki berani memasuki tempat wanita kerana beralasan adanya hubungan saudara. Sehingga
mereka berani mengetuk pintu baik pada siang mahupun malam hari, baik ada
kepentingan ataupun tidak ada. Tetapi justeru sering terjadi akhirnya hal ini
menimbulkan akibat yang sangat fatal dan boleh merenggangkan hubungan
kekeluargaan atau bahkan penceraian.
Luqman Hakim berwasiat kepada anak lelakinya: “Takutlah
kamu terhadap wanita yang buruk kerana ia membuatmu beruban sebelum kamu
beruban. Dan takutlah wanita-wanita yang jahat kerana mereka tidak mengajak
kepada kebaikan dan jadilah kamu berhati-hati dalam memilih mereka.”
Wanita Dan Politik
Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak beruntung suatu
qaum yang menyerahkan kepimpinan negaranya kepada seorang wanita.” (hadis
riwayat an Nasa’i)
Dalam Huququl
Mar’ah ditulis bahawa Muslimah pada awal Islam tidak mempunyai peranan apa pun
dalam urusan politik, meskipun Islam memberinya hak yang sama dengan hak lelaki.
Tidak pernah diriwayat bahawa selepas Rasulullah s.a.w wafat, ada wanita yang
ikut bermusyawarah dengan kaum lelaki, ikut serta dalam membuat keputusan siapa
yang akan menjadi khalifah sesudah Baginda s.a.w. Juga dalam memilih salah
seorang di antara Khulafa’ur Rasyidin yang empat itu.
Tidak pula diriwayat bahawa Khulafa’ur Rasyidin
mengumpul para wanita secara khusus untuk mengajak bermusyawarah dalam berbagai
urusan daulah seperti yang mereka
lakukan bersama kaum lelaki. Kalau pun ada dalil yang digunakan oleh
orang-orang yang beranggapan bahawa wanita juga ikut turut campur dalam urusan
politik serta hukum. Mereka menguatkan pendapat itu dengan alasan bahawa Aisyah
r.a pernah keluar untuk menuntut pembunuhan Saiyiina Ustman r.a.
Padahal ternyata Aisyah r.a telah menyesal atas
perbuatannya itu. Sehingga perbuatan ini tidak boleh dijadikan dalil untuk
menciptakan sesuatu yang baru di dalam Islam. Tatkala Saiyidina Ali r.a menulis
surat kepada Ummul Mukminin untuk mengingatkan bahawa apa yang hendak dibuatnya
itu adalah melanggar ketetapan syariat, maka dia berkata di dalam suratnya itu:
“Amma ba’d, sesungguhnya engkau
keluar dalam keadaan marah kepada Allah dan Rasul-Nya. Engkau menuntut sesuatu
yang engkau sendiri tidak memiliki kemampuan. Apa urusan wanita dan peranan
serta perbaiakan yang boleh dilakukan di antara manusia? Engkau menuntut darah
Ustman r.a. Demi hidupku, apakah yang mendorong engkau untuk membuka diri bagi
bencana yang membawamu kepada kederhakaan yang justerunya dosanya lebih besar
bagimu daripada orang-orang yang membunuh Ustman r.a?”
Kemudian tatkala Perang Jamal telah berakhir, maka Saiyidina
Ali r.a. datang menemuinya, seraya berkata kepadanya, “Wahai wanita yang berada
di dalam hijab, Allah memerintahkan agar engkau berdiam di dalam rumahmu namun
engkau keluar untuk berperang.” Maka Aisyah r.a tidak mampu memberikan jawapan
yang dapat menyokong perbuatannya itu dan bahawa Islam membolehkan hal itu
baginya. Padahal beliau adalah orang yang memiliki ilmu pengetahuan.
Bahkan diriwayatkan bahawa Aisyah r.a masih bergelut
dengan rasa sesal atas perbuatannya hingga kemudian hari. Diriwayatkan di dalam Al’Isti’ab oleh Ibnul Abdil Barr bahawa
Aisyah r.a mengadu kepada Ibnu Umar r.a seraya berkata: ”Mengapa dulu
engkau tidak melarangku sama sekali keluar, wahai Abu Abdurrahmaan?” Ibnu Umar r.a
menjawab. “Kerana aku melihat ada seorang lelaki telah menguasai urusanmu dan
aku tidak melihatmu menentangnya sama sekali.” Aisyah r.a berkata, “Andaikata
engkau melarang aku dahulu, tentu aku tidak akan pergi.”
Maka apa lagi alasan bagi wanita solehah untuk
terjun dalam urusan politik dan pemerintahan? Dalam Balaghat Annisaa diceritakan bahawa pada saat dekat ajalnya, Aisyah
r.a rasa gelisah ketika ditanya apa sebabnya, Aisyah r.a menjawab, “Sesungguhnya
hari terjadinya Perang Jamal telah menghalang tengggorokanku! Ahh, seandainya
aku lupa atau dapat melupakan peristiwa itu.”
Syeikh Sulaiman Arafah mengatakan bahawa sungguh
sangat tidak logik jika wanita dilarang menjadi pemimpin terhadap rumah tangganya,
tetapi kemudian dia diberi hak kepimipinan terhadap berbagai urusan umat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan