SMAHADZIR
TERSEBUTLAH kisah bahawa Qarun ini termasuk keluarga
yang terdekat juga dengan Nabi Musa a.s. Kepada Qarun ini, Allah s.w.t telah
memberikan harta kekayaan yang banyak sekali, yang tidak ada tolok bandingnya
di seluruh dunia ini, sehingga kalau anak kunci gudang-gudang tempat menumpuk
harta Qarun itu dikumpulkan semuanya, maka tidak ada seorang pun yang dapat
memikul anak-anak kunci tersebut.
Harta kekayaan Yang
Melimpah
Kalau anak kunci gudangnya sudah sebegitu banyak dan
berat, dapatlah kita bayangkan sendiri berapa banyak gudangnya, berapa jumlah
harta kekayaan yang ada padanya dan yang dikuasai oleh Qarun itu. Dengan
harta yang banyak itu, bukan main senang dan bahagianya hidup Qarun. Rumahnya
dibuat sebesar-besar dan sebagus-bagusnya, pakaiannya dari yang paling bagus
dan mahal harganya. Ramai khadamnya yang bekerja untuk melayani keperluannya,
banyak juga hamba yang dibelinya, untuk dijadikan pelayan dan hiasan
gadungnya.
Harta benda dan kekayaan, sejak dahulu
sudah menjadi perhiasan hidup di dunia, yang menjadi pusat segala kebahagiaan dan
kegirangan. Tetapi kerana harta dan kekayaan yang banyak itu jugalah di antara
orang yang dianugerahi harta itu, menjadi manusia yang sombong dan jahat
perangainya, menjadi orang yang angkuh lagi bertambah aniaya, bukan bertambah
baik dan pengasihani.
Dengan harta yang banyak itu, dia bukan
menolong memperbaiki dan menolong nasib orang-orang yang miskin, tetapi malah
memaksa dan mencelakakan mereka yang miskin, memperhamba mereka serta memeras
tenaganya, sampai tinggal kulit pembalut tulang saja. Demikian jugalah
halnya Qarun ini. Sudah dapat hidup senang dengan hartanya, dia ingin mencelakakan
orang yang tidak berharta dan hidup melarat. Dia merasa berkuasa dengan
kekuasaan yang tidak terbatas, kekuasaan yang digunakannya untuk menekan dan
memeras, juga untuk mencelaka serta merosakkan.
Allah s.w.t memerintahkan kita untuk
menuntut kekayaan dan kesenangan yang ada di dunia ini, tetapi jangan sekali-kali
lupa akan nasib kita di akhirat nanti. Tetapi Qarun hanya dunia saja yang
menjadi arah tujuan hidupnya, dia tidak mengenali Allah s.w.t, lebih-lebih lagi
percaya dengan hari akhirat. Allah s.w.t memerintahkan agar jangan berbuat kerosakan
di muka bumi ini, tetapi Qarun segala kerjanya hanya untuk merosakkan semata-mata.
Kepada Qarun pun dengan perantaraan Nabi
Musa, diperintahkan Allah s.w.t untuk berbuat kebaikan, tetapi perintah ini
dijawab oleh Qarun dengan sombong sekali: ‘Aku peroleh harta benda ini,
dengan tenaga dan ilmu pengetahuan aku sendiri.’ Qarun lupa, bahawa Allah s.w.t
telah merosakkan tidak sedikit orang-orang dan bangsa-bangsa yang kaya raya dan
kuat serta berkuasa. Qarun acapkali keluar memperlihatkan kesenangan hidup dan
kekayaannya kepada orang sekampungnya. Dengan perbuatan ini, ramai orang yang
bercita-cita mahu menjadi kaya raya seperti dia: ‘Alangkah baiknya kalau aku
beroleh kekayaan seperti yang diperoleh Qarun itu,’ kata mereka.
Orang-orang yang berilmu dan suci serta
beriman kepada Allah s.w.t berkata: ‘Pahala dari Allah s.w.t lebih baik dari
harta sebanyak itu.’ Tetapi kata-kata mereka ini tidak dipedulikan oleh orang
ramai, sedikit sekali orang yang dapat memahamikannya, iaitu golongan orang-orang
yang beriman dan bersabar saja.
Semakin Giat Menambah Harta
Qarun semakin giat menambah harta dan kekayaannya,
semakin jahat juga terhadap orang-orang sekampungnya itu, semakin sombong dan
angkuh. Kerana sudah keterlaluan dan menyolok mata akan kesombongan dan
kejahatannya, maka ramai orang yang beriman menasihatinya, agar dia jangan
terlalu gembira dan sombong dengan harta kekayaannya: ‘Kami bukan iri hati
melihat kekayaanmu dan tidak pula melarangmu berbahagia, senang serta
bergembira dengan hartamu itu, tetapi kami hanya menasihatkan, agar carilah
olehmu jalan yang halal saja menambah hartamu itu dan pakailah harta itu dengan
baik. Bila dapat, tolonglah orang-orang yang melarat dan miskin dengan
sebahagian saja dari hartamu itu. Berbuat baiklah engkau terhadap mereka,
sebagaimana Allah s.w.t telah berbuat baik terhadapmu. Dengan jalan begitu, mudah-mudahan
Allah s.w.t akan menambah berlipat kali ganda hartamu itu, dengan segala berkat
dan rahmat-Nya.’
Segala nasihat itu jangankan didengar dan
dijalankan, malah Qarun menghina orang yang menasihatinya sebaik itu. Dia
menyombongkan diri dan memerahkan muka serta matanya, sambil menjawab: ‘Aku
tidak memerlukan nasihat dari kamu sekalian. Tanpa nasihatmu pun aku dapat
hidup senang dan berbahagia. Aku lebih tahu daripada kamu sekalian, akal aku
lebih pintar. Aku manjadi kaya ini, adalah suatu tanda bahawa aku lebih pintar
dari kamu. Malah akulah sebenarnya yang lebih berhak menasihati kamu sekalian!’
Sebagai jawapan terhadap nasihat yang
baik itu, pada suatu hari Qarun keluar dengan pakaian dan perhiasannya yang
serba mahal harganya, dia menuju kea rah khalayak ramai, diiringi oleh
pengiring-pengiring dan hamba-hambanya yang tidak terhingga ramainya. Semua
orang kampung itu, yang terdiri dari kaum fakir miskin dan melarat, keluar
menyaksikan kekayaan Qarun. Dengan keluhan dan bersedih hati, ramai di antara
mereka yang melarat itu berkata antara satu sama lain: ‘Alangkah bahagianya
Qarun dan alangkah sengsaranya kita ini.’
Dengan wahyu Allah s.w.t, Nabi Musa lalu
mengumumkan kewajiban berzakat bagi orang yang kaya, untuk dibahagi-bahagikan
kepada orang-orang yang melarat dan sengsara. Perintah Allah s.w.t ini pun
disampaikan pula oleh Nabi Musa kepada Qarun.
Dengan mengejek dan berolok, Qarun
menolak perintah ini: ‘Ada-ada saja perintah Tuhan Musa ini,’ kata Qarun
di hadapan Nabi Musa. Nabi Musa lalu menjawab: ‘Ini adalah perintah Allah
s.w.t, hai Qarun, aku sampaikan kepadamu, kerana Allah s.w.t telah menetapkan aku
sebagai pesuruh-Nya!’
‘Ah, ada-ada saja akalmu untuk mambohongi
aku. Mula-mula engkau katakan tentang agama baru, kemudian engkau perintahkan
mengeluarkan zakat. Sungguh engkau ini seorang pembohong,’ kata Qarun kepada Nabi
Musa mengengkari perintah Allah s.w.t yang disampaikan kepadanya.
Sesudah berdebat lama dan tidak membawa
hasil apa-apa itu, lalu Qarun tampil ke hadapan orang ramai yang telah tunduk
kepada ajaran Nabi Musa. ‘Nabi Musa itu orang yang iri hati,’ kata Qarun
kepada orang ramai, ‘yang sebenarnya Nabi Musa itu menutup apa yang sebenarnya
tersembunyi dalam hati kecilnya, untuk mendapat harta benda. Musalah orang yang
paling jauh dari agama dan ajaran Tuhan.’
Semua perkataannya itu didengar Nabi Musa
dengan kesabaran. Setelah Nabi Musa tidak mempunyai harapan lagi untuk
memperbaiki pendirian Qarun yang sesat itu, lalu Nabi Musa menyerahkan urusan
itu kepada Allah s.w.t kembali, dengan sepatah doa agar janganlah hendaknya
manusia ramai itu dapat disesatkan kembali oleh ucapan Qarun dan oleh harta
kekayaan dunia ini.
Doa Nabi Musa ini dikabulkan oleh Allah
s.w.t. Tanah sekitar istana dan gudang-gudang kekayaan Qarun itu mulai bergerak,
lalu pecah, akhirnya tenggelam ke dalam perut bumi, bersama dengan istana,
gudang dan Qarunnya sekali. Tidak seorang pun khadam-khadamnya yang dapat
menolongnya dan tidak seorang pun dari orang-orang kampungnya yang ingin
memberikan pertolongan kepadanya.
Dengan demikian tamatlah riwayat Qarun
dan segala harta kekayaannya yang melimpah-ruah itu. Melihat kejadian yang
hebat itu, maka orang-orang yang melarat di kampung itu, menyesal atas
keinginan dan doa mereka, agar menjadi orang kaya seperti Qarun itu. Mereka
berkata: ‘Kalau tidak kerana Allah s.w.t, tentu kita ini sekaliannya akan
musnah ditelan bumi, seperti yang terjadi atas diri Qarun itu.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan